Nuffnang

Friday, March 30, 2012

Pukul 3 pagi...

Jam sudah menghampiri pukul 3 pagi. Mengantuk? Tak terasa lagi. Manakan tidak, aku sudah tertidur dulu tadi. Terjaga semula 2 jam sudah. Harap-harap aku tidak mengantuk di pejabat nanti. Idea datang. Waktu sebegini, mudah benar jari jemari berlari laju menekan kekunci. Tenang, damai, sunyi. Dan idea mula mencurah lagi. Aku tersenyum sendiri bila muka surat semakin bertambah. Rehat itu perlu. Esok, aku perlu berikan perkhidmatan yang bermutu. Jadinya, aku perlu tidur dahulu. Mana tahu idea datang lagi dalam mimpi... 

Tuesday, March 27, 2012

36 tahun..

Alhamdulillah. Bangun pagi ini, seperti biasa masih tak lupa mengucapkan syukur kerana masih lagi bernafas.  Terima kasih Allah  atas keberkatan umur dan kesihatan yang diberikan. Terima kasih atas segala rezeki yang dilimpahkan. Juga atas segala-gala kebahagiaan duniawi yang dipinjamkan. Semoga aku terus memperolehinya, insyaAllah. 

Hari ini sudah 36 tahun umurku. Tiada apa yang lebih membahagiakan bila buka mata saja pagi ini mendapat salam peluk cium dari en.asben tercinta. Kemudian ucapan dari anak-anak tersayang. Terasa diri ini cukup disayangi dan dikasihi. Tersentuh membaca kad ucapan buatan sendiri dari Han. Rasa sangat bersyukur kerana masih dapat menatap wajah emak tersayang yang terlalu banyak jasa dan pengorbanannya. Tanpa emak, tiadalah aku.

Kunjungan sms dari teman baik di Doha dan adikku  saat aku bangun dari katil membuatkan aku tersenyum lebar. Terasa diri ini cukup dihargai kerana ada yang lain juga mengingati. Cukup berbesar hati dengan ucapan dari teman-teman melalui panggilan telefon, pesanan sms dan FB. Rasa nak peluk semuanya sorang-sorang tanda aku menghargainya. Persahatan yang terjalin terlalu indah dan bermakna buatku.

Hadiah? Perlu ke hadiah kalau apa yang aku rasa ini sudah cukup untuk buatkan aku rasa bahagia dan gembira. Kek? Perlu ke kek kalau rasa manis yang aku rasa ini tak akan dapat menandingi rasa manis kek yang paling sedap dalam dunia. Syukur? Ya, aku sangat perlu bersyukur. Alhamdulillah. Terima kasih ALLAH atas segala yang terindah.

Jam branded atau barang kemas baru? Tak perlu kut kalau I dah dapat dapur baru yang sama harga dan I boleh belek setiap hari juga. TQ en.asben. I luv u..

Monday, March 26, 2012

Mee Udang Mak Jah Kuala Sepetang...

Alhamdulillah.. Hari sabtu selamat balik kampung di Taiping. Petang semalam selamat sampai semula di rumah. Seronok tengok Tok gembira bila kami balik tiba-tiba. Tok dah berumur 88 tahun. Tapi masih kuat lagi. Cuma ingatannya kadang kala sedikit kabur. Macam bila kami baru sampai dia tak berapa nak cam siapa. Bila aku sebut nama terus Tok peluk dan menangis beria. Lepas tu terus ingat nama en.asben dan anak-anak.

Waktu balik Taiping sebelum ni, on the way balik Bangi, kami singgah makan mee udang di Kuala Sepetang. Waktu tu rasa ralat sebab tak bawa Tok sekali. Jadinya balik kali ini, memang dah plan awal-awal nak bawak Tok pergi makan mee udang. Lepas makan tengah hari kami rehat-rehat sekejap. Lepas tu keluar pergi melawat rumah saudara mara terdekat. Yang ni memang aktiviti wajib setiap kali balik Taiping. Sebab bawak emak, jadinya kenalah singgah rumah makcik emak, rumah adik emak dan rumah sepupu emak. Waktu balik terus ke Kuala Sepetang.

Tok dah cuak sebab jalan ke rumahnya dah terlepas. Biasalah orang tua. Tempat makan tu cumalah dalam 7 ~ 8 kilometer  dari simpang Taiping. Tapi Tok dah cakap jauh. Sepanjang jalan aku kena tenangkan Tok yang macam takut kami nak bawak lari dia bawak balik  he..he.. Sebenarnya kami tak tahu kedai mana Mee Udang yang paling best di Kuala Sepetang. Tapi sepanjang jalan kami nampak sign Kedai Mak Jah. Jadinya kami pun tuju sajalah walaupun banyak juga kedai-kedai lain di sepanjang jalan. Waktu kami sampai kedai Mak Jah memang penuh. Tapi masih ada tempat kosong. Tempat parking pun disediakan. Jadinya sangat selesa.

