Nuffnang

Monday, April 30, 2012

Hari sabtu, hari ahad dan hari ini..

Hari sabtu, siangnya meneroka ke Alamanda cari barang-barang yang diperlukan. Tapi cuma dapat seluar en.asben dan seluar anak-anak bujangnya saja. Untuk diri sendiri, dapat penat saja. Malamnya, keluar lagi. Pergi makan-makan dengan keluarga kat Red Wok Bangi. Seronok bila keluar ramai-ramai. Dengan mak, adik, ipar, makcik, sepupu, anak-anak buah. Memang meriah. Lebih meriah bila orang yang belanja. Lepas makan ke karaoke pula. Sebelum balik singgah up-town. Jangan tak tahu, itulah pertama kali aku ke up-town. Sampai rumah dah pukul 2 pagi. Penat, tapi seronok sebab dapat berkumpul.

Hari ahad, lepas subuh tak boleh tak boleh nak sambung tidur walaupun dah tidur lewat. Seperti biasa tulis novel dulu. Lepas tu siapkan sarapan. Masak sekali untuk lunch. Kemudian kemas rumah. Lepas rehat-rehat, sambung tulis novel lagi, makan tengah hari dan solat zohor, kami keluar ke KL. Tempat tujuan, Pesta Buku di PWTC. Seronok memborong buku-buku. Sesak-sesak dengan orang ramai pun tapi puas hati. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Jalan tak jem. Parking senang dapat. Beratur tak panjang sangat untuk bayar. Balik rumah berehat sekejap. Lepas tu pergi rumah mertua pula. Acara wajib setiap malam minggu. Seronok dapat berkumpul dengan keluarga belah en.asben pula. Boleh solat jemaah dan makan malam ramai-ramai.

Hari ini, aku keletihan. Mata kuyu aje. Badan rasa tak bermaya. Semuanya sebab jadual 2 hari yang penuh tu. Tapi takpe. Esok cuti. Harap-harap dapat berehat sebaiknya.

Friday, April 27, 2012

Kita campur-campurlah ya..

Dari semalam nak menaip entry. Idea dah ada, tapi separuh jalan macam tersekat pula sebab mood nak menulis hilang. Sudahnya padam balik separuh jalan. Dua tiga kali juga macam tu. Sudahnya lupakan saja. Baca entry orang lain sudah he..he.. Hari ini pun sama juga. Tapi terasa nak menulis juga. Jadinya aku campur-campurkanlah apa yang ada dalam kepala ni.

Hari tu ada yang tanya, en.asben aku navy ke bila tengok gambar Han dengan orang-orang yang beruniform putih tu. Sebenarnya en.asben aku bukannya navy. Yang pakai baju uniform putih tu adalah antara pelajar terbaik di ALAM (Akedemi Laut Malaysia). Kiranya mereka tu bakal kapten kapallah nanti. En.asben pun kapten kapal ke? He..he.. tidaklah juga. Berkerja di syarikat perkapalan. Tapi tak kerja di atas kapal. Cuma dalam setahun tu adalah dua tiga kali kena naik kapal untuk buat audit.

Alhamdulillah, malam tadi kami dah selamat submit borang income tax. Lega. (Kalau kerja atas kapal, tak payah bayar income tax he..he..). Kalau orang yang pangkat besar-besar tu adalah PA atau sekretari yang akan tolong buatkan. Macam aku yang takde pangkat ni terpaksalah buat sendiri. Tapi setiap tahun en.asben dah ambil kontrak untuk tolong isi dan submitkan borang income tax untuk aku. Aku cuma kena tolong ingatkan saja sebelum tarikh tutupnya. Alang-alang buat untuk diri sendiri, buatkan untuk isterinya sekali. Thank you en.asben.

Pagi tadi topik pagi di Hot FM mengisahkan Driver Taxi vs Kita. Aku mula teringat cerita waktu zaman sekolah dulu. Kami naik cab di KL. Biasalah budak-budak. Duit tak berapa cukup. Walaupun naik teksi, sebelum tu mesti kena berjalan jauh juga. Bila dah berjalan jauh mulalah berpeluh. Bila dalam cab mulalah dok sapu cologne biar wangi semula. Tiba-tiba driver taxi tu menegur. Hei.. apa ni bau-bau wangi ni. Kami dah mula cuak. Alamak tak boleh ke? Tapi rupa-rupanya dia kata sedap bau cologne tu. Dia minta kami calit-calit sikit kat kerusi teksinya. He..he.. ingatkan dia nak marah sebab tak suka bau tu. Tanjat gegirl..   

