Thursday, March 26, 2015

Memenuhi amanat ayah..

Assalamualaikum..

Tahun ini, si bongsuku Az sudah darjah lima. Tahun depan dia akan menduduki peperiksaan UPSR. Bermakna tahun depan adalah tahun terakhir Az di sekolah rendah, insyaALLAH. Bila dah habis sekolah rendah akan masuk ke sekolah menengah pula. Tak seperti Han dan Is, sejak darjah satu hingga darjah empat Az memang tak aktif langsung di sekolah. Tidak memegang apa-apa jawatan. Juga tidak mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti sekolah. Bila ditanya mengapa, jawapannya ialah dia memang tak mahu melibatkan diri. Tak minat. Amboi!! senangnya jawapan he..he.. Tapi bila ada pengalaman anak-anak yang lain  masuk ke sekolah menengah, jadi aku dah tahu kepentingan untuk terlibat dalam aktiviti sekolah. Juga untuk ada jawatan yang di pegang di sekolah. Ini kerana borang untuk permohonan masuk ke sekolah-sekolah pilihan memerlukan kita mengisi bahagian aktiviti dan jawatan. Bila sudah begitu, sudah tentu pelajar yang mempunyai jawatan dan terlibat aktif dalam aktiviti sekolah akan mempunyai peluang yang lebih untuk terpilih. 

My cheeky Az..

Awal tahun ni sebelum sekolah di buka, en.asben dah beri amanat pada anak bongsunya. Nasihatkan Az agar dia  aktif sikit. Mana aktiviti yang boleh disertai cuba sertai. Mana jawatan yang boleh dipegang cuba pegang. Ianya supaya Az  ada kelebihan bila mahu memohon masuk ke sekolah menengah yang baik jika ada rezeki mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR nanti. Waktu en.asben dan aku beri amanat dan nasihat. selamba aje muka Az. Macam tak berapa nak ambil kisah pun. Tapi.. sebaik sekolah dibuka, pada minggu pertama, balik aje dari sekolah Az menelefonku. Mama.. Bb jadi ketua kelas. Excited aje suaranya memberitahu. Alhamdulillah.. ada rezeki Az untuk pegang jawatan tu. Padahal dia baru naik kelas tu dari kelas kedua tahun ni. Mungkin kerana dalam kelas itu sendiri sudah ramai yang berjawatan pengawas sekolah dan pengawas perpustakaan. Disebabkan itu dia yang tidak mempunyai sebarang jawatan terpilih untuk dicalonkan dan dipilih pula kawan-kawannya untuk menjadi ketua kelas.

 Az yang dah pegang jawatan sebagai ketua kelas.. akhirnya.. he..he..

Pada minggu seterusnya, Az memberitahuku yang dia terpilih untuk menyertai kumpulan nasyid sekolah. Aku tanyalah bagaimana dia boleh terpilih. Dia memberitahuku yang dia dan kawan-kawannya pergi uji bakat bila diberitahu ada pemilihan untuk penyanyi nasyid. Dari situlah dia terpilih dan mendapat peluang untuk masuk kumpulan nasyid sekolah. Beberapa hari selepas itu, balik dari sekolah Az menelefonku. Mama.. Bb dapat jadi penyanyi solo untuk nasyid. Berbisik-bisik aje suaranya untuk cover rasa excitednya. Alhamdulillah.. Tapi terperanjat jugak aku. Tak pernah-pernah nyanyi kalau kat rumah, tiba-tiba aje boleh jadi penyanyi solo. Jadi bukan setakat aku, en.asben dan seisi keluarga pun sama terperanjat he..he.. Bila aku minta dia nyanyi depan aku, eh.. boleh tahan juga suaranya. Tapi sikit aje dia nyanyi. Malu! Dalam pada langsung tak aktif sebelum ini, masuk darjah lima ni terus aktif pulak dia. Dalam pada buat tak kisah bila ayah bagi amanat, rupa-rupanya dia ambil berat juga nasihat dari ayah. Alhamdulillah.. kumpulan nasyid sekolahnya berjaya menjadi naib johon dalam pertandingan nasyid sekolah peringkat zon. InsyaALLAH, dapat peluang untuk ke peringkat daerah. Syukur.

