Nuffnang

Friday, November 30, 2012

Bukan nak berhenti.. cuma nak cuti..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. mood lemau minggu ni baru berakhir hari ini. Tak bestnya bila lemau-lemau. Tapi kadang-kadang lemau-lemau itulah yang membuatkan kita bangkit dengan lebih bersemangat lagi. Membuatkan kita memandang dunia dan kehidupan dari perspektif yang lain pula. Setiap perkara yang berlaku itu pastinya ada hikmahnya kan. Harap-harap setiap perkara yang berlaku memberi peluang untuk kita memperbaiki diri yang serba kekurangan lagi banyak kekhilafan ini, insyaAllah.

Meninggalkan perkara yang menjadi rutin kerja kita selama bertahun-tahun rupanya akan membuatkan kita merasa rindu bila kita tidak melakukannya lagi. Berbelas tahun aku berkerja di tempat lama. Kini aku mula merindui semua kerja-kerja yang pernah aku merasa bagaikan nak muntah untuk melakukannya dulu he..he.. Mengingati kerja-kerja lama membuatkan aku teringatkan satu kisah ini.

Alhamdulillah, rezekiku agak murah di tempat lama. Perkembangan kerjayaku di tempat lama juga sangat baik. Kenaikan gaji, bonus dan pangkat sentiasa memuaskan hati. I love Hitachi. Kiranya, kalau ada yang mengeluh tentangnya, aku berada di kelompok yang akan berkecuali. Tentulah berkecuali bila selalu rasa puas hati kan. (Ada yang bertanya, kalau dah sayang dan berpuas hati kenapa nak bertukar ke tempat baru juga? Jawapan aku, berhijrah itu perlu untuk kita memperolehi sesuatu yang lebih baik lagi untuk kita. Tips tambahan: sebelum berhijrah buatlah solat istikharah untuk kita dapatkan petunjuk dari Allah. InsyaAllah, dengannya kita dapat buat keputusan untuk memilih perkara yang lebih baik untuk kita).

Dalam tahun 1998 kut, aku ada dapat award untuk best employee. Setiap tahun memang ada 5 orang perkerja yang akan terpilih untuk anugerah ini. Dari 5 yang terbaik dari setiap bahagian itu akan dipilih seorang untuk anugerah employee of the year. Kiranya aku wakil untuk bahagian ofis dan pentadbiran. Seronoklah bila dah dapat award tu. Lepas dapat award tu ada kenaikan pangkat. Tahun itu aku tak dapat kenaikan pangkat. Aku tak rasa apa pun sebab aku baru lagi naik pangkat 2 tahun sebelumnya. (Setiap tahun ada kuotanya untuk kenaikan pangkat. Jadinya kalau asyik-asyik kita saja tentulah rasa tak best juga. Aku bukan apa, dalam sebuah organisasi, kerja yang dibuat selalunya dalam satu pasukan. Bukan kita seorang yang buat kerja. Takde orang lain yang melakukan tugas mereka dengan baik, tentunya kita juga tak akan dapat buat kerja kita dengan baik. Jadinya kalau orang lain boleh sama-sama rasa kenaikan pangkat tu tentu saja akan memberi motivasi yang baik untuk setiap pekerja. Jadinya bila peluang itu dapat dirasai oleh orang lain  takkanlah kita perlu nak rasa tak puas hati).

Nak dijadikan cerita, selang sehari dari hari kenaikan pangkat tu aku ada memohon cuti sebab ada hal peribadi. Tanpa banyak soal bos aku approve cuti aku tu. Maknanya aku boleh bercuti dengan gembiranya. Tapi tiba-tiba HR manager call aku. Cuak okey bila HR manager call kita secara direct. Iyalah, pekerja kat situ ada seribu lebih orang. Selalunya kalau ada apa-apa mestilah staff dia yang call. Ini dia sendiri yang call. Mahu tak cuak. HR manager tu minta aku berjumpa dengan dia. Berdebar-debar sangat waktu nak pergi jumpa tu. Siap dalam kepala dok ingat balik kesalahan apa yang aku dah buat ni??? Selama ni show cause letter pun tak pernah dapat. Warning letter apatah lagi. Tetiba kena panggil. Memang tipulah kalau tak gubra.

Bos  u beritahu i, u ada apply cuti. U nak bercuti ni sebab u rasa tak puas hati ke sebab u tak naik pangkat selepas u dapat award tu?

Waktu tu aku macam errr... Muka aku nampak frust giler ke bila orang lain yang naik pangkat sampaikan bos aku ingat itu sebabnya aku nak ambil cuti? Siap beritahu pada HR manager lagi. Sumpah.. eh..eh.. tak baik main sumpah. Tapi serius, bukan itu sebabnya. Sebab aku sendiri memang tak letak target untuk naik pangkat setiap 2 tahun. Tapi waktu itu terasalah macam diri ini cukup dihargai sebab orang atasan nampak concern tentang perkara itu. Aku memang betul-betul nak ambil cuti. Bukan nak berhenti pun. Lepas HR manager cakap bahagian dia dan aku pun jelaskan bahagian aku segalanya berjalan dengan baik selepas itu. Tapi dekat sebulan juga aku macam segan nak pandang muka bos aku dan HR manager tu juga. Gelabah kan  he..he.. tapi itulah pengalaman berharga. Motivasi untuk aku berkerja dengan lebih cemerlang lagi.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Wednesday, November 28, 2012

Tentulah Ain pilih Am..

Assalamualaikum...

Minggu ni terasa macam banyak perkara yang serba tak kena. Entah kenapa aku sendiri pun tak tahu. Walaupun kalau nak diikutkan, tak ada apa-apa pun yang tak kena.  Harap-harap semuanya akan baik-baik saja, insyaAllah..

