Tuesday, October 5, 2021

Raikan dan permudahkan..

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum.. Hi Everyone. Tiba-tiba pulak greeting in english kan. Minggu lepas ada buat sesi rakaman sikit untuk program Asean. Itu yang terbawa-bawa tu hehe.. Semua okey ke tu? Alhamdulillah.. Aku dan keluarga semua okey. Syukur. 

Minggu lepas, ada pertukaran seorang pegawai besar. Ada yang mencadangkan untuk membelikan hadiah tanda ingatan. Kutipan dibuat agar sesiapa yang berhajat boleh menyumbang sama. Bagi aku tiada salah dengan perkara itu. Walaupun ada yang menyuarakan rasa tidak puas hati, bagi aku itu juga bukan satu masalah. Terpulang pada hak masing-masing. Nak sumbang atau tidak. Nak bercakap atau diam. Setiap orang ada pilihan masing-masing. Pilihlah mana yang terbaik untuk diri sendiri. Aku pilih untuk menyumbang kerana aku mahu meraikan orang sebagaimana aku juga mahu dirai.

Minggu lepas, aku ada order sabun basuh baju dari jiran setaman. Setiap bulan memang aku order sabun darinya. Bulan ini katanya dapat botol baharu. Kat mulut botol takde corong untuk menuang sabun tersebut. Penjual bertanya padaku, takpe ke? Bagi aku memanglah susah sikit nak tuang sabun tu. Tapi bukanlah terlalu menyusahkan aku pun. Jadi aku balas, aku okey dan dia boleh hantar sabun tu ke rumah aku. Aku fikir, biarlah aku menyenangkan kerja orang lain. Selagi ianya tak menyusahkan diriku sendiri tak salah untuk aku memudahkan urusan orang lain.

Minggu ini, banyak posting yang aku baca tentang pegawai besar yang telah berpindah itu. Rata-rata memuji kepimpinan dan kebaikannya. Hati rasa seronok mendengarnya. Timbul rasa gembira kerana ada peluang untuk aku turut menyumbang sedikit sebagai tanda penghargaan buat pegawai tersebut. Minggu ini juga aku baru menggunakan sabun yang  baharu itu. Tengok-tengok elok aje corongnya macam botol yang lama. Syukur.. Alhamdulillah. Benarlah, perkara baik yang kita lakukan, kebaikannya akan sentiasa kembali kepada kita juga. Tak pernah rugi untuk berbuat kebaikan. Tak perlu ganjaran apa-apa. Cukup sekadar kita sendiri rasa gembira, ianya dah cukup baik untuk kita.

Pengajaran untuk diriku sendiri, raikan orang sebagai mana kita mahu diri kita dirai. Permudahkan urusan orang lain sebagaimana kita mahu urusan kita juga dipermudahkan. Jom banyakkan beristighfar dan berselawat.

Salam hormat untuk semua. Semoga kita semua berada dalam rahmat dan kasih sayang ALLAH pada setiap masa. Fi Amanillah.

Monday, May 17, 2021

Hari Raya PKP 3.0 2021

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah.. Hari ni dah 5 Syawal 1442. Tabarakkalahuminnawaminkum. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua. Maaf zahir dan batin. Raya tahun ni memang kami sekeluarga berada 100 peratus di rumah. Dah kata tak boleh ziarah raya, kita ikutlah. Bukan untuk orang lain. Untuk keselamatan diri kita dan keluarga juga.  Rumah mertua pun kami tak pergi. Syukur malam raya kami dapat jumpa. Sedih en.asben. Mak mertua lagilah sedih. Anak-anak duduk semua dekat-dekat. Tapi hari raya tetap tak boleh nak beraya bersama. Sebak memanglah sebak. Tapi kita akur pada perintah yang dikeluarkan. Untuk yang berani langgar perintah tu, aku tak mahu nak komen.  Doaku, semoga kita dan keluarga serta orang-orang di sekeliling kita sentiasa dilindungi ALLAH daripada wabak dan penyakit. Semoga wabak covid-19 akan segera berakhir. Ya ALLAH.. Jauhi kami dari musibah dan kemurkaanMU. Aamiin Ya Mujib.