Dah macam rojak dah entry aku ni. Tapi tengah hari ni kalau layan rojak dengan cendol pun sedap kan.. Yummy.. he..he.. Selamat berhujung minggu untuk semua. Tentu ada yang sambung cuti kan sebab selasa nanti cuti. Aku? Tak kot. Sebab bulan depan banyak nak guna cuti.  

Wednesday, April 25, 2012

Bila anak bongsu dah berumur 8 tahun..


Anak bongsu kan. Tak kiralah berapa umurnya. Yang pastinya, manja tetap manja. Begitulah juga dengan anak bongsuku Az. Setiap kali naik kereta mesti dia nak duduk sekali denganku. Kalau duduk di belakang pun, bila aku dan en.asben leka berbual, tiba-tiba aje dia melompat duduk atas ribaku. Kadang-kadang memang dah menyorok siap-siap kat tempat kaki bahagian depan tu. Punyalah nak duduk dengan mama.

Walaupun badannya tak besar, tapi lengguh jugalah nak meribanya. Nak-nak kalau balik kampung. Ingatkan, dah takde baby dapatlah aku duduk dalam kereta dengan selesa. Tapi  ada juga baby besar ni yang nak dipangku. Tapi takpelah. Sayang punya pasal, lengguh pun lengguhlah. Dapat juga mama peluk sepanjang jalan. Yang untungnya kakak dengan abang dialah. Bolehlah dia orang conquer tempat duduk untuk baring dengan selesa kat belakang tu.

Tuesday, April 24, 2012

Sad and sweet...

Kak, nape sedih sgt cite tu... Sy dah baca 3/4 dh, yg first 100 pages tu meleleh-leleh airmata saya...huhuuu... Seronok sgt baca! tak boleh nak letak tp kena letak jgk utk masak, mandi, blogging...hik hik hik ;))

Terasa mahu bercerita mengenainya bila membaca komen dari sahabat blogger Marya Yusof yang sedang membaca novelku Takdir Fitrah Terindah. Hmm.. teringat lagi bagaimana aku teresak-esak sewaktu menyidai kain di belakang rumah. Kalau jiran belakang nampak waktu itu, tentunya mereka ingat aku ni mangsa penderaan rumahtangga. Mana tidaknya sambil sidai kain boleh nangis he..he.. Paling tidak pun tentu ada yang menyangka aku sedang emosional sebab bergaduh dengan en.asben atau bergaduh dengan emak. Padahal aku sedang menghayati watak dalam novel. Sepatutnya aku menangis di hadapan PC waktu menulisnya. Tapi aku sudah menangis sewaktu membayangkan situasi dan perasaan heroin cerita ketika idea untuk menulis babak itu terlintas di kepala. Waktu sidai kain pulak idea nak datang, aku layankan ajelah.

Aku memang penyebak. Juga suka menghayati watak. Bila membaca novel, aku letakkan diri di tempat setiap watak. Waktu menulis, begitulah juga. Tapi untuk novelku, aku memang beria menagis waktu membayangkannya. Waktu menulis dan membacanya kembali, sebak itu seperti tidak terasa. Babak sedih bagaikan tidak menjadi. Aku rasa tidak berpuas hati sebenarnya. Tapi bila memikirkan novelku bukan novel sedih, aku merasa sedikit lega. Tapi bila membaca komen-komen dan feedback dari pembaca, aku menjadi sangat terharu. Ini kerana, percubaan yang aku rasakan tidak menjadi rupanya sampai juga ke hati pembaca. Mungkin, bila kita menulis dari hati, ianya sampai ke hati juga. Alhamdulillah..

Begitu juga dengan babak-babak yang manis. aku memang tersenyum-senyum saat menulisnya. Tak tahulah ianya sampai ke tidak ke hati pembaca. Babak yang manis padaku mungkin juga pada orang lain biasa-biasa saja. Aku sukakan manis yang bersahaja dan tidak berlebihan. Kerana pada aku, manis itu tak perlu berlebihan. Lebih simple lebih sweet. Kalau ada yang tanya padaku, cerita ini manis atau sedih? Jawapanku, tentulah cerita yang manis. Yang sedih itu sekadar penguat jalan cerita. Eh..eh.. boleh kot aku memberikan pandanganku tentang bukuku sendiri. Ini kerana novel ini adalah novel kegemaranku. Eh..eh.. Syok sendiri ke apa? Err.. Jawapanku tentulah tidak.

