Nuffnang

Wednesday, June 27, 2012

Umrah dan Ziarah 2012 : Persediaan..

Hari ni nak betulkan sedikit cerita yang aku tulis semalam. Mungkin ada yang salah faham mengenainya dari cara aku menulisnya. Minta maaf ya. Mengenai orang arab tu, bukanlah aku kata mereka tu kasar-kasar. Mereka itu fizikalnya besar-besar dan tegap. Tak macam orang kita yang saiz badan kebanyakkannya kecil. Orang kita yang lemah lembut juga selalunya tidak berapa kuat kalau nak dibandingkan dengan ketegapan mereka ditambah dengan saiz badan mereka. Itu yang kita perlu berhati-hati. Bukanlah nak kata mereka tu kasar. Cumanya, takut kita ni yang tak dapat bertahan kalau berada dalam kelompok mereka. Itu saja. Bab tolak menolak tu, bukan nak kata orang luar saja yang begitu. Orang kita pun ada juga yang begitu. Maklumlah, tempat yang kita nak pergi itu satu tempat yang mulia. Satu tempat yang mustajab untuk berdoa. Satu tempat yang semua orang mahu berada. Hati orang tak sama. Ada yang boleh menahan rasa teruja. Ada orang yang tidak. Itu yang jadi begitu. Tapi bagi aku, tak perlulah kita tolak menolak. Bersabar dan lebih berhemah itu adalah yang sebaiknya. Tujuan kita mahu ke sana adalah mahu beribadat kerana Allah Taala. Berdoa banyak-banyak agar segalanya dipermudahkan. Kalau ada rezeki kita untuk ke tempat yang baik-baik tu, insyaAllah, kita akan mendapatnya tanpa perlu tolak menolak atau mengasari orang lain.

Sebelum menunaikan umrah, aku memang banyak membaca dan mendengar pengalaman orang lain. Maklumlah, kali pertama. Serba-serbi tidak tahu. Banyak perkara yang tidak faham. Dari pembacaan dan cerita orang lain, dapatlah aku sedikit gambaran sebagai persediaan untuk melakukan ibadat ketika di sana. Alhamdulillah, terlalu banyak perkara yang dapat aku kutip dari cerita-cerita orang lain. Ianya menjadi sesuatu yang berharga buat aku yang baru kali pertama mahu ke tanah suci menunaikan ibadah umrah dan ziarah. Dari pembacaan dan  cerita orang, ada pelbagai kisah yang aku dapat. Salah satunya mahu aku kongsikan di sini. Aku tak ingat aku membacanya di blog mana. Tapi aku sangat tertarik dengan entrynya yang berbunyi, cerita dari Mekah bagaikan satu pita rakaman yang ceritanya lebih kurang sama dari zaman ke zaman. Di sana, jangan buat itu, nanti.. jangan cakap begini, nanti.. kalau kita begini, nanti.. kalau orang begitu, nanti.. Aku tersenyum sendiri ketika membacanya. Ini kerana, itulah juga versinya yang aku selalu dengar sejak dulu. Kisah benar yang diulang-ulang sehingga kita jadi takut untuk ke sana. Membacanya membuatkan aku berazam sendiri. Aku mahu bercerita yang baik-baik dan yang indah-indah saja bila balik nanti. Kisah benar yang diulang-ulang itu biarlah dari orang lain. 

Tak dinafikan, pada mulanya aku sendiri ada perasaan takut itu. Lebih-lebih lagi selepas dimomokkan dengan kisah benar pengalaman orang lain. Takut juga dengan dosa-dosa sendiri. Dosa dengan Allah sudah cukup banyak. Tak kira lagi dosa dengan suami, emak dan orang-orang disekeliling. Namun, pengalaman indah dari orang lain membuatkan aku tolak tepi perasaan takut itu. Satu nasihat dari temanku membuatkan aku jadi lega dan mahu memperbaiki diri. Kak, niatkan mahu ke sana kerana Allah Taala. Banyakkan buat solat taubat. Banyakkan buat solat hajat minta dipermudahkan segalanya. Perbanyakkan solat-solat sunat. Beritahunya. Ketika di sana ke? Soalku yang blur. Eh, ketika di sini lagilah. Di sana nanti teruskan. Balik nanti pun teruskan lagi. Jawabnya. Alhamdulillah, ianya menjadi nasihat yang sangat berguna untuk diriku. Harap-harap dapat diguna pakai oleh orang lain juga. Bukan sekadar untuk persediaan kita mahu ke tanah suci. Tapi untuk pedoman kita sehari-hari sebagai bekalan menuju kehidupan di akhirat nanti, InsyaAllah. Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat dari Allah.

Satu cerita benar lagi indah yang mahu aku canangkan ialah, Allah itu Maha Berkuasa. Allah itu Maha Pengasih. Allah itu Maha Penyayang. Allah itu Maha Pemurah. Allah itu Maha Mencukupi. Allah itu Maha segala-galanya. Subhanallah. Air mata terus mengalir mengingati semua KebesaranNYA. Sebak mengingati semua KebaikkanNYA.  Berdoalah, mintalah, pohonlah dengan sepenuh hati kita tanpa ragu. Allah itu Maha Mendengar. Jika apa yang kita pohon dimakbulkan, Alhamdulillah, bersyukurlah. Jika masih belum dimakbulkan, yakinlah yang Allah itu Maha Mengetahui. Tetap bersyukurlah kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik saja. Semoga keimanan kita akan terus meningkat dengan sentiasa mengingati Allah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya.

Tuesday, June 26, 2012

Umrah dan Ziarah 2012 - Kenangan di Raudhah, Masjid Nabawi

Alhamdulillah, ketika di Masjid Nabawi, Madinah, aku, emak dan emak mertua berpeluang untuk masuk ke Raudhah sebanyak 2 kali. Raudhah ialah satu tempat di antara mimbar dan rumah Rasulullah s.a.w. Ianya  adalah merupakan salah satu taman (Raudhah) dari taman syurga. Dan dikatakan kawasan ini adalah tempat mustajab doa. Di kawasan ini juga terletaknya maqam junjungan besar kita, Rasulullah S.A.W, juga dua sahabat baginda, Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a. Di dalam Masjid Nabawi, semua karpetnya berwarna merah. Hanya di kawasan Raudhah saja karpetnya berwarna hijau. Siapa yang tidak mahu berada di dalam taman syurga. Aku sangat teringin mahu ke sana. Mendengar cerita orang lain saja aku sudah rasa teruja. Sejak dari sini aku sudah berdoa agar aku mempunyai peluang untuk memasuki Raudhah. Alhamdulillah, aku memperolehi peluang itu.

