Nuffnang

Tuesday, May 31, 2011

Penat tapi semangat..

Cuti sekolah dah bermula. Blog pun ikut cuti sama he..he.. Tapi rindu juga dengan cerita-cerita u all. U all ke mana cuti sekolah ni? Kami sekeluarga tak berjalan jauh pun. Cuma pergi bercuti ke Tiara Beach PD untuk join Family Day keluarga en.asben. Seronok sangat sebab 4 generasi berkumpul bersama-sama sejak sabtu sehingga semalam. Penuh padat aktiviti kami. Dari solat berjemaah, bacaan yaasin, doa selamat, sukaneka, berBBQ, berkaraoke dan bermain air. Semuanya sama-sama sporting untuk turut serta. Memang best sangat rasanya.

Lagi best sebab kami anak beranak ada menang hadiah untuk sukaneka. En.asben siap dapat DVD player sebab menang untuk acara limbo rock. Aku dan anak-anak pun menang hadiah juga. Tapi yang kecil-kecillah. Untuk lucky draw pun kami dapat 4 dari 20 hadiah yang disediakan. Selalu tu susah benar nak dapat. Kali ini semua nombor kami naik kecuali nombor Az. Memang bersusunlah hadiah yang kami bawa balik semalam. Alhamdulillah.

Masa balik semalam kami dan keluarga kakak ipar singgah pula ke Extreme Park PD. Anak-anak sibuk nak merasa naik go-cart. Okeylah juga. Semua enjoy.  Anak-anak buah aku yang lelaki semua memecut. Siap overtake lagi. Tapi aku bawa go-cart macam semut he..he. Takut beb. Macam tak confident saja nak bawa laju-laju. Mungkin sebab tak biasa kot. Nak tekan minyak lebih-lebih pun tak berani. Kedudukan kaki pun rasa tak selesa. Asyik main brek saja. Lagipun aku bawa Az di belakang. Sudahnya tak cukup lapse lagi aku dah surrender. So anak buah aku dengan Is yang sambung habiskan lapse seterusnya.

Tak cukup dengan aktiviti di PD, malam tadi aku keluar lagi. Ada dating dengan 3 kawan baikku. Kawan aku yang stay kat Doha balik bercuti. Jadinya memang tak sahlah kalau kami tak spend time together. Lagipun sesekali melepak dengan geng setelah berbulan-bulan tak jumpa. Aku pun memang jarang benar keluar. We have a great dinner at Chilli's Mid Valley. Tapi semua makan tak habis. First sebab portion dia besar. Second sebab asyik borak aje. Jadinya makan pun tak berapa nak layan. Bila jumpa tu tahu-tahu sajalah. Cerita baru, cerita lama semua keluar. Yang sensasi, yang dah basi, semua boleh aje jadi topik. Lagi best sebab kakak dan adiknya join sama. Aduhai, lagi rancaklah kami bercerita.

Badan masih penat. Tapi sebab seronok, rasa bersemangat saja nak bercerita. Adat blogger kot he..he..

Friday, May 27, 2011

Yang best-best dan popular tu...

Salam untuk semua..



Waktu dulu, aku tak kenal apa itu blog. Satu hari tu, aku type Hanis Azla di google search. Sebab nama tu nama gabungan insan kesayanganku, makanya sajalah nak tahu kalau-kalau ada orang lain yang mempunyai nama yang serupa. Tapi yang aku jumpa ialah Hanis Zalikha. Iyelah, Hanis yang itu blogger yang sangat popular, cantik dan cerdik. Makanya bila type Hanis saja, memang Hanis Zalikha yang keluar. So aku pun klik kat nama itu dan terus link ke blognya.
 
Sejak itu aku mula meminatinya dan suka membaca entry di blognya. Bila dah jumpa seorang blogger popular, aku jumpa pula blog Red Mummy. Blog itu pun aku jumpa waktu type serching for Hanis Zalikha juga. So sejak tu aku layan blog Red Mummy yang best tu juga. Kiranya untuk beberapa bulan tu memang aku dok hadap 2 blog itu saja. Sehinggalah aku akhirnya terpanggil untuk mempunyai blog sendiri. Sejak ada blog sendiri tu, barulah aku jumpa blog lain yang sama menarik juga walaupun nama mereka tidak sepopular Hanis Zalikha dan Red Mummy.
 
Sekarang ini, ada banyak blog yang aku suka nak singgah. Kalau dulu cuma yang dua tu saja. Sekarang ini rasanya ada beratus blog  yang aku suka nak singgah. Punyalah banyak blog yang menarik. Sampaikan kadang tu tak sempat nak pergi menjenggah ke semua blog-blog tu. Dengan waktu yang terhad dengan keluarga, tugasan kerja dan kerja rumah lagi. Dengan aku yang kalau singgah tu memang tak sah kalau singgah setakat nak tinggalkan jejak. Mesti nak baca punya entry dan perkongsian orang. Tak kiralah yang pendek sejemput ataupun panjang berjela. Semuanya aku layan. Nak tinggalkan komen pun aku suka juga. Makanya, lagi limitedlah jumlah blog yang aku dapat singgah setiap hari.
 
Itulah penangan blog u all yang best-best dan popular untuk aku tu. Suka benar aku nak singgah. Suka sangat aku nak baca. Blog yang mana? Tentulah blog u all yang dah jadi kawan-kawan aku, blog u all yang aku dah follow, blog u all yang selalu singgah di sini untuk aku membalas kunjungan, blog u all yang selalu sudi komen untuk aku berbalas komen dan blog u all yang baru pertama kali singgah di sini dan yang akan aku follow nanti. Blog u all, u all yang best-best itu lah. Kalau aku senaraikan semua, memang minggu depan kot baru entry ni dapat post. Sebab aku kan selalu ambil masa untuk buat satu-satu entry tu he..he.. Nanti aku singgah lagi ke blog u all yang best-best tu yer. Happy blogging to All.

Wednesday, May 25, 2011

MC yang bukan cuti sakit..

Tadi dapat call dari HQ bertanyakan orang yang selalu jadi MC di tempat kerjaku ini. Sebab pegawai yang di cari itu tiada maka orang yang menelefon itu bertanyakan soalan itu kepadaku saja. Aku pun berikan beberapa nama yang selalu jadi MC di sini. Tapi nama-nama yang ku berikan semuanya lelaki. Orang yang menelefon itu pula mahukan MC perempuan. Sebab MC lelaki memang mereka sudah ada. Kalau MC perempuan memang aku tak pasti pula. Sebab selalunya di tempat aku, orang lelaki yang biasa jadi MC.