Alhamdulillah.. 3 hari sebelum raya ambil Is dan Fareez di Matrik. Meriahlah rumah waktu berbuka dan bersahur sebab emak dan anak-anak buah pun dah aku ambil siap-siap datang Bangi. Sehari sebelum raya aktiviti masak juadah raya. Itulah juga juadah untuk kami berbuka sebab menu sedap buat apa nak tunggu. Emak masak rendang ayam dan kuah kacang. Aku masak daging dendeng dan buat kek marble 3 biji. Kami rebus ketupat segera dan ketupat palas frozen. Pakcik aku bagi lemang. Kami masak nasi juga. Alhamdulillah.. petang tu semua juadah dah siap sedia. Tapi menjelang petang badan rasa sangat letih. Tekak rasa haus sangat. Dugaan berpuasa di hari terakhir agaknya. Dah siap semua Han dan Is pergi menghantar juadah raya ke rumah nenek, rumah kakak ipar, rumah pakcik dan rumah makcikku. Dapat pulak balasan juadah raya. Bertambah lagilah menu berbuka puasa untuk kami sekeluarga. ALLAHU.. rezeki. Malam raya dan pada hari raya memang hari berehat bersama keluarga dengan makanan penuh meja. Alhamdulillah. Sempatlah kami ziarah mertua sekejap di malam raya.

Pagi raya, selepas solat subuh memang aku dah tak sambung tidur. Seronoknya dapat dengan lagi takbir raya. Terus sidai kain dan  siap sapu porch sekali. Selepas tu panaskan lauk dan kemas meja makan.  Anak-anak memang sambung tidur semula lepas solat. Pukul 7 kejutkan semua orang untuk bangun dan bersiap. Buka pintu buka sliding door semua. Baru feel raya bila rumah terbuka. Selalu tak beriya nak beraya di rumah sebab bila dah selesai urusan wajib di pagi raya dah sibuk-sibuk nak keluar beraya. Tahun ni memang sangat berlainan. Kami betul-betul beraya hanya di rumah. Pukul 8, selepas semua orang dah bersiap dengan baju raya, kami makan bersama-sama. Ambil sunat untuk makan dulu sebelum solat sunat aidilfitri. Lepas makan kami solat sunat hari raya berjemaah. Selesai solat kami bersalam raya serta bermaaf-maafan dan bagi anak-anak duit raya. Selepas itu, acara yang biasa di hari raya walau di mana jua kita beraya adalah aktiviti bergambar raya. Waktu bergambar Firhan call. Tak cukup korum tahun ni sebab Firhan beraya dengan papa dia. Takpelah.. In shaa Allah.. ada rezeki nanti kita beraya sama-sama ya adik. Sambil-sambil tu kami layan juga lagu-lagu raya di youtube untuk ambil mood hari raya. Dengar lagu-lagu nasyid juga. Banyaknya lagu nasyid yang best-best sekarang ni. Liriknya sangat menyentuh jiwa. Aku suka. 

Selamat Hari Raya dari kami sekeluarga. Maaf zahir dan batin.

Alhamdulillah.. Meriah cara kami. 
Di usia begini, terasa mahu menikmati setiap apa yang ALLAH rezekikan dengan sebaiknya. Tiada apa yang kekal. Segala nikmat yang ALLAH pinjamkan mahu diraikan dan dihargai sebaiknya dengan penuh rasa kesyukuran. 

Alhamdullillah.. Terima kasih ALLAH atas rezekiMU untuk kami dapat menikmati ramadan dan hari raya pada tahun ini. Semoga ALLAH izinkan kami untuk menikmatinya lagi di tahun-tahun yang akan datang. Aamiin Ya Mujib. 

Selesai bergambar raya kami buat video call. Call mertua, adik beradik, makcik pakcik dan sepupu-sepupu. Family en.asben siap buat google meet. Meriah juga hari raya secara dalam talian. Ramai yang dapat kita jumpa di pagi raya dengan cara yang begitu. Alhamdulillah.. Jarak yang jauh tak pernah memisahkan hubungan. Syukur. Walaupun dalam talian tetaplah riuh macam biasa. Tetap penuh dengan acara menyakat dan usik mengusik.

