Nuffnang

Monday, September 30, 2013

Sibuklah...

Assalamualaikum...

Hari ni pergi ke Pejabat dengan rasa letih lesu. Pagi-pagi tadi adalah pulak hal yang argggghhhh.. nak cerita pun letih. Terus rasa letih lesu sedia ada jadi bertambah-tambah hu..hu.. Minggu lepas aku agak sibuk sepanjang minggu. Dari isnin hingga jumaat Is menduduki peperiksaan PSRA (Penilaian sekolah agama). Han pula nak exam untuk keyboard. Jadinya sepanjang minggu aku memang sibuk beri lebih perhatian pada mereka. Hari isnin juga aku kena jadi pengacara majlis untuk majlis perhimpunan bulanan jabatan. Hari khamis terlibat sebagai urusetia sambutan  untuk 60 minit bersama Ustaz Don di Karnival Usahawan Desa (KUD) 2013. Memang pukul 12 tengah malam baru sampai rumah. 

Hari jumaat kena jaga booth pameran di KUD. Masa di booth pameran ada kisah menyibuk pulak he..he.. Petang tu ada lintas langsung Berita TV3 di booth kami bersama Pengarah. Aku dah habis sesi bertugas masa tu. Sementara tunggu nak balik aku lepak kat tepi tengok kawan-kawan main congkak. Elok aje tengah lepak-lepak abang cameraman tv3 suruh duduk elok-elok sebab nak masukkan sekali dalam berita. Ha..ha.. apalagi.. dari muka berlengas semua orang terus sapu bedak dan calit lipstik sikit-sikit. Siap masing-masing call mak ayah suruh tengok berita pukul 4 (ni abang cameraman yang cadangkan). Padahal muka keluar kat berita tv cuma seminit aje ha..ha..

Balik dari jaga pameran, lepas maghrib tu terus pergi ke majlis pernikahan sepupu di Setapak. Walaupun 'setapak' tapi bertapak-tapak juga baru nak sampai he..he.. Sampai rumah semula pun pukul 12 tengah malam. Hari sabtu majlis persandingan di dewan pula. Sibuk menolong sikit-sikit aje. Tapi sibuk makan itu dan ini dan bergambar pose begitu dan begini yang lebihnya he..he.. Hari ahad majlis di pihak lelaki. Lepas itu ini, petang baru sampai rumah. Ingat nak landing aje tapi aduhai.. mata tak boleh tahan tengok rumah yang dah berapa hari tak sapu.

Lepas solat asar terus pegang penyapu. Siap menyapu dari atas sampai bawah sampai dapur sampai tempat kucing dan luar pagar baru rasa lega. Dah settle semua baru rasa flat sangat. Badan pun dah mula sakit-sakit penangan seminggu yang sibuk. Tapi walaupun sibuk, letih dan lesu tapi ALHAMDULILLAH semuanya berjalan dengan lancar. Paling penting hati rasa gembira bila dapat jalankan tugas dengan baik. Dapat penuhi undangan dan merai orang. Paling best dapat bersama dengan keluarga, saudara mara dan kawan-kawan.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Friday, September 20, 2013

Jane Fonda...

Assalamualaikum..

Sejak 4 tahun ni, berat badan telah naik dengan jayanya. Impian nak kembalikan berat badan yang ideal tu memang ada. Tapi semangatnya tak berapa nak ada he..he.. Kalau ada pun setakat hangat-hangat taik ayam. Lebih-lebih lagi bila berat badan tu belum melebihi angka yang aku gerunkan. Lagilah aku rileks ha..ha.. Bila berat badan naik, memang selalu rasa cepat letih dan sakit-sakit badan. Kelmarin sebelum tidur, aku sakit-sakit badan lagi. Rasa lega sikit bila En.asben tolong urutkan. Tapi kena tahanlah telinga dengar en.asben bebelkan aku yang liat sangat nak exercise. Sebab itulah selalu sakit-sakit badan.

Bila dah kena ceramah sebelum tidur, motivasi nak kembali bersenam tu mula datang. Kurus tu memanglah nak tapi yang lebih utama nak kesihatan yang baik dan tak nak sakit-sakit badan lagi. Bila dah bermotivasi, semangat pun jadi berkobar-kobar. Bangun aje tidur pagi tu lepas ucap Alhamdulillah sebab Allah masih panjangkan umur, terus rasa nak bersenam. En.asben dalam bilik air waktu tu. Sementara nak tunggu en.asben siap mandi untuk aku ambil wuduk aku pun buat senaman dulu. Memang buat betul-betul selama 15 minit sepanjang En.asben berada dalam bilik mandi. 