Malam tadi tengok cerita Adam dan Hawa. Sekarang ni dah sampai part yang Ain Hawani dah boleh nak terima Adam Mukhriz. Sekarang ni juga Johan pulak buat perangai nak jugak dengan Ain tu semula. Siap suruh emak dia pergi meminang Ain. Dah elok-elok dengan Azie masih nak juga kat Ain lagi.  (Rasanya dalam novel Adam dan Hawa takde pun babak yang macam tu. Ke aku yang tak ingat babak yang tu ekk?). Hmm.. tak kisahlah kan. Tapi sekarang ni dah nampak macam Johan tu seorang yang tak tetap pendirian. Lagilah senang Ain nak buat pilihan antara Am dengan Johan kalau dah macam tu gayanya.

Han siap komen... Ala, kenapa dia orang pilih pelakon tu sebagai Johan. Memang senanglah Ain tu nak pilih yang mana..

He..he.. aku senyum saja mendengar komen dari anak dara aku tu. Tentulah bagi Han paras rupa Aaron Aziz sebagai Adam yang lebih menandingi paras rupa pelakon sebagai Johan tu pastinya membuatkan Ain senang nak menetapkan pilihannya. Itu pandangan Han yang membuat pemilihan itu berdasarkan paras rupa. Mungkin kalau watak mereka bertukar, Aaron sebagai Johan dan watak pelakon Johan sebagai Adam tentu dia akan kata, pilih Johan pun okey juga he..he..  

Kebiasaannya begitulah. Kita cenderung untuk memilih paras rupa seseorang sebagai kriteria utama dalam membuat pemilihan. Tapi akhirnya, peribadinya juga yang akan lebih menawan hati kita. Paras rupa bukannya ukuran untuk kita menilai seseorang. Tapi keperibadian seseorang itu yang perlu lebih diambil kira. Macam sekarang ni, Adam yang mempunyai keperibadian yang cukup setia menunggu Ain pastinya akan mengalahkan Johan yang sedang menunjukkan sifat sebenarnya yang tidak tetap pendirian tu.

p/s: Mama harap Han faham apa yang mama cuba nak sampaikan he..he.. Rupa paras bukan ukuran utama ya sayang..

Salam hormat untuk semua. Take care.

Friday, November 23, 2012

Baru tiga minggu kut...

Assalamualaikum..

Malam tadi aku dan emak ke rumah kakak sepupu. Sabtu ni anaknya akan berkahwin. Jadinya malam tadi pergilah menjengukkan muka dan tolong-tolong apa yang patut sikit-sikit. Balik ke rumah dalam pukul 11 lebih macam tu. Dalam kereta dengar radio saluran apa entah. Ada slot bicara cinta macam tu. Ada caller call sampaikan salam sayang, salam rindu dan ucapan-ucapan cinta buat yang tersayang. Biasalah slot-slot sampaikan ucapan  macam tu bila dah nak tengah malam. Tersenyum-senyum aku dengar. Tapi panggilan seorang caller wanita ni sangat menarik perhatianku.

Mula-mula dia sampaikan ucapan untuk kekasih dia. Seperti orang lain dia pun ucapkan salam sayang dan salam rindunya dengan sepenuh perasaan. Ucapannya diakhiri dengan pesanan dalam ayat yang membawa maksud supaya kekasihnya jangan curang. Siap warning lagi kalau kekasihnya buat hal siaplah. Pada aku perasaan cemburu dalam perhubungan itu sesuatu yang biasa.  Tapi bila pesanan jangan curang dan ayat warning itu dia tekankan beberapa kali, aku pulak yang rasa seram. Dia nampak begitu curiga dengan kejujuran pasangannya. Lebih-lebih lagi bila dengar cerita caller tu yang dia kenal kekasihnya melalui slot bicara cinta tu. (Aku baru first time dengar slot tu jadi aku pun tak tahu macam mana slot tu dapat menemukan jodoh mereka). Cinta mereka cinta jarak jauh sebab lelaki tu di utara dan dia di selatan. DJ ada bertanya dah berapa  lama mereka bercinta? Caller tu kata baru 3 minggu.

Aku macam errr... lagilah aku seram. Baru 3 minggu kut. Tapi dengar dia punya warning kat kekasih dia tu macam kan dah 3 tahun mereka menjalin hubungan. Kalau dah begitu curiga yang pasangannya cenderung untuk berlaku curang, kenapa perlu nak teruskan perhubungan tu? Adik oh adik. Meh sini akak nak ajar sikit. Cemburu dan curiga itu perlu ada hadnya. Cemburu dan curiga juga tak perlu terjadi seawal hubungan itu baru lagi terjalin. Cemburu dan curiga perlu dikawal dan tak perlu ditunjuk-tunjukkan sangat dalam kata-kata. Apatah lagi dengan ugutan.

Adik, cemburu dan ugutan takkan membendung pasangan kita untuk berlaku curang. Tapi sikap kita yang terlalu cemburu dan curiga boleh jadi penyebab pasangan kita berlaku curang. Jangan buatkan pasangan kita berasa rimas dengan sikap cemburu dan curiga kita yang kelampauan. Juga ugutan kita yang menakutkan. Hubungan perlu dimulakan dengan rasa saling percaya dan mempercayai. Itu kunci paling utama. Bukannya dengan rasa curiga, syak dan prasangka. 3 minggu belum cukup untuk mengenali hati budi seseorang. Kalau rasa dah cukup kenal dan mula terasa curiga. Dah mula terasa nak cemburu. Akak rasa seperti ada yang tak kena. Sama ada pada adik ataupun pada pasangan adik sendiri.

Kan aku dah jadi cik seri siantan pagi-pagi ni. Macam kan adik tu baca blog aku pulak he..he.. Tapi takpelah, kalau adik tu tak baca mungkin anak aku akan baca entry ni. Pesanan ni untuk anak aku juga. Dalam hubungan, bila kita sudah mula merasa seperti ada yang tidak kena di awal perhubungan itu terjalin, janganlah kita ambil risiko untuk meneruskannya. 

Salam hormat untuk semua. Take care.

