Nuffnang

Thursday, March 28, 2013

Dalam setiap doaku..

Assalamualaikum..

Malam tadi aku termimpikan dua orang sahabat baikku. Walaupun hanya sekadar dalam mimpi, aku rasa seronok sangat bila dapat hang out bersama mereka. Mungkin kerana terlalu rindu bila sudah lama tidak berjumpa. Banyak perkara yang kami kongsikan dalam suasana yang cukup santai. Paling best dalam mimpi tu ialah bila kedua orang sahabatku sudah kaya raya. Subhanallah.. bagusnya. Aku rasa cukup gembira untuk mereka. Walaupun hanya dalam mimpi, aku rasa cukup seronok dengan kemurahan rezeki yang dimiliki oleh mereka berdua.

Sejak umur semakin meningkat, rasa untuk bersaing itu sudah tidak seperti dulu. Bukanlah terus hilang, tapi ianya jadi tidak begitu penting dan ketara. Ingat lagi tak waktu zaman kita kecil-kecil dulu? Kalau orang ada 2 mainan, kita seperti mahu ada 3 mainan atau lebih. Waktu zaman mahu memulakan kehidupan, rasa mahu bersaing itu sedikit menebal dalam diri. Bukanlah mahu sentiasa lebih dari orang lain. Tapi sekadar ada rasa untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Orang ada, kita juga mahu ada. Bila orang lebih, kita juga jarang benar mahu kurang.

Sekarang ini, aku rasa lebih tenang bila persaingan itu tidak terlalu menganggu hatiku. Melihat rezeki orang lain aku rasa seronok. Melihat kelebihan orang lain aku tumpang berbangga. Melihat kejayaan orang lain aku ikut rasa bersyukur sama. Kadang-kadang aku sendiri rasa keliru dengan apa yang aku rasa. Adakah aku sekadar berpura-pura melindungi rasa hati yang sebenar? Benarkah aku benar-benar gembira untuk mereka? Benarkan aku tidak rasa cemburu dengan apa yang mereka miliki atau perolehi? Sedangkan, aku sendiri tidak memilikinya. Baik sangatkah aku?

Bila merenung dalam-dalam, aku tahu aku tidak berpura-pura tentang semua itu. Aku juga tahu yang aku tidak menipu hatiku tentang perasaan cemburuku. Alhamdulillah,  sifat baik orang di sekelilingku sedikit sebanyak telah menyebarkan virus yang baik untuk menjadikan hatiku lebih bersih kini. Cara dan peribadi orang luar yang lebih baik dariku menjadikan aku lebih bijak menguruskan hatiku. Rasa cemburu selalunya bertukar dengan rasa gembira untuk orang lain. Bersaing bukan lagi satu keperluan. Melihat orang lain merai dan mendoakan kejayaan dan rezeki yang kita perolehi membuatkan kita juga mahu sama-sama merai rezeki dan kejayaan orang lain.

Satu perkara yang aku pasti mengapa hatiku rasa lebih tenang dan  senang ialah orang lain juga sentiasa berada dalam setiap doaku. Sebagaimana aku mendoakan rezeki dan kejayaan buat diriku dan keluarga, begitu jugalah aku mendoakan rezeki dan kejayaan untuk orang lain. Bila aku sendiri yang memohon dengan setulus hati, mana mungkin aku sendiri berasa tidak senang. Subhanallah.. besar betul kuasa sebuah doa itu. Ianya bukan sekadar sebuah pengharapan yang kita mahukan ianya tertunai, tapi ianya juga mampu membersihkan hati dari sifat yang tidak elok. Ianya mampu merawat hati agar menjadi lebih baik.  Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar.. Sangat tidak rugi untuk kita mendoakan orang lain dalam setiap doa kita. Ianya akan membawa lebih kebaikan untuk diri kita juga orang lain, insyaAllah.

Untuk aku sendiri, masih terlalu banyak yang perlu aku perbaiki. Hatiku juga masih banyak hitamnya yang perlu aku kikis dan bersihkan. Kekurangan diri masih terlalu banyak untuk diperbetulkan. Namun, rasanya tak salah untuk aku berkongsi sedikit perubahan yang baik dan penyebabnya kepada orang lain. Mana tahu, manfaatnya mungkin adalah lebih baik untuk orang lain.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care & have a nice day.