Anak-anak selalu bertanya bila aku membaca novelku. Mama baca novel sendiri? En.asben pulak selalu tegur, eh apa ni. You layan novel sendiri? Aduhai asyik kena perli aje he..he.. Aku pernah terbaca kat somewhere, kalau kita nak baca cerita yang betul-betul kena dengan jiwa kita, tulislah buku sendiri. Jadinya, padaku tak salah aku membaca novelku sendiri. Tak salah juga aku menyukai novelku bila ianya benar-benar kena dengan jiwaku. Kalau aku sendiri tidak menyukainya, macam mana aku nak hasilkan sesuatu yang baik. Tentulah aku perlu menjadi penilai pertama. Dan lagi, kalau aku sendiri tidak menyukainya, takkan pula aku nak harapkan orang lain menyukainya. Dan juga, bila ada yang menyukainya, tentulah aku rasa sangat bahagia. Terima kasih ya. Mungkin kita ni sejiwa. Calit sikit.

Nak calit juga walaupun tak minat membaca novel.  Atau tak pernah membaca lagi novel Takdir Fitrah Terindah ini. Atau dah baca tapi tak kena dengan jiwa. Atau rasa biasa aje novel ni. Atau rasa tak best langsung. (Minta-minta janganlah). Atau eh..eh.. berapa banyak atau daa.. Boleh aje nak calit juga. Aku takde hal.  Moh calit sikit he..he..  Salam mesra ~ Hanis Azla

Monday, April 23, 2012

13 tahun yang lalu..

22 April 1999

13 tahun yang lalu aku selamat melahirkan anak sulungku. Lebih kurang pukul 4 pagi aku terbangun untuk membuang air. Waktu itu sudah keluar tanda untuk aku bersalin. Ada darah yang keluar. Selepas solat subuh, en.asben membawaku ke pusat rawatan. Sebelum itu en.asben sempat membacakan surah Maryam ayat 15~30. (Ayat selusuh untuk memudahkan proses bersalin dengan keizinan dari Allah menurut ustazah yang mengajarnya kepadaku).  Waktu itu sakit sudah mula terasa. Pengalaman pertama memang sangat mendebarkan. Pukul 8 pagi aku di tolak ke bilik bersalin bersama en.asben. Dari bukaan, doktor menganggarkan aku akan bersalin dalam tiga atau empat jam lagi. Tapi Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Sejam kemudian aku selamat melahirkan puteri sulungku  pada jam 9.05 pagi. Bayi perempuan seberat 2.75 kg. Pipinya bulat. Matanya sepet. Hidungnya tidak tinggi. Melihat bayi-bayi di dalam bilik bayi dari cermin kaca, dialah bayi tercomel di mata aku dan en.asben. Anak sendirikan, pastinya merekalah yang terindah di mata kita.

Sehari kemudian aku dibenarkan pulang ke rumah. Terasa indahnya bila rumah kami diserikan dengan kehadiran seorang bayi yang menjadi kesayangan kami. Esoknya en.asben dan emak membawanya ke klinik kerana demam kuning. Aku masih ingat petang itu emak dan en.asben pulang ke rumah tanpa bayiku bersama. Dia perlu ditinggalkan di pusat rawatan untuk di letakkan di bawah lampu. Terasa suram rumah rasanya walaupun baru hanya sehari dia berada di rumah kami. Aku mula sebak dan terasa kehilangan. Malam itu aku berbaring di sofa. En.asben pula berbaring di sofa yang satu lagi. Kedudukan kami saling mengadap. Tanpa kata kami berpandangan. Mata kami berdua sama-sama berair. Kiranya kami berkongsi perasaan yang sama. Mula kerinduan pada insan yang baru hadir dalam kehidupan kami berdua.

Kenangan itu sudah 13 tahun berlalu. Tapi setiap kali mengingatinya, aku masih terasa sebaknya. Semalam hari jadinya yang ke 13. Nampaknya dia masih lagi menjadi puteri tunggal kami. Masih lagi kesayangan ayahnya. Melihat en.asben memeluknya sambil mengucapkan ucapan selamat hari lahir pagi semalam, membuatkan aku terasa rindu pada arwah ayahku. Ini kerana aku dan arwah ayah juga mesra sebegitu. Buat Han, mama doakan semoga Han selamat dunia akhirat. Semoga keberkatan dan rahmat Allah sentiasa ada untukmu puteri kesayangan kami.

