Nuffnang

Friday, May 30, 2014

Demam rindu..

Assalamualaikum..

Salam jumaat yang mulia. Selamat datang bulan syaaban yang mulia. 

Aku sangat suka melihat awan. Bagi aku, awan terlalu indah untuk dipandang. MasyaALLAH.. setiap kali memandang awan terasa sungguh besar keagungan ALLAH. Alhamdulillah.. kerana ALLAH mengurniakan penglihatan untuk aku dapat menikmati keindahan awan. Dua hari ni aku leka memandang awan. Matahari pagi yang baru naik di sebalik awan yang indah memukau pandanganku. Memandang pada awan aku teringat pada arwah adikku. Tiga hari sebelum arwah adikku koma, adik bongsuku membawanya pulang ke rumah dari hospital. Cerita adik bongsuku, dalam perjalanan itu, beria-ia arwah melihat awan. Beria-ia juga arwah memuji betapa cantiknya awan. SUBHANALLAH.. cantiknya.. katanya.

Rindu. Aku memang sangat rindu. Kata orang mungkin kerana baru lagi. Jadi rindu itu lebih terasa. Tapi bagiku ianya bukan sebab baru. Tapi sebab bagaimana seseorang itu berada dekat di hati. Macam arwah ayah, walaupun sudah 29 tahun arwah pergi namun aku masih terasa cukup rindu. Teringat lagi sewaktu arwah adikku masuk asrama. Aku menangis waktu hari pertama dia tinggal di asrama. Sejak kecil kami tidak pernah berpisah. Bila berjauhan hati jadi sangat rindu. Padahal, kami bukanlah jenis yang cukup akrab kalau berdua. Sekadar rapat sebagai adik dan kakak. Mungkin hubungan darah membuatkan hubungan yang tidak begitu akrab mempunyai nilai yang lain. Nilai yang akan lebih dirasai bila dirinya tiada di sisi. Saat ini aku masih sangat emosi. Bukan kerana tidak redha. Tapi lebih kepada demam rindu. 

Al-fatihah buat arwah.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Friday, May 23, 2014

Tanya pada ALLAH..

Assalamualaikum.. 

Mengikut jadual dan perancangan, 10 Mei yang lalu kami sekeluarga akan bercuti ke Hong kong.  Tujuan utama pastilah kerana mahu membawa anak-anak ke Disneyland. Beg pakaian, beg makanan, beg galas dan segala dokumen dan perkara berkaitan telah kami siapkan. Web check in pun dah buat.  Dollar Hong Kong pun sudah siap bertukar. Malah baju untuk berangkat pun sudah siap bergosok dan tergantung elok semuanya. Sebenarnya.. aku tidak pernah bermimpi untuk ke Disneyland. Anak-anak juga tidak pernah terlalu excited mahu ke sana. Aku mula memasang angan-angan mahu membawa anak-anak ke Disneyland selepas arwah adikku pergi ke Disneyland beberapa tahun yang lepas. Sebelum aku booking flight dan hotel untuk ke Hong Kong aku ada bertanyakan pada arwah adikku. Boleh ke kalau kami sekeluarga mahu pergi bercuti dengan keadaan kesihatannya yang tidak berapa baik. Jawapan dari adikku ialah kau pergilah.. Dua minggu sebelum ini pun ada juga dia kongsikan sedikit perihal Disneyland dan Hong kong kepadaku. Tiada langsung riak dia tidak membenarkan aku dan keluarga untuk pergi bercuti. 

Malam khamis 8 Mei 2014, ketika di hospital sebelum aku dan en.asben pulang dari melawatnya aku memberitahu adikku yang aku akan hanya boleh melawatnya di hospital pada hari selasa 13 Mei iaitu selepas tarikh aku sepatutnya pulang dari Hong Kong. Pada waktu itu, riak adikku nampak berlainan dari biasa. Tidaklah nampak seperti dia tidak mengizinkan. Tapi riaknya lebih kepada tidak mahu mengambil endah dengan pemberitahuan itu. Dia mengangguk dengan riak acuh tak acuh saja sambil memandang ke arah lain. Selalunya dia tidak begitu. Reaksinya membuatkan aku terasa berat hati untuk pergi. Walaupun sebelum ini memang rasa berat hati, namun malam itu terasa lebih lagi. Dalam solat aku memohon agar adikku diberikan kesembuhan. Memohon agar adikku dipanjangkan umurnya. Memohon agar segala perancangan kami dipermudahkan. Memohon agar kami diberikan petunjuk. Bila bangun pagi, ada lagi rasa berat hati yang menghambat diri. Terasa mahu bertanyakan pendapat  teman-teman di grup whatsapp. Patutkah aku pergi atau sebaliknya?