Kalau tanya tentang rasa, pada aku rasanya biasa-biasa saja. Sebab aku tak berapa suka mee udang. Jadinya makan kat mana-mana pun rasanya tak berapa nak kick bagi aku. Mee gorengnya pun sederhana saja. En.asben pun cakap biasa aje. Kiranya takdelah teringat-ingat sangat. Tapi bab udangnya memang boleh puji. Segar dan besar-besar. Paling penting banyak. Siap kalau letak udang kita dalam pinggan orang lain memang boleh jadi gaduh sebab dah kenyang dan puas makan udang sendiri he..he.. (anak-anak akulah tu). Kalau order yang special memang lebih besar udangnya. Harga sangat berpatutan. Menu Biasa RM 7 dan menu Istimewa RM 11. Jus buahnya sedap. Servis pun okey. Order cepat sampai. layanan dari pelayan kedai pun baik.

 Mee Udang special..

 Mee Goreng Udang..

Cucur Udang pun ada as side dish.. Set dengan tahu dan fish cake.. Yang ni kuah kacangnya sedap..

 Tok sedang menikmati Mee Udang..

Sori, gambar tak banyak dan tak cantik. Nak snap semua menu satu-satu betul-betul dah kena jeling dengan en.asben. Lepas kena tegur,  anoyyinglah u ni.. orang nak makan u sibuk suruh tunggu nak ambil gambar.. aku terus simpan handphone dalam beg. Tapi sebelum tu sempat uplaod gambar mee udang masuk FB jugak he..he..

Saturday, March 24, 2012

Mee Udang dan Popia Taiping...

Terima kasih pada kawan-kawan lama dan baru yang datang menyinggah. Masih tak dapat nak buat kunjungan balas. Rasa tak best dah ni. Bukan ada paksaan untuk melawat dan membalas kunjungan kawan-kawan. Tapi itulah yang aku rasakan bila kawan-kawan  sudi berkunjung ke sini. Rasa tak seronok kalau tak dapat balas balik. Sekarang ini pun lebih banyak dapat membalas jejak. Sesetengah blog kawan-kawan sempat juga singgah. Sesetengahnya langsung tak dapat nak lawat. Bukan dah lupa tapi tak cukup masa. Minta maaf ya.

Pagi ini insyaAllah, rancangannya kami akan balik kampung. Rindu pada Tok dan keluarga di sana. Ada hal sikit juga. jadinnya balik menjengguk 2 hari satu malam pun cukuplah. TAIPING yang indah, nantikan kami dengan mee udang, popia dan masakan air tangan tok yang simple dan sedap. Eh..eh.. balik kampung pun fikir nak makan ajekan he..he.. Semoga kami selamat dalam perjalanan pergi dan balik. Have a nice weekend untuk semua. Take care.   

Thursday, March 22, 2012

Rezeki Allah.. Alhamdulillah..

Alhamdulillah.. Baru sudah sarapan. Aku ni kalau kata tak cukup makan memang tak bersyukurlah namanya. Sebab kalau tak bawa bekal sendiri mesti ada kiriman pada teman-teman yang keluar. Kalau takde yang keluar akan adalah teman-teman yang berkongsi makanan mereka denganku. Pagi ini tak sempat nak bawa bekal dari rumah. Cuma sempat bawa sebiji pisang dari rumah. Tiada juga teman-teman yang keluar. Jadinya sebiji pisang sudah cukup sebagai sarapan. Tapi masih ada rezeki untukku. Dalam kalut nak ambil barang di dalam, ada rezeki dari teman-teman. Siap hantar ke meja lagi. Sekarang ini sedang kekenyangan dengan sandwich roti wholemeal yang isinya telur rebus hancur bersama mayonaise, salad yang banyak, sos yang secukup rasa  dan kepingan cheese lagi. Sedap sangat. Terima kasih teman-teman. Bersyukur itu sangat perlu. Terima kasih atas rezeki Allah.

Alhamdulillah.. hari ini senyuman ada lebar sikit. Nampaknya ada bonus yang masuk. Bukan bonus sendiri tapi bonus en.asben bersama sedikit kenaikan gaji. Dengar-dengar ada teman-teman lain juga yang menerima bonus bulan ini. Bestnya. Aku menumpang happy. Tapi untuk bonus en.asben tu haruslah aku tumpang sekaki he..he.. Ada orang dapat lebih. Ada orang dapat kurang. Begitulah bila bonus diambil kira dari prestasi kerja. Ada orang kerjanya bagus tapi penilaiannya kurang. Ada orang kerjanya kurang penilaiannya tinggi. Rezeki masing-masing kan. Yang penting semuanya mendapat imbuhan. Pada aku berapa yang kita dapat itulah rezeki yang Allah nak bagi buat kita. Ini kerana Allah maha mengetahui  keperluan kita. Jadinya tak kiralah kecil atau besar jumlahnya. Kalau tak dapat langsung. Itu juga rezeki kita. Tapi jangan risau, Allah maha mencukupi untuk kita. Bersyukur itu sangat perlu. Terima kasih atas rezeki Allah.