Wednesday, March 27, 2013

Di usia 37 tahun...

Assalamualaikum...

27 March 2013

Alhamdulillah.. Terima kasih Allah kerana diberikan peluang untuk aku bernafas selama 37 tahun di dunia ini. Semoga aku terus diberikan keberkatan umur dan kesihatan yang baik hendaknya. Alhamdulillah..  hari yang indah untuk aku. Malam tadi, awal-awal lagi emak dah telefon ucapkan selamat hari jadi dengan nada sebak. Tengah malam tadi en.asben memberikan ucapannya pula. Bangun pagi tadi, katilku diserbu oleh anak-anak dengan ucapan selamat dan kucupan hangat dari mereka. Subhanallah.. tak tergambar keindahan yang aku rasa di dalam hatiku.

Sewaktu aku berumur awal 30-an, aku ada memberitahu begini kepada en.asben, bila i dah tua nanti, i masih nak berkerja. Tapi i nak kerja yang senang-senang aje. Alhamdulillah.. di usia aku yang 37 tahun ini, aku menyandang jawatan seperti mana yang aku ingini. Dapat bertugas dengan tugasan yang lebih senang dari tugasan-tugasanku yang dulu. Masih ada tanggungjawab yang perlu aku galas, tapi tidaklah sebesar tangungjawab dulu. Rasanya, sudah ramai yang memberitahu yang aku sangat sesuai dengan kerjaku sekarang. Aku akui, aku sangat sukakan kerjaku sehinggakan aku melakukannya dengan sebaik mungkin. Di usia begini, aku memang tidak memiliki kerjaya yang gah seperti orang lain. Tapi aku memiliki perkerjaan idamanku.  Tidak berpangkat tinggi dan tidak bergaji besar pun tidak mengapa kerana kerja ini sangat memberi kepuasan untuk diriku. Syukur, Ya Allah.

Aku ni bukannya jenis yang terlalu sukakan barang kemas. Barang kemas yang ada sekadar barang kemas pemberian emak dan arwah ayah. Juga set hantaran perkahwinan serba satu dari en.asben ketika berkahwin dulu.  Itu saja yang aku ada. Tak pernah bertambah sebab aku tidak pernah menginginkannya. Kalau offer pun aku sendiri yang menolak. Tapi tahun ini, entah kenapa, aku begitu mahukan gelang tangan sebagai hadiah harijadi dari en.asben. Hmm.. faktor umur yang semakin meningkat barangkali.. Ohh.. taste aku dah jadi macam makcik-makcik. Semalam, gelang baru dah berada di tangan and i love it so much.  Alhamdulillah.. ada rezeki untuk dapat gelang tangan baru. Thank you sayang, i love you so much. Ha..ha.. dapat gelang terus rasa lagi sayang kan.

Ucapan dari yang tercinta, dari ahli keluarga yang tersayang juga dari teman-teman yang terhormat sangat aku hargai. Terima kasih kalian semua. Hidup aku jadi lebih bermakna kerana aku memiliki kalian semua sebagai orang yang rapat denganku. Syukur ya Allah. Semoga kehidupan kami semua sentiasa diberkati. Akhir kata, terimalah senyuman dari si manis 37. He..he.. nak juga si manis macam sweet 17 kan ha..ha..



Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Tuesday, March 26, 2013

Maybank2u...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. rasa best bila segala bil untuk bulan ni sudah dilunaskan. Lagi best sebab segala bil sudah diselesaikan tanpa perlu aku beratur dan menunggu giliran. Senang betul bila dah ada maybank2u ni. Nak bayar bil, nak transfer duit, just name it. Semua boleh buat pada bila-bila masa. Giler excited bila dapat buat segalanya melalui maybank2u. Iyalah.. aku mengaku, lambat giler baru aku nak berteknologi. Padahal dah lama orang lain buat semua tu di hujung jari. Aku jugak yang terhegeh-hegeh suka pergi bank lagi. Baru minggu lepas aku ada akaun maybank2u sendiri. Itu yang kecoh tu he..he..

