Nuffnang

Wednesday, September 26, 2012

Birthday Is, Atuk & Fareez..


Assalamualaikum..

Malam sabtu lepas, 22 September merupakan hari ulangtahun kelahiran  anak keduaku Is yang ke 11. Sama tarikhnya juga dengan atuknya (FIL). Syoklah Is dapat berkongsi tarikh dengan atuk. Mama harap abang juga dapat jadi macam atuk. Juga berkongsi sifat-sifat baik yang ada pada atuk. Kesungguhan, kerajinan dan yang penting selalu merendah diri. Tak dapat jadi Prof macam atuk pun takpe. Asalkan dapat ikut akhlak dan sifat atuk.

Is memang selalu excited tentang birthdaynya. Selalu aje dia ingatkan semua orang tentang birthdaynya. Seminggu sebelum tu dia siap check calendar kat Hp en.asben. Check tarikh 22 september. Lepas tu dok mengomel. Apalah ayah ni. Bukannya nak masukkan birthday abang. Ayahnya jawab, ayah ingat birthday abang. Buat apa nak masukkan. He..he.. betul jugak tu.. Kebetulan birthdaynya jatuh pada hari sabtu, so bolehlah kita buat majlis sikit. Penat juga rasanya sebab macam baru lagi buat majlis open house raya. Tapi sebab fikirkan keterujaan Is tentang birthdaynya, semangat tu datang juga. Kita buat kecik-kecik aje. Tak panggil siapa pun. Adik beradik dan keluarga terdekat aje. Yang penting boleh raikan sama-sama. Dapat juga raikan FIL sekali. Juga raikan birthday anak buah aku yang tarikhnya 29 sept ni.

Aku call semua orang. Tapi senyap-senyap aje tak cakap dengan Is nak buat majlis birthdaynya. Hari sabtu tu kan sekolah ganti. So, sebelum dia balik rumah aku, en.asben dan emak dok pasang belon bagai. Nak buat surprise untuk dia. Is balik rumah aje, muka senyum-senyum. Seronoklah tu..

 
Deko-deko birthday. Hias ala kadar aje. Janji ada feel majlis harijadi.. he..he.. Semput-semput aku, en.aben dan emak tiup belon. Tapi belum sempat malam banyak yang meletop. Padahal beli belon yang tebal. Tak kuasa aku nak tiup lagi. Cukplah apa yang ada tu.. he..he... (Tak tahu kenapa gambar jadi macam tu. Tapi sebab dah upload, aku letak ajelah kat sini)

Jadilah beberapa biji belon aje yang tinggal tu.. kita proceed aje.. he..he..

Kek yang MIL buat sendiri. Dahlah cantik. Sedap pulak tu. MIL aku memang sangat kreatif orangnya. Bab memasak dan menghias memang terer. En.asben selalu dok kutuk aku dengan pujian, U pun kan terer macam my mum jugak.. eh, ke U lagi terer.. Okey.. I tahulah I tak terer.. he..he..

Kek ni adik aku sponser. Bukan kek SR, sebab adik aku kata SR tutup hari tu. He..he.. alasan lebih. Memang itulah selalunya modal kita orang nak ngelat-ngelat. Tapi rasa kek tu ala-ala SR juga. Siap ada pisang dalamnya. Kira oraitlah tu.

 
Pasang lilin dulu... Iye-iye aje aku beli lilin tu. Konon nak buat kek sendiri. Tapi bila MIL kata nak buatkan kek dan adik aku kata nak sponser kek, terus aku cancel nak buat kek sendiri. Cucuk aje lilin tu kat kek beli.. he..he..

Birthday boy. Bab makan memang selalu selera aje. Tengoklah, makan cocktail pun macam sedap sangat. Siap keluar-keluar lidah. Muka dah makin bulat. Nasib lesung pipit tu nampak lagi. Aku takde lesung pipit. Tapi family en.asben memang semuanya ada lesung pipit. So memang sah-sahlah bukan dapat dari aku he..he.. 

ALLAH selamatkan kamu.. ALLAH selamatkan kamu.. ALLAH selamatkan atuk, iskandar dan Fareez. ALLAH selamatkan kamu... Tiup lilin pulak selepas doa selamat selesai dibacakan oleh abang ipar.

