Nuffnang

Wednesday, November 30, 2011

42 ke 43???

Bila demam memang selera makan hilang. Waktu demam hari yang pertama memang aku langsung tak lalu makan. Hari selepasnya, makan pun pada kadar yang cukup sedikit. Maka, dalam 3 hari memang berat badan boleh turun 3 ~ 4 kilo. Bila demam mula pergi, aku menimbang berat badan. Dengan rasa teruja aku bercerita dengan en.asben.

ME : Yang, berat I turun.
EA : Iye ma. (Dengan wajah yang teruju juga en.asben membalasnya).
ME : Turun 3~4 kilo. (Penuh bangga aku bercerita). 
EA : Jadinya, berapa berat u sekarang? 42 ke 43 kg?
ME : Grrrrrr...

Lepas kahwin dan dah ada anak 3, berat badan aku tak pernah kurang dari 50 kg. Macam manalah hilang 4 kg boleh jadi 42 ke 43 kg. Adoooooiiiiii.   

Tuesday, November 29, 2011

Percutian yang di nanti..

Percutian ini sudah lama diidamkan. Namun baru dirancang. Harap-harap ianya menjadi seperti yang diharapkan. InsyaAllah, hujung minggu nanti kami sekeluarga akan ke Universal Studio Singapore. Ianya sebagai memenuhi impian Han yang mahukan hadiah ini untuk UPSRnya. Seronoklah Is dan Az sebab boleh tumpang sekaki hadiah untuk kakaknya itu. Tapi kata mereka berdua, hadiah itu untuk mereka juga kerana kedua-duanya dapat naik kelas pertama tahun hadapan. Pandai-pandai saja cari hadiah buat diri sendiri. He..he..

Anak-anak baru baik demam. Aku pun begitu juga. Menjaga anak-anak yang demam membuatkan akhirnya aku pun terjangkit sama. Harap-harap badan kami akan cergas menjelang percutian itu nanti. Aku orang Johor. Dilahirkan di Johor Bahru. Dibesarkan juga di Johor. Tapi sejak arwah ayah meninggal dunia memang sudah bertahun aku tak ke sana. Jadinya aku mengambil kesempatan untuk bercuti di Johor Bahru juga. Rasa teruja untuk ke sana kembali. Harap-harap semuanya berjalan lancar nanti.

Bagi teman-teman yang pernah ke USS, bolehlah berkongsi tips dan cerita dengan kami. Bagi-bagi teman-teman di JB, bolehlah juga cadangkan tempat-tempat yang best di sana. Kalau berkesempatan boleh juga kami singgah dan cari nanti. Kalau tak sesat baratlah he..he..

Wednesday, November 23, 2011

Malam tadi dan pagi ini..

Badan letih. Mata berat. Mana tidaknya, malam tadi anak-anakku deman. Ketiga-tiganya pulak tu demam serentak. Malam tadi memang aku dan en.asben tidur tak lena. Tangan ni asyik meraba kepala anak. Bila panas kami bergilir bangun basahkan kain untuk lap kepala dan badan mereka. Cukup masa kejut bagi makan ubat dan minta mereka bangun minum air pula. Risaunya hati ini bila anak-anak tidak sihat begitu. Doaku semoga anak-anakku cepat sembuh hendaknya. Rasa senyap sunyi rumah bila mereka demam. Sebab anak-anakku bila demam memang jadi diam semuanya.

Pagi tadi ketika ke tempat kerja aku dengar radio. Biasalah bila pagi-pagi tu memang selalu tukar-tukar saluran radio untuk mencari topik bicara dan lagu-lagu yang best untuk menemani perjalanan pagi yang selalu sesak. Bila tukar ke saluran Hot FM terdengar topik yang best. Tentang saluran baru Hot FM di Kelantan. Wah, bersemangat nak dengar. Bukan sebab aku duduk di Kelantan atau aku orang Kelantan. Tapi sebab penyampai baru Hot FM di sana nanti merupakan sahabat blogger kita. Tentu ramai yang kenal dengan Wani - Aku Ibu Muda. Tapi nanti Wani akan dikenali sebagai Deejay Shaz di Hot FM.