Thursday, November 22, 2012

Istanbul aku datang..

Assalamualaikum..

Istanbul aku datang... Sekarang ini ramai yang bercerita tentang filem ini.  Ramai yang memberikan komen kata filem ni best. Tapi aku bukan nak bercerita tentang filem itu. Ini kerana aku pun belum tengok lagi filem tu. Aku nak cerita pasal Istanbul sebenarnya. Walaupun baru beberapa bulan aku mengunjunginya tapi aku dah banyak terlupa tentang nama tempat yang aku pergi di Istanbul. Jadinya sebelum aku terus terlupa eloklah aku update serba sedikit yang aku ingat buat kenangan diriku. Juga sementara filem Istanbul aku datang tengah hot sekarang ni. (Sekadar alasan nak mengaitkan filem tu dengan entry aku. Walaupun takde kaitan langsung sebenarnya he..he..). 
Menu pertama yang kami makan di Istanbul. Sucuk (sosej yang besar yang di potong macam burger) yang di makan bersama roti besar yang garing di hujung sana dan dicicah macam sambal yang tak pedas dalam pinggan kecil tu juga bersama salad yang cukup segar. Minumannya air yogurt. Very delicious I tell you. Tapi itulah sekali kami jumpa menu tu dihidangkan. Lepas tu tak jumpa lagi hu..hu.. ada sedikit frust dan tak puas di situ he..he..

Ini kat Bursa. Hari pertama kami di Istanbul kami di bawa ke Bursa terlebih dahulu dan bermalam di sana satu malam. Seperti di bandar Istanbul, di Bursa ini pun banyak sangat masjid-masjid lama yang cantik-cantik. Nampak macam panas tapi sebenarnya sejuk.  Kalau kena tiup angin tu gigillah juga. Waktu ni dalam pukul 7 pagi kut. Tapi dah nampak macam tengah hari.

Inilah menu yang kami selalu jumpa ketika di Istanbul selepas itu. Salad memang wajib ada dalam setiap hidangan.  Kemudian roti yang dimakan dengan kuah dari kekacang. Ada nasi juga. Tapi aku tak berapa lalu sebab nasi dia macam oily sikit. Daging kebab pun ada. Tapi sebab makanannya di hidang satu per satu jadinya tak dapat enjoy nak makan sekali.

Masjid di Istanbul kalau dari luar nampak macam masjid lama aje. Tapi bila masuk ke dalam, Subhanallah, cantik sangat. Memang indah hiasannya juga lampu gantungnya.


Rasanya yang ni di atas jambatan yang memisahkan dua benua di Istanbul. Benua Eropah dan Benua Asia. Istanbul adalah satu-satunya bandar yang terletak di antara dua benua. Unik kan. Bersyukur sangat kerana berpeluang untuk ke sana. Istanbul.. aku dah datang.. Alhamdulillah.
 
Dalam salah sebuah masjidnya. Banyak sangat masjid yang kami lawati sampaikan aku tak boleh nak ingat nama-nama masjidnya.
 
Tengok... aku dah lupa apa nama tempat ni. Waktu tu perjalanan kami dari Singapura ke Istanbul, Madinah dan Mekah selama 16 hari. Turun naik flight. Turun naik bas. Tukar ganti hotel. Banyak sangat tempat yang dilawati sampaikan aku terlupa nama-nama tempat tersebut. Tapi kenangan di tempat tersebut tetap di hati.


Masjid lagi. Masjid lama yang penuh sejarah semasa zaman kegemilangan islam Constantinople, nama lama bagi Istanbul.


Kami sedang berada di Istanbul di Benua Eropah. Di seberang sana tu Istanbul di Benua Asia.


Di bazaarnya. Macam-macam ada di sini. I missed the turkish delight. Love it so much.


He..he.. jakuzi kat bilik hotel. Tapi tak guna pun.


Masjid lagi..


Banyak sekali bunga ros kat Istanbul ni. Geram sangat tengok.


Cuaca dia yang best membuatkan penduduknya dapat beriadah dengan penuh selesa pada sepanjang hari.

Restorannya.. Cozy kan. I like..

Subhanallah.. segala-galanya nampak indah.

Istanbul.. Aku datang.. 
versi heroinnya bukan Lisa Surihani.. Tapi akak yang berisi dan chubby..

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Tuesday, November 20, 2012

Ganjaran UPSR...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Semalam keputusan UPSR dah keluar. Tahniah buat anak-anak yang berjaya mendapat 5A, 4A, 3A, 2A, 1A atau apa-apa keputusan pun. Tak kiralah apa pun keputusannya, yang pastinya semua anak-anak, guru-guru dan ibu bapa sudah berusaha sebaiknya. Yang berjaya terus mantapkan usaha tanpa perlu mendabik dada. Yang tidak berjaya boleh berusaha lagi tanpa perlu bersedih sangat. Apa yang penting jangan berputus asa dan jangan terus merasa selesa dengan setiap pencapaian kita. Keputusan yang baik selalunya sangat sinonim dengan ganjaran. Bagi budak-budak zaman sekarang ni lah. Zaman kita dulu takde pun macam tu sangat. Macam Han tahun lepas nak ke USS. Dah tercapailah hajatnya. Is pulak tahun depan. Untuk memberikan semangat aku adalah beritahu ganjaran yang akan aku berikan. Walaupun ianya menarik bagiku tapi ianya tetap tidak sepenuhnya menaikkan semangat Is.