Terima kasih untuk kawan-kawan ofis yang rasanya dah tak tahan tengok aku dok gigih nak pergi keluar settlekan bil setiap bulan. Kadang-kadang bila tak sempat keluar terpaksa keluar juga ke mesin atm untuk transfer duit dalam akaun dia orang sebab nak minta tolong bayarkan melalui maybank2u he..he.. Kalau dia orang tak gigih suruh aku ada maybank2u untuk kemudahan aku sendiri, memang takdelah aku nak bermaybank2u macam orang lain. I masih rela beratur you ha..ha..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.



Monday, March 25, 2013

Tak merancang.. tapi menjadi..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. awal cuti sekolah sudah terisi dengan percutian keluarga untuk anak-anak. Kami tak pergi bercuti ke tempat yang jauh pun. Cuma ke Port Dickson saja. Tapi anak-anak nampak puas. Sebenarnya, kami sendiri tiada rancangan untuk ke mana-mana cuti sekolah kali ini. Bila tiada perancangan tiadalah sebarang usaha untuk mencari penginapan dan sebagainya. Tambah lagi en.asben hanya balik dari outstation pada petang jumaat tu. Memang agak sukarlah untuk mengambil cuti tambahan setelah seminggu sebelumnya dia tiada di pejabat. Anak-anak tiada masalah jika tidak pergi bercuti pun kerana sejak disember memang setiap bulan kami pergi berjalan.

Dalam tidak merancang, ada pula perkara yang membuatkan kami perlu pergi bercuti. Jadinya isnin lepas barulah aku kalut mencari tempat percutian. Nak booking hotel di saat akhir, memang bukan perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi bila percutian itu cuma untuk 2 hari 1 malam. Makanya, tempat percutian sangat terhad kepada tempat yang dekat-dekat agar kami tidak penat. Mencari hotel di sekitar Morib semuanya penuh. Mencari di Melaka pun penuh juga. Sudahnya dapat di PD saja. Alhamdulillah masih ada bilik kosong di Ancasa All Suite and Spa. Dapatlah aku booking aparment 3 bilik untuk 5 dewasa dan 8 kanak-kanak.

Sehari selepas booking dapat call pula dari hotel beritahu yang apartment 3 bilik sudah penuh. Hanya tinggal apartment 2 bilik saja. Kira okeylah tu. Janji ada tempat untuk pergi bercuti. Sakan kami mandi laut sejak sabtu hingga semalam. Puas juga dapat naik banana boat dan donut boat. Anak-anak dan sepupu-sepupunya sampai berulang naik. Semua jenis nak di rasa. Mandi kolam pun beria juga semuanya. Alhamdulillah.. walaupun percutian dekat dan singkat, semuanya rasa seronok. Walaupun tak merancang, percutian ini antara percutian yang terbaik juga buat kami sekeluarga.

Sedikit review tentang Ancasa All Suite and Spa. Apartmentnya luas. Kolam renang agak kecil untuk jumlah pengunjung yang besar. Parking di dalam kawasan hotel mencukupi. Ada taman ala-ala bali juga di kawasan itu. Boleh tahan cantiklah juga tempatnya. Ada padang untuk untuk buat aktiviti sukaneka. Ada pantai sendiri. Aktiviti pantainya banyak. Banyak gerai di kawasan belakang hotel. Jadinya, tiada masalah untuk mencari makanan. Rasanya itu saja kot sebab yang lain-lain sama aje standardnya macam hotel lain. Kemudahan gim, karaoke dan sebagainya memang disediakan.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Wednesday, March 20, 2013

Separuh jiwaku pergi..

Assalamualaikum..