Dari temubual dengan Farah Fauzana & FBI pagi tadi memang terserlah bakat yang ada pada Wani. Kedengaran cukup berbakat dan berkeyakinan sebagai penyampai radio. Langsung tak gugup dan memang best cara dan gayanya bercakap.  Kagum dan bangga aku mendengarnya. Apalagi, berbalas smslah kami. Untuk Wani, akak doakan semoga kerjaya baru ini memberikan kegembiraan buat Wani. All the best to you Wani. (Siapa yang tak kenal bolehlah kenal-kenal dengannya). Ibu muda yang comel lagi peramah. Semoga dipermudahkan segalanya buat sahabat kita ini. Nice knowing you Wani :))

Tuesday, November 22, 2011

Soalan favourite bila masuk musim ni?

Jumaat lepas hari terakhir persekolahan untuk tahun 2011. Sejak semalam rasanya ada beberapa orang yang bertanya. Hari ini juga ada lagi yang bertanyakan soalan yang sama. Rasanya macam dah jadi soalan favourite pula untuk berbasa-basi dengan soalan tu bila terserempak.

Tak cuti ke cuti sekolah ni?

Pergi bercuti waktu cuti sekolah sekarang ni memang dah jadi macam perkara wajib pula kan. Sedangkan waktu aku dulu-dulu, cuti sekolah pun duduk rumah saja. Tak berjalan ke mana pun. Tapi sekarang, waktu cuti sekolah saja memang ada saja perancangan yang sudah dibuat oleh ibu bapa untuk membawa anak-anak pergi bercuti bagi kebanyakan orang. Pendek kata pergi bercuti tetap masuk agenda waktu cuti sekolah.  

Kawan-kawan pula, tak cuti ke cuti sekolah ni? He..he..

Monday, November 21, 2011

Komen yang buatkan aku rasa nak tersenyum, tapi orang lain rasa nak termuntah kot..

He..he.. pertama kali buat entry dengan tajuk panjang. Saja nak bagi amaran siap-siap takut-takut ada yang nak termuntah pula. Jadinya kalau rasa tak nak termuntah bolehlah hentikan pembacaan sehingga di sini. (He..he.. nak buat gempak bukan main sedangkan ceritanya biasa-biasa saja).

Minggu lepas aku ke sekolah anak-anak. Selain nak merai Han dengan keputusan UPSRnya, aku juga pergi untuk mengambil duit bantuan yang seratus ringgit tu. Terima kasih atas bantuan  yang diberi. Alhamdulillah. Duit tu aku dah simpan siap-siap. Takut tersalah guna pula. Amanah kena jaga kan.

Hari terakhir persekolahan Han bercerita tentang soalan kawannya dari kelas sebelah padaku. Yang semalam datang tu kakak eh? Han jawab, Eh, taklah itu mak kita. Mulalah rasa nak kembang bila kawan Han cakap macam tu. Tapi yang lagi nak senyum tu bila kawan Han tak percaya dan cakap Iye ke? Kenapa nampak muda sangat. Macam pelajar universiti aje.

Wah.. macam pelajar universiti yer dik. Hmmm.. muda sangat tu kalau begitu. Apalagi, muka pun rasa nak senyumlah. Err.. ada yang rasa nak termuntah ke? he..he.. Nampak muda memang selalu rasa best. Tapi apa guna nampak muda tapi kesihatan tak berjaga kan. Jadinya kenalah tambah usaha untuk menjaga kesihatan. Kerana itu lebih utama. Jom-jom jaga kesihatan. Biar nampak muda dan sihat selalu. Semoga kita semua mendapat keberkatan umur hendaknya, InsyaAllah.

Friday, November 18, 2011

Terima kasih atas doa kalian..

Salam ceria buat semua. Alhamdulillah, keputusan UPSR Han sudah diperolehi. Aku dengan en.asben memang tidak kisah walau apa pun keputusannya. Dia berjaya kami gembira. Namun kesungguhan dan komitmen guru-guru di sekolahnya membuatkan kami mendoakan keputusan yang baik untuk Han sebagai hadiah buat guru-guru yang begitu dedikasi mencurahkan ilmu selama 6 tahun Han di sekolah rendah.

