Tuesday, September 29, 2015

Bangsa Johor balik JDT...

Assalamualaikum..

Hujung minggu lepas kami sekeluarga ke Johor Bahru menghadiri majlis perkahwinan sepupu. Setiap kali ada peluang untuk ke Johor, aku selalu berasa excited. Iyalah.. tempat jatuh lagikan di kenang, inikan pula tempat lahir. IC pun 01. Tentulah lebih terkenang-kenang dan penuh dengan kenangan yang cukup berharga. Alhamdulillah.. walaupun waktu tu cuti sekolah sudah bermula tapi perjalanan kami pergi dan balik sangat lancar. Mungkin ramai orang tunggu cuti raya haji baru nak berjalan atau balik kampung. Maka tiadalah sebarang kesesakan yang perlu kami harungi. Syukur.. Hanya jerebu kuat yang membuatkan kami perlu lebih berhati-hati memandu.

Selalunya bila ke JB kami akan menginap di sana. Tapi kali ini, kami tak rasa nak bermalam di sana. Pergi balik hari saja. Disebabkan tidak bermalam di sana, jadi awal-awal pagi lagi kami sekeluarga dah keluar agar kami punya banyak masa sewaktu di Johor. Sebaik lepas subuh, semuanya dah bersiap. Pukul 7 pagi dah keluar dari rumah. Dengan bekal yang emak dah sediakan memang kenyang perut kami anak beranak sepanjang perjalanan. Tak perlu nak singgah makan lagi. Dalam perjalanan kami singgah di Batu Pahat. Bawa emak menziarahi jiran lama yang hubungan baiknya dah macam keluarga sendiri. Alhamdulillah.. kami dikelilingi orang-orang yang baik hati lagi baik budi. Syukur...

Seawal pukul 9++ pagi kami dah sampai di rumah jiran lama tu. Sengaja tak mahu beritahu awal-awal yang kami nak singgah agar mereka sekeluarga tak perlu susah-susah nak siapkan apa-apa. Tapi dah namanya orang baik budi, penuh juga perut kami yang datang mengejut itu dijamu. Seronok sangat bila dapat kembali berjumpa dan berkongsi cerita baru dan lama. Nak balik, siap dibekalkan lagi dengan bermacam-macam bekalan buat anak-anak. ALLAH.. Semoga ALLAH merahmati mereka sekeluarga.. insyaALLAH. Dalam pukul 11++ kami bertolak ke Johor Bahru. Seronok sangat bila dapat lalu di sekolah lamaku di Peserai. Dapat lalu di jambatan Batu Pahat yang waktu dulu-dulu seronok sangat kalau dapat lalu untuk pergi ke bandar. Aduhai.. nostalgia betul. 

Heboh kecoh aku dan emak bercerita dan tunjukkan pada anak-anak tempat kenangan kami di Batu Pahat.  (Dulu sebelum arwah ayah meninggal dunia kami sekeluarga tinggal di Simpang Lima, Batu Pahat). Dalam pukul 1 tengah hari kami tiba di Bandar Baru Uda. Majlis sepupuku di buat di dewan. Selamat Pengantin Baru untuk Alisa dan Pasangan serta Arif dan Pasangan. Dua pasang pengantin sekali langsung. Lisa dan Arif adik beradik anak Mak Anjang aku (sepupu emak). Kami memang jenis yang dengan sepupu rapatnya macam adik beradik sendiri. Jadi hubungan tu walaupun  sepupu rasa sangat dekat. Sedap nasi barianinya. Kuih muih pun beraneka pilihan. Paling best bila dapat jumpa dengan saudara mara dari Perak di sana. 

Lepas makan kami ke masjid di seberang jalan untuk solat  jamak zohor dan asar. Lepas tu duduk berkumpul di luar dewan dengan makcik pakcik dan sepupu-sepupuku untuk plan nak jalan ke mana selepas majlis. Maklumlah.. sesekali ke JB tentulah nak berjalan-jalan dulu sebelum balik. Paling penting kena makan makanan popularnya baru rasa puas hati ha..ha.. (Dasar perempuan kuat makan hehe..). Cadangnya nak singgah ziarah makcik aku di Majidee. (Rumah tempat arwah nenek aku belah ayah tinggal dulu). Sepupu aku (belah emak) kata mereka nak ke JPO. Aku dengan adik aku yang suka aje bila dengar JPO mulalah pandang suami masing-masing.

Boleh pulak en.asben aku dengan birasnya (adik ipar aku) sepakat pilih nak menziarah makcik aku aje. Macam berpakat! Katanya kena utamakan keluarga dulu dari shopping. Hmm.. iyalah tu.. he..he.. Pandai benar nak lepaskan diri, kan? Tapi takpe.. Betullah.. memang keluarga lebih utama dari segala hal yang lain. Silaturahim kena lebih dijaga. Maka kami pun pergi menziarah makcik aku di Majidee. Sebelum tu singgah DoubleTree sebab adik aku nak check-in hotel dia dulu. Adik aku dan suaminya bermalam di JB malam itu. Seronok makcik aku bila kami sekeluarga datang menziarah. Aku juga ikut seronok dan keseronokan itu tentunya lebih mahal lagi dari dapat bershopping di JPO! 