Amboi, tajuk entry tak agak-agak! Separuh jiwaku pergi. Minta maaflah ya, aku selalu jiwang sikit bila en.asben kena kerja luar. Dalam setahun memang beberapa kali en.asben kena buat audit di Singapura. Setiap kali itu aku jiwang terlebih he..he.. Tapi sungguh, itulah apa yang aku sedang rasa. Separuh jiwaku bagaikan ikut sekali bersamanya. Selalunya begitulah, bila orang yang kita sayang berada jauh dari kita, barulah kita tahu bagaimana kita menyayangi orang itu. Barulah kita tahu yang kita benar-benar sayang padanya. Barulah kita sedar betapa bernilainya seseorang itu pada kita.

Selama ni aku selalu rasa macam aku lebih sayangkan arwah ayah dari emak. Ini kerana sudah bertahun ayah pergi jauh dariku sehinggakan aku selalu merinduinya. Sekarang ini bila emak tinggal bersama adik aku, barulah aku tahu yang sebenarnya aku sayang emak sama banyak dengan aku sayang arwah ayah. Bila emak dah jauh barulah aku tahu bagaimana aku menyayanginya. Dengan anak-anak pun begitu juga. Aku tahu, aku sayang kesemua anak-anakku. Bila ketiga-tiga orang anakku berada di depan mata, aku memang tak tahu aku paling sayang siapa? Tapi setiap kali salah salah seorang berada jauh dariku, aku mula rasa begitu kehilangan. Waktu itu aku tahu, aku sayang mereka sama rata. Tiada yang lebih dan tiada yang kurang.

Sayang boleh merubah kita jadi lebih baik. Sayang juga boleh merubah kita jadi lebih buruk. Pandai-pandailah kita menangani perasaan kita sebaiknya. Kita boleh sayang sesiapa yang kita suka. Tapi jangan lupa untuk menyayangi diri kita sendiri. Jangan kerana sayangkan orang, kita mengabaikan diri kita.  Paling penting, kita perlu lebih sayangkan Allah dan Rasullullah s.a.w. melebihi kita sayangkan diri kita dan juga yang lain. Ini kerana kasih sayang Allah dan Rasulullah s.a.w kepada kita tak terbanding dengan kasih sayang yang lain.  Alhamdulillah.. terima kasih Allah. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Tuesday, March 19, 2013

Sahabatku...

Assalamualaikum..

Kau ada di kala ku suka
Di kala ku duka
Setiap tangisan dan juga ketawa
Kau ada di kala ku perlu
Setia menemaniku
Pegang erat tanganku bila aku jatuh

Kau lah yang selalu
Selalu menemaniku
Mendengar kisah pahit manis
Hidup ku
Kau lah yang di situ
Setia menunggu ku
Kau lah yang satu
Menjadi sahabatku

Ku tahu ku kan selalu ada
Pada dirimu
Dan ku harap kau juga rasa begitu

Coretan di atas bukan ilham rekaan aku. Tapi lirik lagu SAHABAT dari Najwa Latif. Aku suka lagu tu. Pagi tadi waktu otw ke pejabat aku dengar lagu tu di radio. Sambil ikut menyanyi dengan Najwa Latif, dalam kepala aku hanya tergambarkan en.asben yang memenuhi karektor terbaik sebagai SAHABATKU seperti dalam lirik lagu tu.. Alhamdulillah.. Terima kasih Allah. Terima kasih juga untuk en.asben - sahabatku, kekasihku, suamiku, kesayanganku.

Mood adalah sedih setiap kali en.asben nak pergi outstation hu..hu.. take care sayang.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Monday, March 18, 2013

My little gegirl..

Assalamualaikum..

Hari sabtu minggu lepas emak pergi kursus haji. Adik aku pula ada follow up check-up. Bila nenek dan mummy takde, terpaksalah aku yang take over jaga anak-anak buah. Okey, takde hal. Small matter. Sebab anak-anak buah memang dah rasa macam anak sendiri. Kalau buat salah boleh marah. Kalau tak betul boleh tegur. Macam mana jaga anak sendiri, macam itulah jaga anak buah. Anak-anak buah pun memang rapat dengan aku. Memang lagi senanglah nak jaga. Lagi pun semua dah besar. Cuma ada seorang aje yang kecil lagi (gegirl). Yang ni pun tak susah nak jaga. Cuma kena layan lebih aje he..he.. Nak-nak layan cakap dengan dia. Ada aje benda nak tanya.