Alhamdulillah, dengan usaha Han  juga berkat doa dari semua, Han berjaya membuatkan guru-gurunya merasa puas hati. Kata orang, pencapaian yang gemilang waktu UPSR bukanlah menjamin kejayaan di masa hadapan. Aku setuju. Tanpa usaha yang berterusan, kejayaan ini hanya akan menjadi kenangan manis untuk dikenang. Untuk berjaya, Han perlu terus gigih berusaha. Harapanku agar pencapaiannya dapat dikekalkan seiring dengan kecemerlangan ilmu akhirat, sahsiah diri juga akhlaknya.

Untuk semua,  terima kasih atas doa kalian. Aku sangat menghargainya. Pastinya, Han juga begitu. Alhamdulillah, Han mendapat 5A untuk UPSR.

Thursday, November 17, 2011

Rasa yang sama..

InsyaAllah, hari ini keputusan Peperiksaan UPSR akan diumumkan. Bagaikan tidak sangka pula yang kini aku sedang menunggu keputusan anakku. Bagaikan baru semalam aku menunggu keputusan peperiksaan untuk diri sendiri. Masa berlalu. Kini aku kembali merasai debaran yang sama. Tidak sangka rasa itu rasa yang sama. Mungkin begini jugalah debaran emakku dulu.

Pesananku dan en.asben pada Han pagi tadi, tak kisahlah walau apapun keputusannya. Kalau baik ucap Alhamdulillah. Kalau tidak seperti yang diharapkan ucapkan Alhamdulillah juga. Kena bersyukur sebab kita dah berusaha yang sebaiknya. 

Saat ini aku berdebar.. Doakan yang terbaik buat Han yer kawan-kawan. Terima kasih.

Tuesday, November 15, 2011

Tips untuk membaiki tandas tersumbat..

Tandas (tempat mandi) tersumbat memang selalu memeningkan. Bila dah tersumbat, airnya jadi melimpah. Waktu mandi, air bertakung bagaikan kolam sebab lambat benar alirannya keluar. Kalau panggil tukang paip memang paling murah pun akan dikenakan bayaran RM50. (Berdasarkan pengalaman sendiri). Rasanya kat rumah aku sebelum ini, memang sudah beberapa kali jugalah aku terpaksa panggil tukang paip untuk masalah tandas tersumbat ini. (Selepas usaha memperbaiki sendiri gagal). Tapi sejak mengetahui tips ini, tandas tersumbat bukan lagi masalah buat kami.

Emak memang tidak bersekolah tinggi. Tapi pengamatannya cukup tinggi. Hanya melihat bagaimana tukang paip menyelesaikan masalah, emak sudah dapat bayangan bagaimana mahu membuatnya sendiri. Bila panggil tukang paip, selalunya  mereka menggunakan peralatan khas seperti mesin tekanan tinggi. Ada juga yang menggunakan gumpalan kain. Jadi emak ambil idea dari gumpalan kain tu menggunakan alatan yang ada di rumah. Alhamdulillah, caranya cukup berkesan. Maka, tanpa tukang paip yang dikenakan bayaran, tandas tersumbat mampu kami tangani sendiri dengan hanya menggunakan mop yang kita gunakan untuk mengelap lantai. (Mop yang conventional tu yer. Mop yang canggih-canggih aku tak pasti berhasil atau tidak.
Caranya :
1. Masukkan separuh gumpalan kain mop itu ke dalam saliran tandas sehingga padat. Separuh bahagian lagi kita biarkan menutupi drain tandas itu. Pastikan tiada langsung lubang udara. (Cover toilet drain tu perlu dibuka dulu yer).
2. Kemudian, seperti cara mengepam, kita pam mop itu beberapa kali. Untuk pam yang mula-mula tu, memang kotoran akan naik balik keluar dan menjadikan air semakin bertakung. Makanya kita kena buat beberapa kali. Keluarkan kain mop itu,  masukkan kembali dan pam lagi.
3. Ulang beberapa kali. Selalunya aku buat sehingga terasa, sedutan kuat dari bawah yang menarik air-air dan kain mop itu. (Ada masanya bila tarikan dari bawah kuat, memang akan mengeluarkan bunyi). Bila sedutan kuat, air yang bertakung akan mengalir laju dan kotoran tersumbat akan tertarik sekali. Masalah tandas tersumbat akan selesai selepas itu.