Semalam bila tengok ramai pelajar yang dapat keputusan cemerlang kat tv aku tanyalah pada Is, tak teringin ke nak dapat macam tu. Dengan muka tak bersemangat dia kata nak. Bila dia cakap nak aku cakaplah, kalau nak berjaya macam tu abang kenalah usaha. Kena lebih rajin. Dengan muka nak taknak juga dia angguk. Malam tadi juga ada program apa entah kat tv bercakap perihal anak-anak. So aku dengan en.asben pun buka topik pasal berusaha untuk berjaya pada Is. Orang lain semua dah tidur jadi dia seorang sajalah yang kena dengar sebab masa tu dia tengah buat latihan matematik. Lepas dah cakap-cakap en.asben cuba nak bagi semangat berupa ganjaran. Kalau abang buat betul-betul dan berusaha untuk dapat keputusan yang baik, nanti ayah akan belanja abang kat semua kedai  aiskrim yogurt dan cool blog yang ada kat bangi ni selama sebulan lepas dapat result. Abang sebut aje any flavour. Kalau tiap-tiap hari pun takpe sebab nanti ayah akan belikan. Waktu tu, bukan main bersemangat lagi muka Is. Muka dia memang seronok habis. Buat latihan pun nampak bersungguh sikit dari biasa. Sebab dia memang selalu teruja bab benda tu semua. Pantang lalu kat depan kedai snowgurt ke TF ke dan segala kedai yogurt atau cool blog memang mulut dia yang akan sebut dulu he..he..

Harap-harap ganjaran yang dijanjikan akan menyuntik semangat untuk dia lebih berusaha. Sebelum ni ganjaran aku ialah nak bawak dia pergi main ski kat Beijing kalau ada rezeki dengan izin Allah. Sebenarnya aku yang nak sangat bawak anak-anak pergi  ke tempat tu. Kiranya ganjaran tu dah macam ganjaran untuk aku. Makanya semangat akulah yang lebih berkobar dari semangat dia he..he.. Aku rasa semua ibu bapa mahu lihat anak-anak mereka berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.  Kalau tak dapat pun kita  sendiri tahu potensi diri anak-anak kita kan. Sebab kecemerlangan diri anak-anak bukan semata-mata terletak pada keputusan peperiksaan saja. Tapi sebagai ibu bapa dah jadi tanggungjawab kita untuk memastikan anak-anak kita cemerlang dalam semua bidang. Ganjaran hanya sekadar pemangkin untuk kita dan anak-anak lebih berusaha.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Monday, November 19, 2012

BFF dan Nora Danish di malam AIM..

Assalamualaikum...

BFF.. rasanya semua orang ada kawan baik. Alhamdulillah, aku pun ada juga. Antaranya cathy dan yati. Aku dengan cathy rapat sejak di sekolah rendah. Masuk form 1 kami rapat dengan yati pula. Selepas lebih 20 tahun kami terus rapat. Beberapa minggu lepas cathy yang tinggal di Doha telefon kata yang dia dah balik bercuti ke sini sampai hujung disember. Bila dengar dia dah balik ke sini memang rasa tak sabar-sabar nak jumpa. So kami pun plan nak jumpa malam minggu baru ni. Seronok sangat dapat jumpa, borak-borak dan makan-makan macam dulu. Macam-macam cerita yang kami share.

Me and my BFF plus anak-anak dara kami. Cepat betul masa berlalu. Kawan sejak sekolah, sampai dah kahwin, sampai dan beranak, sampai dah ada anak dara dah pun. Tapi kepala masih macam dulu. Itulah yang terus mengeratkan kami. Alhamdulillah.. semoga Allah memberkati persahabatan kami.

Me & Han with adik cathy. Korang kenal kot he..he.. Punyalah lama kami lepak. Sampai Nora balik dari AIM baru kami balik.

Han with Nora Danish. 

Han dengan yaya yang buatkan kami tunggu sampai nora balik. Alang-alang dah lepak kat rumah nora mana boleh terus balik tak jumpa dengan nora kan. Tapi okey jugak. Dapatlah kami lepak dan borak lama-lama sikit. Itu yang tak kisah nak tunggu tu sebenarnya he..he.. tapi masih tetap tak puas jumpa jugak. Nampak gayanya kena jumpa lagilah sebelum cathy balik doha. Harap-harap ada kesempatan, insyaALLAH..


Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Friday, November 16, 2012

Azam tahun baru..

Assalamualaikum..

Selamat tahun baru untuk semua. Semoga tahun ini kita mendapat lebih keberkatan dan kejayaan dalam hidup hendaknya, insyaAllah. Aku dah mula dengan azam baru aku. Harap-harap ianya dapat aku penuhi. Benarlah yang setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Sebelum ini aku ada buat entry tentang pelajaran Is yang merosot di akhir tahun ini. Az pun ikut merosot juga. Kedua-duanya turun kelas tahun hadapan. Perkara itu membuatkan aku mahu memberikan lebih tumpuan kepada pelajaran mereka. Untuk permulaan aku sudah membuat jadual belajar untuk anak-anak seawal cuti sekolah minggu lepas. Setakat ni Alhamdulillah. Walaupun tak dapat penuhi 100% sekurang-kurangnya dalam 60% anak-anak  mengikut juga jadual yang aku dah buat tu.

Bila pelajaran masing-masing dah merosot, jadi senang sikit aku nak aturkan jadual untuk mereka. Kalau tidak susah sikit sebab bila dapat result bagus masing-masing perasan macam dah pandai sangat sampai rasa tak perlu nak belajar.  Bila cakap tak boleh tengok tv pun takdelah yang berani nak mengeluh atau buat muka. Sebab kalau dia orang mengeluh atau buat muka nanti dia orang sendiri yang tak tahan bila aku mengungkit markah keputusan peperiksaan mereka he..he.. Bila ada jadual nampak teratur juga semuanya. Masa belajar, belajar. Masa main, main. Masa solat, solat. Masa mengaji, ngaji. Senang sikit aku nak monitor. Kalau tak ikut jadual pun senang sikit aku nak bagi denda.