Kali pertama kami berpeluang masuk ke Raudhah ialah pada waktu pagi setibanya kami di Madinah. Waktu itu kami mengikut kumpulan yang dibawa oleh Ustazah yang disediakan oleh pihak Andalusia. Rasa sangat seronok dan cukup sebak bila dapat menjejakkan kami ke Masjid Nabi. Subhanallah, sangat indah masjidnya. Mata mengagumi, mulut pula tak berhenti berselawat. Sebelum masuk ke Raudhah, kami perlu menunggu giliran. Jemaah Malaysia akan duduk menunggu giliran bersama dengan jemaah dari Indonesia, Singapura dan Brunei. Agak lama juga waktu menunggu. Tapi ianya bagaikan tidak terasa. Ini kerana sepanjang waktu menunggu itu di isi dengan selawat, berzikir dan berdoa. Tak henti-henti mulut ini berdoa agar segalanya dipermudahkan untuk kami. Salam untuk Rasulullah dan para sahabat dari keluarga dan kawan-kawan kami sampaikan. Sebelum masuk, Ustazah ada memberitahu adab-adab untuk masuk. Untuk menziarahi orang-orang besar pun ada adab dan protokol yang perlu kita jaga. Bila ingin menziarahi insan semulia Rasullullah s.a.w pastinya lebih lagi adab yang perlu kita jaga. Ustazah meminta kami semua membersihkan hati. Bertafakur dan mengenang kembali segala dosa-dosa yang pernah dilakukan. Bertaubat atas dosa-dosa tersebut. Subhanallah, aku sangat sebak ketika itu bila mengenang banyak sekali dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Air mata mengalir laju.

Alhamdulilah, jemaah dari Malaysia sangat bersopan dan cukup sabar menunggu giliran. Tiada asakan dan tolak menolak. Bila tiba giliran kami dapat masuk, memang semuanya nampak cukup teruju. Cukup laju semuanya berjalan. Alhamdulillah, dapat juga akhirnya kami menjejakkan kaki ke kawasan Raudhah. Hati terus sebak. Aku perlu mencari ruangan untuk emak menunaikan solat. Agak sukar bila semua tempat kelihatan penuh. Ada tempat untuk berdiri, tapi untuk bersolat tiada ruangan untuk rukuk dan bersujud. Lutut emak tidak berapa kuat, jadinya aku perlu memastikan tempat yang ada selesa buat emak yang perlu mengambil masa untuk rukuk dan sujud. Bila ada ruangan, waktu mahu rukuk atau sujud, ada saja orang yang memenuhi ruangan  itu walaupun puas juga aku berjaga-jaga. Alhamdulillah, setelah seketika barulah emak dapat bersolat dan aku menjaga ruangan emak. Untuk kali pertama itu, aku hanya berpeluang berdoa saja di situ sebelum di arahkan keluar.

Untuk peluang kali kedua, selepas saja solat Isyak dan solat-solat sunat, kami terus menunggu di ruangan untuk memasuki Raudhah bersama jemaah Malaysia yang lain. Waktu ini jemaah yang menunggu tidak seramai waktu pagi sebelumnya. Namun untuk menunggu giliran tetap juga mengambil masa. Kami terus berdoa dan berselawat sepanjang waktu menunggu. Terdengar jemaah dari negara lain berlari-lari bila tiba giliran mereka. Derap tapak kaki mereka saja sudah terasa cukup mengerunkan untuk kita ikut masuk bersama mereka. Jadinya, adalah lebih selamat untuk kita bersabar menunggu giliran dan masuk bersama jemaah dari Malaysia saja yang nampak cukup bersabar dan bersopan. Polis wanita yang menjaga juga kelihatan baik dan lebih lembut bila mengendalikan jemaah dari Malaysia yang kebanyakkannya mengikut kata.

Bila tiba giliran kami, memang kami semua berjalan dengan laju untuk memasuki Raudhah. Namun tiba-tiba kaki bagaikan tersekat tak boleh terus bergerak ke hadapan. Subhanallah, kenapa ni? Rupa-rupanya tali beg jemaah sebelum giliran kami (Kalau tak silap dari Iran) telah tersangkut dengan tali tanda nama anak  jemaah dari Malaysia. Alhamdulillah, kerana aku terbuka hati untuk tidak terus melangkah tali itu atau mencari laluan lain saja. Aku dan emak terus menunggu di situ walaupun keutamaan kami ialah mahu mencari ruangan untuk bersolat dan berdoa di dalam Raudhah.  Jemaah Iran itu terus menarik begnya kerana tidak perasan tali begnya yang tersangkut. Jemaah dari Malaysia itu terus memberitahu jangan tarik, leher-anak saya.. leher anak saya.. bila leher anaknya terus tertarik.  Sedikit meninggi suaranya sambil cuba menghuraikan tali yang tersangkut bila jemaah Iran itu terus menarik begnya. Iyalah, manalah dia memahami bahasa kita. Jemaah Malaysia itu pula sudah di dalam keadaan cemas waktu itu.

Aku yang berada di situ turut rasa bersalah kerana aku juga melanggar tali itu walaupun aku sendiri tidak perasankannya apatah lagi dengan sengaja mahu melanggar tali yang tidak kelihatan itu tadi. Jemaah Malaysia itu terus menangis bila tali itu bagaikan tidak terhurai. Aku memujuknya sambil memberitahu untuk sama-sama membantunya meleraikan tali tersebut. Alhamdulillah, tali itu dapat diuraikan. Jemaah Iran itu terus pergi dengan begnya. Jemaah Malaysia tadi terus menangis sambil memeluk anaknya. Dalam sebak aku menarik emak untuk mencari ruangan untuk menunaikan solat. Alhamdulillah ada ruangan untuk emak bersolat. Aku menjaga emak sepanjang waktu emak bersolat. Menahan emak dari di tolak dan menjaga ruangan untuk emak dapat rukuk dan sujud. Selepas emak selesai berdoa aku mengambil ruangan emak. Aku minta emak keluar terlebih dahulu. Ini kerana aku takut emak tertolak ketika mahu menjaga aku waktu aku bersolat. Aku bertawakal dan berdoa agar diri ini dilindungi.