Penyanyi solo nasyid sekolah..

Doa mama dan ayah agar Az terus cemerlang dalam kehidupan di dunia dan di akhirat insyaALLAH. Bila tengok gambar-gambar ni macam baru tersedar yang besar dah si bongsu aku ni. But for me he is always my baby. Mama love you so much sayang.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, March 10, 2015

Perth & Nike Roshe Run..

Assalamualaikum..

Sekarang ni dah tak berapa kerap layan FB. Asyik tak sempat aje. Blog pun gitulah juga. Tapi bila layan FB suka juga nak upload gambar dan update cerita sendiri. Suka juga nak like gambar dan cerita orang lain. Mata pun rajin nak menjeling-jeling iklan yang di side bar. Dalam banyak-banyak iklan, yang paling aku perasan ialah iklan kasut Nike Roshe Run. Kalau tanya aku kasut Roshe Run tu macam mana sebulan yang dulu memang aku pun tak tahu. Tapi kalau tanya sekarang aku dah tahu dah he..he.. Sebabnya anak dara aku sibuk sangat nak beli kasut tu nak buat pakai untuk aktiviti sukan sekolah. Bila dia dah cakap barulah aku tahu. Sebelum pergi beli aku google dulu tengok kasut tu macam mana. Berapa harganya. Kalau standard aku untuk pakai pergi aktiviti sekolah, aku beli aje kasut sukan yang biasa-biasa. Tapi budak-budak sekarang ni nak yang ada jenama. Bila Han cakap dia nak guna duit sendiri jadi aku malaslah nak tahan-tahan. Lebih-lebih lagi bila dia dah simpan dan kumpul duit. Jadi ayahnya pun bawalah pergi beli. Bila ayah yang bawak pergi beli memang sudahnya ayahlah yang belikan kasut tu untuk anak dia. Hmm.. anak ayah gitulah kan. Takpe-takpe ayah belanja. Eeii.. jeles.

Bila Han bawa balik kasut Nike baru, aku pun teringatkan kasut Nike aku dulu-dulu. Terus belek gambar lama nak tunjuk kat Han yang aku pun ada kasut Nike dulu ha..ha.. Bukan beli masa zaman sekolah. Masa zaman sekolah dulu susah. Nak beli kasut Power pun tak mampu. Aku beli kasut Nike tu lepas dah ada anak 3. Sian aku he..he.. Waktu tu kami nak pergi Perth. First time aku nak ke oversea dan first time naik flight pun lepas ada anak 3. Beli kasut Nike sama dengan en.asben. Konon-konon macam sweet sebab kira macam nak pergi honeymoon walaupun dah ada anak 3 waktu tu ha..ha.. Aku punya warna kelabu. En.asben punya warna biru. Jangan tanya nama kasut tu apa sebab aku pun tak tahu. Aku beli sebab aku rasa kasut tu cantik. Masa dalam train kami nak ke Fremantle dari Perth siap ada mat saleh puji-puji kasut kita orang kata lawa. Kira cantiklah kan. Ha..ha.. perasan! So, sajalah nak letak gambar aku kat sini. Han dapat tayang kasut Nike Roshe Run kat aku, aku mampu tayang gambar pakai kasut Nike aku dolu-dolu aje he..he.. jadilah. 

Me and en.asben waktu zaman study kat obersea dengan kasut Nike sama... 
Ha..ha.. tak payah gelabah sangat konkonon graduate from oversea.. 
Waktu ni pergi temankan en.asben konvo buat master. 
Teman orang konvo aje aku mampu he..he.. Walau apapun
ALHAMDULILLAH.. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Wednesday, March 4, 2015

Rumah bersih..

Assalamualaikum.. 