Sebelum balik makcik aku membekalkan kami dengan berpek-pek makanan frozen sebab kami sekeluarga tak bagi makcik aku hidangkan air ataupun makanan sebab kami tak mahu menyusahkannya. Kami hanya mahu berbual dengannya sambil mengimbau kenangan lama di rumah arwah tok. Semoga ALLAH memurahkan rezeki makcikku dan memberikannya kesihatan yang baik. Sebelum bertolak balik kami singgah makan dulu.  Cadang nak makan sup tulang merah, tapi tak jumpa. Jadi kami singgah makan Kacang Pool Haji kat area Bomba. Masa makan tu aku tak tahu langsung yang itu Kacang Pool Haji. Sebelum ni beberapa kali kami turun JB tak berkesempatan nak makan Kacang Pool  Haji. Makan kacang pool orang lain aje. Sekali bila dah dapat makan aku tak sedar pun itu Kacang Pool Haji ha..ha.. Esoknya bila adik ipar aku upload gambar kat FB baru aku perasan. Ha..ha.. Apa-apa pun Kacang Pool Haji memang terbaik. Sedap.. I tell you. Sila terliur ya he..he... 

Sebelum balik Bangi kami singgah Ayer Keroh rumah makcik aku. Sampai aje atas meja dah penuh dengan hidangan. Tak habis makan lagi anaknya dah keluar pergi beli sate pulak. Ya ALLAH.. Waktu nak balik siap dibekalkan lagi dengan makanan. Rasa sangat bersyukur bila dilayan dengan baik oleh kesemua tuan rumah yang kami ziarahi pada hari itu. Bukan makanan penuh meja dan bekalan yang dikirim yang menjadi nilainya. Tapi kesantunan mereka melayani tetamu dengan cukup-cukup baik  sangat disanjung. Teringat lagi, arwah ayah dan arwah adik aku cukup baik dalam melayani tetamu. Sampai sekarang orang selalu menyebut-nyebut tentangnya. Mungkin, cara mereka dulu menjadi rezeki kami sekeluarga untuk disambut dengan baik oleh orang lain sebagai tetamu. Semoga segala yang baik-baik juga akan menjadi bekalan yang terbaik untuk kita semua di akhirat nanti.. insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Thursday, September 17, 2015

Cerita Beg Tangan Popular..

Assalamualaikum..

Minggu lepas waktu keluar emak sibuk suruh belikan beg tangan yang baru untuk gegirl sebab beg tangan dia dah rosak.  Bukan main lagi budak-budak perempuan zaman sekarang.  Zaman kita dulu,  tunggu nak raya baru dapat beg tangan baru. Itu pun kalau tak bernasib baik emak cuma belikan dompet raya aje. Terus sentap sebab tak dapat nak bergaya macam anak dara dengan beg tangan di hari raya padahal umur baru setahun jagung lagi waktu tu he..he.. Budak-budak sekarang beg tangan rosak aje dah  cepat-cepat dapat ganti yang baru. Sememangnya beg tangan dan perempuan tak dapat dipisahkan. Tak payah cakap orang muda, anak-anak kecil pun  dah sukakan beg tangan.

Perempuan yang berumur pun kebanyakannya masih sukakan beg tangan. Emak aku sendiri kalau tanya nak hadiah apa,  beg tangan mesti termasuk dalam list dia.  Kalau keluar membeli belah, beg tangan juga antara barangan yang mahu di cari. Tak tahu dah berapa banyak beg tangan emak. Tapi kalau keluar, beg tangan juga yang selalu dicari. Tok (nenek) aku pun sama. Kalau jumpa aje mesti tanya, takde ke beg tangan lama-lama he..he.. Padahal bukan nak berjalan ke mana. Sebab tok dah tak larat jalan dah. (94 tahun dah usianya). Tapi  masih nak juga ada beg tangan! Itulah perempuan. Dengan beg tangan macam tak boleh dipisahkan. Beg tangan juga dah jadi satu keperluan. Kalau kanak-kanak dan orang tua pun  memerlukannya, inikan lagi orang muda.

 Orang muda dan beg tangannya.. Ehem.. muda ke? He..he..

Beberapa bulan lepas, teman baikku ada bercerita tentang beg tangan barunya yang berharga puluhan ribu ringgit. Memang aku ternganga mendengar harganya. Dulu waktu dia bercerita tentang beg tangannya yang berharga ribuan ringgit pun aku dah ternganga. Bayangkan ngangaan aku untuk kali ini ha..ha.. Rasa macam tak tercapai dek akal orang boleh beli beg tangan dengan harga sebegitu. Tapi itulah hakikatnya. (Aku tahu ada beg tangan yang harganya lebih dari itu tapi aku tak nak ternganga sampai tak tutup mulut pulak he..he..).  Buat penggila dan pencinta beg tangan tangan, berapa pun harganya mereka sanggup bayar untuk memenuhi keinginan dan kepuasan untuk memiliki beg tangan idaman. Daripada asyik termimpi-mimpi, maka lebih baiklah beli. Begitulah pengaruh  beg tangan untuk seorang yang bergelar perempuan. Setuju?