Alhamdulillah, aku dapat bersolat dengan agak selesa. Aku dapat bersujud lama sambil memohon ampun dari Allah dan berdoa. Air mata ini tak henti-henti mengalir atas rasa syukur kerana dapat peluang bersolat dan berdoa di dalam Raudhah. Segala yang aku hajatkan dapat aku doakan di sana. Alhamdulillah juga, kerana aku dapat juga mendoakan untuk orang lain sama. Selesai aku bersolat, polis wanita sudah berdiri di tebing tiang di hadapanku. Mengarahkan jemaah dari Malaysia keluar kerana selepas itu giliran jemaah dari arab pula. Alhamdulillah, aku masih dapat menghabiskan doaku lagi waktu itu tanpa terus diarahkan keluar oleh polis tersebut. Bila di suruh keluar aku terus akur. Bangun dan berlalu.

Ketika itu sudah terdengar derap kaki jemaah selepas kami. Masih ada lagi juga jemaah yang mahu terus berada di situ dan berdoa. Bangun ibu, arab ibu.. bangun ibu, arab ibu.. Polis itu memberitahu yang jemaah yang akan masuk ini adalah dari Arab. Nada polis itu sudah cemas bila masih ada yang tidak mahu bangun kerana tentunya polis itu takut kalau-kalau mereka akan di rempuh oleh jemaah arab nanti. Mungkin untuk jemaah di bahagian hadapan masih okey lagi. Tapi bagi jemaah yang duduk di bahagian tengah, adalah tidak selamat untuk terus duduk di situ. Bangunlah, kalau kena langgar nanti lagi susah. Jemaah selepas ni dari Arab. Takut kena rempuh aje nanti.  Ajakku dengan nada sedikit merayu kepada jemaah yang seperti enggan bangun. Aku juga bimbangkan keselamatan mereka. Aku tidak pasti jemaah itu bangun atau tidak bila aku terus keluar setelah polis mengarahkan keluar untuk keselamatan kami juga.

Alhamdulillah, waktu aku keluar jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Keadaan dalam Masjid Nabawi sudah lenggang. Aku mencari emak dan menunggu emak mertuaku seketika. Aku pulang ke hotel malam itu dengan perasaan yang cukup puas. Puas kerana dapat memasuki Raudhah. Puas kerana dapat membantu orang di dalam Raudhah tanpa mementingkan diri sendiri.  Puas kerana dapat mengutamakan emak terlebih dahulu. Puas kerana dapat bersoalat di Raudhah. Puas kerana dapat berdoa di Raudhah. Puas kerana aku tidak tamak berdoa hanya untuk diri sendiri. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar..  rasa sangat bersyukur dan sangat indah perasaannya. Sehinggakan aku terasa cukup sebak untuk menghabiskan entry ini bila mengenangkan malam yang cukup indah buatku di Raudhah. Terima kasih Allah. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Monday, June 25, 2012

Umrah dan Ziarah 2012 - Panas dan sejuk..

Salam buat semua..
Masih tak habis lagi nak bercerita tentang pengalaman umrah. Catatan yang sebenarnya untuk diri sendiri. Mengenangnya adalah sangat indah, sehingga terasa mahu membuat catatan lagi dan lagi mengenainya.

Suhu di Mekah pada waktu kami di sana (31 Mei~5 Jun) adalah sekitar 40~45 darjah celcius. Pernah juga mencapai 49 darjah celcius. Ada yang kata panas tu. Memanglah panas. Tapi yang indahnya, dapat berehat di bilik berhawa dingin yang sejuk dan selesa pun masih tetap ada rasa mahu ke Masjidil Haram juga melalui cuaca panas dengan suhu yang sebegitu. Tarikan untuk berada dekat dengan kaabah adalah lebih kuat dari memikirkan soal suhu yang panas. Panas memang terasa tapi keseronokkan untuk berada di Masjidil Haram, beribadat di dalamnya, bertawaf dikeliling kaabah atau sekadar memandang kaabah adalah lebih dirasai. Subhanallah.

Di bilik hotel, saluran tv pilihan kami ialah siaran langsung di Masjidil Haram berserta dengan bacaan ayat suci Al-quran. Indahnya melihat keadaan di sekitar kaabah, indahnya melihat orang bersolat, indahnya melihat orang bertawaf, indahnya melihat orang bersaie. Jadinya, bila sampai ke bilik untuk berehat, hati mula rasa melonjak balik untuk kembali ke masjidil haram. Hati mula cemburu melihat orang lain boleh berada di luar dengan suhu yang panas. Seronok berada di bilik yang sejuk dengan penghawa dingin tapi lebih berganda seronoknya bila berada di Masjidil Haram. Subhanallah, perasaan yang sangat indah bagiku. Tarikan yang sangat kuat untuk beribadat ketika di sana.

Alhamdulillah, kami dapat merasa hujan di sana. Petang isnin, selepas solat asar, waktu kami keluar dari Masjidil Haram, hujan turun. Kelihatannya, ramai yang menadah tangan berdoa dengan wajah yang cukup seronok. Kami juga ikut meredah hujan untuk balik ke hotel. Beberapa waktu melalui cuaca yang panas, adalah sangat nikmat bila hujan turun.

Thursday, June 21, 2012

Umrah dan ziarah 2012 : Umrah pertamaku...

