Nuffnang

Thursday, January 31, 2013

Mengenai SLE...

Assalamualaikum...

Minggu lepas, Han ada memberitahuku yang di sekolahnya akan diadakan acara pengucapan awam. Beberapa hari selepas itu dia memberitahuku yang dia mahu memilih untuk bercakap mengenai penyakit SLE.  Katanya sejak akhir-akhir ini dia selalu mendengar aku bercerita kepada orang lain tentang penyakit tersebut. Bila sudah hari-hari mendengarnya, Han jadi semakin faham tentang penyakit tersebut dan boleh bercakap mengenainya tanpa memerlukan teks. Jadinya dia terpanggil untuk memilih topik itu sebagai tajuk ucapannya. Ini kerana baginya masih ramai yang seperti tidak maklum tentang penyakit itu. Sebenarnya aku juga baru mengetahui tentang penyakit tersebut pada tahun lepas selepas suami teman sepejabatku meninggal dunia akibat penyakit itu. Tapi waktu itu aku sekadar tahu secara serba sedikit saja. Bila adikku disahkan dengan penyakit SLE awal tahun ini, barulah pengetahuanku tentang penyakit itu tambah mendalam lagi. Ianya aku perolehi dari penerangan doktor dan juga melalui pembacaan. Bila Han memilih untuk bercakap tentang penyakit itu, aku juga jadi terpanggil untuk bercerita mengenainya di sini.

SLE (Systemic lupus erythematosus)  atau lebih dikenali sebagai lupus adalah sejenis penyakit autoimun yang mengakibatkan sistem imunisasi tubuh menyerang tisu-tisu sihat dalam tubuh. Sistem imun itu sendiri menjadi bercelaru dan melawan bahagian tubuh sihat yang sepatutnya dilindungi. Akibat sistem imun rendah, pesakit mudah terdedah kepada jangkitan kuman serta masalah kesihatan yang lain. Penyakit ini sebahagian besarnya melibatkan kaum wanita yang berusia antara 15 hingga 45 tahun. Penyakit ini tidak mempunyai simptom spesifik dan petandanya berubah-ubah mengikut individu. Ada yang menderita demam yang berlanjutan, mendapat ruam, rambut gugur, sakit sendi, mudah penat ataupun mengalami kemurungan. Dunia perubatan turut menganggap lupus sebagai penyakit seribu wajah. Penyakit ini tiada ubat. Ubat yang diberi (steroid) adalah untuk mengawal penyakit itu saja. Itulah serba sedikit yang boleh aku ceritakan mengenai SLE.

Macam adik aku, sejak dulu dia memang kerap demam. Bila terkena batuk dan selsema, ianya akan berlarutan dalam tempoh yang agak lama. Sendi-sendinya juga selalu sakit. Pada mulanya dia menyangkakan yang ianya gaot kerana asid uric dalam darahnya memang tinggi. Pada hujung november tahun lepas dia ke klinik kerana batuk yang berpanjangan. Waktu pemeriksaan tekanan darah, bacaannya naik terlalu tinggi. Dalam 180 macam tu. Oleh sebab itu dia ditahan di wad kerana darah tinggi. Selepas mengambil ubat dan berehat beberapa hari di wad darahnya kembali normal. Tapi selepas keluar dari wad, darahnya sering saja naik sekitar 170-180. Selepas sebulan, dia kembali ke hospital untuk rawatan susulan. Pada ketika itu doktor mula mengesan sesuatu yang tidak kena bila ubat darah tinggi yang diberi seperti tidak dapat mengawal tekanan darahnya. Bacaan tekanan darahnya mencecah sehingga 199.

Oleh sebab itu doktor membuat urine test pula. Melalui ujian itu doktor mendapati banyak protein dalam air kencingnya. Adik aku kemudiannya dirujuk ke doktor pakar buah pinggang. Beberapa ujian lain termasuk biopsi buah pinggang telah dibuat sebelum adik aku di sahkan mengidap penyakit SLE. Sejak dimasukkan ke wad pada 4 Januari 2013, sudah beberapa kali adik aku keluar masuk hospital. Sehingga hari ini adikku masih lagi diberi cuti sakit kerana keadaan kesihatannya masih belum benar-benar stabil. Steroid yang diambil untuk mengawal penyakit mula memberikan kesan padanya. Badannya mula naik bila selera makan jadi meningkat. Kaki jadi selalu bengkak kerana buah pinggangnya tidak berfungsi dengan baik. Setiap minggu dia perlu memenuhi rutin berjumpa dengan doktor pakar kerana doktor mahu memantau keadaannya. Dia juga perlu lebih menjaga kesihatannya untuk mengelak dari jangkitan penyakit.