Pagi tu lepas Han tolong mandikan gegirl, aku punya kerja ialah pakaikan baju dia. Budak sekarang kan baju semua dia orang yang akan pilih sendiri. Lepas dah ambil baju mana yang dia berkenan aku pun sapukan losyen, bedak, vicks semua. Lepas dah pakaikan pampers gegirl cakap kat aku, mama, kejap. Gegirl nak ambil spentot..  Kalau baca blog, selalu sangat terbaca perkataan spentot untuk ganti nama underware. Bila anak buah aku yang umur 3 tahun pun panggil spentot untuk ganti nama underware,  jadi gelak besarlah aku yang mendengarnya. Macam comel sangat bila dia pun sebut macam tu ha..ha.. Macam blogger pulak gegirl ni.

Bukan setakat guna ayat blogger, suka camwhore pun macam blogger juga tau anak buah aku ni. See.. boleh buat love guna jari lagi he..he.. Inilah gegirl dengan abang dia Hafiy. Peminat K-pop ni. Dahlah kenal artis
k-pop yang aku sendiri pun tak kenal, siap boleh nyanyi dan menari style
k-pop juga dia orang ni. Kalau kat tab tu dah pandai download apps sendiri. Aku pun terkial-kial tak reti sebab alah teknologi he..he..
Alhamdulillah.. bab agama pun bijak juga dia orang ni.

 
Peace you all. Pose pipi kembung pun teror he..he.. belum mulut itik lagi. Dalam kereta sebelum ke mana-mana, camwhore itu harus.. he..he..

Buat muka comel mana boleh tinggal kan he..he..

Buat muka baik nak minta kena cium lagilah tak boleh miss he..he..

Memang hilang stress kalau jaga dia orang ni. Tapi bila buat perangai, bukan kata aku, mummy dengan nenek pun stress nak jaga he..he.. Tapi kalau beberapa hari tak jumpa dia orang, aku memang rindu sangat dibuatnya.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Friday, March 15, 2013

Ada awan, ada bonus..

Assalamualaikum..

Dari tempat aku duduk sekarang ini, aku dapat lihat awan yang sangat cantik. Warna biru yang cerah bertompok dengan warna putih yang bersih. Subhanallah... sangat indah. Teringat lagi lagu kegemaran adik bongsuku waktu dia kecil-kecil dulu. Beza umur kami 9 tahun. Jadinya, sewaktu dia kecil memang aku kena jaga dia. Sampai aku dah kerja pun aku masih kena gosok baju dia sebab dia kecil lagi masa tu he..he..

Antara tugasan lain ialah buaikan dia time dia nak tidur dalam buaian. Tapi setiap kali tu aku akan suruh dia nyanyi dulu. He..he.. hampeh punya kakak. Adik nak tidur lagi nak suruh nyanyi. Patutnya akulah yang nyanyikan. Tapi aku suka biar dia nyanyi sebab nampak cute sangat bila dia nyanyi dengan gaya-gaya. Antara lagu faveret yang aku selalu suruh dia nyanyi ialah lagu ni.

Nurul Iman berdiri di tingkap..
Memandang-mandang melihat-lihat..
Ada awan di langit biru..
Sunguh indah,  SUBHANALLAH..

Nampak awan yang indah tu, aku terus teringatkan lagu tu. Teringatkan lagu tu, aku terus teringatkan adik aku. Teringatkan adik, aku terus teringatkan yang hari ini katanya dia dapat bonus. Ehem..ehem.. bolehlah open table..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Wednesday, March 13, 2013

Kemurahan rezeki...

Assalamualaikum..

Baru empat hari tak menaip di sini terasa bagaikan dah lama benar. Kadang kala, dalam ada banyak perkara yang ingin dikongsi, terasa bagaikan tiada rasa pula untuk menaip di sini. Bila hati kata tak mahu, tiada apa yang boleh memaksa kan. Mood pun tak berapa baik dua tiga hari ini. Perkara biasa bagi setiap wanita kut. Setiap bulan memang akan ada hari-harinya emosi tak stabil he..he..

