Nuffnang

Wednesday, January 29, 2014

Percutian ke Bali 2014..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. percutian aku dan en.asben ke Bali pada minggu lepas telah berjalan dengan lancar. Alhamdulillah.. walaupun nyaris-nyaris tertinggal flight tapi  rezeki untuk ke Bali masih menyebelahi kami. Syukur.. Terima kasih ALLAH. Sebelum pergi memang aku banyak membaca blog orang lain tentang percutian ke Bali. Dalam banyak-banyak tu, banyak juga yang aku terbaca kisah mereka yang terlepas penerbangan. Tak sangka, aku juga terpaksa melalui kisah yang sama hu..hu.. Ketika mengurut dada di tempat duduk di dalam pesawat aku beritahu pada en.asben, macam kena sumpah pulak sebab I banyak sangat terbaca kisah orang tertinggal flight nak ke Bali he..he.. dan en.asben pun membalas balik dengan jelingan.. Hah.. bacalah lagi ha..ha.. Dapat juga naik flight bolehlah gelak-gelak kan. Kalau tak? Hurmmm.. Tak tahu kenapa, sejak dalam teksi lagi aku dah terfikir-fikirkan perancangan seandainya kami terlepas penerbangan. Ketika melalui kedai Carlo Rino, aku dah terfikir, kalaulah kami terlepas flight memang akan aku habiskan duit belanja yang kami bawa untuk ke bali di kedai Carlo Rino tu he..he.. Alhamdulillah.. duit yang aku bawa itu dapat aku belanjakan di Bali. Perjalanan ke Bali hanya mengambil masa 3 jam. Waktu di Bali sama dengan Malaysia. So senang nak tengok jam.

Supir di Bali memang sangat superb.. Alhamdulillah. Paling best harga perkhidmatannya murah. Dalam RM90 untuk perkhidmatan dari pagi hingga ke malam pada aku memang cukup berbaloi. Paling best supirnya bagus sekali. Dari pembacaan memang kebanyakan yang bercuti ke Bali memberi pujian kepada supir-supir di Bali. Disebabkan itu aku jadi tidak ragu-ragu untuk menempah perkhidmatan supir di Bali dengan lebih awal lagi. Dengan mengambil contact pertama yang aku jumpa di internet aku terus menghantar e-mail kepada mereka. Paling best, tak sampai 10 minit, e-mailku sudah mendapat  balasan. Bagus betul kan. Untuk supir di Bali, kami menggunakan perkhidmatan Yanto Bali Tour. Alhamdulillah.. Yanto ni orang islam. So, senang sikit bab nak cari tempat solat dan makanan halal. Kalau ada sesiapa yang memerlukan perkhidmatan supir di Bali bolehlah menghubungi Yanto di email ytobalitour@gmail.com. Sehari sebelum berangkat ke Bali, Yanto ada call untuk confirmation supaya mereka dapat datang jemput di airport. Bayaran tambahan untuk mengambil kita di airport cuma dalam RM15 aje. Boleh sangatlah tu sebab tak perlu nak pening mencari teksi. Paling best ada orang dah siap tunggu dengan tanda nama kita ketika di airport. Barulah terasa macam pelancong ha..ha.. (Walaupun pening juga nak cari orang yang pegang nama kita sebab ramai sangat pak-pak supir yang menunggu di luar tu.)

En. asben with pak supir kami, Rizal (adik Yanto). Kenderaannya Toyota Avanza. Memang selesa sangatlah untuk kami berdua. Sepanjang jalan Rizal memang pasang radio. Hari pertama tu dia bertanya pada en.asben, tak apa ke bang kalau pasang radio sepanjang perjalanan? Kami jawab eh.. okey saja. Lagu-lagu indonesia kan best-best. Paling best radionya tak banyak iklan. DJnya pun tak bercakap-cakap. Terasa macam dengar CD aje radionya. 

Datoq & Daten.. 
Ada supir bolehlah aku feeling jadi mem kejap ha..ha..  Aku booking flight and hotel dari Air Asia. RM700 aje untuk hotel dan flight pergi balik untuk 2 orang. Pada aku harga tu dah berbaloi sangat. (Sebab belanja di Bali saja dah lebih dari harga pakej tu). Tapi ada juga kawan aku yang dapat pakej macam tu dengan harga yang jauh lebih murah. So, kalau nak berjimat, bolehlah memilih flight and hotel dari Air Asia.  Percutian kami hanya 3 hari 2 malam. So aku memang pilih-pilih tempat yang kami betul-betul nak pergi tanpa membuang masa. Alhamdulillah.. sempat juga kami pergi ke tempat-tempat yang aku nak sangat  pergi di Bali dalam 2 hari tu. Hari pertama sampai Bali dah malam. So kami hanya ada 2 hari penuh saja untuk berjalan-jalan di Bali. 