Awak tak boleh ke jadi MC? Suara pun sedap juga. Kata-kata wanita itu membuatkan aku tergelak. Iyelah, aku sedang menjawab telefon. Tentu saja kena adjust suara biar jadi sedap. Lagipun kalau bercakap dengan senyuman, suara yang tak sedap pun kedengaran sedap didengar. Bukannya sebab suara sedap sangat. Kalau tidak begitu takut kena komplen pula sebab tak mengunakan tatacara yang betul ketika menjawab panggilan. Tapi kalau benar suaraku sedap pun, memang aku tak boleh nak jadi MC. Sebabnya aku ni jenis yang gugup tak hengat. Kalau nak cakap depan orang tu memang nervous semacam. Daripada suara yang keluar terketar-ketar, maka lebih baiklah aku terus elakkan.

Bukan senang nak jadi MC ni kan. Orang yang pandai cakap pun tak tentu lagi dapat jadi MC yang baik. Waktu wedding adik aku dulu, dia minta kawannya untuk jadi MC. Tapi saat-saat akhir, kawannya itu terpaksa tarik diri sebab tiba-tiba datang rasa nervous. Sebab dia dah berjanji, terpaksalah dia cari MC yang memang buat job tu untuk ganti tempat dia. Tapi sebab tugasan di saat akhir, terpaksalah kawan adik aku tu duduk sebelah MC tu sepanjang majlis sebab MC sebenar tu tak sempat nak rehearsal. Ha..ha..

Waktu majlis juga adik aku paksa en.asben suruh bagi speech untuk wakil keluarga. Memang sah-sah en.asben taknak. Tapi sebab takde orang lain, terpaksalah en.asben melakukannya dalam paksa rela. He..he.. tapi hasilnya not bad. Kaum keluarga dan saudara mara pun cakap okey. Kira okeylah tu kan. Kebetulan pula selepas dari pengalaman pertama bagi speech tu, en.asben kena jadi MC kat satu forum untuk ofis dia. Bukan setakat en.asben, aku pun berdebar-debar juga. Sebab takut en.asben tak dapat nak buat. Tapi Alhamdulillah. En.asben mampu melakukannya dengan baik. Siap ada yang kata. Ada bakat terpendam rupanya en.asben aku tu.

Tapi untuk aku, menjadi MC bukan bakat terpendamku. Memikirkan tentangnya pun dah buatkan aku mengigil. He..he.. (Minta maaf yer.. tak dapat nak menolong.)

Tuesday, May 24, 2011

Kalau baik, beritahulah..

Malam tadi aku tengok siri The Good Wife. Dalam cerita tu adalah skrip dia berbunyi lebih kurang, macam ni mengikut fahaman aku. Kadangkala, kita kena beritahu sesuatu yang hebat tentang seseorang itu walaupun orang itu sudah maklum tentangnya. Sebab ada orang suka diberitahu tentang perkara itu. Aku suka ayat itu. Sebab aku juga bersetuju tentang perkara itu. Ini kerana bagi aku, kata-kata yang sebegitu dapat memberi motivasi dan perangsang pada seseorang.

Waktu di ofis lama, bertahun aku buat kerja yang sama sebelum diarahkan membuat tugasan baru yang agak jauh kaitannya dengan kerja yang lama. Bagi aku tugas itu agak mencabar buatku kerana sebelum ini, tugasan itu dilaksanakan oleh orang yang mempunyai gred yang lebih tinggi. Tapi, bila sudah diarahkan aku cuba sebaik yang mungkin. Waktu awal-awal tu memang aku rasa tertekan juga. Pertamanya sebab nak kena handle meeting. Sedangkan sebelum ni attend meeting pun jarang sebab aku concentrate on documentation saja. Then kena berhadapan dengan bermacam department yang ada berbagai ragam kerenah orang.

Bab kena deals dengan kerenah orang yang buat aku tertekan. Dalam ramai-ramai tu, adalah pulak yang tak boleh silap sikit. Kalau ada yang tak kena memang dia akan e-mail dengan font besar siap guna warna merah lagi. Memang angin betul sebab dia letak attention nama aku. R-san, bla..bla..bla.. (sebab aku yang handle) dan forward to all termasuk semua manager. Memang sakit hati betul sebab kesalahan itu bukannya semua dari aku. Silapnya dari department lain juga. Dan dari isu lapuk yang tak settle. Sesuka hati saja letak attention nama aku. Macam aku pulak suspek utama. (eh..eh citer polis ke ni siap ada suspek ni.. he..he..) 

Waktu aku down tu, adalah seorang manager dari department lain yang e-mail aku secara personal. E-mail antara aku dengan dia saja. (Sebelum tu juga dia ada back up aku dan sound mamat tu dalam e-mail yang hal kecil-kecil macam tu tak perlulah nak hantar e-mail yang macam tu. Sebab itu bukan caranya nak solve problem.) Mulanya dia say sorry on behalf of his staff. Dia pun mengakulah yang ada di antaranya memang silap anak buah dia juga. Dia pun tahu yang aku baru take over kerja tu dan dia juga maklum sangat yang isu tu semua isu lama yang tak selesai sejak dulu.

Dalam e-mail tu adalah dia cakap yang dia suka cara kerja aku. Walaupun baru lagi, tapi dapat handle semuanya dengan baik. Dan katanya sejak aku handle, segalanya jadi lebih teratur. Sebenarnya, boleh saja aku anggap kata-katanya sekadar mahu mengambil hatiku. Tapi bila ianya hadir disaat aku memerlukan kata-kata perangsang dari orang yang memahami situasi tersebut. E-mail darinya membuatkan aku jadi ceria dan bersemangat. (Tapi beberapa hari selepas itu memang aku segan nak bertembung dengannya. Sebab aku malu juga dengan pujiannya.) Pengakhirannya semuanya berjalan lancar selepas itu. Sedikit demi sedikit aku mula suka dengan tugas baru tu. Masalah tetap ada, tapi Alhamdulillah, semuanya dapat ditangani dengan baik sehinggalah aku berhenti dari situ.

Pada aku, pujian dan kata-kata yang baik untuk kita bukannya untuk buat kita meninggi diri. Tapi lebih kepada untuk kita memperbaiki diri. Mengekalkan apa yang  baik dan berusaha untuk jadi lebih baik lagi.

Monday, May 23, 2011

Siapa suruh salah letak...

Salam untuk semua..

Hari ini sebab perut dah kenyang kerana bersarapan nasi lemak dan makan pizza untuk celebrate birthday boss, makanya tengah hari tadi tak pergi lunch. Tapi waktu rehat tetap diisi dengan keluar dari ofis juga. Tak ke mana pun cuma teman kawan ke Mydin, Putrajaya. Kawan tu adalah beli barang sikit. Salah satunya ialah tempat letak surat yang gantung ada 2,3 poket tu. Terpandangkan tempat letak surat yang dibeli tu mengingatkan aku pada cerita lama yang berkaitan dengannya.

