Thursday, July 23, 2015

Berjaya Tioman Resort 2015..


Assalamualaikum..  

Sebenarnya nak cerita raya.. Tapi tak jadi. Sebab entry ni dah taip waktu awal puasa hari tu. Tapi disebabkan malas nak sambung maka tersadailah entry ni sehingga dah masuk raya he..he.. Alhamdulillah.. hari ni ada kesungguhan untuk menyiapkannya. Jadi kita proceed dengan entry ni dulu..

Di Malaysia terdapat banyak pulau-pulau yang cantik. Tapi.. yang baru aku dapat sampai hanyalah Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor.. kesiannnn aku.. Err.. dan Pulau Pinanglah juga he..he.. Waktu Island Hopping di Krabi, aku ada dengar orang cakap yang pulau-pulau kat Malaysia lagi hebat sebenarnya. Batu karang dan ikan-ikannya lebih cantik. Teruslah hati mengebu-gebu nak bercuti di pulau-pulau Malaysia. Adik aku pulak sekarang ni asyiklah suka share video dia pergi scuba diving lepas dia dah dapat lesen untuk scuba diving. Selalu juga bercerita pasal pulau-pulau dan laut yang cantik. Lagilah aku rasa nak sangat pergi. Oh.. teringinnyalah.

Dalam teringin, ditakdirkan ada tawaran kursus untuk aku ikuti di Pulau Tioman.  Rezeki datang dalam pelbagai cara, kan? Syukur.. Alhamdulillah. Lebih menjadi rezeki bila kursus itu dibuat pada waktu musim cuti sekolah. Alhamdulillah.. tarikhnya sangat bersesuaian untuk aku dapat mengikuti kursus tersebut. Kalau hari sekolah, aku memang  susah sikitlah nak pergi. Nanti waktu kursus asyik kalut dan susah hati fikirkan tentang urusan sekolah dan makan minum anak-anak. Kalau waktu cuti sekolah anak-anak boleh tinggal  sekejap dengan emak. Jadi aku takdelah risau sangat. Terima kasih emak!


Kursus yang membawa aku ke Tioman..
Sejak beberapa tahun ni, ada rezeki untuk aku menjadi pengacara majlis. Walaupun pernah ada pengalaman handle majlis menteri, tapi semua itu aku buat dari pengalaman dan tunjuk ajar dari pegawai-pegawai dan teman-teman pengacara yang lain. Tak pernah lagi dapat ilmu yang formal dan khusus tentang pengurusan pengacaraan. Maknanya pengetahuan aku masih sangat basic dan cetek. Alhamdulillah.. dalam kursus yang aku ikuti ini dapatlah aku ilmu yang sangat berguna dalam bidang pengacaraan. Kursusnya sangat menarik buat aku. Tunjuk ajar dari En. Rizal Rashid yang selalu mengacarakan program-program besar PM sangat bagus. Pengalaman yang dikongsi juga sangat memberi ilmu untuk kami semua. 

Di Jeti Jabatan Laut Mersing.. 
Kami bertolak  dari Putrajaya dalam pukul 8.30 pagi. Tiba di Mersing dalam pukul 3 petang. Feri sepatutnya bertolak jam 4 petang. Tapi kesudahannya pukul 6.30 baru feri sampai. Sampai di jeti Tekek untuk ke Berjaya Tioman Resort  pukul 8.30 malam. 12 jam baru dapat sampai Tioman.. huhuhu..  Harga tambang feri RM 35 sehala. Ferinya besar juga dan berhawa dingin. Masa perjalanan dalam satu setengah jam ke dua jam.

Bergambar kat depan luar feri.
Rasanya waktu feri bergerak penumpang tak boleh keluar ke depan feri ni. Tapi disebabkan pada waktu nak bertolak tu, air agak surut. Jadi feri tak boleh nak bergerak. Jadi untuk memberatkan feri di bahagian hadapan, kami perlu keluar ke depan feri agar feri dapat bergerak. Maka dengan itu, dapatlah kami bergambar kenangan di sini.

Waktu ni tengah queue nak naik feri. 
(Sila abaikan susunan gambar yang tunggang terbalik.. Maaf ya!). Sampai saja di Berjaya Tioman Resort kami semua terus makan malam. Masa tu perut memang dah lapar benar. Hidangan buffetnya boleh tahan meriah. Sedap juga rasanya. Aku sangat berpuas hati dengan hidangan yang disediakan di Berjaya Tioman Resort. Sebaik lepas makan aje kami terus mula berkursus. Dalam penat tapi semuanya masih bersemangat  untuk ikuti kursus. Dalam pukul 10.30 malam barulah kami dapat balik dan masuk ke bilik hotel.

