Thursday, January 23, 2014

Tak boleh orang lebih..

Assalamualaikum..

Lama dulu, temanku ada bercerita tentang iparnya yang tidak boleh melihat dia dan keluarganya lebih. Apa yang mereka ada pasti akan disaingi. Disaingi masih boleh diterima tapi bila semua benda mahu ditiru ianya membuatkan temanku berasa tidak selesa. Yang tidak tahan tu, bila ianya sudah ditiru, iparnya akan bercerita pada orang lain bagaikan temanku yang menirunya. Padahal, perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Mana mungkin mereka yang memiliki sesuatu terlebih dulu dikatakan meniru orang yang baru memilikinya kan? Baru ni, ada teman lain yang bercerita tentang birasnya yang tidak boleh melihat dia dan keluarganya hidup senang. Setiap apa yang mereka ada pasti akan didengkikan. Sudahlah tidak merai, malah apa yang mereka ada diperkecilkan pula. Ianya juga membuatkan temanku berasa tidak selesa. 

Semalam terbaca tentang post yang ada persamaan dari seorang teman. Ianya membuatkan aku mahu membicarakan tentang hal ini. Kalau orang luar yang bersikap  tidak elok sebegitu, bolehlah perkara itu kita abaikan. Tapi bila ianya datang dari keluarga sendiri, ianya pasti boleh memberikan tekanan. Ini kerana sejauh manalah kita boleh mengelak dari keluarga sendiri. Pusing-pusing pun pastinya akan bertembung juga. Sudahnya, terpaksa jugalah mengadap stress dan tension.  Oh.. alangkah tak bestnya. Kalau aku ditempat mereka, pastinya aku akan mengalami perasaan yang sama. 

Keluargaku jenis yang selalu suka bercerita dan mengkhabarkan tentang kelebihan dan kehebatan orang lain dengan cara yang pada aku cukup berhemah. Kalau bercerita tentang kejayaan  orang lain, pastinya cerita itu akan diceritakan dengan cara merai seperti ianya kejayaan sendiri. Tak kiralah ayah, emak, makcik, pakcik malah adik beradikku sendiri, kebanyakannya memang begitu. Semuanya kalau bercerita tentang kelebihan orang lain pastinya bagaikan bercerita tentang kelebihan diri sendiri. Sehinggakan kita yang mendengar jadi terasa mahu ikut berkongsi rasa seronok dengan berita itu. Seolah-olah perkara itu adalah kejayaan bersama. Bukan perkara yang akan membuatkan kita rasa tidak senang apatah lagi jadi sakit hati.

Bila sudah diasuh sebegitu, sedikit sebanyak aku juga sudah terbiasa dengan cara itu. Cara itu aku tunjukkan pada anak-anak pula. Bila ada anak-anak saudaraku atau anak-anak temanku yang mendapat kejayaan, aku akan berkongsi berita itu dengan anak-anak dengan rasa teruja untuk sama-sama meraikan kejayaan itu. Anak orang lain yang cemerlang aku dulu yang dah mengalir air mata kegembiraan. Bila anak-anak bercerita tentang kelebihan teman-temannya aku akan tunjukkan rasa kagum dan teruja. Jangankan begitu, kalau ada teman yang membeli barangan baru pun, cerita aku pada en.asben bagaikan barangan baru itu milik aku he..he.. Bagiku, tiada salahnya untuk kita meraikan orang lain. Malah kita akan rasa seronok bila ikut merai. 

Merai juga boleh menghilangkan rasa dengki, benci dan sakit hati. Merai itukan lawannya mengeji. So, daripada mengeji lebih baiklah kita merai. Iya tak? Tak rasa cemburu ke dengan kelebihan orang lain? Hmm.. tipulah kalau aku kata tak cemburu. Orang lain aku tak tahulah. Tapi cemburu itu haruslah bertempat. Kalau kita cemburukan anak orang lain cemerlang, kita pun kena berusaha dengan lebih keras untuk pastikan anak kita turut cemerlang. Kalau kita lihat orang lain maju, kaya dan memiliki segalanya, kita juga kena berusaha dan berdoa untuk sama-sama memperolehi perkara yang sama. Jika dapat, dapatlah. Jika tidak, tak perlu perlekehkan rezeki orang lain. Rasa cemburu yang tidak dikawal juga rasa dengki dan sakit hati jarang akan membuatkan kita memperolehi apa yang orang lain ada. Yang kita akan dapat hanyalah rasa tidak puas hati yang tidak berkesudahan. 

