Friday, March 18, 2022

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum..

23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringkan kepalanya kat riba mama suruh tolong picitkan.

24/2/2022 - Masa solat subuh Az turun berjemaah sekali. Nampak macam dah okey, jadi mama rasa lega. Tengah hari waktu mama  kat ofis ayah call tanya panadol. Katanya Az sakit kepala dan badannya dedar. Allahu.. hati kembali risau. Minggu depannya dia dah nak SPM. Ayah kata sarapan pagi pun dia tak makan. Panadol kat rumah memang dah habis. Jadi minta ayah keluar belikan panadol. Suruh ayah belikan makanan dan air kepala juga untuk Az. Waktu nak solat zohor hati rasa tak sedap. Minta ayah buat saliva test. Elok aje mama selesai solat dan duduk kat meja, ayah hantar message gambat result test kit Az. 

Double line huhu.. Az positif covid. Terus minta ayah asingkan Az. Minta Az duduk kuarantin kat bilik bawah untuk asingkan toilet dengan kakak dan abang. Lepas tu blur kejap nak buat apa. Call kawan yang baru habis kuarantin tanya nak buat apa semua. Lepas dapat advise dari dia terus maklumkan kepada bos dan mama pun terus balik rumah. Dalam kereta call kakak kat ofis dengan abang yang tengah kerja part time kat kilang maksu. Semua kena balik rumah sebab kami kontak rapat. Sebelum balik rumah mama singgah farmasi dan kedai siap-siap untuk beli spray sanitiser, top up test kit, ubat dan barang rumah sikit. Sampai rumah terus spray sanitiser satu rumah. Lepas tu terus siapkan makan untuk berbuka.

Waktu nak tunggu waktu berbuka mama duduk kat depan dengan ayah. Dengar macam bunyi air paip. Ingatkan Az masuk dapur. Sebab memang macam dengar bunyi air paip kat sinki terbuka. Cakap kat en.asben, kenapa Az masuk dapur. Kan dah cakap suruh kuarantin dalam bilik aje jangan keluar. Mama pun terus pergi dapur tengok. Takde orang pulak kat sinki. Tapi masih dengar bunyi macam air paip terbuka. Rupa-rupanya Az tengah muntah. Allahu.. kesian sangat. banyak betul dia muntah. Muntah air tak berhenti. Sampai tak sempat nak masuk toilet. Dia dahlah demam dan tengah tak larat. Takkan nak suruh dia lap muntah tu. Itu pun dia juga yang kaut sendiri muntah dia dengan kain buruk. Dah tinggal sikit-sikit baru mama tolong bersihkan. Sebelum tu spray sanitiser dulu. Suruh Az pergi mandi. Ayahlah pergi tolong ambilkan baju dia kat atas semua. Lepas muntah dan dah siap mandi tu barulah nampak dia segar sikit.

Selepas mama dan ayah buka puasa dan solat maghrib kami keluar 2 kereta untuk buat swab test di klinik. (Buat swab test di klinik untuk dapatkan dokumen  untuk urusan sekolah dan kerja. Senang bila ada dokumen dari klinik). Mama, ayah dan Az satu kereta. Han dan Is satu kereta. Syukur kat klinik depan rumah boleh drive thru aje. Takde orang pulak tu. Proses sangat smooth. Waktu nurse datang terus dia tegur en.asben. Uncle, saya anak Z. Jiran selang sebuah rumah. Allahu.. Dah pakai mask siap dengan PPE semua memang tak kenal rupalah. Syukur anak jiran yang uruskan swab test kami. Senang nak tanya apa-apa. Dah selesai buat swab test anak jiran datang beritahu padaku. Aunty, selain Az, Han pun positif. Allahu.. Beria mama ayah asingkan kereta. Rupa-rupanya, dua-dua kereta ada yang positif. Syukur mama, ayah dan Is negatif. Han pun terkejut bila dia positif sebab dia langsung takde gejala.

Balik rumah Han kena kuarantin kat bilik dia. Is kena guna toilet kat bilik mama. Sebab Az demam, rasa risau juga nak biarkan dia sorang-sorang kat bilik bawah. Walaupun dah 18 tahun, sebab dia anak bongsu, tetaplah dia macam baby kat hati mama. Jadi mama ayah pun angkatlah bantal dan bentang toto tidur kat hall. 