All Black..
Pergi berdua aje kan. So, ini saja beg yang kami bawa. Senang.. semua boleh bawa masuk dalam flight. Tapi yang payahnya tak boleh nak shopping banyak-banyak. Dapatlah membeli souvenir untuk keluarga di Kintamani dan t-shirt anak-anak seorang sehelai, kekacang dan kopi di Kedai Agung Bali. Beli juga lulur mandian. Tapi sampai kat kastam di airport kena buang sebab tak boleh bawak naik flight hu..hu.. nasib baik murah. Taklah terkilan sangat.


Tempat pertama yang kami pergi ialah menonton  Barong Dance. Pada aku menariklah juga persembahannya. Unik dan kelakar. Tapi adalah juga mat-mat salleh yang angkat kaki sebelum persembahan berakhir. Tiket masuk untuk menonton Barong Dance ni ialah IDR 100K seorang (dalam RM30).


Selepas tengok Barong Dance kami ke Kintamani pula. Dalam perjalanan kami singgah di kedai pembuatan barangan silver. Cantik-cantik dan geram-geram dibuatnya. Tapi aku bukannya pemakai aksesori yang tegar. So, aku lupakan saja hasrat nak membeli tu agar tak membazir. En.asben aje yang membeli sebentuk cincin silver. Selepas itu kami singgah ke kedai lukisan pula. Pun cantik-cantik dan geram-geram juga aku tengok. Untuk kenangan kami belilah 2 keping lukisan kecil yang aku dan en.asben sama-sama berkenan. 


Di Kintamani udaranya sejuk sikit sebab ianya berada di kawasan tanah tinggi. Kami makan tengah hari di restoran yang terdapat di situ. Makan sambil mengadap Gunung Berapi yang sudah tidak lagi aktif.  Restoran tu menghidangkan menu buffet. Tapi masuk-masuk aje mata kami dah terpandangkan makanan seperti ini di meja orang lain yang nampak macam sedap. So, kami batalkan niat nak makan buffet dengan memesan makanan ini. Rasanya biasa-biasa saja. Cuma satey udang tu saja yang mabeles. Elok saja kami masuk ke restoran, hujan turun dengan lebatnya. Sesudah kami menunaikan solat jamak zohor dan asar di restoran tersebut barulah hujan berhenti. Alhamdulillah.. syukur.

Tegalalang Rice Terrace..  


Dalam perjalanan turun dari Kintamani nak ke Tegalalang tu hujan kembali turun. Aku dah rasa frust juga sebab kalau hujan tak dapatlah kami singgah ke Tegalalang ni. Supir memujuk kata kalau dari dalam kereta pun masih boleh ambil gambar he..he.. Tapi aku tak putus-putus berdoa agar hujan cepat berhenti. Alhamdulillah, ketika kami sampai di Tegalalang hujan sudah berhenti. Dapatlah aku bergambar di situ. Tapi tak juga turun ke bawah sebab malas ha..ha.. Lagipun pemandangan dari atas ni saja dah sungguh mengasyikkan. Memang aku jadi leka dibuatnya. Subhanallah.. sangat indah. 


Selepas puas dengan kenyamanan di Kintamani dan Tegalalang kami terus ke Jimbaran pula. Rata-rata dalam blog yang aku baca mencadangkan untuk merasai pengalaman makan malam di retoran sekitar Jimbaran ini. Kata mereka pengalaman itu sangat berharga. Memang ianya sangat berharga sebab habis jugalah hampir RM300  untuk makan malam kami berdua di sana. Makanannya biasa-biasa saja tapi suasananya memang menjadikan pengalaman itu sangat berharga. Sangat romantik rasanya bila berada di situ.


Makan mengadap laut yang luas dengan bunyi hempasan ombak yang kuat..

Melihat matahari yang terbenam dan keriangan pengunjung lain.. 


  Terasa cukup segar dengan hembusan angin yang mendamaikan..


Terasa dicintai.. 


 Merasa mencintai..


Sangat best suasananya I tell you...  


Hari kedua kami hanya pergi ke 2 tempat saja. Tak mahu tergesa-gesa sebab kami nak menikmati pemandangan di tempat-tempat cantik tu. Yang pertama kami ke Tanah Lot.  Sewaktu sampai sudah hampir ke jam 11 pagi. Matahari mula terik. Tapi itu tidak mematikan hasrat kami untuk berposing-posing. Balik Malaysia memang terbakar juga kulit muka aku dengan en.asben he..he..

Subhanallah.. Tanah Lot ni sungguh indah. Aku tak tahu macam mana nak gambarkan dan ceritakan. Nak ambil gambar pun tak terror. So tak dapat nak share keindahan sebenar di Tanah Lot ni.


 Tanah Lot.. 


Selepas menikmati pemandangan yang indah di Tanah Lot kami makan tengah hari di Restoran Ayam Tulang Lunak Malioboro. Sedap bangat dehh.. Dahlah pagi tu aku tak sarapan sebab bubur nasi knorr yang aku bawa tak kena dengan selera aku . Memang aku order nasi tambahlah waktu makan kat sini he..he.. Tapi tak habis pun nasi tambah tu. Ayam pun tak habis makan sebab perut dah kenyang. Memang orang tamak selalu gemuk kan.. ahakkkk he..he..