Alhamdulillah.. dalam keadaan begini, kaum keluarga semuanya bersatu hati memberikan sokongan. Emak sentiasa ada untuk memberikan semangatnya. Aku dan adik bongsuku memang memberi perhatian yang lebih kepada dia dan anak-anaknya.  Makcik, pakcik, sepupu, saudara mara juga kawan-kawan  sentiasa sama-sama memberi sokongan yang kuat. Ramai yang sudi mengambil tahu dan bertanya khabar. Kawan-kawan yang membaca kisah adikku di blog juga ada yang menelefon bertanyakan kesihatannya. Thanks untuk Liza dan Ain yang menelefonku semalam. Rasa cukup terharu bila kalian sudi mengambil berat. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik juga kesembuhan buat adikku. Semoga Allah membalas kebaikan semua yang begitu baik budi menyokong dan mendoakan kesihatan adikku.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Have a nice day.

Wednesday, January 30, 2013

Hilang..

Assalamualaikum..

Sedih betul dengan kisah anak-anak hilang. Di cermin bank depan rumah, waktu dulu hanya ada satu gambar budak hilang. Sekarang ini sudah semakin banyak gambar budak hilang yang ditampal. Setiap kali memandang gambar-gambar itu terasa naik bulu roma. Rasa takut yang amat sangat. Rasa sebak yang semacam. Minta dijauhkan hendaknya. Apalah nasib anak-anak yang hilang itu agaknya? Teringat satu kisah tentang anak jiranku (6 tahun) yang hilang sekejap tahun lepas.

Petang itu selepas balik dari kerja aku memang ada mendengar emak menasihatkan  anak jiran depan rumah supaya bermain tidak jauh dari kawasan rumah. Sibuk juga emak bertanya mana abang dan kakak budak itu. Emak memang macam tu. Tak kira anak siapa, prihatinnya memang lebih bila nampak ada anak-anak jiran yang bermain seorang diri atau bermain agak jauh sikit dari kawasan rumah. Sikap ambil berat orang-orang tua ni memang terlebih sikit dan kita patut ambil sebagai contoh yang baik. Ini kerana sikap mereka itu sebenarnya bukan mahu menyibuk, tapi lebih kepada mahu mengambil tahu dan berjaga-jaga agar tidak berlaku hal yang tidak diingini.

Selepas solat maghrib, Han naik ke bilikku dengan muka cemas. Mama, Cik J datang tadi tanya nampak tak anak Cik A sebab dia tak balik-balik sampai sekarang ni lepas keluar main kat luar petang tadi.. Waktu itu berderau darahku. Teringat teguran emak kepada anak jiran petang tadi. Tapi yang ditegur oleh emak adalah anak Cik J yang datang bertanya. Bukan anak Cik A. Tapi emak kata memang emak ada nampak anak Cik A yang bermain dengan abangnya di luar petang itu. Tapi bila abangnya pergi ke kedai, adiknya ditinggalkan bermain seorang diri di luar.

Waktu aku keluar ke depan, jiran-jiran yang terdekat sudah berkumpul di depan rumah. Kiranya sejak pukul 7 lagi mereka sudah mula mencari tapi kami yang di dalam rumah tidak tahu cerita. Aku lihat semua yang di luar berkongsi wajah cemas. Ada jiran  yang sudah pergi mencari sekitar padang. Longkang-longkang di sekeliling padang semuanya sudah dibelek. Cikgu tadika sudah mula menelefon bertanyakan budak itu kerana ikut risaukan keadaannya. (Tadika berhadapan padang jadinya bila nampak ada yang pergi mencari di situ maka cikgu-cikgunya pun jadi cemas sama).

Kami terus berdebar bila sudah melebihi pukul 8 tapi wajah anak jiranku masih tidak muncul juga. Ini kerana tidak pernah dia balik ke rumah lewat sebegitu. Tidak pernah juga dia pergi bermain jauh benar dari kawasan rumah.  Dalam terfikir-fikir di mana  anaknya berada saat itu, jiranku terfikir untuk mencari anaknya di rumah kawan anaknya yang terletak di depan padang. Alhamdulillah, bila dia ke rumah itu,  memang anaknya berada di situ. Waktu itu anaknya dan kawannya sedang leka bermain. Menurut cerita, bila dah masuk maghrib ayah kawannya memang ada menghantar sms kepada anak sulung jiranku itu. Tapi sebab nombor hpnya sudah lama tidak aktif makanya pesanan itu tidak dapat sampai kepada jiranku. Perkara nak berlaku kan. Hanya disebabkan hal yang sedikit boleh menjadi hal yang mengemparkan juga mendebarkan.

Alhamdulillah.. anak jiranku tidak hilang. Kami semua rasa cukup bersyukur. Dalam pada itu kami semu dapat pengajaran dari kisah tersebut. Sedikit keprihatian tentang anak orang lain dapat mengelakkan dari kekalutan seperti itu terjadi lagi. Sepatutnya bila ada anak orang lain di rumah kita pada waktu yang tidak sepatutnya, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menghantarkan budak tersebut balik ke rumahnya dengan selamat. Dalam hal yang seperti ini, walaupun pesanan sudah di hantar, adalah menjadi sesuatu yang pelik bila keluarga budak tersebut seperti tidak mengambil endah tentang hal itu. Makanya menjadi tanggungjawab kita juga untuk memastikan yang pemberitahuan kita tentang hal tersebut sampai kepada keluarganya dengan baik.