Potong.. potong.. potong.. dah ramai yang menunggu nak makan kek tu..

Kita-kita aje.. Yang penting tetap meriah.

Sekali lagi nak tayang kek MIL.. He..he.. bilalah aku mampu nak buat kek macam ni.. he..he..

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Tuesday, September 25, 2012

Ikut kemampuan.. bukannya ikut orang..

Assalamualaikum..
 
Hari ni ada Masterchef di ofis. Seronok sangat dapat sama-sama bergotong royong memasak dan menghidang cantik-cantik secara berkumpulan. Tapi letihnya, sampai longlai rasa badan. Bila penat mata jadi mengantuk sesangat. Balik kerja tadi bawak emak pergi kedai. Aku tunggu dalam kereta. Dalam menunggu tu boleh terlelap. Balik rumah, landing kejap atas katil tahu-tahu terlelap lagi. Terjaga bila HP berbunyi. Ada panggilan masuk dari T. T memerlukan bantuan untuk belanja harian. Aku faham masalahnya. Kalau tak betul-betul perlu, T tidak akan meminta dariku. Membesarkan tanggungan tanpa ada pendapatan tetap bukan hal yang mudah. Aku tiada masalah untuk membantu. Alhamdulillah, ada rezeki untuk dikongsi bersama. Maka dengan itu dapatlah aku berjanji untuk membantu setakat yang aku mampu. Aku juga pernah melalui kehidupan yang susah. Sekarang ini pun tidaklah sesenang mana. Tapi Alhamdulilah, cukup untuk semua keperluanku tanpa melebihi kemampuanku.  
 
Arwah ayah pergi tanpa meninggalkan sebarang harta hatta rumah untuk didiami. Tiada juga ditinggalkan duit belanja untuk kami. Emak terpaksa berkerja dengan gaji yang tak seberapa. Dengan duit yang tak seberapa itulah kami membesar. Anak-anakku pernah bertanya mama dulu masa sekolah masuk unit beruniform apa? Jawapanku, mama tak masuk apa-apa unit beruniform. Kalau masuk pun pilih yang paling minima kos uniformnya. Maksudnya pilih yang mampu sertai bukan yang nak disertai. Bukan tak mahu join pengakap ke pandu puteri ke. Tapi aku tak tergamak nak minta emak duit untuk beli uniform yang tentunya mahal harganya. Walaupun kalau aku minta, pastinya emak akan usahakan. Tapi aku tetap tak mahu. Tak sanggup nak tengok airmuka emak yang berkerut untuk mengusik wang belanja yang selalunya hanya cukup-cukup. Kesusahan mengajar aku untuk berjimat cermat. Untuk berbelanja mengikut kemampuan. Bukan tak pernah berbelanja seperti orang lain. Aku berbelanja juga bila ada trend masakini yang mahu aku ikuti. Tapi untuk berbelanja seperti orang lain, aku perlu berjimat cermat menggunakan wang saku sekolah. Tak pernah aku minta dari emak. Aku tahu kesusahannya. Jadinya bila orang lain dapat ikut trend di awal musim. Aku hanya dapat ikut trend di hujung musim. Tapi... apa ada hal. Yang penting aku dapat ikut trend juga. Yang lebih penting aku tak menyusahkan emak untuk penuhi kemahuanku.  
 
Tak tahu dari mana datang kesedaran itu sedangkan waktu arwah ayah ada, aku tak pernah merasa susah. Tapi bila arwah ayah tiada, kesedaran itu datang sendiri. Mungkin kerana aku anak sulong. Untuk berjimat dengan duit saku aku hanya membeli keropok lekor atau kuih saja pada waktu rehat. Sesekali bila teringin sangat barulah aku membeli makanan berat.  Aku lebih rela menyimpan dari menghabiskan wang saku sekolah untuk membeli makanan. Kalau rasa aku boleh dapat apa yang aku mahu dengan wang yang aku simpan, akan aku usahakan. Kalau tidak sekali pun, cukuplah sekadar aku dapat berangan-angan. Menyusahkan emak tidak sekali. Walaupun susah, emak tak pernah meminta-minta. Jauh sekali mahu meminjam dari orang lain. Aku rasa kuncinya cuma satu. Bila berbelanja mengikut kemampuan, apa yang kita ada memang cukup untuk kita. Tapi bila berbelanja tanpa mengukur kemampuan diri, terpaksalah kita meminta dan meminjam.
 
