Nuffnang

Tuesday, January 31, 2012

G.I.G.I...

Pagi ini terbaca mengenai regim gigi sihat di Kosmo. Aku jadi berminat dengan tajuk didikan bermula dengan ibu bapa. Aku sangat bersetuju. Sebab aku juga begitu. Sejak kecil memang emakku menitikberatkan tentang kebersihan gigi. Teringat lagi waktu kecil-kecil dulu. Memang kami adik beradik kena berulang ke bilik air kalau berus gigi tak bersih. Emak memang pantang tengok gigi kami tak bersih. Selagi tak putih bersih selagi tu kena berus semula. Bila kena masuk ke bilik air semula memang aku akan gosok kuat-kuat biar bersih. Tapi sebenarnya gosok kuat-kuat pun kalau tekniknya salah memang takkan bersih juga. Jadinya bila keluar bilik air memang emak akan suruh gosok lagi semula. Bila dah lama-lama jadi pandai sendiri. Selagi gigi tak diberus dengan bersih dan sempuna memang aku tak keluar dari bilik air tu.

Waktu di sekolah ramai kawan-kawan cina yang kata gigi aku macam gigi iklan colgate. Padahal gigi aku bukannya jenis yang tersusun pun. Kata mereka gigi aku putih bersinar.  He..he.. tak sia-sia berulang kali memberus gigi. Bila dah kahwin, en asben siap kata patutlah gigi you putih bersih. Berus gigi macam berus kapal. He..he.. dah terbiasa memberus dengan kuat. Jadinya melekat sampai sekarang. Sekarang ni  kalau gigi cucu-cucu emak tak bersih, memang emak akan cukup bising. Sejak mereka kecil pun emak memang tak berkompromi. Kalau dengan aku  atau adik aku, bila anak nangis-nangis tak nak berus gigi kami layankan juga. Kalau dengan emak aku memang tarik balik masuk bilik air. Tak dapat nak beruskan dengan berus gigi, dengan napkin pun jadi. Tapi kesannya memang semua cucu-cucu emak tiada yang rosak gigi susunya. Alhamdulillah. Untuk gigi kekal memang sendiri mahu jagalah.

Pada aku memang betullah didikan tentang kebersihan gigi bermula dari ibu bapa. Kalau kita tak peka, anak-anak pun leka. Penjagaan gigi akan diambil sambil lewa. Memang betul juga tu. Anak aku pun memang perlu di tanya dah gosok gigi ke belum selepas mandi. Sebab kadang kala memang keluar bilik mandi tanpa memberus gigi. Terlupa katanya. Jadinya bila kata terlupa tu memang aku suruh berus gigi sampai bersih. Selagi tak bersih memang kena berulang semula ke bilik airlah nampaknya.

Monday, January 30, 2012

Siapa yang tak nak kan..

Teringat waktu ambil duit anak yang diberi untuk pelajar sekolah seorang seratus ringgit tahun lepas. Di kertas yang perlu ibu bapa tandatangan ada satu bahagian bertulis menerima atau menolak. Melihat bahagian itu aku bertanyakan soalan kepada cikgu anakku. Ada ke yang menolak duit yang diberi ni? Cikgu itu tersenggih mendengar soalanku. Duit kak. Orang banyak duit pun ambil. Jawabnya.

Sekarang ni mengenai BR1M. Kalau dulu bila ditanya pendapatan, ramai yang mengaku berpendapatan besar. Jarang benar nak mengaku bergaji kecil. Ibu bapa pun memang ramai yang buat pengakuan mengatakan anak mereka bergaji besar. Tapi bila borang keluar, ramai pula yang mengatakan mereka layak dengan alasan pendapatan mereka kecil. Kalau dah layak apa salahnya. Tapi bab bercakap besar dulu tu macam tak berapa nak kena. 

Hmmm... siapa yang taknak duit kan..

Sunday, January 29, 2012

Karnival Karangkraf 2012 yang hebat dan menarik...

Alhamdulillah, semalam sampai juga ke Karnival Buku Karangkraf. Seronok dan meriah. Orang sangat ramai dan penuh padat. Untuk satu jam pertama, memang duduk saja di bangku penulis kerana Novel Takdir Fitrah Terindah sudah kehabisan stok.Alhamdulillah... Terima kasih kepada pembaca dan pembeli yang sudi mendapatkannya. Seronok dapat berjumpa dengan Team Grup Buku Karangkraf. Gembira dapat berjumpa dengan editor Buku Prima Pn. Norhawanis yang banyak membantu. Selama ini cuma berhubungan di telefon dan e-mel saja. Berbesar hati dapat berjumpa dengan En. Mohd Ali, Senior Editor Buku Prima. Beliau sendiri yang tolong hantarkan Novel TFT di meja penulis. Terima kasih banyak. Semalam dapat berjumpa dengan Pengurus Besar Editorial, Pn. Sri Diah juga. Paling teruja dapat berjumpa dengan novelis-novelis lain. Semuanya sangat ramah. Berborak sakan semalam. Walaupun baru pertama kali berjumpa, tapi terasa cukup selesa untuk berbual mesra. Sangat gembira dapat berkenalan dengan  novelis Kak Nora Fuad dan Kak Maya Rashidah. Kepada pembaca yang sudi datang dekat dan membeli novel TFT, terima kasih banyak. Siap ada yang minta tunggu kerana masih perlu beratur lama untuk membuat pembayaran. Saya teramat-amat berbesar hati dan menghargainya. 

Han sibuk juga memilih buku semalam. Siap tolong carikan novel untuk mama dan kawan-kawan mamanya juga. Kesian dia, dua tiga kali kena beratur panjang untuk membuat pembayaran. Terima kasih banyak Han sayang. Dia memang sangat membantu dan cukup memberikan sokongan pada mamanya. Habuannya, banyak juga buku yang dibelikan oleh en.asben untuknya.Senyum lebar sebab dapat bawa balik banyak buku. Koleksi Merah Cinta Kita antara yang menjadi pilihan Han untuk diri sendiri dan adik-adiknya. Sampai di rumah, saya turut jatuh hati untuk membacanya. Memang koleksi yang bagus dan menarik untuk pembacaan anak-anak. Tahniah untuk Buku Prima dan penulis-penulis Koleksi Merah Cinta Kita. Malam tadi rumah sunyi sepi kerana anak-anak leka membaca. Seronok sangat rasanya melihat minat membaca anak-anak itu.