Yang merah tu ayam tulang lunak masak cili.  Yang kuning tu ayang tulang lunak masak telur masin. Ayamnya memang lembut. Tulangnya pun lembut sebab ayam tu distim terlebih dahulu. Memang licin kami makan ayam yang telur masin tu. Yang cili tu tak habis makan.  


Yang ni di Uluwatu. Subhanallah.. sangat indah  pemandangannya.  


Panas terik masa ni. Tapi terasa seronok juga nak menghayati suasananya yang indah.  


Angin pun kuat di sini. Lagilah best nak melepak. Allahuakbar.. Tengoklah air lautnya yang berwarna hijau kebiruan dan batuan yang indah tu.. Subhanallah..

Ni pose gaya orang gayat he..he.
Tinggi kut kat atas ni. Bila berdiri kat tebing tu serta merta kaki aku rasa mengigil. Ditambah dengan tiupan angin yang kuat. Memang taklah aku nak berdiri. So ambillah gambar sambil duduk. Jadilah.. itu yang termampu. 


 Alhamdulillah.. aku dengan en.asben memang seronok di sini. Pemandangannya buatkan kami rasa sungguh teruja.. 

 Subhanallah.. indah.


 Panas terik dengan tiupan angin yang cukup kuat. Itu yang membuatkan kita masih rasa seronok dan selesa untuk berlama-lama di tengah panas ni. 


Cuti di bali tapi nak feeling-feeling macam di New Zealand ha..ha..  
Memang sepanjang percutian tu aku dengan en.asben banyak sangat melepak, berborak dan melawak. Tapi sepanjang waktu tu memang cerita mengenai anak-anak paling banyak. Paling best en.asben asyiklah mengajuk cara anak-anak dia. Sampai sakit perut aku dok gelak. Rindu sangatlah tu. Alhamdulillah.. ianya sesuatu yang menyeronokkan buat kami. Syukur, diatas peluang dan rezeki yang kami perolehi. Kat sana bila macam nak tersentap atau nak bergaduh terus cakap.. eh..eh.. kita kan tengah honeymoon mana boleh gaduh-gaduh. Bila dah balik sini bila terasa nak sentap terus cakap eh..eh.. kita kan baru balik honeymoon mana boleh gaduh-gaduh ha..ha.. Meraikan cinta katanya.. Semoga berkekalanlah jodoh kami.. insyaAllah. 


Masa kami di Uluwatu ada penganut agama hindu sedang adakan upacara keagamaan di kuil mereka di sana. Semuanya berpakaian putih. Cantik-cantik kut kebaya yang dia orang pakai he..he.. Itu yang aku suka dok perhati tu.



Kami singgah solat jamak asar dan zohor di masjid ni. Masjid ni terletak di kawasan Nusa Dua. Di kawasan ini, masjidnya terletak sederet dengan 3 tempat ibadat yang lain seperti gereja dan kuil.

Selepas singgah berhenti untuk makan malam dan membeli sedikit lagi kekacang di kedai barangan cenderahati, kami dihantar terus ke Airport Ngurah Rai oleh Pak Supir. Baki duit IDR yang ada di tangan kami habiskan dengan membeli coklat untuk anak-anak. Flight kami dijadualkan pada jam 10.05 malam. Tapi delay juga setengah jam. Perjalanan pulang tidak berapa lancar. Rasanya semua penumpang ikut cemas bila ada penumpang lain yang memerlukan bantuan dari pakar perubatan sebaik kapal terbang naik ke udara. Kapal terbang juga asyik bergoyang-goyang kerana keadaan cuaca yang tidak berapa baik. Alhamdulillah.. selamat juga kami sampai ke rumah pada jam 2.45 pagi. Dapatlah tidur sekejap sebelum ke tempat kerja pada pagi tu.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Thursday, January 23, 2014

Tak boleh orang lebih..

Assalamualaikum..

Lama dulu, temanku ada bercerita tentang iparnya yang tidak boleh melihat dia dan keluarganya lebih. Apa yang mereka ada pasti akan disaingi. Disaingi masih boleh diterima tapi bila semua benda mahu ditiru ianya membuatkan temanku berasa tidak selesa. Yang tidak tahan tu, bila ianya sudah ditiru, iparnya akan bercerita pada orang lain bagaikan temanku yang menirunya. Padahal, perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Mana mungkin mereka yang memiliki sesuatu terlebih dulu dikatakan meniru orang yang baru memilikinya kan? Baru ni, ada teman lain yang bercerita tentang birasnya yang tidak boleh melihat dia dan keluarganya hidup senang. Setiap apa yang mereka ada pasti akan didengkikan. Sudahlah tidak merai, malah apa yang mereka ada diperkecilkan pula. Ianya juga membuatkan temanku berasa tidak selesa. 