Adik beradik aku semuanya perempuan. Jadi kalau berjumpa, cerita pasal beg tangan dah tentu masuk dalam topik perbualan. Macam aku dengan arwah adik aku, beg tangan kami biasa-biasa aje. Kadang ada jenama, kadang takde. Kami jenis yang takde hal. Yang penting beg tangan tu mesti cantik. Tapi yang biasa-biasa pun masih bermutu.  Tapi adik bongsu aku kalau beli beg tangan mesti nak yang berjenama. Tengok jenama pun kita dah boleh agak berapa harganya. Tapi bila emak tanya harga, mesti dia akan kurangkan satu kosong di belakang harganya. Cakap kat emak, alah 120 aje mama. Tapi pusing kat kakak-kakaknya mulut menyebut 1200 tanpa bunyi. Ha..ha.. ini kes takut emak membebellah tu. Sebab kalau cakap harga sebenar nanti emak tak kasi beli beg tangan yang baru lagi.

Kalau bercerita tentang beg tangan, aku antara orang yang selalu excited. Tak kisahlah beg tangan yang murah mahu pun yang mahal. Berjenama mahu pun tidak. Beg tangan sendiri mahu pun beg tangan orang lain. Kiranya beg tangan adalah aksesori yang selalu menarik perhatianku. Kalau kata beg tangan aje memang aku berminat sangat nak tengok, nak belek  dan kalau berkenan tu memang ada rasa nak beli. Cumanya yang harga beribu dan berjenama gah tu memang selalunya mampu tengok ajelah. Itu pun dah rasa seronok walaupun tak dapat beli he..he.. Jadilah, kan? Untuk aku, asalkan beg tangan tu cantik, berkualiti dan menjadi idaman hati serta harganya berpatutan dengan kemampuan poket sendiri, memang beg tangan itulah yang akan aku beli. Berjenama atau tidak itu belakang kira. Yang penting beg tangan itu asli. Bukan beg tangan tiruan.

 Sejak makin muda ni beg yang berwarna warni lebih memikat hati..

Beg tangan aku sendiri ada empat yang aku selalu tukar-tukar guna. Tapi itu pun selalu rasa macam nak tambah lagi. Kalau lalu kat kedai beg, walaupun tak dapat nak singgah, mata dapat menjeling ke arah beg-beg tangan tu pun jadi. Kalau tengok kat online memang lagi best. Sebab dapat mengadap  lama-lama tengok satu-satu beg tu. Oh.. syoknya. Dapat tengok pun dah suka, apatah lagi kalau dapat klik untuk masukkan dalam raga pembelian. Itu lagilah sepuluh kali suka. Pembelian di online memang lebih menyenangkan dan aku lebih suka. Sebabnya.. dah tentu-tentu takde bangkangan dari en.asben sebab dia tak tahu. (Ehh.. Syyy.. syyy.. tau he..he..). Lepas tu bila parcel sampai aje kat ofis, esoknya memang dah terus melaram bawa beg tangan baru ke ofis.

Dulu masa zaman anak dara, suka  beg tangan yang kecil-kecil aje. Konon biar nampak cute. Tapi bila dah beranak pinak ni, beg tangan yang besar-besar lebih menjadi pilihan. Tak payah nak cute-cute dah. Bila beg tangan besar, selain dari  barang-barang sendiri, barang-barang en.asben dan barang-barang anak-anak boleh tumpang sekaki. Takde masalah. Lepas tu aku suka beg tangan yang banyak poket. Jadi boleh ada ruangan khas untuk setiap barangan aku. Jadi takdelah barang-barang aku bercampur aduk di dalam beg tangan tu. Perempuan ni kalau berjalan tahu ajelah. Semua benda nak bawa. Jadi beg tangan memang dah jadi satu keperluan. Oh ya, korang nak tahu tak beg tangan apa yang popular sekarang ni. Mestilah nak, kan? Kalau nak tahu boleh tengok kat 5 jenis beg tangan popular. Jom sama-sama kita cuci mata.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Thursday, September 10, 2015

Dipermudahkan..

Assalamualaikum..

Hari ni, sejak pagi lagi dah ada macam-macam berada dalam kepala aku. Sebabnya ada perkara yang perlu aku settlekan bagi pihak en.asben. Tapi sejak akhir-akhir ini en.asben sangat-sangat sibuk dengan tugasan ofisnya. Kesian pulak aku tengok en.asben. Balik kerja makin lambat. Settle makan mandi semua terpaksa mengadap kerja jugak lagi untuk siapkan report. Semoga ALLAH merahmati usaha dan memberkati rezeki suamiku yang berkerja keras untuk menyara keluarga.. insyaALLAH. Bila dah macam tu aku pun cakap dalam hati, biar aku ajelah yang tolong en.asben settlekan hal tersebut. Tapi aku ni pulak jenis  setiap perkara jarang boleh nak ambil mudah. Semua perkara bagi aku besar. (Jenis suka nak serabutkan kepala sendiri ginilah jadinya hu..hu..).