Minta dilindungi hendaknya anak-anak kita semua. Semoga sikap prihatin kita semua dapat membendung hal yang sebegini dari terus berlaku. Ramai yang mengaitkan tentang kecuaian ibu bapa sebagai faktor utama bila anak-anak hilang. Tapi ibu bapa manalah yang mahukan hal sebegini dari berlaku. Bila perkara nak terjadi, bagaimana baik pun kita menjaga anak-anak kita, hal sebegini masih boleh berlaku juga. Tapi bila orang ramai turut ambil tanggungjawab untuk sama-sama prihatin aku rasa kejadian anak-anak hilang dapat kita dielakkan.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care.

Tuesday, January 29, 2013

Akhirnya.. selepas hampir 12 tahun...

Assalamualaikum..

Waktu kali terakhir aku ke Cameron Highland, Is baru berumur dalam 3 bulan macam tu. Kelmarin, aku kembali ke CH selepas Is nak ambil UPSR tahun ni. He..he.. punyalah lama baru ada rasa nak ke CH semula. Sebelum-sebelum ni takde pun teringin nak naik CH lagi. Mungkin sebab pernah pergi jadinya tak terasa pun nak pergi lagi. Tapi bila baca cerita best kawan-kawan yang bercuti ke CH, yang petik-petik strawberi di CH, yang ambil gambar di ladang teh CH, terus aku pun rasa teringin sangat nak ke sana semula. Hari ahad tu kami menghadiri kenduri kahwin sepupu di Ipoh. Waktu dapat jemputan lagi, kepala aku dah set nak terus ke CH selepas balik dari kenduri.

Sebelum booking hotel rasa teringin tu ada sedikit berbelah bagi bila memikirkan kesihatan adik aku yang tak berapa baik sekarang ni. Tapi sebab takut hotel penuh kalau booking last minute, akhirnya aku tawakal aje booking hotel dulu. Kalau dapat pergi, pergilah. Kalau tidak pun tak mengapa. Ditakdirkan hari rabu lepas adik aku di tahan di wad semula. Waktu tu dah rasa macam tak dapat nak pergi dah ke CH. Tapi Alhamdulillah, hari jumaat tu dia dah boleh keluar dari hospital. Alhamdulillah, aku pun dapat ke CH seperti yang dihajati selepas balik dari kenduri. Terima kasih Allah kerana mengizinkan segala perancangan dapat berjalan dengan lancar.

Kami naik ke CH dalam pukul 3.30 petang melalui jalan Simpang Pulai. Waktu nak naik en.asben dah mengantuk. So, aku take over drive half way naik ke atas. Nampak aje Strawberi farm yang pertama kami terus berhenti. Punyalah tak menyempat nak tengok kebun strawberi. Lepas tu kat kebun tu jugak terus nak petik strawberi he..he.. Petik punya petik ngam-ngam kita orang dapat 500gm. Okeylah banyak juga. Harga dia RM20 untuk 500 gm. Lepas tu naik ke atas lagi. Nampak tempat coklat kita orang berhenti lagi. Singgah makan aiskrim dan strudle strawberi pulak.

Dalam pukul 6 petang barulah nak bergerak ke hotel di Brinchang. Sebab isnin tu cuti umum, maka jalan di CH  jadi cukup sesak. Merangkak-rangkak kereta nak naik ke atas. Dengan hujannya lagi. Sudahnya pukul 9.30 baru sampai ke hotel. Parking pun penuh. Terpaksa parking jauh sikit dan meredah hujan nak ke hotel. Malam tu kami bermalam di Iris House Hotel. Pada mulanya en.asben suruh aku booking di Strawbery Park. Tapi aku rasa macam membazir pulak nak duduk hotel mahal cuma sekadar untuk tidur. Alhamdulillah, aku booking di Iris Hotel tu. Jadinya takdelah rasa rugi sangat bila dah lewat baru kami dapat check in. Harganya RM219 untuk quad room. Ada 2 queen bed. So, selesalah untuk kami 5 beranak. Bilik hotelnya pun pada aku boleh tahan.

Lepas mandi dan solat dah pukul 10 malam. Perut masing-masing dah lapar. Nak keluar semua kat luar tu hujan makin lebat. Jadinya aku dengan en.asben aje yang keluar pergi beli makanan. Konon-konon nak juga ke pasar malam Brinchang yang katanya happening tu. Tapi separuh jalan terus tak jadi sebab hujan lebat sangat. Masuk KFC queue punya panjang. Ayam pun kena tunggu. Kesian takut anak-anak tunggu lama kita orang pergi kat gerai-gerai depan tu. Cuma ada sebuah aje yang tak tutup lagi. Boleh order pun nasi goreng kampung aje. Kira dah okey sangatlah tu. Balik hotel, lepas makan semua tidur lena sampai ke pagi sebab dah penat + kenyang + sejuk = Awesome.