Waktu tu umur aku dalam 5 atau 6 tahun kot. Kat rumah aku dulu pun ada tempat letak surat yang sebegitu. Comellah tempat letak surat tu. Ada tiga poket dan siap ada gambar dan ada tulisan kat depan poket tu. Bills, Letter dan Misc. Aku ni sejak dulu memang suka berkemas. Kalau time rajin tu memang suka sangat nak menyusun barang. Waktu dulu arwah ayah memang merokok. Jadinya bila merokok tentulah ada lighter. Untuk mengelakkan dari tersalah letak, arwah ayah selalu letak lighter tu dalam tempat surat di dalam poket yang Misc tu. 

Bila time aku rajin nak menyusun barang tu, mesti aku alihkan lighter itu ke dalam poket Letter. Setiap kali lepas itu, ayah pasti kalut sebab lighternya sudah tiada di tempat biasa. Waktu itu, pastilah aku bagaikan hero yang berjaya menemukan lighter arwah ayah tu. Sebab aku sorang saja yang tahu tempat baru bagi lighter itu. Selepas 2,3 kali perkara itu berulang barulah aku tahu yang poket letter itu bukannya tempat lighter. Itu pun setelah arwah ayah bising-bising. Kenapa pandai-pandai alihkan lighter ayah dari poket biasa? Aku pun dengan yakinnya menjawab yang ayahlah yang tersilap poket.

Ada ke letak lighter tu dalam poket Misc tu. Orang letaklah dalam poket Letter. He..he.. budak bijak kan. Aku ingat letter tu untuk lighter. Manalah aku tahu ejaan lighter waktu tu. Rupanya letter tu untuk surat. Betullah arwah ayah letak lighter dalam poket Misc tu. Tak tahu pula yang Misc  tu miscellaneous. Kalau aku tahu pun, waktu itu bukannya aku tahu maksudnya yang bermakna  untuk macam-macam. Ha..ha.. Itulah bezanya budak pandai dengan budak memandai-mandai kan.

Saturday, May 21, 2011

Keli oh keli, Bila Periukku berbunyi..

Salam hari sabtu untuk semua..

U all makan ikan keli tak? Aku makan. Anak-anak pun gitu juga. Memang faveret kami. Tapi en.asben tak reti makan. Jadinya menu ikan keli jarang-jarang benar ada kat rumah kami. Tapi kalau pergi makan luar, memang ikan keli jadi pilihan aku dan anak-anak. Cerita pasal ikan keli ni bukan apa. Sebenarnya nak ucapkan terima kasih kepada teman blogger keli oh keli sebab sudi bagi award. Thanks yer keli oh keli. Appreciate it so much. Thanks juga sebab selalu sudi singgah, tinggalkan komen dan menyokong blog akak ni. Kalau nak tengok bermacam item berkaitan ikan keli bolehlah ke blog Keli oh Keli ni. Selain item dan produk berdasarkan ikan keli, banyak perkongsian yang baik dan menarik juga terdapat di situ. Owner blognya pun sangat friendly. So bolehlah berkenalan dengannya.

Award dari Keli oh Keli...

Kalau nak memasak, tak kiralah ikan keli ataupun menu lain mesti periuk berbunyi kan. Kalau periuk tak berbunyi memang tak sah. Sebab bila senduk bertemu periuk untuk mengacau, pastilah akan menghasilkan bunyi. Kalau tak dikacau, takut tak menjadi pula masakan kita kan. Bercakap tentang periuk dan bunyi ni sebenarnya aku nak ucap terima kasih juga pada blogger Bila Periukku Berbunyi sebab sudi bagi award kepad semua followernya. Thanks yer Fie. Terima kasih juga sebab Fie selalu sudi berkunjung, tinggalkan komen dan beri sokongan pada blog saya ni. Minta maaf yer sebab lambat sikit nak ambil award yang cantik ni. Kalau nak dapatkan resepi yang best-best, bolehlah ke blog Bila Periukku Berbunyi ini. Resepinya selalu simple dan semestinya menarik. Tuan rumahnya juga friendly. So bolehlah melawat ke sana nanti.

Award dari Bila Periukku Berbunyi..

Untuk Blogger Keli oh keli, Blogger Bila Periukku berbunyi dan semua teman blogger yang baik budi, terima kasih kerana persahabatan ini. Have a nice weekend untuk semua.

*Alhamdulillah.. aku menumpang rezeki anak-anak. En.asben dapat durian runtuh semalam. Tahniah sayang. I'm so happy for you. So agendanya this weekend ialah reward himself dengan something yang menjadi idamannya sejak dua menjak ni. Tentu senyum sampai ke telinga nanti. Anyway, U really deserved it.. Thank you sebab selalu berkerja kuat untuk kami. Thank you Allah kerana memberikan kesihatan yang baik dan kemurahan rezeki buat kami sekeluarga.

Friday, May 20, 2011

Menarik! tapi tak berminat..

Malam sabtu minggu lepas, aku ikut jiran lama ke satu program macam perniagaan internet. Hampir pukul 12 tengah malam juga aku sampai di rumah. Dah lama juga sebenarnya jiran lamaku ini mengajak. Tapi aku memang tak berkesempatan. Ada saja program lain yang bertindih sehingga aku terpaksa menolak ajakannya. Sedangkan aku memang teringin juga untuk ikut sekali. Iyelah, kalau boleh tak mahulah nanti orang kata, orang lain sibuk mencari peluang, kita pula sibuk mencari alasan.

Menariklah juga programnya. Imbuhannya juga nampak hebat. Kalau tidak takkanlah orang yang bergaji 40K sebulan pun mahu turut serta. Di luar, keretanya menjalar-jalar. Semua yang hadir nampak bersemangat. Aku berharap juga agar semangat yang ada pada mereka berjangkit padaku. Namun sehingga ke penghujung program, semangat itu tidak juga menyerap dalam diriku. Terasa tidak berminat untuk turut serta seperti mereka yang lain di situ. Bila ditanya adakah aku mahu turut serta, aku hanya senyum. Nantilah Saya fikirkan dulu.. Jawabku bila ditanya berulang kali.

Entah mengapa, buat setakat ini aku masih rasa tak berminat. (Aku stresskan ni sini, buat setakat ini yer.. aku tak mahu cakap besar.. mana tahu nanti-nanti aku berminat pula kan). Mungkin aku ni jenis yang terlalu selesa dengan kesederhanaan. Makanya, biarlah orang dapat lebih dari apa yang aku ada, aku tak rasa tertarik untuk sama-sama memilikinya. Kalau kata tak boleh, tentu saja ada jalannya kan. Tapi kalau dah tak berminat ni, susah sikit nak melakukannya. Ini kerana, segala yang ada untukku dan keluarga setakat ini terasa sudah mencukupi. Jadinya mungkin sebab itu minat itu tidak datang. Dalam fikiranku, aku selalu berfikiran begini..

Walaupun aku tiada rumah besar, tapi aku masih ada rumah untuk di huni..

Walaupun aku tiada kereta mewah, tapi aku masih punya kereta untuk bergerak..

Walaupun aku tiada wang yang banyak, tapi aku masih punya cukup wang untuk berbelanja..