Pada yang tinggal berhampiran dan masih belum berpeluang untuk ke Karnival Karangkraf 2012, apalagi, jangan lepaskan peluang. Hari ini hari terakhir. Memang berbaloi-baloi membeli dengan diskaun yang sangat menarik. Ada banyak aktiviti yang disediakan. Pendek kata Karnival ini sangat owesome!!!. Datang lebih awal adalah sangat digalakkan. Kami yang sampai pada pukul 11 pagi semalam pun perlu menapak jauh untuk ke kereta. Alhamdulillah ada en.asben yang baik budi. Sudi nak tolong bawakan, sudi nak bersesak-sesak mencari parking dan berjalan jauh. Juga sudi untuk tolong beratur panjang untuk membuat pembayaran.  Yang paling penting sudi menemani selama 3 jam di sana semalam. Terima kasih banyak. Untuk Grup Buku Karangkraf, tahniah untuk karnival yang hebat dan menarik ini.  

Friday, January 27, 2012

Tumbang..

Petang isnin lepas, hujan turun dengan lebatnya. Angin bertiup kuat. Guruh dan kilat juga sabung menyabung. Kami sedang menghabiskan masa di rumah waktu cuti CNY tu. Waktu aku di dapur terdengar anak-anak bising-bising di depan. Mama pokok tumbang. Aku masih selamba lagi. Sebab anak-anak selalu buat gempak dengan penggunaan bahasa yang salah. Pasu bunga jatuh tergolek depan rumah pun boleh dikatanya pokok tumbang. Bila terdengar en.asben yang bersuara barulah aku jadi kalut. Aku intai dari sliding door rumah. Tak nampak apa sebab hujan lebat. Cuma nampak selongok hijau di depan rumah. Aku lari ke atas untuk mengintai dari tingkap bilik. Barulah aku nampak dengan jelas. Subhanallah.


Alhamdulillah, pokok itu tumbang tidak mengenai sesiapa yang sedang melintasi jalan. Ianya juga tidak menimpa kereta kami. Jaraknya cuma sekaki lebih saja lagi. Juga tidak menimpa kereta jiran sebelah mahupun jiran depan. Kalau pokok itu tumbang ke sebelah kiri memang ianya akan menghempap kedua-dua kereta kami. Kalau tumbang ke sebelah kanan memang  menghempap kereta jiran. Jiran depan pula baru sekejap keluar sebelum hujan. Jika tidak memang keretanya di parkir di kawasan pokok tumbang itu. Kalau pokok itu tumbang ke belakang memang akan mengenai rumah kami. Sebelum itu memang anak-anak bermain di depan rumah. Alhamdulillah, Allah melindungi kami dan harta benda kami dari bencana. Berulang kali aku mengucap syukur. Selepas hujan teduh barulah kami sekeluarga dan jiran-jiran keluar untuk melihatnya. Semuanya melahirkan rasa syukur. Terima kasih kepada pihak bomba yang membantu memotong pokok dan mengalihkan pokok itu. Kalau nak angkat sendiri memang tak terlarat.

Petang itu aku berasa sungguh syahdu. Terima kasih Ya Allah. Tiada siapa yang mampu melindungi kami selain Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang. Yang maha berkuasa atas segalanya. Alhamdulillah.

Thursday, January 26, 2012

Layanan bak artis...

Hari ahad baru ni aku dan keluarga menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu di Bangsar. Majlis dibuat di dewan. Majlisnya cukup simple tapi tetap meriah. Makanan yang dihidangkan sangat sedap. Ada nasi bariyani, ada mee rebus, ada kuih muih yang beraneka jenis dan ada murtabak singapore yang dihidangkan panas-panas juga. Di atas pentas tiada pelamin yang di pasang. Tapi ada sekumpulan pemuzik yang memainkan muzik secara live di situ. Meja makan beradab di letakkan di depan dewan untuk pengantin. Makanya memang tiada majlis bersanding. Nampak lain dari majlis perkahwinan melayu biasa. Tapi suasananya tetap sama. Pengantin yang sama cantik sama padan masuk ke dewan dengan baju sedondon berwarna biru nila diiringi selawat nabi.

Selepas en.asben, Han dan Is mengambil makanan, aku dan Az pula bangun untuk mengambil makanan. Ada seorang pakcik dan dua orang anak remajanya beratur di hadapan kami. Aku perasan, sejak aku sampai, sehinggalah aku berdiri di situ, pakcik itu asyik memandangku. Setiap kali dia memandang, aku membalasnya dengan senyuman. Maklumlah majlis kenduri keluarga. Mungkin pakcik itu juga salah seorang dari saudara mara yang aku tidak kenali. Ibu pengantin pun aku baru mengenalinya ketika majlis kenduri kahwin adik bongsuku. Walaupun dia sepupu yang rapat kerana ayahku dan ayahnya adik beradik, tapi oleh kerana arwah ayah dibela oleh makciknya sehingga dewasa, maka kami lebih rapat dengan saudara yang sebela dengan arwah ayah. Dengan keluarga adik beradik kandung arwah ayah kami tidak berapa rapat. Maka ramailah kaum keluarga sendiri yang aku sendiri tidak kenali.

Waktu sampai giliran pakcik itu untuk megambil pinggan, dia mengambilkan pinggan untuk anak-anaknya juga. Kemudian diambilkan pinggan untuk aku dan Az sekali. Orang berbudi, tentulah kita kena berbahasa. Aku mengucapkan terima kasih dan minta Az berterima kasih juga. Pakcik itu tersenyum. Selepas mengambil lauk pauk dan hidangan lain, pakcik itu masih memandangku. Waktu aku mengambil air pakcik itu menegurku. 

Pakcik : Awak ni pelakon kan?
Aku :  Eh, taklah pakcik. Saya bukan pelakon. 
Pakcik : Awak bukan pelakon yang pernah kahwin dengan pemain bola tu ke?
Aku : Bukan pakcik.
Pakcik : Oh, saya salah orang lah ni. Minta maaf ya.
Aku : Takpe pakcik.

Takpe pakcik saya tak kisah pun. Terima kasihlah sebab pakcik telah melayani saya dengan baik bak artis. He..he..

Wednesday, January 25, 2012

Karnival Karangkraf 2012

Kalau berkelapangan, jom semua ke Karnival selama 3 hari ini. Boleh layan buku dan aktiviti-aktiviti menarik di sana..

InsyaAllah, saya akan berada di sana pada hari Sabtu 28/1 jam 11 pg~1 th... 


Ada penulis dan novelis lain juga. Boleh membeli buku dengan diskaun sehingga 70% (Itu yang best tu.)

Sunday, January 22, 2012

Nasi bariani sarapan kami..

Dalam fridge ada nasi bariani JM lebihan semalam. Boleh buat sarapan untuk pagi ni. Semalam emak dan adikku ke rumah arwah pakcikku di Subang. Walaupun aku tak ikut sama, tapi seperti biasa tentunya ada bekalan untuk kami juga. Alhamdulillah. Setiap kali berkunjung ke rumahnya, memang tak pernah kosong tangan untuk bawa pulang bekalan nasi bariani yang cukup lazat dari restorannya. Sehinggakan terasa segan pula. Tapi kata orang rezeki jangan di tolak. Musuh jangan dicari.  Jadi pagi ni dapatlah kami makan nasi bariani yang sedap itu lagi. Kuah masak barianinya juga sangat sedap bila dicicah dengan roti.