Gambar hari Jumaat lepas di majlis kat tempat kerja en.asben. Waktu kecil dulu bukan main bulat badannya dengan pipi labuh. Makin besar ni makin kurus pulak dia. Dia ikut en.asben kot yang maintain slim. Kalau ikut mamanya, puas pulaklah dia nak kena berdiet he..he.. Happy birthday Han!

Friday, April 20, 2012

Diraikan...

Bulan lepas aku ke Ibu Pejabat tempat kerjaku untuk Majlis Ibu Cemerlang. Terasa kerdil sangat diri ini untuk ke Majlis itu bagi meraikan anak-anak yang mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Sijil dan hadiah disampaikan oleh isteri Menteri. Aku dapat merasakan aura cemerlang bila duduk bersama ibu cemerlang lain.  Harap-harap aku juga dapat jadi cemerlang seperti mereka dalam mendidik anak-anak. Anakku Han, baru melepasi peringkat UPSR. Is dan Az akan menyusul selepas ini. Jauh lagi langkah mereka untuk mengecap kecemerlangan yang seterusnya. Apa yang lebih penting bagiku, biarlah kecemerlangan dalam pelajaran seiring dengan kecemerlangan dalam sahsiah diri dan akhlak mereka. Itu paling utama. Semoga anak-anak turut cemerlang juga dalam mendalami ilmu yang akan dapat membuatkan mereka selamat dunia akhirat. InsyaAllah.

Hari ini, tempat kerja en.asben pula akan  mengadakan Majlis Kecemerlangan Akedemik untuk anak-anak kakitangannya. Majlis di buat di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Sekali lagi kami diraikan. Terasa sangat berbesar hati. Terasa seronok bila diri dirai atas kejayaan anak-anak. Alhamdulillah.. Aku dan en.asben masih lagi bertatih untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang. Harap-harap penghargaan sebegini membuatkan kami dapat benar-benar menjadi ibu bapa yang cemerlang dalam mendidik anak-anak kami. Masih banyak kekurangan yang harus kami perbaiki. Semoga segala usaha kami diberkati Allah hendaknya.

Buat anakku, Adira Hanum.. Tahniah sayang. Mama dan ayah rasa bangga. Terima kasih kerana membahagiakan hati kami. Alhamdulillah, aku dapat menumpang rezeki kejayaan anak untuk diraikan. InsyaAllah, bulan hadapan aku dapat menumpang rezeki en.asben pula untuk sesuatu yang selama ini sangat aku impikan. Terima Kasih Allah atas kemurahan rezekiMU. Mohon doakan  ya agar segala perancangan kami nanti dipermudahkan dan mendapat keberkatanNYA. Terima kasih.

Thursday, April 19, 2012

Cecah juga tiga ratus...

Alhamdulillah.. Muka surat 306 sudah aku jejaki. Sejak sabtu aku berjaga malam. Dalam kekeringan idea untuk mengolah cerita, akhirnya bertambah juga muka suratnya. Dengan kata-kata yang seperti mana aku mahukan. Terasa berbaloi bila aku perlu bangun pukul 12 ke 3 pagi. Pukul 3 ke 4 pagi. Pukul 3 ke 5 pagi setiap hari.

Minta maaf ya jika ada yang terasa muak dengan up date yang sebegini, Up date ini sebagai semangat untuk diriku sendiri. Agar lebih bersungguh untuk menyiapkannya sebaik mungkin.

Wednesday, April 18, 2012

Jangan buat orang rasa ralat boleh tak?