Walaupun aku tak boleh berkongsi jumlah yang besar dengan orang lain, tapi aku masih boleh berkongsi jumlah yang kecil dengan orang lain..

Alhamdulillah.. segalanya sudah mencukupi untukku buat setakat ini. Minta maaf. Program ni menarik. Tapi ianya tidak menarik minat saya untuk turut serta. Kalau aku jawab begini, tentu aku kena tiaw kat sana malam itu he..he.. Tapi serius aku tak berminat. Aku tak mahu tipu diri sendiri dengan mencuba sesuatu yang aku tidak minat. Mungkin belum sampai masanya kot..

Thursday, May 19, 2011

Bila mengadu menjadi keperluan..

Aku ni jenis yang susah sikit nak mengadu. Kalau rasa tak berapa perlu tu memang aku simpankan saja. Tapi mengadu untuk memperbetulkan sesetengah perkara itu perlu juga adakalanya. Makanya tempoh hari, dalam keterpaksaan aku mengadu juga untuk pertama kalinya. Mengadu kepada ustazah di sekolah kafa anak aku. Selalunya kalau anak aku bercerita ada kawan yang buat mereka di sekolah, aku sekadar mendengar dan periksa badan anak aku saja. Kalau tiada luka-luka dan kesan yang kelihatan di mata memang aku diamkan saja. Tak sukalah nak mengadu kata anak orang nakal anak kita tidak. Kalau boleh tak mahu memperbesarkan cerita.

Pada aku, budak-budak ini sama saja perangainya. Tak anak orang cuit anak kita, anak kita pula cuit nak orang. Jadinya bila ada kawan yang buat anak-anak aku, aku hanya nasihatkan anak-anak aku agar mengadu pada cikgu dengan segera bila perkara yang sama berlaku lagi. Sambil itu, aku berpesan juga agar jangan buat seperti itu  pada kawan-kawan lain. Isnin lepas, selepas pulang dari sekolah anakku mengadu sesuatu padaku. Biasalah budak-budak. Dalam bergurau-gurau, kadang-kadang gurauannya jadi melampau. Aku rasa perkara ini sangat tak kena. Terasa perlu untuk memaklumkan pada ustazah. Bukan hanya kerana anak aku yang jadi mangsa. Tapi kalau boleh aku mahu elakkan perkara itu berulang lagi kepada pelajar lain. 

Memang aku serba salah sebenarnya. Bukan untuk menghukum pelajar yang gurauannya melampau itu. Tapi sekadar untuk minta ustazah memberi nasihat pada pelajar itu dan murid-murid lain agar tidak mengulangi perkara yang sama. Juga agar mereka tahu yang gurauan seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Tidak boleh sama sekali. Setelah berbincang dengan en.asben dan setelah beberapa kali meminta anak aku bercerita secara detail aku menelefon ustazah. Memaklumkan apa yang terjadi. Dalam serba salah aku beritahu niatku yang bukan mahu menyalahkan sesiapa. Mujur ustazah memahami niatku. Selepas membuat panggilan memang hatiku rasa sangat tak sedap. Walaupun tindakan pelajar itu salah, tapi aku takut juga andai pelajar itu menerima hukuman. Bagiku, dengan umur di peringkat sekolah rendah ini, pengajaran mana yang baik dan mana yang salah itu lebih baik dari hukuman.

Bila dah mengadu terasa macam-macam yang menerpa dalam kepalaku. Tapi lepas bertenang seketika, aku tahu aku dah buat perkara yang betul. Pertamanya, kerana bukan setiap masa anak kita mahu mengadu perkara yang berlaku di sekolah kepada kita. Jadinya bila sesekali mereka mengadu dan tiada tindakan selanjutnya dari kita, aku takut anak-anak akan mengelak untuk mengadu lagi di lain kali. Keduanya, bila aku terus diamkan, aku takut anak aku sangka perkara itu adalah perkara biasa dan mereka juga boleh bergurau begitu pada orang lain. Ketiganya, bila ada sesetengah perkara yang mereka adukan mendapat perhatian dan sesetengah darinya tidak dihiraukan, aku mahu mereka tahu yang ada perkara yang perlu di ambil tindakan. Ada perkara yang tidak perlu. Jadinya aku mahu mereka cuba elakkan dari mem perbesarkan perkara yang kecil. Yang penting mengadu ikut keperluan dan kebaikan bersama. Bukan mengadu kerana sakit hati dan dendam.

Wednesday, May 18, 2011

Aku, guru dan cita-cita..

Sambutan Hari Guru yang baru berlalu membuatkan aku teringatkan cita-citaku yang mahu menjadi guru dulu. Kiranya dari sekolah rendah sampailah ke sekolah menengah. Kalau tanya cita-cita tu memang jawapannya nak jadi guru. Sebab apa? Sebabnya kalau orang tanya kenapa nak jadi guru senang nak bagi jawapan. Waktu tu bolehlah jawab nak didik anak bangsa. Nampaklah macam ambitious sikit he..he.. Tapi itulah, bila tiada kesungguhan, rezeki pun berat nak lekat. Cita-cita sekadar menjadi cita-cita untuk menjawab pertanyaan orang. Bukan kemahuan sebenar yang lahir dalam diri untuk menjadikan cita-cita itu sesuatu yang realiti.

Waktu lepas SPM dulu aku ada memohon untuk masuk Maktab Peguruan. Waktu exam bertulis memang aku pergi. Ingat lagi, redah saja sorang-sorang untuk ambil exam tu sebab kawan-kawan lain tak berminat nak apply sama. Beberapa bulan selepas tu, ada juga dengar teman sepejabat ambil cuti untuk pergi interview masuk maktab. Bila aku tidak mendapat surat panggilan, jadinya aku sangka aku tak layak untuk dipanggil temuduga. Mungkin ujian bertulis yang ku ambil tidak begitu baik keputusannya. Namun rupa-rupanya, aku juga layak untuk menghadiri temuduga tersebut. Tapi aku hanya menerima surat panggilan temuduga tersebut beberapa hari selepas tarikh temuduga. Terlepas 2 atau 3 hari rasanya.

Sudah bukan rezeki agaknya. Maka aku tidak berkesempatan untuk menghadirinya. Waktu itu, surat kat tempat tinggal aku tidak terus sampai ke rumah. Semua surat akan ditinggalkan di kedai runcit. Ini kerana waktu dulu, kawasan tempat tinggal aku tiada nama jalan yang sempurna. Jadi agak susah bagi posmen untuk hantar surat dari rumah ke rumah. Dan aku pula tidak terfikir untuk pergi check surat setiap hari di kedai. Memang salah aku sebenarnya di tambah dengan rezeki yang tidak menyebelahi. Waktu itu tiada pula rasa sedih walaupun tetap juga ada rasa ralat. Mungkin kerana jiwaku tidak sepenuhnya mahu menjadi seorang guru. Makanya aku tidak memohon lagi selepas itu. Dan cita-citaku untuk menjadi guru sekadar menjadi cita-cita zaman persekolahan yang tidak kesampaian.