Petang itu selepas solat zohor kami akan berangkat ke Mekah dari Madinah.  Sangat sebak ketika melakukan ziarah selamat tinggal di Masjid Nabawi. Terasa sangat berat dan syahdu hati ini untuk meninggalkan Masjid Nabi s.a.w yang sangat mulia dan indah itu. Lebih kurang jam 3 petang, bas kami mula bergerak meninggalkan bumi Madinah. Tak putus berdoa agar kami ada rezeki dan peluang untuk menziarahi Makam Nabi dan Masjid Nabawi di lain kali, insyaAllah. Jemaah lelaki sudah lengkap berihram ketika itu. Dalam setengah jam perjalanan kami tiba di Miqat Bir Ali untuk solat sunat ihram serta berniat ihram dan umrah. Selepas itu, bas meneruskan perjalanan selama 5 jam ke Mekah. Di dalam bas kami dibimbing oleh mutawwif untuk bertalbiah. Sangat sebak ketika itu. Labbaikallahummalabaik.. Labbaikallasyarikalakalabaik.. (HambaMU datang menyambut panggilanMU Ya ALLAH..) Kemudian kami berdoa, berzikir dan berselawat. Sepanjang perjalanan, bas merentas padang pasir yang lapang dengan bukit bukaunya berbatu-batu, rasa sebak bila terbayangkan kepayahan Rasulullah untuk berdakwah. Allahuakbar.. Terbayangkan betapa sukarnya hijrah Rasulullah dan para sahabat dari Mekah ke Madinah melalui jalan yang sebegitu.

Bas kemudiannya berhenti untuk kami singgah makan malam di Wadi Kudait. Di sana kami juga menunaikan solat jamak maghrib dan isyak. Selepas itu bas meneruskan pejalanan ke Mekah. Semakin menghampiri bumi Mekah semakin hati ini terasa berdebar-debar dan terasa tidak sabar. Tidak sudah mulut ini berdoa, terimalah kedatanganku sebagai tetamuMU, Ya ALLAH. Permudahkanlah segalanya buat kami. Memasuki kota Mekah kami kembali bertalbiah. Air mata menitis-nitis ketika bas memasuki Tanah Haram. Terdengar sedu sedan diselangi dengan talbiah yang dibaca. Subhanallah.. indahnya perasaan kerana dapat sampai ke sana. Alhamdulillah, kami selamat tiba di Hotel penginapan lebih kurang jam 9 malam. Lebih kurang 1 jam dengan urusan pendaftaran masuk ke bilik dan membawa naik bagasi, kami turun semula selepas berwuduk di bilik hotel. Jam 10 malam kami dan ahli kumpulan diiringi mutawwif berjalan ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah pertama kami. Umrah wajib bagi aku, en asben dan emak yang baru kali pertama menunaikan umrah. Orang yang pergi dan pulang ke masjid masih sangat ramai ketika itu. Bagi aku yang kali pertama ke sana, ianya satu pemandangan yang cukup menakjubkan. Subhanallah.. 

Malam sebelum berangkat, jiran belakang rumah yang sekarang ini sudah berpindah ke Sarawak ada menelefon kami di rumah. Berbesar hati sangat kerana dari jauh dia sudi menelefon. Dia mengucapkan selamat jalan dan selamat menunaikan umrah. Dia juga ada mengingatkan kami supaya berdoa sewaktu pertama kali melihat kaabah. Ini kerana katanya doa waktu pertama kali melihat kaabah adalah antara doa-doa yang dimakbulkan. Dia mengajarkan doa ini kepada kami. Ya ALLAH, kau ampunilah dosa-dosaku sehingga ke akhir hayatku. Kau makbulkanlah segala doa-doaku yang engkau redhai..

Kami masuk ke Masjidil Haram melalui pintu 1 iaitu pintu King Abdul Aziz. Ianya bertentangan dengan jam besar di Zam-zam Tower. Hati semakin berdebar ketika melangkah masuk. Melalui pembacaan dan dari cerita pengalaman orang lain, selepas melangkah masuk dan selepas menuruni tangga akan kelihatan kaabah di depan mata. Mata ini terus jadi tidak tahu untuk memandang ke mana untuk mencari kaabah yang aku tidak tahu di mana letaknya. Cerita orang pastilah tidak sama dengan pengalaman sendiri. Ianya tidak sama seperti yang dibayangkan. Kami berhenti untuk minum air zam-zam terlebih dahulu. Kemudian berkumpul menunggu yang lain. Waktu mengangkat muka, kaabah sudah kelihatan. Terasa bagaikan tidak percaya dapat melihat kaabah dalam jarak sedekat itu. Terima kasih Ya Allah kerana menjemput kami untuk ke RumahMU. Subhanallah.. saat itu perasaannya tidak terungkap dengan kata-kata. Aku mencuit en.asben dan emak. Itu Kaabah.. Kami mula berdoa. Semoga doa-doa kami itu dimakbulkan hendaknya, insyaAllah.  Selepas itu kami menunaikan tawaf umrah pertama kami 7 kali mengelilingi kaabah. Selepas selesai bertawaf kami menunaikan solat sunat tawaf. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Selepas itu Mutawwif membawa kami ke tempat untuk saie. Untuk kali pertama bersaie itu, mutawwif membawa kami bersaie di tingkat atas. Ini kerana di tingkat atas keadaannya lebih lengang berbanding di bawah. Keadaannya lebih selesa buat kami yang baru kali pertama melakukannya. Kami berjalan berulang alik sebanyak 7 kali dari Safa ke Marwah. Setelah selesai bersaie kami bertahalul iaitu bergunting. Maka selesailah umrah pertama kami. Dan kami sudah keluar dari larangan berihram selepas bertahalul itu. Alhamdulilah segalanya dipermudahkan.

*Bagi yang tak larat untuk berjalan ketika bertawaf, ada orang yang memberikan perkhidmatan menyewa kerusi roda. Siap dengan orang yang menolaknya sekali. Kadarnya berbeza-beza mengikut orang yang menolaknya. Di tempat saie di tingkat atas juga ada disediakan buggy bermotor bagi yang tidak terlarat. Bayarannya adalah sebanyak 50 riyal untuk 2 tempat duduk. Ada juga orang yang menolak kerusi roda. Kadarnya juga berbeza-beza mengikut orang yang menolaknya.  Mengikut pengalamanku (kerana emak dan mertua ada menggunakan perkhimatan tersebut) Kadar orang yang menolak kerusi roda untuk tawaf dan saie adalah 150 riyal untuk seorang. Untuk bersaie saja dalam 50~80 riyal. Kadar ini boleh ditawar.

Begitulah kisah pengalaman umrahku yang pertama. Semoga perkongsianku yang tidak seberapa ini memberi manfaat untuk orang lain juga, insyaAllah.