- Kalau beli kereta warna hitam, nanti adalah yang cakap, patutnya beli warna putih.. dan sebaliknya.
- Kalau cat rumah warna hijau, nanti adalah yang tanya, kenapa tak cat warna kuning.. dan sebaliknya.
- Kalau ubahsuai rumah ikut plan A, nanti adalah yang kata, patutnya plan B lebih bagus.. dan sebaliknya.
- Kalau buat pagar rendah, nanti adalah yang tegur, kalau pagar tinggi lagi elok.. dan sebaliknya.
- Kalau hantar anak ke sekolah ni, nanti adalah yang cadang, patutnya hantar anak ke sekolah tu.. dan sebaliknya.
- Kalau ambil loan dengan bank ni, nanti adalah yang kata, loan dengan bank tu lagi baik.. dan sebaliknya.
- Kalau pergi klinik swasta, nanti ada yang cakap, klinik kerajaan lebih bagus.. dan sebaliknya.
- Kalau pergi Hospital Kerajaan, nanti adalah yang kata, Hospital swata lebih baik.. dan sebalinya.

Biasa dengar kan ayat-ayat seperti itu. Kadang-kadang rasa tak senang dan tak faham juga dengan sikap sesetengah orang ni. Kenapa perlu nak pertikaikan pilihan yang telah orang lain buat. Suka hati orang yang membuat pilihan itulah kan. Lainlah kalau orang itu bertanyakan pendapat dan pandangan dari kita. Ini tidak, bila mereka sudah buat pilihan, adalah pula yang sibuk-sibuk nak beritahu pilihan yang sepatutnya. Lebih kepada pilihan mengikut pendapat mereka sendiri. Kononya macam pilihan yang diberikan itu lebih elok, bagus, mantap dan sempurna. Pada aku, cara sebegini samalah juga dengan tidak menghormati orang lain. Ada masanya memang yang membuat pilihan itu merasa dia juga telah tersilap buat pilihan. Jadinya tak perlulah cakap-cakap kita membuatkan orang itu rasa bertambah ralat. Entry ini untuk aku mengingatkan diriku sendiri sebenarnya. Bila kita rasa tidak senang bila ianya terkena pada kita, mungkin orang lain juga merasakan perkara yang sama. Menjaga hubungan sesama manusia itukan sangat dituntut. Jadinya perlulah kita menjaganya sebaik mungkin. Tak gitu?

Tuesday, April 17, 2012

Bila jatuh sakit..

Dapat e-mel perkongsian yang baik ini dari teman sepejabat. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman untuk renungan kita bersama.
Apabila seorang hamba Allah S.W.T jatuh sakit, Allah akan utuskan 4 orang malaikat:

1. Malaikat pertama akan mengambil SELERA MAKANNYA

2. Malaikat kedua akan mengambil REZEKINYA

3. Malaikat ketiga akan mengambil KECANTIKAN WAJAH (pucat)

4. Malaikat keempat akan mengambil DOSANYA

Apabila telah sampai waktu yang telah Allah tetapkan untuk hambaNya kembali sihat, Allah akan menyuruh Malaikat pertama,Malaikat kedua dan Malaikat Ketiga supaya memberi balik apa yang telah diambil. Akan tetapi Allah tidak menyuruh Malaikat Keempat memberi balik dosa hambaNya tersebut. Subhanallah, betapa Mulia dan Baik Hati nya Allah terhadap kita. Janganlah bersangka buruk terhadap Allah ketika sakit, bersyukurlah dan ucaplah Alhamdulillah ke atasNya. Sesungguhnya setiap kesakitan itu adalah penghapus segala dosa…

Kepada teman-teman yang tidak sihat, semoga cepat sembuh hendaknya.

Monday, April 16, 2012

Malu-malu..

Bila dia tak baca novel aku. Aku dok sibuk merajuk. You takde pun nak baca novel I. Padahal memang tahu dia tak minat nak baca novel melayu. Tapi bila dia baca dan tersenyum-senyum aku suruh dia stop baca pulak sebab aku malu. Segan sendiri bila dia membaca tulisanku. He..he.. betullah kan. Perempuan ni memang complicated..

Sudah hampir 14 tahun kami berkahwin. Tapi ada masa-masanya, ada perkara-perkara tertentu, aku masih malu-malu dengannya. Sampai sekarang aku tak boleh nak drive kalau dia follow belakang aku. Rasa macam malu sangat nak pandang cermin pandang belakang sebab terasa macam sedang bertentangan mata he..he.. feeling baru bercinta.

Kalau keluar makan berdua aku tak malu nak makan banyak depan dia. Tapi kalau dia call kata nak ajak minum. Dan kami pergi berasingan, aku akan jadi malu sebab feeling nak keluar dating. Sampaikan nak keluar dari kereta pun rasa berdebar-debar. Kalau dah pandang muka dia terus rasa macam nak senyum-senyum.. he..he.. I malu dengan u lah en.asben.