Waktu hayat arwah pakcikku memang begitulah juga. Arwah begitu pemurah orangnya. Semoga arwah tenang di sana hendaknya. Sekarang ini setelah beberapa bulan arwah pergi masih begitulah juga keadaannya. Semoga terus berkat dan murah rezeki mereka sekeluarga. Semoga perniagaan JM Bariani terus berkembang hendaknya. Pada aku memang nasi bariani JM Bariani adalah yang terbaik dan tersedap pernah aku makan. Sebab itu kalau teringin sangat memang kami pergi makan atau beli di JM Bariani cawangan Bangi.  

Kawan-kawan semua bersarapan apa pagi ni?

Saturday, January 21, 2012

Bila idea datang...

Bila idea dan semangat untuk menulis datang di dinihari yang sejuk dan tenang, aku lebih rela menelan rasa cemburu melihat en.asben dan anak-anak menarik selimut dari melarikan jari jemariku dari papan kekunci. Semoga idea terus datang mencurah hendaknya. Ya Allah, semoga dipermudahkan.

Selamat bercuti panjang untuk semua. Al-fatihah buat arwah Izwan Pilus.  

Friday, January 20, 2012

Doa untuk Ibu bapa..

Dapat e-mel yang baik ini dari ustaz di pejabat. Doa yang baik untuk ibu bapa kita. Terima kasih Ustaz Nazri.Terasa mahu berkongsi dengan kawan-kawan semua. Semoga doa kita di hari jumaat ini diperkenankan hendaknya.

Bagi mereka yang masih mempunyai ayah bonda atau kedua mertua... Pintalah permohonan ini...

Ya ALLAH, Tuhan yang Maha Menguasai atas tiap-tiap sesuatu, Tuhan yang Maha Mengatur segala kehidupan dan kematian, Tuhan yang Maha Mengaturkan segala ketentuan,  Aku memohon Ya ALLAH,

agar aku diberi kelapangan masa untuk ibu bapaku ketika mereka di saat-saat akhir kehidupan mereka,

agar aku dapat menatap wajah mereka buat kali terakhir,

agar aku dapat hilangkan rasa rindu pada mereka setelah pemergian yang tidak akan kembali lagi ke sisi kami ya ALLAH,

agar aku dapat mengajar mereka mengEsakan Mu ya ALLAH.

Ya ALLAH, Tuhan yang Maha Mengetahui walaupun sesaat kehadapan, Tuhan yang Maha Berkuasa terhadap segala apa yang ada di langit, di bumi dan antara keduanya, Tuhan yang berfirman bahawa pohonlah kepada ALLAH, nescaya ALLAH makbulkan setiap permohonan. Aku mohon untuk diperkenankan. Ameen.

Thursday, January 19, 2012

Malam gemilang isteri tersayang..

Mood : Mengantuk.

Malam tadi balik lambat. Pergi Malam Gemilang di Palace of Golden Horses. Melaram dengan tema hitam putih. Baju dan skirt serba hitam. Cuma selendang yang hitam putih. Janji ikut tema. Gambar tak ada. Orang lain snap-snap gambar. Aku tengok saja. Makan sedap. Ada artis hebat. Aishah, Atilia dan Jay-jay. Persembahan mantap. Manakan tidak, mereka cukup berbakat dan bersuara sedap. Memang terhibur. Mulut pun ikut nyanyi sama. Orang lain pun aku lihat sama juga. Ada banyak cabutan bertuah. Tapi satu pun tak dapat. Takpe, rezeki malam tadi milik orang lain. No 198 tak naik. Tumpang suka tengok mereka dapat hadiah bawak balik. TV, Camcorder, Ipad dan hadiah-hadiah lain dalam kotak kecil besar yang entah apa isinya.

En.asben call tanya u kat mana. Aku jawab lambat sikit, minta tolong tunggu ya. Drive malam-malam, sorang-sorang, jalan lengang memang menakutkan. Minta teman ofis jalan sekali separuh jalan. Lepas tu kami ikut haluan masing-masing. Pecut ke rumah ditemani alunan ayat Al-quran di saluran IKIM FM. Sebenarnya waktu itu lebih takutkan orang yang bertopeng dari takutkan jembalang. Alhamdulillah, sampai ke rumah dengan selamat. En.asben dah menunggu di depan rumah dengan pagar terbuka. Terima kasih sayang. Kalau u tak tunggu kat luar memang I tak keluar dari kereta nak buka pagar. Kembangnya hati bila ada orang sayang. Kalau tak sayang takkanlah nak berjaga malam semata-mata nak tunggu isteri tersayang di malam gemilang kan eh..eh.. tersayang dan gemilanglah sangat.. he..he.. Minta maaf ya. Hari ini aku merapu.

Wednesday, January 18, 2012

Cantik, anggun dan menawan...

Malam tadi aku keluar bersama anak-anak ke Uniform Galery untuk membeli uniform pengakap Is. Aku perasan ada kereta besar di sebelah. Sewaktu mahu keluar dari parking aku berpandangan dengan pemilik kereta di sebelah. Kami berbalas senyuman. Orangnya muda dan cantik. Berpenampilan cukup molek dengan badan yang menarik. Dengan kereta besar tentunya dia orang yang berduit. Di dalam kedai aku terpandangkannya lagi. Kebetulan pula kami memasuki kedai yang sama. Sama-sama mahu membeli uniform. Tudung Ariani yang dipakai membuatkan aku dapat mengecamnya. Penuh padat orang di dalam kedai itu malam tadi. Semuanya mencari pakaian unit beruniform kerana hari rabu adalah hari yang diwajibkan untuk pelajar memakai pakaian persatuan dan unit beruniform di sekolah.

Waktu leka beratur untuk membuat bayaran dan sibuk-sibuk melayan Is dan Az kami saling terlanggar pula. Pada ketika itu dia mahu keluar dari kedai. Kata maafku dijawab dengan baik. Kami berbalas senyuman lagi. Entah mengapa sampai hari ni aku teringatkannya. Aku terfikir sendiri, mengapa agaknya ya? Sebab dia cantik? Aku rasa tidak juga kerana bukan aku tak pernah tengok orang cantik. Sebab dia kaya? Tidak juga, kerana bukan tak pernah tengok orang berkereta besar. Tapi aku teringatkannya kerana senyuman manisnya. Kerana budi bahasanya. Itu yang membuatkan dia istimewa di mataku. Orang kaya dan cantik, itu biasa bagiku. Tapi orang cantik dan cantik senyumannya juga orang kaya yang kaya berbudi bahasa itu yang menjadikan ianya luar biasa. Bukan tak pernah jumpa. Cuma jarang nak jumpa.