Petang semalam dapat sms dari teman yang sama-sama mengerjakan umrah dan ziarah ke turki tahun lepas. Sambil bertanya khabar, teman tersebut mengajak untuk sama-sama pergi bercuti. Mereka sekeluarga mahu ke korea pula pada bulan mei ini. Alhamdulillah..  seronoknya mendengar berita tersebut.  Setiap tahun mereka ada peluang untuk melancong satu keluarga ke negara orang. Anak-anaknya juga bijak-bijak semuanya. Sudahlah cantik, berbudi bahasa pulak tu. Mereka sekeluarga juga sangat baik orangnnya.

Aku tumpang gembira dengan kemurahan rezeki yang dimiliki oleh teman itu. Semoga mereka sekeluarga terus dilimpahkan dengan kemurahan rezeki yang berpanjangan. Semoga kita semua juga sentiasa memperolehi kemurahan rezeki. Bukan setakat rezeki untuk wang ringgit tapi rezeki untuk memiliki anak-anak yang bijak dan soleh, rezeki untuk memiliki kesihatan yang baik, rezeki untuk diberikan kelapangan dan kesempatan untuk menjalani kehidupan di dunia dengan sebaiknya juga rezeki untuk memperolehi hati yang baik.

Orang-orang yang berada disekeliling kita sebenarnya punya peranan yang besar untuk membentuk siapa diri kita. Terpulang pada kita untuk memilih untuk berada bersama orang yang bagaimana. Terpulang pada kita juga untuk mengambil aura positif atau aura negetif dari orang sekeliling kita. Untuk diri aku sendiri, aku rasa cukup bersyukur kerana dapat berada dengan orang-orang yang baik-baik. Selain dari didikan dari emak dan ayah, berada bersama orang-orang yang baik menjadikan aku orang yang lebih baik lagi hari ini. Walaupun masih tidak cukup cemerlang sahsiahnya, tapi ada peningkatan yang baik untuk diri aku sendiri. Alhamdulillah.. terima kasih Allah.  Terima kasih juga untuk semua yang berada di sekelilingku.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have an nice day.

Friday, March 8, 2013

Dengan izin ALLAH...

Assalamualaikum...

Salam Jumaat yang mulia untuk semua. Selamat Hari Wanita untuk semua wanita yang dirahmati ALLAH..

Hari rabu lepas aku ke pejabat KWSP Kajang bersama 3 orang sahabat. Kami pergi pada waktu rehat tengah hari. Bila pergi pada waktu rehat dan waktu makan tengah hari tentu saja susah untuk mendapat tempat parking. Ada parking kosong yang agak jauh dari pejabat KWSP. Ikutkan aku, mahu saja aku parkingkan keretaku di situ. Tapi salah seorang sahabatku menegah. Katanya jauh sangat untuk kami berjalan ke pejabat KWSP nanti. Aku pun tawakal aje dan tinggalkan tempat parking itu. Aku terus memandu ke depan lagi sambil berdoa agar dipermudahkan segalanya untuk kami. InsyaAllah ada parking. Baca doa makan. Kata sahabatku.

Hah.. baca doa makan untuk dapatkan parking? Kami yang lain memang rasa pelik sebab tak pernah dengar. Tapi sahabatku kata dia pernah dengar makcik atau pakciknya cakap macam tu. Sebelum ini bukannya kami tidak pernah keluar bersama. Bukan juga kami tidak pernah menghadapi kesukaran untuk mendapat tempat parking. Tapi baru hari itu dia terdetik untuk berkongsikan tentang perkara itu. Bila merenung tentang makna doa makan, rasanya memang boleh guna doa tu juga sabagai jalan usaha. "YA ALLAH... Engkau berkatilah apa yang engkau telah berikan kepada kami dan jauhilah kami dari azab api neraka".

