Nuffnang

Friday, July 29, 2011

Suasana yang indah itu..

Hari ini ada pot luck lagi di office. Bila nak sambut ramadhan ni memang kebiasaannya meriah dengan acara makan-makan. Nyum-nyum penuh perut. Alhamdulillah syukur. Hari ni tak bawa makanan yang berat-berat. Cuma puding roti saja. Sempatlah balik kerja semalam, kelentang kelentung kat dapur cepat-cepat sebab nak kejar tengok bola kat TV malam tadi. KFCM memang man of the match kan. Walaupun kalah tetap bangga juga dengan pasukan Malaysia.

Okey, taknak cerita pasal bola.  Nak cerita pasal ramadhan dan puasa pula. Anak-anak dah excited menghitung hari nak mula berpuasa dan solat tarawikh. Berbeza sungguh dengan aku dulu. Kalau aku waktu kecil dulu lebih excited menghitung hari untuk raya he..he.. Nasib baik tak menurun pada anak-anak. Kalau menurun tentu en.asben cakap, ikut u lah ni ma.. ha..ha..

Bila bulan puasa seronok rasanya. Indah sangat suasananya. Bangun sahur tetap berselera nak makan sebab hidangannya selalu ringkas dan sedap. Di rumah kami sahur tak pernah tinggal. Menjelang petang, emak dah mula menyiapkan meja makan. Pinggan dan gelas sudah berada di tempatnya. Kurma juga sudah tersedia di atas meja. Lauk-pauk yang pelbagai rasa, warna dan jenis terhidang kemas di bawah saji. Bubur dan kuih muih di saji kecil di sebelahnya. Air minuman sudah tersedia di dalam peti sejuk. Buah-buahan yang sudah siap dipotong juga disejukkan di situ.

Sambil menunggu waktu berbuka semuanya berteleku di depan tv. Menonton drama berkaitan ramadhan dan mendengar bacaan ayat suci Al-quran yang dialunkan merdu di kaca tv. Sama-sama menunggu azan maghrib, membaca doa berbuka puasa dan doa makan bersama. Siap menikmati juadah berbuka semuanya sama-sama membantu mengemas meja seadanya. Kemudian bergegas untuk menunaikan solat maghrib pula. Selepas itu bersiap-siap untuk bersolat tarawikh di surau.

Setiap hari di bulan ramadhan begitulah keadaannya. Aku sukakan suasana itu. Dan sekarang ini, anak-anak sangat menunggu suasana seperti itu juga. Indahnya ramadhan. Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak untuk semua. Semoga puasa dan amalan kita diterima olehNYA. InsyaAllah.

Thursday, July 28, 2011

Komen yang menarik..

Aku ni suka membaca. Tak kira entry panjang atau entry pendek memang aku layan semuanya. Suka nak tahu cerita sampai habis. Selain membaca entry, komen-komen untuk setiap entry itu pun bila berkesempatan aku suka baca juga. Seronok juga baca komen-komen orang lain untuk entry yang kita baca tu. Komen-komen untuk entryku memang paling aku suka baca.

Aku selalu rasa kagum dengan idea-idea orang dalam memberi komen. Ada yang sangat bernas. Ada yang sangat kreatif. Ada yang sangat kelakar. Dan tak kurang juga yang sangat membina. Ada juga komen yang off topik tapi tetap menarik komennya untuk kita baca. Bijaknya. Bila baca komen-komen orang lain, selalu rasa macam bagusnya komen dan idea mereka ni.

Aku ni bab-bab memberi komen memang selalu lemah sikit. Selalunya memang beri komen yang skema dan terus pada isu. Tak pandai nak buat yang kreatif macam orang lain. Bila sesekali idea keluar barulah komenku lain sikit dari biasa. Tapi memang jarang-jarang sangat berlaku.

Rasanya bukan saja untuk buat entry. Nak beri komen pun kena ada idea yang baik untuk menjadikan komen itu menarik. Kena ada bakat juga untuk memberi komen ni kan. Untuk itu, aku memang kena angkat tangan awal-awal sebab aku memang tak berbakat dalam memberi komen ni. Kena menuntut ilmu memberi komen dari yang pakar ni he..he..