Semalam terbaca tentang post yang ada persamaan dari seorang teman. Ianya membuatkan aku mahu membicarakan tentang hal ini. Kalau orang luar yang bersikap  tidak elok sebegitu, bolehlah perkara itu kita abaikan. Tapi bila ianya datang dari keluarga sendiri, ianya pasti boleh memberikan tekanan. Ini kerana sejauh manalah kita boleh mengelak dari keluarga sendiri. Pusing-pusing pun pastinya akan bertembung juga. Sudahnya, terpaksa jugalah mengadap stress dan tension.  Oh.. alangkah tak bestnya. Kalau aku ditempat mereka, pastinya aku akan mengalami perasaan yang sama. 

Keluargaku jenis yang selalu suka bercerita dan mengkhabarkan tentang kelebihan dan kehebatan orang lain dengan cara yang pada aku cukup berhemah. Kalau bercerita tentang kejayaan  orang lain, pastinya cerita itu akan diceritakan dengan cara merai seperti ianya kejayaan sendiri. Tak kiralah ayah, emak, makcik, pakcik malah adik beradikku sendiri, kebanyakannya memang begitu. Semuanya kalau bercerita tentang kelebihan orang lain pastinya bagaikan bercerita tentang kelebihan diri sendiri. Sehinggakan kita yang mendengar jadi terasa mahu ikut berkongsi rasa seronok dengan berita itu. Seolah-olah perkara itu adalah kejayaan bersama. Bukan perkara yang akan membuatkan kita rasa tidak senang apatah lagi jadi sakit hati.

Bila sudah diasuh sebegitu, sedikit sebanyak aku juga sudah terbiasa dengan cara itu. Cara itu aku tunjukkan pada anak-anak pula. Bila ada anak-anak saudaraku atau anak-anak temanku yang mendapat kejayaan, aku akan berkongsi berita itu dengan anak-anak dengan rasa teruja untuk sama-sama meraikan kejayaan itu. Anak orang lain yang cemerlang aku dulu yang dah mengalir air mata kegembiraan. Bila anak-anak bercerita tentang kelebihan teman-temannya aku akan tunjukkan rasa kagum dan teruja. Jangankan begitu, kalau ada teman yang membeli barangan baru pun, cerita aku pada en.asben bagaikan barangan baru itu milik aku he..he.. Bagiku, tiada salahnya untuk kita meraikan orang lain. Malah kita akan rasa seronok bila ikut merai. 

Merai juga boleh menghilangkan rasa dengki, benci dan sakit hati. Merai itukan lawannya mengeji. So, daripada mengeji lebih baiklah kita merai. Iya tak? Tak rasa cemburu ke dengan kelebihan orang lain? Hmm.. tipulah kalau aku kata tak cemburu. Orang lain aku tak tahulah. Tapi cemburu itu haruslah bertempat. Kalau kita cemburukan anak orang lain cemerlang, kita pun kena berusaha dengan lebih keras untuk pastikan anak kita turut cemerlang. Kalau kita lihat orang lain maju, kaya dan memiliki segalanya, kita juga kena berusaha dan berdoa untuk sama-sama memperolehi perkara yang sama. Jika dapat, dapatlah. Jika tidak, tak perlu perlekehkan rezeki orang lain. Rasa cemburu yang tidak dikawal juga rasa dengki dan sakit hati jarang akan membuatkan kita memperolehi apa yang orang lain ada. Yang kita akan dapat hanyalah rasa tidak puas hati yang tidak berkesudahan. 

Nak bersaing dengan orang lain, dipersilakan. Sangat bagus kalau mahu bersaing. Tapi bersainglah secara sihat. Bersaing secara positif untuk mengecap target sendiri. Bukan targetnya untuk menandingi orang lain. Lebih penting, bukan  untuk menjatuhkan orang lain. Tiada siapa yang akan marah kalau kita mahu memiliki seperti apa yang  orang lain ada. Yang orang akan marah adalah bila kita selalu rasa tidak senang dengan apa yang orang lain ada. Juga bila kita selalu tidak boleh tengok orang lain lebih daripada kita. Yang itu memang masalah. Belajarlah merai! InsyaAllah, hati akan jadi lebih tenang. Biarlah kita tak memiliki apa yang orang lain ada, biarlah kita selalu kurang berbanding orang lain, biarlah orang lain lebih dari kita. Tidak ada salahnya dengan semua itu. Apa yang salahnya ialah  bila kita sentiasa berasa tidak berpuas hati dengan semua itu. 

Kadang-kadang terasa macam bagus-bagus pula nak nasihatkan orang lain. Kadang-kadang rasa takut pun ada. Entahlah? Setiap kali mahu menulis aku rasa bertanggungjawab. Bukan bertanggungjawab supaya orang mengikut apa yang aku tuliskan. Tapi tanggungjawab untuk aku sendiri mengamalkan apa yang aku tuliskan. Ini kerana aku sebenarnya lebih mahu mendidik diriku sendiri dari mendidik orang lain. Cara orang lain mengajar aku untuk menjadi manusia yang lebih baik. Aku sedar, kekurangan diri masih sangat banyak. Namun kekurangan itu bukan penghalang untuk kita tidak boleh mengajak orang ke arah kebaikan. Semoga kita sama-sama dapat memperbaiki diri, insyaAllah. Yang baik bolehlah ambil sebagai contoh. Yang buruk tinggalkan dan janganlah pula dicemuh. Nak beri nasihat, silakan. Ianya sangat dialukan-alukan. Selagi nasihat itu diberikan secara berhemah, aku rasa sesiapa pun boleh menerima setiap teguran.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, January 21, 2014

Salah gate rupanya..