Alhamdulillah.. dua tiga hari ini mood menulis sudah mari. Idea mula datang mencurah. Dah lama tak rasa seronok menulis macam ni. Balik kerja aku boleh menulis. Malam lepas en.asben dan anak-anak makan aku boleh menulis. Bangun pagi boleh menulis dahulu sebelum ke tempat kerja. Tulisan yang tergantung di muka surat seratus lebih selama beberapa ketika sudah jejak ke muka surat dua ratus. Kalau Allah tak izinkan, pastinya mood dan idea itu tak datang. Harap-harap mood dan idea itu akan terus ada untuk aku menyiapkan manuskrip yang kedua. Bersyukur itu sangat perlu. Terima kasih atas rezeki Allah.

Tuesday, March 20, 2012

Malu tapi mahu...

Keyakinan diri. Aku memang tak berapa memilikinya. Malu terlebih memang selalu ada. Malu tak bertempat kadang-kadang ada juga. Tapi selalu aku cuba elakkan. Teringat waktu nak cetak manuskrip novel Takdir Fitrah Terindah. Bersungguh aku suruh en.asben cari kedai cina tak mahu kedai melayu. Bukan sebab tak nak sokong perniagaan orang melayu. Bukan juga kerana kualiti dan mutu kerjanya atau apa. Tapi kerana malu. Hanya sebab malu dan bukan atas sebab lain. Aku malu kerana kalau kedai melayu tentulah mereka tahu aku berangan-angan nak jadi penulis. Malu kerana bercita-cita besar. Macam-macam yang aku fikirkan. Takut-takut waktu mencetak mereka terbaca tulisanku dan merasakan aku hanya berangan-angan tinggi. Tapi tiada bakat.

Sebelum tu aku dah pergi ke beberapa buah kedai cina, tapi mereka tak boleh nak print double sided. Mungkin ada masalah dengan mesin mereka kot. Nak dijadikan cerita, kat tempat last aku nak cetak hanya kedai printing dan fotostat melayu saja yang masih dibuka waktu tu.  Kedai itu pula tiada masalah untuk aku cetak double sided. Aku pula jenis yang tak suka nak bertangguh kalau nakkan sesuatu. Nak settlekan hari tu jugak. Jadinya kedai melayu pun takpelah. Dah terpaksa makanya aku mengalah saja. Buang rasa malu tu ke tepi kejap. Tapi masih minta tolong en.asben yang pergi cetakkan. Aku tunggu dalam kereta he..he.. Dah bagi thumb drive terlupa bagi password pulak. Terpaksalah en. asben call tanya password. Lepas tu ada beberapa perkara yang en.asben tak sure dan call lagi. Iyelah, bukannya kerja dia. Jadinya serba serbilah yang dia tak pasti.

En.asben memang selalu sangat memahamiku. Tapi aku tak mahulah berlebih-lebihan mengambil kesempatan. Sebelum dia hot baik aku bertimbang rasa dulu. Mengelak dari en.asben terpaksa berulang kali call akhirnya aku buang rasa malu dan masuk ke dalam kedai untuk cetak sendiri. Kedai itu diuruskan oleh sepasang suami isteri melayu. Mereka sangat ramah dan sangat membantu. Keramahan dan bantuan mereka membuatkan rasa maluku berkurang. Mereka menunjukkan sokongan bila aku kata mahu mencetak dan menghantar manuskripku ke pihak penerbit buku.  Mereka sangat menyokong cita-citaku untuk jadi penulis. (Rasanya ramai orang pun begitu. Cuma aku yang berfikiran sempit waktu itu. Malu tak hengat he..he..). Mereka siap bagi nama penerbit buku yang boleh aku hubungi andainya berminat. Sebelum keluar mereka siap ucapkan selamat berjaya buatku. Ianya menjadikan aku lebih bersemangat lagi.

Mereka jugalah antara orang pertama yang tahu tentang cita-citaku selepas en.asben dan anak-anak. Orang lain memang tak tahu cerita langsung pasal aku dah mula menulis dan bercita-cita untuk jadi penulis novel waktu tu. Aku kan malu dengan cita-cita sendiri. Sampai emak yang tinggal serumah pun tak tahu aku menulis. Malu juga kalau emak tahu. Selalulah kena leter sebab duduk kat atas tak turun-turun sebab asyik menulis. Entah apalah mama kau tu asyik buat kat atas.. he..he.. Mujurlah aku boleh buang sikit rasa malu tu. Kalau tidak agaknya sampai sudah manuskrip tu tak bercetak dan terus tersimpan dalam lappy. Alhamdulillah, sejak itu aku mula ada sedikit keyakinan diri.  Sedikit sajalah, nak cerita dengan orang lain masih tetap malu lagi. Selepas penerbit call dan kata novelku diterima untuk diterbitkan, barulah aku mula bercerita pada orang-orang yang rapat untuk berkongsi rasa hati. Kalau ikutkan nak jerit lihatlah dunia, tapi aku malu. Okey aku tipu, takde maknanya aku nak jerit gitu.. he..he..  

Monday, March 19, 2012

Ish..ish.. moday blueslah pulak..

Alamak.. hari ni macam-macam  pula jadinya untuk beberapa jam ini. Pagi tadi dah "terblock" kereta orang tu sebab nak cepat kejar punch card. Entah macam mana boleh tak perasan. Sekejap tadi nak telefon orang lain tertelefon orang tu juga pulak. Aduhai.. entah macam mana boleh tersilap dail. Padahal tak pernah-pernah buat panggilan direct kepadanya. Dengar suara bukan macam suara pegawai yang aku nak telefon. Tapi suara orang tu. Nak terus letak rasa tak sedap pula. Orang tu pun dah dengar suara aku. Jadinya aku minta maaf ajelah. Berterus terang cakap tersilap dail. Nasib baik dia cakap okey, takpe.  

