Nuffnang

Thursday, June 26, 2014

Percutian ke Hong Kong 2014 - Day 1

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. percutian kami yang tertangguh pada bulan mei yang lepas telah tertunai pada minggu lepas. Best ke Hong Kong? Pada aku BEST. Mungkin sebab Hong Kong adalah salah satu tempat percutian impian aku. Alhamdulillah.. segala urusan kami dipermudahkan. Pertama kali sebenarnya untuk kami sekeluarga berjalan ke luar negara sendirian tanpa menggunakan perkhidmatan travel agent. Alhamdulillah.. percubaan pertama kami berjaya.. Syukur.. Tak kisahlah walaupun kebanyakan masa aku terpaksa memegang kertas nota di tangan, tercanggak-canggak baca papan tanda, terpusing-pusing cari jalan dan tempat serta tersenyum-senyum sendiri bila dah jumpa papan tanda, jalan dan tempat yang dicari. Terus rasa macam eh.. senangnya he..he.. Padahal sebelum tu cuak dan berpeluh jugak ha..ha..

Flight kami pukul 9.05 pagi. Jadinya sesudah subuh kami bertolak dari rumah dengan menaiki teksi. Teksi dari Bangi ke KLIA2 - RM60.  Tiba di KLIA2 terus rasa kagum. Besar woooorrr.  Lepas check in baggage kami pergi sarapan dulu. Dah ronda-ronda KLIA2 sikit barulah pergi mencari gate.  Beratur nak masuk dan scan beg pun panjang.  Memang lengguh juga kaki nak berjalan kat dalam tu. Jauh juga nak sampai ke gate. Janganlah nak sampai ngam-ngam. Kang tak pasal-pasal tertinggal flight. 

Kami terbang dengan  Air Asia. RM 3K termasuk tax, seat, baggage dan makan untuk 5 orang pergi balik 4 Adult 1 Child. Masa aku booking  bulan mei hari tu RM 4k. Alhamdulillah.. rezeki.. tiket baru ni murah 1K dari yang sebelumnya. (Semalam Air Asia Insure dah bagi confirmation yang claim aku dah approved. Alhamdulillah.. dapat balik refund flt tiket yang lepas. Terima kasih ALLAH).  Kami booking seat yang RM10. Kalau hot seat RM30. So kita duduk belakang Hot Seat aje. Janji seat depan-depan jugak. Cepat sikit nak keluar he..he.. Perjalanan mengambil masa selama3 jam 45 minit untuk sampai ke Hong Kong. Waktu di Hong Kong sama dengan Malaysia. So senang nak tengok jam. Tak payah nak tukar-tukar dah.

Aku pernah terbaca entah di mana (aku lupa) katanya kalau nak cuba belajar bercuti sendiri tanpa travel agen, Hong Kong adalah tempat untuk membina keyakinan. Alhamdulillah.. ianya benar bagai dikata. Memang senang untuk berjalan sendiri di Hong Kong. Ini kerana papan tandanya lengkap, banyak dan sangat membantu. Orangnya boleh bertutur dalam bahasa english, jadi agak mudah untuk berkomunikasi. Pengangkutan awamnya bagus sekali. Paling best kita tak perlu menunggu! Memang aku jadi yakin untuk berjalan sendiri selepas mengutip pengalaman itu di Hong Kong. Terima kasih untuk perkongsian blogger-blogger lain tentang info percutian mereka di Hong Kong. Ianya benar-benar dapat membantuku. Alhamdulillah..