Pemandangan hijau dari bilik hotel..  Suka aku tengok pemandangan ni..

Bilik aku di tingkat atas.. Biliknya besar. Tapi style bilik macam bilik hotel lama-lama gitu..
Pemandangannya sangat first class.. Keluar aje dari bilik hati melonjak-lonjak nak tengok pantainya..

Subhanallah.. Indahnya ciptaan ALLAH.. Alhamdulillah.. rasa tenang dan damai.. Allahuakbar.. Besarnya kuasa ALLAH yang menciptakan segala-galanya..

Laluan untuk ke Restoran.. Setiap kali lalu mesti nak ambil gambar pantai.. 
Swimming poolnya cantik.. Ada jakuzi lagi.. Balik dari island hopping kita orang semua terjah jakuzinya pula..
Seronoknya kalau anak-anak ada.. Sebab pool untuk kanak-kanak pun nampak best..

Luas mata memandang..

Airnya sangat-sangat jernih.. 
Jernih kan??? Subhanallah..

Best sangat dapat lepak tepi laut.. Rasa hilang segala tekanan..


Rindu dengan pemandangan dan suasana di sini..


Rindu nak lepak di sini..

Alhamdulillah.. dapat duduk di sini sambil mengagumi ciptaan ALLAH..

Khayal melayan dedaun pokok kelapa yang berayun lembut..


Nice view kan? Pantai.. laut.. pepohon kelapa dan kapal.. Oh.. aku jatuh cinta pada kesemuanya..








Happy faces... ALHAMDULILLAH..










Semoga ada rezeki untuk dapat ke Pulau Tioman bersama keluarga tersayang pula.. InsyaALLAH..
Bestnya dapat bersnorkling  di Taman Laut Tioman.. 
Batu karangnya cantik.. Ikannya cantik-cantik berbagai warna.. Banyak dan berkawan-kawan Masya-ALLAH.  Airnya sangat-sangat-sangat-sangat  jernih.. 
Tapi.. masiiiiiiinnnnnn sangat juga.  Alhamdulillah.. aku dah selesa gunakan alat snorkling tu. Dah mula pandai nak bernafas guna mulut. Jadi dapat melihat keindahan dasar laut dengan lebih puas. (Waktu kat krabi aku langsung tak reti nak guna. Cuma guna goggle dan tahan nafas aje). Masa first island hopping kat Tioman,  turun aje dalam air kaki aku  cramp.. Adooiii (Faktor umur semestinya he..he..) So terus hilang confident..
Tapi turun tetap turun. Cumanya mampu berpaut kat tangga aje. Lebih dari tu aku tak berani. Mujur orang bot dan teman-teman dok pujuk-pujuk juga untuk beranikan diri. Siap bagi pelampung lagi walaupun aku dah sedia  berlife jacket haha.. punyalah penakut. Siap ada seorang budak tu tegur aku.
"Kakak.. (iya dia panggil aku kakak walaupun anak aku lebih tua dari dia. Aku anggap itu sebagai satu compliment hahaha..) Kenapa kakak masih nak pegang pelampung juga. Kan kat badan kakak dah ada life jacket. Kakak takkan tenggelam walaupun kakak tak pegang pelampung..  Dengan selamba dan dengan muka tak malu aku cakap. Takpe.. kakak takut!!!  
korang nampak tak perempuan yang berlife jacket pegang pelampung. Iya.. itulah aku..  Kalau takde pelampung tu memang tempat aku bukan kat situ.. Tapi kat tangga aje he..he..

Ini gambar teman-teman lain. Cantikkan gambar ni. Memang cantik sangat Tioman..

Teman-teman pengacara yang sama-sama dapat menghadiri Kursus Pengacaraan di Pulau Tioman. Walaupun berbeza pangkat, jawatan dan gred, walaupun berlainan bahagian, ALHAMDULILLAH.. semuanya dapat berkumpul dan menyesuaikan diri dengan cukup baik. Alhamdulillah.. aku berasa sangat selesa dapat berada bersama-sama mereka yang baik hati serta baik budi..

Salam hormat untuk semua.. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.. 