Ish..ish.. aku ni tau. Kalau orang tu orang lain takpe jugak. Tapi orang tu bos besar aku. Adooi.. Lepas ni kalau nampak orang tu aku terpaksa senggih ajelah sebab nak cover malu. Minta maaf Tuan Director. Hari ni saya monday blues agaknya..

Sunday, March 18, 2012

Van jenazah di majlis perkahwinan...

Tengah hari semalam kami memenuhi undangan perkahwinan teman ofis en.asben di Jeram, Kuala Selangor. Kedua-dua pengantin adalah dari ofis yang sama. Jadinya kami sangat berbesar hati untuk menghadirinya. Kami sampai di rumah pengantin kira-kira pukul 2 petang. Tetamunya ramai. Jadinya agak jauh juga kami perlu berjalan dari tempat parking di tepi-tepi jalan. Menghampiri rumah pengantin aku terpandangkan sesuatu di depan khemah betul-betul di depan pintu masuk rumah. Sesuatu yang sangat jarang ada di rumah pengantin. Rasanya macam ya. Tapi hati ini menolak. Takkan pula. Aku cuit en.asben, sebab dari jauh aku nampak seperti van jenazah. Tapi aku yang rabun jauh ini tak dapat membaca tulisan di van. Van katering kot kata en.asben sebelum dia menyedari yang itu adalah van jenazah. Kami saling berpandangan. Inalillah..

Siapa? Kami mula bertanya-tanya. Ketika kami memasuki kawasan rumah, van jenazah keluar dari kawasan itu. Suasana majlis jadi sungguh sepi dan pilu. Tetamunya ramai, tapi suasana tetap sepi.  Teman en.asben yang sudah sampai lebih awal memaklumkan yang bapa pengantin perempuan rebah 10 minit selepas majlis akad nikah pagi itu. Arwah meninggal dunia selepas itu. Sedihnya. Aku ikut sebak selepas tahu cerita. Menurut en.asben, ayah pengantin lelaki pun baru lagi meninggal dunia. Kini kehilangan ayah mentua pula di hari perkahwinan.  Kami tak sempat berjumpa pun dengan kedua pengantinnya sebab mereka ikut ke kubur. Semoga keluarga arwah redha dengan pemergian insan tersayang. Semoga arwah tenang di sana.

Jodoh pertemuan, ajal maut semuanya di tangan Allah yang maha berkuasa dan memiliki segalanya. Bila Allah kata Kunfayakun, maka jadilah ia.  

Friday, March 16, 2012

Alamak! yang mana satu betul ni???

Anak aku Han cakap, mama ni nak pergi kerja nampak macam nak pergi kenduri aje..

Mak aku pulak cakap, kalau nak pergi kenduri macam nak pergi kerja, simple sangat...

Errr... yang mana satu yang betul ni? Aku ni over ke simple sebenarnya? Confuse aku.

Kalau tanya kat en. asben tentu jawapannya, I tengok okey aje. Tak kiralah aku pakai baju apa. Melaram ke selebet ke, jawapannya memang selalu okey. Sebabnya kalau dia kata simple nanti aku nak tukar baju. Kalau dia kata over nanti aku nak tukar baju jugak. Ingat en.asben nak tunggu lama-lama. Memang tidaklah kan he..he.. So jawapan selamatnya selalu, cantikkkkk sangat. Dah cepat!

Thursday, March 15, 2012

Bermula dari sayang nak buang sebenarnya..

Intro awal dalam novelku Takdir Fitrah Terindah.

Aku masih terpaku di hujung katil. Mataku mengamit pada inai berwarna ceria di hujung jari-jemariku. Terbayang saat-saat pernikahan kami usai solat asar tadi. Debaran menanti kehadirannya di kamar pengantin ini benar-benar terasa. Hingga ke saat ini, aku masih tidak dapat mentafsir perasaannya yang sebenar.

Lelaki itu kelihatan sungguh tenang, ceria dan mesra pada majlis petang tadi. Dia seperti amat bahagia dengan pernikahan kami. Adakah dia sedang bahagia? Atau sebaliknya hanya ingin mengabui mata kaum keluarganya. Aku sememangnya tidak pasti kerana walaupun dia tersenyum namun tidak sekalipun anak matanya terarah kepadaku. Hina sangatkah aku di matanya?

Hatiku semakin tidak keruan bila daun pintu bilik dikuak dari luar. ‘Ya Allah, berikanlah ketenangan kepada hambamu ini…’ Dalam debaran masih sempat aku berdoa. Aku terus menundukkan wajah bila dia langsung tidak memberikan sebarang reaksi mahupun menyapaku. Alas cadar yang sejuk dan bercorak indah itu aku usap perlahan. Kedinginan dari penghawa dingin serta bau harum semerbak bunga rampai yang memenuhi ruang kamar itu masih tidak mampu memberikan ketenangan. Apatah lagi memberikan aku kekuatan untuk berhadapan dengannya.