Pagi tu lepas subuh ingat nak duduk dalam selimut aje semua. Tapi bila duduk kat beranda rasa lagi bestnya kalau keluar sejuk-sejuk. So lepas mandi, dalam pukul 9 kita orang terus check out. Mula-mula kita pergi cari sarapan. Kat mana-mana kedai pun memang penuh. Kenalah tunggu sekejap dan sabar banyak-banyak. Lepas makan kami turun ke Kampung Sedia. Singgah kat Al-mashoor Farm untuk makan homemade aiskrim dengan strawberi celup coklat. Sedap sangat aiskrim homemade tu. Harganya RM2.50. Ada potongan strawberi dan sos strawberi di atasnya. Tapi aku dengan en.asben aje yang suka. Anak-anak lagi suka aiskrim strawberi yang jenis aiskrim malaysia tu. Yang tu pun sedap juga. RM 1 sebatang.  

Lepas ke Kampung Sedia kami turun ke Tanah Rata. Kami ke Mardi Agrofarm pulak. Entrance RM3 untuk dewasa. RM1.50 untuk kanak-kanak. Mula-mula macam bosan aje nak masuk. Tapi bila da masuk rasa tak nak keluar pulak sebab seronok sangat tengok pokok-pokok dan bunga-bunga yang cantik kat situ. Hajat hati nak beli bunga. Tapi tak jadi sebab takut bunga yang cantik tu akan tak berjaga bila sampai kat tangan aku. Sudahnya beli kaktus yang kecik2 tu aje. 6 bekas RM10. Beli sekali tempat letak pasu kaktus tu RM8. Jadilah buat kenangan.

Keluar dari Mardi Farm kami jalan-jalan di Pekan Tanah Rata. Last time kami pergi stay kat Tanah Rata. So, mengimbau kembali kenangan kat situ. Beli souvenir semua kat kedai-kedai disitu. Harganya memang lebih murah dari tempat lain bila aku dah bandingkan harganya. Lepas beli souvenir kami cari scones pulak. Lepak kat satu cafe kat tengah bandar Tanah Rata tu. Sedap sconesnya. Cafenya pun cantik. Sejuk-sejuk makan scones dengan hot chocolate memang heaven lah kan. Lepas makan kami naik balik ke Brinchang sebab nak ke Kea Farm. Jalan memang agak sesak.

Sebelum ke Kea Farm kami singgah beberapa tempat juga kat area Brinchang. Lepas tu singgah ke Time Tunnel kat area Kea Farm. Time Tunnel tu macam arkib barangan lama. Entrance RM5 untuk dewasa. RM3 untuk kanak-kanak. Kami anak-anak memang suka masuk muzium. Jadinya kami sangat seronok di sana. Fikirkan kereta parking tepi-tepi  jalan aje.  Kalau tak memang kami nak duduk lama-lama kat dalam tu. Keluar dari situ kami terus bergerak ke Kea Farm. Tapi En.asben, Han dengan Az tak turun pun. Tunggu aje dalam kereta sebab takde parking. Aku turun laju-laju dengan Is. Aku borong sayur sikit, strawberi lagi sikit, jagung sikit dan goreng-gorengan sikit untuk makan dalam kereta. Semua sikit-sikit. Tapi aku banyakkkk  beli keledek manis. He..he.. kita orang suka keledek.

Lepas dah penuhkan kereta dengan keledek he..he.. kami ke Bharat Tea Plantation. Makan scones lagi dengan teh mahal kat situ. Lepas tu pergi posing-posing anak-beranak kat ladang teh. Keluar dari ladang teh kami singgah solat di Masjid Kampung Raja. Perjalanan turun sangat lancar. Keluar dari tol Simpang Pulai dalam pukul 5 lebih macam tu. Highway kejap lancar. Kejap sesak. R&R jangan cakaplah punya penuh. Nak singgah solat pun takde parking. Sudahnya kami singgah solat kat tol Tanjung Malim. Sampai rumah pukul 9.30 malam. Alhamdulillah.. Overall aku sangat puas hati kerana dapat bercuti ke Cameron Highland. Sesak pun sesaklah.  Lepas ni entah bila nak naik lagi. Harap-harap takdelah sampai Is nak ambil degree pulak he..he..

Friday, January 25, 2013

Pejabat, Rumah, Hospital dan Miyagi..

Assalamualaikum..

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW.


Dah lamanya tak update entry di sini. Ada banyak yang mahu dikongsi. Tapi kesibukan dan kepenatan membataskan masa untuk aku berkongsi cerita. Sekarang ini adikku kembali tidak sihat dan terpaksa ditahan lagi di hospital. Anak-anaknya di rumah pula bergilir demam. Hari ni emak pula tidak sihat. Sedikit lega bila adik bongsuku dan suaminya bercuti. Dapatlah mereka tengok-tengokkan emak dan anak-anak buahku hari ini.