Friday, April 13, 2012

Pengajaran buatku..

Waktu rehat itu aku ke bank. Majlis perkahwinan adik bongsuku akan diadakan dalam dua minggu lagi. Majlis nikahnya dibuat di rumahku. Semua persiapan kenduri sudah disediakan. Tapi sebagai kakak dan tuan rumah, aku terasa perlu juga ada duit di tangan. Manalah tahu kalau ada perkara-perkara yang tidak dijangka. Jadinya aku mahu keluarkan sedikit duit simpanan sebagai persediaan.

Satu jam sudah berlalu. Orang memang ramai. Aku terus sabar menunggu walaupun waktu rehatku sudah tamat waktunya. Ini kerana nombor giliranku akan tiba dalam selang dua tiga nombor saja lagi. Dalam fikiranku tentulah tidak akan mengambil masa yang lama. Alang-alang sudah lewat, biarlah aku menunggu saja buat seketika lagi. Tapi entah kenapa, setelah setengah jam berlalu tidak bergerak pula nombornya. Sedangkan di kaunter-kaunter lain pergerakannya lancar saja.

Kesabaranku mula hilang untuk terus menunggu. Tambahan pula ada rakan yang turut menemani. Tidak sedap pula bila dia juga terpaksa masuk lambat ke pejabat disebabkan urusanku. Sudahnya aku tinggalkan saja bank itu. Sebelum keluar aku sempat membuat aduan di kaunter khidmat pelanggannya. Menurut pegawai tersebut sistem tidak tergendala. Penerangannya membuatkan aku rasa benggang. Mulalah mulut ini merunggut tentang kelembapan petugasnya.  Waktu itu terasa berapi-api saja kerana telah membuang masa dan urusan tidak dapat diselesaikan juga.

Petang itu ketika balik dari kerja, aku singgah di rumah kawan di lorong depan rumahku untuk memberikan kad undangan perkahwinan adikku. Aku hanya berdiri di depan kereta di hadapan pagar rumahnya. Dalam waktu yang sekejapan itu ada yang mengambil kesempatan membawa lari beg tanganku yang tertinggal di dalam kereta yang tidak berkunci. Mengeletar aku dibuatnya dengan kejadian yang tidak disangka.

Didalam beg itu ada buku akaun yang di dalamnya ada borang keluar dengan jumlah beberapa ribu ringgit yang tidak dapat aku keluarkan. Kiranya kelewatan ketika di bank tadi telah menyelamatkan aku dari kehilangan beberapa ribu ringgit dari wang simpananku. Alhamdulillah. Walaupun barangan lain hilang tapi aku tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya wang simpananku masih selamat. Jika tidak berlaku kelewatan ketika di bank tadi, tentu wang itu tidak lagi menjadi milikku.

Sejak itu, setiap kali ada kelewatan dalam urusan atau ada perkara yang tidak lancar, aku akan lebih bersabar. Aku juga akan lebih beringat yang pastinya ada hikmah disebaliknya. Ini kerana di sebalik apa yang terjadi, kita tidak tahu apa yang tersembunyi disebaliknya. Mungkin perkara atau keadaan yang tidak kita senangi itu membawa kebaikan buat diri kita. Peristiwa itu sudah lebih dua tahun berlaku. Tapi ianya menjadi pengajaran yang cukup besar buat diriku. Juga menjadi ilmu yang berguna untuk aku memperbaiki diri.

Thursday, April 12, 2012

Biasa aje..

Orang lain dah lama merasa kot. Aku baru first time merasanya semalam. Bawak anak-anak ke kedai memang selalu kena paw aiskrim ni. Tapi semalam sebab mamanya pun dah lama mengidamkan aiskrim yang satu tu, makanya mamanya pulak yang offer pada anak-anak suruh ambil aiskrim yang mahal sikit tu. Semua perisa aku ambil. Ha..ha.. puas hati sambil gelak suka dan lepas tu gelak sayu waktu nak bayar he..he.. Dan inilah aiskrimnya. MAGNUM..

Gambar aiskrim magnum yang aku pinjam kat en. google.. 