Ada rumah yang bersih. Ada rumah yang bersepah. Kalau tanya pada siapa-siapa pun rasanya semua orang akan memilih rumah yang bersih.  Kalau bersepah tu tentulah ada penyebabnya. Bukan sesuatu yang disengajakan dan tentunya tidak langsung menjadi kemahuan. Aku juga begitu. Aku memang suka rumahku bersih.  Selalu rasa serabut kalau rumah bersepah. Angin satu badan dibuatnya. Tapi.. hah.. ada tapi pulak ya. Kadang tu badan tak larat. Kadang tu malas menjelma. Jadi rumah yang bersepah ada kalanya tak berkemas juga. Bila tak kemas terus nampak tak bersih. Nak betul-betul sapu dan mop satu rumah sampai berkilat rasa tak larat. Kalau larat pun kadang tu malas. Ditambah pula dengan sibuk. Anak-anak pun masih belum peka lagi bab itu. Masih macam takde hal kalau rumah bersepah. Takdelah nak tolong kemas kalau mamanya tak pot pet. Langsung tak sakit mata nak pandang. Mulalah aku tarik nafas panjang-panjang dan lepas tu membebel ha..ha..

Emak aku dari dulu memang pengemas orangnya. Rumah selalu bersih. Tapi bila kita orang adik beradik dah besar-besar tugas mengemas dah jatuh pada kami. Emak memantau aje. Hujung minggu kalau pukul 10 pagi rumah masih tak bersapu memang kena bebellah kami adik beradik. Hiasan dan kerusi meja kena berlap. Itu pun bila kawan emak datang sebelum rumah sempat kami sapu, kawan-kawan emak dah tegur, bersihnya rumah.  Kita orang macam eh.. kami baru lepas kena bebel dengan emak sebab rumah tak bersih dan tak bersapu lagi. Orang lain dah nampak macam bersih. Tapi bagi emak masih belum. Emak pulak kalau kita dah sapu dia suka check. Ni kenapa rasa macam berpasir lagi? Bila emak baring tengok tv, mata emak akan check bawah-bawah almari dan bawah-bawah tv nak buat pemantauan. Kalau masih kotor mulalah keluar ayat.. menyapu macam orang takde tangan he..he.. 

Kalau kat porch rumah, sejak aku kecik memang porch rumah kita orang siap boleh baring sebab bersih sangat. Emak siap sapu dan mop sampai porch. Jadi aku pun dah terbiasa macam tu. Kalau nak kata rumah bersih, mesti dari porch pun kena bersih. Waktu emak duduk sekali memang porch aku pun bersih sebab bila kami pergi kerja emak akan pastikan porch kami bersapu. Tapi bila emak dah tinggal di rumah adik, porch aku bersih ikut kerajinan dan kesempatan aku aje. Kalau rajin tu balik kerja  terus pegang penyapu dan sapu porch dulu. Kalau malas sikit minta tolong anak-anak sapukan. Kalau kesian anak penat memang tak bersapulah porch tu. Keluar kereta aje rasa nak lari laju-laju masuk dalam rumah sebab mata sendiri pun tak sanggup tengok porch yang tak bersapu. Main sapu sikit-sikit dalam rumah aje. Bila hujung minggu emak aku datang memang tahan telingalah kena dengar emak membebel porch kotor sambil emak tolong kemas peti ais hu..hu.. Emak aku, dalam peti ais pun kena kemas he..he..

Bila dah makin berumur ni, bab kebersihan rumah dah jadi hal penting bagi aku. Menurun dari emak kut. Kalau rumah tak bersih aje stress. Aku tak kisah nak sental bilik air bilik aku setiap hari. Janji bila masuk bilik air terasa sedap mata memandang. Tapi bila bilik air sendiri dah bersih, sakit mata juga bila tengok bilk air anak-anak yang seminggu sekali baru dia orang nak sental time buat comparison. Sentap mak korang nak. Hari jumaat lepas, waktu rehat  kawan aku call. Aku jawab call sambil termengah-mengah. Waktu tu dah janji nak keluar makan sama-sama. Tapi aku sempat balik sapu rumah dulu. Eh.. ko kenapa? Tanya kawan aku pelik campur suspen. He..he.. sebab aku macam ada projek rahsia. Gelak aje kawan aku bila aku cakap aku balik rumah kejap nak menyapu. Termengah-mengah tu sebab aku menyapu dari porch sampai dapur dalam keadaan terkejar-kejar. Dah settle semua sebelum keluar memang senyum sendiri sampai ke telinga. Sebab rasa puas bila tengok rumah dah bersih. 