Dalam pada aku memikir untuk bertanyakan pendapat kawan-kawan, tiba-tiba saja terdetik soalan di hati.  Kenapa tidak aku tanyakan pada ALLAH? ALLAH Maha Tahu. ALLAH pemberi petunjuk dan jawapan terbaik. Selepas menunaikan solat dhuha, aku tunaikan solat istikharah. Aku mohon untuk diberikan petunjuk kepadaku. SUBHANALLAH.. ALLAH maha berkuasa. Beberapa jam selepas itu, dapat panggilan dari pihak hospital yang memberitahu tentang keadaan adikku. Hong Kong dan Disneyland terus aku lupakan. ALLAHUAKBAR.. patutlah untuk percutian ini, beria-ia aku mahukan segalanya menggunakan duit simpananku sendiri. Disebabkan itu, mudah benar untuk aku membuat keputusan untuk melupakan saja percutian kami. Walaupun kalau perbelanjaannya dikeluarkan oleh en.asben, pastinya keputusan yang sama juga yang akan kami ambil. Namun bila segalanya dari aku ianya jadi lebih mudah buatku untuk membuat keputusan dengan keadaan itu. ALHAMDULILLAH.. En.asben sendiri sependapat denganku. Percutian kami ke Hong Kong batal. Adikku lagi penting!

Tiada langsung rasa ralat di hati. Apalah sangat Hong Kong dan Disneyland untuk aku bandingkan dengan adikku. Peluang untuk dapat berada bersama adikku di saat akhirnya lebih berharga dari semua itu. ALHAMDULILLAH.. ALLAH memberi peluang untuk kami berada bersamanya di saat terakhir itu. Aku tak dapat bayangkan bagaimana ralatnya aku andainya adikku pergi di saat aku dan keluarga sedang bergembira di Disneyland. ALLAHUAKBAR.. ALLAH Maha Tahu. ALLAH sebaik-baik perancang. Ada yang bertanya, bagaimana reaksi anak-anakku? Bagi mereka tentu anak-anakku berasa kecewa. Tapi.. tidak seorang pun anak-anakku yang berasa kecewa. Tiada siapa pun yang mengungkit akan hal itu. Mengeluh juga langsung tidak. Mak Ngah mereka lagi utama dari semua taman tema yang ada dalam dunia. Kesedihan kehilangan Mak Ngah tersayang mematikan keinginan mahu bercuti. ALHAMDULILLAH.. anak-anak tahu untuk menilai mana yang lebih utama. Syukur.. tentu saja kasih sayang yang Mak Ngah curahkan kepada mereka selama ini sangat bermakna buat mereka. Han, Is and Az love you so much Mak Ngah!

Setiap hari aku merindui arwah adikku. Segala kebaikan dan kenangan bersamanya terbayang di mata. Senyum tawa, gurau senda selalu saja teringat. Saat rindu, AL-FATIHAH aku kirimkan. InsyaALLAH.. adikku sedang berbahagia di sana. ALHAMDULILLAH.. anak-anak arwah sangat kuat.  Malah, mereka lebih kuat dari aku sendiri. Kuat seperti mana arwah mummy mereka yang begitu tabah dalam menghadapi setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan.  Kekuatan mereka menjadi semangat buatku. Tolong doa-doakan yang terbaik buat mereka berempat ya. Semoga mereka sentiasa berbahagia dan berjaya di dunia dan di akhirat.. insyaALLAH. Terima kasih semua.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Wednesday, May 21, 2014

Tenanglah dikau di sana wahai adindaku..

Assalamualaikum..