25/2/2022 - Bila anak-anak dah positif, kenalah maklumkan kepada ahli keluarga, grup ofis, jiran terdekat dan kawan-kawan rapat. Bila dah tahu kami sekeluarga kena kuarantin, ramai yang bertanya khabar, hantar makanan dan bertanyakan keperluan kami sekeluarga. ALLAHU.. terima kasih ALLAH kerana menghadirkan orang-orang yang sangat baik di sekeliling kami. Semoga segala kebaikan ALLAH kembalikan buat mereka sekeluarga juga. Aamiin Ya Mujib. Petang tu dalam hujan lebat kakak ipar dan anak buah hantarkan kelapa dan KFC. ALLAHU.. sebak rasa dengan kebaikan orang yang baik-baik ni. Malam tu en.asben dan mula sakit-sakit badan. Badan dia dah mula rasa tak selesa. Ingatkan sebab tidur kat atas toto. Tapi malam tu en.asben tidur juga kat bawah sebab nak temankan mama yang risau nak tinggalkan anak bongsunya yang sedang demam.

26/2/2022- Pagi-pagi lagi makcikku dah hantarkan sarapan pagi untuk kami.  Ayah buka semua pintu sliding door dan pintu dapur semua biar udara luar dapat masuk ke dalam rumah. Lepas dah siap hantarkan makanan dan dah make sure anak-anak makan ubat kami yang lain pun bersarapan. Hari ni, kami yang kontak rapat kena  buat swab test lagi. Lepas makan, mama, ayah dan Is buat swab test. Result mama dan Is negatif. Result ayah ada faulty pulak. Langsung tak keluar apa-apa. Terus minta ayah buat swab test lagi sekali. Keputusannya.. Ayah pun dah positif. Maksudnya dah 3 oranglah yang positif di rumah kami. Masa ni dah tak tahu nak kuarantinkan kat mana lagi. Sebab 2 bilik air dah bagi kat orang yang kena kuarantin. Ayah pulak taknak kuarantin kat bilik anak. Iyalah.. bila badan tak sihat tentulah tak selesa nak duduk kat bilik orang. Kami bincang-bincang akhirnya ambil keputusan, semua yang kuarantin duduk kat tingkat atas. Senang ayah boleh pantau anak-anak yang demam. Anak-anak pun boleh tolong tengokkan ayah yang demam. Mama dan Is yang masih negatif duduk kat bawah.  

Lepas semua yang positif dah naik atas, mama dan Is pun mula sanitise ruang bawah. Basuh semua cadar dan sarung bantal. Jemur semua bantal-bantal. Mama cuci bilik air bawah dan sanitise. Mop satu rumah dan sanitise. Is tolong uruskan sidai kain. Lepas tu tolong parangkan buah kelapa untuk ambil airnya. Sebelum ni ayah yang buat. Syukur Is ada. Memang banyaklah dia tolong mama. Tengah hari tu mertua hantar nasi arab. Han minta tolong pada kawannya untuk belikan panadol dan termometer. Siap dihantarnya dengan kuih muih dan kebab juga. ALLAHU.. Semoga ALLAH terus murahkan rezeki orang yang tak lokek memberi dengan rezeki yang melimpah ruah lagi.. Aamiin Ya Mujib. Alhamdulillah.. dah penat bersihkan rumah dapatlah rehat sikit sebab tak payah masak. Tinggal nak hantar makanan aje untuk ayah dan anak-anak yang kuarantin kat atas. Buatkan air madu + lemon. Kena make sure makan sebab lepas tu semua kena makan ubat. Mask memang kami pakai setiap kali nak hantar makanan. Pijak aje tangga memang kena pakai mask. Yang kat atas pun dengar kami naik tangga akan terus pakai mask juga.

27/2/2022 - Pagi-pagi makcik dah tanya nak makan apa. Aku cakap tak payah belikan apa-apa. Terima kasih banyak-banyak. Yang positif tak berapa ada selera. Kami yang negatif pun tak berapa nak makan. Habiskan aje dulu makanan yang ada. Sekejap-sekejap aku memang akan tanya keadaan yang kat atas sebab malam tu en.asben dah demam mengigil-gigil. Sedihnya. Dia demam, kita ada dekat tapi tak dapat nak tengokkan. Minta tolong Han tengokkan ayah dia. Check tempreture semua. Sekejap-sekejap kena top-up air minuman sebab kat rumah kami semua memang suka minum air kosong. Sekejap Han panggil. Sekejap ayah panggil. Sekejap Az panggil. Syukur Is pun jenis alert. Jadi kalau dia dengar dialah yang tolong to-up kan air. Ambil bekas makanan dan tolong basuhkan semua. Dah petang tu aku duduk kat tangga bawah. En. asben duduk kat tangga atas. Dapat borak-borak jauh-jauh pun jadilah lepaskan rindu. Masa tu pulak, petang aje hujan lebat. Rasa sedihlah pulak. Semua ada dalam rumah, tapi terpaksa duduk berasingan.  