Wednesday, July 27, 2011

Tuesday, July 26, 2011

Cara emak...

Teringat lagi waktu dulu-dulu. Selepas arwah ayah meninggal, emak terpaksa bekerja untuk menyara kami. Jadinya petang-petang bila jiran lain bersembang di luar, emak jarang menyertainya. Bukan kerana anti sosial. Tapi sebab penat, emak lebih suka mengambil peluang merehatkan dirinya di dalam rumah. Makanya, hanya sekali sekala saja emak berkesempatan menyertai meraka yang lain.

Bila sesekali bersembang emak selalu ketinggalan cerita. Tapi rasanya emak tak rugi apa-apa sebab cerita yang ketinggalan itu hanyalah kisah-kisah orang yang tak tahu kesahihannya. Satu yang aku ingat tentang emak ialah, bila orang lain bercerita tentang anak orang itu, anak orang ini. Emak pula akan bercerita perihal anak-anaknya. Contohnya jika orang bercerita, anak orang tu tak pandai masak pun dah nak kahwin. Cerita emak pula selalunya, samalah dengan budak-budak kat rumah ni, masak pun tak tahu lagi.

Jarang benar aku dengar emak menyampuk bercerita kelebihan anak-anaknya sendiri. Apatah lagi menambah kekurangan anak orang lain.  Aku juga pernah dengar emak kata yang dia takut sangat nak cerita hal anak orang sebab dia pun ada anak. Sudahlah semuanya perempuan yang sedang naik. Tak tahu macam mana kesudahannya nanti. Jadinya sebagai langkah berjaga-jaga, agaknya bagi emak lebih baiklah andai dia  tidak mengutuk anak orang lain disamping tidak mencanang kelebihan anak sendiri yang boleh membuatkan orang merasa tidak senang hati.

Masa dulu memanglah aku rasa macam tak seronok. Emak macam tak pernah nak memuji kami. Macam kami ini tiada kelebihan. Asyiklah bercerita tentang kekurangan kami. Tapi bila fikir balik ada juga kebaikannya. Sekurang-kurangnya harapan dan pandangan orang pada kami tidaklah tinggi. Sebab bila kelebihan dicanang pastinya orang akan cuba mencari keburukannya. Makanya nanti pastilah akan timbul cerita lain yang pastinya tidak sedap didengar oleh telinga kita tapi menarik bagi orang lain. (Sekarang ni, dari cerita emak aku dapat rasa emak selalu bangga dengan kami. Perkara yang baik-baik tentang kami walaupun tidak sebesar mana tetap masuk dalah cerita emak.)

Sekarang ini, sikap kami banyak diwarisi dari emak. Kalau kami bertiga bercerita dan masuk bab orang mestinya respond dari kami. Hmmm.. ye ke. Dan cerita itu akan habis di situ saja. Jarang benar aku dengar adik-adik aku menambah dan memberi komen. Aku juga selalunya begitu. Tak berapa suka nak memanjangkan cerita yang tiada kaitan dengan kami. Sebabnya aku selalu teringat cara emak yang beringat sebelum nak bercerita mengenai orang. Kita pun ada keluarga dan anak sendiri. Cerita orang jadikan tauladan. Nak mengata tak berani. Sebab takut-takut nanti terkena atas batang hidung sendiri. Minta dijauhkan. 

Jadi, daripada berkisar tentang orang, lebih baiklah kami berbicara tentang cerita kami sendiri. Itu adalah lebih baik. Bukanlah tak pernah bercerita mengenai orang lain dengan adik beradikku. Pernah tu pernahlah juga. Namanya pun manusia yang tak sempurna. Tapi selalunya tak dapat diteruskan bila respond yang diterima tidak memberangsangkan. Kalau sekadar Hmm.. oh ye ke. Kita nak sambung bercerita pun rasa tak selesa. Tapi baguslah begitu. Setidak-tidaknya kami cuba mengelak dari bercakap tentang orang lain yang tak membawa kebaikan untuk kami. Terima kasih emak. Cara emak menjadi ikutan kami.