Pada aku, biasa aje rasanya. Tak seperti yang aku bayangkan boleh makan sambil tutup-tutup mata sebab menghayatinya. Lepas ni kalau tengok iklannya atau tengok gambarnya takdelah terliur lagi. Selera orang lain-lain kan. Mungkin pada orang lain, aiskrim ni rasa sedap sangat. Tapi pada aku aiskrim potong lagi sedap sebab aku boleh makan sambil tutup-tutup mata he..he....

Tuesday, April 10, 2012

Buntu..

Hari sabtu - muka surat : 261
Hari ahad - muka surat : 261
9 malam tadi - muka surat 261
3 pagi ni - muka surat 261
4 pagi ni - muka surat 261 lagi!!!!

Aduhai.. bila buntu idea untuk satu babak kecil ini, aku mula pening kepala. Nak masuk bab lain takut nanti lari dari jalan cerita bila cerita yang ini tidak selesai. Nak taip asal boleh nanti tak logik pula ceritanya. Yang itu paling mahu aku elakkan.

Teringat waktu menemankan en.asben membuat tugasannya waktu sambung belajar dulu. Dah pukul 4 pagi, esok nak kerja, tarikh nak hantar tugasan dah dekat. Tapi asyik taip, padam. Taip, padam.

Kenapa you padam? I baca dah okey dah tu. Soalku.
Bukan itu yang I nak buat.  Jawabnya.

Begitulah dengan aku sekarang. Bila apa yang aku taip tidak sama dengan apa yang aku mahukan... Asyiklah, taip, padam. Taip, padam. Hu..hu..

Monday, April 9, 2012

Meh sini ayah dengan mama nak ajar...

Elok tak? Cantik tak? Itu soalan wajib aku setiap kali mencuba baju. Lebih-lebih lagi baju baru. Memang dah jadi tabiat. Memang soalan itu akan aku tanyakan pada seisi rumah. Soalan yang bukan bertanyakan pendapat mereka. Tapi mahu jawapan yang aku tak salah membeli dan memakai baju tersebut. Jadinya sebelum dapat jawapan yang memuaskan hati sendiri memang aku tak akan berhenti bertanya.

En.asben biasalah, dengan muka impressnya cakap okey. Han, selalu cakap okey aje. Kalau dia cakap tak okey dan aku buat muka dia akan terus cakap, bolehlah.. okeylah jugak. Is dengan Az, mamat dua orang ni selalu speechless. Bukan sebab kagum ke apa. Tapi memang selalu jenis berat mulut nak jawab soalan. Tapi mamanya ni tetap juga nak dengar jawapan.

Bila aku dah ulang dua tiga kali dok tanya juga tapi dia orang tak tahu nak jawab, nanti akan dengarlah en.asben menyampuk mengajar anak bujangnya. Cakap cantik aje.. Lepas tu siap nasihatkan anak-anaknya. Meh sini ayah nak ajar. Lain kali kalau orang perempuan tanya apa-apa, cakap cantik aje he..he.. Cis!!!

Meh sini mama nak ajar pulak, waktu nak cakap cantik tu, buat muka beria macam ayah juga. Barulah menjadi.. ha..ha..


Friday, April 6, 2012

Dikunjungi tetamu jauh yang dah dekat..

Alhamdulillah.. Berkat doa bersama yang selalu mengharapkan pertemuan, akhirnya dapat juga aku bertemu muka dengan teman blogger yang aku hormati. Kelmarin, tanpa di sangka-sangka, kami dapat bertemu. Yang lebih tidak disangka-sangka, wajah yang tidak aku kenali tetapi orangnya selalu dekat di hati berada di hadapan rumahku. Subhanallah, memang rasa macam tak percaya. Puas aku cuba mengecam wajahnya untuk mengenali siapakah tetamu itu. Tapi tak terteka. Namun gerak hatiku kuat mengatakan yang itu adalah beliau. Allahuakbar, memang beliaulah orangnya. Dan kami bersalaman dan berpelukan di depan rumah.

Datangnya berhajat. Mahu memberikan hadiah yang aku menangi kerana berjaya meneka dengan tepat soalan yang diberikan di blognya. Dapatlah aku sepasang batik sarawak yang cukup cantik. Bersembang tak lama. Aku juga sekadar dapat menghidangkan segelas air. Tapi aku sangat menghargai kesudiannya bertandang ke rumah. Ummiross - Salam Borneo kini dah jadi orang Bangi. Terima kasih Ummiross. Jangan segan-segan untuk singgah ke rumah saya lagi di lain kali. Semoga ada lagi pertemuan buat kita di lain kali.



