Nuffnang

Tuesday, April 29, 2014

Pengajaran yang diperolehi..

Assalamualaikum.. 

Semalam, aku ke bank untuk penukaran kad atm vs kad debit. Kad yang lama akan tamat tempohnya april ini. Disebabkan bulan april sudah hampir ke penghujungnya, maka gigihkanlah juga diri untuk ke bank. Sebenarnya termasuk semalam, sudah 3 kali aku ke bank untuk urusan tersebut. Kali pertama aku disuruh balik kerana orang ramai dan katanya kad tersebut masih boleh digunakan. Kali kedua, aku terpaksa balik bila waktu menunggu begitu lama dan waktu rehatku hampir tamat waktunya. Semalam, mahu tak mahu aku terpaksa menunggu juga menghabiskan waktu rehatku di sana.

Setelah 45 minit menunggu, masih ada 3 lagi nombor di hadapanku. Sepanjang waktu menunggu mataku asyik mengerling pada jam di tangan. Jadi risau andainya percubaan kali ini masih tidak berjaya.  Hati dan punggung mula panas. Handphone di tangan tidak lagi menarik minatku untuk menghabiskan masa. Mulalah terasa mahu mencari-cari salah orang lain. Staff bank berborak-borak dan bergurau senda aku rasa bengang. Pelanggan lain lambat benar mahu bergerak dan mengeluarkan dokumen aku jadi tidak puas hati. Maklumlah, bila hati sudah panas sangat sukar untuk kita bersabar. Serba serbi terasa tidak kena. 

Perasaan yang negatif selalu membuatkan kita sendiri rasa tidak selesa. Lebih-lebih lagi bila kita tahu yang kita tidak sepenuhnya dapat mengawal keadaan. Tapi... tentu saja kita boleh mengawal perasaan. Aku cuba memujuk diri agar terus bersabar. Rasa yang negatif perlu aku tukar kepada rasa positif. Kenapa tidak aku habiskan masaku dengan berdoa, berzikir dan berselawat? Tiba-tiba saja timbul soalan itu dalam kepala. Daripada aku asyik mengulit pergerakan jam dan mencari salah orang, lebih baiklah aku berdoa, berzikir dan berselawat agar masaku tidak menjadi sia-sia. Juga agar aku tidak terus berperasaan negatif.

Rabbi yassir wala tuassir.. Ya ALLAH.. permudahkanlah urusanku. Doaku sebelum berzikir dan berselawat. Sesudah berdoa, berzikir dan berselawat, hati mula jadi tenang. Perhatianku tidak terus tertumpu pada urusan kaunter yang bergerak perlahan. Aku boleh membelek telefon dengan rasa yang lebih selesa. Sedar-sedar, nomborku dipanggil. Tidak sedar entah sejak bila pemegang nombor giliran sebelumku menyudahkan urusannya. Terasa tidak terbeban langsung untuk menyelesaikan urusan tersebut. Sedangkan sebelum itu, pelbagai rasa yang mengganggu perasaan.

Syukur.. kisah semalam memberikan aku pengajaran. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat untuk orang lain juga. Kadang kala, apa yang berlaku pada diri kita menjadi ilmu yang berguna untuk kita memperbaiki diri. Adakalanya, perkara yang kita tahu tak akan dapat beri sebarang manfaat andai kita sendiri tidak mengamalkannya. Lebih-lebih lagi bila kita sendiri sering terlupa. Antara yang aku perolehi dalam motivasi pagi di radio IKIM pagi tadi ialah, ALLAH panjangkan umur kita adalah untuk kita memperbetulkan kesilapan diri. Semoga kita sentiasa dapat memperbaiki diri untuk memperbetulkan kesilapan diri sebelum nyawa kita diambil ILAHI.. insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, April 24, 2014

Tergamak..

Assalamualaikum..

Bila bercakap tentang tergamak.. selalu membuatkan kita terfikir sendiri. Sampainya hati seseorang itu sehingga tergamak melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Sanggup melakukan perkara yang boleh membuatkan orang lain sengsara, terluka dan teraniaya. Kalau kita, tak tergamak rasanya untuk melakukan hal yang sebegitu. Memikirkannya saja terasa tidak tergamak. Namun, ada orang yang masih tergamak untuk melakukannya. Adakalanya, orang tergamak melakukan sesuatu perkara kerana terdesak. Bila terdesak, perkara yang tak perlu menjadi keperluan. Perkara yang sepatutnya orang waras tidak akan melakukannya walaupun terdesak. Tapi.. hati dan pemikiran setiap orang tidak sama.  Hanya diri sendiri yang boleh memilih sama ada tergamak mahu pun tidak. 