Assalamualaikum..

Apalagi yang boleh buat kita rasa selesa ketika menunggu flight selain tiba di airport dalam masa 2 jam lebih awal, urusan check-in sudah selesai, tiada dokumen dan barangan yang tertinggal serta sudah  berada di gate menunggu yang betul. Kan?

Sebelum masuk petugas Air Asia sudah mencatatkan nombor gate tempat kami perlu menunggu. Ketika mengembalikan passport dan boarding pass milik aku dan en-asben kepadaku, petugas itu sekali lagi mengingatkan kami, gate 18 ya! Okey, aku ambil maklum. Melihat di boarding pass memang nombor 18 juga yang tertera di situ. 

Tapi.. rupanya informasi yang diberi tidak semestinya tepat. So, berhati-hati ya. Kena check juga info yang tercatat di skrin. Macam kami, diberitahu untuk menunggu di gate 18. Tapi gate yang betul ialah di gate 8! Memang mengeleng petugas di gate 8 bila kami tunjukkan kesilapan makluman tersebut. Mereka sendiri rasa tidak puas hati dan mengakui yang ianya adalah dari kecuaian  petugas.

Sekadar peringatan agar ianya tidak terjadi kepada orang lain. Sebelum terkena baik beringat kan. Lebih baik berhati-hati sebelum rugi bila ditinggalkan kapal terbang disebabkan kecuaian orang lain yang memberikan makluman yang tidak tepat seperti itu. 

Salam hormat hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care & have a nice day!

Thursday, January 16, 2014

2014 tahun penuh harapan..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah untuk pagi yang indah. Pagi ini aku bangun dengan hati yang tenang. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar..  Tiada apa yang akan berlaku tanpa izin dariNYA. Terima kasih ALLAH. Rutin persekolahan anak-anak sudah mula berjalan dengan lancar setelah masuk minggu ketiga persekolahan. Pastinya, itu salah satu penyebab hatiku berasa lapang. Dalam banyak perkara memang hal tentang anak-anak akan sentiasa menjadi keutamaan. Syukur.. segalanya dipermudahkan untuk kami sekeluarga. Terasa baru saja melangkah ke tahun baru. Hari ini kita sudah melewati setengah bulan pertama di tahun 2014.

Sejak 2013, banyak harapan yang aku letakkan untuk tahun 2014. Semua harapan tersebut merupakan impian yang besar untukku. Doaku, semoga harapan dan impianku akan tercapai hendaknya. Namun dalam pada menanam harapan, aku tetap akur yang jika ianya bukan yang terbaik untukku aku redha jika impian itu tidak kesampaian. Aku yakin, ALLAH Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. Dalam pada mahu menikmati segala yang terbaik, harapan perlu tinggi, impian harus menggunung, usaha patut bersungguh dan doa tak boleh kurang. Apa yang penting, setiap amalan perlu istiqamah dan dipertingkatkan. Semoga aku selalu ingat tentang itu, insyaALLAH.

Tahun ini, besar harapanku agar novel keduaku dapat diterbitkan. Besar juga harapanku agar manuskrip ketigaku dapat disiapkan dengan baik dan sempurna. Tahun ini, anak sulungku Han akan menduduki peperiksaan besar yang pertama untuknya di sekolah menengah. (PPMR ke namanya? Aku masih belum pasti). Harapanku agar anakku dan semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan tersebut akan memperolehi keputusan yang cemerlang. Tahun ini, dua orang anakku sudah belajar di sekolah menengah. Menyedari hakikat itu, harapanku agar aku lebih pandai mengurus perbelanjaan agar ada sedikit yang dapat disimpan untuk bekal perbelanjaan anak-anak di peringkat tinggi nanti andai ada rezeki. 

Menguruskan badan memang menjadi harapan tahunan. Tidak mahu mengalah, aku masih ada harapan yang tinggi tentangnya walaupun usahaku ke arah itu adalah antara yang paling rendah peratusannya setiap tahun hu..hu.. Tahun ini aku harap aku akan lebih bersungguh! Well.. azam kena bersungguh kan. Tahun ini juga ada impian yang sangat besar untuk aku dan en.asben. Rasanya untuk yang itu, biarlah kami simpan sendiri buat setakat ini.  Namun dengan rendah hati aku memohon teman-teman untuk mendoakan agar ianya menjadi rezeki untuk kami, InsyaAllah. Yang tertulis disini hanya sebahagian dari harapanku. Pastinya ada lagi yang menjadi harapan besarku walaupun tidak terisi dalam senarai. Semoga setiap harapan dan impian dapat digapai dan mendapat keberkatan.