Aku selalu rasa tak senang dengan cara tanggungan T berbelanja. Di mataku, mereka selalu tak fikir tentang kesusahan T. Yang mereka tahu, kalau nak mesti dapat. Kalau mahu mesti ada. Bukan aku dengki atau cemburu. Tapi terasa tak puas hati. Baru bersekolah handphone bukan main lagi. Canggihnya lebih dari aku yang dah berbelas tahun berkerja. Pantang hilang, time-time tu juga nak dapatkan ganti. Kalau anak aku memang dah kena seligi. Geram aku. Pernah juga aku menegur pada T tentang tanggungannya. Tapi jawapannya, biarlah... kesian.. mereka (tangunggannya) nak juga merasa macam orang lain rasa. Bukan tak boleh nak merasa macam orang lain rasa. Tapi kena fikir juga, mampu ke macam orang lain? Kalau memanjang nak rasa sama macam orang lain, parahlah. Kalau tak mampu buat cara tak mampu. (Sampai sekarang itu jugalah yang aku pegang). Usaha, kumpul duit sendiri  then... merasalah apa yang nak dimiliki sekali pun. Takde siapa nak tegur. Takde siapa nak larang. Tapi, sebelum waktu tu, belajar-belajarlah bersabar. Belajar-belajarlah kasihan. Belajar-belajarlah tahu diri. Belajar-belajarlah ambil kisah tentang kemampuan orang yang menanggung terlebih dahulu. Kalau tak boleh membantu, cubalah untuk tidak menyusahkan.  Sekian dulu luahan rasa.
 
Salam hormat untuk semua. Take care.

Monday, September 24, 2012

Silaturrahim itu sangat indah...

Assalamualaikum...

Alhamdulillah.. semalam sempat juga menghadirkan diri ke Majlis Gathering Blogger. Seronok sangat bila dapat berjumpa, duduk semeja serta bersembang, bermesra dan makan-makan bersama. Makanan sangat superb dari segi rasa dan juga kepelbagaiannya. Memang puas makan-makan semalam. Alhamdulillah.. semuanya dapat aku rasa dengan penuh berselera. Best sangat dapat berjumpa dengan teman-teman blogger yang pernah berjumpa sebelum ini. Seronok juga dapat mengenali teman blogger yang baru pertama kali berjumpa dan yang sebelum ni hanya pernah kenal nama. Salam Ukhwah untuk semua.

Memang silaturrahim itu sangat indah. Baru kenal seminit dua boleh berborak sakan macam dah kenal lama. Baru berjumpa dua, tiga kali terasa macam dah kenal bertahun-tahun sebab tak habis-habis nak bercerita. Siap berlawan-lawan kecohnya meja yang di depan dengan meja yang dibelakang. Punyalah sakan nak bersembang. Sampaikan nak balik pun masih nak bercerita lagi. En.asben pun nampaknya dah mula serasi dengan semua orang. Dah boleh pandai-pandai bawa diri untuk cari kawan berborak dan tak segan nak makan-makan.

Anak-anak, seperti biasa memang susah sikit nak ikut. Sebab rumah Dato LF pun dekat aje dengan rumah, so nak tinggal pun takpe. Lagipun nenek ada kat rumah. Jadinya puaslah mama berborak tanpa gangguan. Dari pukul 10pg sampai pukul 2ptg mama dok lepak kat situ. Lepas solat Zohor baru balik. Tapi rasa tak puas juga nak borak-borak dengan teman blogger yang baru sampai. InsyaAllah, ada rezeki nanti kita jumpa lagi dan borak sakan.