Bagi yang mempunyai masalah tandas tersumbat bolehlah mencuba cara ini bila pam hitam yang kita gunakan masih tidak berhasil. Pagi tadi aku tersenyum sendiri bila cara ini berhasil lagi. Itu yang terasa nak berkongsi di sini. Harap-harap cara ini dapat digunapakai oleh orang yang mempunyai masalah yang sama. Selamat mencuba.

Monday, November 14, 2011

Semuanya berjalan lancar..

Pagi yang ceria. Tapi hati ini tak berapa ceria. Hari ini Is akan mengikuti Kem Usahawan yang dianjurkan oleh Kelab Usahawan di sekolahnya di Morib sehingga hari rabu nanti. Begitulah hati seorang ibu. Bila berjauhan dengan anaknya sudah tentulah rasa rindu, risau dan bermacam-macam perasaan lagi mula menyatu. Tapi untuk menolak permintaannya untuk turut serta dalam program tersebut terasa tidak sampai hati pula. Waktu kemaskan beg untuknya semalam aku dah mula sedih dah. Harap-harap semuanya akan berjalan lancar dan semoga anakku di lindungi Allah selalu.

Semalam hari penyampaian hadiah di sekolah agama anak-anakku. Semuanya berjalan dengan lancar juga. Majlis di mulakan dengan acara khatam al-quran. Kemudian diikuti dengan persembahan secara berkumpulan dari anak-anak. Persembahan anak-anak sekolah rendah, pastinya menghiburkan dan nampak comel walaupun terselit kesilapan di sini sana ketika di pentas. Majlis diselangi dengan penyampaian hadiah. Alhamdulillah, Han terpilih menjadi Pelajar Cemerlang. Prestasinya sejak tahun 1 sehingga ke tahun 6  di SRI Raudatul Aulad mendapat perhatian dari ustazahnya. Sebak aku jadinya. Lebih sebak untuk ucapkan terima kasih pada ustazahnya yang berjaya membimbing anakku dengan begitu baik. Terima kasih banyak buat semua ustazah, ustaz dan guru-guru anak-anakku yang budi baik mereka tidak mampu ku balas.

Program Temu Mesra di PKNS Shah Alam berjalan dengan lancar pada sabtu lepas. Alhamdulillah, ada juga yang sudi datang dekat dan membeli buku. Terima kasih yer. Seronok dapat bertemu dengan novelis Hafimi Huzin yang dikatakan macam Justin Bieber tu. Salam teman-teman yang minta berkirim salam kepadanya telah aku sampaikan. Terima kasih banyak Hafimi Huzin untuk coklat yang sedap tu. Terima kasih juga untuk Ashraf, dari Grup Buku Karangkraf yang banyak memberi sokongan. Juga buat petugas Grup buku karangkraf yang peramah dan baik-baik belaka tempoh hari. Seronok dapat jumpa kalian semua. Ada rezeki, panjang umur kita jumpa lagi.

Semoga rahmat Allah sentiasa ada buat kita semua. Salam ceria buat semua.

Friday, November 11, 2011

Tarikh yang cantik

11.11.11 Cantiknya tarikh hari ini.

Ramai orang mahu memaknakan hari yang cantik ini dengan pelbagai majlis sebagai kenangan terindah. Aku tersenyum sendiri bila membaca kartun yang sinis di akhbar kosmo pagi ini. Bagaimana seorang bapa meminta doktor menunggu untuk pembedahan isterinya untuk melahirkan anak kerana mahukan tarikh yang cantik itu. Sebenarnya aku juga pernah begitu. Anak sulungku Han dan anak keduaku Is lahir pada  tarikh yang sama iaitu 22 haribulan. Untuk Az, anakku yang ketiga, sudah tentunya aku mahukan tarikh yang sama juga. Biar sama semuanya tarikh lahir ketiga-tiga orang anakku. Bayangkan, sejak tengah hari 21 haribulan aku sudah merasakan tanda untuk bersalinkan Az. Tapi demi untuk menunggu tarikh 22 haribulan aku terus bertahan. Akhirnya hampir pukul 10 malam barulah aku ke Pusat Rawatan. 