InsyaAllah.. esok, aku dan en.asben akan pergi bercuti berdua. Ada yang mengusik kata nak pergi berbulan madu he..he.. Namun aku lebih suka menjawabnya sebagai mahu meraikan cinta. InsyaAllah.. tahun ini masuk tahun ke-16 kami hidup bersama. Harapanku agar kami dapat bersama dan bercinta hingga ke syurga, insyaALLAH. Sebelum waktu itu, cinta harus dirai! Untuk percutian ini, tak jauh pun destinasinya. Pergi pun tak lama. Anak-anak pun tak heran nak ikut sama he..he.. Jeles pun tidak ha..ha.. Hotel dah confirm, web check in dah settle, duit dah tukar, ground tour pun baru tadi tourist guidenya menelefon untuk confirmkan kehadiran kami dengan janji akan menunggu kami dengan tanda namaku di airport. Dah rasa teruja??? Hmm.. belum lagi. Masih biasa-biasa saja. Namun percutian ini memang menjadi harapanku sejak 2013. Alhamdulillah.. ada rezeki esok dapatlah aku mencapai impian itu. The power of dream kan.. Ada rezeki, impian dan harapan akan jadi milik kita, InsyaAllah.. Alhamdulillah.. bersyukur itu sangat perlu! 

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang Allah akan sentiasa jadi milik kita. Take care and have a nice day.

Wednesday, January 15, 2014

Goreng keropok ikan pun tak reti...

Assalamualaikum..

Salam Maulidur Rasul untuk semua. Semalam cuti. Bila duduk rumah memang perut akan selalu rasa lapar. Tapi bila hari cuti nak keluar membeli tu memang sangat tak rajin. Jadinya bila tak rajin memang terpaksalah mengigihkan diri juga untuk memasak untuk mengelakkan anak beranak kelaparan he..he.. Tengah hari tu aku dah buat mee kari. Petangnya dah terasa lapar lagi. Teringin pula nak makan jemput-jemput. Waktu ambil tepung dalam almari terpandangkan keropok ikan. Dah terlanjur mengoreng jemput-jemput tu aku gorengkanlah sekali keropok ikan tu selepas itu.

Ketika mengoreng keropok ikan aku teringatkan kisah waktu aku zaman anak dara dulu. Memang aku mengaku yang waktu anak dara aku memang tak reti buat kerja-kerja dapur. Buat kerja-kerja rumah tu memang boleh diharap lagi. Tapi buat kerja dapur errrr.. langsung tak boleh diharap ha..ha..  Setiap kali buat kerja dapur memang selalu tak menjadi. Bila dah takde skill susahlah sikit hasilnya nak menjadi kan. Alhamdulillah.. ada juga orang yang nak masuk meminang he..he.. TQ en.asben. Kalau ikutkan skill kerja dapurku dulu memang aku sendiri tak yakin yang boleh juga aku memasak untuk suami dan anak-anak sekarang ini.

Ada sekali tu sebelum emak pergi kerja dia pesan kalau senang-senang tu gorenglah keropok ikan. Boleh buat makan-makan nanti. So dah habis buat kerja rumah aku pun mengoreng keropok. Tapi waktu tu teringat pula kasut yang tak berbasuh lagi. Jadinya sambil aku mengoreng keropok sambil aku merendam kasut. Sekejap lari ke bilik air. Sekejap lepas tu lari ke kuali semula. Berulang alik ajelah kerjanya. Hasilnya... memang keropok aku hitam-hitam sikit. Tapi taklah rentung ha..ha..

Waktu balik kerja emak tengok keropok-keropok aku gelap semacam aje warnanya. Emak pun tanyalah, macam mana boleh jadi macam tu? Aku pun jawablah yang aku mengoreng keropok sambil merendam kasut. Memang tepuk dahilah emak aku. Along... goreng keropok mana boleh menyambil buat kerja lain. Goreng keropok kena tumpu aje kat kuali sebab kejap aje keropok tu dah kembang dan boleh angkat.. Oh.. gitu ke. Barulah aku tahu. Sejak itu setiap kali mengoreng keropok aku pasti akan teringat kisah itu ha..ha.. Alhamdulillah.. keropok ikan yang aku goreng sudah mengancam warnanya sekarang.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua.  Take care and have a nice day!

Tuesday, January 7, 2014

Tips untuk anak dapat 5A dalam UPSR..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. ini merupakan entryku yang pertama untuk tahun 2014. Semoga pengisiannya dapat memberi manfaat untuk diriku dan orang lain juga. Entry ini sebenarnya untuk bacaanku sendiri kerana aku juga memerlukan tips ini untuk Az nanti. Juga untuk teman-teman yang bertanyakan tips ini dariku (Miza, Taty.. this is for you kalau u all baca entry ni lah). Memang segan sebenarnya nak buat entry ni. Masa taip tajuk tu aku dah malu sendiri. Anak-anak baru dapat 5A dah sibuk nak bagi tips kat orang lain. Aku tahu diri dan aku sendiri tahu yang aku tak sebagus mana. (Aku cuma batch pertama UPSR he..he..) Tapi bila difikirkan semula, apa salahnya kalau aku berkongsi. Mana tahu dengan cara ini anak orang lain juga boleh memperolehi keputusan yang sama seperti anak-anakku. Han dan Is bukan dari pelajar yang konsisten keputusannya. Kejap turun kejap naik.. itu biasa. Tapi bila dah berusaha dan ada rezeki, impian yang besar boleh juga dikecapi.  Aku pun dapat tips dari orang lain. Selainnya dari pengalaman sendiri. Bagi aku ianya cukup berguna untuk aku.  Aku sendiri tak akan rugi apa-apa kalau berkongsi. Kalau menjadi, Alhamdulillah. Jika tidak, mungkin bukan rezeki dan tidak rugi pun untuk kita mencuba. 

