Nuffnang

Friday, July 10, 2015

Kerana Sayang (Cerpen Raya)..



“SURIA balik beraya di mana tahun ni?”
Soalan dari Irma yang baru beberapa bulan menyertai syarikat itu membuatkan Suria tersenyum sendiri. 

“Suria tu kau tak payah tanya, Irma. Dia tu isteri dan menantu yang bertuah. Setiap tahun, tak payah bergaduh nak cabut undi pun dapat balik beraya di kampung sendiri.” Sampuk Hasni dengan nada cemburu.

Semakin melebar senyuman Suria mendengar sampukan dari Hasni. Untuk seketika Suria lebih seronok menjadi pendengar dari ikut serta dalam perbualan tersebut.

“Iya ke? Tapi mentua Suria masih ada lagi, kan?”
Seperti tadi, Hasni juga yang lebih dulu memberikan jawapan untuk soalan yang  Irma ajukan kepada Suria.

“Kalau masih ada lagi, kenapa boleh balik ke kampung Suria saja tiap-tiap tahun?” Sanggah Irma selepas menerima jawapan dari Hasni. 

“Kan aku dah kata tadi, Suria ni beruntung. Suami dia langsung tak kisah kalau kena balik beraya di kampung Suria setiap tahun. Mentua dia pun tak banyak cerita. Takde nak kisah kalau tak balik beraya dengan mereka. Jangan suami dan keluarga mentua kita. Pantang kita terlupa giliran, dia orang dulu yang kelam kabut tolong ingatkan.” 

Pada ketika itu, Hasni dan Suria sudah berkongsi tawa. Wajah Suria juga sudah mempamerkan rasa bahagia bagi menunjukkan betapa bertuah dan beruntungnya dia.

“Kau rasa, kau memang betul-betul beruntung ke  Suria?” Tegur Irma selepas Hasni berlalu untuk menyiapkan tugasannya.

“Eh, mestilah aku rasa beruntung. Bukan semua orang dapat peluang macam aku ni. Dahlah dapat suami yang boleh bertolak ansur. Lebih bertuah bila aku dapat mentua yang sangat memahami.” 

Kali ini, Suria sendiri yang menjawab persoalan Irma dengan penuh bangga. Sudah biasa benar Suria mendengar soalan seperti tu. Menerima soalan dari orang yang rasa cemburu dan tidak berpuas hati dengan nasibnya yang cukup baik.

“Aku tak nafikan kau memang beruntung, Suria. Aku juga mengaku yang aku cemburu dengan tuah kau. Tapi aku rasa, kau dah salah gunakan sifat bertolak ansur suami kau. Kau juga terlupa untuk menghargai mentua kau yang sangat memahami tu dengan sebaiknya. Pernah tak kau dan Hanif fikirkan tentang perasaan mereka? Minta maaflah kalau kau terasa. Tapi sebagai kawan, aku rasa aku patut menegur.” Penuh lembut Irma bersuara.

Tersentak Suria dengan teguran itu. Sebelum ini, tiada siapa yang pernah mempertikaikan tentang perkara itu. Semua orang seperti meraikan dan menyokongnya. Tanpa ada sesiapa yang mengambil kisah untuk menyedarkan Suria tentang perkara itu.

“TAHUN ni kita balik beraya di kampung abang ya.” Beritahu Suria kepada Hanif.

“Eh, kenapa pulak? Nanti tak meriahlah raya kita tahun ni. Anak-anak pun tentu akan rasa bosan kalau balik beraya di kampung abang. Maklumlah, keluarga abang tak besar macam keluarga Su.” Penuh bertolak ansur Hanif terus memberi peluang untuk Suria dapat beraya bersama keluarganya sendiri.

“Dah tujuh tahun kita tak pernah balik beraya bersama keluarga abang. Su rasa, tahun ni biarlah kita beraya dengan emak dan abah abang pulak. Dapat juga kita sambut raya bersama adik abang dan keluarganya. Tentu anak-anak Mira seronok bila dapat beraya dengan sepupu mereka.”

“Kalau dah Su kata macam tu, abang ikut saja.  Biar abang beritahu pada emak dan abah.”
 
Tak bertangguh, Hanif mengambil telefon dan menghubungi orang tuanya.  Wajah Hanif nampak cukup gembira ketika memaklumkan berita yang pastinya selama ini ditunggu-tunggu oleh ibunya. Selama ini kerana sifat bertolak ansur, wajah Hanif tetap berseri bila berterusan terpaksa beraya bersama keluarga Suria. Tapi bila Suria pula yang bertolak ansur, wajah Hanif nampak lebih berseri dan cukup ceria. Saat itu, Suria terasa cukup berdosa kerana telah begitu lama mementingkan diri  dan mengambil kesempatan di atas kebaikan suami dan mentuanya.

 “Su, mak kirim salam. Mak juga ucapkan terima kasih pada Su.” Ujar Hanif lembut. 

Sebak hati Suria ketika menerima salam dan ucapan yang disampaikan oleh Hanif. Suria sedar, dia memang sangat beruntung kerana mempunyai mentua dan suami yang sangat bertimbang rasa. Tidak pernah mereka melahirkan rasa tidak puas hati di depan atau di belakangnya. Mereka juga tidak pernah mengungkit tentang keburukan sikapnya.