Sekarang ni kalau hari jumaat, waktu rehat panjang tu aku suka balik dan sapu rumah. Kalau dulu hari jumaat balik rumah suka tidur aje.  Sekarang lebih suka nak menyapu rumah waktu orang takde. (Saja nak buat aktiviti mengeluarkan peluh pun iya jugak sebab lemak tepu dah banyak sangat he..he..) Senang aku nak buat kerja. Jadi bila hujung minggu aku cuma sapu dan kemas bahagian mana yang anak-anak yang bertujuh tu buat sepah aje. Selainnya dapatlah aku tumpukan  kepada penulisan novel. Baru-baru ni ada kawan-kawan haji emak datang ke rumah. Datang pada hujung minggu yang berbeza dan tetamu yang berlainan. Bila kawan emak datang dia orang dok puji kata rumah aku bersih dan kemas  walaupun ramai budak. Lantai nampak bersih aje padahal dia orang datang tu ad hoc. Bukannya cakap awal-awal. Dah ada area depan rumah baru call tanya emak ada kat rumah aku ke tidak. Terus nampak macam rumah aku memang sentiasa dalam keadaan bersih. Siap macam tak percaya bila aku cakap aku berkerja. Dia orang kata rumah aku bersih macam orang tak kerja sebab porch pun bersih. Takde maid pulak tu. 

Alhamdulillah.. siapa tak suka bila dipuji begitu kan. Walaupun aku sendiri tahu yang aku baru  beria menyapu dan mengemas sehari sebelumnya. Terus cakap  dalam hati. Kalau mereka datang sehari lebih awal tentulah aku tak dapat pujian tu he..he.. Macam kes aku mendapat pujian rumah bersih ianya lebih kerana aku  bernasib baik. Walaupun aku suka rumah bersih dan kemas, tapi adakalanya rumahku masih juga  tak bersih dan berselerak.  Adakalanya sangat bersepah dan tak terurus juga. Moral yang ingin aku sampaikan ialah bila kita datang ke rumah orang dan rumah mereka sedang bersepah, janganlah terus buruk sangka dengan meletakkan label yang tidak baik kepada mereka. Ada sebabnya rumah mereka tak bersih, tak terurus dan berselerak. Penat tau nak kemas rumah lebih-lebih lagi untuk wanita yang berkerja dan ada anak kecil-kecil. Kalau badan letih memang tak larat nak buat. Kalau banyak kerja lain yang perlu di utamakanm mengemas rumah pun jadi tak sempat. Aku faham sangat-sangat. Tapi.. untuk yang malas sangat nak mengemas rumah tu, bolehlah usahakan untuk merajinkan sedikit diri tu. Kalau rumah bersih, tak perlu tunggu orang datang puji. Kita sendiri pun dah rasa sangat senang hati. Pujian tu hanya bonus yang buatkan kita jadi lebih berpuas hati dengan kebersihan rumah sendiri.

Nota kaki : Rumah cantik dan rumah bersih adalah dua perkara yang berbeza ya. (Sebab rumah aku biasa-biasa aje). Bersih dan kemas juga mengikut piawaian di mata masing-masing. Tapi kalau mata rasa tak senang nak memandang memang bersepah, tak bersih dan berseleraklah namanya. Rumah cantik, rumah besar atau rumah mewah tak semua ada rezeki untuk memilikinya. Tapi rumah bersih, insyaALLAH, sesiapa pun boleh mengadakannya dengan sedikit usaha dari diri sendiri. Peringatan buat diriku dan anak-anakku agar kami dapat sentiasa berada dalam rumah yang bersih. Takde rezeki untuk ada rumah yang cantik, ada rumah yang bersih pun dah seribu rahmat. Syukur.. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, February 24, 2015

Kamalodge Taiping..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Cuti CNY dapat dipenuhi dengan aktiviti bersama keluarga. Syukur segalanya berjalan dengan lancar. Malam khamis, kami  berBBQ di  rumah mentua. Meriah dengan keluarga sebelah mak mertua. Lagi meriah dengan hidangan BBQ ayam, daging dan kambing. Ditambah lagi dengan  macam-macam makanan penuh meja yang disediakan oleh mak mertua dan kakak ipar. Pergh.. itu yang best tu. Alhamdulilah.. sempat juga celebrate birthday Az (11) dan Firhan (9) sekali. Hari khamis, pulun packing baju nak balik kampung. Dulu kemas baju untuk berlima pun aku dah guna separuh hari. Sekarang ni kena kemas baju untuk 9 orang memang satu harilah aku kena kemas baju he..he.. dasar terhegeh-hegeh. Pagi jumaat, sebaik selepas solat subuh kami bertolak ke Taiping. Alhamdulillah.. perjalanan lancar. Tiada langsung sebarang kesesakan. Mungkin kerana kami bertolak di awal pagi.