Aku suka tengok orang yang ada beg atau kasut berjenama. Aku suka lihat orang yang ada kereta menjalar atau rumah besar. Bila tak mampu nak ada, tumpang tengok pun dah suka. Tapi kalau orang itu pemurah dengan senyuman dan berbudi bahasa, itu memang aku lebih suka untuk perhati. Ini kerana perkara itu mampu aku adakan. Boleh aku ikuti. Aku suka dan seronok untuk menjadi sepertinya yang boleh menyenangkan hati orang lain. Berhadapan dengan ramai orang membuatkan aku dapat lihat banyak perkara dengan sikap orang. Memang bagus kalau menghormati orang kerana orang itu siapa. Tapi lebih bagus lagi kalau menghormati orang walaupun orang itu bukan siapa-siapa. Orang yang bukan siapa-siapa sepertiku ini tentunya sangat berbesar hati jika menerimanya.

Tuesday, January 17, 2012

Ada orang kirim salamlah..


http://www.adzriel.com/
Semalam dapat sms dari teman blogger ni. Teman blogger yang seorang ini adalah teman blogger yang pertama aku bersua muka. Sejak itu kami jadi rapat dan  kerap juga kami bertemu. Pernah juga beberapa kali kami keluar makan bersama. Teman blogger ini antara yang banyak menyokong aku. Selalu saja aku, blogku dan novelku Takdir Fitrah Terindah dipromote secara langsung dan  tidak langsung di blognya. Terima kasih  banyak Kak Liza.

Sejak masuk tahun 2012 ini, blognya semakin sepi. Kalau tidak, setiap hari akan ada beberapa entry menarik darinya. Kesibukkan dengan kerja juga menguruskan anak-anak membuatkan Kak Liza tidak dapat meluangkan masa untuk update blognya seperti dulu setakat ini. Jadinya semalam, Kak liza ada minta tolong untuk sampaikan salamnya buat teman-teman blogger. Katanya, dia minta maaf kerana tidak dapat membuat kunjungan ke blog teman-teman. Aku pasti, tentunya Kak Liza merindui teman-temannya. Betul tak Kak Liza?

Untuk semua teman-teman yang mengenali Kak Liza@AdzrielAB, salam "sayang" darinya. Sayang tu aku tambah sendiri sebab aku tahu yang Kak Liza memang penyayang orangnya. Teman yang mengenali Kak Liza tentunya bersetuju denganku kan. Untuk Kak Liza, semoga segala yang akak lakukan mendapat keberkatannya. Take care kak. Andai ada masa dan kelapangan, bolehlah berkongsi cerita dengan kami lagi. 

Monday, January 16, 2012

Kesian mereka...

Hari jumaat ketika berbual dengan Han, dia bercerita tentang kawannya yang bersekolah menengah di sekolah X. (Jika tidak dapat masuk ke SMJ4 tempoh hari, Han juga akan belajar di sekolah itu). Katanya kesian pada kawannya. Menangis di sekolah kerana terasa dengan kata-kata seorang guru di sekolah itu. Nampak muka Han pun macam ralat dangan cerita itu. Aku yang mendengar juga mempunyai rasa yang sama. Terasa macam tak patut betul. Menurut cerita kawan Han, guru tersebut berkata, saya tak suka budak-budak dari SKSRD. Tapi ramai pulak yang masuk ke sini. Boleh pula guru tu mengeluarkan kenyataan begitu secara umum di dalam dewan waktu ramai-ramai. Sebagai pelajar dari SKSRD tentunya mereka terasa. Mereka bukannya budak kecil lagi. Sudah 13 tahun. Bila mendengar kata-kata sebegitu tentulah ada perasaan malu dan berkecil hati.

Selepas tadika dan mahu masuk ke darjah satu, ramai yang macam tak galakkan bila aku kata mahu masukkan anak-anakku ke SKSRD. Di mata orang, sekolah itu bukan sekolah yang baik. Tentu saja mereka berkata begitu berdasarkan cakap-cakap orang yang didengar. Bukannya dari fakta. Tapi sebenarnya sekolah itu sama  saja tarafnya dengan sekolah lain. Cumanya sekolah itu sekolah kampung. Aku masukkan anak-anakku ke sekolah itu kerana ianya paling dekat dengan rumah. Jadinya kalau ada apa-apa di sekolah aku dapat sampai ke sekolah dengan cepat. Maklumlah anak baru masuk darjah satu. Tentulah banyak kerisauannya. Bagi aku, sekolah di mana-mana pun sama. Kalau rajin dan bersungguh, siapa-siapa pun boleh cemerlang. Kalau masuk ke sekolah yang paling baik pun, tanpa kerajinan memang akan ketinggalan juga.

Pada aku sekolah SKSRD itu adalah sekolah yang baik. Guru-gurunya cukup rajin dan komited. Aktiviti sekolah yang dijalankan semuanya teratur dan tersusun dengan baik. Pencapaian keputusan peperiksaan sekolah juga semakin meningkat. Mana-mana sekolah pun ada murid yang nakal. Tapi bila sekolah kampung, pandangan orang tentang kenakalan murid kampung itu macam lebih teruk lagi. Itu yang orang dok pandang serong tu. Walaupun yang nakal itu sebahagiannya saja, tapi orang luar boleh pukul rata mengatakan pelajar dari sekolah itu semuanya sama. Kasihan pada pelajar dari sekolah itu. Pandangan orang pada mereka buruk sekali. Tak kiralah pelajar yang baik mahupun yang nakal. Pelajar yang bijak mahupun yang kurang. Mereka dinilai sama saja di mata sesetengah orang dari sekolah lain.

Kalau orang mengutuk ibu bapa kita tentunya kita marah. Begitu juga bila orang mengutuk sekolah kita. Tentunya kita ada perasaan yang sama. Sekolah kita tentu saja menjadi kebangaan kita. Lebih-lebih lagi bila guru-guru yang kita hormati ada disitu. Tak kiralah apa pandangan orang lain, tapi bagi kita, tentulah sekolah kita adalah yang terbaik. Aku dapat rasakan kesedihan teman-teman Han itu. Semoga kata-kata guru itu tidak mematahkan semangat mereka untuk belajar dan menjadi pelajar cemerlang di sekolah X.

Sunday, January 15, 2012

Iye-iye aje..