Mengikut ramalan doktor dari bukaan ketika itu aku akan bersalin dalam 3 jam lagi. Kiranya memang lepaslah untuk tarikh 22 haribulan tu. Dalam sakit itu aku masih bertahan juga. Tapi perancangan manusia tentulah tidak dapat melawan perancangan Allah. Pukul 11 malam tu aku dan terasa tak tahan sangat. Aku di tolak ke labour room ditemani en.asben. Dalam sakit-sakit tu boleh pula aku tanya en.asben. Yang, takpe ye kalau i bersalin sekarang. En.asben yang memang tak kisah memang kata okey saja. Akhirnya pada pukul 11.30 malam 21 haribulan tu aku selamat melahirkan Az. Alhamdulillah. Setengah jam saja lagi mahu ke 22 haribulan. Takpelah Yang penting kami berdua selamat. Dan segalanya dipermudahkan. Jadinya tak samalah tarikh lahir Az dengan kakak dan abangnya.

Hari ini 11.11.11. Esok dah tentu 12.11.11 kan. InsyaAllah, esok bertempat di PKNS Shah Alam, aku terlibat dengan Temu Mesra untuk penulis dan novelis Grup Karangkraf seperti dalam poster di bawah. Bagi yang tinggal berhampiran dan kalau ada kelapangan bolehlah ke sana. Jom semua, boleh kita jumpa.

SHAH ALAM KNOWLEDGE & LIFESTYLE KOMPLEKS PKNS (10-13 Nov 2011)
Temu Mesra Novelis Secara Live Di SHAH ALAM KNOWLEDGE & LIFESTYLE KOMPLEKS PKNS Pada 12 - 13 Nov 2011 Pada Jam 2.00 - 5.00 petang.

Thursday, November 10, 2011

Butang baju melayu aku mana daa....

He..he.. tetiba terasa nak ambil dialog Seniman Tan Sri P.Ramlee sebagai tajuk. Ini kerana ceritanya ada kena mengena juga rasanya. Memang biasa kot kalau di rumah isteri sentiasa menjadi tempat rujukan suami. Suami orang lain aku tak tahu, tapi en.asben aku memang begitulah. Memang kebanyakan perkara kalau di rumah akulah menjadi tempat rujukannya. Lebih-lebih lagi kalau bab tempat letak barang. (Anak-anak pun begitulah juga).

Ma, seluar hitam I mana?
Ma, singlet I mana?
Ma, beg kerja I yang lama tu u simpan kat mana?
Ma, handphone I yang lagi satu tu mana?

He..he.. Itu dialog pagi tadi. Setiap pagi memang menjadi kebiasaan aku mendengar soalan-soalan sebegitu. Kadang rasa nak gelak dengar soalannya. Kadang rasa nak geram. Sebabnya en.asben memang suka bertanya dari mencari. Walaupun memang selalunya dia dah maklum di mana boleh di cari barang-barang tersebut. Tapi tentulah baginya lebih mudah andainya dia terus bertanya dari tercari-cari. Kadang tu yang di depan mata pun masih ditanya.

Sesekali tu memang ada rasa jengkel bagi manusia yang punya banyak kekurangan dan kurang kesabaran ini. Tapi yang pasti rasa benci itu memang tiada. Sebabnya setiap kali dia merujuk padaku, terasa diri ini sangat diperlukan. Bagi aku sebagai isteri, memang menjadi kebanggan bila suami menjadikan kita sebagai tempat rujukan. Itu juga lambang mereka masih mahu sentiasa mendapat perhatian dari kita dalam banyak perkara. Apa guna ada isteri kalau tidak mendapat perhatian kan. Jadinya, sebagai isteri, jawab sajalah soalan-soalan ujian minda di pagi hari tu. Tak perlu marah-marah. Kalau dia cari tempat rujukan lain lagi susah kan. Minta dijauhkan.

