Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.
Alhamdulillah.. Hari ni dah 5 Syawal 1442. Tabarakkalahuminnawaminkum. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua. Maaf zahir dan batin. Raya tahun ni memang kami sekeluarga berada 100 peratus di rumah. Dah kata tak boleh ziarah raya, kita ikutlah. Bukan untuk orang lain. Untuk keselamatan diri kita dan keluarga juga. Rumah mertua pun kami tak pergi. Syukur malam raya kami dapat jumpa. Sedih en.asben. Mak mertua lagilah sedih. Anak-anak duduk semua dekat-dekat. Tapi hari raya tetap tak boleh nak beraya bersama. Sebak memanglah sebak. Tapi kita akur pada perintah yang dikeluarkan. Untuk yang berani langgar perintah tu, aku tak mahu nak komen. Doaku, semoga kita dan keluarga serta orang-orang di sekeliling kita sentiasa dilindungi ALLAH daripada wabak dan penyakit. Semoga wabak covid-19 akan segera berakhir. Ya ALLAH.. Jauhi kami dari musibah dan kemurkaanMU. Aamiin Ya Mujib.
Alhamdulillah.. 3 hari sebelum raya ambil Is dan Fareez di Matrik. Meriahlah rumah waktu berbuka dan bersahur sebab emak dan anak-anak buah pun dah aku ambil siap-siap datang Bangi. Sehari sebelum raya aktiviti masak juadah raya. Itulah juga juadah untuk kami berbuka sebab menu sedap buat apa nak tunggu. Emak masak rendang ayam dan kuah kacang. Aku masak daging dendeng dan buat kek marble 3 biji. Kami rebus ketupat segera dan ketupat palas frozen. Pakcik aku bagi lemang. Kami masak nasi juga. Alhamdulillah.. petang tu semua juadah dah siap sedia. Tapi menjelang petang badan rasa sangat letih. Tekak rasa haus sangat. Dugaan berpuasa di hari terakhir agaknya. Dah siap semua Han dan Is pergi menghantar juadah raya ke rumah nenek, rumah kakak ipar, rumah pakcik dan rumah makcikku. Dapat pulak balasan juadah raya. Bertambah lagilah menu berbuka puasa untuk kami sekeluarga. ALLAHU.. rezeki. Malam raya dan pada hari raya memang hari berehat bersama keluarga dengan makanan penuh meja. Alhamdulillah. Sempatlah kami ziarah mertua sekejap di malam raya.
Pagi raya, selepas solat subuh memang aku dah tak sambung tidur. Seronoknya dapat dengan lagi takbir raya. Terus sidai kain dan siap sapu porch sekali. Selepas tu panaskan lauk dan kemas meja makan. Anak-anak memang sambung tidur semula lepas solat. Pukul 7 kejutkan semua orang untuk bangun dan bersiap. Buka pintu buka sliding door semua. Baru feel raya bila rumah terbuka. Selalu tak beriya nak beraya di rumah sebab bila dah selesai urusan wajib di pagi raya dah sibuk-sibuk nak keluar beraya. Tahun ni memang sangat berlainan. Kami betul-betul beraya hanya di rumah. Pukul 8, selepas semua orang dah bersiap dengan baju raya, kami makan bersama-sama. Ambil sunat untuk makan dulu sebelum solat sunat aidilfitri. Lepas makan kami solat sunat hari raya berjemaah. Selesai solat kami bersalam raya serta bermaaf-maafan dan bagi anak-anak duit raya. Selepas itu, acara yang biasa di hari raya walau di mana jua kita beraya adalah aktiviti bergambar raya. Waktu bergambar Firhan call. Tak cukup korum tahun ni sebab Firhan beraya dengan papa dia. Takpelah.. In shaa Allah.. ada rezeki nanti kita beraya sama-sama ya adik. Sambil-sambil tu kami layan juga lagu-lagu raya di youtube untuk ambil mood hari raya. Dengar lagu-lagu nasyid juga. Banyaknya lagu nasyid yang best-best sekarang ni. Liriknya sangat menyentuh jiwa. Aku suka.