Maha Suci Allah  yang memberikan ujian dan dugaan untuk menguji hambaNYA. InsyaAllah, setiap dugaan dan ujian ini dapat kami lalui dengan penuh sabar. Alhamdulillah.. kami tetap bersyukur kerana dalam keadaan begini, Allah sentiasa ada untuk membantu. Jadual aku sekarang ni memang berulang ke tempat kerja, ke hospital dan ke rumah adik. Memang pengorbanan itu sangat perlu dalam keadaan-keadaan sebegini. Kalau tak kita keluarga sendiri yang mengambil berat, siapa lagi kan?  

Semalam pun begitulah juga jadual kami. Tapi sempat juga keluar makan-makan anak beranak untuk meraikan Is. Kami ke restoran jepun  Miyagi Bandar Baru Bangi semalam. Kami bukan peminat makanan jepun. Tapi semalam sengaja nak ubah selera bila membaca banyak review yang baik tentang restoran tersebut. Juga untuk bagi enviroment yang lain sikit untuk anak-anak.

Alhamdulillah.. seperti kebanyakan review,  memang best makan kat situ walaupun harganya sedikit mahal. (Seperti kata kebanyakan review juga). Suasana jepunnya sangat best. Makanan pun best. Portionnya besar sampaikan bertolak-tolak nak habiskan udang tempura he..he.. Ini kes dah order set lunch nak juga order side dish. Padahal bukan pandai sangat nak makan makanan jepun.  Miso supnya pun aku  tak sentuh. En.asben dengan Han pun cuma rasa hujung sudu he..he.. Tapi yang lain-lain tu boleh aje kami makan.

Bukan tekak jepun kami ni. Tapi dalam bukan tekak jepun pun aku masih boleh kata makanannya sedap. So bagi peminat makanan jepun boleh cuba makan di restoran tu. Semalam memang hari ini dalam sejarahlah bila aku cuma tengok aje salmon Is yang tak habis. Daging en.asben yang tak habis. Nasi Han yang tak habis. Kalau selalu tu aku dah jadi Majlis Bandaran dah tolong habiskan makanan dia orang he..he..

Oh ya, aku ada buat teaser untuk manuskrip ke-2 Benar-benar Cinta. Bab 15 Benar-benar Cinta juga sudah dimuat naik di Ilham Karangkraf.  Sudi-sudikan untuk membacanya pada yang berminat. Terima kasih.  Pada 1-3 Februari ni akan diadakan Karnival Karangkraf di Pejabat Karangkraf Shah Alam. Jom kita serbu dan memborong buku. InsyaAllah kalau takde aral melintang 2 Februari aku juga akan berada di sana.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua.

Tuesday, January 15, 2013

Lega seleganya...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah... rutin minggu ini sudah kembali seperti biasa setelah adikku dibenarkan keluar dari hospital. Seminggu yang lepas memang agak berterabur jadual harian bila perlu berulang alik ke hospital. Tapi itu semua bukanlah sesuatu yang menyusahkan pun. Malah aku rasa bersyukur kerana diberikan kesempatan dan peluang untuk menjaga adik yang sakit. Ada yang bertanya akak rapat ke dengan adik akak? Hmmm... adik beradik sendiri kan. Mestilah rapat. Walaupun kita bukanlah orang yang paling rapat dengan mereka ataupun kawan yang paling baik untuk mereka. Kita juga bukan semestinya orang yang mereka akan cari untuk berkongsi masalah. Tapi untuk hal-hal yang tertentu, pastilah adik beradik juga yang  akan dicari. Ini kerana adik beradik sendiri tetap mempunyai nilai yang istimewa. 

Sekarang ini emak tinggal bersama adikku di rumahnya.  Orang macam aku yang sejak dulu emak tinggal sekali memang terasa benar kalutnya bila emak takde. Jadual harianku mula berubah. Kalau selalu tu balik kerja boleh terus buka periuk. Maklumlah emak dah siap-siap masakkan. Sekarang ini kenalah masak sendiri. Kalau dulu bukan main terror lagi aku bagi idea bila kawan-kawan terfikir-fikir nak masak lauk apa. Sekarang ini aku pulak yang terkulat-kulat sendiri nak memikir nak masak lauk apa he..he..

Bila emak ada di rumah, kalau orang lain risau bila waktu hujan dan kain tak berangkat lagi aku pulak boleh rileks aje. Sekarang ni kalau hujan aje aku pun join kalut sama he..he.. Kalau selalu asyik dengar orang cerita pasal kain baju menimbun tak berlipat. Bila emak ada memang masalah kain baju bertimbun tak berlipat memang bukan masalah untuk aku. Aku tak pernah pun minta emak tolong lipatkan kain baju aku. Tapi sebab emak memang jenis tak boleh tengok kain baju berlonggok jadinya bila angkat baju dari ampaian aje memang emak akan terus lipat. Takde nak tunggu-tunggu. Beza benar cara kita dengan cara emak-emak kita kan he..he..