28/2/2022 - Rutin masih seperti biasa. Siapkan makanan, hantarkan makanan, make sure semua makan ubat, update my sejahtera. Lepas tu siapkan kerja rumah. Aku mohon BDR untuk 25/2/2022 dan 28/2/2022. Jadi hari kerja kenalah buat kerja juga. Update medsos ofis. Siapkan laporan. Hari ni aku dan Is kena buat swab test lagi. Alhamdulillah.. Result kami masih negatif. Stok air kelapa memang sentiasa ada. Makcik aku selang sehari akan hantar 3, 4 biji buah kelapa untuk kami. ALLAHU.. Terima kasih ALLAH. 

1/3/2022 - Sebab aku kontak rapat dan aku dah booster pada waktu tu jadi kena kuarantin di rumah selama 5 hari. Tapi waktu Han dan Az positif, status my-sejahtera aku masih tak bertukar. Tapi lepas en.asben update positif hari sabtu tu baru status my sejahtera aku bertukar. Jadi kena kuarantin di rumah sampai 2/3/2022. Hari ni masih buat kerja ofis macam biasa. Tapi dah petang tu tekak dah rasa lain macam sikit. Badan pun macam letih aje. Patutnya esok baru aku buat swab test lagi sebelum masuk ofis 3/3/2022. Tapi dah rasa tak sedap hati. Kalau esok baru nak buat test akan jadi lagi panjanglah kuarantin aku. Jadi terus ambil keputusan buat swab test lagi. Mulanya samar-samar aje line kedua tu. Minta Is tengok dia dah geleng kepala dah. Aku pun positif. Bila aku dah positif minta Is pun buat test juga. Result dia pun double line. Tapi yang kedua macam tak clear. Tapi kalau buat test dan result keluar double line walaupun tak clear memang selalunya positiflah tu. Dengan dikelilingi dengan orang-orang yang positif selama beberapa hari lagi. Makanya satu keluargalah kami positif. ALLAHU.. Tak tahu kenapa. Rasa sebak lepas dapat result tu. Siap mengalir air mata. Alhamdulillah.. ALLAH pilih kami sekeluarga untuk melalui ujian ini. Aku  reda. Semoga kami semua cepat sembuh dan dijauhi dari kemudaratan..  

Bila update dalam grup ofis ramailah kawan-kawan yang hantar message mendoakan kesembuhan, berkongsi tips dan petua, bertanya khabar. Ramai juga yang offer untuk bantu belikan barang keperluan. ALLAHU.. sebaknya dengan keprihatinan kawan-kawan. (Sebab kat ofis memang dah bergilir yang positif jadi sesiapa yang positif atau ada ahli keluarga yang positif kena update dalam list yang dah disediakan).

Bila satu rumah dah positif, maka takdelah lagi pengasingan dan kuarantin lagi. Malam tu kami dah duduk makan sama-sama. Berakhirlah tugasan mama dan Is jadi penghantar makanan ke atas untuk setiap waktu makan selama 5 hari. Malam tu kami dah tidur kat bilik masing-masing. Walaupun dah positif aku tak demam. Cuma sakit tekak sikit, batuk sikit, selsema sikit dan rasa cepat letih sikit. Semua gejala yang mild sahaja. Alhamdulillah. Is pun ceri beri aje. Takde gejala lain. Syukur.

2/3/2022 - Hari ni sepatutnya Az start SPM. Tapi sebab dia masih kuarantin jadi dia kena tangguh ambil kertas BM. Bila positif dia dah beritahu kepada guru kelas. Untuk penangguhan cikgu dia dah maklumkan apa yang kami kena buat. Mulanya dah beritahu kat en. asben minta tolong buat surat permohonan. Bila en.asben dah positif dan demam, jadi aku ajelah yang buat. Untuk penangguhan kena buat surat permohonan kepada sekolah. Kena attach sekali surat dari klinik dan print screen my sejahtera yang kena kuarantin di rumah tu. Itu yang kami buat RTK kat klinik masa mula-mula. Sebab senang ada dokumentasi dari klinik yang mengesahkan kami positif. Dah siap semua terus forward pada guru kelasnya. Kesian Az. Dua tahun on off pergi sekolah sebab pandemik C19 ni. Kelas tuisyen pun dapat pergi beberapa bulan aje. Sebab pandemik dan PKP akhirnya pusat tuisyen yang selama beberapa tahun anak-anak aku join terpaksa ditutup juga akhirnya. Nak SPM terpaksa tangguh sebab kami positif. Alhamdulillah.. Tiada apa yang berlaku tanpa izin dari ALLAH. Pastinya ada hikmah yang lebih baik.. In shaa ALLAH.  