Petang semalam kami ke Taman Tasik di kawasan depan rumah. Petang semalam, di Taman Tasik itu bagaikan pesta. Ramai sungguh orang. Bermacam-macam aktiviti riadah yang mereka lakukan. Seronok rasanya dapat melepak di situ. Dapat luangkan masa berjalan sekitar tasik dengan keluarga. Juga melayan anak-anak bermain. Waktu dulu rajin juga ke sana. Semakin lama semakin berkurang. Selepas-selepas tu masih pergi juga. Tapi semakin lama semakin jarang. Sekarang ini Taman Tasik itu sudah semakin besar. Malahan ianya semakin cantik juga. Sangat sesuai untuk seisi keluarga beriadah. 

Lebih kurang 10 tahun lepas, kami berminat untuk membeli rumah yang kami diami sekarang kerana ianya berdekatan sungguh dengan Taman Tasik tersebut. Waktu tu rasa macam seronok sangat sebab rumah yang di beli berdekatan dengan kawasan untuk beriadah. Sebelum ini rumah sewa kami agak jauh dari Taman Tasik itu. Tapi kami kerap ke situ. Bila dah dekat betul dengan rumah, tak rajin pula untuk selalu menghabiskan masa di situ. He..he.. Iye-iye aje dulu nak beli rumah dekat dengan Taman Tasik. Bila dah dekat tak juga selalu pergi. Terasa rugi betul.

Saturday, January 14, 2012

Budak-budak sekarang...

Budak-budak sekarang
Di hujung minggu
Bangun pagi cari tv dan lappy

Kita dulu
Awal pagi dah pegang penyapu
Lepas tu cari kasut sekolah untuk dicuci

Budak-budak sekarang
Suruh kemas katil bila bangun pagi
Boleh pula sambung tidur semula

Kita dulu
Cadar dan bantal terus dirapi
Mengelak bebelan penuh telinga

Hmmm... anak-anak aku vs aku lah tu.
Untuk semua, selamat berhujung minggu.

Friday, January 13, 2012

Mimpi blogger...

Malam tadi aku bermimpi. Mimpi yang indah. Paling best bila dalam mimpi itu, entry untuk hari ini sudah siap aku postkan. Siap boleh rasa lega bila entry hari ni dah settle. Dalam mimpi pun boleh ambil kisah tentang entry he..he..

Makcik dan pakcikku ada krisis sikit. Kedua-dua keluarga terus renggang sejak itu. Kami sekeluarga pula masih berbaik dengan kedua-dua keluarga. Tiada masalah langsung dan tidak ikut masuk campur. Dengan keluarga makcik kami masih rapat. Dengan keluarga pakcik juga begitu. Setelah bertahun-tahun, mereka masih terus renggang. Iyelah, setelah krisis itu kedua-dua keluarga  tidak pernah bertemu atau berhubungan. Jadinya memang mustahillah untuk  perhubungan itu kembali terjalin. Keadaan ini membuatkan kami sekeluarga rasa sangat tak seronok dan sungguh tak selesa. Ini kerana kami semua sangat-sangat rapat suatu waktu dulu.

Mereka tidak lagi memburukkan sesama sendiri. Bila kami dekat dengan keluarga makcikku, pakcikku tidak kisah. Namun tidak mahu ikut serta. Bila kami merai keluarga pakcikku, makcikku juga tidak mahu ikut sama. Namun tetap tidak pernah menghalang kami. Tapi keadaan itu membuatkan kami jadi serba salah. Sudah banyak kali juga kami cari jalan untuk mereka berbaik-baik. Namun sampai saat ini ianya belum berhasil. Yang di sini cuba mengelak. Yang di sana tidak mahu mengalah. Untuk berlebihan takut-takut hubungan kami dengan kedua-dua keluarga pula merenggang. Perkara itu paling kami cuba elakkan. Mahuku mereka dapat berbaik-baik semula seperti waktu dulu. Agar saat-saat indah dulu dapat kami laluinya lagi bersama-sama tanpa ada sebarang sengketa.

Mungkin kerana perkara itu sangat-sangat aku harapkan sehingga ianya terbawa-bawa dalam mimpi. Malam tadi aku bermimpi mereka sudah berbaik kembali. Aku rasa sangat bersyukur dan sungguh gembira. Mungkin juga kerana aku terlalu mahu buat entry saat hubungan itu kembali terjalin membuatkan aku sudah termimpi-mimpikan entry tentang perkara itu. Memang terasa indah perasaanku di dalam mimpi malam tadi ketika entry itu aku postkan dengan tajuk ALHAMDULILLAH. 

Ya Allah, jauhkanlah kami dari berpecah belah. Satukanlah hati-hati kami.. 

Thursday, January 12, 2012

Hangat-hangat tahi ayam..

Malam isnin, Is berpesan padaku untuk mengejutkannya pukul 5 pagi. Aku macam, biar betul anak aku ni. Tapi bila alarm kat HP berbunyi pukul 5.45 pagi dan en.asben bangun untuk mandi, aku minta dia kejutkan Is sekali. (Selalunya pukul 6 baru kejutkan untuk mandi sebab Is sekolah pagi.) Bila aku bangun nak berwuduk aku nampak Is dah siap pakai uniform sekolah di biliknya. Duduk kat katil sambil baca buku. Ini baru awal tahun. Baru dua minggu persekolahan. Selalunya bila nak periksa pun susah nak pegang buku. Agaknya azam tahun barunya kot. Sejuknya perut aku melihat perubahan itu. Sempat juga aku cuit en.asben sekali untuk sama-sama rasa sejuk perut.

Petang selasa, Is berpesan lagi padaku. Tapi kali ini bukan seperti semalam. Ma, esok tak payah kejut abang pukul 5 pagilah ma. Mama kejut macam biasa. Sebab abang ngantuk kat sekolah bila bangun pagi sangat. He..he.. Aku pun cakaplah yang bukannya awal sangat pun waktu dia bangun pagi selasa tu. Cuma awal 15 minit saja daripada biasa. Walaupun pukul 5 dan bukan pukul 6. Iye ke ma. Takpelah, mama kejut macam biasa ajelah tau. Beria dia berpesan. Tentunya sebab dia takut ngantuk lagi bila di sekolah.

Aku pun cakaplah, hangat-hangat tahi ayamlah abang ni. Dia pun tanya kat aku apa maknanya. Aku beritahu maknanya mengambil contoh dia. Mula-mula saja bersemangat nak buat. Lepas tu dah taknak buat lagi. Dia pun mengangguk-angguk tanda faham sambil tersenggih. Oh itu ke maknanya... Agaknya baru hari tu dia faham makna peribahasa yang satu itu dengan tepat. Takpelah kalau dia tak mahu bangun awal pun. Semangat yang ada pun dah buatkan aku rasa cukup berbesar hati. Niat yang baik itukan sudah dikira. Begitu juga dengan niat mahu belajar itu. Walaupun tidak berterusan, Is tetap dapat satu ilmu tentang makna peribahasa itu. At least something than nothing kan bang.. Alhamdulillah.