Friday, July 10, 2015

Kerana Sayang (Cerpen Raya)..



“SURIA balik beraya di mana tahun ni?”
Soalan dari Irma yang baru beberapa bulan menyertai syarikat itu membuatkan Suria tersenyum sendiri. 

“Suria tu kau tak payah tanya, Irma. Dia tu isteri dan menantu yang bertuah. Setiap tahun, tak payah bergaduh nak cabut undi pun dapat balik beraya di kampung sendiri.” Sampuk Hasni dengan nada cemburu.

Semakin melebar senyuman Suria mendengar sampukan dari Hasni. Untuk seketika Suria lebih seronok menjadi pendengar dari ikut serta dalam perbualan tersebut.

“Iya ke? Tapi mentua Suria masih ada lagi, kan?”
Seperti tadi, Hasni juga yang lebih dulu memberikan jawapan untuk soalan yang  Irma ajukan kepada Suria.

“Kalau masih ada lagi, kenapa boleh balik ke kampung Suria saja tiap-tiap tahun?” Sanggah Irma selepas menerima jawapan dari Hasni. 

“Kan aku dah kata tadi, Suria ni beruntung. Suami dia langsung tak kisah kalau kena balik beraya di kampung Suria setiap tahun. Mentua dia pun tak banyak cerita. Takde nak kisah kalau tak balik beraya dengan mereka. Jangan suami dan keluarga mentua kita. Pantang kita terlupa giliran, dia orang dulu yang kelam kabut tolong ingatkan.” 

Pada ketika itu, Hasni dan Suria sudah berkongsi tawa. Wajah Suria juga sudah mempamerkan rasa bahagia bagi menunjukkan betapa bertuah dan beruntungnya dia.

“Kau rasa, kau memang betul-betul beruntung ke  Suria?” Tegur Irma selepas Hasni berlalu untuk menyiapkan tugasannya.

“Eh, mestilah aku rasa beruntung. Bukan semua orang dapat peluang macam aku ni. Dahlah dapat suami yang boleh bertolak ansur. Lebih bertuah bila aku dapat mentua yang sangat memahami.” 

Kali ini, Suria sendiri yang menjawab persoalan Irma dengan penuh bangga. Sudah biasa benar Suria mendengar soalan seperti tu. Menerima soalan dari orang yang rasa cemburu dan tidak berpuas hati dengan nasibnya yang cukup baik.

“Aku tak nafikan kau memang beruntung, Suria. Aku juga mengaku yang aku cemburu dengan tuah kau. Tapi aku rasa, kau dah salah gunakan sifat bertolak ansur suami kau. Kau juga terlupa untuk menghargai mentua kau yang sangat memahami tu dengan sebaiknya. Pernah tak kau dan Hanif fikirkan tentang perasaan mereka? Minta maaflah kalau kau terasa. Tapi sebagai kawan, aku rasa aku patut menegur.” Penuh lembut Irma bersuara.

Tersentak Suria dengan teguran itu. Sebelum ini, tiada siapa yang pernah mempertikaikan tentang perkara itu. Semua orang seperti meraikan dan menyokongnya. Tanpa ada sesiapa yang mengambil kisah untuk menyedarkan Suria tentang perkara itu.

“TAHUN ni kita balik beraya di kampung abang ya.” Beritahu Suria kepada Hanif.

“Eh, kenapa pulak? Nanti tak meriahlah raya kita tahun ni. Anak-anak pun tentu akan rasa bosan kalau balik beraya di kampung abang. Maklumlah, keluarga abang tak besar macam keluarga Su.” Penuh bertolak ansur Hanif terus memberi peluang untuk Suria dapat beraya bersama keluarganya sendiri.

“Dah tujuh tahun kita tak pernah balik beraya bersama keluarga abang. Su rasa, tahun ni biarlah kita beraya dengan emak dan abah abang pulak. Dapat juga kita sambut raya bersama adik abang dan keluarganya. Tentu anak-anak Mira seronok bila dapat beraya dengan sepupu mereka.”

“Kalau dah Su kata macam tu, abang ikut saja.  Biar abang beritahu pada emak dan abah.”
 