Soal budget, bila berjalan sendiri memang pastinya akan jadi lebih murah berbanding bila kita menggunakan agen. Banyak juga yang kami dapat berjimat bila berjalan sendiri. Harga public transport memang berpatutan. Kalau tak naik teksi lagi banyak dapat jimat. Kenapa nak cerita pasal nak murah dan nak jimat time bercuti ni??? Ini kerana Hotel di Hong Kong sangat mahal. Hotel harga RM 1K semalam pun cuma macam standard hotel RM 400 kat Malaysia. Tapi nak merasa punya pasal, gigil-gigil juga booking hotel tu. Makan pun mahal juga kat sana. Tapi senang juga nak cari makanan halal. RM 30 - RM 40 untuk satu set makanan untuk seorang. Kalau dah lima orang, kalau sehari  2 kali makan? Dah berapa kan. Jadinya bila boleh dapat berjimat untuk perkara yang kita boleh jimat, takdelah terasa sangat untuk membayar kos-kos lain yang mahal tu. Gitu he..he.. So, masih boleh bercuti dengan senang hati tanpa nak bercatu-catu makan di luar dan nak santai-santai di hotel mahal (bagi akulah).

Makan di Popeye Restoran kat tingkat 7 Terminal 1 HKIA. Restoran ni ada cop halal. So boleh makan tanpa was-was. Yang warna putih kat papan tanda sebelah kiri tu ada logo halal.  Kena flash langsung tak nampak apa huhu.. 

 Murah sikit makan di sini berbanding restoran lain. Rasa pun boleh tahan di tekakku. Yang penting kenyang. 

Kami tiba di Hong Kong pada pukul 12.45 tengah hari. Lepas makan semua dalam pukul 2 lebih baru keluar dari airport. Cari terminal bas kat luar. Ikut aje papan tanda yang banyak terdapat di situ. Sekejap aje tunggu, bas dah sampai. Sebelum tu kena beli kad Optopus (macam kad touch and go untuk memudahkan pembayaran bila menaiki bas dan MTR). Kad Optopus boleh dibeli di Kaunter Tiket MTR di dalam Airport di Terminal 1. Ikut juga papan tanda. Harga kad Optopus tu HKD 150 untuk dewasa (50 deposit 100 nilai isian) dan HKD 70 untuk kanak-kanak (50 deposit dan 20 nilai isian). Setiap orang perlu memiliki satu kad sendiri. Jangan risau, nilai isian yang tidak habis akan di kembalikan bersama dengan deposit. Charge HKD 9 akan dikenakan untuk setiap kad waktu refund. Nak pulangkan untuk refund boleh dibuat di mana-mana kaunter tiket MTR. Untuk tambah nilai di 7 eleven pun boleh. Kad optopus juga boleh di gunakan di 7 eleven dan vending machine. So, memang sangat berguna kad optopus ni.

Lepas dah turun flight kena naik bas dulu untuk ke imegresen dan ambil baggage.  Signboard banyak. Baca dan ikut saja tanda arah. Nak senang ikut aje orang depan yang ramai-ramai tu he..he.. InsyaALLAH tak sesat.

Naik bas nombor A21 untuk ke Tsim Tsa Tsui. Perjalanan dalam 40 minit macam tu. Waktu naik kena sentuh kad optopus tu. Bas ni dua tingkat. Beg boleh diletakkan di tempat beg di tingkat bawah. Kalau di tingkat atas siap ada kamera tv untuk tengok beg di bawah. So akan rasa selamat. Kami duduk di tingkat bawah saja. Dalam bas ada skrin untuk beritahu route dan setiap perhentian. Basnya juga sangat selesa. Kami turun di perhentian No. 13, Nathan Road. Turun berdekatan dengan Masjid Kowloon. Nak turun dari bas kena tekan loceng. Selepas perhentian ke 12 bolehlah tunggu di tempat beg dan siap-siap tekan loceng.  

Turun dari bas kami berjalan terus ke depan mencari Mirador Mansion.  Kami menginap di Loi-loi Guest House untuk satu malam. Harganya RM200++ semalam untuk 4 katil yang kecil. Nak naik lif kena beratur ikut tingkat. Sebab lifnya cuma berhenti di tingkat-tingkat tertentu. Bangunannya agak usang. Tapi tempat penginapan itu sendiri masih selesa. Ownernya baik. TV, aircond, kipas, water heater, peti ais semua ada. Tapi biliknya sangat-sangat sempit. Kalau sekadar untuk mandi dan tidur memang boleh sangat. Untuk nak rasa selesa waktu bercuti memang tidaklah. Macam kami memang untuk mandi dan tidur saja malam tu jadinya masih berbaloilah juga walaupun rasanya kalau pergi lagi aku tak nak dah menginap di situ. Takut dah kena jeling dengan en.asben he..he.. Esoknya pagi-pagi lagi dah check out, so boleh sangatlah. Selepas solat jamak zohor dan asar kami terus keluar untuk ke Avenue of Star, Museum of Art dan Museum of space. 