Tuesday, June 19, 2012

Gua Hira', Jabal Nur...

Alhamdulillah.. waktu di Mekah, aku dan en.asben berpeluang mendaki ke Gua Hira'. Waktu mutawwif bertanya pada sesiapa yang mahu ke Gua Hira' memang aku begitu teruja untuk ke sana. Sangat teringin untuk sampai ke Gua Hira'. Awal-awal lagi mutawwif sudah memberitahu. Perjalanan untuk naik ke Gua Hira' ialah dalam 40 minit. 40 minit lagi untuk perjalanan turun. Entah mengapa aku seperti tidak ambil peduli tentang perkara itu. Macam berdaya sangat kaedahnya. Mungkin kerana semangat yang begitu membara. Bak kata mutawwif, lebih 40 minit membeli belah tu tak jadi hal. Jadinya tentulah tak jadi hal juga untuk mendaki.

Kami bertolak dari hotel jam 10 malam. Mutawwif memilih waktu malam kerana faktor cuaca. Walaupun malam, masih juga terasa bahangnya dengan suhu sekitar 30~35 darjah celcius. Dari bawah sudah nampak Jabal Nur yang bercahaya. Memang nampak bercahaya. Kami ingatkan bukit itu nampak bercahaya kerana waktu itu bulan terang. Tapi menurut mutawwif pada waktu bulan gelap pun Jabal Nur masih lagi bercahaya. Mendengarnya membuatkan kami semua menjadi sangat kagum. Subhanallah.. Mungkin itulah sebabnya nama bukit itu dinamakan sedemikian, Jabal Nur.

Ketika sampai bas berhenti di tepi jalan. Kemudian ada van yang datang mengambil kami untuk di bawa ke kaki bukit. Menaiki van ini terasa seperti menaiki roller coaster. Ini kerana keadaan muka bumi yang seperti tegak mendaki 45 darjah. Juga dengan cara pemanduannya yang sangat laju. Namun skill pemandunya sangat boleh dipuji. Maklumlah memang kerjanya dan dia sangat arif dengan keadaan di situ. Tapi kami semua memang mengucap panjang dan terjerit-jerit juga kerana terasa ngeri. Namun bila sampai ke kaki bukit semuanya rasa seronok dengan pengalaman yang terasa mencabar itu.

Untuk mendaki kaki bukit yang bertar pun terasa payah. Aduhai, itulah akibatnya bagi orang yang rajin bersenam. Baru 4,5 langkah mendaki sudah terasa pancit. Kemudian mendaki tangga pula. Itu pun rasanya sepuluh kali aku berhenti. Terasa sudah jauh benar mendaki. Ingatkan sudah sampai separuh pendakian. Bertanya pada mutawwif rupa-rupanya baru suku. Makkk.. Namun semangat tetap ada. Namun makin lama makin perlahan. Makin lama makin lebih banyak berehat dari mendaki. Sudahnya aku seperti mahu menyerah. En.asben pujuk juga sambil beri semangat. Pelan-pelan katanya.

Tapi aku rasa tak berdaya. Sudahnya aku minta en.asben jalan dulu. Sebab kesian pula kalau disebabkan aku en.asben juga tidak dapat sampai ke Gua Hira'. Maka tinggallah aku bersama beberapa orang dari ahli kumpulan kami yang masih ada semangat namun sudah tidak terlarat. Aku yang kononnya dah surrender pada mulanya dengan begitu bijak pandai tidak ambil air minuman dari en.asben. Makanya  kehausanlah jadinya. Sampai kena tebalkan muka minta air dari ahli kumpulan.. he..he..

Namun dalam tak berdaya tu, gagahkan juga daki pelan-pelan. Makin lama makin pancit. Tapi dalam makin pancit tu makin terasa sayang pula untuk berhenti. Masing-masing memberi semangat antara satu sama lain. Gagahkan juga daki lagi. Alhamdulillah, akhirnya sampai juga aku ke atas.  Alhamdulillah juga sebab sebelum nak ke Gua Hira' ada orang menjual air. Makanya berhenti dulu hilangkan dahaga. Dah sampai atas tu aku mula gayat. (Aku memang gayat pada ketinggian) Sebab nak ke Gua Hira' kena turun ke bawah sikit di sebalik bukit tu. Aduhai terasa cukup mencabar. Sampaikan aku terpaksa buka kasut. Sudahnya pakai stokin aje aku masuk ke Gua Hira'.

Alhamdulillah, sampai juga aku ke Gua Hira'. Terasa hilang segala penat. Rasa sangat puas. Kecil benar laluan pintunya. Muat-muat badan saja nak melepasi pintunya. kena lalu seorang-seorang. Subhanallah.. Terbayang bagaimana kepayahan Rasulullah dulu. Terbayang kesetiaan isterinya, Saidina Khadijah yang menghantarkan makanan buat Baginda Rasulullah. Subhanallah... Selawat dan Salam ke atas Rasulullah saw dan ahli keluarganya.

Waktu aku sampai en.asben dah nak turun pun lepas dah lepak lama kat atas tu. He..he.. punyalah lambat. Tapi dia tunggu juga. Sebab kalau tak memang aku tak tahu macam mana nak turun. Sebab aku dah super gayat waktu tu. Rasa mengigil-gigil nak turun. Kaki rasa mengeletar sangat. Dari atas tu nampak Masjidil Haram. Sungguh terang benderang bagaikan kota emas di mataku. Sangat indah.  Sekarang ini aku hanya teringatkan kepuasannya. Rasa penat itu bagaikan langsung aku terlupa tentangnya. Rasa seronok berada di tempat Rasulullah pernah berada. Walaupun tiada kelebihan pun untuk kita mendaki ke Gua Hira'. Hanya kepuasan untuk diri sendiri.

Monday, June 18, 2012

Ciuman di Masjid...

Bila mahu bercerita tentang ciuman di Masjid, yang terbayang di mata ialah waktu selepas majlis akad nikah. Ini kerana itulah saja ciuman di Masjid yang biasanya terjadi. Teringat lagi waktu majlis sepupuku. Selepas akad nikah, bacaan doa dan solat sunat, Tok Kadi sendiri yang bertanya kepada pengantin lelaki, eh.. taknak cium pengantin perempuan ke. Ciumlah, dah halal nak cium depan mak ayah dia.. he..he.. usikkan Tok kadi untuk pengantin baru.

