Nuffnang

Monday, April 27, 2015

Tak mahu.. bukan tak boleh!

Assalamualaikum..

Adakalanya.. keadaan membuatkan kita perlu menjadi seseorang yang bukan diri kita. Dalam erti kata lain, perlu melakukan sesuatu perkara di luar kemahuan kita. Walaupun bukan dipaksa tapi kita 'diperlukan' untuk melakukannya. Aku dah mencuba.  Malah berusaha juga (walaupun tak sepenuh jiwa he..he..). Sejujurnya.. aku ditahap memaksa diri untuk melakukannya. Tapi yang pastinya aku tak boleh. Actually boleh kut.. kalau aku mahu. Errrr..  mungkinlah kut? Hmm..  entah?

Apa yang pasti masalahku ialah aku memang tak mahu. Bukan tak boleh! Jiwaku bukan begitu. Habis tu bagaimana? Perlu berundur? Eh.. Taknaklah. Aku belum mahu mengundur. Ini kerana perkara itu menjadi perkara yang sangat aku senangi. Cuma.. hal sampingannya  yang membuatkan aku jadi lemas. Lemas kerana perlu menjadi seseorang yang bukan diri sendiri. Oh...  kenapalah dua perkara yang aku suka dan tidak suka perlu saling berkait?

p/s : Ianya cuma masalah kecil. Tak langsung berkait dengan hal keluarga atau yang berkaitan periuk nasiku. Tapi ianya sangat menganggu.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Wednesday, April 22, 2015

ADIRA 16..

Assalamualaikum..

Hari ini 22 April 2015. Pada tarikh ini 16 tahun yang lalu pada jam 9.05 pagi, aku telah selamat melahirkan anak sulungku. Alhamdulillah.. segalanya dipermudahkan untukku. Dalam masa dua jam selepas tiba di Pusrawi Kajang, aku telah selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.75 kg. Amanah dari ALLAH untuk aku dan en.asben  setelah kami bergelar mama dan ayah. Adi Iskandar.. itulah nama yang dipilih oleh en.asben untuk anak sulung kami walaupun kami tidak tahu dengan tepat jantina anak kami sebelum itu. Hanya satu nama yang dipilih. 

Bila aku melahirkan bayi perempuan, aku terus memandang pada en.asben yang menemani aku sepanjang proses kelahiran di labour room. Okey.. kami perlu pilih nama lain untuk bayi perempuan kami yang bukan main bulat pipinya. Akhirnya nama Adira Hanum dipilih oleh kami. Adira adalah gabungan nama aku dan en.asben. Hanum pula, en.asben memang sukakan nama  itu. Sempana nama Hikayat Faridah Hanum. Dari buku nama-nama pilihan, Hanum bermaksud kesayanganku. Jadi nama itu memang sesuai sangatlah  untuk anak sulung yang menjadi kesayangan kami. Terdapat unsur klasik dalam nama anakku seperti namaku juga. Apa salahnya dengan klasik kan Han? He..he..

Han anak yang manja. Maklumlah anak tunggal perempuan. Kesayangan ayah pulak tu. Lagilah kan. Dia  kakak yang garang untuk adik-adiknya. Tapi dalam pada garang adakalanya kena juga dengan adik-adiknya yang kedua-duanya lelaki he..he.. Tabah Han.. Tabah. Yang penting dia sangat bertanggungjawab. Sebagai kakak sulung dan juga cucu sulung dalam keluargaku, dia sangat mengambil berat tentang adik-adik dan sepupu-sepupunya. Good girl Han! Sebagai anak sulung, setakat ini dia  sangat boleh diharap. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH kerana mengurniakan kepada aku dan en.asben anak yang sepertinya.