Leon Lai Ming
Senang sangat nak cari jalan ke sana sebab papan tanda banyak. Laluannya pun lalu subway bawah bangunan. So tak panas. Waktu lalu kat subway menuju ke Avenue of Star, terjumpalah pulak gambar-gambar bintang-bintang Hong Kong. Aku pun apa lagi, laju-laju cari gambar Leon Lai.. Alolor.. hensemnya. Berbulu aje en.asben bila tengok aku excited sangat. Tapi aku paksa jugak suruh dia ambilkan gambar. Aku tak kira. Nak jugakkk ha..ha.. Rasa macam puas hati dan misi ke Hong Kong berjaya walaupun sekadar jumpa gambar ha..ha.. angau betul! Dah tu, dari sekolah lagi aku dah minat dia. Nak buat macam mana kan?? 

Cadangnya nak terus pergi ke Avenue of Star, tapi cuaca waktu tu masih panas. Ternampak pulak Muzium depan mata, apa lagi memang ke muzium dululah kami. Kita orang kan kaki muzium so nampak muzium aje suka he..he..  Best tau Hong Kong Museum of Art ni. Boleh tengok tembikar cina yang cantik-cantik tahun 1400, 1600 1700.. Kita orang memang rasa seronok.

 Harga tiket masuk pun tak mahal. HKD 10 untuk dewasa dan HKD 5 untuk kanak-kanak. 

Dari dalam bangunan muzium boleh nampak pemandangan Hong Kong yang cantik.  

 Terleka tengok laut dan  bangunan pencakar langitnya. Indah!

 Antara pameran yang terdapat di luar muzium. Di dalam muzium tak boleh nak ambil gambar. Macam street of Hong Kong gitu.

Lepas ke Museum of Art kami ke Museum of Space pulak. Anak-anak memang excited bila masuk ke sini. Bagi aku sendiri muzium ni sangat menarik. Boleh rasa berjalan di angkasa dengan aktiviti yang disediakan. 

 Keluar dari muzium kami terus ke Avenue of Star.. 

Pemandangannya cantik.. Aku suka.. 

Mama suka.. anak-anak muka terpaksa hu..hu.. susah sangat bila nak ajak bergambar..  Macam hari-hari kita boleh datang situ.. Berangin aje aku he..he..

En.asben dan anak bujangnya.. 

Cantik kan.. 


 Kapal star Cruise pun lalu kat situ. Terus teringat kenangan bulan madu naik star cruise eh..eh.. he..he..


Kapal Hong Kong yang famous. Gambar yang ok dalam kamera lain. Gambar ni aje yang aku boleh upload dulu.. Jadilah..

Nak ambil gambar memang backgroundnya orang sesaja. Jadinya kami melepak mengadap laut dan bangunan pencakar langit yang sangat cantik di kawasan Avenue of Star. Pukul 8 malam tengok Symphony of Light. Tak tunggu sampai habis pun. Orang sangatlah ramai. Kami terus berjalan kaki ke Masjid kowloon untuk solat jamak maghrib dan isyak. Ramai orang indonesia yang berkumpul di situ. Ramah mereka menegur. Siap turun ke bawah untuk tunjukkan kami tempat berwuduk. Siap bentangkan sejadah lagi. Alhamdulillah.. bertemu jiran negara yang baik-baik di sana. Lepas solat kami pergi makan malam. Malas nak masuk bilik yang sempit tu cepat-cepat. Sebelum balik singgah lagi kedai-kedai di kawasan sekitar hotel. Cari souvenir sikit-sikit buat kenangan. Pukul 10 lebih baru balik bilik. 