Hari ahad baru ni kan hujan. Jadinya kain baju hari ahad tak sempat kering. Bila bercampur dengan kain baju semalam memang penuh sebakul sampai melimpah ruahlah jadinya. Balik kerja semalam lepas angkat kain aku pandang aje bakul tu. Memang takde mood langsung nak lipat. Sebab takde mood makanya aku tinggalkan dulu. Keluntung kelentang kat dapur dengan menu yang pening-pening aku fikir sejak kat pejabat ha..ha.. Alhamdulillah.. siap masak sebelum anak balik sekolah dan pergi tuisyen. Sementara tunggu maghrib pandang lagi bakul tu. Takde mood juga lagi he..he.. Lepas buka puasa dan solat maghrib hantar anak pergi tuisyen.

Balik dari hantar anak pandang lagi bakul tu he..he.. (Inilah yang orang lain selalu rasa  agaknya. Rasa nak muntah bila tengok bakul kain baju penuh sendat macam tu). Sebab masih takde mood aku solat isyak dulu. Lepas solat pandang lagi bakul tu. Takde mood lagi. Takpe.. kita update Bab 13 Benar-benar Cinta kat Ilham Karangkraf dulu sebab dah seminggu tak sempat nak muat naik. (Iklan sekejap. Kalau berminat nak baca bolehlah klik ke link ini. Sudi-sudikan dan terima kasih:)). Dah siap update bab 13 tu sambung tengok tv pulak. Padahal boleh aje lipat kain sambil tengok tv. Tapi takkkkkk. Nak tunggu juga mood lipat kain datang serah diri he..he..

Nak tunggu mood rajin datang memang mimpilah kan. Nak tunggu semangat lipat kain datang pun memang minggu depan  kut baru semangat tu nak datang ha..ha.. Jadinya kenalah paksa diri juga. Itu pun sebab memikirkan kalau tak buat malam tadi, hari ni  tentu lagi takde mood sebab kain dua hari akan jadi tiga hari. Kuantiti pastinya akan bertambah. Oleh sebab itu, tarik juga bakul tu dekat dengan muka. Lambat-lambat tuangkan atas karpet. Ambil satu-satu lipat elok-elok. Lipat punya lipat eh..eh.. dah tinggal sikit aje lagi. Alhamdulillah.. Siap juga. Perasaan aku pada waktu itu adalah LEGA seLEGAnya.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua.

Friday, January 11, 2013

Alhamdulillah...syukur..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. dugaan minggu ini dapat dilalui dengan baik. Tiada bantuan yang dapat kita bergantung harap sepenuhnya selain  bantuan dariNYA. Terima kasih Allah kerana memudahkan segalanya buat kami sekeluarga. Semalam aku bercuti kerana menemani adikku di hospital untuk prosedur biopsi buah pinggangnya. Alhamdulillah,  semuanya berjalan lancar. Semalam selepas biopsi, 6 jam adik aku tidak dibenarkan bergerak. Selepas 6 jam itu, sebelah kakinya tidak boleh diangkat akibat kesan bius. Oleh sebab itu, dia terpaksa ditahan di wad ICU.  Alhamdulillah, pagi ini keadaannya beransur baik. Semoga kesihatannya terus baik hendaknya. Tak tergambar rasa risau yang sedang aku rasa ketika ini.

Alhamdulillah, setelah melalui minggu penuh debaran dan dugaan bila adik-adikku sakit dan dimasukkan ke hospital serentak, kelmarin aku mendapat berita gembira pula. Subhanallah.. dalam pada pelajaran Is merosot hujung tahun lepas, tak terjangka dia memperolehi 8A untuk UPKK (Ujian Penilaian kelas KAFA oleh JAKIM). Memang tahun lepas pelajaran Is merosot teruk. Sehinggakan tahun ini di sekolah kebangsaan Is terpaksa turun kelas dari kelas pertama ke kelas ketiga. Bayangkan betapa merosotnya pelajaran dia sampaikan boleh turun langkau 2 kelas. Keputusan akhir tahun sekolah agama pun tidak begitu baik.

Disebabkan itu, aku memang tak menduga yang Is mampu memperolehi semua A dalam ujian tersebut. Hari sebelum aku mengambil keputusan ujiannya di sekolah, Is memberitahuku yang kawannya memperolehi 7A. Sebab keputusannya belum diperolehi aku sengaja bertanyakan ramalan keputusanya. Dengan penuh keyakinan dia cakap dia boleh dapat 8A. Waktu tu aku senyum aje walaupun kagum juga dengan keyakinan yang dia ada. Esoknya bila aku ke sekolah, belum masuk pejabat lagi ustazah pemilik Sekolah Kafa sudah mengucapkan tahniah padaku. Dalam pada aku melayan blur dan rasa terperanjat ustazah memberitahu, tahniah, Is dapat 8A. Subhanallah.. Syukur Alhamdulillah. Kat situ juga aku menangis kerana rasa gembira. Sebak sangat-sangat.