Begitulah kehidupan kita ini. Tak semua yang kita hajati menjadi seperti yang kita kehendaki. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Tiada yang lebih baik dari perancangan Allah untuk kita. Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Pengajaran yang aku dapat dari kisah lalu mengajar aku untuk lebih ikhlas dan bersungguh dalam mengejar cita-cita. Agar cita-cita tidak sekadar menjadi impian.

Monday, May 16, 2011

Kelmarin, semalam dan hari ini yang seronok..

Hari sabtu lepas jadual pack sampai malam. Pagi tu pergi kelas akidah kat surau. Selalunya drive jadi tak terasa. Tapi Hari sabtu tu kena jalan kaki sebab en.asben guna kereta bawa Han pergi JPN buat IC.  Kereta lagi satu makcik pinjam sebab keretanya accident. Semput juga berjalan padahal nampak macam dekat. Faktor umur kot.. he..he..

Balik tu lepas letih berjalan berkejar pula siapkan makanan tengah hari sebab ada makcik nak datang. Lepas masak tu keluar kejap ke rumah jiran lama. Dia ada buat kenduri aqikah, persaraan dan pembukaan Homestaynya. Jemputan pukul 11 pagi tapi lepas zohor baru kami sampai. Jadinya walaupun dan siap masak kat rumah, tapi kami makan nasi beriani kenduri juga tengah hari tu. Alhamdulillah.. rezeki.

Sampai rumah lepas kenduri, adik aku dah ada kat rumah. Tak beberapa lama tu ada pula saudara dari Klang call kata mereka ada kat Bangi dan nak singgah rumah. Sebab tak tahu rumah terpaksalah mak dan adik aku pergi menjemput kat masjid. Masa mak dan adik pergi jemput tetamu dari Klang, makcik aku yang dari Melaka yang memang kata nak datang tu sampai. Elok duduk-duduk kejap, makcik aku sekeluarga yang kat Bangi pula singgah.

Penuhlah rumah petang tu. Mula-mula jamu kuih. kemudian sebab lauk memang dah tersedia, ajak makan nasi sekali walaupun dah dekat pukul 4. Aku memang suka kalau orang datang rumah. Rasa seronok bila rumah riuh-riuh. Penat melayan tetamu pun tak terasa. Lepas tetamu dari Kelang dan makcik dari Bangi pulang, kami bersiap-siap pula sebab nak menemankan (atau lebih tepat lagi nak tunjukan jalan) makcik aku pergi menjemput.

Dari Bangi sampailah ke Putrajaya. Dah settle semua pergi rumah adik aku di Kajang pula. Dah duduk lepak, borak-borak dan makan-makan, lewat juga baru sampai ke rumah. Semalam, pagi dok kemas-kemas rumah, iron baju bagai. Lepas tu buat puding roti sikit sebab nak bawa pergi rumah mak mertua. Ada majlis harijadi anak buah. So semalam penuh jugalah rumah mak mertua dengan tetamu. Dan bila ada tetamu memang aku seronok.

Hari ini walaupun badan rasa letih, tapi rasa seronok juga. Bukan sebab hari ni cuti dan ada tetamu datang rumah. Hari ini aku kerja. Tapi aku kalau hari berkerja yang esoknya cuti memang selalu rasa seronok.. he..he.. Selamat bercuti untuk  semua esok. Selamat Hari Guru juga buat teman-teman blogger yang bergelar guru. Tentu best hari ni sebab penuh tangan bawak balik souvenir. Seronok... 

Thursday, May 12, 2011

Sampai ke tualah naik motor tu...

Beberapa minggu sudah dapat e-mail dari kawan dengan attachment gambar orang sedang menyamun kat tengah kesesakan jalan raya. Selamba dek saja dalam kesesakan tu si penyamun pecahkan cermin salah sebuah kereta yang tersekat, ambil handbag dan terus blah. Muka takde riak bersalah langsung. Tadi pun ada terbaca juga cerita orang kena ragut. Aduhai.. sakit hati betul bila melihat dan mendengar cerita-cerita yang sebegitu. Memang lebih menyedihkan bila yang menjadi penyamun dan peragut ini ialah anak bangsa kita yang muda belia.

Teringat masa aku kena samun dulu. Yang menyamun pun anak bangsa kita. Motor cantik. Baju kemas siap pakai jaket lagi. Tapi perangai... (aku tak tergamak nak teruskan). Rasa mengigil-gigil badan ni tahan rasa geram bercampur terkejut waktu itu. Dada ni jadi sebak semacam sebab nak menangis tapi tak boleh. Nak menyumpah pun rasa tak tergamak. Mulut ni asyiklah ulang kata kesian kat mak ayah yang dapat anak macam tu.

Tak sampai hati nak menyumpah sebab yang buat tu anak bangsa kita. Lagi tak sampai hati bila terfikir tentu saja ibu dan bapanya mendoakan yang baik-baik untuk anak itu. Tapi kita pula mahu menyumpah seranahnya. Selepas dua tiga hari barulah segala rasa yang bercampur baur itu hilang. Pada ketika itu bila teringat balik memang jadi geram sangat. Padahal memang hati ni dah berkali dok ingat, bukan rezeki aku lagi semua barang-barang yang diambil itu. Tapi iyelah, kadang tu hati ni tetap ada rasa tak puas hati juga.

Maka dalam hati terdetiklah ayat, sampai ke tualah kau naik motor tu. Waktu itu rasanya ayat itu adalah lebih baik dari mendoakan perkara yang lebih buruk dari itu. Tapi sekarang ini bila ingat balik rasa tak patut juga cakap macam tu. Kalau dah kahwin nanti takkan selamanya dia nak bawa isteri dan anak-anaknya naik motor. Rasa tak sampai hati pula. Jadinya terus doakan yang baik-baik untuknya. Dengan harapan dia tak ulangi perkara yang sama. Dan benda yang sama tak berlaku pada orang lain.

Kita ni macam ini lah kan. Nak menyumpah pun tak sampai hati. Asyiklah fikir kesian kat orang. Tapi orang-orang yang macam tu langsung tak kesian kat diri sendiri. Langsung tak kesian kat ibu ayah mereka agaknya. Langsung tak kisah kalau orang menyumpah pun. Buat jahat tanpa rasa bersalah. Lepas tu tak kisah nak terus mengulanginya.  Sedih betul. Terkilan pun iye juga.

Harap-harap anak-anak kita menjadi anak-anak yang terjaga akhlaknya. Minta dijauhkan dari segala kejahatan.

Wednesday, May 11, 2011

Cerita pasal Facebook..

Hari tu dapat sms dari seorang teman lama. Amboi, sombongnya sekarang. Orang add dia kat FB pun taknak approve. Alamak, sian akak tu. Iyelah, dia baru join FB. Tentulah nak tambah bilangan kawan. Tetiba kawan lama dia ni pulak buat tak layan. Tentulah dia terasa. Cepat-cepat aku balas smsnya dan cerita hal sebenar. Minta maaf padanya dan kata aku akan approve nanti.