Bila ada hal yang perlu diselesaikan, fikiran jadi  tertumpu untuk memikirkan  tentang hal itu saja. Bila awal-awal lagi dah rasa  hal yang nak disettlekan itu besar, automatik ada rasa susah yang dirasa. Tapi aku berdoa banyak-banyak, agar semuanya dipermudahkan untukku. Untuk langkah pertama yang perlu aku buat, info yang dikongsi sangat membantu walaupun layanan yang aku terima sangat-sangat tidak seadanya. Namun aku tetap bersyukur, kerana setidak-tidaknya urusanku tetap dipermudahkan. Tapi hal itu membuatkan aku mula ditakutkan sendiri oleh perasaan yang perkara ini memang susah untuk diuruskan. Ianya terus membuatkan aku berasa ragu-ragu untuk meneruskan langkah seterusnya. Tapi aku tahu, bertangguh tidak akan menyelesaikan masalah. Untuk itu, aku terus berdoa lagi dengan bersungguh. Istighfar lebih banyak lagi.  Minta tolong dari ALLAH agar urusanku dipermudahkan. 

Alhamdulillah.. berkat doa yang bersungguh, langkah seterusnya jadi bertambah mudah. Layanan yang diterima juga adalah di luar jangka. Bantuan yang diberikan juga sangat memuaskan hati. Jaminan yang diberi juga sangat memberikan aku kelegaan. ALLAH. Aku rasa benar-benar bersyukur.  Walaupun hal itu tidak dapat aku selesaikan namun sudah ada jalan untuk aku selesaikannya tanpa perlu aku berasa terlalu susah hati. Alhamdulillah terima kasih ALLAH. Tiada apa yang boleh berlaku tanpa izin dari ALLAH. Sebagai hambaNYA hanya bantuan dari ALLAH yang sangat kita harapkan.  Yakinlah, dalam setiap perkara hanya ALLAH yang sepatutnya menjadi sandaran kita. Tiada yang lain.  Semoga kisah kecil yang dikongsi ini dapat menjadi manfaat bersama, insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah. 

Thursday, August 20, 2015

Wachap kat mana?

Assalamualaikum..

Beberapa hari sudah, gegirl (anak buah aku) menelefonku di pejabat. 

Mama.. wachap kat mana?

Berkerut dahi aku memikir. Apakah itu wachap? Dalam memikir tu aku dengar emak bersuara di belakang gegirl menyebut wachap juga. Emak minta gegirl tanya kat aku wachap kat mana sebab kawan emak ada nak hantar info mengenai persatuan taman di wachap. Pada waktu itu barulah aku tahu apa yang dimaksudkan oleh gegirl. Tak sempat aku nak beritahu pada gegirl, suara emak pula  sudah kedengaran di telefon.

Hah.. wachap kat mana?

Waktu tu aku dah tergelak-gelak. Whatsapp mak, whatsapp. Bukannya wachap he..he.. Tapi macam comel aje bila emak dengan gegirl sama-sama menyebut 'wachap'. Jadi aku pun beritahulah pada emak di mana icon whatsapp tu berada. Macam mana rupa iconnya. Minta emak cari icon yang warna hijau dan putih dan ada gambar gagang telefon. 

Yang warna biru gambar burung tu ke?

Tanya emak yang mungkin dah berjumpa dengan icon tersebut lebih dulu. Eh.. tak mak. Bukan yang itu. Yang itu twitter (Yang itu aku pun takde akaunnya ha..ha..)

Sekarang ni emak aku dah advance sikit dengan handphone. Kalau dulu  handphone cuma tahu untuk buat panggilan dan jawab call aje. Tapi sejak ada telefon baru (telefon Samsung S berapa entah peninggalan arwah adik aku) emak dah tahu lebih dari sekadar jawab dan buat panggilan. Alhamdulillah.. baguslah.  Sekarang ni nak dengar bacaan surah ayat suci Al-Quran di handphone pun emak dah pandai. Alhamdulillah.. Semoga ada saham buat arwah adik aku di sana.. insyaALLAH. 

Kalau berjalan sekarang ni penuh handbag emak aku dengan phone samsung arwah adik aku, samsung tab arwah adik  untuk anak-anaknya  dan handphone emak aku sendiri. Itu tak masuk lagi dengan PSP anak-anak buah aku. Bila dah banyak-banyak gadget tu, setiap kali nak keluar antara perkara yang emak selalu tanya ialah.. charger mana charger??? Rasanya tak lama lagi emak akan tanya power bank pula he..he..

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dna kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Tuesday, August 18, 2015

Sebaris ayat..

Assalamualaikum..

Semalam en.asben outstation ke Singapore. InsyaALLAH.. malam ni balik.  Jadi seperti biasa bila berjauhan walaupun naik flight cuma sejam dia punya rindu-rinduan tu membara lain macam juga he..he.. Pagi ni aku hantar whatsapp padanya. Hanya sebaris ayat.

ME : Assalamualaikum suamiku sayang..

HIM : Waalaikumsalam isteriku satu-satunya..

(Eh.. perlu ke nak sebut satu-satunya tu??? Tapi aku tetap tersenyum-senyumlah juga he..he.. Janji satu!)

Sebaris ayat tetap punya makna yang besar kan. Sebaris ayat mampu membuatkan kita tersenyum. Sebaris ayat juga boleh membuatkan kita meroyan (macam kes di atas he..he..) Sebaris ayat juga boleh membuatkan kita terkenang-kenang. Waktu ini aku terkenang-kenang juga pada sebaris ayat yang keluar dari mulut en.asben seminggu yang lepas.