Alhamdulillah.. Kami dapat berjalan, cuti-cuti dan dapat balik kampung.. 

Bila dah keluar awal dan jalan pun tak sesak, sempatlah kami singgah ke Lenggong terlebih dahulu untuk melawat pakcik aku yang kena stroke. Alhamdulillah.. ada rezeki untuk pergi menziarah lagi. Jadilah dapat menjenguk sekejap. Lepas emak membeli ikan pekasam di jalan menuju ke Kuala Kangsar, kami pun terus ke Taiping. Sampai Taiping dalam pukul 1. Ngam-ngam untuk en.asben dan anak-anak bujang dia pergi solat jumaat. Alhamdulillah.. dapat jumpa tok. Hilang rasa rindu pada tok yang dah semakin uzur sekarang ni. Tapi balik kali ni tok boleh ingat pulak. Bila aku bersalam dan sebut namaku, terus tok sebut nama en. asben. Ish.. kesayangan sungguh en.asben ni. Walau apa pun rasa terharu juga sebab dalam usia 93 tahun, ingatan tok masih ada untuk kami. Terima kasih ALLAH.

Selepas en.asben dan anak-anak balik dari solat jumaat dan siap makan kami pun bergerak ke Kamalodge. Hajat di hati nak bercuti ke Pulau Pangkor. Tapi takde rezeki sebab hotel yang aku nak book semuanya dah penuh. He..he.. memang salah aku juga sebab baru nak booking last minute. Time cuti perayaan pulak tu. Memang mimpilah nak dapat kan. Jadi bertabahlah kena bercuti di taiping saja. Kebetulan memang ada kenduri kahwin yang mahu kami hadiri di Ipoh. Jadi sekali jalanlah. Paling utama dapat pergi melawat tok.  Alhamdulillah.. seronok sangat dapat bercuti di Kamalodge Taiping. Ianya tempat percutian yang menarik bagi aku. Terletak di kawasan Taman Tasik Taiping yang indah dan di kaki Bukit Larut yang damai.

Kolam renang Kamalodge yang jadi daya penarik untuk aku booking di sini. Anak-anak bukan peduli sangat nak menginap di mana. Janji ada pool dah kira ohsem sangat dah tempat tu.

Alhamdulillah.. cuaca pun sangat baik waktu kami menginap di situ. Memang rezeki anak-anaklah dapat berjimba dalam kolam tu berjam-jam. Kolamnya pun tak dalam. Jadi rasa selamat juga nak biarkan anak-anak mandi.

Nice view..
Penginapan di Kamalodge pun selesa. Dahlah chalet dan kawasannya cantik. Persekitannya bersih. Kiranya aku memang berpuas hati dapat menginap di situ. Kami menyewa suite. Macam gambar kat atas tu. Harga RM 340 sehari. Bagi aku berpatutanlah untuk kami satu keluarga yang besar menginap di situ. Suite tu ada dua tingkat. Tingkat bawah ada satu katil queen, ruang tamu, fridge dan bilik air. Tingkat atas ada satu bilik dengan satu katil queen, almari, iron board dan bilik air. Ada tangga comel di dalamnya untuk naik ke atas. Kat beranda atas tu pun boleh lepak-lepak tengok pemandangan. Minta maaf aku tak sempat nak ambil gambar dalam bilik sebab kalut dengan anak-anak.


Waktu kami pergi ada keluarga yang buat family day di situ. Nampak seronok dengan aktiviti. Sampai penuh kolam dibuatnya.