Wednesday, January 11, 2012

Tak kisah pun lambat..

Semalam. Jam sudah pun 11.40 pagi. Ada tetamu yang datang. Temujanji katanya sudah diatur sebelum ini. Pegawai yang sepatutnya ditemui sudah keluar mesyuarat di luar. Pegawai lain terpaksa mengambil alih temujanji itu. Patutnya pukul 10 pagi kan temujanji itu. Tanya pegawai yang mengambil alih itu kepada tetamu. Eh, taklah pukul 11 pagi. Jawapannya yang bersahaja itu membuatkan aku terus melihat jam di tangan. Sudah 40 minit kelewatannya. Tapi tetamu itu menjawab tanpa rasa bersalah. Bagaikan 40 minit yang terlewat itu perkara biasa. Sedangkan pukul 10 atau pukul 11 pun temujanjinya, memang dia sudah lewat sebenarnya.

Semalam. Teman baikku telefon. Kenapa kau tak datang rumah aku hari tu. Tanyaku. Temanku memang tidak berjanji. Sekadar mengatakan akan datang mengikut kesempatannya. Jadinya aku memang tak kisah pun. Temanku yang ada kedai menjahit baju pun bercerita. Customer akulah. Anak dia nak masuk asrama. Jadinya aku pun tunggulah kat kedai sebab dia janji nak ambil baju anaknya yang sudah ditempah. Tak tunggu kesian pula. Kata nak datang tengah hari. Aku pun tunggulah dari tengah hari. Dah pukul 2 pun tak sampai-sampai juga. Aku nak balik rumah nanti menyusahkan aku pula kalau kena ke kedai semula bila dia datang. Sudahnya pukul 4 baru dia datang. Hilang mood aku. Nak pergi rumah kau pun dah segan sebab dah terlambat sangat.

Cerita-cerita macam ni memang dah jadi cerita biasa bagi kita. Sehinggakan tak ramai yang rasa bersalah bila melakukannya. Sedih kan. Bila temujanji sudah dibuat, patutnya perlulah ditepati. Datang perlulah lebih awal dari waktu yang dijanjikan. Bukannya lebih lewat. Bila sudah begitu, bukannya menyusahkan diri sendiri. Tapi menyusahkan orang lain juga yang punya agenda lain. Kalau tak mahu hormat masa sendiri, cubalah hormat masa orang lain. Harap-harap kita sama-sama dapat memperbaiki diri.

Tuesday, January 10, 2012

Bagaikan hatiku terbelah tiga..

Tahun lepas, anak-anakku semua bersekolah di sessi yang sama. Pagi di sekolah rendah yang sama. Petang di sekolah Kafa yang sama. Jadinya, hal urusan persekolahan tidaklah menjadi hal yang mengusarkan hatiku. Aku tak risau  sebab tahu mereka bertiga setempat. Pergi bersama. Balik juga bersama. Aku yakin mereka boleh jaga di antara satu sama lain.

Tapi tahun ini, anak-anakku bersekolah di sessi yang berlainan. Ada sessi pagi, ada sessi petang.  Disekolah yang berlainan pula. Seorang di sekolah menengah, seorang di sekolah rendah dan seorang lagi di Kafa. Pergi sekolah berlainan waktu. Balik sekolah juga begitu. Rasa tak tentu arah hatiku di awal-awal persekolahan ini. Terasa bagaikan hatiku terbelah tiga bila melepaskan mereka ke sekolah. Juga waktu menunggu mereka pulang ke rumah. Bila semuanya sudah di depan mata, barulah aku rasa lega.

Itulah hati seorang ibu. Ayahnya juga begitu. Asyik telefon bertanyakan anak-anaknya. Dah selamat pergi? Dah selamat balik? Kerisauan kami tentunya sama. Zaman ini melepaskan anak-anak di luar pandangan mata kita terasa sungguh mencabar. Bukan kerana tidak percayakan mereka. Tapi kerana tidak percayakan faktor sekeliling. Macam-macam hal yang berlaku, membuatkan kerisauan jadi berganda. Aku rasa, ibu bapa lain juga merasakan perkara yang sama denganku. 

Semoga anak-anak kita sentiasa berada di dalam lindungan Allah hendaknya.

My love Han, Is dan Az yang membuatkan hatiku terbelah tiga...

Monday, January 9, 2012

Carian yang tertinggi..

Sejak aku buat entry mengenai percutian ke Universal Studio Singapore dan juga Tip membaiki tandas (bilik air) tersumbat, nampaknya hari-hari ada yang sampai ke blogku melalui kedua-dua carian tersebut. Kiranya menjadi carian tertinggi di blog aku setakat ini. Entah mengapa, aku rasa seronok pula. Bukan kerana trafiknya. Tapi kerana rasa seronok bila dapat berkongsi.

Bukannya apa, blog aku hanya blog yang berkongsi kisah peribadi. Jadinya bila ada kisah dan cerita kita  boleh beri manfaat untuk orang lain tentunya aku terasa sangat gembira. Terasa bermakna perkongsian itu kerana memang itulah tujuan sebenar aku mahu berkongsi. Tak dapat nak beri banyak, sikit pun jadilah bila ianya dapat memberi kebaikan untuk orang lain.

Ianya membuatkan aku tersedar, kemanisan itu bukanlah hanya ketika kita menerima, tapi kemanisan itu juga kita perolehi ketika memberi.

Sunday, January 8, 2012

Bila 134 jadi 143...

Selamat hari minggu untuk semua..

Update sikit tentang perkembangan penulisanku. Bila ada perkembangan bolehlah update sebagai pembakar semangat untuk diri sendiri. Alhamdulillah, berkat sokongan dan galakan teman-teman juga anjakan paradigma (pergh.. teringin sungguh nak gunakan perkataan itu he..he..) semalam aku dapat tambah 10 mukasurat lagi. Dari subuh sampai ke tengah malam dengan banyak berhenti dalam selang waktu itu, 10 muka surat tu rasanya dah cukup banyak untukku. Semoga terus diberikan idea lagi hari ini.

Hari ini banyak pula programnya. Ada beberapa itu ini yang perlu dibereskan. Ditambah dengan nak jadi bibik pula sekejap lagi untuk tugasan mengosok uniform sekolah anak-anak yang selambak. Baju sendiri dan baju en.asben ngelat sikit. Separuh dihantar gosok untuk tolong majukan kedai dobi. Hari ini kalau dapat dalam 3-4 mukasurat pun dah cukup bagus dah. Sekurang-kurangnya berganjak dari langsung tak gerak. Semangat.. semangat..

Saturday, January 7, 2012

Tentang yang kedua...