Tak bertangguh, Hanif mengambil telefon dan menghubungi orang tuanya.  Wajah Hanif nampak cukup gembira ketika memaklumkan berita yang pastinya selama ini ditunggu-tunggu oleh ibunya. Selama ini kerana sifat bertolak ansur, wajah Hanif tetap berseri bila berterusan terpaksa beraya bersama keluarga Suria. Tapi bila Suria pula yang bertolak ansur, wajah Hanif nampak lebih berseri dan cukup ceria. Saat itu, Suria terasa cukup berdosa kerana telah begitu lama mementingkan diri  dan mengambil kesempatan di atas kebaikan suami dan mentuanya.

 “Su, mak kirim salam. Mak juga ucapkan terima kasih pada Su.” Ujar Hanif lembut. 

Sebak hati Suria ketika menerima salam dan ucapan yang disampaikan oleh Hanif. Suria sedar, dia memang sangat beruntung kerana mempunyai mentua dan suami yang sangat bertimbang rasa. Tidak pernah mereka melahirkan rasa tidak puas hati di depan atau di belakangnya. Mereka juga tidak pernah mengungkit tentang keburukan sikapnya.


“ASSALAMUALAIKUMWARAHMATULLAH…” 
 Alhamdulillah, tahun ini dapat juga Suria bersama-sama dengan suami dan anak-anaknya untuk menunaikan solat sunat hari raya di masjid. Selalunya setiap tahun pada waktu ini, dia masih di rumah. Jika tidak sibuk di dapur, tentunya sedang menunggu giliran untuk masuk ke bilik mandi. Keluarganya besar, untuk makan keluarga saja persiapannya bagaikan mahu menyediakan kenduri. Untuk masuk ke bilik air perlu beratur dan menunggu giliran. Di rumah keluarga Hanif, keadaannya agak lapang. Sejak malam tadi juadah untuk pagi ini sudah siap disediakan. Tanpa perlu beratur dan mengambil giliran, pagi-pagi lagi dia sudah dapat mandi dan bersiap.

“Lepas ni kita nak ke rumah siapa lagi?” Penuh ceria Suria bertanya.

“Su dengan anak-anak  tak penat ke?” Soal Hanif perihatin.

“Mana ada penat. Seronok tu adalah.” Balas Suria dengan lembut sambil mengerling anak-anaknya yang langsung tidak mengeluh. 

Memang Suria dan anak-anak rasa teruja dan berasa cukup seronok dapat ikut sama pergi menziarah ke rumah saudara mara dan jiran-jiran. Jika beraya bersama keluarga Suria, aktiviti utama mereka hanyalah berkumpul dan berbual-bual sambil melepak di depan televisyen. Aktiviti ziarah dan menziarahi memang jarang menjadi agenda. 

“Terima kasih Su, kerana sudi beraya dengan keluarga abang. Terima kasih juga kerana memberi peluang dan mengingatkan abang untuk menjadi anak yang lebih baik untuk emak dan abah.”

 “Su yang sepatutnya ucapkan terima kasih pada abang sebab dah banyak bertolak ansur dengan Su. Su juga nak minta maaf sebab dah mengambil kesempatan di atas kebaikan abang. Su jadi leka dan bangga diri dengan sikap tolak ansur abang. Sebelum ni, Su ingat meriahnya raya ialah dimana kita akan beraya. Tapi rupa-rupanya, meriahnya raya itu lebih besar pengertiannya.  Bagaimana kita meraikan dan siapa yang kita mahu raikan juga dapat  memeriahkan raya kita.”

Hanif tersenyum senang mendengar kata-kata dari isterinya.

“Kenapa abang tak kisah bila terpaksa beraya bersama keluarga Su setiap tahun?”  Soal Suria.

“Semuanya kerana sayang, Su. Abang sayangkan Su. Abang juga sayangkan keluarga Su sama macam mana abang sayangkan keluarga abang sendiri. Sebab tu abang tak kisah walau di mana pun kita beraya.”

“Itulah juga sebab mengapa Su mahu kita beraya dengan keluarga abang pula tahun ni. Su juga sayangkan abang dan keluarga abang sama macam Su sayangkan keluarga Su sendiri. Su harap kita dapat sama-sama menjadi anak yang lebih baik dan bertanggungjawab. Juga akan  lebih mengambil berat dan perihatin dengan perasaan orang tua kita.” Ujar Suria.

Semuanya memang kerana sayang. Pastinya kerana sayang juga Irma menegur untuk menyedarkan sahabatnya yang sudah terleka dan terlupa. 

Semoga ada iktibar yang diperolehi insyaALLAH..
Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...