Nuffnang

Thursday, March 28, 2019

Di usia 43 tahun..

Assalamualaikum..


Alhamdulillah.. Semalam genap sudah umurku 43 tahun. Alhamdulillah.. Dengan izin ALLAH aku masih lagi bernafas. Masih direzekikan dengan kesihatan yang baik. Masih dipinjamkan dengan nikmat kebahagiaan bersama keluarga tercinta, saudara mara tersayang juga teman-teman yang baik hati serta baik budi. Terjaga dari tidur awal pagi semalam terasa bersyukur sangat. Bersama senyuman, aku mengucap Alhamdulillah..  Terima kasih ALLAH. Dalam tahajud, berlinang airmata mengenang segala nikmat yang ALLAH kurniakan. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada buat kita semua dan keluarga.

Umur hanyalah angka yang pastinya akan meningkat setiap tahun. Setiap tahun nombornya akan bertambah. Pertambahan umur yang semakin mendekatkan kita ke negeri abadi. Pertambahan usia yang mendekatkan kita kepada mati. Mati itu pasti. Semoga kita semua direzekikan dengan kematian yang khusnul khotimah dan direzekikan untuk menjadi penghuni syurga yang indah.  Semoga dengan pertambahan usia ini aku akan  menjadi insan yang lebih baik kepada orang-orang di sekelilingku. Lebih-lebih lagi kepada orang-orang yang aku sayang dan juga kepada orang-orang yang sayangkan aku. Semoga ALLAH makbulkan.. in shaa ALLAH.

Alhamdulillah.. rasa bersyukur bila di pagi harijadi dapat pelukan hangat dan ucapan dari en.asben, anak-anak dan emak tersayang. Sekarang kan cuti sekolah. Jadi emak ada di rumah. Turun nak pergi kerja, emak wish birthday. Dapatlah peluk cium emak dan ucapkan terima kasih pada emak. Lepas tu sempat bawa emak pergi beli sarapan dulu sebelum ke pejabat. Petang tu emak siap buatkan pulut kuning dan kari ayam. Alhamdulillah.. Terima kasih emak. Di whatsapp dan FB juga penuh dengan ucapan selamat dan doa yang baik-baik dari emak dan ayah mertua, adik, ipar, anak-anak saudara, pakcik makcik, sepupu, kaum keluarga dan saudara, BFF juga teman-teman yang lain. Terima kasih semua! ALLAH.. indahnya rasa hati.  Terima kasih ALLAH di atas segala rezeki dan pinjamannya untukku. Semoga aku menjadi hamba ALLAH yang selalu bersyukur dan semoga aku lebih pandai menghargai segala pinjaman yang ALLAH pinjamkan kepadaku dengan lebih baik lagi.

Sejak hujung minggu lagi En. Asben dah tanya aku nak hadiah apa. Sebab tahu isterinya memang jenis yang bukan suka meminta-minta dan sangat susah nak meminta, jadi awal-awal lagi En.Asben dah letak syarat. Syaratnya kena minta juga apa-apa he..he.. Jujurnya, aku memang tak mahu apa-apa. Segala yang aku ada terasa sudah mencukupi untukku. Tapi bila En.Asben dah bersungguh memberi syarat, jadi 'terpaksa'lah minta juga sesuatu. Thank you sayang. Thank you juga untuk hadiah-hadiah sebelum tu.. wink-wink. (Bukan hadiah sebenarnya sebab kami order sama-sama. Tapi sebab  dalam 10 item kut semuanya untukku jadi terasa macam hadiahlah juga he..he..).

Selama ini aku lebih suka merai orang. Kalau untuk diri sendiri terlalu berkira.  Nak beli barang yang murah pun berfikir-fikir. Tapi untuk orang yang aku sayang, langsung tak reti nak berkira walau berapa pun nilainya. Bila diminta untuk meminta sesuatu pun terasa susah untuk aku. Terasa tidak mahu membebankan orang lain. Tak tahulah kenapa perangai macam tu he..he.. Patutnya rasa happy bila orang nak belikan apa-apa. Ini selalu rasa macam perkara tu tak perlu. Tapi lebih baiklah kita menyenangkan orang  dari menyusahkan kehidupan orang lain. Betul tak? Permudahkan urusan orang lain agar urusan kita juga dipermudahkan. Itu yang selalu aku pegang.