Bila idea dan mood untuk menulis datang, terasa mahu duduk mengadap lappy dari pagi hingga ke petang waktu cuti hujung minggu. Namun tugas dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu membuatkan aku tidak boleh begitu. Sejak tiga empat minggu, masih 134 mukasurat dan tidak berganjak. Bila semangat datang, idea mengolah cerita kekeringan. Bila idea menjelma, kemalasan pula melanda.Aduhai, janganlah berterusan begini hendaknya.

Ada yang bertanyakan tentang kemunculan novel kedua. Hmm entah bila ya dapat disiapkan. Aku sendiri tiada jawapannya. Di dalam kepala sudah lengkap ceritanya dari mula hingga akhirnya. Watak ini bagaimana, babak itu  macam mana. Namun untuk dikeluarkan menjadi kata-kata yang memenuhi jalan cerita selalu tersekat-sekat pula. Untuk teman-teman yang sudi bertanya, novel yang kedua ini masih merangkak-rangkak lagi dalam pembikinannya. Harap sabar menunggu. Akan aku usahakan untuk menyiapkannya dengan baik dan bermutu mengikut kemampuanku. 

Terima kasih banyak atas sokongan teman-teman dan para pembaca untuk novel pertamaku, Takdir Fitrah Terindah. Alhamdulillah, komen yang baik, kritikan yang membina, maklum balas yang diterima dan review  menarik dan cukup berkesan yang diberi sedikit sebanyak memberikan semangat untuk aku gigih mahu menyiapkan novel kedua dan yang seterusnya, insyaAllah.

Friday, January 6, 2012

Cinta Titanic vs Cinta kami..

Cuti tahun baru yang lepas aku menonton cerita Titanic lagi di TV untuk kali yang entah ke berapa. Jadinya memang dah hafal jalan cerita dan babak-babaknya. Tapi seronok juga untuk menontonnya lagi. Bukan main romantik lagi Jack dan Rose yang U jump I jump tu. Kisah cinta yang sanggup berkorban apa saja. Segalanya dilakukan atas nama cinta.

Waktu Jack digari di bahagian deck paling bawah, air dah mula naik, Rose sanggup lagi redah air yang semakin naik  tinggi untuk selamatkan Jack. Waktu tu en.asben pun enterframe. Kalau U kat tempat Jack waktu tu ma, memang I minta maaf banyak-banyaklah sebab tak dapat nak pergi selamatkan. Sebabnya I tak pandai berenang. Jadinya memang sia-sia saja kalau  I nak tolong U sebab nanti I tak dapat nak selamatkan U pun sebab nanti I yang lemas dulu. Jadinya memang I naik atas balik...

Waktu Rose lompat dari perahu keselamatan ke kapal Titanic semula sebab tak sanggup nak tinggalkan Jack, aku pulak enterframe. Kalau I dah naik perahu tu minta maaf banyaklah ye yang. I tak berani nak lompat balik. Jadinya memang I tak dapatlah nak lompat macam Rose tu. Memang I dapat lambai-lambai saja kat U. Jadi memang I pergi naik  perahu tu dulu...

He..he.. kami bukan Jack dan Rose.. Tapi aku tahu cinta kami setanding mereka. Cinta itu pelik kan. Kata-kata yang manis ada kala boleh membuatkan hati kita terluka. Kata-kata yang pahit kadang kala boleh membuatkan kita ketawa. Ini kerana hanya kita dan pasangan yang boleh menilai  makna kata-kata itu.  Sama ada ianya benar atau sekadar bercanda.

Thursday, January 5, 2012

Saya dah.. kawan-kawan dah juga ke??

Semalam bercuti. Cuti menguruskan hari pertama anak-anak ke sekolah. Tahun ini anak-anak ke sekolah yang berbeza dan berlainan sessi. Jadinya perlu pastikan segalanya teratur dari segi pengangkutan pergi balik dan pengurusan masa yang betul untuk anak-anak. Semalam ada yang teratur ada juga yang tidak. Hari ini dan sepanjang minggu ini perlu dipantau lagi agar segalanya terus berjalan lancar untuk sepanjang tahun ini. Agar hati aku dan en.asben rasa tenteram dan tenang di tempat  kerja.

Dalam kesibukkan menguruskan anak-anak semalam, sempat juga aku ke klinik untuk buat pemeriksaan Papsmear. Sebenarnya aku ke klinik atas urusan lain. Tapi dah terlanjur bercuti dan en.asben juga sudi menemani, jadinya aku terus melakukan pemeriksaan tersebut bila doktor yang merawat itu doktor wanita. Selalu nak pergi pemeriksaan sendirian terasa berat nak buat. Tapi bila en.asben ada bersama barulah datang keberanian dan kekuatan. Semalam merupakan kali ketiga aku lakukan pemeriksaan ini selepas 13 tahun berkahwin. Kawan-kawan pula bagaimana? Dah berapa lama tak buat pemeriksaan?

Tak pernah buat pemeriksaan langsung? Bagi yang tak pernah buat pemeriksaan tu, jangan risau dan takut untuk pergi dan buat pemeriksaan tersebut. Ianya tidak menyakitkan. Bayarannya hanya RM45 di klinik swasta. Kalau di klinik kerajaan mungkin percuma. Jadi jangan ketinggalan untuk melakukannya. Bukan untuk sesiapa, tapi untuk diri kita sendiri. Sebelum kita boleh menjaga orang lain, kita perlu menjaga diri kita sendiri. Dulu, waktu di tempat kerja lama memang ada disediakan pemeriksaan ini di tempat kerja. Pihak Klinik Kesihatan akan datang untuk membuat pemeriksaan secara percuma untuk pekerja wanita. Sangat mudah dan menyenangkan.

Namun walau sudah ada kemudahan seperti itu, ada juga yang tak mahu buat pemeriksaan atas bermacam-macam alasan. Ada yang takut. Ada yang malu. Ada juga yang kata, daripada tahu ada penyakit lebih baik tak tahu. Setiap orang ada pandangan masing-masing. Tiada paksaan sebenarnya.  Ada yang kata kadang tu orang yang sentiasa membuat pemeriksaan, kadang-kadang dia yang terkena penyakit tu dari yang tidak pernah membuat pemeriksaan langsung. Bagi aku kalau sudah itu takdirNYA, siapa kita untuk menolak ketetapan itu. Harap-harap yang membuat pemeriksaan dan yang tidak membuat pemeriksaan sentiasa dilindungi dari sebarang penyakit hendaknya.

Aku akui, menunggu keputusan pemeriksaan adalah lebih menakutkan dari membuat pemeriksaan itu sendiri. Macam sekarang ini, aku memang berdebar-debar untuk tahu keputusannya. Tapi dalam pada itu tetap mengharapkan hasil ujian baik-baik saja. Aku lebih memilih untuk berkata, nasib baik buat pemeriksaan awal, sekurang-kurangnya tahu ada penyakit dari berkata kalaulah aku buat pemeriksaan awal dulu, mungkin keadaannya akan jadi lebih baik. Kita selalu tidak mahu ambil peluang yang ada. Tidak hirau untuk menghargai peluang. Tapi selalu menyesal bila kita kehilangan peluang itu.