Mula dari awal
Di sekolah anak-anakku, sejak dari minggu pertama tahun 6 lagi pihak sekolah sudah memulakan persiapannya. Dari minggu pertama lagi, bacaan surah yaasin diadakan pada setiap hari jumaat. Bila sekolah sudah mulakan persiapannya sejak dari awal, maka aku juga perlu mulakan pemantauanku sejak dari awal. Tak boleh nak harapkan pihak sekolah saja. Ibu bapa sendiri kena mengambil peranan. Macam aku, aku tahu bagaimana pencapaian anak-anakku. Aku juga tahu anak-anakku memang jenis leka dan banyak main. Jadinya aku tak boleh bertangguh untuk membuat persediaan sejak dari awal. Sebab itulah aku nak buat entry ni sebagai entry pertama agar teman-teman dapat mempraktikkannya sejak dari awal juga, insyaAllah.

Tuisyen
Pada aku tuisyen ni penting. Tak kiralah tuisyen di sekolah ataupun di luar. Kena pastikan anak-anak mengikutinya. Setidak-tidaknya, anak-anak kita akan dapat lebih kefahaman bila ada sesi pembelajaran tambahan. Macam aku, anak-anak hanya kami hantar ke pusat tuisyen untuk tahun peperiksaan besar saja. Selain dari tu anak-anak sekadar membuat latihan di rumah. Lagi pula, en.asben memang tak mahu anak-anaknya penat bila perlu mengikuti tuisyen selama bertahun-tahun. Untuk pusat tuisyen juga, pastikan yang pembelajarannya kena dengan anak kita. Ada banyak pusat tuisyen yang bagus. Tapi yang bagus tak semestinya sesuai dengan anak- anak kita. Disebabkan itu, setiap lepas tuisyen aku akan bertanya pada anak-anak bagaimana penerimaan dan pemahaman mereka. Lihat juga keputusan peperiksaan mereka. Meningkat atau menurun. Maksud aku di sini, tuisyen bukan sekadar menghantar anak-anak untuk mengikuti kelas tambahan saja. Tapi kita kena pastikan anak-anak dapat manfaat yang secukupnya dari kelas tambahan itu.

Latihan
Membuat latihan memang perlu diperbanyakkan. Rasanya sejak dari darjah dua aku dah mula beli buku-buku latihan untuk anak selalu buat latihan. Tapi tanpa pemantauan, ianya takkan memberikan sebarang faedah. Di rumah ada berlambak buku-buku latihan yang hanya disentuh separuh oleh anak-anak. Ada juga yang langsung tidak disentuh. (Membara okey.. he..he.. tapi aku tahu, aku pun salah juga. Sibuk membeli dan menyuruh tapi aku langsung tak pantau). Disebabkan itu, ketika di tahun 6 aku tidak lagi membeli buku latihan tambahan. Tapi aku pastikan buku-buku latihan yang aku beli sebelum itu digunakan sebaiknya. Latihan di surat khabar didik Berita Harian juga banyak membantu. Di sekolah anak-anakku, surat khabar didik BH memang diwajibkan untuk para pelajar membuat latihan. Kalau ada kerja rumah memang aku akan pastikan kerja rumah disiapkan terlebih dahulu. Selepas itu, kena buat latihan. Walaupun sikit, latihan perlu juga dibuat hari-hari.

Astro Tutor TV
Untuk aku, Astro Tutor TV juga banyak membantu. Lebih-lebih lagi untuk anak-anak yang liat nak buat latihan. Ini kerana pembelajarannya menggunakan konsep latihan dan penerangan. Di rumahku, rasanya sejak dari januari, memang Astro Tutor TV dah jadi rancangan wajib. (Sampaikan aku kena beli satu lagi dekoder astro sebab satu dekoder tu memang khas untuk Astro Tutor TV sahaja). Anak-anak buka kartun aje aku minta tukar ke saluran Tutor TV. Tak kisahlah anak tengok tv tu atau tv tu tengok anak aku suruh juga mereka pasang Astro Tutor TV tu he..he.. Sebab kalau tak tengok sekali pun masih boleh dengar. Rancangannya juga berulang-ulang, jadinya memang boleh dapat lebih kefahaman. Ramai yang complain bila bil astro naik kan. Jadi, kita ambil manfaat dari kenaikan itu sebaiknya dengan Astro Tutor TV. Untuk UPSR di saluran 601 ya.