Sejak awal tahun, Han, Is, Az dan En.Asben masing-masing dah dapat hadiah dan barangan baru. Memikirkan semua orang pun dah dapat benda baru, jadi mama pun mintalah handphone baru. Takdelah rasa bersalah sangat. Itu pun berapa kali tukar fikiran sebab rasa macam tak perlu. Telefon lama memang ada masalah, tapi masih boleh dipakai lagi. Tapi malam kelmarin En.Asben ajak juga keluar pergi beli handphone baru sebagai hadiah di malam harijadi. Alhamdulillah.. dapatlah mama handphone VIVO baru. Cantik warna biru. 

Nak pilih warna lain tapi hati terpikat pada yang warna biru itu juga. Kata En.Asben takpelah warna biru sempena namanya dan nama Az, Lazuardi dan Azure. So, mama dapat handphone barulah sebagai hadiah harijadi yang ke 43 tahun ni. Harap-harap taklah leka mengadap phone aje selepas ni he..he.. Kebetulan aku pun memang ada banyak benda yang nak dibuang dari phone lama tu. Tak mahu dah nak simpan lagi perkara yang tak perlu. Dengan adanya phone baru, jadi senang kerja. Buang semua memori di dalam telefon lama. Buat kenangan baru dengan phone baru. Kita ada pilihan untuk sisih serta abaikan perkara yang tak perlu dalam hidup kita. Semoga hidup kita lebih bermakna tanpa gangguan dari perkara yang tak perlu. Telefon lama boleh bagi pada Az. Bye-bye handphone lama.

TQSM En.Asben. Semoga rezeki you terus murah dan berkat kerana merai isteri dan anak-anak.. Oh.. selain handphone baru, En.Asben dah sibuk mengajak untuk pergi beli couple ring baru untuk kami. Patutlah hari tu dia belek-belek cincin perkahwinan kami yang aku pakai di jariku. Nantilah weekend atau bila-bila free kita pergi cari. Tahun ni usia perkahwinan kami dah nak masuk ke tahun yang ke-21. Semoga rumahtangga kami direzekikan dengan kebahagiaan yang berpanjangan dan semoga jodoh kami berkekalan hingga ke Jannah.. in shaa ALLAH. Kita doakan segala yang baik-baik agar kesudahannya menjadi baik-baik juga. Selain tu kita serahkan kepada ALLAH. Lepaskan segalanya. Takdir ALLAH penuh rahsia.  ALLAH Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita. ALLAH juga MAHA Pengasih. Maha Penyayang. Tak kira bagaimana hebat pun perancangan kita takkan dapat menandingi perancangan ALLAH yang Maha Sempurna. 

Di usia 43 tahun, aku rasa bersyukur dengan apa yang telah aku nikmati juga apa yang telah dilalui. Syukur bila dalam usia begini, masih ada peluang untuk memperbaiki diri. Masih ada peluang untuk memperbetulkan kesilapan. Ada peluang untuk meningkatkan ibadah. Rasa bersyukur juga kerana dalam usia begini direzekikan untuk tidak terlalu menurut kata hati dalam banyak hal. Kata hati yang pastinya akan mengundang seribu penyesalan di akhirnya. Setidak-tidaknya aku masih mampu menjaga airmuka orang lain kerana rasa hormat. Rahsia orang akan terus jadi rahsia dalam simpananku. Syukur bila aku boleh memilih untuk memaafkan daripada meneruskan permusuhan. Memilih untuk mengalah dari berbalah. Memilih untuk mengabaikan dari melayan rasa sakit hati. Juga memilih untuk mendoakan insan-insan yang pernah menyakiti dan melukakan hati daripada terus berdendam dan membenci. ALLAH ada! Walaupun hati selalu tak kuat, tapi aku perlu kuat. Walaupun bercakap lebih mudah dari melaksanakan, aku perlu walk the talk!