Pagi-pagi pakcik aku dah call. Beritahu dia dah letakkan breakfast kat pagar. Makcik aku pulak hantar pisang. Aku tak demam. Cuma badan terasa letih sikit. Kerja rumah masih boleh buat macam biasa. Kerja ofis pun mampu lagi buat. Cuma sekejap-sekejap tu kena baring kejap. Macam tulah keadaannya sepanjang hari. Buka laptop, lepas tu baring. Masak, lepas tu baring. Angkat kain, sidai kain, lepas tu baring. Sejak tidur bawah aku memang letak tilam kat hall. Bila dah positif terus kat hall lah tilam tu sebab sah-sah takkan ada tetamu yang datang ke rumah kami hehe.. 

Sepanjang kami positif memang sliding door dan pintu dapur kami buka. Tapi kesan badan letih sebab covid tu walaupun kami ada je kat hall, baring kat sofa dan tertidur tapi bila ada orang hantar makanan pun kami boleh tak perasan. Tahu-tahu kakak ipar message ada hantar kuih-muih. Tahu-tahu kawan aku hantar message dah hantar sup ketam, strepsil dan buah-buahan. ALLAHU.. ALLAH Maha Baik mengirimkan orang-orang yang sangat baik di sekeliling kami. Semoga terus melimpah ruah juga rezeki para pemberi yang budiman.. in shaa ALLAH.

3/3/2022 - Han dah Az habis kuarantin. Az dah boleh pergi sekolah untuk menduduki peperiksaan SPM.   Han pun dah boleh pergi kerja. Pukul 8.00 Han balik rumah semula. Dia muntah dalam kereta masa otw nak pergi ofis. Tak jadi masuk ofis. Kat rumah kami Han seorang yang hilang deria rasa dan bau. Hidung dia tak boleh bau. Tapi bila bau semua bau dia rasa macam busuk. Itu yang buat tekak dia rasa loya dan buatkan dia muntah bila ada bau yang dia terbau. Alhamdulillah.. sekarang ni dah okey sikit deria bau dia. Syukur.

4/3/2022 - Han dah boleh pergi kerja macam biasa. Aku, en.asben dan Is meneruskan kuarantin kami.

5/3/2022 - En.asben habis kuarantin. Padahal hari-hari ada aje yang bertanya kalau-kalau aku nak beli apa-apa atau teringin nak makan apa-apa. Tapi aku tetap segan nak minta pada orang. Rasa segan sangat nak menyusahkan orang walaupun dah beberapa hari aku teringin nak makan nasi dagang hehe... Jadi pagi ni  bila en.asben dah boleh keluar terus aku request nasi dagang. Alhamdulilah.. pagi tu dapatlah aku makan nasi dagang. Terima kasih ALLAH. Terima kasih sayang.

6/3/2022 hingga 7/3/2022 - Meneruskan kuarantin di rumah.

8/3/2022 - Aku dah mula masuk ofis. Alhamdulillah.. Syukur ya ALLAH. Berakhirlah sudah kuarantin di rumah buat kami sekeluarga. Terima kasih banyak atas doa-doa, buah tangan dan keprihatinan ahli keluarga, kawan-kawan dan jiran-jiran. Semoga ALLAH merahmati kita semua dengan segala kebaikan dunia akhirat.. in shaa ALLAH.

Selepas 18 hari ni aku masih batuk-batuk lagi. Tekak rasa gatal. Mungkin kesan long covid. Walaupun waktu positif aku cuma batuk sikit saja. Semoga cepat sembuh.. In shaa ALLAH.

Dua tahun covid-19 melanda dunia. Tahun ini varian omicron menyerang pula. Setelah 2 tahun bertahan daripada dijangkiti C19 dengan menjaga SOP dengan sebaiknya, tapi bila ALLAH kata jadi, maka jadilah. Alhamdulillah.. kami reda bila akhirnya kami juga termasuk dalam statistik positif covid-19. 

Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah.

4 comments:

Ammi said...

semoga semuanya pulih semula.
ammi pun selepas 2 tahun lebih...kalini tak dapat nak mengelak dari covid. dok terperap dalam bilik sensorang ni ha hmmm

karimunjawa said...

alhamdulillah covid 19 sudah hilang tapi ganti pd3

MirandaN said...

Nicee blog you have

Paket Wisata Karimunjawa said...

Mantap sekali kak,, berkah barokah lancar terus

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...