Ada orang, tergamak menganiaya orang lain asalkan hatinya puas dan dendamnya terbalas. Ada orang, tergamak mengabaikan orang yang berjasa padanya hanya kerana hatinya terluka. Ada orang, tergamak mencurangi isterinya asalkan dapat memakna cinta bersama kekasih gelapnya. Ada orang, tergamak mengkhianati suaminya dengan memadu kasih dengan lelaki lain. Ada orang, tergamak mengabaikan orang tuanya dan melupai jasa mereka bila hatinya sudah dimiliki orang yang dicinta. Ada orang, tergamak mengenakan orang lain tak kiralah siapa pun mereka. Ada orang, tergamak mencari hal dengan orang lain yang sedikit pun tiada kena mengena dengan dirinya.

Perkara-perkara seperti itu menjadi perkara yang tidak asing untuk kita dengar sekarang ini kerana ramai yang tergamak melakukannya. Dalam novel, drama mahupun dalam kehidupan sebenar, ianya selalu dipaparkan. Kalau tak tergamak, tak jadi cerita pulak kan? Kalau tak tergamak, tiada pula orang yang teraniaya kan?  Hmm.. hati sendiri, akal sendiri, sendirilah fikir. Untuk yang tak pernah tergamak, tak perlu risau sangat. Terus bertahan dan berdoa agar tidak sekali-kali tergamak melakukan hal yang tidak sepatutnya. Bagi yang tergamak tu, ingatlah, doa orang yang teraniaya tu tiada hijab. Satu yang perlu diingat ialah, ALLAH itu maha adil. Kita mungkin terlepas dengan pengadilan manusia. Namun pengadilan ALLAH itu maha hebat. ALLAH sebaik-baik pengadil.

Semoga kita semua sentiasa beringat untuk tidak menganiaya sesiapa pun tak kiralah siapa pun mereka. Tak kiralah apa situasinya. Tak kiralah bagaimana pun kita dilayan oleh mereka. Tak kiralah sebanyak mana pun dendam kita. Tiada kesudahannya bila terus mengikut kata hati. Bila tergamak, apa yang tak patut jadi patut. Kalau ianya menyusahkan hidup kita sendiri itu masalah kita. Tapi kalau ianya menyusahkan hidup orang lain, pastinya ramai yang terbabit untuk menyelesaikan masalah itu. Akhirnya, apa yang kita dapat? Kalau sekadar kepuasan kerana tergamak mengenakan orang lain hmm.. banyak lagi perkara yang bermanfaat yang boleh kita lakukan. Hidup hanya sekali. Jangan kotori dengan hasad dengki, benci membenci dan sakit menyakiti. Apa yang perlu, tingkatkan amalan untuk bekalan  hidup di kehidupan seterusnya nanti. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Friday, April 18, 2014

Dia Sayang Aku!

Assalamualaikum..


Alhamdulillah.. syukur Ya ALLAH. Hari ni aku nak berkongsi berita gembira dengan teman-teman semua. InsyaALLAH, novel keduaku akan diterbitkan pada bulan Jun 2014 oleh Buku Prima, Karangkraf. InsyaALLAH.. ianya akan ada secara eksklusif di PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2014 pada 24 April - 4 Mei 2014 di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC bersama novel-novel Buku Prima yang lain. Harap-harap novel Dia Sayang Aku ini dapat diterima oleh pembaca seperti mana novel pertamaku Takdir Fitrah Terindah. Kedua-dua novel ini sangat istimewa buatku. Aku memang bersungguh sewaktu menulis dan aku telah buat yang terbaik untuk keduanya. Semoga ianya dapat memikat hati pembaca nanti. Semoga novel-novelku dan novel-novel Buku Prima yang lain akan mendapat sambutan di Pesta Buku KL nanti insyaAllah.. 

DIA SAYANG AKU

Sejak kecil, Zaira menjadi dambaan hati Fir. Ianya membuatkan Fir terus memasang impian. Fir mahukan Zaira, tetapi hati Zaira hanya untuk Ikmal. Akhirnya Zaira berkahwin dengan Ikmal. Fir akur dengan hakikat itu. Kebahagiaan Zaira lebih utama. 