Bersebelahan dengan kolam ada cafe. Tengok menu macam banyak aje pilihan makanan. Bagus sangat ni. Aiskrim kek pun ada. Float dia sedap. Sandwich dia sedap. Mushroom sup dengan garlic bread pun sedap. Ha..ha.. ikut aku semua makanan pun sedap. Mana tak gemuk, kan?? Sambil anak-anak mandi mama dengan ayah boleh lepak kat sini makan lite-lite katanya. Tapi jangan kira kalorinya sebab kalorinya tak light langsung he..he.. Malam kalau rasa malas nak keluar boleh makan kat cafe ni aje. Harganya standard macam makan kat cafe lain juga. Taklah mahal sangat tapi taklah juga murah.

Happy moment.. 
Masa ambil gambar tak perasan langsung. Anak-anak pun main buat pose sendiri aje. Takde atur-atur pun nak posing macam mana. Sekali bila tengok balik gambar ni baru perasan. Eh.. pose ikut adik beradik sendiri pulak.
Alhamdulillah.. anak-anak tahu nak hargai adik beradik. Saling nak ambil berat. Semoga ianya berterusan hendaknya.. insyaALLAH. FAF pun pandai jaga adik-adiknya. Gegirl pun sayang sangat kat abang-abangnya. Selalu rasa secure sebab dia cakap dia ada 3 abang. Kalau gaduh pun nanti selalu cakap.. Eh.. tak boleh gaduh-gaduh.. kita kan adik beradik. Bijak sangat gegirl. Selalu juga dia yang ingatkan abang-abangnya. Abang dah sedekah Al-fatihah untuk mummy ke belum? Semoga arwah mummy tenang di sana.. insyaALLAH.
Bangun pagi-pagi anak-anak dah tak sabar nak mandi. Alhamdulillah.. seronok tengok anak-anak enjoy bercuti di sini. Aku dengan en.asben keluar cari sarapan. Kalau nak makan kat cafe tu pun boleh. Tapi saja nak cari makanan kat luar.

Kesayangan.. 
2 perempuan 5 lelaki.. Syukur. Semoga semuanya membesar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Semoga semuanya sentiasa mendapat keberkatan hidup serta kejayaan dan kecemerlangan  di dunia dan akhirat.. insyaALLAH.
InsyaALLAH.. ada rezeki nanti kita pergi bercuti lagi.

Gedebush..
Asyik nak terjun aje semuanya. Siap somersoult lagi. Kagum mama tengok.
Kalau ikut mama dengan arwah mummy memang kita orang jenis penakut air. Sampai ke sudah tak pandai berenang he..he..

Alhamdulillah.. kami seronok dapat bercuti dan jalan-jalan di Taiping. Dapat jumpa dan peluk cium tok. Dapat melawat pakcik di Lenggong. Dapat jumpa saudara-mara di Taiping dan dapat penuhi undangan perkahwinan jiran Kajang di kampungnya di Ipoh. Waktu nak balik Bangi hari sabtu tu jalan dah mula jem. Memang berjam-jam atas jalan. Adatlah bila berjalan time cuti perayaan dan cuti panjang kan. Hadap ajelah tak perlu nak mengeluh sangat. Sebab sendiri yang cari penyakit nak berjalan sangat he..he.. Jadi, pasrah ajelah.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, February 17, 2015

Ruangan Homework..

Assalamualaikum..

Semalam Han tegur. Mama period lagi eh? Aku tanyalah, kenapa? Dia kata sebab  susun atur dalam rumah bertukar lagi he..he.. Han kata, dia perasan, last month pun time period aku alihkan kedudukan sofa. Aku sendiri pun tak perasan. Tapi memang lately aku rajin sikit  nak alih-alihkan kedudukan perabot kat dalam rumah. Buat sendiri takde orang tolong pun takde hal. Janji dapat alihkan kedudukan perabot agar tak rasa bosan dengan susun atur yang sama. Tak kisahlah tak cantik pun kedudukannya. Asalkan kena di mata aku, aku dah puas hati. Lepas tu yang paling penting aku boleh menyapu bawah-bawah sofa dan almari tanpa halangan.