Memang terangkatlah kening en.asben bila dia keluar bilik air tengok aku tengah beria buat senaman. Siap tegur lagi.. Ini Jane Fonda ke apa ni? He..he.. mana taknya, bersenam dengan baju tidur! Memang nampak macam Jane Fonda lah kan ha..ha..  Seharian tu aku rasa cukup segar kesan dari bersenam, Alhamdulillah. Tapi semalam, kaki aku dah rasa sakit-sakit. Ini kesan dari dah lama tak bersenamlah juga. Pulak tu, baru nak mula balik aku dah buat dengan bersungguh-sungguh. Mana tak sakit kan? Aduhai.. tersiksa nak naik tangga semalam. Nak jalan pun rasa nak seret aje kaki. Ishh.. tak Jane Fonda langsung he..he..

Salam hormat untuk semua. Insya-Allah, semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Wednesday, September 18, 2013

Ice Skating @ Sunway Pyramid..

Assalamualaikum..

Cuti 3 hari pergi bercuti ke mana? Kami sekeluarga tak ke mana-mana. Hari Ahad ada kenduri kahwin di Shah Alam. Emak balik kampung. Adik aku bawak anaknya bercuti ke Melaka. Adik yang seorang lagi kerja. Jadinya kami sekeluarga ajelah yang pergi untuk wakilkan yang lain. Alhamdulillah, dapat juga bertemu dengan saudara mara yang dah lama tak jumpa. Bila pergi kenduri kahwin keluarga, selalu rasa excited nak jumpa saudara mara dari nak tengok pengantin. 

Dah alang-alang nak ke Shah Alam, terus kepala ni terfikir nak bawa anak-anak pergi skating kat Sunway Pyramid pulak lepas kenduri. Selalu skating kat dalam rumah aje. Kali ni nak bagi rasa skating atas ais pulak. Dari rumah lagi anak-anak dah excited. Habis aje kenduri terus redah Sunway Pyramid. Nak cari parking aje dah satu bab he..he.. Punyalah banyak kali kena pusing. Sebab nak bawa anak-anak pergi skating, en.asben cool aje cari juga parking. Kalau tak dah tentu cepat-cepat dia ajak balik he..he..

Alhamdulillah, bila dah mahir dengan roller blade nak meluncur atas ais dah tak jadi masalah untuk anak-anak. Harga sekali masuk RM22 seorang. Stokin dan glove lain harga. Nak jimat bawa aje sendiri punya. Hari tu anak-anak memang bawak stokin. Tapi glove terlupa pulak nak bawak. Jadinya terpaksalah tambah RM8 seorang untuk harga glove. So total RM30 seorang. Okeylah tu, janji anak-anak seronok. Mama pun rasa bahagia walaupun terpaksa berbaju kurung moden jalan-jalan kat Sunway Pyramid di hari minggu ha..ha..

 Excited...

 Ceria..

 Enjoy..

 Happy...

 Best..

Syok..

Caring..

 Tak nak balik!!! 

Mini ME @ En.asben sweetheart he..he....

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, September 12, 2013

Cerita RIAK..

Assalamualaikum..

Petang semalam balik dari sekolah Han bercerita tentang pengajaran mengenai RIAK yang dia perolehi di sekolah. Ianya sangat baik dan menarik sehingga aku terasa ingin kongsikan di sini. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat dan kebaikan dari pengajaran tersebut, insyaAllah.

Situasinya begini :

Setiap hari kita memang membaca Al-quran di rumah. Suatu hari ada tetamu yang datang ke rumah kita. Kita nak membaca Al-quran tapi kita bimbang andai kita dianggap riak oleh tetamu kita. Disebabkan itu, kita meninggalkan rutin membaca Al-quran itu.

Dalam tak sedar, perbuatan kita meninggalkan bacaan Al-quran itu adalah riak sebenarnya. Ini kerana, kita membaca Al-quran adalah kerana ALLAH. Bila begitu mengapa kita perlu hiraukan pandangan orang lain jika bacaan itu kita buat hanya kerana ALLAH. Itu yang terjadinya riak. Astaghfirullahalazim.. 