Nak bersaing dengan orang lain, dipersilakan. Sangat bagus kalau mahu bersaing. Tapi bersainglah secara sihat. Bersaing secara positif untuk mengecap target sendiri. Bukan targetnya untuk menandingi orang lain. Lebih penting, bukan  untuk menjatuhkan orang lain. Tiada siapa yang akan marah kalau kita mahu memiliki seperti apa yang  orang lain ada. Yang orang akan marah adalah bila kita selalu rasa tidak senang dengan apa yang orang lain ada. Juga bila kita selalu tidak boleh tengok orang lain lebih daripada kita. Yang itu memang masalah. Belajarlah merai! InsyaAllah, hati akan jadi lebih tenang. Biarlah kita tak memiliki apa yang orang lain ada, biarlah kita selalu kurang berbanding orang lain, biarlah orang lain lebih dari kita. Tidak ada salahnya dengan semua itu. Apa yang salahnya ialah  bila kita sentiasa berasa tidak berpuas hati dengan semua itu. 

Kadang-kadang terasa macam bagus-bagus pula nak nasihatkan orang lain. Kadang-kadang rasa takut pun ada. Entahlah? Setiap kali mahu menulis aku rasa bertanggungjawab. Bukan bertanggungjawab supaya orang mengikut apa yang aku tuliskan. Tapi tanggungjawab untuk aku sendiri mengamalkan apa yang aku tuliskan. Ini kerana aku sebenarnya lebih mahu mendidik diriku sendiri dari mendidik orang lain. Cara orang lain mengajar aku untuk menjadi manusia yang lebih baik. Aku sedar, kekurangan diri masih sangat banyak. Namun kekurangan itu bukan penghalang untuk kita tidak boleh mengajak orang ke arah kebaikan. Semoga kita sama-sama dapat memperbaiki diri, insyaAllah. Yang baik bolehlah ambil sebagai contoh. Yang buruk tinggalkan dan janganlah pula dicemuh. Nak beri nasihat, silakan. Ianya sangat dialukan-alukan. Selagi nasihat itu diberikan secara berhemah, aku rasa sesiapa pun boleh menerima setiap teguran.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

7 comments:

JunAina said...

Fea itulah sifat manusia dalam keluarga, teman-teman mahu pun jiran-jiran pasti kita juma yang ada sikap begini.

Eye_nee said...

Menyakitkan berhadapan dgn org ada PHD ni kan...Org begini memang tak pernah rasa bersyukur...Mintalah kita tidak berperangai begitu yer sis...

gadisBunga™ said...

sebenarnya kalau kita betul betul faham konsep bersyukur, insyaAllah takkan timbul isu tak puas hati pasal orang lebih dari kita kan?

Tengkubutang said...

dah jadi lumrah dunia ni.. sabo jelea..

ummiross said...

hanis..cantik sangat apa yang Hanis tulis ni, apa yang terbuku dihati ummi pun sama, tapi ummi tak tau menulis dengan baik.
Meraikan kejayaan orang lain, gembira dengan kejayaan orang lain adalah sikap terpuji kan, tapi ianya bukan mudah jika hati kita "berkeladak"(meminjam kata2 Prof Muhaya). Bila ada sikap positif, bila hati bersih, dengan sendiri diri termotivasi bukan 'Terdengki' kan hanis. Terima kasih berkongsi penulisan yang menarik ni.

Unknown said...

manusia memang bermacam ragam...mudah2an kita dan keluarga kita dijauhi dari begitu..

Supir muslim Bali budget said...

Jom datang Bali packg transport 5hari 4 mlm kat bali RM 400
Harga transport sudah includ. Parking. Petrol. Driver. Mineral water
No includ. Shopping. Tiket. Lunch. Dinner
Book +6285253107464
Pak eddie supir muslim Bali

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...