Hari tu  juga, teman sepejabat beritahu. Kak, malam  tadi saya nak chat dengan akak, tapi jawapannya... Mama dah tidur. Ini anak dia. He..he.. Alahai, ini tentu anak-anak aku tengah main games kat FB tu. Takut orang kata mamanya sombong, terus dia orang tolong reply.

Hari tu juga, mak mertua aku bercerita yang ada majlis kenduri di kampung. Mak mertua aku bertanya, aku tahu tak tentang itu, sebab sepupu en.asben ada jemput kat FB. Memang sekarang ni kalau menjemput di FB memang aku tak maklumlah jawabnya.

Semalam, ada pegawai yang datang berkursus kat tempat aku. Kat atas meja aku memang ada lekat nama penuh. So, pegawai tu tanya, nama penuh ni guna kat FB ke? (Pegawai tu dah pangkat pakcik-pakcik pun. Cara dia layan pun macam ayah layan anak gitu.) Memanglah jawapannya ye. Tapi sebab situasi sekarang ni, maka aku jawab tidak. Takut-takut kalau dia add nanti dan aku tak approve dia akan kecil hati pula.

Perkara-perkara yang kat atas tu berlaku kerana sekarang ni memang jarang benar aku on FB. Rasanya last aku buka masa birthday aku dulu sebab nak balas ucapan dari teman-teman. Itupun selepas beberapa bulan juga tak sentuh FB ni. Memang sekarang ni mood nak ber FB dah ke laut. Kawan-kawan yang sama-sama aktif dulu pun dah ramai tak aktif juga walaupun masih ada lagi segelintirnya yang masih kekal aktif sehingga sekarang.

U all pula masih aktif lagi ber Facebook ke? 

Monday, May 9, 2011

Bila birthday card jadi wedding card..

Semalam Hari Ibu. Hari ini hari ulangtahun perkahwinan aku dan en. asben pula. Dah 13 tahun kami berkongsi hidup. Alhamdulillah.. Allah memberikan aku insan yang dapat aku berkongsi segala-gala bersamanya. Tiada yang teristimewa selainnya di hati ini. I love you so much sayang. Thank you for the wonderful years. Semoga kasih sayang kami berkekalan hendaknya. Dan semoga kehidupan kami sekeluarga sentiasa dirahmati dan diberkati olehNYA.

Kami berkenalan pada tahun 1994. (Off course en.asben yang tackle I dulu.. ha..ha..) Bertunang pada tahun 1997 selama setahun. Mendirikan rumahtangga pada 9 Mei 1998. Waktu itu aku berumur 22 tahun dan en.asben berumur 27 tahun. Kami berbeza 5 tahun. Kami sama-sama bersekolah di Kajang tapi tak pernah jumpa sebelum itu. Ini kerana masa aku darjah 6 en.asben dah form 5. Takkanlah abang form 5 nak tackle budak darjah 6 kan. Tak kiralah walau  macam mana cun pun budak darjah 6 tu masa tu he..he..

Kami pernah berkerja di tempat yang sama. Walaupun berlainan department, tapi kami pernah berkongsi boss yang sama. Jadinya peluang en.asben untuk tackle aku jadi lebih mudah sebab aku selalu saja pergi kat ofis dia untuk jumpa boss. His second boss pun punyalah sibuk suruh en.asben tackle aku. Siap kalau dia nampak aku dapat bunga ke, atau ada orang yang cakap-cakap dengan aku dia pergi report kat en.asben. Dia pulak yang risau. Walaupun en.asben memang dah aim masa first time aku datang ambil offer letter kat syarikat tu lagi.

So, this is our wedding card. Rasanya en.asben bagi aku beberapa folder untuk pilih wedding card ni. Punyalah aku rambang mata nak memilih. Elok dah pilih, en.asben tak berkenan pula. Iyelah, banyak benar yang dia tak mahu. Taknak yang ada bau. Taknak yang kertas kilat. Taknak yang gambar bunga-bunga. Sudahnya pilih yang ini. Warna pun ikut wana kegemarannya which is blue. Kad ini sebenarnya ialah birthday card. Tapi sebab dah suka makanya bertukarlah birthday card ini menjadi wedding card kami. And I like it so much.
For me, it is sweet & simple..  Macam en.asben juga.

PS to en.asben : This is my version, so u tak perlu nak beri keterangan lain yer sayang. Just agree and smile with my version would be nice... luv u.




Saturday, May 7, 2011

Cerita anak-anak dan Ikhtiar Hidup..

Tadi kan mama, masa kat sekolah ada orang dewasa tu tanya baby dewan kat mana? Lepas tu baby tunjukkan arahnya sebab baby dah tahu dewan tu kat mana sebab kawan baby dah cakap..

Dengan penuh seronok Az bercerita. Tentunya dia seronok sebab dapat menghulurkan bantuan. Maknanya dia dah tahu untuk menghargai nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri setiap orang.

Dalam kelas tadi kan mama, cikgu tanya ABC macam A untuk apa, B untuk apa. Bila tiba M kan mama, baby cakaplah M untuk mumia. Lepas baby cakap mumia aje, terus cikgu bercerita pasal mumia dalam kelas.

Dengan penuh seronok juga Az bercerita. Tentulah dia bangga sebab jawapannya memberi idea untuk cikgunya bercerita tentang itu. Maknanya dia tahu, yang tak ada ruginya untuk dia menambah pengetahuan tentang sesuatu. Walaupun ianya tidak berkait dengan mata pelajaran di sekolah.


Mama tahu tak, badan penguin yang berwarna hitam di belakangnya tu dapat menyelamatkannya dari diburu. Sebab bila penguin masuk dalam air, warna belakang badannya tu sama gelap dengan laut.  Kata Is.

Mama tahu tak mama, gigi badak tu lebih kuat dari buaya dan ikan jerung. Kata Az.

Masa tengok animal planet channel malam tadi, sambil tengok rancangan tu, sambil anak-anak berkongsi ilmu denganku. Banyak juga info yang aku sendiri tidak tahu tapi anak-anak sudah maklum. Semuanya mereka dapat dari pembacaan. Memang penting sangat memilih bahan bacaan yang baik untuk anak-anak. Selain dapat menanam minat membaca, pengetahun juga lebih mudah diserap bila bahan bacaan itu memenuhi citarasa mereka.
 
Aku dapat lihat kesannya pada anak-anak selepas mereka berminat dengan
buku komik Ikhtiar Hidup. Selain info dan ilmu, nilai-nilai murni dalam diri anak-anak pun ada peningkatan. Patutlah buku komik Iktiar Hidup ni laris bebenar. Memang sesuai untuk bahan bacaan sampingan anak-anak.