Waktu itu aku di pejabat sedang menyiapkan laporan harian. Kata-kata itu tiba-tiba saja menjelma dan tersusun di kepala. Banyak membaca novel membuatkan kata-kata indah selalu berada dalam kepala. Waktu itu minat menulis tak timbul lagi. Tapi keinginan untuk menulis novel sendiri memang ada. Mengelak dari aku terlupa susunan kata-kata itu, dalam sibuk-sibuk dengan kerja, aku terus menaipnya dalam muka surat laporanku juga. Bila dah taip aku terasa sayang untuk membuang patah-patah kata itu. Dari rasa sayang itulah aku mula menyambung dan mengolah cerita. Sehingga terhasilnya cerita kisah cinta Nur Fitrah dan Aiham Fakhri. Alhamdulillah..

Biar beradab, jangan biadap..

Jika marah pada orang lain, tak perlulah dilepaskan pada orang lain sama. Apa hal pulak orang yang tak terlibat perlu dibabitkan sama.

Jika minta tolong dari orang, manis-maniskanlah mulut tu untuk mengucapkan terima kasih. Bukan minta bayaran sekadar minta berbahasa.

Jika mahu pertolongan, baru teringat mahu bertegus sapa. Jika tidak lalu depan mata buat pandang tak pandang saja. Selama ni ingat halimunan ke??

Jika jenis bercakap kasar, berkomunikasi dengan orang tak perlulah nak terus tunjukkan yang kasar juga. Sesekali sorokkan yang kasar apa salahnya.

Jika terasa nak ikut mood sendiri, fikirkanlah juga mood orang lain. Bukan awak sorang ada mood ting tung ting tung tu.

Jika kita pun pernah berkecil hati, tak perlulah nak kecilkan orang lain sama. Buat orang rasa besar  hati tentunya lebih baik.

Berhadapan dengan ramai orang selalu buat aku rasa macam-macam. Dalam ramai-ramai yang beradab, ramai juga yang biadap. Bukan marah. Cuma nak tegur. Boleh ikut, ikutlah. Taknak ikut, terpulang. Aiman tak kisah... eh..eh.. he..he..

Wednesday, March 14, 2012

Kisah hati...

Cuaca tak  selalunya cerah. Adakala mendung datang juga. Begitu juga dengan hati kita. Dah namanya pun manusia. Pelbagai emosi seringkali menguasai diri. Masalah ada di mana-mana. Tak berlaku secara langsung kepada kita. Berlaku pada orang-orang di sekeliling kita. Hati ini juga kadang kala terlalu sensitif. Sedikit tercuit, emosinya merudum berhari-hari.

Kadang-kadang kisah orang lain buatkan kita ikut beremosi sama. Orang lain aku tak tahu. Tapi aku selalunya begitu. Minggu lepas, berkaitan majlis perkahwinan yang tak kesampaian, airmataku bergenang bila bakal pengantin muat naik lagu sedih tentang cinta yang tak kesampaian di FB pada petang sepatutnya dia bernikah. Aku bersimpati dan ikut bersedih.

Beberapa hari kemudian aku  tersentuh bila seorang isteri yang dengan penuh mesra menegur suaminya di FB namun tidak mendapat balasan. Sedangkan si suami jenis yang sangat rajin komen status orang lain. Entah mengapa aku pula terasa berkecil hati. Lebih-lebih lagi bila tahu kemelut yang sedang melanda hubungan mereka. Pada waktu itu tentunya sang isteri sedang cuba mahu memperbaiki hubungan mereka. Tapi mendapat balasan yang dingin pula. Aku bersimpati dan ikut sedih.

Cuaca di luar mendung. Di dalam hatiku juga mendung. Bukan mengenang nasib diri. Tapi mengenang nasib orang lain untuk memuhasabahkan diri yang juga tidak sempurna serta banyak khilafnya. Dengan keadaan cuaca yang mendung, susahnya rasa nak menceriakan hati sendiri. Memikirkan yang indah-indah tetap juga berhati gundah.

Tuesday, March 13, 2012

Lulu Caldina...

Kami kenal tak lama. Cuma baru setahun dua. Tak pernah juga bersua muka. Hanya gambar buat kenal rupa. Hanya blog, e-mel dan FB penghubung bicara. Baru sekali juga mendengar suara. Orang berbudi haruslah kita berbahasa.

Perhubungan ini terasa cukup erat. Walaupun jauh tapi terasa dekat. Berbeza umur tapi tetap rapat. Sebelum kenal, nama itu pernah menarik minat. Di dalam novel namanya terlekat. Takdir Allah itu maha hebat. Selepas mempunyai blog, kami bersahabat.

Seawal blog ini bermula. Dialah pengunjung setia. Dialah juga pengomen pertama. Header yang menarik dialah tukang buatnya. Tanpa diminta mahupun dipaksa. Kebaikannya selalu buat aku gembira. Tentulah seronok ada kawan sebaik dia.

Buat Lulu Caldina si gadis Sabah. Persahabatan ini sangat indah. Harap-harap berterusan sampai sudah. Semoga ianya diberkati Allah.