INALILLAH.. pada 11 Mei 2014, adikku Rafidah binti Salim telah kembali ke rahmatullah. Saat ini, rinduku tak terkata. Ingatanku padanya tak pernah hilang. Sehingga kini, aku masih terasa seperti tidak percaya. Terasa-rasa bagaikan arwah masih ada lagi bersama kami. Tapi hakikatnya, ALLAH lebih menyayangi arwah adikku dari kami semua. Semoga arwah adindaku tenang dan berbahagia di sana, insyaALLAH. Kami redha. ALLAH Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA. Melihat arwah sakit, kami sendiri jadi tidak sampai hati melihatnya. Namun, jarang benar kami dengar arwah mengeluh tentang sakitnya. Doa kami tidak putus agar dia diberikan kesembuhan. Juga diberikan umur yang panjang. Namun perancangan ALLAH adalah yang terbaik. Segalanya telah ALLAH aturkan dengan cukup sempurna. Urusan terakhir arwah dipermudahkan. ALLAHUAKBAR... wajah arwah nampak sangat manis, berseri-seri dan cukup tenang sebaik habis nyawa. SUBHANALLAH.. ada senyuman yang aku lihat di wajahnya.  ALHAMDULILLAH.. kesudahan yang baik untuk arwah. InsyaALLAH, ada tempat yang terbaik untuk arwah di sana. 

Arwah adikku mengidap SLE. Dia mula dikesan dengan penyakit itu pada hujung tahun 2012. Ramai yang selamat dan boleh bertahan dengan penyakit SLE itu. Tapi takdir untuk adikku bukan begitu. Dua bulan yang lepas, kesihatan adikku mula merosot. Dua bulan juga hospital sudah menjadi rumah kedua untuknya. Menjadi tempat singgahan utama untuk kami.  Tiada beban. Tiada keluhan. Malah terasa bersyukur kerana berpeluang menjaganya dengan baik saat dia sakit. Hari-hari terakhir, arwah memang lebih manja dari biasa. ALHAMDULILLAH.. segala permintaannya yang boleh kami penuhi sempat kami penuhi. Tiada ralat di hati setelah dia pergi. Sepanjang waktu arwah sakit, kami sentiasa berada disampingnya. Anak-anaknya berada dalam keadaan yang baik dalam jagaan emak dan kami sekeluarga. Sehinggakan arwah tidak perlu terlalu risaukan akan hal itu ketika dia di hospital. ALHAMDULILLAH.. arwah juga tahu kami sangat mengambil berat tentang dirinya dan anak-anak. Alhamdulillah.. emak, aku dan en.asben serta adik bongsuku dan suaminya dapat terus berada di samping arwah sehinggalah nafasnya yang terakhir.

Alhamdullillah.. "today home sweet home" rindunya kat anak2.. syukur alhamdulillah terpilih olehNya dgn pelbagai dugaan sebgai ujian hidup. Mnjadikn diri lebih redha dan tenang.. Syukur Alhamdulillah atas nikmat yg diberi.. Tqvm to my beloved mother, sister Hanis Azla Rafeah Salim, Rita Zaid, abg Ardi yg sentiasa ada di sisi mmberi semangat.. Tqvm to all yg mndoakn kesihatan dn kesembuhan. Tqvm to all yg sudi melawat di hospital. Semoga Allah merahmati kalian semua.. InsyaAllah.. Mohon maaf jika ada salah silap yg saya lakukn. Tqvm.. (Message arwah di FB pada 19 Mac 2014).

Kali pertama arwah dimasukkan ke hospital dalam tahun ini ialah pada 7 Mac 2014. Keadaannya saat itu adalah sangat kritikal. Waktu itu, arwah sudah terpaksa menerima rawatan dialisis kerana buah pinggangnya tidak berfungsi dengan baik. Selepas menerima rawatan keadaan arwah kembali stabil dan terkawal. Selepas 10 hari di hospital, arwah dibenarkan keluar. Pada 23 April 2014, arwah sekali lagi dimasukkan ke hospital. Waktu itu keadaannya  sudah sedikit lemah. Badan arwah semakin kurus dan menyusut. Demamnya lebih kerap. Selera makan hampir tiada. Pada 1 Mei 2014, keadaan arwah nampak semakin lemah. Tapi selepas itu, keadaan arwah jadi semakin baik. Waktu itu, kami sudah bergilir menemankan arwah di hospital. Menjaga dan melayani keperluannya seperti mahunya. Waktu itu arwah nampak sihat. Boleh berbual dan bergurau seperti biasa. Sehinggalah arwah dibenarkan pulang ke rumah pada 6 Mei 2014. 