Monday, July 25, 2011

Penyeri hidupku...

Tentu ramai yang dah menonton Transformers di pawagan kan. Kami sekeluarga masih tak berkesempatan lagi. Untuk 2 filem Transformers yang sebelum ni memang kami tak ketinggalan. Tapi untuk yang terbaru ni tak tahu bila nak pergi menontonnya. Anak-anak dah mengajak juga. Tapi entah bila dapat meluangkan masa. Hujung minggu asyik penuh saja aktiviti dengan majlis keluarga dan hal-hal yang perlu didahulukan.

Antara ketiga-tiga anakku, si bongsu Az yang paling berminat dengan Transformers ni. Rasanya semua nama-nama watak dalam Transformers tu dia tahu (aku sendiri pun tak kenal he..he..). Hari tu Han ada tunjukkan aku kertas karangan Az yang terselit di bawah meja, bertajuk Autobots. Bukan main lagi. Semua watak-watak Transfomers ada dalam karangan dia tu. Punyalah dia minat.  

Dari Optimus Prime, Megatron, Bumblebee, Bonecrusher dan beberapa watak yang aku dah lupa semua ada dalam karangan dia tu. Lagi best sebab karangan dia in english. Tapi guna simple-simple words lah. (Agaknya baru betul-betul feel Transformers kot kalau dia tulis dalam bahasa english he..he..) Terasa rugi pula tak ambil gambar karangan dia tu. Tadi bila cari balik dah tak jumpa pula. Tentu dia dah sorokkan sebab takut malu orang lain dah baca.

Yang paling best tu, dalam pada minat sangat dengan Transformers, boleh pula Az tidur masa tengok cerita tu di pawagam untuk kedua-dua filem sebelum ni. Aduhai, kata minat. Boleh pula dia tidur. Pagi semalam sibuk suruh belikan mainan Transformers KFC. Tapi stok dah habis pula. Makanya frustlah mamat tu. Sebagai ganti en.asben belikan kereta kecik Bumblebee dan Barricade untuk anak lelakinya. Barulah ceria sikit muka tu.   

Esok Han akan menduduki peperiksaan percubaan UPSR. Harap-harap dia dapat buat yang terbaik. Aku tahu dia dah berusaha bersunguh-sungguh. Jadinya, apa saja keputusannya nanti aku terima saja dengan hati yang terbuka. Aku doakan kejayaannya. Beberapa hari ni Is dah boleh petik gitar lagu Isabela. Walaupun baru beberapa rangkap tapi aku dah suka dah.

Hati seorang ibu kan. Apa saja pencapaian anak-anak tetap menjadi kebanggaannya. Seronok rasanya melihat perkembangan anak-anak. Walaupun ada masa geram dengan kelakuan dan kerenah mereka. Tapi selalunya ragam mereka itulah yang menceriakan hari-hariku. Terima kasih Allah. Anugerah ini terlalu besar untuk aku dan en.asben. Han, Is dan Az. Merekalah penyeri hidup kami. Semoga anak-anakku menjadi anak yang soleh dan beriman. Amin..

Thursday, July 21, 2011

Ingat dah jelas, rupanya tak jelas lagi..

Salam untuk semua..

Hari ni nak cerita mengenai WW semalam. Ingatkan bila letak cover novel  yang tertera namaku berserta link penerbit buku, semua teman-teman boleh faham. Rupanya tak jelas info disebalik gambar tu sehinggakan ada yang tertanya-tanya. Tapi dalam ada yang tertanya-tanya tu, ada juga yang terus tangkap apa ceritanya. Terharu sangat bila ada teman blogger yang terus hantar e-mail dan sms bertanyakan tentang novel tersebut. Terima kasih juga untuk ucapan tahniah yang diberikan. Rasa bersemangat jadinya walaupun dah mula rasa gementar dengan komen dan respon yang akan di terima nanti.