Semalam waktu cuti maal hijrah  aku  kemaskan buku-buku dia orang. Lepas dah susun semua buku-buku tu aku jumpa sebeban buku-buku latihan ujian yang masih tak digunakan. Sebeban okey. Punyalah banyak dan punyalah aku pun terleka sama bila anak-anak leka. Kiranya sebelum ni aku cuma beli aje buku-buku latihan tu semua. Lepas tu harap anak-anak ada initiative sendiri untuk buat latihan. Memang taklah kan. Kiranya memang aku jugalah yang salah bila pelajaran anak-anak merosot. Jadinya sepanjang cuti ni ada banyak latihan yang boleh mereka buat dan aku boleh pantau. Harap-harap usaha aku ini tidak separuh jalan. Semoga pelajaran Is dan Az akan meningkat di tahun depan. Permudahkanlah Ya ALLAH.

Salam hormat untuk semua. Take care.

Wednesday, November 14, 2012

Roti Canai D' Bukit..

Assalamualaikum...

Semalam cuti. Hari ni kerja. Esok cuti lagi. Yeaahhhh.. nampak sangat suka cuti dari kerja kan he..he.. Semalam walaupun cuti masih  kena bersiap pagi-pagi juga sebab Han dan Is bersama sepupu mereka ada join slot cuti sekolah yang diadakan di Surau Kajang Utama. Macam kem motivasi gitu. Setengah hari aje dari 8-2 petang. Jadinya kenalah bangun pagi untuk siapkan sarapan dulu. Lepas dah daftarkan dia orang semua aku dengan en.asben  pun balik ke rumah semula. Walaupun kat rumah dah ada nasi goreng tapi tekak ni tiba-tiba pulak nak makan roti canai.

So on the way back pujuk-pujuk en.asben ajak singgah kat kedai roti canai D'Bukit yang agak terkenal untuk orang di B.B.Bangi. Namanya D'Bukit mungkin sebab kedainya terletak kat atas bukit area Sungai Ramal. Kedainya tepi jalan aje. Walaupun selalu lalu dan kedai tu pun tak jauh pun dari rumah, tapi tak pernah sekali pun singgah. Jadinya dah terlanjur cuti dan takde plan lain teringin pula nak singgah. Lebih-lebih lagi bila berdua aje. So bolehlah dating makan sarapan bersama he.he.. Tapi hajat nak makan sarapan bersama tak menjadi sebab mejanya semua penuh. Memang tempat parking pun dah penuh juga. Jadi kenalah parking kat tepi-tepi jalan. Itu pun penuh jugak. Punyalah ramai pelangannya. Alhamdulillah.. maju betul perniagaannya. Seronok sangat tengok. Sebab setiap kali lalu memang macam itulah keadaannya.

Kat kedai tu bukan setakat jual roti canai aje. Tapi ada juga hidangan soto, mee sup, mee jawa dan nasi lemak juga. Kalau tak singgah memang aku tak tahu pasal tu. Ingatkan jual roti canai aje. Sebab takde tempat duduk, kita orang pun order roti canai kuah kari kambing untuk bungkus. Dengarnya itulah menu yang paling top di situ. Alang-alang dah order takkan nak order 2 keping aje kan. Orderlah 10 keping. Boleh emak dan anak-anak makan sekali. Untuk 10 keping roti canai yang dipesan mengambil masa dalam 1 jam juga kami kena menunggu. Pukul 8-9 pagi. Memang panjang list ordernya. Nasib baik en.asben tak angin dengan aku. Fuhhh.. lega.

Pada aku roti canai dan kuah karinya biasa-biasa aje. Dengan masa menunggu dan juga rasanya, lepas ni  takdelah aku akan teruja untuk ulang datang balik ke sana. Sebab kat kedai roti canai yang aku selalu beli depan rumah yang tak mengambil masa selama itu pun aku dah dapat makan roti canai yang rasanya sebegitu. Tapi takdelah kuah kari kambing tu. Jadilah aku dah dapat merasa makan roti canai di D'Bukit tu sekali. Selalunya macam itulah kan. Bila dengar orang kata sedap dan kedai makan tu agak popular, kita akan rasa teruja untuk mencubanya. Tapi selera setiap orang tak sama kan. Ada yang akan mengulang datang. Ada juga yang tidak.

Salam hormat untuk semua. Selamat menyambut tahun baru. Take care.

Monday, November 12, 2012

Kulit sensitif dan gusi sensitif...

Assalamualaikum..

Pagi ni seronok sangat waktu nak pergi kerja. Kereta tak banyak. Jadinya tanpa melalui kesesakan biasa di pagi isnin, cepat aje dah boleh sampai ke pejabat. Alhamdulillah.. mungkin ramai yang sambung cuti minggu ni. Aku sengaja taknak ambil cuti sebab nak meraikan feeling sehari bekerja dan sehari bercuti dalam minggu ni. Bestnya. Bukan selalu nak dapat rasa cuti selang sehari macam ni. Jadinya haruslah diraikan he..he..

Okey, berbalik pada tajuk entry. Aku memang mempunyai kulit yang sensitif. Rasanya sejak kecil sampai sekarang, ada aje masalah kulit. Bila nak pakai losyen kadang-kadang bukan dapat kulit licin tapi dapat kulit gatal-gatal pulak. Kalau dulu-dulu memang takut sangat nak guna apa-apa produk. Lebih-lebih lagi untuk muka. Sebab selalu aje muka akan jadi gatal-gatal dan naik ruam setiap kali nak cuba produk untuk kulit muka. Sebab berjaga-jaga, rasanya sampai lepas kahwin baru aku betul-betul berani pakai pelembab, pencuci muka dan skrub muka. Itu pun ada yang serasi ada yang tidak. Sekarang ni dah mula serasi dengan Safi Rania. Jadinya memang takut nak  cuba produk lain. Tapi dalam berpuas hati dan serasi tu, kadang-kadang hati ini terasa juga nak cuba produk lain. Iyalah, bila tengok muka orang nampak begitu bersih dan gebu, hati ini pun jadi mengebu-gebu nak guna dan cuba produk macam yang orang lain pakai. Tapi selalunya kulit sensitif aku ni masih menjadi penghalangnya. Macam baru-baru ni aku rasa begitu teruja nak try pakai mask muka. Sebab baca review beberapa orang yang dah pakai kata muka akan rasa sangat best selepas memakainya. Waktu singgah di guardian hari tu aku pun belilah satu. Nak try pakai mask juga.  Hasilnya...Wah.. muka u nampak bersih.. Puji en.asben. Itu masa jari-jari dia belum singgah ke pipiku. Lepas jari-jari dia dah singgah ke mukaku lain pula ceritanya. Eh.. kenapa rasa mengerutu ni ma.. Hmm... itulah hasil sebenarnya. Kulit mukaku yang sensitif tak boleh menerima mask tu. Habis muka jadi gatal-gatal dan naik ruam hu..hu.. Sampai hari ni aku masih rasa tak selesa. Lepas ni aku tak berani nak cuba-cuba lagi. (Err.. itu pun kalau tak terpengaruh dengan iklan lagilah he..he..)