Hadiah harijadi untuk diriku sendiri tahun ini ialah berat badanku telah turun sebanyak 7 kilogram dalam masa 2 bulan ini. Syukur Alhamdulillah. Memang sejak awal tahun aku berazam untuk istiqamah mengamalkan puasa sunat isnin dan khamis. #10yearschallenge pula membuatkan aku mahu kembali dengan berat 10 tahun lepas. Umur aku dan En.Asben yang semakin meningkat membuatkan kami ingin lebih menjaga pemakanan kami dengan lebih baik. Bertitik tolak dari itu, aku mula jaga pemakananku. Kurangkan pengambilan nasi. Pada 16 Januari 2019, En.Asben kongsikan tentang IF (Intermitten Fasting) kepadaku. Aku cuba amalkannya juga alternate dengan puasa sunat. Alhamdulillah.. sejak itu, untuk setiap minggu berat aku turun sebanyak 1 kg. Apa yang best berat yang turun tak naik semula setakat ini. Aku juga masih boleh makan makanan kegemaranku seperti biasa cuma kurangkan kuantitinya sahaja. 

Kalau dulu nasi lemak sebungkus rasa tak cukup. Sekarang, nasi lemak sebungkus boleh share makan berdua dengan En.Asben dan aku masih boleh rasa cukup dan kenyang. Macam tak percaya aje. Tapi bila dah terbiasa, makan sikit pun dah boleh rasa kenyang. Kalau terlebih makan, perut akan rasa tak selesa dan jadi macam penuh sangat. Alhamdulillah.. walaupun berat belum mencapai sasaran sebenar, tapi buat masa ini aku merasa puas hati. Setidak-tidaknya ada juga perubahan besar untukku di usia 43 tahun ini. Bak kata kawan-kawanku, dah nampak macam anak dara semula he..he.. Tapi itu semua tak penting. Apa yang penting adalah sihat, tak rasa sakit dan kembali  ada keyakinan dengan diri sendiri. Paling utama dapat mengembirakan hati sendiri dan hati suami!


Alhamdulillah.. Dah turun 7 kg. 


Gambar seminggu sebelum harijadi hehe..

Aku jenis orang yang lebih selesa berada di belakang tabir. Tapi menjadi novelis dan pengacara majlis memerlukan aku untuk berada di hadapan. Jujur, aku rasa sangat tak selesa. Aku sangat sukakan bidang penulisan juga bidang pengacaraan. Tapi untuk dikenali sebagai novelis dan pengacara, bukan itu yang aku mahu sebenarnya. Minatku lebih dari sekadar itu. Bukan untuk dikenali, tapi aku sukakan jiwa dan semangatku ketika menulis dan mengacarakan majlis. Terima kasih ALLAH atas bakat yang dikurniakan. Tak pernah bermimpi untuk menulis novel sendiri. Dengan izin ALLAH,  lahir juga 3 novel sendiri. Kalau tiada rezeki lagi, cukuplah hanya yang 3 itu sahaja. Menjadi pengacara majlis di majlis menteri untuk persekutuan dan negeri, kementerian dan jabatan, semua itu juga tak pernah menjadi mimpiku. Saat semua orang senyap termasuk VVIP dan hanya kita yang perlu bersuara, rasa itu.. ALLAH.. Hanya ALLAH yang tahu. Itulah padahnya bila ada konflik antara mahu dan tak mahu.. huhu..


Suka jadi pengacara. Tapi tak suka dengan perasaan ketika mengacarakan majlis. Macam mana tu? hehe..