Butang baju melayu I mana ma? Kalau keluar soalan seperti itu di pagi hari memanglah sangat tak relevan untuk aku layan kecuali di pagi hari raya. he..he.. Yang tu, kalau nak cari sendiri. Kalau tak jumpa lagi bagus ha..ha..

Wednesday, November 9, 2011

Utamakan keluarga dulu...

Sebelum ni pernah dengar ustaz di tempat kerjaku ni cakap, tiada salahnya orang yang mengutamakan kroninya. Mendengar perkataan kroni itu semua yang mendengar dah tersenyum-senyum. Ustaz kata memang betullah, ini kerana memang melebihkan keluarga dan saudara mara kita sendiri itu sangat dituntut. Kalau nak memberi sedekah pun, kita perlu beri pada keluarga dan saudara mara kita yang layak dahulu sebelum memberinya pada orang lain.

Beberapa hari sudah terdengar pula Ustaz Harun Din berkata tentang perkara yang sama di satu program agama pagi di tv. Katanya orang kita sekarang ini selalu melebihkan kawan dari keluarga dan saudara sendiri. Bila direnung kembali memang ada betulnya. Kawan-kawan selalu lebih di utamakan. Keluarga dan saudara mara ditolak tepi dulu. Sepatutnya kaum keluarga dan sanak saudara yang menjadi keutamaan kita.

Aku tak cakap orang. Aku sendiri pun ada kalanya begitu. Ada masa memang aku melebihkan kawan-kawan. Lebih-lebih lagi yang sangat rapat denganku. Perasan tak, kita ni kalau ada jemputan kenduri kawan kita, tak kiralah kat ceruk mana, kalau ada masa dan kesempatan tu mesti nak pergi merai juga. Tapi bila ada jemputan kenduri yang di buat oleh saudara mara sendiri selalu saja kita nak mengelak. Alasannya dengan saudara itu kita tak berapa rapat.

Bila disuruh buat pilihan antara kawan yang rapat dengan saudara yang tak berapa rapat, pastilah pilhan kita teman rapat kita itu. Tapi bila kita tak melebihkan saudara yang tak berapa nak rapat itu, sudah tentulah selamanya ianya tidak akan menjadi rapat. Sampai bila-bila pun kita akan melebihkan teman kita dari saudara sendiri.

Waktu sedang membesar memang kawan-kawan selalu jadi keutamaan. Waktu itu kita lebih dengar cakap kawan-kawan dari cakap keluarga kita sendiri. Aku pernah melalui fasa itu. Kini, anak-anak sedang membesar. Rasanya waktu inilah aku perlu terapkan kepada mereka yang keluarga dan saudara mara itu paling utama. Aku perlu lebih memberikan contoh yang baik kepada mereka untuk diikuti oleh mereka pula.

Mulai sekarang aku perlu terapkan dalam diriku sendiri untuk mengutamakan yang lebih utama. Tiada masalah untuk melebihkan teman-teman. Teman-teman juga sangat penting dalam hidup kita. Tapi bila perlu buat pilihan, aku tahu siapa yang perlu aku utamakan. Siapa juga yang perlu aku lebihkan.

Tuesday, November 8, 2011

Hartaku...

Salam buat semua..

Hari Raya Aidiladha yang indah. Indah kerana masih berpeluang mendengar dan ikut sama bertakbir raya. Bila waktu hari raya, saat yang paling indah ialah bila dapat berkumpul dengan seisi keluarga, mak ayah, adik beradik dan saudara mara. Bila berkumpul bermacam-macam cerita yang keluar. Bercerita dengan orang-orang yang rapat memang terlalu banyak bezanya dengan orang yang tidak begitu rapat. Dengan orang-orang yang rapat banyak perkara yang menjadi rahsia kita bertukar menjadi cerita bersama. Dan ianya akan terus kekal menjadi rahsia bersama selepas itu tanpa sesiapa pun yang akan membuka cerita itu pada orang lain.