Okey, habis pasal kulit sensitif. Sekarang nak  bercerita pasal gusi sensitif pula. Aku memang ada masalah gusi. Kalau berus gigi selalu gusi berdarah. Ditambah lagi dengan tabiat aku memberus gigi suka kuat-kuat. Sebab kalau tak terasa macam tak berus gigi aje he...he.. Ianya menambahkan lagi masalah gusiku. Tahun lepas aku perasan gusi aku belah depan nampak macam dah longgar sikit dengan gigi. Aku dah mula cuak. Seram betul bila tengok gigi kat cermin. Terbayang kalau-kalau semua bahagian gusi jadi longgar macam tu. Sebab takut aku pun mula memberus gigi secara lebih berhemah. Takde nak berus kuat-kuat lagi. Alhamdulillah.. nampak okey sikit. Tapi gusi yang melonggar masih kekal begitu juga. Baru-baru ni aku nampak kawan aku beli satu ubat gigi ni. Dia kata ubat gigi tu bagus untuk masalah gusi. Aku pun terus rasa nak mencubanya. Sekarang ni dah nak hampir habis setiub yang aku pakai. Hasilnya.. gusi-gusi yang melonggar tu dah kembali melekat dengan gigi. Alhamdulillah.. aku rasa puas hati sangat. Sampaikan terasa nak kongsikan di sini. Kalau nak tahu nama ubat gigi  tu boleh e-mel aku. He..he.. takdelah. Aku bukannya jual ubat gigi tu. Bukan juga nak buat promosi. Sekadar nak berkongsi aje. Nama ubat gigi tu ubat gigi Winz Fresh dengan Kayu Sugi keluaran CNI. So, kalau korang pun ada masalah gusi macam aku boleh cuba beli dengan kawan-kawan korang yang jual CNI. Mana tahu korang pun akan berpuas hati nanti, insyaAllah.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Thursday, November 8, 2012

Demam dan ubat demam..

Assalamualaikum...

Semalam masih demam lagi. Tapi kuatkan juga badan ni. Kat ofis dapat sms dari en.asben. Ma, I demam. Hmm.. sah-sah berjangkit dari aku. Kesian dia. Petang tu sempat lagi singgah pasar malam sebab emak kirim suruh belikan ubi kayu dan pisang. Katanya nak buat lepat. Waktu beli ubi kayu dan pisang ternampak pulak tapai ubi. Badan tengah demam dan tekak tengah sakit tapi teringinkan juga tapai tu. Capailah juga sebekas. Buat ubat sebab selalu tu beli dua bekas he..he..

Sebelum bergerak ke kereta semula ternampak pulak orang jual durian. Teringinlah jugak. Dalam kepala bersoal jawab sendiri nak beli ke tak nak? Berlawan-lawan tekak yang sakit dengan tekak yang teringin. Sudahnya belilah jugak. Tapi tak beli banyak pun. Beli 3 biji aje. Walaupun pakcik tu ada offer suruh ambil 7 biji sekali sebab dia nak kasi diskaun. Dengan berat hati aku terpaksa tolak he..he.. Nak buat ubat pun agak-agaklah kan. Tunggu baik demam dulu.

Sampai rumah lepas makan nasi makan durian. Subhanallah, sedap sangat durian tu. Pahit dan manisnya seimbang. Warna pun cantik. Ulasnya tak besar sangat tapi puas makan sebab bijinya kecil betul. Aku makan beberapa ulas aje sebab takut tekak semakin sakit. En.asben yang demam pun tak tolak nak makan durian tu. Ingatkan taknak. Buat ubat jugalah tu he..he.. Tapi tengok pagi tadi ada lagi pangsa yang tak berkopek lagi. Kirannya en.asben pun makan beberapa ulas aje. Save betul bila beli durian time demam. 3 biji pun tak habis makan satu rumah.

Alhamdulillah, pagi ni demam kami dah beransur kebah. Kami berdua dapat pergi ke pejabat macam biasa. Terima kasih ALLAH.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Wednesday, November 7, 2012

Manja-manja tak jalan..

Assalamualaikum...