Waktu tu, hari dah malam. Dekat pukul 11 kut. Aku yang mengantuk dah tertidur depan tv kat bawah sebelum tersedar semula dan terhuyung hayang naik atas nak tidur di bilik. Dalam bilik en.asben tengah buat kerja pejabat sambil mengadap laptop di atas katil. Aku yang masih mamai-mamai terus baring di tempat aku. Memang dah terlalu mengantuk dan memang nak sambung tidur aje. Tapi aku tahu aku tak salam en.asben lagi. 

Sebab dah tak larat nak bangun bersalam dan cium tangan en.asben, aku cuma capai tangannya dan ucap salam. Tapi rasa bersalah sendiri sebab tak salam betul-betul dan tak cium tangannya. Jadi aku tambahkan dengan sebaris ayat untuk sedapkan hati.

ME : Good night sayang.. muah.. muah.. 

Jawapan dari  en.asben membuatkan aku terus tergelak dengan kemerengan kepala kami berdua. (Tapi gelak dengan mata tertutuplah ha..ha..). Disebabkan aku tak larat nak bangun dan cium tangan dan pipinya, aku guna bahasa mesej aje sebagai ganti ciuman. Boleh pulak dengan  selamba dia membalasnya dengan bahasa mesej jugak sebagai ganti peluk dan cium untukku darinya. 

HIM : Okey ma.. XOXO...

Pulang paku buah keras nampak! Hmmm... xoxo pun xoxo lah sayang. Masih manis juga untuk I yang dah mengantuk sangat waktu tu.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua.   Fi Amanillah..

Thursday, August 13, 2015

Cerita raya 2015

Assalamualaikum.. 

Minggu sebelum ni temanku ada menegur, kak.. mana entry baru? Asyik baca cerita lama aje. (He..he.. blog dah bersawang dah sekarang ni sebab mood menulis hilang entah ke mana. Bukan setakat takde mood nak menulis blog, nak sudahkan penulisan manuskrip pun macam takde semangat. Adoiiilah..) Beberapa hari sebelumnya pula, ada seorang tetamu dari Jabatan lain yang menegurku. Saya baca blog awak.. Oh.. merah mukaku dibuatnya. Hai sahabat dari JAKOA! TQ ya.. Terima kasih banyak-banyak juga buat teman-teman yang sudi membaca penulisanku di sini. Kunjungan dari sahabat-sahabat semua sangat memberi semangat untuk aku meneruskan penulisan. Walaupun niat asal memanglah untuk catatan dan kenangan sendiri. Tapi bila ada yang sudi ikut membacanya, tentu sekali hal itu membuatkan aku rasa terharu dan berbesar hati. Sekali lagi.. terima kasih ya teman-teman semua!

Dah nak habis bulan syawal dah. Aku baru terhegeh-hegeh nak update cerita raya kami sekeluarga. Takpelah.. semuanya untuk buat kenangan aku dan keluarga nanti-nanti juga. Jadi konsepnya, biar lambat asalkan ada he..he.. Tahun ni kami beraya di Taiping. Tak seperti tahun-tahun sebelum ini, tahun ini kami hanya dapat balik satu kampung saja. Tahun ini, kesihatan tok (nenek aku) sudah semakin uzur. Tok juga sudah tidak lagi boleh tinggal di rumahnya sendiri kerana tiada yang menjaganya. Sekarang ini Tok tinggal di rumah pakcikku yang juga terletak di Taiping. Setiap kali kami balik menjengguk tok, tok selalu cakap nak balik ke rumahnya. Jadi untuk raya kali ini, bila dah ramai-ramai balik aku pun cadangkan pada emak untuk bawak tok balik ke rumahnya. Sebelum tu dah minta tolong sepupuku untuk bersihkan dulu rumah tok. Alhamdulillah.. waktu kami balik, rumah tok dah bersih. Selesa untuk tok dan kami semua menginapnya. TQ Anne!

Kami balik Taiping hari khamis. Sehari sebelum hari raya. Konon-konon nak balik pukul 3 pagi untuk elak jalan sesak. Cadangnya nak bersahur di jalan. Tapi boleh pulak terjaga pukul 4 pagi he..he.. Mana taknya, malam tu kami berbuka di rumah makcik aku. Lepas berbuka dan nak masuk isyak baru kami balik rumah. Sampai rumah lepas solat isyak dan terawikh tunggu pula papa anak-anak buah aku datang nak jumpa anak-anaknya. Sementara tu susun-susun barang dalam kereta. Dah siap semuanya pergi ke rumah emak mentuaku di Kajang untuk bersalam raya.  Pukul 12 baru sampai semula di rumah. Dekat pukul 1 baru tidur. Manalah tak terlajak tidur kan. Sudahnya bersahur aje di rumah dengan nasi bariani bekal dari makcik aku. Pukul 5 pagi baru bertolak keluar dari rumah. Kami singgah solat subuh di R&R Jejantas Sungai Buluh. Alhamdulillah.. perjalanan pergi masih selesa. Kereta banyak, tapi tidak terlalu sesak. Hanya di beberapa tempat saja trafik merangkak-rangkak. Selain dari itu perjalanan lancar. Syukur.. 