Bila dengan yang rapat laga pipi bukan sekadar menjadi ikutan. Tapi lebih kepada mahu mencium pipi orang-orang yang rapat dengan kita. Perasaannya jadi indah bila kita rasa sangat rapat ketika itu. Terasa kasih dan sayang itu meresap ke jiwa. Pada aku, keluarga sendiri dan keluarga mertua, adik beradik dan saudara mara tetap yang paling utama dalam hidupku. Bila bersama mereka, aku rasa sangat seronok dan sungguh selesa. Merekalah kebahagiaanku. Harta yang tak terbeli walaupun aku punya segalanya dalam dunia ini. Syukur Ya Allah, Alhamdulillah.

Friday, November 4, 2011

Tokoh Kanak-Kanak Sekolah..

Salam untuk semua..

Waktu zaman sekolah rendah dulu, hari kanak-kanak memang dirai di sekolah. Teringat lagi betapa seronoknya bila cikgu membawa kami ke Stadium Negara untuk meraikan Hari Kanak-kanak peringkat kebangsaan ketika aku dalam darjah 6. Waktu tu, semua wakil bagi setiap negeri ada. Memang meriah suasananya. Siap masuk tv lagi. Pada hari tersebut, waktu yang paling di tunggu-tunggu ialah waktu Tokoh Kanak-kanak di nobatkan. Walaupun bukan namaku yang disebut, tapi aku tetap tumpang suka.

Hari ini sekolah anak-anakku meraikan hari kanak-kanak peringkat sekolah. Seminggu lepas Han ada berbisik padaku tentang sesuatu yang cikgu minta rahsiakan dari orang lain. Mama, cikgu pilih Han jadi tokoh kanak-kanak perempuan sekolah tahun ni. Mama diam-diam tau. Jangan sampai Is dengan Az tahu... Berseri-seri dan malu-malu wajah Han ketika itu. Tentunya dia teruja dan gembira.

Besarnya hatiku mendengar perkhabaran itu. Alhamdulillah, syukur. Bila dah rahsia tu memang adik-adiknya pun tak boleh tahu juga. Han terpaksa memberitahu padaku sebab cikgu minta beli baju untuk dipakai pada hari ini supaya sama dengan tokoh kanak-kanak lelaki. Tersenyum lebar en.asben bila aku khabarkan tentang berita anak perempuan kesayangannya itu. Hati mama dan ayah manalah yang tak seronok kan. Walaupun hanya di peringkat sekolah, kami tetap rasa cukup bangga dan terharu dengan pencapaian Han. Doaku semoga Han terus cemerlang dan berjaya di dunia dan akhirat. 

Tokoh kanak-kanak perempuan Sekolah SRD tahun 2011. Semoga anak sulungku ini menjadi contoh yang baik untuk adik-adiknya.

*Entah apalah cerita Is dan Az tentang kakaknya petang ni. Tentu mereka terkejut dan tak percaya. Tahniah untuk Han. I'm proud of you my dear.

Thursday, November 3, 2011

Tertinggallah pulak..

Petang semalam teman-teman ajak ke gim. Tapi aku tak bawa baju sukan. Jadinya tak dapatlah nak ikut serta. Ruginya. Sebenarnya gim kat ofis ni memang dah lama ada. Cumanya baru-baru ni peralatannya dah ditukar kepada yang baru. Jadinya semua orang jadi berminat untuk menggunakannya. Termasuklah aku he..he.. Pagi ni memang bersemangat nak buat senaman di gim petang nanti. Jadinya pagi tadi aku dah masukkan seluar track, t-shirt, tudung dan stokin ke dalam beg.

Ketika separuh perjalanan ke pejabat barulah aku tersedar yang aku terlupa nak bawak kasut sukan sekali. Aduhai. Tapi... kasut adidas yang en.asben pakai untuk jalan-jalan ada dalam kereta. Kalau aku sauk kasut tu, ikat ketat-ketat agak-agak boleh tak? he.he.. Sebabnya bukan apa. Kalau aku bertangguh lagi hari ni takut-takut semangat yang ada ini bertukar kepada semangat yang hilang pulak ha..ha..