Pizza di Restoran Ziafat di Tsim Tsa Tsui. Sekeping RM 50. Nasib sedap. Banyak Olive yang muda-muda tu.  Senang juga nak mencari makanan halal di Hong Kong. Restoran arab, pakistan, yeman etc. Ramai pekerja-pekerja restoran yang mengedarkan pamphlet di sepanjang jalan. Kalau kat area Masjid kowloon lagi banyak. Kalau kita nak, mereka akan membawa kita ke restoran mereka. 


Alhamdulillah.. ada rezeki untuk kami ke Hong Kong. Macam mimpi, tapi itulah yang dinamakan rezeki kan. Terima kasih ALLAH atas rezeki yang dapat kami nikmati. SUBHANALLAH, ALHAMDULILLAH, ALLAHUAKBAR..

Beria aku nak cerita pasal orang Hong Kong semalam kan he..he.. Sebenarnya bukan apa pun cuma dia orang ni tak berapa nak friendly. Ada juga yang ramah, tapi ramah yang gitu-gitu aje. Orang Malaysia ni kan dah terbiasa dengan berbudi bahasa. Bila orang tak berbudi bahasa kita rasa lain macam sendiri. Tak sedar yang kita berada kat negara orang ha..ha.. Even penjualnya pun garang-garang. Mula-mula tu aku macam takut-takut bila dia orang garang-garang. Siap terasa lagi he..ha.. Bila kebanyakannya macam tu, aku dah tak takut dah. Cultural dia orang macam tu kut. Bab view, bab public transport, bab displin, bab kemajuan, bab ketepatan masa memang boleh puji. Bab peradaban fail sikit. Itu saja.  

Malam pertama tu, aku tidur dah sakit-sakit badan. Satu hari asyik berjalan aje kan. Dahlah KLIA2 tu besar. HKIA lagi besar. Dari terminal 1 kena ke terminal 2. Cari kaunter tiket. Cari kaunter bas. Berjalan cari guest house. Lepas tu berjalan kaki lagi dari Mirador Mansion ke Avenue of star. Berjalan pulak dalam muzium. Berjalan cari restoran. Ronda kedai-kedai kat area tu lagi. Mahu tak lengguh badan dan kaki. Tapi bangun pagi tetap bersemangat jugak sebab nak check in di Disney Hollywood Hotel dan  bawak anak-anak ke Disneyland. Nanti aku sambung cerita lagi, insyaALLAH. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, June 24, 2014

Hong Kong dan anak-anak..

Assalamualaikum..

Bila bercuti, tak kiralah ke mana pun destinasinya pastinya ianya menjadi hal yang sangat menyeronokan. Tapi yang lebih seronok ialah bila kita lihat senyuman di wajah anak-anak. Yang itu tak terbanding perasaannya. Allahukabar, rasa sangat puas bila dapat lihat senyuman itu. Senyuman yang mempamerkan perasaan dan keterujaan mereka. Anak-anak orang lain aku tak tahu. Tapi anak-anak aku memang bukan jenis yang akan cakap.. mama, ayah bestnyaaaaaaa.. Bukan juga yang kalau bercuti ke mana-mana suka kalau kita nak ajak ambil-ambil gambar dengan muka riang ria. Kalau sekeping dua tu dia orang layanlah lagi. Lebih dari tu memang hmmm.. takde maknanya nak tunjuk muka riang ria sangat. Tak kiralah walau bagaimana riang pun hati mereka. Boleh buat hilang mood kalau paksa-paksa juga. Sebab selalunya memang mamanya yang lebih-lebih kalau bab-bab yang itu he..he.. Jadinya memang kena lebih redha ajelah bila gambar-gambar kenangan tak banyak mana. Kalau banyak pun yang okeynya boleh dikira pakai jari aje hu..hu.. En.asben kata, nak buat kenangan cukuplah sekeping dua ha..ha.. (Memang geng anak-anak betul tau!). Takpelah.. kenangan dalam hati dan ingatan pun dah cukuplah.. (Ayat pasrah dah ni ha..ha.. sambil feeling diri ini adalah izzah ombak rindu).