Alhamdulillah.. tahun ni kuih raya kami melimpah ruah. Aku sampai kena letak dalam satu bakul besar dan susun berlapis biar anak-anak dapat makan semua kuih raya tanpa perlu buka tutup almari. Sebab tahu takde tetamu, aku tak transfer pun kuih raya ke balang kuih. Tahun ni aku order kuih raya super sedap dari anak buah. Order juga sikit dari kawan-kawan yang buka order kuih raya. Gegirl dapat 5 balang kuih dari sekolah untuk program anak yatim. Kakak ipar pun bagi kami kuih raya. Kawan dan jiran pun bagi. Total semua kuih raya kat rumah tahun ni dalam 20 jenis termasuk kerepek. Alhamdulillah.. rezeki anak-anak. Risau juga kalau-kalau tak habis kuih raya tu bila takde tetamu yang datang. Tapi kami sendiri pun dah ramai. Hari raya pertama aje dah dua, tiga balang kuih raya settle hehe.. Bagus. Takde pembaziran di situ seperti tahun-tahun sebelum ni. Ni dah raya kelima semakin menyusut balang kuih yang berisi. Yang masih berisi pun dah tinggal sikit isinya. Makanlah nak. Setahun sekali aje kita beria nak makan kuih raya.  

Selesai acara wajib di hari raya kami duduk berkumpul kat ruang tamu. Anak-anak ada yang ulang makan lagi. Jiran kiri kanan hantar juadah raya. Kita pun balas balik juadah raya dan sedikit kuih muih dan kek. Tak dapat kunjung mengunjung, kita bertukar-tukar juadah raya ajelah. Pukul 11 lebih masing-masing dah mula buat aktiviti sendiri. Ada yang dah naik bilik dan tukar baju. Pukul 12 aku pun tukar baju sekali hehe.. Perut dah kenyang,  bangun pun awal, mata pun apa lagi, mengantuk tak ingatlah. Landing kat sofa tahu-tahu dah tertidur.  Sedar-sedar dah masuk zohor. Petang sampai malam kami ulang acara makan-makan lagi. Semua makanan sedap. Kuih raya sedap pun banyak. Kita nikmatilah rezeki ALLAH dengan sebaiknya.

Dah mula buat puasa 6 di bulan syawal? Kalau belum jom sama-sama kita buat. Jangan lepaskan peluang untuk berpuasa 6 hari di bulan syawal ya. Rasullullah S.A.W  bersabda yang bermaksud : "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari ketika di bulan Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun." (Hadis Riwayat Muslim). Semoga ada kesempatan untuk kita semua melaksanakannya. 

Sekian dulu buat waktu ini. Sampai jumpa lagi.

Salam hormat buat semua. In shaa ALLAH.. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah.

Wednesday, March 31, 2021

Alhamdulillah.. 45 tahun..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. 27 Mac tiba lagi. Tarikh ulang tahun kelahiranku. Syukur masih  diizinkan ALLAH untuk bernafas lagi. Syukur masih direzekikan dengan nikmat kesihatan yang baik juga nikmat dikelilingi oleh orang-orang yang sangat baik. Doaku semoga kesemua insan-insan kesayanganku juga insan-insan yang berada di sekelilingku sentiasa dilimpahi dengan segala kebaikan dunia akhirat. Juga direzekikan kita semua untuk menjadi ahli Syurga Firdaus dan dapat masuk ke dalam Syurga Firdaus bersama seluruh ahli keluarga dan orang-orang yang kita sayang.. Aamiin Ya Mujib. Terima kasih atas ucapan dan doa-doa yang diberikan. Semoga ALLAH makbulkan segala doa yang baik-baik itu dan kembalikan juga segala yang terbaik untuk yang mendoakan.. in shaa ALLAH.