Jumaat lepas tayar kereta pancit. Aku memang tak perasan waktu keluar rumah. Bila nak masuk kereta lepas berhenti beli kuih barulah aku perasan yang tayar kereta aku belah belakang dah kempis sebelah. Patutlah masa bawak sebelum tu memang rasa dan dengar bunyi lain macam. Dah nampak tayar kempis barulah tahu sebabnya. Apalagi... terus cuak. Kalau masih kat rumah lagi takpelah juga. Ini dah separuh perjalanan nak ke pejabat. Tambah kalut lagi sebab pagi tu ada penilaian audit di pejabat yang berkaitan dengan tugas aku. Maknanya aku mesti pergi pejabat juga. Cepat-cepat telefon en.asben nak mengadu. En. asben nasihatkan suruh aku drive pelan-pelan pergi pam tayar tu kat stesen minyak dulu. Tengok macam mana. Nak tak nak terpaksalah aku gerak juga. Sebab nak terus pergi kedai tayar pun memang takde kedai yang dah bukak pagi-pagi macam tu. Sepanjang jalan tu aku kena hon dengan pemandu lain yang cukup peka. Tentunya mereka bimbang aku tak sedar tentang keadaan tayarku. Sepanjang jalan juga aku mengangkat tangan pada mereka-mereka itu tanda berterima kasih juga sebagai tanda aku sudah maklum tentang keadaan tersebut. Sampai di stesen minyak aku terus pam tayar. Alhamdulillah.. tayar kembali berisi angin seperti biasa. Dapatlah aku pergi ke pejabat dulu. Petang tu barulah aku ke kedai tayar. Memang tayarku tercucuk paku. Entah kat mana dan bilalah aku terlanggar paku. Paku panjang yang berskrew. Sebab aku masih memandu dalam keadaan tayar yang kempis sangat pagi tu  habis tepi-tepi tayar macam bercalar. Untuk keselamatan, terpaksalah aku menukar kepada tayar yang baru. Hmmm 280 melayang petang tu. Takpe..takpe.. keselamatan lebih utama. Duit boleh cari.

Bercerita tentang pam tayar, kalau dulu memang aku tak reti apa-apa tentang pam tayar. Semuanya nak harapkan en.asben. Tapi selepas satu insiden ni, terus aku pandai pam tayar sendiri. Cerita ni 9 atau 10 tahun lepas kot. Waktu tu aku baru lagi memandu kereta sendiri selepas bertahun-tahun ada lesen kereta. Satu hari tu tayar kereta macam lembik sikit waktu aku nak pergi kerja. Seperti biasa apa-apa pun kena telefon en.asben dulu tanya apa nak buat. Dia suruh aku pergi pam tayar tu untuk isi angin kat stesen minyak. Ala... i mana tahu nak pam tayar. Ayat biasalah tu kan. Kalau u tak tahu nak pam sendiri u tunggulah i balik kerja petang nanti. Memang taklah en.asben nak layan sangat kan. Ala... habis tu macam mana i nak pergi kerja. Nak gedik lagi tu. Kalau u nak pergi kerja u pergilah pam tayar tu dulu. Sebab en.asben macam tak nak layan dan  tolong (kata kejap lagi i balik ke, apa ke) aku pun terus sentap. Bila sentap memang apa pun boleh buat sendiri kan he..he.. Aku pun memandu pelan-pelan pergi stesen minyak. Pergi tempat pam tayar. Baca instruction kat situ. Okey.. tak faham nak buat macam mana. Nak call en.asben dah malu. Nasib aku baik sebab ada adik hensem yang nak pam tayar kereta jugak. Dik, macam mana nak guna pam ni ya. Akak tak tahulah. Sebab taknak bagi mamat tu tunggu lama lebih baiklah aku mengaku saja yang aku tak tahu. Terpaksalah interupt perbualan adik hensem tu dengan aweknya. Adik hensem tu pun dengan machonya mengajar aku macam mana nak guna pam tayar tu. Lepas dah ajar dia masuk tunggu dalam kereta balik. Hah.. ajar aje ke? Bukan nak tolong pamkan sekali??? Aku mana reti sebab baru ajar sekali. Omel aku dalam hati. Dengan muka terkulat-kulat aku pandang dia. Kak, benda-benda macam ni kena buat sendiri. Kalau tidak sampai bila-bila pun tak tahu. Sedas dia basuh aku kat situ. Aku rasa macam dah kena sumpah dengan en.asben pulak he..he.. Terus aku rasa adik tu tak hensem. Macho apatah lagi he..he..  Tapi sejak dari tu aku terus pandai pam tayar sendiri. Terima kasihlah ya dik.

Kadang-kadang kalau kita manja sangat memang semuanya tak boleh nak buat sendiri. Semua benda terasa macam susah sangat nak buat walaupun sebenarnya taklah sesusah mana kan. Bagus juga bila kena ajar keras-keras sikit. Lepas tu terus tahu dan pandai nak buat sendiri. Orang lain aku tak tahulah. Tapi macam aku, memang manja-manja tak jalan he..he..

Salam hormat untuk semua. Take care.

Tuesday, November 6, 2012

Sudah terantuk baru mengadah..

Assalamualaikum..


Kalau semalan, kelmarin dan kelmarin dulu, waktu-waktu selepas tengah hari memang waktu hujan sedang turun dengan lebatnya. Tapi hari ini cuaca nampak masih cerah. Tapi pokok-pokok dah mula bergoyang. Guruh dah mula kedengaran. Mungkin sekejap nanti, hujan yang lebat seperti beberapa hari yang lepas akan turun juga.

Dari minggu lepas asyik meredah hujan. Sejak ahad, hidung dah mula selsema. Semalam kepala dah mula sakit. Hari ini badan dah mula panas dan tekak dah mula sakit. Nak demamlah tu nampaknya. Hari ni terasa cukup panjang masa di pejabat. Tengah hari tadi tidur di surau pun terasa lama sangat sebab badan rasa tak selesa.  

Harap-harap demam ni tak lama menyinggah. Okeylah, nak pergi ambil payung kat dalam kereta dulu. Selepas beberapa hari dengan selamba meredah hujan, hari ni dah tak berani dah.  Ini ke yang dikatakan, sudah terantuk baru mengadah?? 

Salam hormat untuk semua. Have a nice day..

Monday, November 5, 2012

Cerita-cerita tulis periksa..

Assalamualaikum..

Hari ini bermulalah peperiksaan SPM untuk tahun 2012. Semoga anak-anak yang mendudukinya akan dapat membuat peperiksaan mereka dengan baik. Semoga keputusan cemerlang akan menjadi milik mereka hendaknya, insyaAllah. Anak buah aku  pun mengambil peperiksaan SPM tahun ini. All the best Ana. Habis exam nanti kita semua boleh pergi bercuti ke Kuching.. yeay. Waktu zaman aku dulu, kalau hari pertama peperiksaan tentunya kertas Bahasa Melayu. BM memang menjadi kegemaran aku. Sebabnya bukan apa, kertas BM aje yang aku selalu confident aku boleh score. Matapelajaran lain selain subjek agama islam memang aku tak berapa nak yakin dapat score. Selalunya memang tak score pun he..he.. (Aku pun macam IS juga sebenarnya, banyak main hu..hu..)