Bawa pergi Hong Kong anak-anak aku biasa-biasa aje. Suruh tengok view Hong Kong yang cantik pun anak-anak aku biasa-biasa aje. Macam takde perasaan walaupun aku dah bukan main super teruja. Maklumlah.. masa zaman sekolah-sekolah dulu memang layan drama Hong Kong setiap petang. Jadinya perasaan teringin nak ke Hong Kong tu memang dah ada sejak hati ini jatuh cinta dengan Leon Lai ha..ha.. Kalau suruh pilih Korea dengan Hong Kong pastinya aku akan memilih Hong Kong. Sebab tu aku pergi Hong Kong he..he.. Sebenarnya memang ada hajat nak bawak anak-anak ke Disneyland. Alhamdulillah ada rezeki. Dalam pada selamba dekkk aje bila sampai Hong Kong, reaksi anak-anak memang bertukar bila sampai ke Hong Kong Disneyland. Az bukan main ceria dapat main banyak permainan yang kena dengan jiwa kanak-kanaknya. Asyik senyum aje sampai muka aku pun ikut tersenyum-senyum. Dia nampak sangat enjoy. Is dan Han pun begitu. Muka en.asben pun nampak puas bila anak-anak nampak seronok. Bila anak-anak nampak teruja, aku dan en.asben akan berbalas pandangan. Kami akan sama-sama tahu yang anak-anak memang sedang gembira. Memang berbaloi-baloi kami beli pass masuk ke Disneyland untuk dua hari. Puas anak-anak dapat main. 

Kami di Hong Kong hanya tiga hari. 2 hari kami di Disneyland Resort. Jadinya memang tak dapat ke tempat-tempat lain pun. Sehari tu dapat habiskan di sekitar Kowloon dan Tsim Tsa Tsui saja. Alhamdulillah.. sempat juga kami ke Museum of Art dan Museum of Space. En.asben dengan anak-anak memang suka muzium. Puaslah hati dia orang bila dapat masuk ke kedua-dua muzium tu. Aku pun enjoy juga. Memang percutian ini untuk habiskan tiket 2 hari di Disneyland tu. Dengan reaksi anak-anak yang macam tu, kira okeylah walau tak ke tempat-tempat lain pun. Sebab nanti yang excitednya aku seorang he..he.. Kan yang sentapnya aku jugak ha..ha.. Shopping.. aku hanya shopping souvenir aje. Sebahagian di Tsim Ts Tsui. Sebahagian lagi di Disneyland. Selain dari tu memang takde. Nanti aku kongsikan info-info yang boleh kawan-kawan ambil. Walaupun 3 hari saja kami di sana, adalah juga perkara yang boleh dikongsi. Nak kongsi gambar pun dah tentu gambar tak banyak kan he..he..

Tengok.. Az dah tunjuk muka bosan. Padahal baru sampai HK. Dalam bas dari airport ke Tsim Tsa Tsui.

Hong Kong yang cantik.. 

Space Muzeum.. Muka ada sedikit ceria he..he..  

Ada cerita di sebalik gambar ni. Nanti aku cerita. Masa ni dah tahu sedikit the colour of people of Hong Kong (sebahagiannya) hu..hu.. Pengajaran untukku.. 

Walau bagaimana pun, Hong Kong tetap indah.. 

Cepat senyum.. mama nak ambil gambar tu.. 
Ha..ha.. En.Asben asyik kutuk aku aje tau bila aku suruh dia orang pose! 

Happy faces dapat bermalam di Hollywood Disney Hotel..  

CERIA dapat jumpa PAKWE LAMA di Hong Kong.. 
walaupun hanya gambar aku tetap ceria ha..ha..