Macam kali ni aku buat ruangan untuk homework. Ceh..ceh.. beria pulak nak ada ruangan khas. Aku bukannya apa, anak-anak memang setiap hari ada homework. Kalau buat dalam bilik memang akhirnya kerja rumah tak siap. Sudahnya semua berlingkar buat depan tv. Kalau buat depan tv kat atas memang x-box didahulukan, kerja rumah diketepikan jawabnya. Jadi suruh buat kat depan tv kat bawah aje. Senang nak pantau. Tapi bila buat depan tv, satu rumah jadi berselerak. Tiap kali aku turun time anak-anak buat homework, mata aku sakit sebab satu rumah nampak bersepah. Seorang kat sini, seorang kat sana, seorang kat situ.  So, kena ada ruangan khas. 

Ruangan Homework katanya.. he..he.. 
Setakat dua tiga hari ni memang anak-anak buat homework kat atas meja tu. 

Sekarang bila aku turun bawah hanya ruangan ini aje yang akan bersepah bila anak buat homework. Tapi itu pun lepas dah siap homework, anak-anak akan pastikan atas meja tu kembali kosong. (Tak tahulah displin tu bertahan berapa lama he..he.. selalunya kejap aje hu..hu..) Aku korbankan meja kopi ni untuk anak-anak buat homework. Maka.. takde lagi dah buat homework sambil meniarap atas karpet. Mengelak dari semuanya tahu-tahu tertiarap atas buku sebab tertidur dulu he..he..

 Setakat ni anak-anak suka aje buat homework kat sini sebab dia orang  masih boleh tengok tv. Bila orang datang, anak-anak masih boleh terus buat homework kat sini sebab kawasan ni terlindung dengan sofa. Jadi kalau bersepah pun kat situ orang tak perasan sangat. Anak-anak pun tak terganggu. So, itulah dia ruangan homework kat rumahku. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, February 12, 2015

Port Dickson pun bestlah..

Assalamualaikum..

Hari ni dah nak masuk pertengahan bulan 2. Tahun lepas, awal-awal tahu lagi aku dah selamat bercuti ke Bali. Kemudian selepas itu dah sibuk buat survey untuk percutian kami ke Hong Kong untuk pertengahan tahun pulak. Hujung tahun bercuti ke Legoland. Tapi tahun ni, tak sempat nak ke mana-mana lagi. Nak plan untuk ke mana-mana lagi pun belum. Orang kaki jalan macam aku memang tak boleh duduk diam. Jadi tak senang duduk dibuatnya bila rasa macam dah lama tak pergi bercuti. Cukup duit ke tak cukup duit ke kepala asyik ingat nak pergi bercuti aje he..he.. (Tapi kalau tak cukup pun gigih juga nak menyimpan dan berjimat cermat asalkan dapat jalan).  

Nak berjalan sangat tu bukan apa. Aku seronok nak menikmati alam ciptaan ALLAH yang Maha Luas dan Maha Indah.  Nak pergi melihat tempat orang. Semoga ALLAH sentiasa murahkan rezeki kami sekeluarga untuk dapat sampai ke tempat-tempat yang ingin kami lawati.. insyaALLAH. Sebenarnya, kalau dapat berjalan tu tak kiralah tempatnya dekat atau jauh. Tak kiralah dalam negara atau luar negara. Semuanya masih boleh memberikan rasa keterujaan, keseronokan dan kepuasan. Pendek kata asal nama berjalan atau bercuti aje dah suka. Memang macam rasa nak like 30 juta kali he..he..

 Pantai Port Dickson, where you at.. where you at

Dapat pergi PD pun aku dah suka sangat. Sebab walaupun dekat, sesuatu tempat itu tetap ada keistimewaannya. Macam percutian kami sekeluarga ke PD dua tahun lepas, sampai sekarang pun aku masih teringatkan keseronokannya. Bila tengok gambar aje jadi terkenang-kenang.  Kalau dapat bercuti ke PD lagi pun best ni. Masa ni kami menginap di Ancasa. (Antara percutian kami sekeluarga bersama arwah adikku). Best tau  pantai kat area Ancasa tu. Nak main pasir pun best. Aktiviti airnya pun banyak. Puaslah anak-anak naik banana boat, donut boat dan segala aktiviti yang ada yang aku sendiri tak tahu nama.