Hari ni dah 16 tahun dah usia Han. Dah besar dah anak dara aku tu. Tahun depan SPM. Seterusnya, entah ke mana pula akan ditakdirkan laluan hidupnya. Sebagai ibu, aku sentiasa mendoakan segala yang terbaik untuk anak-anakku. Semoga rahmat ALLAH sentiasa ada untukmu anakku di dunia dan di akhirat. Doa mama semoga Han terus diberkati ALLAH, terus diberikan kesihatan yang baik, terus dilimpahi dengan keberkatan rezeki, terus mempunyai akhlak dan budi pekerti yang mulia juga sentiasa dilindungi oleh ALLAH. Mama tak akan dapat selalu berada bersama Han. Tapi ALLAH  sentiasa ada untukmu Han.

Untuk Han, tiada lain pesan mama selain dari jaga solat, jaga tingkah laku dan jaga nama baik ayah dan mama. Al-Quran jangan sesekali dilupa. Kena baca dan amalkannya setiap hari. Jangan lupa juga yang ayah, mama, abang, baby dan adik-adik lain sangat sayangkan Han. Hadiah istimewa mama dengan ayah dah bagi pagi tadi. Salam peluk cium bersama doa untuk anak dara kesayangan. InsyaALLAH.. doa dari ayah dan mama akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup Han. Semoga nikmat iman akan terus dinikmati oleh kami dan seluruh keturunan kami Ya ALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah!

Tuesday, April 14, 2015

Hidup bukan milik kita..

Assalamualaikum..

Pagi tadi ketika dalam perjalanan  ke tempat kerja lagu 6ixth Sense - Bukan Milik Kita berkumandang di saluran radio IKIM FM. Liriknya yang penuh makna bermain-main di minda. Lebih-lebih lagi  sejak ahad, perasaanku rasa semacam. Bagai ada sesuatu yang tak lepas. Ada sedih dan ada sebak yang terlekat dan tak mampu aku luahkan.

Ikhlaskanlah relakanlah
Semua yang ada pasti kan pergi
Ikhlaskanlah relakanlah
  Semua yang hidup pasti kan mati
Hidup bukan milik kita

Benarlah yang hidup pastikan mati. Benarlah juga yang hidup ini bukan milik kita. Bila sampai masanya, kembalilah kita kepada ALLAH. Beberapa minggu lepas, en.asben mengkhabarkan yang isteri kepada teman aikidonya disahkan menginap 4 jenis kanser sebaik selepas melahirkan anak ketiga mereka. Mungkin ada teman-teman yang terbaca tentang kisah itu di FB. Mendengarnya hati meruntun mahu pergi melawat. Namun seminggu dua ini memang jadual kami padat di hujung minggu. Maka hari ahad lepas baru kami berkesempatan untuk pergi melawat di Pusat Kanser Negara, Putrajaya.

Kami keluar dari rumah dalam pukul 3 petang. Dalam perjalanan menuju ke PKN, baru en.asben menghantar mesej kepada temannya untuk bertanyakan adakah isterinya masih berada di wad yang sama. Tapi jawapan yang kami terima ialah.. tak.. dia dah meninggal pada jam 2++ petang tadi. Dia juga memaklumkan yang dia sedang uruskan pembayaran hospital. Memang aku benar-benar tergamam dengan pemberitahuan itu. Lebih-lebih lagi bila aku sendiri yang membacakan mesej itu kepada en.asben yang sedang memandu. Pada ketika kami mahu pergi melawat. Inalillah.. Oleh kerana pada waktu itu kami sudah benar-benar mahu sampai di IKN maka kami teruskan juga niat untuk melawat.