Kehadiran Sufi mula menggugat kebahagian Zaira dan Ikmal. Dalam keterpaksaan, Zaira akur untuk berkongsi kasih. Pengorbanan yang membuatkan rasa cintanya pada Ikmal mula goyah. Ditakdirkan Zaira dan Fir bertemu semula. Namun mereka bertemu hanya sekadar menjadi abang dan adik. Kesetiaan Zaira pada Ikmal terus dihormati. Dalam waktu Zaira menghadapi masalahnya, Fir tidak langsung mengambil kesempatan.


Apabila Zaira kehilangan Ikmal, Fir pula sedang mahu memiliki Adelia. Perasaan yang ada harus disimpan untuk pengetahuan sendiri. Memang payah mahu menyorokkan perasaan yang ada. Bukan mudah mahu menidakkan rasa yang tidak pernah hilang. Adakah Zaira dapat menerima Fir dalam hatinya? Dapatkah Fir memiliki cinta Zaira? Mampukah Adelia menghilangkan rasa cinta di hati Fir untuk Zaira?


RM 22.90                             ISBN: 978-967-446-004-4                 ~588 hlm

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, April 10, 2014

Keberkatan Solat Dhuha..

Assalamualaikum..

Sejak beberapa tahun lepas, aku selalu mendengar emak bercerita tentang keberkatan solat dhuha. Kata emak, sejak mengamalkan solat dhuha, terasa rezekinya lebih diberkati. Kesihatan pun berasa lebih baik. Rezeki anak-anaknya (kami adik beradik) juga kelihatan lebih murah. Alhamdulillah. Perkara yang sama juga aku dengar dari orang lain. Mendengar cerita dan keberkatan rezeki mereka aku juga turut mahu memperolehi perkara yang sama. Solat dhuha mula aku tunaikan. Namun ianya sekadar tertunai bila saja aku teringat. Ataupun bila saja aku mempunyai masa. Selain dari tu aku sering lalai dan terlupa. Bila sesuatu perkara itu tidak menjadi rutin, jarang benar kita mahu berdisplin. 

Hujung tahun lepas, aku mula berazam untuk bersungguh menunaikan solat dhuha. Penghijrahan ramai orang ke jalan ALLAH membuatkan aku juga terasa mahu memperbaiki diri dalam ibadahku. Terasa tidak mahu ketinggalan. Juga tidak mahu berada di takuk lama. Ibadah perlu aku perbanyakkan. Apa yang kurang perlu aku tingkatkan. Umur semakin meningkat. Masa yang tinggal mungkin tidak lama. Alhamdulillah.. bila kita bersungguh, Allah melorongkan jalannya. Alhamdulillah.. aku diberikan kesempatan masa untuk menunaikannya. Aku sudah jarang terlupa untuk melakukannya. Sesekali memang ada juga aku terlupa. Tapi dalam kebanyakan waktu, aku selalu teringat tentangnya. Syukur. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan dari ALLAH. Thank you ALLAH.

Janji ALLAH itu benar dalam setiap perkara. Begitu juga dengan janjiNYA dalam solat dhuha. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar. Sejak menunaikan solat dhuha, terasa rezeki kami sekeluarga lebih diberkati. Rezeki kami juga terasa lebih murah. Ianya juga hadir dalam jalan yang tidak kami sangka-sangka. Syukur ya ALLAH. Semoga kami sentiasa tahu untuk lebih bersyukur. Semoga kami selalu istiqamah dalam melakukan amal ibadat kami hanya kerana ALLAH. Memperolehi rezeki memang selalu membuatkan kita rasa gembira. Namun bila dengan rezeki itu kita jadi lebih murah hati untuk berkongsi dengan orang lain perkara itu lebih membuatkan kita jadi lebih gembira. Subhanallah.. besarnya makna keberkatan rezeki itu. Terasa mahu menitik air mata bila teringatkannya. Terasa lapang dada bila dengan rezeki itu kita tidak rasa lokek untuk berkongsi. Juga tidak takut andai rezeki kita berkurang.