MasyaALLAH.. Pengajaran tersebut menjawab banyak persoalah tentang riak yang aku sendiri selalu hadapi. Kita selalu rasa kita buat sesuatu perkara kerana ALLAH. Tapi dalam pada itu, kita masih fikirkan apa pandangan orang. Dalam beria mengelak tidak mahu riak, sebenarnya riak itu sudah terjadi.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Wednesday, September 11, 2013

Life is like a box of chocolate..

Assalamualaikum..

Pagi tadi sebelum keluar pergi kerja, en.asben menghulurkan sekotak belgian coklat padaku. Dah bawa balik semalam tapi terlupa nak keluarkan dari beg. Pagi tadi baru teringat so pagi tadilah en.asben bagi coklat tu untuk aku dan anak-anak. Dapat coklat kan, takkanlah nak tengok aje. Haruslah terus buka kotak. Cantik coklat tu bentuk kerang-kerang. Pada firasat aku tentulah ada filling di dalamnya. So anak-anak pun jadi tak tahu nak ambil yang mana sebab takut terkena filling yang tak best. Jadi aku pun mulalah bermadah nak tunjuk eksyen depan anak-anak. Tapi bukanlah guna madah sendiri. Tapi tiru madah dalam movie Forrest Gump yang popular tu...

life is like a box of chocolate you'll never know what you gonna get..

Sekali en.asben menyampuk. Tak payah nak life is like a box of chocolate sangatlah ma.. Coklat tu sama aje filling dia. I dah makan dah. Ha..ha.. Takde filling ke? Beria aje aku bermadah. Beria juga aku dan anak-anak memilih. Sudahnya kami ambil aje coklat yang nampak menawan di mata kami. Tak payah takut kut-kut tersalah pilih. Hmm.. belgian coklat kan. Takde filling pun sedap. Alhamdulillah..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, September 10, 2013

Newbies welcome..

Assalamualaikum..

Hari ini anak aku Is dan anak-anak yang berada di dalam tahun 6 sudah mula menduduki peperiksaan UPSR. Semoga segalanya dipermudahkan untuk mereka. Semoga mereka dapat buat yang terbaik hendaknya. Semoga ada rezeki untuk mereka memperolehi keputusan yang cemerlang nanti, insyaALLAH.

Hari ini aku nak berkongsi berita gembira. Smarty, kucing yang selalu datang ke rumah kami sudah melahirkan 3 ekor anak, pada hari ahad baru ni. Aku yang takut kucing pun jadi cukup geram tengok anak-anaknya yang super cute. Dahlah kecik kenot. Muka innocent pulak tu. Tapi nak pegang tetap tak berani he..he.. Pagi ahad tu, Smarty dah nampak serba tak kena. Habis panel pintu rumah kami dicakarnya. Sakit sangat kut. Lepas tu dia nampak tak tentu arah nak cari tempat selesa untuk dia bersalin. Siap dia menyorok kat dalam almari dan kat bawah kerusi di tingkat atas. Taknak bagi dia 'terbersalin' dalam rumah anak-anak dan en.asben angkat dia letak kat luar. Bila letak kat luar asyiklah  dia terngiau-ngiau. Masa aku baring kat bawah aku nampak di ternganga-nganga kat luar. Kesianlah pulak. Cepat-cepat aku beritahu kat en.asben. 

En.asben pun sediakanlah tempat untuk dia bersalin.  Cari kotak takde pulak. Sudahnya ambil besen mandi anak yang lama, lapikkan dengan kain pelikat lama dan letak Smarty dalam tu. Dalam setengah jam lepas tu aku pun intailah Smarty kat dalam grill luar. Aku nampak Smarty tengah jilat darah kat kaki dia. Aku dah suspen masa tu he..he.. Tapi bila nampak anak dia terus aku terjerit-jerit suka. Serius, aku rasa seronok sangat. Alhamdulillah.. Smarty dah selamat melahirkan. Terus panggil satu rumah untuk raikan bersama. Tapi sebab rasa takkanlah anak dia seekor aje kami pun biarkan Smarty untuk proses kelahiran yang seterusnya.