Dekat pukul 10 pagi kami tiba di Taiping. Terus singgah beli barang-barang masak di pasar depan rumah tok. Seronok sangat bila sampai rumah tok, tok dah ada di rumahnya. Terasa macam balik kampung waktu dulu-dulu. Bezanya, tok tak lagi dapat menunggu kami di muka pintu pagar. Sekarang ni tok dah tak mampu untuk berjalan dan berdiri dengan sendiri. Nak ke mana-mana perlu berkerusi roda. Jadi, di katil di dalam rumah sajalah tok dapat menunggu kami. Seperti biasa pada mulanya tok tak kenal. Bila dah sebut nama aku, terus tok ingat nama en.asben dan anak-anak aku semua. Alhamdulillah.. Seronok sangat dapat peluk dan cium tok yang dah berumur 93 tahun. Dalam usia begini, walaupun sesekali tok ingat-ingat lupa tapi bila ditanya kisah dulu-dulu semuanya macam masih segar di ingatannya. Paling best bila aku buat-buat tanya, en.asben aku tu siapa? Terus tok jawab sambil gelak-gelak. Suami dia, dia tanya kita pulak he..he.. Comellah tok ni!

Dalam pukul 6, hidangan berbuka dan hidangan untuk hari raya semuanya dah settle. Alhamdulillah.. Bila buat kerja ramai-ramai dan bila semua ringan tulang, kerja yang banyak mudah aje dapat disiapkan. Petang tu makcik aku dan keluarganya sampai dari melaka. Waktu yang terluang aku isi dengan mengosok baju raya kami sekeluarga yang 9 pasang (untuk 9 oranglah tu). Phewwwwww... lap peluh he..he.. (Baju raya kan.. jadi tak berani nak biar anak-anak gosok sendiri). Maghrib  itu, meriahlah kami berbuka puasa beramai-ramai untuk ramadhan terakhir  tahun ini. Lepas solat, anak-anak aku sibuk main bunga api di luar. Takbir Raya di TV membuatkan hati berasa sayu bercampur happy. Setiap tahun, memang akan timbul  rasa yang sama ketika mendengar takbir raya.

Pagi raya lepas siapkan minum pagi, bersarapan serta siapkan anak-anak kami ke surau berdekatan untuk Solat Sunat Hari raya. Baru tahun ni aku tahu yang  takbir raya untuk Hari Raya Aidilfitri hanyalah dari malam raya dan sehingga solat sunat hari raya saja. Lepas solat, balik rumah salam-salam raya dan makan lagi. Lepas makan terus siap-siap nak pergi berjalan raya ke rumah nenek saudara dan rumah pakcik aku (rumah yang tok tinggal sekarang ni). Kedua-dua rumah tu memang port wajib kami berkumpul beramai-ramai sanak saudara di pagi raya. Setiap tahun, acara tu tak pernah bertukar kalau balik beraya di Taiping. Tapi sebelum pergi beraya tu ada acara yang wajib juga setiap tahun tak boleh tinggal iaitu.. bergambar rayalah. Apalagi kan he..he..

Tahun ni tema kami sekeluarga adalah merah hitam. 
Tahun lepas anak-anak arwah mummy beraya dengan nenek, maksu dan paksu. Tahun ni turn beraya dengan nenek, mama dan ayah pulak. Dulu, aku memang nak sangat anak ramai. Target sebelum umur 30 nak 4 orang anak. Tapi sebab aku mabuk teruk setiap kali mengandung jadi aku stop sampai 3 orang aje (buat masa inilah). Last aku mengandung umur 28 tahun. Alhamdulillah.. sekarang ALLAH kurniakan dengan 4 lagi anak. Syukur.. 
7 orang dah anak aku sekarang. Aturan ALLAH, anak-anak arwah adik aku memang sejak lahir aku dah bahasakan diri aku dan en.asben mama dan ayah. Jadi sejak dulu mereka dah macam anak-anak kami sendiri.
 

Outdoor pulak kononnya.. 
Mata kita orang memang sepet. Jadi bila bergambar di luar, kena cahaya, semakin mengecillah bukaan mata kami. Itu yang mata semua nampak macam nak tidur aje tu. Walaupun untuk raya family photo he..he..

Kami  bersama emak dan tok.. 
Dah sangat kurus dah tok aku. Tapi masih sangat cantik di mata aku.
Emak aku pun tengok sejak balik dari haji tahun lepas, nampak semakin berseri-seri aje mukanya. Dari dulu, emak memang jenis yang bersiap. 
Kalau duduk rumah, bibir mesti merah. Muka mesti berbedak. Mandi sehari memang banyak kali sebab emak aku pembersih orangnya. Bila emak pakai serba putih macam ni, emak nampak lagi bersih.
 En.asben bersama anak-anak bujangnya dan sepupuku. 
Dah tahu sepet masih ada hati nak bergambar kat luar mengadap mata hari. Jadi itulah saja bukaan mata yang termampu untuk pose kali ini he..he..

 Mama dan gegirl yang manja. 
Sejak dulu aku memang suka gaduh-gaduh dengan gegirl. Saja suka menyakat dan tengok dia merajuk. Nanti bila gegirl mengadu dengan mummy dia, adik aku pun akan sakat balik cakap  Mama tak suka gegirllah tu. Aduhaiiiii.. rindunya kat arwah adik aku. Tapi sekarang ni aku dah boleh terima yang dia dah takde sebab aku tahu dia sedang berbahagia di sana.. insyaALLAH..