Minggu lepas aku terdengar program di radio. Menurut ustazah, bila mahu menceritakan tentang sesuatu biarlah kita sendiri sudah melaksanakannya. Selepas itu barulah berkongsi dengan orang lain tentang kebaikannya. Ianya dapat memberikan contoh buat orang lain selain dapat mengingatkan diri kita sendiri untuk terus melakukannya. Semoga perkongsian ini dapat memberikan kebaikan buat diriku dan orang lain juga. Semoga perkongsian ini tidak mengundang sebarang rasa riak dan sombong. Aku mengaku, diri ini masih penuh dengan kekurangan. Namun dalam setiap perkara kebaikan selalu ada rasa untuk berkongsi. Semoga usaha yang kecil ini mendapat keberkatan dari ALLAH.. insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, April 1, 2014

Alasan nak sentap..

Assalamualaikum..

Bagi ibu bapa, hal-hal yang berkaitan dengan anak-anak selalu menjadi hal yang utama. Sebab anak-anak kita boleh ketepikan keinginan kita sendiri. Sebab anak-anak kita boleh ubah perancangan kita untuk memenuhi rancangan mereka.  Sebab anak-anak kita boleh tolak tepi apa yang kita mahu. Sebab anak-anak kita boleh rasa beria-ia untuk hal yang anak-anak sendiri tidak begitu rasa teruja. Sebab anak-anak kita boleh rasa up, boleh rasa down dan pelbagai lagi rasa yang ada kalanya tak relevan pun dengan keadaan. Sebab anak-anak kita boleh rasa sentap juga. Sentap? Kenapa sentap? He..he.. yang tu pun ada banyak sebab dan alasannya. 

Hujung februari mood aku memang ada sedikit meragam. Rasa sentap sebab dah lama tak bawa anak-anak pergi bercuti. Ha..ha.. jangan tak percaya hal macam tu pun boleh buat sentap. Rasa macam dah lama benar tak bawa anak pergi berjalan jauh sikit. Janji dengan Is untuk UPSR pun boleh tertunai. Bila nak atur plan dengan en.asben dia macam tak berapa semangat aje. Aku suggest tempat ini dia reject. Suggest tempat itu dia tak suka. Tanya tarikh tu dia tak boleh confirm. Adjust tarikh lain sama juga. Bila minta idea dia suruh aku yang decide aje. Tak ke pening macam tu. Sebab nak bawa anak-anak berjalan, takpelah.. aku decidelah juga sebab trip kali ni memang aku yang nak belanja. (Sebab aku yang nak belanja itu yang terlebih sentap kut ha..ha..). Tapi bila dah decide en.asben macam tak beria juga. Bila dah tak beria, macam mana aku nak teruskan plan kan? Lagipun semua tu cuma planning aje. 

Okey.. takpelah. Bila en.asben tak beria aku pun malas nak teruskan plan. Biarlah anak-anak tak pergi berjalan. (Ceh.. merajuk konon ha..ha..). Seminggu tu memang takde mood. Sampaikan en.asben tegur apahal muka tu asyik panjang aje he..he.. Bila dah kena tegur aku pun terfikir balik. Apa rasionalnya aku nak sentap? Bila fikir dengan mendalam dah lama sangat ke tak bawa anak-anak pergi berjalan. Belek-belek entry kat blog baru terperasan yang baru last november kami bawak anak-anak ke Hatyai dan Krabi. Kalau kira pakai jari tak sampai enam bulan pun lagi. Ha..ha.. lagi nak kecoh macam dah lama benar tak bawa anak-anak berjalan. Sebab dah malu terus rasa cool. Sentap pun hilang. Mulalah faham balik kenapa en.asben tak terlalu nak excited atur plan. Kita orang ni kalau nak bercuti bukan senang-senang nak cuti. Kena consider waktu nak cuti sebab takut cuti tak approve. Itu yang susah juga nak plan awal-awal tu.

Bila aku dah tak kisah nak fikirkan pasal agenda tu, en.asben pulak yang asyik buka cerita pasal tu. Asyiklah whatsapp tanya. Asyiklah hantar info pasal tempat tu. Sajalah tu. Selalu suka macam tu tau. Bila aku beria dia buat dek aje. Bila aku dah malas nak fikir dia suruh aku fikir balik.  Bila dah fikir kenalah buat booking semuanya bagai kan ha..ha.. Yang tu memang aku suka. Takde sentap-sentap. Alhamdulillah.. Flight settle. Hotel settle. Itenarary settle. Segala yang kena bayar dah settle. InsyaAllah.. ada rezeki, kita pergilah berjalan nanti ya anak-anak. Tak jauh mana pun. Tapi jadilah asalkan dapat tengok tempat orang. Semoga segala perancangan kita akan diberkati dan permudahkan oleh ALLAH. Doa-doakan sama ya.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!