Wednesday, May 21, 2014

Tenanglah dikau di sana wahai adindaku..

Assalamualaikum..

INNALILLAH.. pada 11 Mei 2014, adikku Rafidah binti Salim telah kembali ke rahmatullah. Saat ini, rinduku tak terkata. Ingatanku padanya tak pernah hilang. Sehingga kini, aku masih terasa seperti tidak percaya. Terasa-rasa bagaikan arwah masih ada lagi bersama kami. Tapi hakikatnya, ALLAH lebih menyayangi arwah adikku dari kami semua. Semoga arwah adindaku tenang dan berbahagia di sana, insyaALLAH. Kami redha. ALLAH Maha Tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA. Melihat arwah sakit, kami sendiri jadi tidak sampai hati melihatnya. Namun, jarang benar kami dengar arwah mengeluh tentang sakitnya. Doa kami tidak putus agar dia diberikan kesembuhan. Juga diberikan umur yang panjang. Namun perancangan ALLAH adalah yang terbaik. Segalanya telah ALLAH aturkan dengan cukup sempurna. Urusan terakhir arwah dipermudahkan. ALLAHUAKBAR... wajah arwah nampak sangat manis, berseri-seri dan cukup tenang sebaik habis nyawa. SUBHANALLAH.. ada senyuman yang aku lihat di wajahnya.  ALHAMDULILLAH.. kesudahan yang baik untuk arwah. InsyaALLAH, ada tempat yang terbaik untuk arwah di sana. 

Arwah adikku mengidap SLE. Dia mula dikesan dengan penyakit itu pada hujung tahun 2012. Ramai yang selamat dan boleh bertahan dengan penyakit SLE itu. Tapi takdir untuk adikku bukan begitu. Dua bulan yang lepas, kesihatan adikku mula merosot. Dua bulan juga hospital sudah menjadi rumah kedua untuknya. Menjadi tempat singgahan utama untuk kami.  Tiada beban. Tiada keluhan. Malah terasa bersyukur kerana berpeluang menjaganya dengan baik saat dia sakit. Hari-hari terakhir, arwah memang lebih manja dari biasa. ALHAMDULILLAH.. segala permintaannya yang boleh kami penuhi sempat kami penuhi. Tiada ralat di hati setelah dia pergi. Sepanjang waktu arwah sakit, kami sentiasa berada disampingnya. Anak-anaknya berada dalam keadaan yang baik dalam jagaan emak dan kami sekeluarga. Sehinggakan arwah tidak perlu terlalu risaukan akan hal itu ketika dia di hospital. ALHAMDULILLAH.. arwah juga tahu kami sangat mengambil berat tentang dirinya dan anak-anak. Alhamdulillah.. emak, aku dan en.asben serta adik bongsuku dan suaminya dapat terus berada di samping arwah sehinggalah nafasnya yang terakhir.

Alhamdullillah.. "today home sweet home" rindunya kat anak2.. syukur alhamdulillah terpilih olehNya dgn pelbagai dugaan sebgai ujian hidup. Mnjadikn diri lebih redha dan tenang.. Syukur Alhamdulillah atas nikmat yg diberi.. Tqvm to my beloved mother, sister Hanis Azla Rafeah Salim, Rita Zaid, abg Ardi yg sentiasa ada di sisi mmberi semangat.. Tqvm to all yg mndoakn kesihatan dn kesembuhan. Tqvm to all yg sudi melawat di hospital. Semoga Allah merahmati kalian semua.. InsyaAllah.. Mohon maaf jika ada salah silap yg saya lakukn. Tqvm.. (Message arwah di FB pada 19 Mac 2014).

Kali pertama arwah dimasukkan ke hospital dalam tahun ini ialah pada 7 Mac 2014. Keadaannya saat itu adalah sangat kritikal. Waktu itu, arwah sudah terpaksa menerima rawatan dialisis kerana buah pinggangnya tidak berfungsi dengan baik. Selepas menerima rawatan keadaan arwah kembali stabil dan terkawal. Selepas 10 hari di hospital, arwah dibenarkan keluar. Pada 23 April 2014, arwah sekali lagi dimasukkan ke hospital. Waktu itu keadaannya  sudah sedikit lemah. Badan arwah semakin kurus dan menyusut. Demamnya lebih kerap. Selera makan hampir tiada. Pada 1 Mei 2014, keadaan arwah nampak semakin lemah. Tapi selepas itu, keadaan arwah jadi semakin baik. Waktu itu, kami sudah bergilir menemankan arwah di hospital. Menjaga dan melayani keperluannya seperti mahunya. Waktu itu arwah nampak sihat. Boleh berbual dan bergurau seperti biasa. Sehinggalah arwah dibenarkan pulang ke rumah pada 6 Mei 2014. 