Aku suka sangat nak jawab soalan mencari yang tersurat dan tersirat. Nak buat karangan lagilah aku suka. Walaupun aku dah tak ingat apa tajuk karanganku waktu SRP dan SPM, tapi sampai sekarang aku masih ingat kesungguhan aku membuat karangan BM time peperiksaan-peperiksaan tu. Bila aku dapat A1 untuk BM waktu SRP aku macam excited terlebih. Seronok sebab aku dapat result yang baik hasil usaha yang bersungguh. Memang setiap kali peperiksaan aku akan membuat karangan dengan sepenuh hati. Sebab aku suka bermain dengan kata-kata. Suka nak buat ayat dalam bentuk cerita. Mungkin sebab aku tak berapa reti nak bercerita bila bercakap. Jadinya bila dapat bercerita melalui penulisan aku rasa puas dan aku akan membuatnya dengan penuh kesungguhan.

Ada kawan-kawan yang tanya dari mana dan bila aku minat dengan penulisan bila aku mula menulis blog dan novel. Sebab sebelum ni mereka tak tahu pun yang aku suka menulis. Iyalah juga, aku menulis dengan bersungguh cuma dalam karangan waktu peperiksaan. Jadinya memang takdelah kawan-kawan yang tahu dan sedar tentang tu he..he.. Sebenarnya sejak dari sekolah rendah aku minat menulis. Waktu darjah 6 aku menjadi johan syarahan agama. Ianya dari sebab minat menulis sebetulnya. Kalau nak ikutkan bakat bersyarah tu memang tak menyerlah sangat pun sebab aku memang ada parkinson sikit kalau nak berdiri depan orang ramai. Spesis darah gemuruh terlebih he..he.. Kalau nak suruh bercakap depan orang lagilah terserlah kegugupanku. Mengeletar, berdebar-debar, berpeluh-peluh semua cukup korum ha..ha..

Aku menang mungkin sebab karangan aku untuk isi syarahan itu lebih baik dari kawan-kawan lain. Sebab itulah aku boleh terpilih sebagai johan. Iyalah, baru darjah 6 kot. Takkan aku cuma nak tulis syarahan tu dan suruh orang lain syarahkan. Ingat diva karangan ke apa sampaikan ada orang yang sudi nak syarahkan isi syarahan yang aku tulis tu. Jadinya nak tak nak, terpaksalah aku yang bersyarah sendiri walaupun dalam keadaan mengigil-gigil seram sejuk sebab nervous  he..he.. Alhamdulillah, sekarang ni aku rasa bersyukur sebab aku dapat teruskan minat menulis tu. Ianya menjadi kepuasan buat diriku sebab aku dapat buat perkara yang aku suka sangat nak buat.

Han ada bercerita, kawan-kawan dia ada yang kata dia beruntung sebab ada mama yang boleh menulis. Jadinya bila tak faham nak buat penulisan boleh rujuk  pada aku. Sebenarnya tak juga. Aku mungkin ada sedikit bakat menulis. Tapi untuk mengajar penulisan tu tak berapa nak reti juga. Ejaan pun kadang tu tersilap juga. Jadinya kalau kat rumah kenalah anak-anak merujuk pada yang lebih pakar. En.asbenlah siapa lagi. Dia kan pelajar  terbaik Bahasa Melayu waktu SPM kat sekolahnya dulu. Aku ni tak. Masa sekolah rendah aje pernah dapat award pelajar terbaik mata pelajaran Alam dan Manusia. (Sekarang takde lagi kan. So adalah aku memori terindah dengan matapelajaran Alam dan Manusia tu he..he..) Masuk sekolah menengah memang tak merasa lagi pegang apa-apa title pelajar terbaik. (Dah banyak main, memang mampu berangan ajelah kalau nak dapat award kat sekolah kan ha..ha..) So u take overlah ya sayang he..he.. Biar I tulis blog aje. Rajin sikit boleh I tulis novel jugak.

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.

Thursday, November 1, 2012

Belang-belang...

Assalamualaikum..

Malam tadi tidur lena sebab hujan lebat petang tu. So malam sampai ke pagi rasa sejuk yang sangat best. Tapi dalam tidur lena mimpi tetap mimpi juga. Bangun-bangun aje aku terus cerita kat en.asben.

Yang, malam tadi I mimpi harimau.. 

Iya ma? Itu tentu tandanya nanti kita akan jadi kaya.. (he..he.. pagi-pagi dah berangan nak jadi kaya.)

tak pun

Tentu tandanya sebab you garang macam harimau kalau marah anak.. (he..he.. kalau satu hari en.asben tak kutuk aku memang tak sah hidup dia.)

tak pun

Tentu sebab you pakai baju belang-belang malam tadi... (He..he.. hmmm... betul jugak.)

Aku rasa dalam 3 kemungkinan tu, sebab aku pakai baju belang-belang time tidur yang paling make sense. Semalam baru beli baju baru. Baju nak pakai kat rumah aje pun. Baju belang-belang kaler biru muda. Maxi labuh tak berlenggan. Kain dia best, sejuk aje. Mula-mula  tu nak try aje.  Dah pakai rasa best pulak. Terus taknak bukak. Balik kerja en.asben puji pulak, cantik baju u. Apalagi.. terus pakai buat tidur. Sudahnya... sebab pakai baju belang-belang, terus mimpi pak belang aku malam tadi.. ha..ha.. Agak-agak kawan-kawan aku yang sama-sama beli baju belang-belang semalam mimpi pak belang jugak tak? he..he..

Salam hormat untuk semua. Have a nice day.