Jadinya sambil memandu ke depan aku dan sahabat-sahabatku membaca doa makan bersama-sama. Ditakdirkan, sebaik kami sampai di depan pejabat KWSP, ada sebuah kereta mahu meninggalkan tempat parking. Ya-ALLAH.. dengan bantuanNYA urusan kami dipermudahkan. Alhamdulillah.. ada rezeki kami untuk mendapat tempat parking yang betul-betul dekat. Subhanallah.. besar betul kuasa Allah itu. Allahuakbar.. apa saja boleh berlaku dengan izin dari Allah kan. Semoga keimanan kita kepada Allah akan terus mantap dan teguh hendaknya. Amin.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care & have a nice day.

Wednesday, March 6, 2013

Khatam...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. semalam anakku Is dah khatam Al-quran. Dia rasa cukup seronok tentangnya. Begitulah juga dengan aku. Selepas membaca doa khatam Al-quran Is datang padaku dan bertanya, nanti bila kita nak buat kenduri mama? Aku dah tersenyum sendiri mendengarnya. Tapi aku terangkanlah pada dia yang kalau dah khatam Al-quran tak semestinya kita kena buat kenduri. Is memang macam tu. Kalau boleh, untuk semua perkara berkaitan dirinya dia nak diadakan kenduri. Kalau dulu waktu nak berkhatan, dia juga yang beria minta kami buat kenduri. Setiap kali hari jadinya pun begitu. Beberapa hari sebelum birthdaynya dia dah sibuk tanya kalau-kalau kami ada plan nak buat majlis untuknya he..he..

Suka kenduri ya nak. InsyaAllah, kalau ada rezeki dan bila ada kelapangan nanti kita buat kenduri doa selamat sikit. Mama pun suka nak buat kenduri. Seronok kalau dapat ajak orang datang rumah. Seronok dapat menjamu orang dan berkongsi rezeki. Seronok dapat berkumpul dan mengeratkan silaturrahim. Tapi jangan beria dengan kenduri saja. Walaupun dah khatam Quran, membaca Al-quran masih perlu diamalkan pada setiap hari. Al-quran perlu difahami isinya sebaiknya dengan mengetahui maksudnya juga. Semoga Al-quran sentiasa menjadi pedoman hidup kita setiap masa.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Tuesday, March 5, 2013

Gambar..

Assalamualaikum..

Hari jumaat tu ada sesuatu yang mengusik hatiku bila aku tengok wallpaper skrin hp en.asben. Bukan gambar aku di situ. Bukan juga gambar anak-anak. Tapi gambar kedua emak dan ayahnya. Aku tak tahu  macam mana nak beritahu dengan tepat perasaanku saat itu. Tapi bagi aku ianya sangat sweet.. Subhanallah.. ada perasaan yang indah di dalam hatiku. Aku tahu, gambar dan situasi tersebut bukanlah pengukur kasih sayang. Bukan juga lambang anak yang budiman. Kasih sayang dan tanggungjawab seorang anak itu adalah lebih dari sekadar itu.

Aku tak pernah ingat apa cita-citaku yang sebenar waktu zaman remaja dulu. Tapi aku selalu ingat apa cita-citaku untuk memilih pasangan hidup. Perkara paling utama yang aku pahatkan ialah aku tidak mahu berkahwin dengan lelaki yang keluarganya tidak boleh menerima aku. Aku dah setkan awal-awal, kalau keluarga lelaki itu tak boleh menerima aku dan keluargaku, aku lebih rela mengundur diri. Aku tahu aku tak boleh nak melaluinya. Aku tahu aku tak kuat untuk menghadapinya. Aku tak mahu membuang masa mempertahankan cintaku bila aku tidak menjadi pilihan kedua orang tuanya.

Aku mahu berkahwin dengan restu keluarga. Aku tidak mahu suamiku jadi anak derhaka dan melukai hati kedua ibu bapanya bila berkahwin dengan orang yang tidak direstui. Bila dah berkahwin, sebagai anak perempuan tanggungjawab kita ke atas orang tua kita sudah lepas. Tapi bagi anak lelaki, tanggungjawab itu tetap perlu digalas. Jadinya aku mahu suamiku dapat mengalas tanggungjawab itu sebaiknya selepas kami berkahwin. Aku tak mahu disebabkan aku, suamiku melupakan tanggungjawabnya kepada emak dan ayahnya. Sebagai isteri, menjadi tanggungjawabku untuk memastikan semua itu. Aku tahu, tanpa restu aku tak mampu untuk melakukannya.