Sebenarnya untuk menulis novel sendiri merupakan satu daripada impianku. Bila ianya diterima oleh pihak penerbitan dan diterbitkan, itulah yang buatkan aku rasa bagaikan mimpi jadi nyata. Alhamdulillah, tercapai juga impianku. Harap-harap nukilan pertamaku ini dapat diterima oleh peminat-peminat novel. Yang tak minat novel pun boleh cuba baca untuk menilai bakatku dalam bidang penulisan ini. Jadi, kalau berminat bolehlah memiliki Novel pertamaku Takdir Fitrah Terindah terbitan Buku Prima.


Takdir Fitrah Terindah
Hanis Azla
RM 25.90
ISBN: 978-967-0184-76-0
~608 hlm
Bahasa Melayu

Bila diri dilahirkan dari dosa orang lain, tiada apa yang membuatkan Nur Fitrah punya keyakinan diri bila sejak kecil dirinya sering menjadi bahan cemuhan. Lantaran itu dirinya menjadi cepat mengalah termasuklah dalam soal cinta bukan mahunya. Tapi itulah yang terjadi bila kuasa untuk membuat pilihan bukan milik orang sepertinya. Tiada cinta, tidak mengapa, asalkan hatinya bahagia. Namun bila hati suami bukan untuknya, apalagi yang perlu dipertahankan? Pertemuan semula membuatkan hatinya berbunga-bunga. Namun respons dan dugaan yang diterima membuatkan hatinya terus lara untuk mengharapkan cinta. Adakah Aiham Fakhri masih lagi pilihan Nur Fitrah?

Tarikh Terbit: 20 Jul 2011

Lahirnya entah dari rahim siapa? Hadirnya ke dunia bukan suatu harapan lantaran tanpa belas kasihan dirinya ditinggalkan. Dia dibenci dan disisih hanya kerana dirinya anak terbuang yang dikutip orang. Entah apalah dosanya sehingga sesetengah orang merasa tidak senang untuk menerima kehadirannya dalam kehidupan mereka? Cinta dan kebahagiaan mungkin bukan miliknya. Cinta pertamanya tercicir di tengah jalan lantaran kekasih hati beralih kasih setelah cinta mereka tidak mendapat restu. Cinta seterusnya yang ditentang membuatkan dia akur dengan suratan takdir. Biarlah jodoh datang sendiri. Jodoh yang hadir bermula dengan episod duka. Pernikahan yang diatur oleh keluarga lelaki itu membuatkan hidupnya yang sebatang kara bertambah terluka. Kesan dari kisah hidupnya yang terbuang dan menumpang juga kisah cinta yang kecundang membuatkan dia sering merasakan dirinya serba kekurangan.Perasaannya terus huru hara bila cinta mula hadir dalam hatinya untuk sang suami yang langsung tiada hati padanya.

Selamat membaca untuk semua.

Terima kasih.
Hanis Azla

Tuesday, July 19, 2011

Bila mimpi jadi nyata..

Setiap orang ada impian dan cita-cita. Tak kira kecil besar, banyak sikit, tinggi rendah, setiap impian itu mempunyai nilai yang sama. Bila impian itu berjaya dipenuhi dan dapat dicapai, setiap hati pastinya menjadi berbunga-bunga.

Alhamdulillah, dengan izinnya, satu dari impian dan cita-citaku telah tercapai. Perkara yang sejak dulu menjadi angan-anganku kini dengan izin Allah menjadi realiti. Memang besar kuasa sebuah mimpi dan angan-angan itu kan.

Dari mimpi dan anganan menjadi keinginan. Dari keinginan menjadi impian. Dari sekadar suka-suka menjadi cita-cita. Berkat usaha untuk merealisasikan cita-cita, juga sokongan dari en.asben dan anak-anak, angan-anganku menghasilkan sesuatu yang begitu aku impikan. Tapi bila impian jadi nyata, aku terasa seakan bermimpi pula. Selalu macam tu kan..

Terima Kasih Allah. Syukur Alhamdulillah..