Sunday, March 11, 2012

Steamboat Antarabangsa...

Malam tadi dinner bersama keluarga di Steamboat Antarabangsa Bangi. Mula-mula plan nak ke Red Wok. Tapi bila call untuk reservation dah penuh pula. Jadinya kami ke Steamboat Antarabangsa saja. Boleh tahan juga makan di situ. Cuma kedainya agak sempit. Satu lot kedai, jadinya nak bergerak terasa kurang selesa. Pengunjung memang ramai. Nak banyak kali bangun pun rasa tak sedap sebab ruang laluan sempit. Sosnya kurang kick. Kalau kick sikit memang best.  Disediakan juga nasi goreng dan mee goreng. Ada jeruk, marshmallow celup coklat dan aiskrim dengan berbagai topping. Air pun ada 2 pilihan. Tapi air kosong lebih  menjadi pilihan kami.

Alhamdulillah. Yang penting semua orang kenyang. Harga buffetnya, dewasa RM 25. Kanak-kanak RM 12. Pada aku sangat berpatutan. Tapi kami tak berapa pandai makan. Az pula cuma makan 3-4 ekor udang, 5-6 biji telur puyuh dan semangkuk aiskrim. Orang lain buat grill berlambak. Tapi grill kami seciput. Yang steamboat pun ala kadar saja kami ambil. He..he.. kes malas nak bangun banyak kali. Suruh anak-anak yang tolong ambilkan atas alasan ruang laluan yang kurang selesa tulah.

Walaupun makan makanan grill dan steamboat, tapi rasanya ais krim yang paling sedap. He..he.. sampai sekarang aku dok ingat.

Friday, March 9, 2012

Usah ditanya mengapa...

Memutuskan perhubungan dan membatalkan perkahwinan dalam masa seminggu sebelum tarikhnya bukanlah sesuatu yang mudah. Bukan juga hal yang main-main. Tentunya bukan perkara yang kecil untuk mengambil keputusan itu. Kita yang mendengar terasa berat, inikan pula badan dan jiwa pembuat keputusan yang menangung. Walaupun diri rasa tak percaya, tapi itulah hakikatnya. Abaikan saja undangan yang telah diterima.

Kad sudah diedar. Saudara mara, jiran tetangga, rakan taulan sudah dijemput. Segala persiapan sudah ditempah. Tinggal majlis yang dinanti waktu berlangsungnya. Tapi bila perkahwinan terpaksa dibatalkan dalam masa seminggu lebih sebelum perkahwinan, pastinya ada hal yang menghalang. Yang membuatkan perkahwinan yang dirancang tidak dapat diteruskan. Kita bersangka baik sajalah, itulah yang lebih baik.

Bila hal ini terjadi, anggap saja tiada jodoh antara mereka. Usah di tanya mengapa. Hati bakal pengantin perlu dijaga. Hati keluarganya perlu diambil kira. Tentunya berbagai perasaan sedang bergaul rasa di dalam hati mereka. Jangan ditambah dengan persoalan dari kita. Usah sibuk nak tahu cerita. Anggaplah saja bukan urusan kita. Doakan saja mereka sekeluarga akan lebih bahagia dengan keputusan yang diambil.

Sedih dan terkejut dengan berita yang disampaikan minggu sudah. Sepatutnya kami akan ke majlisnya esok. Petang ini majlis nikahnya. Tapi bila tiada jodoh, tiada siapa yang boleh kata apa. Perancangan Allah pastilah yang terbaik buat kita. Pastinya ada rahmat disebaliknya. Majlis tetap dijalankan untuk tetamu yang sudah diundang dan tidak dapat dimaklumkan. Harap-harap semua yang hadir peka dengan perasaan mereka sekeluarga.


Thursday, March 8, 2012

Cinta Kura-kura...

Ini kura-kura Is. Yang Besar tu Jerry. Yang kecik tu Tom. Ini hadiah untuk Is lepas dia berkhatan hujung tahun 2010. Masa beli kecik sangat dua-dua tu. Dalam beberapa bulan aje dah besar macam ni. Is cukup sayang dengan kedua-duanya. Kalau pergi jalan pun siap angkut sekali Tom & Jerry ni. 
 

Bila dah besar rasa tak sampai hati pula nak terus simpan dalam bekas. Kesian pula sebab tak bebas keduanya nak bergerak. Makanya kami pakat-pakat nak lepaskan saja. Dua tiga kali juga perancangan tu tapi Is sangat berat hati nak lepaskan. Akhirnya waktu kami nak balik kampung masa raya tahun lepas, kami lepaskan juga Tom & Jerry ke tasik depan rumah. Satu family ikut nak sama-sama memberikan lambaian terakhir.

 

Is masih berat hati nak lepaskan. Asyiklah bercakap-cakap lagi dengan Tom & Jerry kesayangannya. Az pula berikan semangat untuk lepaskan saja. Padahal dia pun sayangkan Tom & Jerry tu.

Tom & Jerry pun macam berat hati nak pergi. Kalau selalu bukak aje penutup bekas kelam kelibut keduanya memanjat keluar. Tapi hari tu, duduk aje diam-diam kat dalam bekas.