Setiap hari layanannya sudah sangat istimewa. Di usia ini dan masih dilayan bagaikan puteri, itu juga satu rezeki. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH. Tiada apa yang berlaku tanpa izin dariMU. HambaMU bersyukur. Memasuki tarikh 27 Mac 2021, selepas tengah malam ucapan selamat dibisikkan di telinga. Bangun pada waktu tahajud ucapan salam seperti kebiasaan diberi bersama ucapan selamat hari jadi lagi. Selesai urusan di bilik air waktu keluar terpandangkan sebuah kotak di sisinya. Entah bila dia merancang dan membelinya? Tahu-tahu kotak itu sudah berada di sisinya menjadi hadiah buatku. 

ALLAHU.. seronoknya rasa hati bila terpandangkan tulisan yang tertulis di kotak. Tanpa membukanya, isinya sudah dapat aku teka dengan tepat. Alhamdulillah.. Terima kasih sayang. Lambang cinta sejati, katanya. Jika selalu, setiap kali waktu tahajud melihat sejadah yang sedia dibentangkan olehnya untukku, sudah cukup membuatkan diri rasa dihargai dan disayangi. Menerima hadiah telekung pada waktu yang sama tentunya membuatkan aku rasa tambah berbesar hati. Syukur Ya ALLAH. Semoga ALLAH sentiasa rezekikan segala yang baik-baik untukmu sayang. Terus saja telekung yang cantik itu aku gunakan pada waktu itu. Semoga pahala untukmu sentiasa mengalir laju sayangku.

Bangun pagi sudah diingatkan, hari ni mama rehat aje. Tak perlu masak apa-apa. Dalam senyuman panjang, aku mengangguk suka. Selepas bersiap kami keluar membeli sarapan untuk anak-anak. Sebekas nasi lemak bersama sambal paru dan rendang kerang kami makan berkongsi berdua. Tengah hari kami keluar lagi bersama emak dan anak-anak juga anak-anak buahku. Mahu meraikan emak di hari ulang tahun emak melahirkan aku. Waktu makan, Han buat surprise. Orderkan kek untukku siap dengan nyanyian selamat hari jadi dari staf restoran. ALLAHU.. di usia begini, terasa segan juga. Namun ianya tetap membuatkan aku rasa berbesar hati. Tqsm sayang mama.

Selepas maghrib ada agenda lagi. Kita keluar makan berdua aje, katanya. Wow!! Bukan tak pernah keluar makan berdua. Tapi selama ini tak pernah keluar makan berdua pada hari jadi. Kalau namanya makan untuk celebrate hari jadi memang satu rumah akan turut serta hehe.. So belum apa-apa dah rasa istimewa. Tak jauh mana pun tempatnya dari rumah. Jadi sebelum sampai mulalah aku berteka-teka. Tekaan ketiga baru tepat. Kami sampai awal 15 minit dari waktu yang dia booking. Boleh aje nak terus masuk dalam restoran, tapi sebab masih awal aku minta izin untuk baca quran dulu sementara menunggu. Terus saja dia offkan radio dan memberikan izinnya. Alhamdulillah.. selesai membaca surah Al-Waqiah dan surah Al-Mulk jam sudah menunjukkan pukul 8.15 malam. Tepat pada waktunya. Its our dinner time!

Tak boleh berhenti tersenyum melihat indahnya deko meja untuk candle light dinner kami. Sebelum duduk, lilin-lilin dipasang. Kata pekerja restoran, puan sangat beruntung sebab inilah pertama kali lelaki yang booking untuk buat arrangement macam ni kat restoran ni. Puan patut berbangga kerana puan sangat bertuah. ALLAHU.. Tiada apa yang berlaku tanpa izin ALLAH. Thank you ALLAH. Thank you so much sayang. Sekali sekala dia tunjuk sayang, dari pagi sampai ke malam penuh dengan kejutan. Dalam diam dia merancang untuk meraikanku. Semoga ALLAH kurniakan segala kebaikan dunia akhirat juga direzekikan dengan segala yang indah-indah buatmu sayang.