Pada 7 Mei 2014, arwah sepatutnya ke hospital untuk dialisis. Namun keadaan arwah tiba-tiba lemah. Petang itu, aku membawanya ke hospital. Malam itu arwah dimasukkan ke wad ICU. Selepas beberapa jam di hospital, arwah kembali bertenaga. Boleh kembali tersenyum dan ketawa. Semangatnya kuat. Malam esoknya, hari khamis arwah dipindahkan ke wad biasa. Malam itu aku bersama en.asben dan makcik datang melawatnya. Walaupun nampak sedikit lemah tapi arwah nampak okey. Dia mengadu badannya sakit dan meminta aku mengurut perlahan belakangnya. Dengan penuh kasih aku melakukannya. (Tidak sangka itulah belaian terakhir aku untuk arwah adikku ketika hayatnya. Terima kasih ALLAH atas peluang itu). Sempat juga aku memberinya minum air zam-zam sesudah itu. Selepas membantu arwah menukar pakaian, baringkan dia di katil dan aku selimutkannya, hampir jam 11++ malam barulah aku dan en.asben pulang ke rumah. Malam itu makcikku menemani arwah di wad.  

Pagi jumaat, dalam pukul 9 pagi aku menghubungi arwah di hospital. Seperti biasa aku mahu mengambil tahu akan keadaanya. Tapi talian tidak berangkat. Telefon makcikku juga begitu. Sibuk dengan urusan kerja, tidak sedar ada dua miss called di HPku selepas itu. Bila aku hubungi kembali, nombor itu adalah dari Hospital Ampang Puteri. Tapi mereka tidak dapat trace siapa yang menghubungiku. Hatiku jadi sungguh tidak sedap. Pada waktu yang sama pihak hospital sudah menghubungi adik bongsuku. Pihak hospital memaklumkan yang adikku sudah tidak sedarkan diri pada pagi itu. Arwah kembali ditempatkan di wad icu. ALLAHUAKBAR. Berita itu membuatkan kami rasa kalut dan takut yang amat sangat. Air mata sudah melaju keluar. Adik bongsuku bergegas ke hospital. En.asben juga terus ke hospital dari pejabat. Aku sendiri, terus mengambil emak, makcik dan dua orang anak arwah yang bersekolah tadika untuk dibawa ke hospital. Dua orang lagi anak arwah sedang bersekolah waktu itu. 

Tiba di hospital, doktor memanggil kami sekeluarga untuk memaklumkan tentang kondisi  arwah. Pada waktu itu, doktor memberitahu yang otak adikku sudah mati. Hanya dengupan jantungnya yang masih ada. Tiada harapan yang doktor dapat berikan pada waktu itu. Kata doktor, counting days or hours. Kami terima kenyataan itu dengan tabah. Hati mula bersedia untuk melepaskan arwah pergi dengan redha. Penuh kasih emak membelai wajah dan tubuh anaknya. Penuh lembut emak membisikkan di telinganya yang emak mengampunkan semua dosa-dosanya. Emak halalkan susu emak padanya. ALLAHUAKBAR.. beruntungnya arwah. Kaum keluarga, saudara mara, jiran dan teman-teman arwah diberitahu. Anak-anak arwah dibenarkan masuk untuk berjumpa dengan arwah. ALHAMDULILLAH.. walaupun kesedihan, anak-anak arwah boleh terima keadaan mummy mereka. ALHAMDULILLAH.. ALLAH pinjamkan kekuatan buat anak-anak yang bijak itu. 

ALLAHUAKBAR.. cukup ramai tetamu yang datang melawat arwah di hospital. Terharu kami sekeluarga dibuatnya. Terima kasih yang tak terhingga aku ucapkan kepada semua. ALHAMDULILLAH.. besar rezeki arwah dapat menerima ziarah dari kaum keluarga yang jauh dan dekat, kenalan lama dan baru, teman-teman sekolah, teman-teman sekerja dari first branch Maybank hingga ke branch arwah sekarang. Malah, nurse-nurse yang pernah merawatnya  juga ramai yang datang melawat. Kata ramai orang, arwah baik orangnya. Bila dengar berita, mereka semua mahu datang menziarah. Sehingga ke malam tetamu tak putus-putus datang. Malam itu aku, en.asben dan emak menemaninya di dalam wad ICU sehingga ke pagi. Kami mengaji dan membisikkan kalimah ALLAH di telinganya. Adik bongsuku dan suaminya serta teman-temannya menunggu di luar wad. Terima kasih buat keluarga mertua yang membantu menguruskan anak-anakku. Terima kasih buat jiran arwah serta makcik, pakcik dan sepupu-sepupuku yang membantu menguruskan anak-anak arwah ketika itu.