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Friday, June 20, 2014

Review novel - DIA SAYANG AKU ~ Hanis Azla

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Novel keduaku, Dia Sayang Aku telah pun berada di pasaran pada bulan Jun 2014 ini. Syukur, Ya ALLAH. Terima kasih buat editor dan kesemua Team Buku Prima yang bagi aku sangat bijak dan cukup berbakat dalam bidang mereka. Terima kasih banyak kepada pembaca dan peminat novel yang memberikan sokongan. Semoga naskah Dia Sayang Aku memenuhi citarasa pembaca. Harap maaf andai ada kekurangan. Pujian yang diberi sangat menaikkan semangatku untuk terus menulis. Komen dan pandangan yang dikongsi sangat memberi inspirasi dan menjadi ilmu yang sangat berguna buatku. Ianya menjadi pemangkin juga pencetus idea untuk aku menulis dengan lebih baik, insyaALLAH. Sokongan yang diberikan dari keluarga yang disayangi, rakan-rakan yang dikasihi juga pembaca yang dihormati sangat aku hargai. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih untuk semua!



Jemputlah baca review novel - Dia Sayang Aku - Hanis Azla di blog Lulu CaldinaSeperti Novel pertamaku Takdir Fitrah Terindah, novel keduaku Dia Sayang aku juga telah dibaca dan direview  oleh sahabat blogger yang manis, Lulu Caldina. Terima kasih banyak Lulu atas kesudian dan sokongan! Kepada yang belum mendapatkannya, sudi-sudikanlah ya. Terima kasih :)

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Friday, June 13, 2014

Tips untuk betulkan awning tudung..

Assalamualaikum..

Aku suka pakai selendang. Tapi kalau nak cepat memang akan sauk tudung awning  aje. Jadinya banyaklah juga tudung awning yang aku ada untuk stand by. Dalam banyak-banyak tu, banyak juga yang awningnya dah rosak. Sebabnya.. kadang-kadang tersilap gantung. Kadang-kadang anak-anak terhimpitkan tudung tu. Bila iron balik, awning tu jadi lebih rosak sebab salah teknik mengosok hu..hu.. lagi haru! Bila awning dah rosak nak pakai pun dah takde hati. Walaupun tudung aku memang bukan tudung mahal, tapi bila rosak dan tak boleh pakai terasa sayanglah juga. 

Aku suka tengok awning tudung sepupu aku. Nampak elok dan terletak aje semuanya walaupun itu tudung lama. Ada dia kongsikan tipsnya denganku. Thanks Nana! Tapi aku tak pernah cuba. Waktu adik aku koma di hospital, dua hari aku tak balik rumah. Masa tu memang pakai tudung awning aje. Dah tukar tudung main campur aje dengan baju kotor yang lain. Malas nak fikir. Bawak balik rumah selepas arwah adik meninggal, emak masukkan kesemua baju kotor dalam mesin basuh. Termasuk tudung awning tu. Tudung awning kalau dah masuk mesin basuh memang tak selamatlah awningnya. 

Aku menung tengok tudung tu. Dah bersegi-segi awningnya. Memang rasa tak dapat diselamatkan lagi dah. Dahlah tudung tu antara tudung awning yang aku suka pakai. Sebak jadinya hu..hu.. Bawak balik rumah aku letak tudung tu ke tepi. Malas nak fikir lagi. Satu pagi, dah terlambat nak pergi kerja. Dah sarung baju baru teringat takde tudung yang match selain tudung awning yang awningnya dah rosak tu. Teringat tips dari sepupuku. Okey, aku pun cuba buat. Tipsnya seperti berikut :

On iron --> Tunggu seketika --> Off iron --> Tunggu seketika --> Kemudian gosok bahagian belah dalam awning tu (jangan gosok dari luar ya). Macam mana nak gosok tu kena pandai-pandai sendirilah asalkan awning tu jadi terbentuk cantik semula. 