Sejak setahun ini, jika ditanya aku nak apa, jawapan aku hanya satu dan tak pernah berubah. Mama nak lobster haha.. Sebenarnya tak retilah nak minta apa-apa. Apa yang ada, semuanya sudah cukup untukku. Syukur Alhamdulilah.. Memenuhi permintaanku, yang asyik cakap nak lobster, maka lobsterlah yang menjadi hidangan untukku pada malam itu. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH. Semoga rezeki suamiku terus berkat dan melimpah ruah serta direzekikan suamiku untuk menjadi ahli syurgaMU.  Syukur atas setiap rezeki yang dikurniakan kepadaku. Ya ALLAH.. terus rezekikan aku untuk menjadi hambaMU yang selalu bersyukur. Rezekikan aku untuk menjadi hambaMU yang selalu bersabar saat ujian dan dugaan menimpaku. Rezekikan aku untuk selalu berzikir padaMU. Ya ALLAH.. Lapangkanlah dadaku untuk menerima takdirku penuh redha. Jauhi kami semua dari menjadi hambaMU yang melampaui batas dan berlebih-lebihan dalam urusan kami. Bantu kami selalu Ya ALLAH.. Aamiin Ya Mujib. 


Alhamdulillah.. Officially 45.💝 Tak tahu berapa lama lagi masa yang tinggal. Sebelum waktu itu tiba, aku ingin menikmati segala pinjaman dariNYA dengan sebaiknya. Untuk bahagia aku perlu berdamai dengan takdir. Untuk tenang aku hanya perlu selalu memberi kemaafan. Untuk tidak berhasad dengki aku mesti lebih banyak mendoakan kebaikan untuk orang lain. Nak jaga hati kena selalu bersangka baik. Selebihnya kena selalu ingat yang tiada apa yang berlaku sia-sia. Semua yang hadir dalam hidup pastinya punya makna. Syukur selalu, sabar selalu. Tak mudah buat bukan bermakna tak mampu buat. Kita jalan terus dan nikmati hidup dengan sebaiknya. Jaga iman, jaga solat, jaga ibadat dan jaga hubungan dengan sebaiknya.

Alhamdulillah.. Direzekikan dengan kesihatan yang baik, emak yang baik, ayah yang baik, suami yang baik, anak-anak yang baik, adik beradik yang baik, ahli keluarga yang baik, keluarga mertua yang baik, saudara mara yang baik, kawan-kawan yang baik, jiran-jiran yang baik, bos yang baik serta orang sekeliling yang baik. Yang baik bukan bermakna terbaik dalam serba serbi. Tiada manusia yang sempurna. Aku juga tak sempurna, bukan juga yang terbaik. Seadanya.. Alhamdulillah.. ALLAH Maha Baik. Dan nikmat ALLAH yang mana mahu kau dustakan? Allahu.. Alhamdulillah.. Terima kasih Allah atas setiap rezekiMU. Terus rezekikan aku dengan rasa meminjam bukan rasa memiliki.

Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Monday, February 15, 2021

Kisah PKP 2.0...

Bismillahirahmanirrahim..

Assalamualaikum.

Hi Blog. Kita rindulah. Rindu nak mencoret di sini. PKP 2.0 ni macam mana? Aku, dalam seminggu tu adalah sehari dua kena masuk ofis ikut jadual bertugas. Itu pun cuma boleh empat jam sahaja berada di pejabat bagi mematuhi SOP PKP. Selain tu BDR. Kursus pun join dalam talian kat rumah. Walaupun kursus kat rumah tapi kalau kata kursus dari pagi sampai petang tu memang pada waktu kursus tu tak berganjak pun dari depan komputer. Makna kata walaupun kat rumah kerja masih tetap kena berjalan seperti biasa. Whatsapp grup ofis pun kena selalu alert agar tak teringgal arahan kerja yang diberi oleh ketua dari masa ke masa. 