Hari sabtu, tetamu masih ramai yang datang. Kaum keluarga semakin ramai yang sampai. Telefon bimbitku dan telefon bimbit arwah jadi cukup sibuk taliannya. Masing-masing mahu tahu akan keadaan arwah. Terima kasih buat semua yang mengambil berat. Doktor yang merawat adikku memberitahu yang mengikut pengalamannya adik aku tidak akan lama bertahan. Doktor meminta kami bersedia dengan urusan menguruskan jenazah dan sebagainya. Dengan pemberitahuan itu kami dapat bersiap sedia. Urusan-urusan tersebut mula kami aturkan dengan orang-orang yang sepatutnya. Syukur.. segalanya dipermudahkan. Menjelang petang, nenekku yang berumur 90++ tahun tiba dari Taiping. Penuh sebak nenekku melihat keadaan cucunya. Hingga ke malam, tetamu masih ada yang datang melawat. Kebanyakan masa memang aku dan emak akan berada di sisi adikku. Meninggalkannya hanya untuk menunaikan solat. Itupun akan ada orang lain yang akan berada di sisinya mengantikan kami. 

Hampir 10++ malam, aku, emak dan en.asben keluar dari wad ICU untuk makan dan merehatkan diri. Giliran adikku dan suaminya pula untuk mengaji dan berada di sisi adikku.  Pada waktu itu, masih ada lagi tetamu jauh yang datang melawat. Mengikut janji, pukul 2 pagi nanti kami akan masuk semula untuk berada bersama arwah. Di kerusi panjang tempat menunggu kami tidur dan merehatkan diri seketika. ALHAMDULILLAH, teman-teman adikku turut menemani kami di situ. Terima kasih kalian semua. Dalam pukul 1.30 pagi, aku dan emak berasa cukup sejuk. Sejuk sehingga menganggu tidur kami. Sejuk sehingga kami mengigil-gigil. Kami cuba untuk kembali tidur tapi tidak mampu. Sudahnya, kami bangun saja. Tak lama sesudah itu, adik iparku keluar dari wad ICU dan memaklumkan yang pernafasan adikku semakin menurun. Tak bertangguh kami semua masuk ke dalam. Para jururawat sudah mengelilingi katil arwah.  Dengan terketar-ketar masih tak lekang mulut kami membisikkan kalimah ALLAH di telinga adikku. 

Bacaan di skrin semakin menurun dan terus menurun. Akhirnya, adikku pergi mengadap ILAHI pada jam 1.50 pagi. Arwah pergi dalam usianya 36 tahun meninggalkan 4 orang anak yang comel dan bijak. Suasana cukup sunyi pada ketika itu. Rasa sebak menyelubungi kami yang mengadapnya saat itu (emak, kakak dan adiknya, abang ipar dan adik iparnya yang semuanya begitu menyayangi dirinya). ALLAH mengambil kembali apa yang telah dipinjamkan kepada kami. Wanita baik yang cantik wajahnya, hatinya dan budi bahasanya. ALHAMDULILLAH.. perginya dengan senyuman. Syukur.. urusan terakhirnya sangat-sangat dipermudahkan. Dari urusan bawa pulang jenazah keluar dari hospital, bawa pulang ke rumah, pengurusan jenazah dan urusan pengkebumian semuanya berjalan dengan cukup lancar. Syukur.. emak, aku dan adikku berpeluang untuk memandikan jenazah arwah. Berderai airmata bila anak-anak arwah menciumi arwah buat kali terakhir. Tetamu yang datang menziarah juga cukup ramai. Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang datang menziarah. Ucapan takziah dan pelbagai bantuan yang dihulurkan juga sangat kami sekeluarga hargai.

"Abang janganlah nangis.. mummy kita kan nak pergi syurga.." SUBHANALLAH.. bijak benar anak bongsu arwah, anak perempuan tunggalnya yang berumur 4 tahun memujuk abang-abangnya. InsyaALLAH.. semoga syurgalah tempat mummy berkat doa dari anak-anak soleh dan solehan yang ditinggalkan. InsyaALLAH.. kiriman ayat-ayat suci Al-Quran dan doa-doa dari anak-anak akan sentiasa ada untuk mummy tersayang. Semoga arwah adikku tenang dan berbahagia di sana. Melihat arwah melalui sakitnya dengan penuh sabar, melihat ketabahannya menerima dugaan dengan redha, melihat bagaimana pengakhiran hayatnya juga melihat anak-anak yatim yang ditinggalkan, aku pasti, ALLAH menjanjikan tempat terbaik buat arwah adikku. Tenang dan damailah dikau di sana wahai adindaku sayang. Walau tak pernah mengucapkan, yang pasti aku sangat sayang padanya. Walau tak pernah meluahkan, aku tahu adikku juga tahu yang aku sayang padanya. Semoga kita dapat bertemu di syurga ALLAH nanti wahai adindaku. AL-FATIHAH.. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, May 8, 2014

Kuat...