*InsyaAllah.. kalau ada rezeki, esok aku akan kongsikan di sini yer. 

Monday, July 18, 2011

DEMAM...

Pagi sabtu balik kampung embah en.asben di Sabak Bernam. Memang menjadi kebiasaan menjelang ramadhan keluarga ibu mertuaku membuat kenduri kesyukuran dan sambut puasa di kampung. Seronok dapat turut serta dalam majlis orang jawa ni. Paling best dapat experience penyediaan nasi ambeng yang sangat marvelous. Kuih muih untuk hidangannya juga berjenis-jenis. Memang makan, makan dan makan sajalah kerjanya.

Pagi ahad semalam, bangun pagi dah mengigil-gigil. Terasa seram sejuk dan sakit-sakit satu badan. Badan pula mula terasa dedar. Perjalanan balik dari kampung ke Bangi terasa begitu panjang. Mujur bila balik kampung memang bawa balik bantal dan selimut bagai. Makanya dalam kereta, aku merebahkan seat kereta, berbantal dan berselimut sepanjang perjalanan. Tangan anak-anak pula bergilir memicit kepala dan badan mamanya.

4 biji panadol sudah di telan sejak pagi. Namun demam masih tak kurang. Hajat di hati nak singgah ke klinik sebelum balik ke rumah. Tapi dek kepala yang memberat aku tangguhkan sehinggalah ke petang. Kalau tak kerana en.asben asyik memaksa mahunya aku tak ke klinik semalam. Dengan muka yang pucat lesi dan suhu badan yang tinggi, tanpa perlu diminta, doktor yang menawarkan MC untukku hari ini. Mujur doktor memberi MC. Ini kerana aku masih tidak berdaya untuk bangun pagi tadi.

Cuti yang diberi oleh doktor memberikan aku ruang untuk merehatkan diri. Bila sakit-sakit begini terasa begitu mensyukuri nikmat sihat. Alhamdulilah, badan mula berpeluh setelah mendapat rehat yang cukup. Semoga demamku cepat sembuh. Agar aku dapat menjalani rutin hidupku seperti biasa.

Thursday, July 14, 2011

Ragam tolong dan bantu..

Ada orang bila diberikan pertolongan, memberikan respond yang baik. Biasanya dengan ucapan terima kasih. Paling tidak pun dengan memaniskan wajah. Cara yang begitu membuatkan kita rasa dihargai. Ada orang pula bila diberikan pertolongan langsung tiada apa-apa ucapan apatah lagi ekspresi wajah yang mengambarkan mereka menghargai pertolongan itu. Takpelah..

Ada orang bila perlukan bantuan dari kita, bukan main manis mulutnya. Bukan main baik lagi dengan kita. Bukan main beria lagi menegur mesra. Tapi bila kita tidak diperlukan, pandang kita pun tidak. Lalu depan mata pun bagaikan tak nampak. Kalau bercakap bagaikan tidak pernah mengenali sebelum ini. Punyalah tak mesra. Takpelah juga..

Banyak orang banyak ragam kan. Orang kata kalau kita berikan pertolongan atau bantuan, berikan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Kita pun bukannya mahukan sangat penghargaan. Tapi bila respond yang diberi begitu mengecewakan, kadang kala tersentuh juga hati. Ada masa terguris juga perasaan. Namanya pun manusia kan. Mudah benar hati ni nak terluka. Cepat benar perasaan ini nak terasa.

*Sejak semalam bukan main sakit lagi kaki ni. Nak naik tangga pun punyalah seksa. Habis berkerut muka. Pakai heels ke pejabat pun bagaikan terdera. Tapi semua itu masih tidak mematahkan semangat. (Layankan ajelah yer cerita orang tengah bersemangat ni he..he..)

Wednesday, July 13, 2011

Tak boleh jadi ni..