Pada 7 Mei 2014, arwah sepatutnya ke hospital untuk dialisis. Namun keadaan arwah tiba-tiba lemah. Petang itu, aku membawanya ke hospital. Malam itu arwah dimasukkan ke wad ICU. Selepas beberapa jam di hospital, arwah kembali bertenaga. Boleh kembali tersenyum dan ketawa. Semangatnya kuat. Malam esoknya, hari khamis arwah dipindahkan ke wad biasa. Malam itu aku bersama en.asben dan makcik datang melawatnya. Walaupun nampak sedikit lemah tapi arwah nampak okey. Dia mengadu badannya sakit dan meminta aku mengurut perlahan belakangnya. Dengan penuh kasih aku melakukannya. (Tidak sangka itulah belaian terakhir aku untuk arwah adikku ketika hayatnya. Terima kasih ALLAH atas peluang itu). Sempat juga aku memberinya minum air zam-zam sesudah itu. Selepas membantu arwah menukar pakaian, baringkan dia di katil dan aku selimutkannya, hampir jam 11++ malam barulah aku dan en.asben pulang ke rumah. Malam itu makcikku menemani arwah di wad.  

Pagi jumaat, dalam pukul 9 pagi aku menghubungi arwah di hospital. Seperti biasa aku mahu mengambil tahu akan keadaanya. Tapi talian tidak berangkat. Telefon makcikku juga begitu. Sibuk dengan urusan kerja, tidak sedar ada dua miss called di HPku selepas itu. Bila aku hubungi kembali, nombor itu adalah dari Hospital Ampang Puteri. Tapi mereka tidak dapat trace siapa yang menghubungiku. Hatiku jadi sungguh tidak sedap. Pada waktu yang sama pihak hospital sudah menghubungi adik bongsuku. Pihak hospital memaklumkan yang adikku sudah tidak sedarkan diri pada pagi itu. Arwah kembali ditempatkan di wad icu. ALLAHUAKBAR. Berita itu membuatkan kami rasa kalut dan takut yang amat sangat. Air mata sudah melaju keluar. Adik bongsuku bergegas ke hospital. En.asben juga terus ke hospital dari pejabat. Aku sendiri, terus mengambil emak, makcik dan dua orang anak arwah yang bersekolah tadika untuk dibawa ke hospital. Dua orang lagi anak arwah sedang bersekolah waktu itu. 

Tiba di hospital, doktor memanggil kami sekeluarga untuk memaklumkan tentang kondisi  arwah. Pada waktu itu, doktor memberitahu yang otak adikku sudah mati. Hanya dengupan jantungnya yang masih ada. Tiada harapan yang doktor dapat berikan pada waktu itu. Kata doktor, counting days or hours. Kami terima kenyataan itu dengan tabah. Hati mula bersedia untuk melepaskan arwah pergi dengan redha. Penuh kasih emak membelai wajah dan tubuh anaknya. Penuh lembut emak membisikkan di telinganya yang emak mengampunkan semua dosa-dosanya. Emak halalkan susu emak padanya. ALLAHUAKBAR.. beruntungnya arwah. Kaum keluarga, saudara mara, jiran dan teman-teman arwah diberitahu. Anak-anak arwah dibenarkan masuk untuk berjumpa dengan arwah. ALHAMDULILLAH.. walaupun kesedihan, anak-anak arwah boleh terima keadaan mummy mereka. ALHAMDULILLAH.. ALLAH pinjamkan kekuatan buat anak-anak yang bijak itu. 

ALLAHUAKBAR.. cukup ramai tetamu yang datang melawat arwah di hospital. Terharu kami sekeluarga dibuatnya. Terima kasih yang tak terhingga aku ucapkan kepada semua. ALHAMDULILLAH.. besar rezeki arwah dapat menerima ziarah dari kaum keluarga yang jauh dan dekat, kenalan lama dan baru, teman-teman sekolah, teman-teman sekerja dari first branch Maybank hingga ke branch arwah sekarang. Malah, nurse-nurse yang pernah merawatnya  juga ramai yang datang melawat. Kata ramai orang, arwah baik orangnya. Bila dengar berita, mereka semua mahu datang menziarah. Sehingga ke malam tetamu tak putus-putus datang. Malam itu aku, en.asben dan emak menemaninya di dalam wad ICU sehingga ke pagi. Kami mengaji dan membisikkan kalimah ALLAH di telinganya. Adik bongsuku dan suaminya serta teman-temannya menunggu di luar wad. Terima kasih buat keluarga mertua yang membantu menguruskan anak-anakku. Terima kasih buat jiran arwah serta makcik, pakcik dan sepupu-sepupuku yang membantu menguruskan anak-anak arwah ketika itu.