Aku pun naik lepak kat atas. Sekejap lepas tu Az melaporkan dengan penuh excited, Smarty dapat anak lagi! Okey, kita orang berlari turun tengok. Lepas tu tinggalkan Smarty balik. Sekejap lagi, Az laporkan lagi yang Smarty dapat anak lagi. Kita orang pun sakan datang tengok lagi (he..he.. gigih Az temankan Smarty bersalin). Kiranya pagi ahad tu memang meriah rumah kita orang. Terasa macam dapat cucu pun ada dia punya teruja tu he..he.. Tengah hari tu kita orang keluar pergi ambil Is kat tempat tuisyen. Masuk aje kereta Az melaporkan pada abangnya yang Smarty dah bersalin. Excitedlah Is siap tak sabar-sabar nak balik. Tapi kita orang dah plan nak bawa dia pergi makan-makan dulu. Tapi bila tanya dia nak makan apa, terus dia cakap taknak makan apa-apa he..he.. punyalah excited. Padahal Is dengan makanan macam tak dapat dipisahkan. Tapi sebab Smarty dan anak-anaknya, Is tak heran langsung nak makan. 

Dua hari ni port anak-anak melepak ialah kat tepi besen Smarty. Aku yang si takut kucing ni pun sibuk dok mengendeng terintai-intai sama he..he.. Suka nak tengok tiga beradik yang loving dan manja tu. Asyik peluk-peluk aje. Ya-ALLAH comel betul. Terima kasih Allah kerana meminjamkan Smarty dan anak-anaknya untuk kami. Alhamdulillah, kami rasa seronok dengan kehadiran mereka.

Smarty with the 3 new born babies...

Sian Smarty.. letih dia lepas bersalinkan 3 ekor anak...

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Friday, September 6, 2013

Usaha, doa dan harapan...

Assalamualaikum..

Rabu lepas adalah hari terakhir rutin Is menghadiri kelas tuisyen. Minggu hadapan, tiada lagi kelas tuisyen yang akan dihadiri. Ahad ini ada satu lagi kelas untuk tips akhir. Selepas itu tiada lagi rutinku menghantar Is ke kelas tuisyen untuk tahun ini. Bila dah biasa terasa sedih pula untuk meninggalkan rutin tersebut. InsyaAllah, selasa depan 10 Sept 2013 Is dan semua pelajar darjah 6 akan menduduki peperiksaan UPSR. Semoga segalanya dipermudahkan dan akan berjalan dengan lancar hendaknya. Sekarang ini rasanya, aku yang lebih berdebar dari Is sendiri he..he.. Sebab Is nampak sangat rileks. Tapi aku dah gabra siap tulis entry ha..ha.. 

Setahun ini aku banyak update tentang perkembangan pelajaran Is. Jadinya sebelum dia menduduki peperiksaan ni aku nak update lagi untuk bacaan aku dan Is nanti-nanti. Alhamdulillah.. walaupun Is turun dua kelas dari kelas pertama tahun ini, aku dapat lihat usaha dia untuk memperbaiki diri. Tunjuk ajar dan galakan dari guru-gurunya sangat aku hargai. Dalam main-main, adakalanya dia nampak bersungguh juga. Sebagai ibu, bebel tetap kena bebel bila suruhan dan ingatan saja seperti tak jalan. (Bebel suruh belajarlah). Bebel aku agar dia tidak terus terleka. Tapi minggu ini, atas nasihat en.asben aku sudah menghentikan bebelanku he..he.. Sudah-sudahlah tu kan. Kami tidak mahu memberi tekanan kepada Is. Namun doa dan kata-kata rangsangan tetap terus berjalan.

Tahun ini ada kenaikan markah dalam keputusan peperiksaan Is. Aku boleh kata keputusannya lebih baik dari tahun lepas. Tapi ianya masih tak konsisten untuk setiap mata pelajaran. Ada yang bulan lepas naik, bulan ni turun. Bulan lepas turun, bulan ni naik. Waktu peperiksaan penggal Is dapat 3A 2B. Waktu percubaan dia dapat 1A 4B. Untuk peperiksaan terakhir minggu lepas Is dapat 4A 1B pula. Alhamdulillah.. aku sangat berpuas hati dengan setiap keputusannya sebab aku tahu dia dah berusaha. 

Sebagai ibu, tipulah kalau aku kata aku tak harap anak aku dapat keputusan yang cemerlang. Sebagai pelajar, tipulah kalau Is kata dia tak nak dapat keputusan yang baik. 5A sudah pasti menjadi target aku, target guru-guru dan target Is sendiri sebagai pelajar. Dalam setiap perkara target mesti tinggi. Usaha kena lebih. Doa kena banyak. Usaha, doa dan harapan kena seiring. Bagaimana keputusannya itu rezeki masing-masing. Apa juga keputusannya nanti kena terima dengan hati yang terbuka. Apa pun keputusannya itulah rezeki kita. Jika cemerlang, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, Alhamdulillah juga. Pastinya ada hikmah dalam setiap perkara. Redha itu sangat perlu. 