Sebab Tom & Jerry  tak mahu keluar sendiri, Is pun angkat dan hantar mereka sampai kat tepi tasik.

Letak elok-elok dan Pujuk-pujuk lagi Tom & Jerry tu. Tom & Jerry asyiklah patah balik ke atas semula pergi dekat Is.

Is siap bagi pesanan terakhir untuk Tom & Jerry kesayangannya yang nampak langsung tak nak bergerak. Is siap pesan suruh pandai-pandai cari makan sendiri. Waktu ni aku yang tengok pun dah sebak. Air mata dah bergenang dah. Okey, memang aku sensitif sesangat orangnya walaupun aku tak pernah pun pegang Tom & Jerry ni sebab aku penakut dan pengeli.

Waktu ni Tom & Jerry tak bergerak juga. Mungkin tak biasa di persekitaran baru yang terbuka macam ni. Masih takut-takut lagi agaknya.

Is tak sampai hati lagi. Dah jalan separuh siap patah balik semula. Dia kesian sangat dekat Tom & Jerry yang nampak lost waktu tu.

Tunggulah sampai Tom & Jerry bergerak masuk ke dalam air. Masuk kereta semuanya senyap aje. Sedih. Tapi takpelah, harap-harap Tom & Jerry lebih seronok di tempat baru yang lebih bebas. Bye-bye Tom & Jerry. Take care ye.

Sabtu lepas Is tengok di sebalik tabir Cinta Kura-kura di tv. Bukan main lagi dia gelak. Tentunya dia teringatkan macam mana dia dulu pun suka sangat bercakap dengan kura-kuranya. Tentulah dia rindukan Tom & Jerrynya tu. Siap ajak aku pergi tengok cerita ni nanti. InsyaAllah, nanti kita pergi tengok. Kisah itu juga membuatkan aku teringat nak update cerita Is dan Tom & Jerrynya. Cinta Kura-kura versi Is .

Tuesday, March 6, 2012

Nak ke mana?

Minggu ni minggu peperiksaan untuk anak-anak. Harap-harap anak-anak dapat buat yang terbaik untuk peperiksaan kali ini. Tapi biasalah, semuanya macam relaks aje. Asyik lagi main game. Bila suruh baca buku, pukul sepuluh dah tutup lampu. Tidur.. Minggu hadapan minggu cuti sekolah pula. Hujung minggu lepas Is bertanya padaku. Mama, cikgu kata minggu depan sekolah cuti seminggu. Cuti sekolah tu sempena apa? Ish.. ish dah 5 tahun sekolah pun dia masih tak maklum tentang cuti sekolah setiap hujung satu semester. Jadinya aku pun menerangkan mengenainya serba sedikit.

Oh, cuti sekolah. Habis tu kita nak pergi bercuti ke mana cuti ni? Spontan dia menyoal. Eh..eh... spontan juga aku dan En. Asben serentak membalasnya dengan nada yang sama. He..he.. Bagaikan pergi bercuti itu sesuatu yang wajib pula waktu cuti sekolah baginya. Aduhai.. Untuk cuti sekolah ni kami memang takde perancangan nak bercuti ke mana pun. Tapi bila anak dah menyebut tu mulalah kepala ni memikir-mikir nak pergi bercuti ke mana-mana. Paling tidak pun nak bawak anak-anak buat aktiviti yang menarik.

Tengoklah nanti. Ada rezeki kita pergilah jalan-jalan mana-mana. Tempat yang dekat-dekat ajelah. Kalau tak kita duduk rumah aje. Lagipun main basikal dan main kat taman permainan tepi rumah pun fun jugak kan? kan?? he..he.. (Ayat nak save budget lah tu ha..ha..) 

Lake Toba, Medan

Last year untuk cuti sekolah yang sama kami ke Medan. Kalau dapat ke situ lagi tentu best kan. Rasa tenang dan damai sangat tengok Lake Toba tu. Hmm... eh..eh.. anak ke mamanya yang nak sangat pergi bercuti ni??? he..he..

Monday, March 5, 2012

Sudah lapang..

Alhamdulillah, dapur yang disambung sudah siap sepenuhnya. Nak mengemas, badan masih tak berapa sihat lagi. Jadinya cuma dapat kemas sikit-sikit apa yang termampu dulu. Lap-lap bahagian yang nampak aje dulu. Yang tak nampak kena tunggu rajin datang menjelma. Kedudukan tempat pun masih ada yang tak serasi lagi. Sekejap angkat letak di sini. Kemudian beralih letak ke situ. Dalam satu jam tu, kalau masuk dapur memang akan berubahlah lagi kedudukan barang-barang. He..he.. masih tak kena susun aturnya.

Bila dapur dah luas sikit bolehlah aku letakkan meja makan di ruang dapur. Kat dapur takde tv. Jadi bila makan memang rasa aman sikit. Kalau tak mata semua orang dok leka mengadap tv. Bila nak berbual pun boleh dapat sepenuh tumpuan. Kalau tak memang selalu rasa cakap macam cakap sorang-sorang aje he..he.. Bila dah alihkan meja ke ruang dapur, ruang tamu nampak lapanglah sikit (Lapang versi rumah keciklah). Indon yang buat rumah pun cakap dengan en.asben. Sudah lapang rumahnya sekarang bang.