Terima kasih buat tuan rumah, Dato' LF dan isteri yang baik budi serta ramah tamah. Juga buat semua teman-teman blogger yang terlibat, Kak Cik Seroja, Kak Azie Azah, Ayu Akuzle, Acu Sayang,  Wani (DJ Shaz Hot FM), Dr. Hanie, Farizam-Pengantin Baru, Kak Ida Nyanyi Sunyi, Bunga Mawar, Kak Jun Aina, Anaa Suryana, Kak Ainoraini, Kak Ati Masrif, Kak Cik Ella, Kak Yan, Mak Chaq, Kahirul Hakimin, Uncle Gedek, PakCik Lie dan Isteri, Dee, Iyra, Annis, Atuk PHD, Auntie Nanie, Munaafendy, dan tak ketinggalan Blogger Misteri. (Ini berdasarkan nama yang ingat aje. Kalau ada yang tertinggal minta maaf ya). Semoga silaturrahim yang terbina berpanjangan hendaknya.

Gambar?? Sila tengok kat blog teman-teman blogger lain ajelah ya. Seperti biasa bab gambar aku kan selalu ngelat he..he..

Salam Hormat untuk semua. Have a nice day.

Friday, September 21, 2012

Gathering Glamer Raya Blogger 2012

Assalamualaikum..

Ahad ni 23/9 tak ke mana-mana ke? Ada apa-apa plan tak? Takde???
Hmm.. kalau takde apa-apa agenda bolehlah join Gathering Glamer Raya Blogger dengan konsep potluck di rumah Dato' LF di Bangi. Alamatnya : Musollah Ehsan, Jalan 3/6F, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. (Minta maaf sebab banner tak boleh nak paste pulak hu.hu..). Tapi untuk maklumat lanjut bolehlah jengguk-jengguk ke blog Kak Kak Azie dan blog Kak Cik Seroja.  

Seganlah nak pergi sebab tak kenal orang?
Tak perlu segan kerana Dato' LF dan isteri selaku tuan rumah adalah sangat ramah. Begitu juga dengan blogger-bloger lain. Penganjur bersama iaitu Kak Azie dan Kak Cik lagilah super ramah. Waktu pertama kali join gathering blogger, aku pun terasa segan juga nak join. Waktu tu majlis dibuat di rumah Kak Cik. Bukan kata tak kenal dengan Kak Cik, blog Kak Cik pun aku tak pernah sampai. Tapi sebab fikirkan silaturrahim sesama blogger dan Alhamdulillah ada waktu dan kesempatan, aku pergi juga ke Gathering tu. Alhamdulillah, sebaik sampai dah terasa kemesraannya. Baru seminit berkenalan dengan Kak Cik dan Kak Azie terasa macam dah kenal lama. Dengan blogger-blogger lain pun sama. Sampaikan en.asben pun turut rasa selesa. Jadinya, kalau free, jomlah join sama ya. InsyaAllah, ada rezeki boleh kita berjumpa juga.

Takde baju nak pakai?
Pakai aje baju raya. Sebab walaupun Syawal dah berlalu, tapi temanya masih lagi Hari Raya. Inilah masanya nak tayang baju raya korang yang cantik-cantik tu he..he.. See you there.

Salam Hormat untuk semua. Take care.

Thursday, September 20, 2012

Kutukan berhemah...

Assalamualaikum...

Last week en.asben outstation. Pergi audit kat atas kapal kat Singapore. Seperti biasa kalau en.asben outstation kami berdua memang feeling cintan cintun terlebih. Sekejap-sekejap sms. Pergi 4 hari je pun dah feeling macam sebulan merindu. Tapi dalam dok berbalas sms rindu-rinduan, tetap tak sah kalau dia tak selit dengan sms yang nak mengutuk aku. Tapi mengutuk dengan cara yang berhemah. Dengan ayat selembut bayu.

EA : Salam apa khabar? Luv u all..
ME : Semua baik-baik aje. Tapi rumah macam sunyi aje. Semua orang rasa empty bila u takde kut... (then aku tambahlah ayat sayang-sayang. Malas nak type takut nanti ada yang geli tak pun muntah he..he..)
EA : Bukan u ke paling bising...

See.. dalam lembut dia kutuk aku. Hangat aje hati aku. Tapi sebab fikirkan dia jauh aku layankan lagi dengan berhemah.

ME : Hmm.. tapi bila u takde semuanya jadi lain.
EA : Maksud u, kalau I takde U jadi pendiam ke? Mesti ayu.

See.. lagi sekali dia kutuk aku. Takpe aku sabar lagi. Balas baik-baik lagi.