Terima kasih Allah. Macam tak percaya. Memang tak terduga. Syukur sangat-sangat bila dia berjaya memperolehi keputusan itu dengan izin dari Allah. Tahniah abang! Mama rasa macam nak timang-timang abang. Semoga abang dapat terus menjaga solat dengan wuduk yang sempurna, membaca Al-quran setiap hari dan rajin belajar. Tahniah juga untuk kawan-kawannya yang memperolehi keputusan yang baik. Terima kasih buat ustaz dan ustazahnya yang baik budi serta ikhlas mencurahkan ilmu. Semoga Allah kurniakan rezeki yang melimpah ruah kepada mereka. Semoga keputusan ini akan memberikan Is semangat untuk terus berjaya. Semoga ianya menjadi pemangkin untuk IS berusaha bagi memperolehi keputusan cemerlang dalam UPSR dan PSRAnya.

Alhamdulillah.. sekejap ni adik aku beritahu yang dia dah dibenarkan keluar dari hospital. Syukur. Terima kasih buat semua yang mendoakan kesembuhan adikku. Hanya Allah yang mampu membalasnya.  

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat Allah sentiasa ada buat kita semua.

Monday, January 7, 2013

Dugaan di awal 2013..

Assalamualaikum..

Subhanallah.. Maha Suci Allah yang mengaturkan segalanya.

Adik beradikku ada 3 orang. Aku anak yang sulung. Aku mempunyai 2 orang adik perempuan. Jumaat lepas, ditakdirkan kedua-dua orang adikku  ada masalah kesihatan dan terpaksa ditahan di wad. Seorang di KPJ Kajang dan seorang lagi di Prince Court KL. Memang dugaan betul. Risau betul rasa hati ini. Tapi dugaan yang diterima harus dihadapi dengan rasa bersyukur juga.

Alhamdulillah.. dalam saat-saat begini seluruh ahli keluargaku, keluarga mertua kami bertiga, saudara mara dan kawan-kawan kuat memberi sokongan. Terima kasih banyak aku ucapkan kepada mereka semua. Dugaan yang dihadapi terasa sedikit ringan bila ada ramai yang sama-sama prihatin dan sentiasa berada di sisi kami. Doaku, semoga adik-adikku akan cepat pulih sepenuhnya. Semoga keduanya akan terus kuat menghadapi ujian ini.

InsyaAllah, hari ini adik bongsuku akan dibenarkan keluar dari wad. Tapi adik keduaku masih perlu berada di wad lagi untuk rawatan susulan. Semoga dipermudahkan segala urusan rawatannya. Alhamdulillah, ada emak yang masih kuat lagi untuk membantu menguruskan urusan anak-anaknya di rumah. Setidak-tidaknya adik aku yang berada di wad tidak perlu risau memikirkan tentang hal anak-anaknya di rumah.

Dugaan yang datang pastinya ada hikmah tersembunyi di sebaliknya. Semoga dugaan ini akan memberikan hikmah yang terbaik buat kami. Semoga dugaan ini akan membuatkan kami lebih dekat kepada Allah. Semoga dugaan ini akan membuatkan hubungan kami bertiga terus erat. Mohon kawan-kawan untuk sama-sama tolong doakan kesihatan adik-adikku. Semoga kesihatan yang baik dan umur yang berkat menjadi milik kita semua.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua.

Thursday, January 3, 2013

Eksklusif...


Assalamualaikum...

Alhamdulillah.. semalam hari pertama persekolahan anak-anak di tahun 2013 berjalan dengan cukup lancar. Aku tak cuti pun sebab en.asben yang cuti he..he.. Thank you sayang! Anak-anak tiada masalah untuk memulakan rutin mereka seperti biasa. Semuanya nampak teratur dan aku tak perlu nak rasa stress pagi-pagi. Itu yang best tu bila dapat pergi ke pejabat dengan mood ceria. Lebih ceria bila teringat-ingat telatah dan perangai anak-anak yang bermacam-macam tu. Semalam hari pertama, jadinya banyaklah juga cerita yang di kongsikan oleh anak-anak lepas balik sekolah. Seronok aku dengar. 

Han dengan Is dah besar jadinya cerita-cerita mereka lebih kepada jadual dan aktiviti sekolah. Hari ni pun sekolah Han dah mula dengan aktiviti tambahan. Advance betul sekolah sekarang kan. Minggu pertama sekolah dah terus aktif. Satu perkembangan yang baik tu.  Itu cerita kakak dengan abang. Yang si adik masih banyak cerita tentang dia dan kawan-kawan. Tersenyum-senyumlah aku dengar cerita Az. Si bongsu aku ni memang suka buat hal sendiri. Hal orang memang dia tak ambil port. Tapi bila sesekali  mood nakal dia datang, asyik nak menyakat orang dan loyar buruk aje kerjanya. Jadinya bila dia nak bercerita memang selalu cerita dari dia tu memang cerita yang tak terjangka.  Memang kami akan tergelak-gelak mendengarnya padahal dia bercerita dengan muka yang macam takde perasaan aje he..he..