Pernah pergi melawat orang yang punya penyakit diperingkat yang kritikal atau yang sudah dikesan pada tahap akhir tak? Paling tidak pun pernah tengok wawancara atau iklan di TV? Selalu kita dengar, mereka ini begitu beria berpesan dan tak lupa untuk menasihati Buatlah Pemeriksaan Awal. Ajak kawan-kawan. Mereka tiada kepentingan langsung untuk nasihat dan pesanan itu. Tiada gunanya nasihat dan pesanan itu buat diri mereka sendiri. Tapi mereka tetap mahu memberikannya agar kita tidak terlepas peluang yang ada. Kenapa agaknya ye? Pada aku tentulah mereka mahu kita menghargai untuk mengambil peluang membuat pemeriksaan awal itu.

Kenapa aku sibuk nak bercerita? Biasalah aku perempuan. Aku tahu, perempuan ni suka cemburu. Bukanlah cemburu yang kalau ada orang ada handbag dan kasut baru kita pun nak ada juga. Tapi cemburu yang kalau orang ada masa untuk membaca Al-quran dan mengikuti kelas agama kita pun mahukannya juga. Maksudnya cemburu yang baik dan bertempat. Mana tahu ada yang cemburu mahu menjalani pemeriksaan awal juga sepertiku. Makanya, itulah tujuanku bercerita tentang Papsmearku semalam di sini.

Wednesday, January 4, 2012

Kemanisan duit anak-anak..

Hari isnin baru ni kami sekeluarga keluar untuk makan-makan. Biasalah orang baru baik demam. Macam-macam yang dia terasa nak makan. Itu ini yang diteringinkan. Makanya aku dan en.asben layankan saja. Sambil tu ikut seronok untuk makan-makan juga he..he.. Waktu demam Is dah cakap, baik demam nanti dia nak makan burger Subway. Makanya bila dah sihat tu kami membawanya ke Restoran Subway. Is nak belanja kami dari duit yang dia dapat dari pemberian tetamu yang melawatnya tempoh hari. Selepas makan burger, teringin pula nak makan aiskrim. Apalagi, keluar Subway masuk ke Baskin Robbinslah pula. Kali ini Han pula yang nak belanja dari duit yang dia dapat dari pemberian keluarga terdekat untuk UPSRnya tempoh hari.

Terasa manis sangat rasanya bila anak-anak yang keluarkan duit belanja. Beginilah agaknya rasa ibu bapa yang menerima duit dari anak-anak. Sedangkan nilainya tidak seberapa. Padahal ibu bapa ada duit sendiri. Tapi belanja dan duit dari anak-anak ada nilainya yang tersendiri. Rasa seronok bila anak-anak mahu belanjakan duit mereka untuk kita. Mahu berikan wang mereka untuk kita rasa. Patutlah aku selalu lihat wajah seronok ibu bapa yang menerima wang atau apa-apa pemberian dari anak-anak mereka. Indah sungguh perasaannya. Bukan soal nilai wang itu yang menjadi penyebabnya. Tapi soal keikhlasan dan kemahuan anak-anak memberi kepada ibu bapa yang membuatkan ianya cukup bernilai dan penuh bermakna.

Bayangkan, ibu bapa yang memerlukan belanja dari anak-anaknya untuk menyara kehidupan mereka. Tentulah pemberian dari anak-anak punya makna yang lebih besar dan cukup bernilai lagi. Jadinya, jangan lokek atau terlalu berkira untuk memberi kepada ibu bapa kita. Ini kerana ianya akan buatkan ibu bapa rasa berbesar hati. Ditolak atau diterima itu cerita lain. Besar atau kecil jumlahnya juga cerita lain. Yang penting kita tunjukkan yang kita ada rasa mahu memberi kepada mereka dengan ikhlas. Percayalah, bila mereka rasa manis dan indah untuk menerima, kita yang memberi terasa lebih manis lagi.

Buat entry ni buatkan aku teringin burger Subway dan aiskrim Baskin Robbins lagi. Agak-agak Han dengan  Is nak belanja mamanya lagi tak? he..he..

Tuesday, January 3, 2012

Hujung 2011 & Awal 2012..

Alhamdulillah.. Tahun baru bermula lagi. Meninggalkan tahun-tahun lama dalam kenangan. Kenangan penuh gemilang untuk diingati. Kenangan penuh tangisan untuk diamati. Semoga yang baik dapat diperbaiki dan dikekalkan. Semoga yang buruk dapat ditinggalkan dan dijadikan pengajaran dan sempadan yang berguna. Setiap perkara pastinya ada hikmahnya yang tersendiri untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik lagi, insyaAllah.

Di hujung tahun 2011, anakku Is dibenarkan keluar dari hospital selepas 5 hari di tahan di wad kerana demam denggi. Platletnya semakin naik. Kesihatannya semakin baik. Terima kasih Allah. Terima kasih juga atas doa dan keperihatinan teman-teman semua. Syukur Alhamdulillah. Harap-harap kami sekeluarga terus diberikan kesihatan yang baik di tahun ini dan dijauhi sebarang penyakit dan wabak.

Di awal tahun 2012, kami sekeluarga ada buat majlis doa selamat sikit. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Tidak ramai tetamu yang diundang. Sekadar ahli keluarga, sanak saudara, jiran-jiran dan beberapa sahabat yang rapat. Is keluar hospital sehari sebelum majlis. Tentulah agak kalut untuk kami memasak dan menguruskan majlis sendiri.  Jika sebelum ini kami memang lebih senang untuk memasak sendiri. Namun untuk majlis kali ini, entah mengapa sejak mula aku memang teringin untuk menggunakan perkhidmatan katering. Jadinya sebelum Is dimasukkan ke hospital aku sudah menempah dan merancang segalanya. 

Rupanya memang ada hikmah disebaliknya. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan. Hikmah Allah terlalu besar. Sememangnya perancangan yang diatur oleh Allah adalah yang terbaik buat kita kerana DIAlah yang maha mengetahui akan segala-galanya. Syukur Alhamdulillah, petunjuk dariNYA diberikan dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara.

Hari ini aku rasa sungguh bersemangat untuk memulakan tahun 2012. Segala-galanya mahu aku lalui dan lakukan dengan lebih baik lagi. Semoga segala azam dan perancangan berhasil. Semoga langkah yang diatur dengan niat yang baik ini mendapat keberkatan dariNYA. Salam ceria untuk semua.