Doa
Semua orang tahu yang doa itu senjata untuk orang islam. Jadi gunakanlah sebaiknya. Doa ibu itu kan makbul. So, jangan lupa untuk selalu berdoa agar anak-anak kita cemerlang di dunia dan di akhirat. Doakan anak kita agar memperolehi 5A dalam UPSR. Bukan waktu anak nak periksa saja baru kita berdoa. Tapi sejak dari awal lagi. Selain itu ingatkan juga suami dan anak-anak untuk turut berdoa. Kalau nak minta orang lain untuk sama-sama berdoa pun boleh.  Bila ada orang bertanya, tahun ni anak UPSR kan? Aku jawab ya. Tolong doa-doakan ya. Tak salah kita meminta orang untuk sama-sama mendoakan. Mana tahu doa mereka diterima oleh ALLAH dan anak-anak kita akan dapat keputusan yang cemerlang. Ambil waktu-waktu mustajab untuk berdoa. Ingatkan anak-anak juga. Ketika azan, berdoalah. Ketika hujan lebat, berdoalah. Ketika bermusafir, berdoalah. Disamping berdoa selalu-selalulah sedekahkan surah Al-fatihah untuk anak-anak kita. Jangan lupa untuk mendoakan guru-gurunya sekali.

Solat
Solat jangan tinggal. Kalau berjaya dan cemerlang tapi tak solat pun tak guna juga kan. So solat memang kena jaga. Bukan kata ibu-bapa, anak-anak pun sama. Selain solat wajib, rajin-rajinlah juga untuk bersolat sunat hajat. Yang ini pun bukan ibu bapa saja yang kena buat. Anak-anak pun kena bangun buat solat hajat juga. Kalau kita bangun buat solat hajat, kejutkan suami dan anak-anak sekali. Dengan cara ini kita juga dapat mendidik anak-anak agar bila inginkan sesuatu kita perlu memohon hanya kepada ALLAH. 

Al-quran
Al-quran pun tak boleh tinggal. Yang ini memang hari-hari kena ingatkan. Kalau kita lupa mereka pun leka. Dalam seminggu tu cubalah cari masa untuk mengaji bersama satu keluarga. Kalau dah khatam kena pastikan hari-hari anak-anak tetap kena baca Al-quran. Harap-harap mereka dapat jadikan perkara itu amalan sepanjang hidup. 

Tekanan
Jangan bagi tekanan pada anak-anak. Sebab budak-budak sekarang ni tak boleh dijangka. Macam-macam cerita yang kita dengar kan. Tapi aku ambil pendekatan menyesal dahulu pendapatan. Menyesal kemudian tak berguna. Kalau result  bulanan atau penggal bagus aku puji dan terus bagi semangat dan dorongan. Kalau  merosot aku tunjukkan yang aku memang frust. Memanglah anak-anak tak kisah sangat. Tapi untuk seminggu dua selepas periksa tu nampaklah sikit effort mereka untuk lebih rajin belajar bila tengok mama sedih. Tapi itu pun kena pastikan anak-anak faham kenapa kita frust. Kita frust bukan sebab markah mereka. Tapi sebab usaha mereka yang tak seberapa.  Bagi aku, kalau nak buat macam tu kena buat sebelum peperiksaan UPSR sebenar. Sekurang-kurangnya anak-anak boleh take action. Waktu tu masih sempat nak tingkatkan usaha. Kalau  nak meroyan lepas habis peperiksaan atau lepas dapat result masa tu dah tak guna dah. Yang itu cuma boleh tambahkan tekanan untuk anak-anak saja. Jadi cuba elakkan. Kesian pada anak-anak. Mereka dah berusaha. Mungkin takde rezeki. Yang tu kita kena faham betul-betul. Bukan tak boleh marah, boleh.. tapi sebelum peperiksaan. Dah nak dekat-dekat periksa pun jangan berikan mereka tekanan. Time tu kita bagi dorongan dan kata-kata perangsang yang lebih saja.  InsyaAllah.. bila dah usaha kita akan jadi redha dengan setiap keputusan yang kita perolehi. Kejayaan juga akan terasa lebih manisnya tak kisahlah walau apa pun keputusannya! 

Waktu periksa
Teruskan amalan-amalan tu. Kalau boleh puasa, berpuasalah. Kalau tak boleh minta suami berpuasa. Kalau anak-anak nak berpuasa pun bagus juga. Doa orang yang berpuasa kan mustajab. Selain tu jangan lupa sedekahkan Al-fatihah. Whatsapp suami untuk ingatkan dia supaya sedekahkan Al-fatihah pada anak juga. Doa-doakan agar perjalanan peperiksaan anak-anak berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Semoga diterangkan hati, diberikan kecerdikan akal fikiran, diberikan kefahaman, dijauhkan dari keraguan dan membuat kesilapan dan semoga mereka mendapat keputusan yang cemerlang.. InsyaAllah. 

Akhir kata, usaha tangga kejayaan. Ada rezeki kejayaan cemerlang akan jadi milik kita. All the best!

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!