Menjadi impianku untuk berbakti kepada emak dan ayahku. Disebabkan itu, aku juga mahukan suamiku  berbakti kepada emak dan ayahnya. Sebagai isteri, tentulah aku mahu aku dan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan suami. Tapi sebagai menantu, aku lebih mahu kedua mentuaku menjadi keutamaan suami. Bila suami tahu tanggungjawabnya kepada orang tuanya, insyaAllah dia juga akan dapat menjadi suami yang baik untuk kita. Juga menantu yang baik untuk kedua orang tua kita dan ayah yang baik untuk anak-anak kita.

Alhamdulillah.. Allah mengurniakan jodoh yang baik untukku. Allah berikan mentua yang baik untukku. Soal jodoh kita tak boleh cakap. Hari ini kita bahagia. Esok lusa siapa tahu? Tapi walau apa pun aturan Allah untuk jodoh kita, aku tahu bersyukur itu sangat perlu. Aku juga tahu, sebelum apa-apa berlaku, kita perlu berusaha untuk membina bahagia. Sentiasa berdoa yang baik-baik untuk kebahagiaan kita. Ada rezeki, beberapa tahun nanti anak-anakku akan melalui alam rumahtangga. Aku harap, sedikit tips ini dapat membantu anak-anak untuk membuat pilihan yang betul. Cinta itu memang membahagiakan. Tapi cinta dengan restu emak dan ayah lebih membahagiakan.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Friday, March 1, 2013

Apa ajelah.. ada aje kan...

Assalamualaikum...

Salam jumaat yang barakah untuk semua.

Aku adalah anak sulung emak dan ayah. Cucu sulung untuk kedua belah keluarga. Anak saudara sulung untuk kedua belah makcik dan pakcik. Sewaktu kecil aku sentiasa dapat lebih perhatian. Bukan perhatian apa. Cuma perhatian sentiasa ada orang yang rajin nak melayan. Bukan aku terlebih manja pun. Tapi selalu dimanjakan oleh mereka semua. Bila sejak kecil dilayan begitu, sampai besar pun aku sudah terbiasa begitu. Kiranya ini semua bukan salah aku. Tapi keadaan yang buatkan aku jadi begitu. (Keadaan pulak yang salah bila habit buruk dah sebati dalam diri kan ha..ha.. memang alasan lebihlah aku ni he..he..)

Tapi sekarang ni cuma dengan en.asben sajalah kalau nak dapatkan lebih perhatian dan dimanjakan pun. Takdelah orang lain nak layan aku lebih-lebih macam dulu. Kadang tu bukannya aku sengaja atau buat-buat. Perkara itu macam datang sendiri. En.asben memang melayan tapi kadang-kadang dia pun nampak tak boleh tahan ha..ha.. Macam malam tadi, masa baring tengok tv terasa gatal di belakang badan. Bukannya aku tak sampai nak garu sendiri. Tapi nak juga minta en.asben tolong garukan. Sanggup bangun dan pergi dekat dengan en.asben dan minta dia tolong. Tak banyak cakap en.asben tolong garukan macam biasa.

Lepas tu adalah lagi yang rasa tak kena dan minta en.asben tolong handle. Padahal boleh aje aku nak buat sendiri. Tapi takkkk... nak juga perhatian dan dimanjakan. Masa ni en.asben dah tersenggih-senggih aje dah. Tapi dia layankan juga. Elok aje aku dah baring, terasa ada habuk ke apa masuk mata. Terpaksalah bangun balik untuk minta en.asben tiupkan mata pulak. Tengok aku bangun balik en.asben dah tergelak-gelak dan tergeleng-geleng sendiri. Dengan muka tak puas hati dia terus sound.  Apa ajelah u ni... ada aje kan.. Ha..ha.. waktu tu aku pun dah ikut tergelak sama. Setiap kali memang macam tu. Tapi aku masih terus macam tu. Anyway.. terima kasih my luv..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.