Pertama kali sampai ke IKN membuatkan kami tidak tahu mahu menuju ke mana. Cadangnya mahu mencari teman en.asben di tempat pembayaran. Tapi tak tahu juga arah yang mahu dituju. Ditakdirkan ketika kami membaca papan tanda di hadapan lif, seseorang yang mungkin teman ataupun saudara arwah bertanyakan  ke mana kami mahu pergi. Setelah diberitahu dia mengajak kami untuk ke wad saja kerana arwah masih di situ. Maka aku dan en.asben pun mengikutnya ke wad. Suasana sebak dan suram ketika kami sampai di wad. Ada ramai kaum keluarga berada di situ. Tirai menutupi ruangan katil arwah. Wajahnya sudah ditutup. Tak sempat aku melihatnya. Sebelum inipun aku tidak pernah mengenalinya. Ahli keluarga masih ada yang tersedu sedan. Bersalaman dengan seorang wanita yang mungkin ibu arwah, air mataku ikut gugur bila wanita itu memelukku dan mengatakan yang arwah dah takde.

Seterusnya ruangan wad terus sepi sementara menunggu urusan membawa turun jenazah ke bawah untuk di bawa balik  ke rumah. Seketika kemudian teman en.asben (suami arwah) tiba di wad setelah menyelesaikan urusannya. Dia masih mampu tersenyum ketika en.asben bersalaman dengannya. Wajahnya nampak tenang. Tapi tingkah lakunya jelas kalut. Selepas jenazah di bawah turun temani oleh ahli keluarga dan teman-temannya, aku dan en.asben berjalan bersama suami arwah. Sebelum itu dia sempat mengucapkan terima kasih kepada para jururawat di situ yang telah menjaga isterinya dengan sangat-sangat baik. Sampaikan dia berkata, saya tak tahu nak cakap apa.. Kata-kata yang tak teratur itu mengambarkan padaku yang jiwanya sedang tak tenteram.

Ketika en.asben bersalaman dengannya saat mahu berpisah, dia masih kelihatan tenang. Masih ada juga senyuman nipisnya buat kami dalam sebak yang cuba disembunyikan. Kalau orang luar sepertiku pun rasa seperti ada perasaan tak lepas, inikan pula dia yang perlu menghadapinya. Pastilah hanya ALLAH yang tahu dengan tepat apa yang bergolak dalam dirinya saat itu. Kehilangan isteri tersayang tentunya bukan mudah untuk diterima. Lebih-lebih lagi dengan baby yang baru dilahirkan dan dua orang anak lagi yang masih kecil. Kata orang berat mata memandang, pastinya lebih berat bahu yang memikul. Doakan semoga segalanya akan baik-baik saja buat teman en.asben dan tiga orang anaknya. Semoga arwah isterinya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.. insyaALLAH. Al-fatihah buat arwah. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Thursday, April 9, 2015

Boleh ketawa?

Assalamualaikum..

Kesalahannya boleh disabitkan dengan hukuman mati dan kelihatannya dia masih boleh ketawa. Di dada akhbar ada kisahnya. Terpampang juga wajah cerianya. Begitu jugalah  di FB. Maklumlah dia adalah seorang celebriti.  Disebabkan ianya bukan lagi kesalahannya yang pertama, maka ramai yang tidak terkejut mendengar perkhabaran itu. Jadi isu yang lebih diperkatakan adalah tentang reaksi di wajahnya saat gambarnya dirakamkan. Di FB, aku terbaca  komen tentang hal itu. Ada yang mengutuk reaksinya. Ada yang mempertahankannya. Ada yang kata mungkin dia seronok untuk menerima hukuman itu jika disabitkan kesalahannya. Ada yang back up kata apa salahnya dia ketawa sebab kalau betul hukuman itu akan diterima, mungkin kematiannya lebih baik dari kita yang tak tahu lagi pengakhirannya bagaimana. Wallahualam..  