Saya yang menjalankan amanah.
Rasa macam mimpi dapat mengacarakan majlis untuk program seramai ini.
Alhamdulillah.. segalanya dengan izin ALLAH dan dipermudahkan oleh ALLAH.
Thank you ALLAH

Untuk dua hari ini, setelah hampir 10 tahun menjadi blogger, aku tutup blogku. Walaupun sebelum ini aku seronok berkongsi cerita tapi bila dapat trace ada yang seperti menjejaki entry-entryku mengikut tahun aku jadi takut sendiri. Aku beritahu En.Asben yang aku nak tutup blogku. Bukan itu mahuku sebenarnya. Tapi aku rasa tak selesa bila terasa seperti ada yang nampak terlalu berminat dengan hidupku sampaikan entry-entryku diteroka. En.Asben kata, jangan tutup, ma. I suka you menulis. I baca blog you. Sebenarnya aku juga sayangkan blog ini. Seronok berkongsi cerita. Walaupun hanya cerita tentang kisah hidupku dan keluarga tapi mungkin ada sebahagiannya memberi manfaat kepada orang lain. Aku mahukan saham itu agar tulisanku tidak menjadi sia-sia. Aku menulis dengan restu En.Asben. Dengan restu En.Asben juga aku pilih untuk tidak tutup blog ini. Alhamdulillah.. hanisazla@blog kesayanganku akan terus bercerita.. in shaa ALLAH. 

Kepada pembaca baru di blogku, selamat datang diucapkan. Selamat membaca diucapkan kepada yang sudi membaca coretanku. Boleh ambil yang baik-baik darinya. Abaikan serta maafkan segala kekurangan dan apa yang tidak baik di dalamnya. Aku serahkan kepada ALLAH jika ada yang berniat tidak baik. Sekian dulu buat waktu ini. Panjang pulak cerita harijadi yang ke-43 kan? hahaha.

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH, semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Saturday, March 16, 2019

Tahniah Is, SPM 2018...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Keputusan peperiksaan SPM 2018 dah pun keluar pada hari khamis lepas (14/3/2019). Alhamdulillah.. debaran sepanjang tahun lepas sehingga ke awal tahun ni sudah berakhir. Tahniah Is. Mama dan ayah bangga dengan keputusan abang. Rasa bersyukur dan besar hati sangat. Walaupun tak naik pentas, mama tetap tersenyum panjang dengan keputusan abang. Kita sendiri tahu pencapaian anak-anak kita. Jadi apa pun keputusan mereka, kita sendiri tahu itu yang terbaik buat mereka. Doa mama dan ayah semoga abang terus cemerlang dunia akhirat, terus menjadi anak soleh yang membahagiakan hati mama ayah dan menjadi insan berguna pada agama, keluarga, bangsa dan negara.. in shaa ALLAH.

Pagi tu aku kerja seperti biasa. Is ke sekolah dengan kawannya. Pukul 10 aku keluar ke sekolah. Pada waktu tu ramai pelajar dan ibu bapa serta guru-guru sudah berada di dewan sekolah. Suasana pagi tu sangat meriah. Dalam berdebar, semuanya ceria menantikan keputusan yang ditunggu-tunggu. Ucapan dari Pengetua sekolah yang dipanggil dengan nama Ayahanda mendapat tepukan gemuruh dari semua yang berada di dalam dewan.  Juga diselangi dengan deraian airmata gembira, sebak dan terharu. Rasanya semua yang di dalam dewan berkongsi perasaan yang sama. Alhamdulillah.. prestasi SPM 2018 untuk SMKA Maahad Hamidiah meningkat lagi. Kedudukan ketiga dalam daerah Hulu Langat.  Untuk tahun ini 100% lulus. Syukur. Tahniah buat guru-guru Maahad Hamidiah yang cemerlang dan budiman. Semoga ALLAH sentiasa merahmati kalian. 

Is, mama sampai sekolah aje dia dah beritahu berapa keputusannya sebab dia dah check result thru SMS. Walaupun bukan straight A, dia nampak sangat berpuas hati dengan keputusannya. Aku pun ikut happy. Berpelukanlah kami meraikannya sebelum sama-sama seronok tengok teman-temannya yang lain naik pentas dengan keputusan yang lebih baik. Tahniah buat anak-anak yang cemerlang. Tepukan gemuruh tetap aku berikan untuk mereka. Tumpang bangga dan ikut gembira dengan kejayaan mereka. Selepas majlis di atas pentas selesai, Is dan kawan-kawan lain beratur mengikut kelas untuk mengambil slip keputusan SPM. Alhamdulillah.. sekali lagi aku dan Is berpelukan. Tahniah abang!