Pertengahan dan hujung bulan Januari tu sibuklah sikit sebab asyik kena keluar ke sekolah pulang buku teks dan ambil buku teks. Beli buku, bayar yuran dan sebagainya. Barulah mama tahu macam mana beratnya beg sekolah anak-anak. Semoga berkat ilmu anak-anak semuanya. Tahun ni, tiga orang anak yang masih bersekolah. Dua orang di sekolah menengah. Seorang lagi di sekolah rendah. Perlu berurusan di empat buah sekolah. Syukur jadualnya tiada yang bertindih. Jadi taklah kalut sangat. Ahamdulillah.. semuanya dah settle dengan bantuan ALLAH. Now, hari yang BDR kita stay at home ajelah. Hujung minggu, awal pagi aku dan en.asben briskwalk dalam kawasan perumahan. Bosanlah juga dan agak segan sebab nak berjalan kat depan rumah-rumah orang. Tapi dari tak keluar rumah, kita jalanlah juga dalam sejam. Dapat juga keluarkan peluh. Berat aku sekarang dalam 61-62kg. Alhamdulillah.. masih dalam range tu. Kalau rasa nak makan aku makan aje hehe.. Tapi lepas tu kenalah pandai-pandai jaga balik agar berat tak naik lagi.  Semoga kita semua terus direzekikan dengan kesihatan yang baik, umur yang berkat serta kematian yang husnul khotimah.. Aamiin Ya Mujib. 

Tahun 2021 sekolah bermula dengan pembelajaran dalam talian. Seawal pagi mulut mama dah berbunyi bertanyakan kelas online masing-masing bermula pukul berapa agar tak terlepas kelas. Malam atau petang follow up pulak tanya homework dah siap belum. Syukur.. urusan pembinaan loteng waktu selepas PKP 1.0 tahun lepas dipermudahkan. Alhamdulillah.. Dengan pertambahan dua ruang tambahan di rumah anak-anak semuanya ada ruang sendiri untuk belajar. Harap-harap semua dapat belajar dengan lebih selesa bila ada ruangan sendiri. Is dan FAF dah balik matrik hujung Disember lepas. Sampai sekarang memang kat sanalah tak boleh balik. Baguslah juga macam tu. Harapnya dapatlah lebih fokus belajar di sana, dapat menamatkan pengajian mengikut jadual dan semoga direzekikan dengan kecemerlangan dan kefahaman ilmu.. in shaa ALLAH.

PKP 2.0 bermula waktu Han menghadapi peperiksaan akhir semester 5nya. In shaa ALLAH.. Tinggal 1 sem saja lagi untuk menamatkan pengajiannya. Kesian juga pada anak-anak yang terpaksa menghabiskan zaman pengajian mereka hanya di rumah. Tahun lepas cuma tiga bulan sahaja di kolej. Tahun ni tak merasa lagi masuk kolej. Tak dapat sepenuhnya merasai  kehidupan zaman kampus yang sebenar. Masuk kelas, jumpa pensyarah, buat assingment dan study grup dengan kawan-kawan. Tak apalah, pastinya ada hikmah yang lebih baik untuk mereka. Awal bulan Februari Han dah mula praktikal. Risau juga dalam musim-musim PKP ni kut-kut tak dapat nak buat praktikal. Alhamdulillah.. urusannya dipermudahkan. Dah masuk 3 minggu Han buat praktikal di Kementerian Pengajian Tinggi. Walaupun tak setiap hari kena masuk pejabat  kerana mematuhi SOP PKP tapi dapatlah juga Han peluang untuk tambah ilmu di sana untuk praktikal kerjanya. Alhamdulillah.. syukur. Semoga Han dilindungi ALLAH sentiasa dan direzekikan dengan segala kebaikan dunia akhirat.. Aamiin Ya Mujib.