Waktu di Istanbul, seronok sangat melihat penduduknya mengimarahkan Masjid. Masjid-masjidnya yang lama dan cantik memang menjadi tumpuan pelancong. Tapi mereka sendiri juga sentiasa memenuhkan masjid untuk solat berjemaah. Tempat solat untuk wanita, sentiasa penuh pada waktu solat fardhu. Kalau kat tempat kita payah sikit nak tengok keadaan yang sebegitu. Orang Istanbul cantik-cantik. Handsome-handsome. Suka sangat tengok pasangan-pasangan mereka yang sama cantik sama padan. Lagi suka tengok bila sebahagian dari mereka bercinta sehingga ke dalam kawasan Masjid.  Berpegangan tangan sehingga ke kawasan Masjid. Kemudian sebelum berpamitan untuk menunaikan solat, sempat lagi mencium dahi pasangan (isteri) mereka. Tak segan mempamerkan kemesraan dalam keadaan yang nampak begitu sopan. Aduhai romantiknya.

Yang, sukanya i tengok dia orang tu. Dengan excitednya aku bercerita pada en.asben. Iyalah kalau kat tempat kita, kawasan Masjid macam jadi kawasan larangan pula untuk menunjukkan kemesraan sebegitu.

Waktu di Masjidil Haram..
Selepas solat zohur aku dan en.asben bertawaf sunat mengelilingi kaabah. Waktu selepas zohur memang keadaannya agak lenggang. Orang masih ramai cuma tak sepadat  waktu-waktu lain. Jadinya selepas bertawaf sunat dan bersolat sunat tawaf, aku mengajak en.asben untuk mengambil peluang bersolat dan berdoa di kawasan Hijir Ismail (Kawasan Hijir Ismail ni adalah sebahagian dari Kaabah. Ianya dikatakan antara tempat mustajab untuk berdoa). Alhamdulillah, aku dan en.asben dapat peluang untuk masuk ke dalamnya. Dapat bersolat sunat dan berdoa di situ. Sungguh syahdu perasaan bila dapat peluang untuk berada di situ. Lebih-lebih lagi bila bersama orang yang tersayang. Rasa bersyukur dan seronok sangat bila dapat sama-sama beribadat. Selepas bersolat sunat, aku mengambil masa untuk berdoa. Sangat asyik berdoa sehinggalah en.asben mengajak aku keluar untuk memberi laluan kepada orang lain. Beratnya hati untuk keluar dari kawasan itu. Tapi aku tahu, memberi peluang untuk orang lain juga adalah sangat perlu. Kami berpandangan dan berpegangan tangan sebelum bangun untuk keluar. Dalam sendu aku menciumi tangannya. Tak terduga en.asben mencium dahiku. Bukannya tidak pernah menerima ciuman darinya. Tapi perasaannya adalah sangat indah ketika berada di situ. Selepas aku begitu teruja bercerita dengannya tentang betapa indah dan romantiknya mendapat ciuman di dalam masjid beberapa hari sebelum itu. Alhamdulillah..

Friday, June 15, 2012

Umrah dan Ziarah 2012 - Travel Agent..

Salam Jumaat buat semua..

Rasanya soalan mengenai Travel Agent (TA) mana yang diambil untuk Umrah dan Ziarah adalah soalan utama yang sering ditanya pada jemaah yang mahu pergi dan baru pulang. Makanya hari ni aku nak bercerita mengenai TA yang mengendalikan Umrah dan Ziarah kami. Kami pergi dengan TA Andalusia. (Pengerusi Eksekutifnya Ust. Dato' Daud Che Ngah. Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji.  Waktu zaman sekolah aku sudah mengenalinya kerana kerap mendengar program pagi yang dikendalikan olehnya di radio. Jadi bila mengikuti kursus umrah yang dikendalikan olehnya aku rasa macam dah kenal benar dengannya he..he..).

Bagus ke TA Andalusia tu?
Soalan yang biasa ditanya. Sejujurnya, itulah soalan yang berada di minda aku  yang baru pertama kali mahu menunaikan ibadah umrah. Sebelum pergi aku ada juga google mengenainya. Bermacam-macam komen yang aku dapat. Ada yang kata bagus. Ada yang kata kurang. Ada juga yang kata tak bagus. Maklumlah pandangan dan penerimaan kita kan berbeza-beza. TA juga mengendalikan beratus atau beribu jemaah. Bukannya melayani kita dan keluarga kita saja. Jadinya tentulah ada perkara yang memuaskan dan tidak memuaskan hati kita. Namun aku tertarik dengan satu komen yang bunyinya lebih kurang begini mengikut pemahaman dan bahasa aku. Perkara berkaitan TA ini menjadi rezeki masing-masing. Aku sangat suka dengan komen sebegitu. Kiranya, tak kiralah TA mana pun yang kita ambil, kalau rezeki kita baik, maka akan baiklah semuanya buat kita. Jika sebaliknya, itulah juga rezeki kita. Sehinggakan sebelum bertolak aku berkata kepada en-asben. Kita terima apa saja rezeki untuk kita. Banyakkan bersabar dan jangan berlebih-lebihan mengharap. Kita terima apa saja seadanya. Asalkan segalanya selesa buat emak dan ayah juga emak, itu sudah sangat baik.

Alhamdulillah.. semuanya berjalan lancar, baik-baik saja dan dipermudahkan buat kami. Kalau di tanya kepadaku selepas umrah dan ziarah ini bagaimana pendapat aku tentang TA Andalusia? Jawapan aku ialah semuanya baik untuk kami. Mungkin aku jenis yang mudah rasa berpuas hati. Makanya, segalanya nampak okey dan baik saja di mataku. Masalah ada di mana-mana. Tak perlu fikir sangat. Kalau kita rasa masalah tu besar, ianya akan jadi besar. Bila kita fikir masalah itu kecil, maka akan jadi kecillah masalah tu. Yang penting banyak-banyakkan berdoa agar segalanya dipermudahkan.