Wednesday, April 4, 2012

Right here waiting... gitar akustik..

 Semalam hujan, jadinya Is tak dapat pergi padang. Jadinya aku suruh Is praktis gitar... (bukan suruh sebenarnya.. aku paksa he..he..)

 Seperti tajuk lagu Richard Marx yang dia mainkan tu, I have to right here waiting juga kalau nak suruh dia praktis. Kalau aku hilang cepat aje dia simpan gitar. Aduhai geram betul dengan mamat sorang ni. Liat sungguh nak suruh praktis.

 Kalau dia kusyuk memang boleh main dengan baik. Sampai aku pun boleh ikut nyanyi lagi RHW tu..

 Kusyuk kan... Tapi...

 Sekejap ajelah.. Lepas tu dia dok menung balik..

 Menung lagi... Adoooiiii...

 Lepas kena sergah dengan mamanya, barulah dia mula praktis balik.. grr..

 Kusyuk balik..

Kusyuk lagi.. 

 Terus kusyuk..

Hmmm... sekejap ajelah. MAMA, janganlah ambil gambar abang lagi!! Ha..ha..
 Kononnya nak lepas diri. Takde maknanya. aku suruh main lagi.

Right Here Waiting..
Macam itulah kalau nak suruh dia praktis. Gambar-gambar ni sebagai bukti. Aku memang kena tunggu kat sebelah dia baru jalan. Kalau tak.. takdelah. Btw, aku tak pandai baca notes tu walaupun kat sekolah rendah dulu pernah belajar he..he... Jadinya kalau aku teringin nak petik lagu tu sendiri, Is akan duduk kat sebelah dan tunjukkan tali mana aku perlu press dan petik. Memang dia akan ajar aku betul-betul sampai aku dapat main. See, Is siap dah boleh ajar aku main gitar. Tapi nak suruh dia praktis susah sangat. Aku bukannya apa, bila dah hantar ke kelas tentulah nak tengok hasilnya. Nak kata tak minat, dia juga yang sungguh-sungguh nak belajar main gitar ni dulu. Aku tak paksa pun. Cuma suruh pilih kelas apa yang anak-anak minat supaya mereka ada pelbagai kemahiran. Jadinya bila dah mula belajar, tentulah aku mahu mereka bersungguh untuk mendalami ilmu tersebut. Jadinya bila nak suruh praktis aje  aku terpaksalah buka cerita sedih (based on true story),  mama dulu takde peluang nak ada semua ni, nak belajar semua benda ni, abang ada peluang tapi taknak hargai... dan dia pun akan mula praktis. Kalau tak guna taktik tu memang selalu tak jalan. 

Tuesday, April 3, 2012

Vienna, Thailand, Bali dan Cambodia..

Tajuk entry takde kena mengena dengan tempat yang bakal aku kunjungi dalam waktu terdekat ini. Dalam waktu terjauh, insyaAllah kalau ada rezeki. Kesemua tempat tersebut juga tidak pernah aku kunjungi. Jadinya bila FM dari tempat-tempat tersebut berada pintu peti ais rumahku, tentu saja aku berasa sangat teruja.Sama pula harinya aku menerima FM dari dua orang teman blogger yang baik hati pada jumaat lepas. Alhamdulillah, semenjak mengenali teman-teman blogger yang rajin melancong, peti ais  kat rumah dah hampir penuh dengan FM dari pelbagai negara. Suka..suka..suka.

Terima kasih Buat Hanie dan Suzie.  Kalau nak baca perkongsian cerita tentang Vienna, Thailand, Bali dan Cambodia, bolehlah berkunjung ke blog mereka. Gambar FM? He..he.. saja tak letak sebab takut nanti ada yang jeles. Eh..eh.. takdelah. Melawak aje. Memang tak ambil gambar pun. Macam pergi gathering blogger ahad lepas. Sekeping gambar pun tak ambil. Dah balik rumah baru menyesal hu..hu..

p/s : Minta maaf yer jika saya terlambat nak buat kunjungan balas. Saya sedang gigih menyiapkan projek kedua. Alhamdulillah, ianya sudah hampir menuju ke separuh perjalanan. Pening juga untuk meneruskan separuh perjalanan lagi. (Pening sebab setiap malam berjaga malam he..he..). Saya harap saya dapat menaip perkataan TAMAT sebelum pertengahan May.