Oh tidak... Berat badan makin bertambah. Muka makin bulat. Mula-mula sendiri yang perasan. Tapi bila perasan sendiri tu selalu saja nak menidakkan apa yang dirasa juga apa yang terserlah di mata. Tapi bila ada yang menegur, mulalah datang motivasi untuk memperbaiki keadaan. Tambah-tambah bila dapat keputusan buat ujian darah minggu lepas. Kandungan kolestrol mula tinggi. Risiko untuk mendapat penyakit jantung mula ada. (Alhamdulillah, untuk yang lain-lain tu semuanya masih okey).

Dengan umur yang makin meningkat, juga dengan pemakanan yang tak berjaga ni, semua itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Tapi bila dah tahu tu kesedaran mula datang. Makanya, selain mengawal pemakanan, senaman pun kena buat juga. Aktiviti jalan-jalan di taman dah berapa lama terhenti. Mula-mula dulu sebab musim hujan. Lepas tu sebab lama berkursus. Lepas tu sebab segan bila dah lama berhenti nak mula balik. Tapi sebenarnya alasan yang paling tepat ialah lagi best baring-baring tengok tv atau baca novel lepas balik kerja dari jalan-jalan di taman permainan tu.

Tapi demi untuk badan yang sihat dan berat badan yang ideal, aku kena kuatkan azam. Nak kekal sihat dan nak kekal dengan berat badan ideal aku kena pergi slimming centre. Oppssss.. he.he.. Untuk aku yang susah nak control makan ni, kalau pergi slimming centre pun susah sikit nak mujarabnya. (Sebenarnya soal kos penyebab utamanya he..he..). Makanya aku pilih sesuatu yang tiada kos. Tapi mungkin ada kesannya. Walau tak berkesan untuk bentuk badan yang menawan, at least untuk kesihatan dah pastinya akan ada kesannya.

Jadinya, dengan azam yang sedang membara ini, semalam aku mula berjogging di taman tasik depan rumah. Tak sampai 5 minit pun driving dari rumah. Tapi sebab malas, rasanya lama benar tak jejak ke taman tasik tu. So semalam dapatlah pusing taman kedua-dua belah tasik untuk 25 minit. Aku lebih banyak berjalan dari berjogging sebenarnya. Maklumlah stamina tak berapa nak mantap. Makanya nak jogging all the way memang semputlah. Harap-harap semangat ini terus kekal untuk melakukannya sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Kalau lebih lagi bagus kan.

*Aku saja nak tulis semangat yang sedang berkobar-kobar ni di sini. At least kalau nanti semangat mula menurun bolehlah aku baca entry ni semula. Kalau tak malu pada orang lain, at least malu pada diri sendiri juga bila azam hanya menjadi cita-cita yang tak kesampaian. (Harap-harap sebelum ramadhan ni aku dapat penuhi dan dapat sambung semula selepas raya nanti, InsyaAllah). All the best untuk diri sendiri. Chaiyok.. chaiyok..

Tuesday, July 12, 2011

Yukkss.. Ayam tandoori ada ulat sampah..

Minggu lepas, waktu adik aku singgah di rumah selepas habis kerja untuk mengambil anak-anaknya, adik aku membebel-bebel sambil berlari ke toilet untuk muntah. Ingatkan kenapa, rupanya sebab ayam tandoori yang di pesan dari restoran mamak di kawasan depan rumahku sudah berulat. Ada ulat sampah menrenyut-renyut di dalamnya. Ulat yang putih-putih tu. Banyak pula tu. Manalah tak loya. Aku yang dengar pun terasa kembang tekak. Entah berapa lama punya ayamlah yang dijual tu sampaikan sudah berulat macam tu.

Ceritanya, baru gigitan yang pertama, dia perasan ada ulat yang keluar dari ayam tu. Apa lagi terus berlari ke sinkilah adik aku untuk meluahkan apa yang sudah masuk ke mulutnya. Bila dipanggil pekerjanya, mereka hanya diam tanpa sebarang komen. Bila diminta untuk berjumpa dengan pengurusnya dikatakan tiada pula. Sebab geram, adik aku minta supaya ayam-ayam tandoori yang dah sedia tergantung untuk jualan itu dibuang saja agar tidak dimakan oleh orang lain. Tapi langsung tiada reaksi dari mereka.