“ASSALAMUALAIKUMWARAHMATULLAH…” 
 Alhamdulillah, tahun ini dapat juga Suria bersama-sama dengan suami dan anak-anaknya untuk menunaikan solat sunat hari raya di masjid. Selalunya setiap tahun pada waktu ini, dia masih di rumah. Jika tidak sibuk di dapur, tentunya sedang menunggu giliran untuk masuk ke bilik mandi. Keluarganya besar, untuk makan keluarga saja persiapannya bagaikan mahu menyediakan kenduri. Untuk masuk ke bilik air perlu beratur dan menunggu giliran. Di rumah keluarga Hanif, keadaannya agak lapang. Sejak malam tadi juadah untuk pagi ini sudah siap disediakan. Tanpa perlu beratur dan mengambil giliran, pagi-pagi lagi dia sudah dapat mandi dan bersiap.

“Lepas ni kita nak ke rumah siapa lagi?” Penuh ceria Suria bertanya.

“Su dengan anak-anak  tak penat ke?” Soal Hanif perihatin.

“Mana ada penat. Seronok tu adalah.” Balas Suria dengan lembut sambil mengerling anak-anaknya yang langsung tidak mengeluh. 

Memang Suria dan anak-anak rasa teruja dan berasa cukup seronok dapat ikut sama pergi menziarah ke rumah saudara mara dan jiran-jiran. Jika beraya bersama keluarga Suria, aktiviti utama mereka hanyalah berkumpul dan berbual-bual sambil melepak di depan televisyen. Aktiviti ziarah dan menziarahi memang jarang menjadi agenda. 

“Terima kasih Su, kerana sudi beraya dengan keluarga abang. Terima kasih juga kerana memberi peluang dan mengingatkan abang untuk menjadi anak yang lebih baik untuk emak dan abah.”

 “Su yang sepatutnya ucapkan terima kasih pada abang sebab dah banyak bertolak ansur dengan Su. Su juga nak minta maaf sebab dah mengambil kesempatan di atas kebaikan abang. Su jadi leka dan bangga diri dengan sikap tolak ansur abang. Sebelum ni, Su ingat meriahnya raya ialah dimana kita akan beraya. Tapi rupa-rupanya, meriahnya raya itu lebih besar pengertiannya.  Bagaimana kita meraikan dan siapa yang kita mahu raikan juga dapat  memeriahkan raya kita.”

Hanif tersenyum senang mendengar kata-kata dari isterinya.

“Kenapa abang tak kisah bila terpaksa beraya bersama keluarga Su setiap tahun?”  Soal Suria.

“Semuanya kerana sayang, Su. Abang sayangkan Su. Abang juga sayangkan keluarga Su sama macam mana abang sayangkan keluarga abang sendiri. Sebab tu abang tak kisah walau di mana pun kita beraya.”

“Itulah juga sebab mengapa Su mahu kita beraya dengan keluarga abang pula tahun ni. Su juga sayangkan abang dan keluarga abang sama macam Su sayangkan keluarga Su sendiri. Su harap kita dapat sama-sama menjadi anak yang lebih baik dan bertanggungjawab. Juga akan  lebih mengambil berat dan perihatin dengan perasaan orang tua kita.” Ujar Suria.

Semuanya memang kerana sayang. Pastinya kerana sayang juga Irma menegur untuk menyedarkan sahabatnya yang sudah terleka dan terlupa. 

Semoga ada iktibar yang diperolehi insyaALLAH..
Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

7 comments:

idzwa kamaruddin said...

tak sabar nak baca keseluruhan nyer kak..

baca yang ini pun sambil tersneyum-senyum dpn pc..hihiii..

Eye_nee said...

Sbb syang kan sis kan..Akk dulu hanya pg raya di rumah makayah akk...dari ptg hari raya sehingga habis cuti raya dirumah mertua...berlarutan selama 20 thn akk kahwin...sbb akk tinggal berdekatan rumah mak akk...apalah salah hari raya akk habiskan masa dirumah mertua kan...

ummi aqilah (LM) said...

Hurm sbb sayang..

Ada ramai juga jenis camni kan kak fea? Hat ibu bapa sendiri tercalar sbb nk jg hati isteri. Apa salahnya buat sistem giliran. Huhu

Hanis Azla said...

As-salam idzwa,

cerita itu hanya sampai di situ saja he..he.. cerpen kan jadi pendek sajalah.. TQ ya izwa..

As-salam Kak Eye-nee,

Betul kak.. adakalanya kita sendiri yang kena peka dan tak boleh terlalu berkira.. yang penting hati kedua2 belah keluarga dapat kita jaga sebaiknya.. insyaALLAH.. TQ ya kak eye-nee..

As-salam Ummi Aqilah (LM),

Memang ada yang sebegitu LM.. langsung tak mahu nak bergilir dan bertimbang rasa.. Semoga kita sendiri dapat sentiasa menjaga hati ibu bapa sendiri dan mentua sebaiknya.. insyaALLAH.. TQ ya LM..

Diana Rashid said...

memang ada yang jenis ambik kesempatan macam ni kak..mentang2 laki kata tak pe dia pulak tak pikir perasaan mak ayah mertua..kalau laki kata ok patut nya fikir jugak perasaan mak ayah suami kita kan??

Diana Rashid said...

memang ada yang jenis ambik kesempatan macam ni kak..mentang2 laki kata tak pe dia pulak tak pikir perasaan mak ayah mertua..kalau laki kata ok patut nya fikir jugak perasaan mak ayah suami kita kan??

Hanis Azla said...

As-salam diana..

Memang sepatutnya dalam keadaan yang macam tu kita perlu lebih bertimbang rasa.. semoga kita sama2 dapat mengambil iktibarnya.. insyaALLAH.. Terima kasia Diana.. :)