Seram juga bila tengok kes Covid-19 semakin meningkat hari tu. Dua tiga hari ni nampak menurun sikit jumlah kes.. Alhamdulillah. Harapnya semakin menurunlah terus. Dulu hanya mendengar cerita mengenai orang yang positif covid. Sekarang ni dalam grup family dan kawan-kawan pun dah ada ahli yang positif covid-19.  Minggu lepas emak BFF aku meninggal dunia akibat covid. Innalillahiwainnailaihirojiun. Semoga roh arwah yang sangat baik orangnya tenang dan berbahagia di sana.. Aamiin Ya Mujib. Bila jangkitan tersebut terkena kepada orang yang rapat dengan kita, lebih jelas dan tepatlah cerita yang kita dapat mengenai Covid-19 ni. Dari tak tahu cara pengurusan bagi pesakit yang dijangkiti covid-19, kita jadi tahu dengan perkongsian mereka-mereka yang telah mengalaminya. Didoakan semoga sesiapa saja yang dijangkiti wabak covid-19 diberikan kesembuhan, diringankan kesakitan serta dipermudahkan segala urusan.. in shaa ALLAH. Semoga kita semua terus dilindungi dari wabak dan penyakit juga dilindungi dari musibah dan kemurkaan ALLAH.. Aamiin Ya Mujib. 

Cukup sampai sini dulu. In shaa ALLAH.. semoga ada rezeki untuk aku menulis lagi di lain kali. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Tuesday, January 5, 2021

Pengajaran baru di awal tahun baharu..

Bismillahirahmanirrahim.. 

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Syukur Ya ALLAH. Direzekikan lagi untuk bernafas di tahun 2021 ini. Awal tahun baharu, sebelum subuh ada perkara yang membuatkan hatiku berbunga-bunga. Rasa seronok itu hanya ALLAH yang tahu walaupun ianya hanyalah perkara yang tidaklah sebesar mana. Hal itu membuatkan wajahku jadi cukup berseri-seri waktu menunaikan solat subuh. Waktu mengaji pun hati masih terfikir-fikirkan hal itu. Sepatutnya tak perlulah aku sampai begitu sekali. Tapi entahlah??? Selesai mengaji kelam kabut aku naik ke atas untuk berkongsikan lagi kegembiraanku dengan en.asben. Macamkan tak cukup-cukup lagi.. Haishhh.

Namun benarlah, perkara yang kita rasa baik tak semestinya baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Pengajaran untukku agar tidak berlebih-lebihan dalam setiap perkara. Berpada-pada adalah lebih baik. Dalam pada merai kegembiraan kecilku dengan rasa yang sedikit berlebih-lebihan, rasa gembira itu bagaikan direntap pergi. ALLAHU.. terus pening sekejap rasa kepala. Benarlah, ilmu itu juga adalah satu ujian. ALLAH nak aku tahu yang ada ilmu tak semestinya serba tahu. Dah tahu tak semestinya tak buat silap. Perkara yang sangat jelas boleh jadi kabur bila terlepas pandang.  Semoga aku akan lebih peka dan berhati-hati lagi selepas ini. Aku yakin, tiada apa yang berlaku sia-sia. Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. 

Yang pasti, tiada apa yang boleh berlaku tanpa izin ALLAH. Tiada lain juga yang yang akan kita perolehi dari apa yang telah ditakdirkan selain dari kebaikan.  Alhamdulillah.. Aku mendapat pengajaran yang cukup baik di awal tahun baharu. Rasa bersyukur kerana dalam gembira aku mendapat pengajaran. Dalam kalut dan gelisah juga aku mendapat pengajaran. ALLAHU.. Terima kasih ALLAH. Tahun baruku dimulakan dengan ilmu yang cukup berharga buat diriku.  Syukur.. Ianya menjadi hal yang sangat bermakna buatku untuk menjadi insan yang lebih baik lagi dari hariku yang semalam.  

Dua tiga hari memasuki tahun baharu, cuaca sepanjang hari mendung. Banjir mula melanda negara di beberapa negari. Doaku semoga segala urusan mangsa banjir selamat dan dipermudahkan hendaknya. Semoga wabak Covid-19 akan segera berakhir. Hari ini, cuaca sangat cerah. Awan sangat indah. MasyaALLAH. Untuk semua, jaga diri, jaga kesihatan dan paling penting jaga iman. Semoga ALLAH permudahkan.. In shaa ALLAH. Jangan lupa untuk mengisi hari-hari kita dengan zikir dan selawat. Semoga ALLAH bantu kita selalu.. Aamiin Ya Mujib.

Ada rezeki, kita jumpa lagi. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah. 

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...