Kursus Umrah?
Disediakan pada setiap sabtu dan ahad di Pejabat Andalusia di Kg. Pandan.  Rasanya Andalusia juga tiada jadual tertentu bila jemaah perlu datang kursus. (Hanya diberitahu sebaik-baiknya sebelum 2 atau 3 minggu sebelum bertolak). Tiada juga panggilan kursus secara khas. Jadinya boleh saja memilih tarikh-tarikh hujung minggu yang sesuai sebelum waktu berangkat.  Rasanya untuk kursus setiap ahad memang dikendalikan oleh Ust. Dato' Daud Che Ngah sendiri. Memang penuh padat setiap kali kursus. Ini kerana jemaah yang datang tidak terhad kepada jemaah Andalusia saja. Ada juga orang luar yang mahukan kursus umrah  turut serta. Minuman pagi disediakan secara percuma.

Tiada masalah dengan Ahli kumpulan ke?
Alhamdulillah..  Tiada masalah dengan group kami TK22. Semuanya baik-baik belaka seperti saudara sendiri. Walaupun berlainan usia dan latar belakang, nampaknya semuanya boleh bersatu hati. Semuanya saling hormat menghormati. Saling sama-sama menjaga kebajikan. Paling best bila segala hal diuruskan bersama-sama sehinggakan tidak terasa terbeban dengan hal bagasi dan urusan ketika mendaftar masuk di airport mahupun di hotel.

Mutawwifnya bagaimana?
Alhamdulillah, Mutawwif kami Ust. Aswin sangat bertanggungjawab orangnya. Juga sangat membantu. Penerangannya jelas. Ust. Aswin juga sentiasa ada bersama kami sejak dari Malaysia, Singapura, Istanbul, Madinah dan Mekah dan sehinggalah waktu kami pulang semula ke Malaysia. Jika ada jemaah yang terlambat, pastinya dia akan berusaha untuk pergi mencari dan sedia menunggu. Pengisian sepanjang perjalanan penuh terisi dengan doa, zikir dan cerita-cerita  kisah zaman Rasulullah dan kisah-kisah di Bumi Anbiya'. Ustazah juga ada disediakan di Madinah untuk membawa kami masuk ke Raudhah - Masjid Nabawi. Alhamdulillah, Ustazahnya juga sangat baik. Selain itu di hotel penginapan juga ada pengisiannya. Ada ceramah berhubung dengan ibadah umrah. Juga diadakan bacaan yaasin dan tahlil arwah.  

Penginapan bagaimana?
Aku boleh katakan penginapannya selesa. Untuk aku, ada katil dengan tilam empuk, bilik airnya bersih dan biliknya beraircond sudah dikirakan selesa. Untuk  jarak, di Madinah memang dekat dengan Masjid Nabawi. Di Mekah agak jauh, lebih kurang 400 meter (10 minit berjalan). Ini kerana faktor banyak hotel-hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram yang sedang diruntuhkan.

Makanan dan minumannya bagaimana?
Alhamdulillah.. cukup dan mengenyangkan he..he.. Sedap dan tak sedap tu subjektif. Ada juga makanan yang tak kena dengan selera aku. Tapi kena dengan selera orang lain. Aku rasa sedap orang lain rasa sebaliknya. Jadinya bila ianya sentiasa cukup dan mengenyangkan, pada aku kira dah cukup bagus. Lagipun ada banyak restoran di sana. Kalau rasa tak kena dengan selera kita, boleh cari makanan lain yang memenuhi selera kita.

Info tambahan :
Jemaah Andalusia turut diberikan 3 biji beg untuk setiap seorang. 1 Beg baju besar yang beroda, 1 beg galas yang juga beroda dan beg sandang kecil untuk mengisi dokumen penting dan barang keperluan. Waktu bertolak diberikan juga 1 beg bimbit kecil berisi biskut dan air kotak. Beg ini boleh digunakan untuk mengisi kasut ketika di masjid.  Air mineral diberikan seorang sebotol setiap hari bagi setiap perjalanan melalui bas.

Rasanya itu saja yang boleh aku kongsikan serba sedikit tentang TA untuk Umrah dan ziarah. Harap-harap perkongsian dari pengalaman pertama aku yang tidak seberapa ini dapat memberi manfaat untuk orang lain juga.

Thursday, June 14, 2012

Seronok bercerita..

Waktu zaman sekolah, banyak yang kita tahu tentang sejarah mengenai  Rasullulah saw.  Tentang peperangan yang dihadapi. Nama bukit-bukit tertentu yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Nama masjid-masjid penting dan pelbagai lagi. Tapi bila telah lama meninggalkan alam persekolahan, banyak yang sudah dilupai. Ada yang ingat tapi sekadar samar-samar saja. Ada pula yang langsung terlupa. Teruk betul rasanya. Dapat ke Mekah dan Madinah membuatkan aku kembali mengingati semula perkara-perkara yang sebelum ini sudah samar dan hampir terlupa. Sangat seronok bila bercerita dengan anak-anak mengenai kisah di sana. Ini kerana mereka lebih maklum tentang perkara-perkara yang aku ceritakan kerana cerita dan kisah-kisah tersebut masih segar di fikiran mereka kerana mereka baru dan sedang mempelajarinya di sekolah. Sedangkan aku baru kembali maklum mengenainya selepas mendengar cerita dan penerangan dari Muttawif.

Mama ke Masjid Quba.. Ceritaku. Oh, masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah tu ye mama.. kata anakku.  Mama ke Jabal Uhud.. ceritaku lagi. Oh, tempat Saidina Hamzah meninggal dalam perang tu.. Sambut anakku. Mama ke Jabal Thur.. Oh, tempat Rasullullah bersembunyi dengan Saidina Abu Bakar.. Mama ke Gua Hira'.. Oh, tempat wahyu pertama dan kisah Iqra'.. Seronoknya bercerita pada anak-anak mengenainya. Aku sendiri ada yang baru kembali maklum mengenainya. Terasa malu sendiri.