Sepanjang 5 tahun di Maahad, prestasi subjek agama Is hanya sederhana. Alhamdulillah.. dalam keputusan SPM, keputusan subjek agamanya sangat meningkat. Untuk subjek Al-Quran dan Al-Sunnah, Is dapat A. Untuk subjek Bahasa Arab yang sepanjang tingkatan 4 dan 5 asyik dapat E, dalam keputusan SPMnya dah dapat B. Pendidikan Syariah Islamiah pun dapat B. Kiranya dah boleh berpuas hati dengan subjek agama setelah 5 tahun menuntut di SMKA. Alhamdulillah. Subjek Add Math yang tak pernah lulus juga dapat D. Subjek Matematik, Sejarah, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris  kekal A. Syukur. 

Di dalam dewan, semua pelajar tingkatan lima yang akan mengambil peperiksaan SPM 2019 diminta berada di dalam dewan untuk mengambil semangat dari abang kakak SPM 2018. Jadi Fareez pun ada sekali dalam dewan. Tersenyum-senyum Fareez nampak mama datang. Bila abang dah ambil slip keputusan dia pun turut datang merai dan ucapkan tahniah kepada abang. Semoga Fareez juga direzekikan dengan keputusan SPM yang cemerlang.. in shaa ALLAH.


Iskandar dan Fareez. 
SPM 2018 dan SPM 2019 SMKA Maahad Hamidiah

Seperti biasa, malam keputusan peperiksaan keluar ialah malam meraikan anak-anak untuk kami sekeluarga. En.Asben tanya abang nak makan apa? Western, Korean, Japanese? Kat Bangi kan semua ada sekarang. Jadi bolehlah tanya hehe.. Malam tu Is request nak makan Korean. Selepas Az, habis kelas keyboard, kami keluar makan di Restoran Eid, Bandar Baru Bangi. Alhamdulillah.. Is, Az dan Fareez suka makan kat situ. En.Asben pun suka. Sedap makanannya. Mama tak order food pun sebab sebelum keluar dah berbuka puasa dengan En.Asben kat rumah. Dah kenyang makan nasi dengan sup tulang yang jiran depan rumah jual. Sedap! Tekak melayu makan makanan melayu sudahlah hehe..


 Meraikan abang yang nak makan makanan Korea. 

Mama ayah and the boys. 
Sekarang ni bila hari biasa, cuma ini ajelah yang tinggal kat rumah. 
Jadi walaupun tak cukup korum kami keluar juga untuk meraikan abang.

Kawan aku komen kata suka tengok Family Kak Fea. Nampak harmoni aje.  TQ Yus. Alhamdulillah.. Syukur. Semuanya dengan izin ALLAH. Apa yang kita ada semuanya hanyalah pinjaman. Tak perlu cemburu dengan apa yang orang lain miliki. Kita tak tahu apa yang mereka lalui. Betul tak? Mana ada keluarga yang sempurna. Pastilah ada juga cacat cela di sini sana. Tak banyak, sikit. Tak sikit, banyak. Ujian dan dugaan tetap ada. Itulah adat kehidupan, kan? Tugas kita, hargai dan jaga apa yang kita ada dengan sebaiknya. Perbaiki yang kurang. Perbetulkan yang silap dan berubah kepada yang lebih baik. Selain itu, kita serahkan semuanya kepada ALLAH. In shaa ALLAH.. segala yang ALLAH aturkan, itulah yang terbaik untuk kita. Reda dan bersyukur itu sangat perlu kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Terima kasih ALLAH.

Nampak harmoni tapi kalau tengah malam terjaga, anak kau yang nak ambil periksa besar masih gigih melayan PS4 dan melayan anime, mama ayah boleh jadi raksasa juga hahaha.. Raksasa harmoni kut hehehe..

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.