Tak kisahlah walau di pihak mana pun pengomen-pengomen  itu berada. Bagiku tak perlulah nak bergaduh hanya kerana mahu mempertahankan pandangan sendiri. Hormati pandangan setiap orang tentunya lebih baik. Aku tahu, tak selayaknya kita menilai dirinya hanya dari beberapa keping gambar yang disiarkan. Aku sendiri tak boleh  nak komen lebih-lebih. Siapalah kita nak buat penilaian pada orang lain. Namun senyuman  di wajahnya ketika disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah, membuatkan aku sendiri rasa terkesan. Ianya membuatkan aku mahu mempertikaikan reaksinya. Tak kisahlah dia nak ketawa atau nak menangis pun. Itu hak dia dan mungkin dia sendiri ada sebabnya. Yang aku kisahkan ialah kesan perbuatannya itu. Bagiku untuk hal itu ketawanya sangat menyentap jiwa. 

Kenapa aku terkesan? Kerana ada kaum kerabatku yang terlibat dengan penagihan najis dadah. Walaupun hanya seorang tapi yang seorang itu pun tak sanggup untuk kami melihatnya. Hanya rasa kasihan yang mampu kami tunjukkan. Bila dia sendiri nampak tidak kasihan akan dirinya sendiri. Mungkin, itu sudah takdir hidupnya. Terjebak dari umur belasan tahun sehinggalah kini.  Bukan setakat setahun dua. Namun sudah berpuluhan tahun. Terjebak dan tak mampu keluar dari jalan hitam itu. Bagaimana hidupnya? Jangan ditanya. Tak masuk pusat serenti ke? Oh.. itu sudah berkali-kali. Aku rasa aku sendiri tak perlu bercerita dengan lebih lanjut. Bagaimana kesengsaraan kehidupan penagih lain, begitulah juga dengan dirinya. Sedih... 

Itu kisah kaum kerabatku sendiri. Yang berada di depan mata. Yang banyak ahli keluarga berada di sekelilingnya. Namun tiada siapa yang mampu menariknya keluar dari jalan yang dia terjerumus untuk terlalu lama. Sehingga  dia sendiri mengatakan tiada jalan keluar untuknya. Ah.. rasa sedih jadi berganda-ganda. Bercampur juga dengan kesal. Betapa ramai yang hancur hidupnya akibat dari perbuatan pengedaran najis dadah itu. Berapa banyak air mata ibu dan ayah tumpah bila anak-anaknya terjebak. Entah berapa ramai lagi yang akan terjerumus ke dalam penagihan najis dadah itu jika pengedar dadah terus berleluasa dan masih boleh ketawa? Doaku, agar tiada lagi yang akan terjerumus. Ya ALLAH.. lindungikan anak-anak kami. Lindungilah anak-anak bangsa kami dari najis dadah. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. take care and have a nice day!

Wednesday, April 1, 2015

Takdir Fitrah Terindah dan Dia Sayang Aku di Sinar Harian..

Assalamualaikum..

Aku cuma penulis kecil yang baru bertatih. Namun impianku untuk menghasilkan karya yang baik tentunya sama tinggi dengan penulis besar yang sudah dikenali. Jutaan terima kasih buat semua yang menyokongku dalam bidang penulisan. Terima kasih juga buat Team Buku Prima, Karangkraf yang banyak membantu.  Sebagai penulis baru, setiap sokongan yang diterima mempunyai makna yang cukup besar buatku. ALHAMDULILLAH.. syukur Ya ALLAH. Sokongan yang membuatkan tulisan kecilku dapat diterima. Sokongan yang menjadi pendorong buatku untuk menulis dengan lebih baik lagi. Sokongan yang membuatkan novelku dari satu sudah menjadi dua. Jika ada rezeki insyaALLAH akan bertambah lagi kuantiti serta kualitinya. Terima kasih buat semua pembaca novelku, Takdir Fitrah Terindah dan Dia Sayang Aku. Komen-komen yang diberikan oleh pembaca sangat aku hargai. Yang baik semestinya dari ALLAH. Yang buruk pastinya dari kekurangan diriku sendiri. Semoga segala kekurangan akan dapat aku perbaiki dalam novel-novel yang seterusnya andai ada rezeki dan kesempatan, insyaALLAH.

 Sinar Harian, Ahad 29 Mac 2015

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!