ME : Tak jugak. Tapi ayu tetap ayu. (bla..bla lagi dengan ayat kasih sayang. Sebagai penutup aku minta diri). Okey I nak solat dulu. Sleep tight darl. Malam tadi I tak boleh tidur. 12 lebih baru lelap. Pukul 5 dah terjaga.

Mengadalah pulak nak mengadu bagai. Ingatkan dia akan balas dengan penuh berhemah tapi..

EA : Ya Allah, kejapnya u tidur. I suka tengok u tidur lama macam baby. Cuba ya. Good nite..

See.. sempat lagi dia kutuk aku kaki tidur dengan ayat comel. Cukup berhemah kan. Adooiii... Tapi itu semua yang  mendekatkan aku dengan dia. Saja, nak update kat sini. Boleh buat rasa sweet-sweet bila baca balik time gaduh he..he.. Rumah tangga kan. Sedangkan lidah lagikan tergigit. Inikan pulak suami isteri. Gaduh-gaduh tu biasa.  Itulah pengerat kasih sayang.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Wednesday, September 19, 2012

Tentang manuskrip ke 2..

Assalamualaikum...

Aduhai.. apa dah jadi dengan aku ni? seminggu satu entry. Bukannya takde cerita nak bercerita. Ada banyak yang ingin aku ceritakan. Cumanya, aku tak punya cukup masa untuk mencoretkannya di sini. Konkononnya sibuk bebenar.

Sebenarnya sekarang, aku sedang gigih.. ya GIGIH  untuk menyiapkan manuskrip kedua yang tak siap-siap lagi tu. (Siap bold dan caps lock lagi untuk tunjukkan kesungguhan he..he..). Sampaikan pergi beraya pun lappy sentiasa ada dalam beg. Nak berjalan raya pun aku sempat lagi menaip dalam kereta. Dari bulan mei kata nak siapkan. Sampaikan dah bulan september, tak siap-siap juga lagi he..he.. Semangat memang tak pernah padam. Bab idea, Alhamdulillah.. masih sentiasa ada walaupun kejap terang, kejap kabur. Cuma mood dan kerajinan  yang selalu tak konsisten. Itulah punca sebenarnya. Tapi.. dengan penuh keazaman, aku bertekad untuk siapkan juga dalam bulan ni. Paling lewat bulan depan (eh..eh.. nak drag lagi tu he..he..). 

Sebenarnya, bukanlah banyak lagi nak dihabiskan. Cuma dalam 30 ~ 40 muka surat saja lagi. Semoga segalanya dipermudahkan. Tolong doa-doakan ya. Terharu sangat bila tengok dalam carian di stats blogku. Ada juga carian mengenai novel terbaru Hanis Azla. Tunggu ya. InsyaAllah, akan disiapkan secepat dan sebaik mungkin. Tapi.. samaada akan dapat diterbitkan atau tidak tu tak tahulah lagi. Terpulang pada rezeki. Harap-harap ada rezeki lagi bersama Buku Prima, Karangkraf.

Oh ya.. hari ni aku teringin nak kongsikan sedikit penulisan dari sebahagian bab 24 manuskripku. Bagi peminat novel, bolehlah baca-baca sikit-sikit. Boleh tinggalkan komen juga. Dapat juga aku perbaiki mana yang kurang nanti. Terima kasih..

Mel juga berwajah sayu saat untuk melepaskan aku pergi. Tidak sudah dia mengingatkan agar aku menjaga diri. Keprihatinannya sangat aku hargai. Pastinya aku akan teringatkannya nanti. Tidak sangka, dalam beberapa hari saja, kami sudah jadi begitu rapat dan serasi. Terlalu banyak budinya untukku sewaktu berada beberapa hari di sini. Sehinggakan percutiannya dipenuhi dengan agenda melayani dan menemaniku saja. Semakin hampir waktu untuk berpisah, semakin Mel mengelak dari memandangku. Aku mula dapat mengesan perubahan itu.


“Mel sedih ya sebab Zaira nak balik?” Tegurku.

“Takkanlah tidak. Tapi, mana Zaira tahu?” Balasnya.

“Iyalah,  Mel asyik taknak pandang Zaira aje. Selalu tu sikit-sikit pandang. Asyik-asyik jeling.” Ujarku meluahkan apa yang aku rasa sambil tersenyum tawar. Sengaja aku mengulang tentang hal ‘pandang’ dan ‘jeling’ itu untuk mengusiknya.