   
Komik Ikhtiar Hidup
(Gambar pinjam dengan en.google..)

*Penghargaan buat Guru-guru di Sekolah Kebangsaan dan Ustaz Ustazah di Sekolah Kafa.. Tanpa bantuan mereka, aku tak mampu nak didik anak-anak sebaiknya. Banyak ilmu pengetahuan dan moral berguna  yang anak-anak dapat dari mereka. Terima Kasih.

Friday, May 6, 2011

Tak sopan atau aku yang berlebihan..

Salam hari jumaat untuk semua.

Aku ada cerita lama. Saja nak berkongsi di sini. Saja nak tahu pandangan orang lain juga. Mana tahu bila mendengar pendapat orang lain, pandangan kita juga akan lebih luas dan terbuka. Kadang kala, mungkin kita saja yang rasa sesuatu perkara itu tak betul. Sedangkan pada orang lain perkara itu hanya perkara biasa yang tiada salahnya.

Waktu adik ipar aku meninggal dunia 9 tahun lalu, ramai yang datang menziarahi rumah keluarga arwah. Saudara mara kami. Saudara mara keluarga arwah. Teman-teman arwah dan teman-teman adikku. Rakan sekerja arwah dan rakan sekerja adikku. Memang penuhlah kawasan rumah. Tambahan pula ayah arwah merupakan mahaguru silat. Maka ramai jugalah anak-anak murid silat ayahnya yang turut datang menziarah.

Waktu menghantar ke kuburan pun masih ramai juga yang ikut serta. Hari itu, selain arwah adik iparku ada juga kematian lain di tempat itu. Kuburannya pun sebelah menyebelah. Waktu pengkebumiannya juga sama. Selesai urusan pengkebumian, makanya tibalah masanya untuk talkin di baca. Bila ada dua jenazah, makanya tentu saja ada giliran. Yang pertama talkin dan doa untuk arwah yang lagi satu tu. Kami ramai-ramai turut sama-sama memberi perhatian, mendengar dan mengaminkan doa.

Selesai doa dan talkin untuk arwah yang pertama barulah giliran arwah adik iparku pula. Pada waktu ini keluarga arwah yang pertama itu sudah mula mengambil giliran untuk menyiram air dan menabur daun pandan di pusara. Bayangkan, talkin dan doa untuk arwah adik iparku masih di baca, mereka sudah sibuk untuk selesaikan urusan mereka. Tentulah keadaannya sedikit terganggu. Waktu doa sedang dibaca mereka sudah beransur-ansur meninggalkan kawasan kuburan. Waktu itu hatiku sudah terdetik satu perasaan lain.

Sedangkan waktu sebelum tadi kami semua menghormati giliran mereka.  Kami semua sama-sama memberi perhatian, mendengar dan mengaminkan doa. Mungkin mereka ada urusan lain yang menunggu di rumah. Tapi pada aku, perbuatan sebegitu sangat tidak sopan. Apalah salahnya setakat menunggu doa selesai dibaca. Bukannya perlu menunggu sehingga segalanya selesai pun. Kalau tidak menghormati kami mahupun arwah yang sudah bersemadi, hormatlah sikit pada doa dan talkin yang di baca.

Pada aku bukannya soal membalas perbuatan kami yang menjadi halnya. Tapi sikap menghormati orang lain itu yang pada aku bagaikan tiada pada mereka. Langsung tak peka dengan keadaan dan tidak mahu mengambil kira tentang hubungan dengan orang lain. Terfikir juga di kepala, mungkin mereka keburuan waktu. Tapi bila aku cuba letakkan situasi bagaimana kalau mereka mendapat giliran yang kedua. Adakah mereka akan meninggalkan tempat itu dengan segera juga? Aku dapat rasakan mereka akan boleh menunggu sehingga segalanya selesai.

Satu yang aku pasti, kalau aku di tempat mereka, pastinya aku akan tunggu sehingga talkin dan doa selesai di baca sebelum beredar. Tapi itulah.. cara, sikap dan pembawakan setiap orang berbeza. Semuanya mengikut cara kita dididik dan terdidik...

**Hari ni mood aku down sikit kerana kerinduan sebab en.asben takde sampai ahad. En.asben pergi ikut ayah mertuaku buat research tentang something kat Thailand malam semalam. Takpelah, dia nak merasa. Lagi pun bila lagi nak merasa pergi tempat macam tu. Take care sayang.

Thursday, May 5, 2011

Takut kucing...

Kucing itu binatang kesayangan Rasullulah SAW. Aku memang tahu tentang perkara itu. Tapi tak tahu kenapa, aku memang takut dengan binatang yang comel lagi manja ini. Binatang yang pernah menjadi faveret pet arwah ayah juga en.asben.

Takut yang bagaimana??? Hmmm... aku tak kisah kalau dia nak lalu-lalu tepi aku asalkan jangan dia menghala direct ke arah aku. Aku juga seram bila dia cuba menggeleser kat kaki. Tak tahu kenapa, bukan tak suka tapi lebih kepada perasaan takut dan geli.

Ingat lagi masa kecik-kecik dulu, tiap kali balik kampung pada musim raya mesti aku akan demam. Mana tidaknya, sepupu-sepupu, pakcik makcik dan adik beradik semua tahu aku takutkan kucing. Jadi dia orang sengaja buat naya letak-letak kucing tu kat aku. Acah-acah nak bagi kucing tu kat aku. Apalagi menjerit tak ingatlah aku. Mencecet berpusing lari dalam rumah tok yang tak sebesar mana tu dek ketakutan yang amat sangat.

Masa nak pergi sekolah pun bila ada anak-anak kucing yang ikut aje langkah kaki aku, mulalah aku jadi tak boleh nak bergerak. Takut anak-anak kucing tu mendekat and bergesel dengan kaki atau kasut aku. Mulalah menjerit-jerit panggil mak yang masa tu tengah banyak kerja lain dan memang malas nak layan kerenah penakut aku tu. Sudahnya jadi atlit 100 meter sekejaplah aku berlari meninggalkan anak-anak kucing yang terngiau-ngiau tu. Aduhai bukannya aku tak suka kat kucing tu tapi sungguh aku seram. Seriau...

Masa zaman dating-dating dengan en.asben dulu, pernah ada kes juga. Waktu tu kami pergi makan kat sebuah restoran ni. Sementara menunggu makanan sampai kita pun chitchat penuh mesralah. Tetiba, rasa ada cuitan di tepi aku. Tengok-tengok ada seekor kucing ni tengah cuba nak panjat naik atas ribaku. Apalagi, kelam kabutlah aku bangun dari kerusi sambil terjerit ketakutan. Benggang betul en.asben dengan aku waktu tu.