Hasilnya, tudung awningku yang dah bersegi-segi tu jadi cantik awningnya kembali. ALHAMDULILLAH.. Aku jadi excited dibuatnya. Cuba gosok tudung awning lain yang dah rosak pun menjadi juga. (Ada testimoni bolehlah kongsikan tips ni he..he..). Tidaklah awningnya jadi 100% cantik seperti sediakala macam kita baru beli. Tapi tudung yang rosak awning tu sudah kembali terbentuk dan boleh dipakai semula. Tidaklah lagi bersegi-segi. Kira okeylah tu kan dari terpaksa buang aje tudung tu. Selamat mencuba! Kalau betul teknik mengosoknya insyaALLAH menjadi.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, June 3, 2014

Refund..

Assalamualaikum..

Rezeki ALLAH yang bagi. Duit, insyaALLAH boleh dicari. Tapi adik beradik tiada ganti. Bila tiada rezeki untuk ke Hong Kong tempoh hari, aku sudah tidak memikirkan tentangnya. Waktu itu, dalam keadaan yang begitu, makan pun aku boleh tak kisah. Ini kan pula hal-hal yang lain. Kalau burn pun perbelanjaannya, biarlah. Tak jadi hal pun untuk aku. Dah namanya bukan rezeki. Peluang untuk kami berada disamping adikku di saat akhirnya jauh lebih besar dari apa yang  aku dan keluarga perlu lepaskan. Dalam pada itu, ramai yang beri cadangan agar kami minta refund. Kata mereka, dalam hal kecemasan dan kematian seperti itu mungkin ada pertimbangan yang boleh dibuat atas budi bicara. Entah mengapa aku merasakan yang hal itu adalah mustahil. Sebab dah jelas tercatat di setiap booking confirmation. No refund! Tapi bak kata en.asben, apa salahnya mencuba untuk minta refund. Kami pun tidak mengharapkan apa-apa. Kalau dapat ALHAMDULILLAH. Kalau tidak pun, tidak mengapa. 

Aku pun menghantar email kepada pihak yang telah aku buat booking hotel dan tiket masuk ke Disneyland. Begitu juga kepada Air Asia. Perkongsian untuk semua yang menghadapi hal yang sama denganku. Dalam hal kecemasan dan kematian, memang kita boleh untuk buat tuntutan bayaran balik. Asalkan ada dokumen dan pengesahan sebagai bukti pembatalan. Terima kasih kepada Asia Travel.com atas budi bicara mereka. Pujian aku berikan kepada staf Asia Travel yang sangat memberikan kerjasamanya. Bantuan dari mereka sangat memudahkan urusanku. Dalam masa seminggu, duit booking hotel telah dipulangkan semula ke dalam kad kreditku. Alhamdulillah, kami ada ambil insurans perjalanan Air Asia. Mengikut termanya, dalam hal kecemasan di hospital dan kematian ahli keluarga terdekat, kami boleh buat tuntutan pembatalan. Alhamdulillah.. staf Air Asia juga membantu dengan baik dalam hal bagaimana kami boleh membuat proses tuntutan. 

Ada rezeki, insyaALLAH kami akan ke Hong Kong dalam bulan ini. 2 days pass masuk ke Disneyland yang telah dibeli tidak dapat dikembalikan bayarannya kerana tiket tersebut masih valid sehingga bulan Ogos 2014. Alang-alang tiket tersebut masih sah dan duit hotel sudah kami dapat semula jadinya bolehlah kami meneruskan perancangan yang sebelum ini terbatal. Urusan arwah dan anak-anaknya pun kebanyakannya sudah kami uruskan. Untuk percutian ini, sudah tentu terujanya tidak seperti sebelum ini. Lebih-lebih lagi dalam fasa-fasa kehilangan yang baru kami lalui. Namun, hidup mesti diteruskan juga. Semoga segalanya dipermudahkan untuk kami. Ada rezeki sampailah kami ke bumi Hong Kong. Jika tidak, ALLAH maha tahu apa yang terbaik untuk kami. Al-fatihah buat arwah adikku dan arwah-arwah yang telah pergi meninggalkan kita. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita. Take care and have a nice day!