Mel tersenyum kecil mendengarnya. Tanpa menafikan kata-kataku Mel menunduk saja.

“Tengoklah tu, taknak pandang Zaira lagi. Pandanglah sini.” Bidasku sambil memaksanya memandangku.

Bila bersamanya, aku rasa sangat selesa untuk menjadi diriku yang sebenar. Mel mengeleng sambil memandang ke arah lain.

“Kenapa?” Soalku.

“Taknaklah.” Balasnya masih tidak mahu memandangku sambil mengeleng.

“Kenapa?” Aku terus memaksa dia memberitahu sebabnya.

“Abang takut abang akan lebih jatuh cinta kalau abang terus pandang wajah Zaira.” Balasnya perlahan.

Terdiam aku mendengarnya. Jatuh cinta denganku? Sedikit berubah wajahku menerimanya. Reaksiku yang terdiam membuatkan Mel kembali memandangku.

“Gelabahlah tu.” Usiknya pula.

Usikkannya langsung tidak mendapat perhatianku.

“Takdelah.” Pujuknya untuk melunakkan hatiku sambil tergelak kecil.

Tentulah gelak itu sebagai tanda dia benar-benar bergurau dengan kata-katanya sebelum ini. Aku lega. Janganlah di saat akhir ini ada perkara yang bisa merosakkan persahabatan kami. Aku tidak mahu itu terjadi.

“Abang takut abang nangis nanti kalau asyik pandang Zaira sebab sedih nak lepaskan Zaira balik.” Katanya memberitahu hal sebenar sambil memandangku tenang dengan senyuman manisnya.

Aku tersenyum padanya sambil mengucapkan terima kasih dan rasa berbesar hatiku kerana ditemani olehnya dalam kebanyakkan masa aku di sini.

“Bila-bila Mel datang KL nanti, Zaira belanja Mel ya.” Janjiku sebagai tanda berterima kasih kepadanya. Mel sekadar tersenyum tawar mendengar janjiku. Reaksinya bagaikan semua itu adalah sangat tidak perlu.

InsyaAllah akan bersambung lagi di dalam novel kalau ada rezeki..

Salam hormat untuk semua. Take care.

Monday, September 10, 2012

Persiapan menjelang peperiksaan anak..

Assalamualaikum..

Tahun lepas anakku Han menduduki peperiksaan UPSR. Esok, anak-anak tahun 6 akan menduduki peperiksaan UPSR. Terasa begitu cepat masa berlalu. Dikesempatan ini aku ingin kongsikan sedikit ilmu yang aku perolehi dari orang lain yang aku amalkan diwaktu anakku mengambil peperiksaan.  Padaku  tak salah untuk kita mencuba dan berusaha. Selebihnya kita tawakal saja kepada Allah. Apa saja keputusannya nanti kita terima dengan redha.

Aku tidak mengambil cuti waktu Han mengambil peperiksaan. Ini kerana pada aku, itu semua tidak perlu. Aku lakukan apa yang aku rasakan perlu. Malam sebelum Han mengambil peperiksaan, kami sekeluarga (aku, en.asben, Han dan Is) membaca surah yaasin bersama-sama. Malam itu aku, en.asben dan ada buat solat hajat agar dipermudahkan segala urusan dan ditajamkan ingatan agar dapat menjawab soalan dengan baik. Han sendiri buat solat hajat dan mengaji setiap pagi sebelum menduduki peperiksaan. Aku berpuasa ketika Han menduduki peperiksaan. Pada waktu Han di dalam dewan peperiksaan aku sedekahkan banyak-banyak surah al-fatihah untuknya sambil berdoa agar segalanya dipermudahkan untuk anakku.

Itulah amalan yang aku (orang yang baru setahun jagung membesarkan anak) lakukan. Alhamdulillah, dengan izin Allah, anakku Han berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Harap-harap perkongsian yang sedikit ini memberi manfaat pada orang lain. Selamat maju jaya buat anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR esok.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day. 

Friday, September 7, 2012

Tetap ada rezeki juga...

Assalamualaikum..
 