Inilah Az. Mamat ni memang stylo lebih. Muka memang budget Aiham Fahri. Muka sombong dan susah sangat nak senyum. (Kenal ke dengan Aiham Fahri tu?? he..he..)  Kalau ambil gambar selalu tak menjadi sebab dia suka buat muka bosan. Spoilled betul. Macam malam tahun baru tu adalah kita orang ambil gambar. Semuanya tak menjadi sebab dia asyik buat muka. Annoying betul.  Siap ada dua tiga gambar tu dia boleh menongkat dagu nak tunjuk muka bosan sangat. Boleh??? Aduhai.. Takpelah B.. muka stok Aiham Fahri ke, suka menyakat ke, suka loyar buruk ke, BBlah juga penghibur mama, ayah, kakak dan abang. We love you sayang. Susah tau nak ambil gambar dia pose macam ni. Itu yang aku nak letak kat sini. Sebab eksklusif sangat he..he.. Siapa yang nak buat menantu boleh booking siap-siap ha..ha.. 

Benar-benar Cinta - Bab 12 untuk  yang berminat.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care.

Wednesday, January 2, 2013

Kalau dah nama anak ayah...

Assalamualaikum..

2013 sudah kan.. Alhamdulillah..

Sejak minggu lepas en.asben sibuk nak ajak ke Alamanda. Kalau selalu tu aku yang sibuk mengajak. Tapi jawapannya selalu tentu, cari aje kat Billion depan rumah tu. Semua ada. Tension I tau he..he.. Aku tanyalah nak cari apa kat Alamanda tu. En.asben kata Han asyik cakap nak jam baru. Memang sangat bijaklah untuk Han  buat permintaan itu pada ayahnya yang gila jam kan. En.asben memang sangat gila jam. Cakap aje jenama apa? Movement apa? Semua dia tahu. Kalau cerita pasal jam memang nampak dia punya keterujaan. Kalau lalu kat kedai jam pun macam ada magnet sampaikan kami satu keluarga terpaksa berhenti lama kat situ. Jadinya walaupun bukan nak beli jam untuk diri sendiri, en.asben masih bukan main excited lagi nak belikan jam untuk anaknya.

Hari terakhir 2012 tu ofis en.asben bagi semua staff balik awal. Bila dah balik awal bolehlah plan nak keluar. Lepas makan dan solat isyak kami keluar ke Alamanda. Sampai sana dah pukul 9 lebih macam tu. Laju-laju kami jalan pergi kedai Swatch. Masa tu Han tak tahu lagi ayahnya nak penuhi permintaannya. Sibuklah anak-anak tanya nak cari apa? Kita orang senyum-senyum aje. Sampai depan kedai Swatch, Han pulak yang tersenyum-senyum. Ayah nak belikan Han jam ke??? Alolor... ya nak.. anak perempuan kesayangan ayah kan. Takkanlah ayah taknak belikan.. (Okey itu aku cakap dalam hati.. he..he..) Masuk kedai swatch en.asben suruh Han pilih jam apa yang dia nak sangat tu.

Han pun tunjuk jam yang dia nak tu. Aku tanyalah kat mana dia tengok jam tu. Dia kata dia pernah nampak ada kawan dia pakai dan dia berkenan. Beruntungnyalah Han. Mama dulu kalau tengok kawan pakai jam lawa hanya mampu tengok dan teringin aje hu..hu.. (Ini pun aku cakap dalam hati juga). Alhamdulillah, ada rezeki untuk ayah tunaikan permintaan Han tu. Ada rezeki Han untuk memiliki apa yang dia mahu. Pesan mama untuk Han, kena pandai lebih bersyukur. Kena pandai lebih menghargai. Lepas dah pilih warna, try pakai dan bayar, kami pun keluar. Kedai semua dah nak tutup dah masa tu.

Dah alang-alang kat Putrajaya, kami pun singgah join orang ramai-ramai nak tengok  bunga api kat acara Ambang 2013. Saja-saja nak hang out anak beranak kat luar. Bukan nak sambut tahun baru pun.  Az pun sibuk nak main rollerblade. So adalah peluang nak main kat tempat yang lebih lapang. Kalau selalu tu main dalam rumah aje. Malam tu bolehlah jalan-jalan kat pavement Putrajaya dengan rollerblade. Tapi nak turun tangga dah jadi satu kerja pulak kami nak kena pimpin dia he..he..  Memang puaslah dia main malam tu. Alhamdulillah, dah semakin mahir anak-anak dengan rollerblade tu. Semalam satu hari lepak-lepak kat rumah. Lepas masak sarapan aku terus masak untuk lunch sekali. Senang sebab lepas tu boleh layan tv dengan layan mata he..he.. So, itulah cerita tahun baru kami. Welcome 2013.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua.