Friday, April 5, 2019

Merai, dirai, raikan cinta, 3-0..

Assalamualaikum.. 

Alhamdulillah.. kita sudah menjejaki ke bulan April 2019. Baru 4 bulan dalam tahun ini, macam-macam perkara dah berlaku dan juga yang dah dilalui. Pahit manis, sedih dukalara, bahagia gembira, dipuji disakiti, kehilangan tak berganti  dan macam-macam perkara lagi. Itulah kehidupan. Hidup umpama roda. Ada masa kita di atas. Ada masa kita di bawah. Tak selamanya kita merasai nikmat yang sama. Tak selamanya kesedihan membelenggu diri kita. Bahagia itu ujian, derita juga ujian. Teruskan kehidupan dengan lebih baik walau dalam apa pun fasa kehidupan kita. Tak perlu pentingkan diri. Cuba untuk tidak menyakiti kerana bila tiba giliran kita disakiti, rasa itu bagaikan tak tertanggung sendiri. Pagi ini terbaca satu quote yang penuh makna.

"Jangan rendahkan dirimu untuk mendapatkan sesuatu,
tapi rendahkan hatimu untuk berikan sesuatu."

Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang rendah hati. Merendah diri itu bagus. Tapi rendahkan diri untuk dapatkan sesuatu, lebih-lebih lagi dengan cara yang khianat, perbuatan itu sangat tidak berbaloi. Ianya hanya akan mencemar maruah diri. Tak perlu menganiaya orang untuk kepentingan diri. Kalau tak boleh menyenangkan hidup orang lain,  tak perlulah menganggu dan menyusahkan kehidupan orang lain pula. Benar, semua yang berlaku itu takdir. Tapi kita ada pilihan untuk memilih yang terbaik di antara pilihan-pilihan yang ada. Untuk sarapan pagi ni, aku dah siap-siap order sandwich ayam dari seorang sahabat semalam. Pagi ini, seorang sahabat yang baik berikan sausage and scrambled egg sandwich pula. Mulalah memikir-mikir untuk membuat pilihan. Benarlah yang hidup ini penuh dengan pilihan. Semoga kita akan lebih bijak memilih perkara yang betul dari yang salah. Hal yang baik dari yang buruk. Semoga ALLAH permudahkan dan memberi petunjuknya.. in shaa ALLAH.

Panjang pula mukadimahnya ya.. hehe.. Kalau dah menulis, begitulah. Apa yang berada di minda mahu diluahkan semuanya menjadi patah perkataan. Bukan untuk mengingatkan orang lain. Tapi lebih untuk mengingatkan diri sendiri yang masih tak sempurna dan terlalu banyak kekurangan. Kembali pada tajuk, sebenarnya nak bercerita tentang majlis harijadi di rumah mertua pada hujung minggu sudah. Alhamdulillah.. direzekikan dengan mertua dan keluarga mertua yang baik. Syukur. Dalam keluarga aku pula, mertua itu sama seperti emak ayah kandung. Takde bezanya. Baik aku mahupun adik-adik aku. Begitulah kami. Emak aku sendiri tak pernah menyebut emak dan ayah mertua kami sebagai emak dan ayah mertua. Emak akan hanya menyebut emak dan ayah sahaja. Emak juga selalu mahu kami lebihkan mertua kerana emak tahu anak-anaknya semua perempuan. Jadi mesti utamakan suami dan keluarga mertua. Cara emak membuatkan kami dapat menyantuni emak dan ayah mertua kami dengan lebih baik lagi. Terima kasih emak. Ianya jadi contoh yang baik untukku.

Image may contain: 3 people, including Hanis Azla Rafeah Salim, people smiling, food and indoor
Alhamdulillah.. setiap bulan yang ada tarikh istimewa di dalamnya, emak mertua akan meraikan anak-anak, menantu dan cucu-cucunya. Untuk bulan Mac, giliran aku dan dua anak buah Irfan dan Marissa dirai. Terima kasih emak dan seisi keluarga. Rasa berbesar hati sangat. Muka Irfan iras benar dengan muka en.asben. Setiap kali upload gambar di Fb mesti keluar tag nama Irfan hehe.. 

Image may contain: 4 people, including Hanis Azla Rafeah Salim, people smiling, people sitting, indoor and food
Marissa, Aunty & Irfan.
Sebelum potong kek, bacaan doa dibaca. Semoga ALLAH makbulkan apa yang baik-baik untuk kami. Semoga ALLAH jauhkan apa yang tidak baik untuk kami. Semoga kita semua sentiasa diberkati  dalam rahmat dan kasih sayang ALLAH. Aamiin.. Emak dan anak-anak buah aku pun ikut join sekali kalau ada apa-apa sambutan di rumah mertua. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH atas segala nikmatMU. 

Image may contain: 3 people, people sitting, people eating, table, child, food and indoor
Ehemmm.. Khusyuk ayah mengamiinkan doa. Semoga segala yang baik-baik, kebahagiaan yang berpanjangan, anak-anak yang soleh, rezeki yang berkat, rumahtangga yang bahagia serta kesihatan yang baik ALLAH izinkan  untuk terus menjadi milik kita sekeluarga.. in shaa ALLAH. Han dengan Is tu nampak macam kamching sangat kan. Hah.. itu time baik tu he..he.. Tunggu time tak baik.. terjerit-jerit panggil mama ayah nak report rasa tak puas hati. Dung dang dung dang lari kat tangga sebab dia orang kejar mengejar. Aduhai anak.. Haha..

Image may contain: 4 people, including Hanis Azla Rafeah Salim, people sitting, people eating, child, food and indoor
Ayah dan Ustaz Bahar (biras). 

Image may contain: people sitting, table and food
Seperti biasa, makanan penuh meja. Alhamdulillah.. atas rezeki dariNYA.
Emak masak nasi briyani dan lauk pauk sedap. Kakak ipar bawak kek dan pizza. Kami bawak sate dan murtabak. Alhamdulillah.. semuanya sedap. Mana yang tak habis, tapau bawak balik buat sarapan untuk esok paginya pulak. Alhamdulillah.. takde makanan yang membazir. Rezeki yang ada dikongsi bersama. Semoga berkat.. in shaa ALLAH.

Image may contain: dessert and food
Kek sedap, keropok lekor sedap, muffin sedap. Aku ni makanan apa aje yang tak sedap hehe.. Esoknya seperti yang dijangka berat naik sikit huhu.. Waktu timbang dah mengeluh sendiri. En.asben pandang aje dengan senyum sinis. Lepas tu tanya, kenapa ma? Terlebih makan eh semalam? Hahaha.. Betullah tu. Alhamdulillah.. selepas tu berat dah turun balik. Total lost sampai pagi tadi 8.8 kg untuk dua setengah bulan. Alhamdulillah.. syukur. Semoga tercapai target nanti. Lambat sikit takpe, asalkan berat tak naik semula. Itu yang lebih penting.

Image may contain: 2 people, people smiling, people sitting and indoor
Emak dan Hafiy.
Gambar ahli keluarga yang lain banyak dalam video aje. Tak dapat nak share.
Anyway, thank you maklong, ambilkan gambar dan rakam video untuk setiap majlis keluarga. Semoga ALLAH merahmatimu.. in shaa ALLLAH.

Esoknya, aku dan en.asben pergi kenduri kat Conezion Putrajaya. Anak-anak seperti biasa, tiada siapa yang nak ikut. Jadi mama dan ayah dating berdua ajelah. Kenduri kahwin kawan aikido en.asben. Dah alang-alang nak pergi area sana dan kebetulan areanya bersebelahan aje dengan IOI Citymall jadi kami singgah dulu ke IOI sebelum ke majlis perkahwinan tu. Alhamdulillah.. tertunailah hajat en.asben nak beli couple ring baru untuk kami di Habib. Suka tak? Tentulah aku suka. Walaupun rasa tak perlu, tapi bila orang dah bersungguh memberi,  kita yang menerima tentulah lebih rasa berbesar hati. TQ sayang. Merai dan dirai tentunya buat diri rasa dihargai. Alhamdulillah.. Mama suka. Dah settle dengan cincin baru kami terus pergi kenduri. Guna waze 3 minit aje. He..he.. Dekat betul. Alhamdulillah.. majlis yang meriah. Makanan yang sedap. Barakallah buat pasangan pengantin yang sama cantik sama padan. Semoga berkekalan hubungan kalian hingga ke Jannah. Selesai kenduri, kami terus ke PJ pula. Ada orang tu nak beli kasut baru he..he.. Alhamdulillah.. apa yang diidam sudah diperolehi. Rasanya tak salah kalau sesekali nak reward diri. Raikan diri dengan sebaiknya. Jadi kita layanlah apa yang menjadi idaman hati. Walaupun bukan kasut aku, tapi aku sendiri menyukainya dan rasa seronok untuk dia. Thank you ALLAH atas pinjaman rezekiMU untuk kami. Atas segala yang dipinjamkan untuk kami. ALHAMDULILLAH. Semoga kami menjadi hamba-hambaMU yang selalu bersyukur.

Alhamdulillah.. Thank you ALLAH.

Sesekali berjalan-jalan dengan baju kurung dan baju batik rasa best juga. Bila lagi nak rasa anggun, kan? Haha.. Cermin besar dalam kedai kasut buat hati rasa geram aje nak bergambar berdua. Ajak en.asben bergambar. Eh.. dia nak layan pulak hehe.. Mehlah kita simpan memori di sini. Kasut tu kita simpan resit ajelah ya. Bila update kat FB ramai kawan-kawan tegur badan dah kurus sikit. Alhamdulillah.. Semoga ucapan dari kawan-kawan jadi semangat untuk aku istiqamah dengan misi untuk menurunkan berat badan. Ada kawan yang mengusik, katanya.. kena simpan dalam rumah bini abang ni. Cantik sangat bini abang ni. Hahaha.. Begitulah cara orang nak meraikan kita, kan?. Walaupun sekadar gurauan, tapi kita tahu niatnya nak memberi semangat dan menceriakan hati kita. Alhamdulillah.. dikurniakan kawan-kawan yang baik. Yang selalu memberi semangat dan boleh merasa bahagia dengan kebahagiaan kita. Yang tahu kita berkongsi sekadar untuk luahkan rasa gembira. Bukan untuk menunjuk apa yang kita ada. Sebab semua yang kita ada bukan milik kita pun. Semuanya ALLAH yang punya. Bagiku meraikan kebahagiaan juga sebagai tanda kita bersyukur dengan nikmatNYA. Adat berkawan, perlulah saling merai dan dirai. Agar hilang rasa cemburu dan iri hati. Kalau kita boleh bergembira dengan kebahagiaan orang lain, orang lain pun akan ikut bergembira dengan kebahagiaan kita. In shaa ALLAH.. What you give, you get back. Sifir kehidupan yang sangat mudah untuk kita hafal dan apply dalam kehidupan kita.

Hari jumaat sebelum tu, adik aku call ajak dating time rehat tengah hari. Nak belanja makan sempena birthday alongnya. Sekarang ni tinggal kami dua beradik saja. Kalau tak kami yang saling merai dan dirai, siapa lagi, kan? Sebak pula teringatkan arwah adikku yang tahun ini sudah 5 tahun pergi meninggalkan kami. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Anak-anak bujang pergi solat jumaat. Jadi kami pergi yang ladies ajelah. Aku, Rita, emak dan Han. Thank you maksu. Semoga rezekimu terus murah kerana selalu merai along sekeluarga. Isnin baru ni, adikku kehilangan ibu mertua. Seperti yang aku cerita, emak dan ayah mertua bagaikan emak ayah kandung untuk kami. Jadi kehilangan itu sangat dirasai. Aku sendiri rasa cukup sedih. Awal pagi esoknya adik aku hantar mesej kepadaku, sakitnya rasa hilang ibu huhu.. Senang benar emak mertua adikku pergi. Semoga rohnya juga dicucuri rahmat. Kehilangan orang yang baik-baik memang selalu buat kita rasa kehilangan. Semoga kita semua direzekikan dengan kematian yang sebegitu dalam khusnul khotimah.

Alhamdulillah.. hari ni, anakku Han direzekikan untuk dapat anugerah dekan.
Mama dan ayah doakan semoga kakak terus cemerlang dunia akhirat. 
Waktu hantar Han masuk kolej masa sem 1 dulu, sebelum kami balik, setiap kali ayah akan nasihatkan Han agar tekun belajar dan tak main-main. Setiap kali tu mama akan menambah.. In shaa Allah kalau boleh dean's list. Alhamdulillah.. Ada rezeki Han utk dapat dean's list utk sem 1 ni. Betullahkan cakap-cakap seorang ibu itu satu doa. Peringatan yang baik untukku agar bercakap yang elok-elok dengan anak-anak.

Untuk En.Asben tahniah untuk kejayaan 3-0. Apa yang 3-0 tu biarlah menjadi rahsia kami. Tapi ianya memang patut dirai dan aku tulis di sini dengan maksud untuk merai. En.Asben siap request mama tulis kat blog sebagai kenangan ha..ha.. GBS ya sayang. Anyway..  Mama proud of you. I'm happy for you too. MGBBBNPM much love. 

Oh ya.. Sedih juga dengan hibah Tabung Haji tahun ini. Rendahnya. Takpelah.. itu pun rezeki untuk dirai. Eh.. semalam ada terbaca lawak kat FB tentang orang yang suka minta nombor atas maksud nak berkenalan ke apa. Lain kali bagi aje kalau orang minta nombor tu sebagai tanda kita nak merai. Tapi bagi nombor akaun bank kita saja bukan nombor telefon. Hahaha.. mana tahu bertambah amount dalam akaun kita kan. Jadi takdelah terasa kalau dapat dividen simpanan sikit. Barulah terasa diri dirai.  

Mohon maaf jika ada yang tak kena dalam tulisan saya. Takde niat nak menyinggung sesiapa. Sekadar berkongsi cerita untuk kenangan sendiri dan keluarga. Juga berpesan-pesan untuk lebih mengingatkan diri sendiri yang terlalu banyak khilafnya.

Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

2 comments:

Nuansa indah tour said...

Itinerary camping & adventure Medan lake toba tour 4d 3n.

Day 1: Kualanamu ~ Kolam abadi ~ Sibayak volcano ( Camping ).
# pick up at Kualanamu airport
# Lunch
# continue the journey to Kolam Abadi (pay Rp. 80k / person yourself)
# continue the trip to Berastagi (camping at Sibayak volcano)
# Dinner at Berastagi

Day 2: Berastagi ~ sipisopiso waterfall ~ gajah bobok(camping)
# Bathing at the sidebuk-debuk (hot spring)
# Visit the Berastagi fruit market
#lunch
# continue the trip to Sipiso-Piso waterfall
# camping on Gajah Bobok hill
# dinner

Day 3: Gajah bobok-tongging-Medan
# continue the trip to Tongging
# Enjoy the natural beauty of Lake Toba from Tongging
#lunch
# Continuing the trip to Medan
# Dinner in Medan
# check-in hotel

Day 4: Medan city tour-kualanamu
# Breakfast at hotel and check-out
# Visiting Maimun Palace, Deli Sultanate Palace
# Shopping telekung and batik clothes
# Continue the trip to the airport and the program is complete

Include:
⛺ camping, Hotel and breakfast at Medan, transport, parking, entrance fee

Ekslude:
Flight, optional tour, tips driver dan tour guide.

Thanks//Regards
Akfansyah tour guide Medan Sumatera Utara-Indonesia. Telp//WhatsApp : +6281262388907
Facebook : Akfan
Instagram : Akfansyah Lubis
Email : nuansaindahtour19@gmail.com
Web : www.nuansaindahtour.com

The Paper And Ink said...

Thankks for this

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...