Semalam ada majlis di tempat kerjaku. Dalam majlis tu ada disediakan hadiah cabutan nombor bertuah. Banyak juga hadiahnya yang berupa hamper makanan. Seperti biasa aku tidak mendapatnya he..he.. Petang tu ada seorang rakan sekerja yang lalu di tempatku membawa beberapa botol besar air minuman. Salah satu darinya diberikan kepadaku. Alhamdulillah.. rezeki juga tu. Kadang-kala dek terlalu mahu mengejar rezeki yang besar, kita terlupa akan rezeki-rezeki kecil yang kita perolehi. Bila terlupa tentang itu kita jadi terlupa juga untuk selalu bersyukur. Bila tidak bersyukur, kita akan selalu rasa kecewa bila rezeki yang besar-besar tidak kita perolehi. 
 
Semalam sewaktu pulang dari kerja aku mendengar siaran radio IKIM FM. Tertarik dengan kata-kata tetamu yang diundang dalam segmen petang semalam. Katanya (lebih kurang begini mengikut ayatku sendiri) perkara yang baik perlu kita selalu kenang-kenangkan untuk membuatkan kita selalu rasa bersyukur atas anugerahNYA.  Jadinya, sengaja aku mahu coretkan di sini kisah aku mendapat sebotol air minuman di saat orang lain mendapat hamper yang besar. Ianya menjadi pembandingan yang cukup mudah untuk aku selalu ingat bahawa kedua-duanya tetap rezeki untuk kita. Jadinya, walau dalam apa keadaan pun perlu harus sentiasa bersyukur.
 
Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Monday, September 3, 2012

Open House Aidilfitri..

Assalamualaikum...
 
Alhamdulillah.. jumaat lepas dah selamat buat Rumah Terbuka Aidilfitri. Lega rasanya dapat tunaikan hajat nak ajak kaum keluarga, jiran-jiran dan teman-teman datang ke rumah sempena hari raya. Teman blogger ada juga yang di jemput. Tapi cuma yang setaman dan sebandar saja.  Bukan tak mahu ajak yang lain tapi belum ada rezeki lagi nak ajak semua. Bukan apa, keluarga kami besar. Kiranya kalau kenduri, tak ajak orang lain pun memang dah penuh rumah. Batch kawan-kawan aku dengan en.asben pun ada banyak. Kawan sekolah, kawan ofis, kawan ofis lama, kawan aikido, kawan belajar, kawan umrah, kawan kursus, kawan blogger he..he.. ini baru separuh by list. Kalau by name sampai esok pun tak siap nak listkan. Jadinya kami dapat jemput sikit-sikit mengikut batch kawan-kawan. Sebab kaum keluarga dan jiran-jiran terdekat perlu menjadi keutamaan.  Lagipun dengan teman blogger memang jarang dan ada yang tak pernah jumpa. Jadinya bila nak jemput rasa tak seronok pula kalau datang rumah tapi tak dapat nak berbual. Jadinya kalau ada yang nak datang ke rumah boleh roger aje bila-bila. Rumah aku sentiasa terbuka. Kita pun boleh berbual-bual lebih lama.   
 
Mulanya cadang nak buat dalam rumah aje. Tapi seperti biasa, en.asben memang tak berapa berkenan kalau nak ajak orang datang rumah tapi nanti tetamu tak selesa kena berpadat-padat. Kalau dia datang rumah orang padat-padat pun dia memang tak kisah. Tapi kalau orang datang rumah dia, perkara pertama yang dia mahu pastikan ialah tetamu selesa. Pendirian yang perlu aku ikut dan hormati. Jadinya terpaksalah pasang khemah juga sebab rumah kami kan cute he..he.. Sekali dah kira-kira senarai jemputan, aku jadi cuak sebab dekat 250 orang juga yang dijemput. Kiranya kalau ambil satu khemah tu memang aku akan kena jeling aje dengan en.asben sepanjang majlis he..he.. Nak selamat aku ambil dua khemah. Alhamdulillah. Semua orang ada tempat duduk. Harap-harap semua tetamu selesa. Paling penting en.asben tak hangin dengan aku. Waktu dua-dua khemah penuh en.asben siap bisik-bisik manja lagi dengan ayat yang tak berapa nak manja.. lagi u nak ambil satu khemah aje kan ma... ha..ha..     
 