Tanpa minta maaf, mereka hanya tidak mengenakan bayaran untuk makanan yang sudah di pesan. Sebab sakit hati, adik aku bayar juga makanan yang sudah dimakan oleh suaminya. Yang ayam tandoori tu memang dia tidak bayarlah. Sebab kegelian dan sibuk duk berulang ke sinki, nak ambil gambar ayam tandoori berulat itupun sampaikan adik aku dan suaminya terlupa. Rugi betul. Kalau tidak boleh juga jadi bahan bukti. Tapi memang adik aku buat aduan juga ke pihak yang bertanggungjawab.

Aku memang dah lama tak ke restoran mamak itu. Sebabnya, pada aku servisnya agak slow berbanding restoran mamak yang lain. Sayang betul. Pelanggan memang sentiasa ramai di restorannya. Tapi kebersihan tidak diutamakan. Servis pula agak lembab. Aku tidak tahu apa tarikan orang lain untuk memenuhi restoran itu. Rasanya restoran itu pernah di tutup seketika lama dulu sebab masalah kebersihan juga. Tapi sekarang ini perkara lama berulang kembali.

*Semalam aku makan macaron untuk pertama kali. Sedap sangat. Aku suka. Thanks untuk en.asben sebab belikan macaron tu sebab isteri dia ni asyiklan menyebut dan teringin benar nak rasa. Anak-anak pula tak berminat. Makanya aku conquer soranglah macaron tu. Tapi sebab en-asben dah baik hati tolong belikan, makanya aku makan berdua dengannya. Nyum-nyum.. (Selingan ini untuk cover kegelian dan keloyaan cerita di atas he..he.. sekian terima kasih).

Monday, July 11, 2011

Dulu belum masanya, sekarang baru nak rasa...

Salam untuk semua.

Fuh..fuh...aaachum.. Alamak.. banyaknya sawang kat sini he..he..

Alhamdulillah. Kursus dah selesai. Ilmu makin bertambah. Tinggalnya nak amal dengan tak amal saja ilmu yang diperolehi itu. Teringat kata-kata seorang penceramah kursus suatu ketika dahulu. Katanya memang mustahil untuk amalkan semua perkara yang kita perolehi dalam kursus. Tapi tak mustahil untuk kita amalkan sebahagian dari ilmu yang kita perolehi itu. Memandangkan kursus yang aku hadiri memang berkaitan dengan tugas harian, makanya memang excited untuk mengamalkan ilmu yang aku perolehi. Harap-harap dapat memperbaiki diri dan juga perkhidmatan. InsyaAllah.

Bila berkursus, semestinya nombor telefon dalam simpanan akan bertambah. Begitu juga dengan jumlah teman di FB. Alhamdulillah, aku dapat kumpulan yang sangat best dalam kursus tempoh hari. Semuanya sekepala. Perkara ini menjadikan suasana berkursus menjadi lebih menarik lagi. Tugasan yang diberi jadi mudah untuk dilaksanakan dengan baik bila semuanya bersatu. Untuk Ida, Kak Oya, Huda, Mus, Norly dan Zaini, seronok rasanya dapat mengenali kalian semua. Begitu juga dengan teman-teman dari kumpulan lain.

Bila berkursus ni, satu perkara yang sering menjadi persamaan untukku sejak dua tahun ini ialah pastinya teman-teman sekursus menyangkakan umurku lebih muda dari usia sebenar. Sebab itulah di awal perkenalan waktu berbalas senyuman dan baru mula bertegur siapa, semuanya nampak lain macam bila aku membahasakan diriku kakak. Sebabnya kata mereka aku nampak seperti sebaya mereka yang belum cecah 30 tahun. Malu sebenarnya mendengar pujian seperti itu sebab aku sudah pun berumur 35 tahun. Terlebih gaya ke sehingga nampak seperti orang muda? Harap-harap tidaklah. Sebab bukannya bagus sangat bila kita bergaya tidak sesuai dengan usia kan.