Hari raya tahun ni kan hari jumaat. Jadi lepas beraya 2 rumah kami dah terpaksa balik rumah sebab orang lelaki nak pergi sembahyang jumaat. Lagipun tok aku tak larat nak berjalan lama-lama. Tak dapat nak pergi ke rumah saudara mara yang lain macam selalu. Malam raya pertama, kami sekeluarga pergi beraya ke rumah  keluarga teman sepejabat aku di Changkat Jering. Ingatkan jauh rumahnya dari rumah tok aku. Sekali set kat GPS  10 minit aje jaraknya he..he.. Alhamdulillah.. kami dijamu dengan durian kampung dari dusunnya. Duriannya sangat-sangat sedap. Siap dibagi bawak balik lagi untuk keluarga aku di rumah. Alhamdulillah.. rezeki yang dapat dikongsi bersama-sama. TQ Abang Jai, isteri dan keluarga mentuanya yang baik budi.

Hari sabtu kami buat soto. Lepas tu makcik aku masak nasi dengan sambal daging dan petai. Makan dengan begedil daging.. perghhh mengancam. Pakcik aku pulak ada buat BBQ kat rumah dia petang tu. Jadi sepupu aku pun buatkan sekali mushroom sup yang sedap. Aku buat whipped patoto dan gravynya untuk di bawak ke rumah pakcik aku. Petang tu kami berkumpul lagi sanak saudara berBBQ. Ada ayam bakar dan kambing bakar. Arnab pun ada. Ada jamuan durian dan rambutan lagi sebab anak-anak pakcik aku mertuanya ada dusun. Jadi dapatlah kami menumpang sama.  Pakcik aku pulak ada nak buat kilang aiskrim. Jadi puaslah anak-anak aku dok pilih aiskrim dan makan aiskrim bermacam rasa dalam peti ais aiskrim pakcik aku (yang trial). Rasa aiskrimnya  sedap pulak tu. Sampai sekarang aku teringat aiskrim asam boynya yang cukup rasa. Malam tu tok terus tinggal balik kat rumah pakcik aku sebab esoknya kami dah nak balik huhu sedih.

Hari ahad, hampir tengah hari barulah kami bertolak balik sebab nak singgah open house rumah kawan ofis aku di Kuala Kangsar. TQ Isa dan keluarga yang melayani kami sekeluarga yang ramai ni dengan cukup baik dan ramah. Sampai Ipoh dekat-dekat pukul 3.  Makcik aku yang nak balik Melaka (yang dah bertolak lebih awal) maklumkan pada kami yang highway sangat-sangat sesak. Jadi kami singgah solat zohor dulu. Waktu nak cari surau terjumpa signboard Masjid Cina di Bercham. Maka bersolatlah kami sekeluarga di masjid cina yang cantik dan bersih. 

Emak dan cucu-cucunya di Masjid Cina di Bercham Ipoh. 

Konon nak balik KL guna jalan lama sebab highway dah confirm jem. Tapi jalan lama pun macam dah mula sesak juga. Nampak signboard Cameron Highland Han dah menyebut nak makan aiskrim strawbery. Aku dah teringatkan keledek-keledeknya. Dah alang-alang jalan jem bagus juga kalau kami singgah ke Cameron dulu. Alhamdulillah.. jalan nak ke Cameron pun lengang. Jadi singgah ke Cameronlah kami. Dapatlah Han aiskrim strawbery yang batang tu. Siap bungkus 10 bawak balik. Lepas tu kami  singgah ke Ladang Teh. Waktu tu hujan renyai. Elok kejap lagi hujan mula lebat. Jadi kami pun terus masuk kereta sebab cadangnya nak cari hotel untuk bermalam.

 Anak-anak di Ladang Teh. 
Dapatlah 5 minit berada di Ladang Teh ni sebelum hujan mula lebat.

Sampai Tringkap, hujan dah reda. Kami pun singgah membeli strawbery, sayur-sayur dan keledek-keledek pujaan hatiku ha..ha.. Pukul 6.30 semuanya settle. Fikir-fikir balik, aiskrim dah dapat, strawbery dah dapat, sayur dan keledek pujaan hati dah beli berkilo-kilo, ladang teh pun dah sampai. Jadi macam takde point nak stay kat Cameron. Dahlah nak kena cari bilik lagi. Sudahnya kami sepakat untuk turun aje. Jadilah dapat berada 2 jam di Cameron dan dapat rasa angin sejuk di Cameron Highland. Pukul 8 kami sampai  bawah. Jalan semakin jem. Kami singgah solat dulu kat surau kampung area Simpang Pulai. Lepas tu singgah makan malam. Kejap lalu highway. Kejap lalu jalan dalam tapi dua-dua pun jem. Dua kali kut singgah tidur. Nak tukar driver aku dan en.asben sama-sama dah mengantuk. Jadi baik stop dan tidur dulu. Dah jaga, jalan still jem jugak huhu. Sudahnya pukul 4 pagi baru kami sampai rumah. Alhamdulillah.. Syukur. Perjalanan yang panjang tapi dapat kami isi dengan bermacam perkara. Alhamdulillah.. syawal yang indah buat kami. 