Nasib baik kerusi dengan meja tak terbalik. Kalau tidak, agaknya aku dah kena tinggal kat situ. Manakan tidak, semua orang mengeleng-geleng bila tengok aku iye-iye menjerit hanya sebab kucing nak bermanja. Kononnya macam aku ni sesaja nak cari publisiti murah. Mengada-ngada nak tunjuk manja bila buat aksi lawak macam tu. Tapi sungguh, aku bukannya buat-buat. Aku memang takut dan terkejut giler.

Kucing tu pun satu, punyalah ramai orang kat tempat tu, kat atas peha aku juga dia nak usha dan nak landing grrrr... Terasa macam nak meleleh air mata ni. Dah lah kucing tu sergah aku tak beri salam. Ngiau-ngiau ke dulu. Bolehlah aku prepare apa yang patut. Boipren aku pulak boleh buat muka tak puas hati sebab aku beria-ia takut dengan kucing (Masa tu dia tak tahu lagi yang aku bukannya takut yang gitu-gitu, tapi takut giler dgn kucing ni) Memang tak boleh lupa.


Pagi tadi masa bersiap nak pergi kerja aku cerita kat en.asben tentang Is, anak lelaki kedua dia tu yang penakut tak ingat. Macamlah kat rumah ni ada hantu. Bayangkan, bila nak mandi pagi kat bilik dia, dia boleh terjerit-jerit nangis panggil adik dia Az minta temankan. Sedangkan aku sedang gosok baju kat bilik aku yang mengadap betul-betul ke bilik dia. Bukannya jauh benar pun. Bilik air itu pun kat dalam bilik dia aje, bukannya kat luar rumah.

Dengan selambanya en.asben back up anak dia. Alah dia memang takut nak buat macam mana. Macam u jugaklah. Takut sangat kat kucing. Itukan cuma kucing, bukannya harimau yang boleh makan u pun... Ish..ish..ish tak pasal-pasal aku pulak yang terkena. Itulah ceritanya bagaimana isu takut kucing boleh jadi post. You all pulak takut apa yer?

*Entry 1 Julai 2010 yang aku recycle semula kerana dulu tiada orang pun yang baca...

Kesetiaan yang makin pudar..

Sebelum ini...
Bila ada yang mula berpaling, hatiku masih teguh bersamamu. Bila ramai yang meminggir aku masih juga terus setia denganmu. Bila ramai yang mencemuh, aku masih lagi terus-terusan mempertahankan kehebatanmu.

Tapi pagi ini...
Hatiku mula goyah. Aku tidak pasti sama ada aku juga akan turut sama berpaling seperti yang lain. Aku tak tahu sama ada aku masih mampu untuk setia padamu. Aku tahu kau hebat, tapi poketku bukannya sentiasa padat dengan isi yang lebat. Ini kerana, aku bukannya anak tokoh korporat. Bukan juga dari keturunan aristokrat.

Malas aku mahu berbincang dengan en.asben. Kerana aku tahu komen yang bakal aku terima darinya pastilah Ma, ianya masih yang terendah di dunia. You kena ingat tu dan you patut bersyukur..

Aku pasti aku akan sentap mendengarnya. Ini kerana en.asben  suka sekali mengulang sebut  statement yang selalunya terbentang di dada akhbar dan di kaca TV bila isu ini menjadi topik bicara.

RON97 akan naik LAGI kepada RM2.90 bermula malam nanti. Dan kesetiaanku padanya kian pudar. Maafkan aku enjin keretaku. Yang terbaik itu mungkin tidak lagi akan menjadi milikmu. Harap-harap kau faham dengan situasi ini dan masih dapat mengekalkan prestasimu.

Wednesday, May 4, 2011

Si pencuri masa...

Dah berapa hari dah tertangguh. Oppppsss bukan setakat berapa hari. Dah berapa minggu dah ni. Sebenarnya ada perkara yang aku kena mulakan. Tapi sampai hari ni tak dapat nak mulakan lagi. Rasa macam malas nak mula sedangkan dalam kepala ni hanya terfikir tentang perkara itu. Buat ini teringat perkara itu. Buat itu teringatkannya juga.

Betullah orang kata kan. Bertangguh itu pencuri masa. Selagi kita terus bertangguh, selagi itu jugalah kerja kita tak berjalan. Bila sudah tidak berjalan, bila pulalah mahu selesainya. Terasa rugi betul bila tidak menghargai masa yang ada sedangkan aku tahu masa terus berjalan. Pergerakkan masa pula dengan kadar yang pantas pula tu.

Masa yang dah berlalu tak mungkin akan mengundur semula. Aku tahu tentang itu. Tapi selagi aku tak merenung tentang semua itu, aku jadi terleka untuk menghargainya. Harap-harap aku dapat mulakan segalanya hari ini. Tiada lagi bertangguh-tangguh. YES.. aku pasti aku boleh melakukannya. Memulakan sesuatu yang amat perlu aku mulakan tanpa bertangguh lagi. Semoga segalanya berjalan lancar selepas ini.

** Ini adalah entry terpantas yang pernah aku buat setakat ini. (16 minit..) Selalunya 3, 4 jam baru siap 1 entry.

Tuesday, May 3, 2011

0.02 mm

Amboi... tajuk entry macam iklan saiz berus gigi systema aje. Tapi sememangnya aku nak cerita pasal berus gigi tu pun. Ini kerana aku sudah jatuh cinta dengannya eh..eh dengan ia. Last few weeks masa beli barang dapur en. asben beli berus gigi systema dengan berus bersaiz kecil tu. Aku pun dok kata Eh.. you pun terpengaruh dengan iklannya ke? Bila en.asben beli aku macam jeles tapi tak beli juga sebab teringat stok berus gigi kat rumah masih banyak. Biasalah, kalau membeli tu suka nak buat stok. Jadinya ada berbatang-batang lagilah berus gigi baru kat rumah.

Bila masuk bilik air asyiklah terpandang berus gigi baru en.asben tu. Aduhai, memang nampak macam best. Jadinya masa membeli barang dapur minggu sudah, aku pun mencapai berus gigi systema 0.02 mm tu juga tanpa menghiraukan stok yang ada kat rumah. Setelah menggunakannya memang aku rasa cukup berbaloi mengenepikan stok berus gigi yang sedia ada. Ini kerana memang puas hati menggunakannya. Terasa macam berus gigi tu boleh buat dua kerja sekali. Iaitu memberus sambil floss gigi kita. Memang terasa lebih bersih gigi dan gusi. Dengan harganya yang sangat berpatutuan memang aku tahu berus gigi itu akan jadi pujaan hatiku selepas ini.

Macamkan dapat elaun pula aku dok promote berus gigi Systema 0.02 mm kat sini he..he.. Tapi takpelah, kat blog ni aku nak cerita perkara-perkara dan benda-benda yang aku suka. Jadinya tak salah kalau aku nak bercerita walaupun tak dapat apa-apa. Lagipun benda yang baik kenalah kongsikan bersama. Mana tahu korang pun akan jatuh cinta dengan ia sepertiku juga.

Motto entry ni :  Gigi sihat, Senyuman menawan.. ha..ha..