Mama ke Jabal Rahmah.. Rasanya cuma yang ini anak-anak macam tak berapa tahu mengenainya. Jabal Rahmah ialah tempat pertemuan Nabi Adam dan isterinya Hawa selepas turun dari syurga ke  dunia. Menurut cerita Nabi Adam dari Sri Lanka dan Hawa di situ. Di situ katanya tempat untuk berdoa akan jodoh kita. Aku dan en.asben turut berdoa. Mudah-mudahan berpanjanganlah jodoh kami hingga ke syurga. Ada seperti tugu di atasnya. Ada yang bersolat sunat di situ. Waktu kami pergi ada Pak Arab yang sound orang yang bersolat mengadap tugu itu sebab katanya (memang sepatutnya) solatlah dengan mengadap ke arah Kaabah. Bukan mengadap ke tugu itu.

Wednesday, June 13, 2012

Rasa meminjam, bukan rasa memiliki...

Semakin dekat hari mahu berangkat, semakin berat rasa hati ini untuk meninggalkan anak-anak. Tambah-tambah lagi waktu kami mahu berangkat, sekolah masih belum mula bercuti. Masih ada beberapa hari untuk anak-anak ke sekolah tanpa kami. Sehari sebelum berangkat rasa berat hati semakin memberat. Rasa rindu, rasa risau dan bermacam-macam rasa mula bersatu. Waktu pulang dari kerja yang cuma ada beberapa jam sebelum aku meninggalkan anak-anak aku buka saluran IKIM FM. Alhamdulillah, perkongsiannya waktu itu kena benar dengan apa yang aku perlukan untuk meredakan perasaanku. Ianya mengenai rasa meminjam dan bukan rasa memiliki.

Kata Ustazah yang berbicara (lebih kurang begini mengikut pemahamanku). Bila kita mempunyai rasa meminjam, kita akan rasa redha untuk melepaskan. Tapi bila kita mempunyai rasa memiliki, kita akan rasa tamak, rasa takut dan rasa tidak mahu melepaskan sesuatu yang kita rasa sepenuhnya milik kita. Segala-galanya yang kita ada hanya pinjaman. Tiada yang kekal milik kita. Semuanya milik ALLAH yang menguasai dunia dan akhirat. Hakikat dan kenyataan itu memang sedia dimaklumi. Tapi bila ianya diulangi lagi dalam waktu yang bertepatan, ianya cukup memberikan kelegaan kepadaku. Kata-kata itu membuatkan hati yang berat menjadi ringan.  Rasa redha dan berserah untuk meninggalkan anak-anak mula aku rasai. Alhamdulillah..

Tuesday, June 12, 2012

Please pray for her..

Pada malam terakhir bersolat jemaah maghrib dan isyak di Masjidil Haram, aku pergi ke masjid bersama en.asben. Emak dan emak mertua tidak larat untuk ikut bersama kerana selepas solat isyak kami akan membuat umrah. Sementara menanti waktu isyak aku mahu bangun untuk berwuduk semula dan minum air zam-zam. Jadinya aku minta jemaah di sebelahku untuk menolong menjaga tempatku. Dia mengangguk dan meletakkan begnya di tempatku sebelum meneruskan solat-solat sunatnya.

Sesudah kembali semula ke tempatku, aku berterima kasih kepadanya. Its okey.. sambutnya. Please pray for me.. sambungnya lagi. InsyaAllah balasku walaupun tidak tahu doa apa yang perlu aku doakan untuknya. Kami berkenalan sesudah itu. Berselang seli dengan solat-solat sunat, bacaan quran dan bacaan doa. Ini kerana niat beribadah masih lagi menjadi keutamaan kami. Dia dari Pakistan. Namanya Aisya. Umurnya 40 tahun. Sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Dia yang fasih berbahasa inggeris memudahkan komunikasi kami yang singkat dan bersambung-sambung itu.

Dalam singkat dan bersambung-sambung itu dia sempat bercerita. Cerita yang berkaitan doa yang mahu aku doakan sama untuknya. Ceritanya, baru 3 bulan dia pulih dari Barah kolon. Kini dia disahkan pula dengan  barah hati peringkat ke-empat. Ya Allah, besarnya dugaan untuknya. Aku jadi simpati sehinggakan aku tersedu-sedu dalam solat sunatku. Bersungguh dia meminta aku mendoakan agar dia dapat sembuh dari penyakitnya. Bersungguh juga dia meminta aku agar meminta ahli keluarga dan kawan-kawanku mendoakan untuk kesembuhan penyakitnya.

Aku dapat lihat dia mahu berbual dengan jemaah dari Iran atau Turki di sebelahnya pula. Pastinya dia mahukan jemaah itu mendoakan untuknya juga. Tetapi kerana tidak boleh berkomunikasi akhirnya perbualan mereka sekadar terhenti di situ. Selepas solat isyak dan solat jenazah aku perlu tergesa-gesa pulang ke Hotel bersama en.asben kerana kami mahu ikut kumpulan kami bermiqat di Tanaim untuk menunaikan umrah malam itu. Sebelum berpisah kami bersalaman dan dia memelukku erat. Kemudian dia mencium tanganku sambil meminta aku mendoakan lagi kesihatannya dan mendoakan agar dia di panjangkan umur.

Buat teman-temanku yang budiman, harap kalian dapat mendoakan kesihatan saudara kita Aisya agar penyakitnya dapat sembuh dan dia dipanjangkan umurnya. Harap-harap doa-doa dari kita semua dimakbulkan oleh Allah hendaknya.  Segala kebaikan teman-teman saya dahului dengan ucapan terima kasih.




Monday, June 11, 2012

Indah..

Indahnya bumi Mekah. Indahnya Kaabah. Indahnya Rumah Allah itu. Satu peluang dan pengalaman yang sangat indah. Syukur atas segala nikmat dan kasih sayangNYA. Terima kasih ALLAH.

Indahnya bumi Madinah. Terasa begitu dekat dengan Rasulullah s.a.w. Selawat dan salam ke atas baginda, kaum keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Indahnya bumi Istanbul. Bandar yang mempunyai 2 benua. Benua Asia dan Benua Eropah. Terpegun melihat banyak sekali masjid-masjid lama yang besar dan cantik di sana.

Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Alhamdulillah sudah selamat pulang. Alhamdulillah, salam buat Rasulullah dari teman-teman telah disampaikan. Alhamdulillah kiriman doa dari teman-teman telah didoakan. Semoga segala amalan diterima. Semoga segala doa di makbulkan. Terima kasih atas doa dari teman-teman. Sangat rindu pada kalian.