Rasanya sejak aku kecil, emak dengan arwah ayah memang rajin buat kenduri ajak orang makan-makan. Jadinya aku dah terbiasa dengan kenduri kendara dan jadi sangat seronok tentangnya. Kalau nak jemput orang datang rumah pun aku selalunya suka jemput dalam masa yang panjang. Macam hari jumaat tu aku jemput dari pukul 11 hingga 6 petang. Ada yang kata penat tu nak layan orang kalau panjang sangat masanya. Penat tu memanglah penat. Tapi semua tu tak jadi hal. Aku sengaja suka buat macam tu sebab bila kita jemput orang tentunya kita bersungguh mahukan mereka datang. Jadinya pada aku, jarak waktu yang panjang dapat berikan mereka keselesaan untuk tidak terkejar-kejar untuk datang ke majlis kita. Tapi kalau tak berkesempatan juga untuk datang tetap tak jadi hal sebab aku faham, pastinya ada hal yang lebih utama untuk diutamakan.
 
Soal makanan memang menjadi hal yang paling utama. Tentang rasa dan  hidangan memang jadi hal yang tak boleh nak ambil remeh. Yang tu semua orang yang buat majlis pun begitu kan. Beberapa kenduri sebelum ni kami memang ambil katering saja sebab tak larat nak masak sendiri. Tapi kali ni kami (aku dan emak) kembali teringin untuk memasak sendiri pula. Malam tu aku tidur pukul 2 pagi. Pukul 4.30 pagi dah bangun semula untuk mula memasak. Pukul 10 lebih siap hidang atas meja tetamu pertama dah sampai. Lepas layan tetamu ambil juadah dan makan, aku pun marathon naik atas untuk mandi dan bersiap. Punyalah laju sebab sebelum sempat tetamu habis makan aku dah turun semula he..he..  Alhamdulillah.. dapat hidangkan laksa johor (my mum laksa johor is the best in the world tau he..he.. serius sedap), nasi minyak, kari ayam, daging dendeng, pasta goreng, fruit cocktail, lapis cheesy, fruit tart, dadih, cream puff etc.. (Fruit tart, dadih dan cream puff tu sumbangan adik aku dengan MIL.. Terima kasih banyak-banyak. Semoga murah rezeki kalian.) 
 
Satu-satunya gambar kenangan waktu open house. See muka penat gila tapi masih senyum sakan he..he.. TQ Miza. Miza ni kawan sekolah aku sejak dari form 1 sampai form 5. Ketua tingkatan waktu aku di tingkatan 5 lagi. Cute kan dia. Muka tetap awet muda. Badan memang sangat maintain (tak macam aku ha..ha..). Selepas bertahun tak jumpa lepas habis sekolah kami kembali berjumpa semula selepas itu. Kerja dalam satu ofis dan satu department pulak tu. Lepas tu bila masing-masing berhenti kerja di ofis lama, kami tak jumpa kembali. Selepas 4 tahun kot, kami jumpa semula hari jumaat tu, Alhamdulillah.. Waktu jemput Miza datang open house kat FB dia beritahu kata dia  jadi silent reader kat blog aku. Aduhai.. malunya aku.. terus muka blushing he..he..  Tapi terima kasih banyak-banyak ye miza. Ada rezeki nanti kita jumpa lagi.
 
Penat memang penat tapi seronok memang sangat seronok bila orang datang ke rumah. Alhamdulillah adik-adik dan makcik-makcik aku ringan tulang membantu di dapur waktu tetamu datang. Sedikit ringan jadinya kerja aku dan emak. Terima kasih banyak-banyak juga. Semoga murah rezeki kalian juga. Malam tu aku tidur dalam kepenatan. Tapi muka tetap tersenyum kepuasan juga he..he.. Bangun esoknya kerah satu rumah tolong sama-sama kemas rumah. Pukul 12 lebih rumah dah kembali semula seperti biasa. Alhamdulillah.. Terima kasih buat semua tetamu yang sudi hadir. Kami sekeluarga amat menghargainya. Yang tak dapat hadir, insyaAllah, lain kali ada rezeki boleh singgah juga. 
Salam hormat buat semua. Have a nice day..