Doaku semoga anakku Is dan semua pelajar tahun 6 akan dapat menjawab peperiksaan UPSR mereka dengan baik. Semoga dimurahkan rezeki mereka untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Semoga diterangkan hati mereka, semoga ditajamkan minda mereka, semoga dicerdikkan akal fikiran mereka. Semoga direzekikan mereka dengan kefahaman, jauhkan mereka dari melakukan kesilapan dan kelalaian. Sihatkanlah tubuh badan mereka dan berikanlah ketenangan kepada mereka. Semoga mereka semua akan mendapat 5A dalam UPSR dan menjadi anak soleh yang berakhlak mulia, insyaALLAH. Tolong doa-doakan sama ya. Terima kasih.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, September 5, 2013

R. Aulad dan Alphard...

Assalamualaikum...

R.Aulad ialah nama sekolah agama anak-anakku. Pada mulanya hanya Han seorang yang bersekolah di sana. Kemudian selepas Is masuk sekolah, dia juga bersekolah agama di situ. Bila Az masuk sekolah, dia juga masuk ke sekolah agama itu. Daripada seorang kepada dua. Kemudian menjadi tiga orang. Selepas itu dari tiga orang kembali menjadi dua selepas Han masuk ke sekolah menengah. InsyaAllah, di tahun hadapan, tinggal Az seorang saja yang akan bersekolah di sana untuk 3 tahun lagi sebelum dia masuk ke sekolah menengah. 

Kalau ikutkan kepuasan, memang aku berpuas hati bila menghantar anak-anakku bersekolah agama di situ. Lebih senang hati bila sekolah tersebut terletak berhadapan dengan rumah. Disebabkan itu, kesemua anak-anakku dihantar ke sekolah tersebut. Bila disebut tentang jasa dan budi, rasanya yuran bulanan yang dibayar tidak setanding dengan nilai ilmu yang anak-anak aku perolehi. Sekolah R.Aulad serta kesemua ustaz dan ustazahnya menyumbang begitu banyak jasa untuk  kecemerlangan akedemik dan sahsiah diri anak-anak. Terima kasih banyak aku ucapkan.

Beberapa hari lepas sewaktu di dalam kereta, aku memasang telinga dengan cerita anak-anak. Abang, dalam banyak-banyak kereta, kereta apa yang paling besar? Soal Az. Alphard... Jawab Is. Salahnya. Kereta yang paling besar, Vellfire.. Sambut Az.  (Jawapan anak-anak di sekolah rendah tentulah apa yang berada di dalam pengetahuan mereka saja). Eleh.. Alphard la jugak tu. Is pula taknak mengalah. Bb tahu ke kereta Alphard tu yang mana? Soal Is. Tahunya.. Jawab Az. Kereta Alphard tu yang macam mana? Soal Is. Kereta Alphard tu macam kereta Ustazah N.. Jawab Az.

Aku yang mendengar pun terus menyampuk. Hah... Ustazah N dah pakai Alphard. Wah.. bagusnya. Han pulak mencelah. Dah lamalah ma, mama tak tahu ke? Okey, memang aku tak tahu. Aku memang selalu nampak kereta Alphard putih yang baru  di depan sekolah agama tu. Tapi aku tak pernah ambil tahu pun siapa pemiliknya.  Sekarang ini bila aku tahu siapa pemiliknya, aku jadi sangat teruja. Alhamdulillah.. aku tumpang seronok bila Ustazah N sudah memiliki kereta baru yang besar.

Selama beberapa tahun ini, rasanya dekat 10 tahun kut, Ustazah N (Pemilik sekolah tersebut) hanya memandu kereta wira. Jadinya bila beliau sudah memandu kereta baru yang besar pastinya aku tumpang suka. Aku bukannya apa, aku seronok dengan kejayaan orang melayu sepertinya. Lebih-lebih lagi bila beliau nampak bersungguh dengan setiap apa yang diusahakan. Dari satu sekolah agama, sekarang ini Ustazah N sudah memiliki tiga cawangan lain. Sekarang beliau sudah memiliki satu nursery centre dan satu tadika juga. Alhamdulillah, perniagaannya semakin meningkat dan berkembang.