Memanglah lapang, akaun banknya juga sudah lapang he..he.. Tersenggih aje indon tu bila aku menyampuk begitu.

Saturday, March 3, 2012

Bila dah suka, gitulah..

Mamat sorang ni memang suka bergaya. Lebih-lebih lagi kalau jumpa jaket. Tak kiralah tengah panas buta pun, kalau dia nampak jaket dia tu mesti dia nak pakai punya. Kira macam stylolah kalau dia dapat pakai jaket tu. Semalam waktu balik kerja aku singgah pasaraya depan rumah. Terpandanglah sehelai jaket tu. Berkenan pula dengan warnanya. Ada diskaun pulak tu. Jadinya memang murahlah. Bila nampak jaket tu teringatlah mamat yang suka bergaya tu. Teruslah belikan satu untuknya. 

Hari ni mamat tu ada rombongan sekolah ke zoo negara. Baru balik rumah pukul 3 petang tadi. Lepas lepak-lepak kejap kat bawah dia naik atas tukar baju.  Semalam aku pun tak sempat nak sangkut jaket tu. Sempat lipat aje dulu. Sekejap ni  aku nampak dia dok sangkut jaket barunya tu sendiri kat hanger. Lepas tu siap terus gantung kat dalam almari. Aku yang memandang macam tercenggang pula. Wah.. bila dah suka macam tu lah jadinya. Kalau baju sekolah tu tak pernahnya nak gantung elok-elok. Mesti bersepok aje bila balik sekolah. Asyiklah aku nak kena tegur hari-hari. Tapi bila tang jaket yang dia suka, pandai pula dia gantung elok-elok kan. 

Friday, March 2, 2012

Nama versi muzium..

Beberapa bulan lepas kami sekeluarga ke majlis kenduri di rumah kawan en.asben. Ketika makan aku duduk semeja dengan seorang kakak dan anak-anaknya. Kakak itu sangat peramah. Seronok berborak dengannya walaupun baru pertama kali bersua. Setelah seketika berbual dia bertanyakan namaku. Bila aku beritahu namaku responnya ialah, eh, nama muzium tu he..he.. Tergelak aku dan anak-anak mendengarnya. Sebelum ini memang biasa kalau orang cakap namaku nama klasik, nama orang dulu-dulu atau nama kampung. Tapi nama muzium tu, itulah pertama kali aku mendengarnya. Lawak betullah akak tu. Sampai sekarang, setiap kali aku teringat memang aku tersenyum sendiri.

Tak kisahlah nama muzium ke, nama klasik ke, nama orang dulu-dulu atau nama kampung pun. Aku sangat berbangga dengan namaku. Ini kerana nama itu, arwah ayah yang letak. Namaku sama dengan nama arwah ibunya (nenekku). Jadinya tentulah aku berbangga kerana arwah ayah letakkan namaku sempena nama insan kesayangannya. Yang best tu, nama panggilanku di rumah juga menggunakan nama arwah ibunya juga. Tapi dalam pada aku tak kisah, ada juga sebenarnya orang yang kisah. Ada seorang dua juga yang tak jadi berkawan kerana namaku. Takpelah, bak kata orang, pinggan tak retak, nasi tak dingin... Macam tak percaya kan. Tapi itulah hakikatnya. Aku pun terasa semacam juga. Tapi tak kisahlah, setiap orang punya pandangan dan kriteria masing-masing dalam memilih kawan.

Yang penting, kawan-kawanku semua okey. Mereka boleh terima. Yang lebih penting en.asben pun tak kisah. Ingat lagi selepas bersalinkan Han. Nama Han pun klasik juga. Adalah kawan-kawan yang menegur. Nama maknya dahlah klasik. Nama anak pun nak letak yang klasik juga. Aku tak kisah pun dengan komen itu. Biarlah orang nak cakap apa kan. Nama Han tu en.asben yang letak sebab dia suka nama tu. Agaknya memang en.asben suka nama-nama klasik kot. Itu yang sangkut denganku tu he..he..  Tuah nama muzium kot ha..ha..

*Alhamdulillah, sakit tekak, sakit kepala dan sakit badan walaupun masih terasa tapi semakin berkurang. Terima kasih ya atas doa kawan-kawan.

Thursday, March 1, 2012

Jangan bertangguh untuk 3 perkara..

Sebelum ke tempat kerja pagi tadi sempat mendengar sedikit kuliah pagi dari Dato' Dr. Harun Din di TV. Terasa ingin kongsikan ilmu yang diperolehi di sini untuk ingatkan diri sendiri dan orang lain sama. Ianya dari hadis Nabi saw.

Jangan bertangguh untuk 3 perkara.

1. Solat tepat pada waktunya, jangan bertangguh.
2. Uruskan kematian, jangan bertangguh.
3. Anak perempuan yang sudah cukup umur, bila ada yang sekufu datang  meminang, lepaskan saja, jangan bertangguh.


*Tekak sakit, kepala sakit, badan sakit. Tak larat sangat rasanya. Semoga cepatlah penyakit ini pergi.