Bersyukur pastinya bersyukur bila rupa nampak lebih muda dari usia sebenar. Tapi nak kata suka sangat tu, tidaklah juga. Sebab bila umur makin meningkat, kita dengan sendirinya sedar yang kita memang bukannya makin muda lagi. Makanya pujian hanya menjadi penyedap rasa yang langsung tidak menimbulkan riak di hati. Sebenarnya, waktu zaman form 4, form 5 dulu, ramai yang menyangkakan yang aku ni dah berkerja. Masa tu memang sedihlah. Tak merasa nak nampak muda waktu muda. Mungkin muka aku jenis yang cepat matured kot. He..he.. Kiranya sekarang ini sudah terbalik pula.

Pengajarannya yang aku dapat dari perkara ini ialah bila kita tidak dapat sesuatu waktu kita sangat memerlukannya, tak perlulah nak rasa sedih sangat. Ini kerana bila kita perolehi sesuatu yang pernah kita inginkan suatu ketika dulu, di waktu kita tidak menginginkannya, perasaannya akan jadi lebih indah lagi. Sebab tanpa kita sedari ianya terasa lebih bermakna. (Agak-agak boleh faham tak maksud aku ni yer? Selalu ada masalah macam ni. Tak berapa reti nak menyampaikan maksud dalam ayat).

*Nampak muda dan cantik adalah dua perkara yang berbeza yer. Pandangan orang juga berbeza dan sesuatu yang subjektif. So janganlah ingat aku ni memang nampak muda sangat sampai beria nak abadikan di sini. Saja nak cerita sebab aku pernah mengalami kedua-duanya. Itu saja he..he..

Monday, July 4, 2011

Bila...

Bila sunyi, ingin rasanya merasa riuh.
Bila sedih, ingin rasanya merasa gembira.
Bila rindu, ingin rasanya merasa kasih.
Bila keji, ingin rasanya merasa suci.
Bila tiada, ingin rasanya merasa ada.
Bila kecewa, ingin rasanya merasa bahagia.
Bila murung, ingin rasanya merasa ceria.
Bila kalah, ingin rasanya merasa menang.
Bila jatuh, ingin rasanya merasa bangun.
Bila penat, ingin rasanya merasa rehat.
Bila lambat, ingin rasanya merasa cepat.

Begitulah naluri manusia kan..

Bila berkursus, ingin rasanya merasa melawat teman-teman.
Tapi kekangan masa membataskan keinginan...

Note : 5 hari kursus.

Friday, July 1, 2011

Alasan yang tak menjadi..

Balik rumah tengah hari ni, sampai saja kat pintu rumah, mak aku dah bercerita.

Tengok si abang tu long. Dia kata hari ni taknak pergi sekolah agama sebab tak larat. Alasan dia sebab penat nyanyi nasyid kat sekolah kebangsaan tadi.

Aduhai. Aku tak tahu nak marah ke nak gelak dengan cerita mak aku tu. Is yang dah siap pakai baju rumah tu boleh selamba control buat muka penat yang amat. Dia bagi alasan tu macam baru habis nyanyi lagu nasyid buat tour satu Malaya aje sampaikan penat sangat. Dia ingat mamanya ni nak cakap Penat yer sayang nyanyi nasyid kat sekolah tadi. Takpelah, tak payahlah pergi sekolah agama hari ni.. 

Silaplah. Jawapan aku. Dah jangan nak mengada. Kejap lagi salin baju sekolah agama dan pergi sekolah. Sekarang ni, lepas dah dengar respond aku tadi terus saja hilang penatnya. Boleh pulak main lompat-lompat atas katil dengan adik dan sepupunya. Bila aku sergah tadi tanya dah hilang penat ke abang?

Dengan senyum-senyum dia dok jawab penat lagilah ma..  Aduhai anak. Masih nak cuba nasib lagi tu untuk dapatkan approval aku untuk taknak pergi sekolah petang ni. Minta maaf yer bang. Jawapan mama tetap sama macam tadi juga.. he..he..