Assalamualaikum..

Dah lamanya tak berkongsi kisah di sini. Sejak dua minggu ni aku memang sibuk sedikit. Sudah dua minggu adik aku kembali dimasukkan ke hospital. Selepas 13 hari di hospital, kelmarin dia sudah dibenarkan pulang ke rumah. Tak sampai beberapa jam di rumah, adikku kembali berasa tidak sihat. Semalam kami terpaksa membawanya ke hospital semula. Terpaksa pulang lebih awal dari waktu berkerja, uruskan hal anak-anak, pergi ke rumah adikku untuk mengambilnya dan terus ke hospital. Alhamdulillah.. segala urusan kami dipermudahkan. Tiada kesesakan lalu lintas, urusan pendaftaran dan proses rawatan di tempat kecemasan juga lancar. Malah tidak berapa lama berada di situ, doktor yang merawat adikku sudah datang menlihat keadaannya. Sejam kemudian adikku dipindahkan ke wad ICU. Lebih mudah bila adikku ditempatkan di wad itu. Di situ, nurse sentiasa ada untuk memantau keadaan adikku. Semoga adikku diberikan kesembuhan hendaknya. Alhamdulillah.. malam tadi sebelum pulang, keadaan adikku nampak stabil. Pagi ini bila aku call katanya dia okey. Semoga adikku akan terus okey hendaknya. 

Terima kasih adik bongsuku kerana membantu menguruskan hal dengan doktor dan hospital dengan cukup baik. Kalau nak harapkan aku menguruskan segalanya rasanya aku tak mampu. Aku ni nama saja anak sulong, tapi dalam kebanyakan hal, adik-adikku yang selalu lebih ke depan. Namun dalam saat seorang adikku sakit begini, barulah aku juga boleh jadi seperti adik-adikku. Makcik aku siap tegur semalam. Katanya, kalau dulu aku seperti tidak dapat jadi tempat sandaran. Tapi kini, aku sudah nampak lain. Nampak lebih kuat dari dulu. Kalau dulu aku selalu perlu mengharapkan orang lain. Sekarang, banyak perkara yang aku sudah mampu berdikari untuk melakukannya sendiri. Alhamdulillah.. dugaan yang datang lebih mematangkan dan mendewasakan aku. Tanggungjawab yang lebih besar menjadikan aku lebih kuat untuk mengalasnya. Terima kasih buat en.asben dan anak-anak yang selalu membantu meringankan tugasanku. Dengan bantuan dan kefahaman dari mereka, agak mudah untuk aku laksanakan tanggungjawab lain. 

Alhamdulillah.. dalam kesibukkan, sempat juga aku ambil masa untuk menguruskan soal percutian. Memandangkan percutian kali ini kami tidak menggunakan travel agent, maka segalanya harus aku sediakan dan aturkan sendiri. Segala perkara dan butiran berkaitan percutian aku siapkan dengan sehabis lengkap mengikut kemampuanku. Bila aku kongsikan dengan en.asben, katanya kertas kerjaku cukup sempurna. He..he.. manakan tidak, gubra punya pasal, bukan setakat perkara dan urusan penting, details dan hal-hal kecil pun aku masukkan juga. Harap-harap ianya dapat membantu kami dengan baik ketika di sana nanti, insyaALLAH. Nak pergi bercuti dalam waktu begini, terasa sungguh berat hati. Tapi, aku perlu kuat juga untuk meneruskan apa yang sudah dirancang sebelum ini. Alhamdulillah.. adikku sendiri faham. Emak dan keluarga yang lain juga faham. Bila semua orang boleh faham, rasa berat hati itu jadi lebih ringan. Semoga segala perancangan kami akan berjalan dengan lancar. Semoga kami semua selamat dan sentiasa dilindungi. Semoga kesihatan adikku akan bertambah baik dan semoga dia akan kembali sihat seperti dulu. insyaALLAH.. semoga semangatnya terus kuat sebagaimana aku yang mula kuat sekarang ini. Tolong doa-doakan sama ya. Terima kasih. 

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!