Yang buatkan anak-anak lagi seronok ialah bila mereka dapat sertai aktiviti air tu berkali-kali. Bila dia orang nak naik sekali aku memang takde hal. Tak kisahlah nak kena keluar duit biar anak-anak dapat merasa bila sesekali bercuti. Tapi kalau berkali-kali tu err.. menjadi hal jugalah he..he.. Sebab semua aktivitinya berbayar. Kalau seorang takpe lagi. Kalau dah sepuluh orang dan nak naik pun berkali-kali memang kena reject jugalah dengan aku he..he.. Tapi arwah adik aku memang sangat pemurah orangnya. Nak naik  banyak kali pun naiklah. Sebab dia tak kisah nak belanja. Ya ALLAH.. semoga kemurahan hatinya yang selalu tak kedekut akan membuatkan arwah adikku berbahagia di sana insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, February 10, 2015

Bintang... Aku rindu!

Assalamualaikum.. 

Malam semalam kami sekeluarga pergi melawat saudara yang meninggal dunia di Taman Tun.  Semoga roh arwah dicucuri rahmat.. insyaALLAH. Separuh perjalanan diberitahu yang jenazah sudah dikebumikan sebelum maghrib. Takde rezeki kami untuk sempat melawat. Tak mengapalah. Nak buat macam mana bila makluman sebenar  lambat diterima. Nak mencari rumah anaknya untuk menziarah memang tak tahu di mana. Sebab pada awalnya diberitahu jenazah di bawa ke masjid. Nak mencari masjid tentulah lebih senang. Tapi nak mencari rumah yang tak tahu alamatnya, susah sikitlah nak jumpa. Bila dah macam tu kami pun nak berpatah balik. 

Tapi abang sepupuku yang sudah berpatah balik lebih awal dari kami  telefon ajak singgah ke rumah emaknya. Nak jamu Nasi Bariani JM. Bila dah macam tu kami pun terus ke USJ saja. Sampai rumah makcikku dah pukul 10.20 malam. He..he.. dah nak tengah malam bertambah juga makan nasi bariani kambing. Aduhai.. sedapnya.. teringat ni pun dah telan liur balik. Makan nasi dia aje pun dah sedap. Makan dengan lauk bariani dia lagilah best. Lembut betul daging kambingnya. Sampai dalam tulang pun lembut sangat isinya. Makan di rumah taukenya memang balik pun dapat tapau nasi bariani lagi. Alhamdulillah.. rezeki.

Lepas makan dan lepas bersembang sekejap, pukul 11 lebih kami pun balik. Dalam perjalanan nampak bulan yang 3/4 penuh. Subhanallah.. Indahnya. Besarnya kuasa ALLAH. Malam tadi bulan nampak besar dan bercahaya kuning. Dalam memuji kebesaran ALLAH dan kecantikan bulan, makcikku menyebut. Sekarang ni yang boleh nampak hanya bulan. Jarang sekali nak nampak kerlipan bintang. Aku pun ikut bersetuju. Betullah juga. Sekarang ini tiap kali malam, tatkala mendongak ke langit, yang selalu dapat dilihat hanyalah bulan. Kerlipan bintang bagaikan menghilang. Ianya bagaikan tiada lagi di langit. Macam dah lama tak dapat lihat bintang bertaburan. Dengan keadaan langit yang selalu kelam   memang susah nak nampak bintang yang banyak macam dulu.

Bintang... Aku rindu! Kalau waktu kecil-kecil dulu, aku suka membilang bintang di langit. Balik mengaji di waktu malam, kepala selalu mendongak ke langit. Leka mencari bintang berderet tiga. Kata orang kalau nampak bintang berderet tiga itu tandanya malam nak hujan. Kalau hujan akan bertambah sejuklah malam. Akan lenalah tidur. Tapi ianya bukanlah sahih pun. Tapi seronok juga nak mencari bintang berderet tiga. Seronok nak mengira bintang yang cahayanya indah. Waktu itu, kerlipan bintang terasa cukup banyak. Tak terkira dengan jari. Tapi sekarang, macam malam tadi, satu bintang pun tak kelihatan. Tebal sangatkah lapisan pencemaran di langit kini? Sehinggakan bintang yang dirindu terlalu sukar untuk ditemui.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...