Wednesday, November 2, 2011

Tak sesenang mana rupanya...

Saya pun pernah menulis novel, tapi cuma separuh jalan..

Banyak aku dengar kata-kata yang sebegitu. Aku yang mendengar pula terasa ralat. Sebab terasa sayang sangat bila ianya tidak diselesaikan. Tapi aku faham sangat, bukan semudah dikata untuk menyudahkannya. Jadinya memang aku suka nak bagi semangat untuk mereka meneruskannya. Waktu dulu sebelum aku menulis, yang aku tahu hanyalah berkata itu dan ini tentang penulisan orang lain. Ianya kerana tulisan mereka tidak memenuhi jiwaku. Tapi sekarang ini barulah aku tahu betapa susahnya untuk menyiapkan dan menghasilkan satu karya itu. Lebih sukar untuk memenuhi minat orang lain untuk membaca dan menyukainya. Maka kini, aku lebih menghargai karya orang lain apatah lagi karya ku sendiri.

Sekarang ini pun, agak sukar untuk aku menyiapkan karya yang kedua. Ingatkan bila ada yang pertama, yang kedua itu akan jadi lebih mudah. Tapi rupa-rupanya, ianya lebih sukar bila ada perbandingan. Setelah berbulan-bulan, saat ini baru 115 muka surat saja yang aku dapat buat. Takut-takut juga andai ianya tak dapat diselesaikan juga. Cerita di kepala sudah lengkap jalan ceritanya, tapi untuk diterjemahkan dalam bentuk tulisan terasa tidak seperti yang dibayangkan atau seperti tidak sampai maksud yang mahu di ketengahkan. Ada masa bila menulis di hujung minggu, bila idea itu datang, dapatlah dalam 10 muka surat untuk sabtu dan ahad. Ada masa-masanya hanya 2 muka surat saja yang dapat ditulis untuk tempoh seminggu.

Kadang-kadang tu, dua hari memikir untuk satu-satu babak tu. Tapi bila diterjemahkan dalam bentuk tulisan, hanya separuh muka surat saja isinya yang keluar. Ianya memang tidak mudah untuk aku. Bila macam tu, terfikir juga, mungkin aku tak berbakat tapi sekadar berminat. Maka ianya jadi tidak mudah untukku seperti orang lain. Doaku semoga aku ada banyak idea untuk mengolah cerita di dalam kepala dalam bentuk tulisan.  Cukup kagum dengan orang yang mampu menulis banyak buku dan novel dengan penceritaan yang cukup menarik. Harap-harap aku dapat menjadi seperti itu juga.

Tuesday, November 1, 2011

Wah.. dia pun bacalah...

Minggu lepas waktu tengok-tengok FB Buku Prima, terbacalah satu status ni. Status itu oleh Intense Idea - Fauziah Ashari. Bagi peminat novel, tentu begitu mengenali novelis tersebut. Penulis novel Ombak Rindu tu. Dia update dia dah baca novel Takdir Fitrah Terindah dan satu lagi novel dari Buku Prima, Purnama Merindu. Katanya okey, dia suka dan kena dengan jiwanya. Aku yang membaca status itu tentulah rasa seronok dengan muka macam nak senyum sepanjang hari. Walaupun sekadar komen biasa, namun status itu terasa sungguh bermakna buat diriku yang sangat meminati tulisan-tulisannya.


Manakan tidak. Fauziah Ashari tu novelis kegemaran aku. Aku mula gila novel selepas membaca novel hebatnya Ombak Rindu. Jadinya, bila dia membaca novelku dan katanya kena dengan jiwanya, tentunya aku rasa seronok. Tak sabar nak tunggu filem Ombak Rindu ditayangkan. Dengarnya dalam bulan December ni. Rasanya dah berapa kali aku ulang baca novel tersebut. Kesemua novel-novel sambungan Ombak Rindu juga aku sudah baca dan milikinya. Jadi, mahunya aku tak suka bila membaca komen darinya itu. Rasanya macam nak like banyak-banyak kali status tu he..he.. Angau betul.