Satu perkara yang membuatkan aku seronok bila orang seperti Ustazah N berjaya dan dimurahkan rezekinya ialah kerana sikapnya yang suka merai dan menjamu orang. Terutamanya merai para pelajar dan ibu bapa. Hubungan dengan pelajar dan ibu bapa sangat dijaga sebaiknya. Majlis dan acara kecil pun akan dirai penuh meriah. Boleh dikatakan, dalam setiap majlis yang dianjurkan pastinya ada disediakan makan-makan. Hari sukan, disediakan makan. Hari penyampaian hadiah pun disediakan makan juga. Majlis berbuka puasa dan majlis hari raya memang tak pernah tinggal pada setiap tahun. Tapi yang paling aku rasa beliau beria mahu merai ialah bila pada hari mengambil dan menandatangan report card pun disediakan makan-makan juga.

Tahu tak macam mana perasaannya bila datang untuk ambil report card anak yang cuma duduk 5 minit berjumpa dengan ustaz dan ustazah tapi kemudiannya dijamu dengan juadah yang seperti majlis hari raya? Tentulah terasa benar yang diri kita dirai kan. Walaupun terasa segan juga nak makan. Tapi bersungguh ibu bapa dijemput untuk makan dahulu sebelum pulang. Disebabkan itu, aku rasa sangat seronok bila orang seperti beliau juga semua ustaz dan ustazahnya berjaya dan dimurahkan rezeki. Doaku, semoga Ustazah N dan semua ustaz dan ustazah di R.Aulad akan terus dimurahkan rezeki dan berjaya di dunia dan akhirat. 

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care & have a nice day!

Wednesday, September 4, 2013

Sabun Taharah untuk gatal-gatal kulit..

Assalamualaikum..

Pernah dengar sabun Taharah? Rasanya tentu ramai yang pernah dengar dan kenal dengan sabun taharah ni. Sabun yang digunakan untuk sertu. SERTU??? Ya.. sertu. Aku pun baru tahu yang sertu adalah perkataan yang betul untuk kita gunakan. Bukannya samak. 

SAMAK
1. Samak ialah menyucikan sesuatu daripada kulit binatang dengan menggunakan bahan-bahan yang bersifat tajam (peluntur) seperti tawas, bahan kimia dan sebagainya.
2. Bahan-bahan tersebut dapat menanggalkan dan menghilangkan semua kekotoran dan lendir yang mengandungi kuman*kuman penyakit yang melekat pada kulit binatang tersebut.

Sabda Rasulullah S.A.W.: Maksudnya: Setiap kulit yang disamak menjadi bersih. (Riwayat Muslim)

SERTU
1. Sertu ialah menyucikan sesuatu daripada najis mughalazah iaitu anjing, babi dan keturunannya.
2. Najis Mughalazah hendaklah disuci dengan membasuhnya menggunakan air mutlak sebanyak enam kali dan satu kali dengan air tanah.
3. Menyucikan najis mughalazah dengan menggunakan tanah bertujuan untuk menghilangkan kuman-kuman penyakit yang terdapat pada badan binatang najis mughalazah. Mengikut ilmu kedoktoran, kuman-kuman penyakit yang terdapat pada najis mughalazah tidak dapat disucikan melainkan dengan menggunakan tanah.

(Sumber : Forum mengenai samak dan sertu)

Walaupun sabun Taharah digunakan untuk sertu tapi ianya juga sangat elok untuk rawatan masalah kulit. Aku bercakap dari pengalaman aku sendiri. Alhamdulillah, masalah gatal-gatal kulit terus hilang setelah aku menggunakan dua buku sabun taharah. Kesannya memang agak lambat. Namun ianya menjadikan kegatalan kulit terus hilang dan Alhamdulillah tidak lagi kembali.(Sehingga kini aku masih terus menggunakannya). Harganya cuma RM5.90. Murah kan. Tapi hasilnya sangat memuaskan. Ianya juga boleh di dapati di kebanyakan farmasi. 

Kepada sesiapa yang mempunyai masalah kegatalan kulit, bolehlah mencubanya. Mana tahu ianya juga sesuai untuk merawat kulit korang seperti mana ianya sesuai untukku. Sekarang ini, setiap kali aku melihat kulitku, aku sendiri jadi tidak percaya yang aku pernah mengalami kegatalan kulit yang agak teruk. Alhamdulillah.. aku dah jumpa penawarnya. Itu yang terasa nak berkongsi di sini. Kiranya aku antara pengguna produk sabun Taharah yang berpuas hati.
from GOOGLE..
Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!