Hari selasa en.asben dah kerja. Hari rabu anak-anak dah mula sekolah. Aku hari khamis baru kerja. Bulan syawal biasalah. Jadual penuh dengan open house di sini sana. Bulan puasa turun 2 kg. Bulan raya naik 4 kg. Nangisssss sambil berazam untuk diet huhu.. Sementara tu, pasrah ajelah bila muka makin lebar dan lengan makin besar huwaaaaaaa..

Sekian,  kisah raya kami tahun 2015 ini!!
Panjang umur murah rezeki, dapatlah kami berhari raya lagi di tahun depan.

Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Wednesday, August 12, 2015

Positiflah..

Assalamualaikum.. 

Semakin usia  meningkat, semakin banyak yang mahu diperbetulkan dalam kehidupan. Amalan yang kurang mahu diganda kuantitinya serta dipertingkatkan kualitinya. Hubungan dan juga bakti kepada emak,  arwah ayah dan kedua mertua mahu ditambah baik. Didikan yang lebih sesuai dengan usia dan perkembangan anak-anak mahu diperbaiki. Hubungan sesama manusia tak kira kaum keluarga, saudara mara, rakan taulan dan jiran tentangga serta insan lain di sekeliling mahu dijaga dan dieratkan lagi. Paling penting, hati mahu dijaga dengan sebaik-baiknya. Tak mahu lagi ada  selaput hitam dan kalau boleh mahu keseluruhannya putih melepak selepak lepaknya.

Soal wang ringgit dan harta, apa yang ada, adalah. Ada rezeki untuk jadi simpanan aku simpan. Harta yang boleh dikumpul untuk bekal anak-anak cuba juga aku kumpul sikit-sikit. Jika hati ada keinginan untuk menikmati perkara keperluan dan bukan keperluan, aku cuba penuhi impian itu agar tiada ralat di hati. Kiranya.. dalam usia begini, mana yang perlu aku beratkan tidak boleh lagi aku ambil ringan. Yang penting-penting tak boleh lagi aku tolak tepi. Selain dari itu,  aku mahu menjalani kehidupan dengan cukup simple. Tak mahu terlalu stress untuk menghadapi perkara yang aku tahu boleh dan akan berlaku di luar kawalanku.

Tidak susah sebenarnya untuk mengatur kehidupan sendiri mengikut cara yang kita mahu. Tapi dalam pada  mahu mengatur yang terbaik dalam kehidupan, aku akui yang soal mendidik hati  adalah cukup payah untuk dilakukan. Dalam cuba bersangka baik, masih juga ada sangka buruk yang menempel di hati. Dalam cuba berbuat baik, adakalanya  rasa tidak ikhlas masih mahu menghimpit hati. ALLAH.. Bagaimana aku bisa jadi yang terbaik jika syak wasangka dan tidak ikhlas masih melata dalam hati? Manusia tetap manusia. Aku juga manusia. Melihat orang lebih, hati mula mahu berkata-kata. Ya ALLAH.. tak seronoknya ada rasa yang begitu. Tapi acap kali, rasa itulah yang datang dulu dalam hati.

Kata orang, untuk jadi baik memanglah tak mudah. Jadi selain tekad yang teguh, usaha dan doa juga perlu bersungguh. Doaku, semoga aku tidak berasa iri dengan kelebihan orang lain hanya disebabkan kekuranganku. Semoga aku tidak memandang rendah kekurangan orang lain hanya kerana kelebihanku yang sedikit pinjaman dari ALLAH. Selain itu, aku cuba mendidik hati dengan cuba memikirkan perkara positif tentang orang lain. Perkara yang aku tahu berlaku kerana amalan orang lain yang lebih baik dariku. Hal itu cuba aku programkan dalam fikiranku.

Melihat orang lebih, aku detikkan dalam hati yang dia mendapat lebih kerana sedekahnya lebih ikhlas dariku. Melihat orang yang selalu direzekikan dengan kejayaan, aku detikkan dalam hati yang layanannya kepada orang tuanya sudah pastilah lebih baik dariku. Melihat orang yang berkulit cantik, aku bisikkan dalam diri yang dia menjaga auratnya lebih baik dariku. MasyaALLAH.. fikiran-fikiran positif itu sangat membantu aku untuk mendidik hati. Malah semakin membuatkan aku mahu lebih ikhlas dan bersungguh dalam memperbaiki diri yang masih terlalu banyak kurang dan khilafnya.  

MasyaALLAH.. Indahnya perasaan bila hati tidak lagi memikirkan hal yang buruk-buruk tentang orang lain. Paling best bila kita fikir yang baik-baik tentang orang lain, perkara yang baik-baik juga akan berlaku kepada kita tanpa disangka.  Pemikiran yang sebegitu dapat mengelakkan kita dari hasad dengki yang sangat tidak perlu dalam hati. Terima kasih ALLAH untuk rasa yang baik-baik ini. Syukur ALHAMDULILLAH. Jom terus positif jom. Semoga kita semua direzekikan untuk berbahagia di dunia dan di akhirat.. InsyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...