Hari sabtu, tetamu masih ramai yang datang. Kaum keluarga semakin ramai yang sampai. Telefon bimbitku dan telefon bimbit arwah jadi cukup sibuk taliannya. Masing-masing mahu tahu akan keadaan arwah. Terima kasih buat semua yang mengambil berat. Doktor yang merawat adikku memberitahu yang mengikut pengalamannya adik aku tidak akan lama bertahan. Doktor meminta kami bersedia dengan urusan menguruskan jenazah dan sebagainya. Dengan pemberitahuan itu kami dapat bersiap sedia. Urusan-urusan tersebut mula kami aturkan dengan orang-orang yang sepatutnya. Syukur.. segalanya dipermudahkan. Menjelang petang, nenekku yang berumur 90++ tahun tiba dari Taiping. Penuh sebak nenekku melihat keadaan cucunya. Hingga ke malam, tetamu masih ada yang datang melawat. Kebanyakan masa memang aku dan emak akan berada di sisi adikku. Meninggalkannya hanya untuk menunaikan solat. Itupun akan ada orang lain yang akan berada di sisinya mengantikan kami. 

Hampir 10++ malam, aku, emak dan en.asben keluar dari wad ICU untuk makan dan merehatkan diri. Giliran adikku dan suaminya pula untuk mengaji dan berada di sisi adikku.  Pada waktu itu, masih ada lagi tetamu jauh yang datang melawat. Mengikut janji, pukul 2 pagi nanti kami akan masuk semula untuk berada bersama arwah. Di kerusi panjang tempat menunggu kami tidur dan merehatkan diri seketika. ALHAMDULILLAH, teman-teman adikku turut menemani kami di situ. Terima kasih kalian semua. Dalam pukul 1.30 pagi, aku dan emak berasa cukup sejuk. Sejuk sehingga menganggu tidur kami. Sejuk sehingga kami mengigil-gigil. Kami cuba untuk kembali tidur tapi tidak mampu. Sudahnya, kami bangun saja. Tak lama sesudah itu, adik iparku keluar dari wad ICU dan memaklumkan yang pernafasan adikku semakin menurun. Tak bertangguh kami semua masuk ke dalam. Para jururawat sudah mengelilingi katil arwah.  Dengan terketar-ketar masih tak lekang mulut kami membisikkan kalimah ALLAH di telinga adikku. 

Bacaan di skrin semakin menurun dan terus menurun. Akhirnya, adikku pergi mengadap ILAHI pada jam 1.50 pagi. Arwah pergi dalam usianya 36 tahun meninggalkan 4 orang anak yang comel dan bijak. Suasana cukup sunyi pada ketika itu. Rasa sebak menyelubungi kami yang mengadapnya saat itu (emak, kakak dan adiknya, abang ipar dan adik iparnya yang semuanya begitu menyayangi dirinya). ALLAH mengambil kembali apa yang telah dipinjamkan kepada kami. Wanita baik yang cantik wajahnya, hatinya dan budi bahasanya. ALHAMDULILLAH.. perginya dengan senyuman. Syukur.. urusan terakhirnya sangat-sangat dipermudahkan. Dari urusan bawa pulang jenazah keluar dari hospital, bawa pulang ke rumah, pengurusan jenazah dan urusan pengkebumian semuanya berjalan dengan cukup lancar. Syukur.. emak, aku dan adikku berpeluang untuk memandikan jenazah arwah. Berderai airmata bila anak-anak arwah menciumi arwah buat kali terakhir. Tetamu yang datang menziarah juga cukup ramai. Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang datang menziarah. Ucapan takziah dan pelbagai bantuan yang dihulurkan juga sangat kami sekeluarga hargai.

"Abang janganlah nangis.. mummy kita kan nak pergi syurga.." SUBHANALLAH.. bijak benar anak bongsu arwah, anak perempuan tunggalnya yang berumur 4 tahun memujuk abang-abangnya. InsyaALLAH.. semoga syurgalah tempat mummy berkat doa dari anak-anak soleh dan solehan yang ditinggalkan. InsyaALLAH.. kiriman ayat-ayat suci Al-Quran dan doa-doa dari anak-anak akan sentiasa ada untuk mummy tersayang. Semoga arwah adikku tenang dan berbahagia di sana. Melihat arwah melalui sakitnya dengan penuh sabar, melihat ketabahannya menerima dugaan dengan redha, melihat bagaimana pengakhiran hayatnya juga melihat anak-anak yatim yang ditinggalkan, aku pasti, ALLAH menjanjikan tempat terbaik buat arwah adikku. Tenang dan damailah dikau di sana wahai adindaku sayang. Walau tak pernah mengucapkan, yang pasti aku sangat sayang padanya. Walau tak pernah meluahkan, aku tahu adikku juga tahu yang aku sayang padanya. Semoga kita dapat bertemu di syurga ALLAH nanti wahai adindaku. AL-FATIHAH.. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

11 comments:

pB said...

Assalamualaikum


Al Fatihah

Semoga rohnya ditempatkan dikalangan yang dijanjikan syurga Allah.

Amin

Zura said...

assalamualaikum,

al fatihah dan salam takziah untuk kak hanis azla sekeluarga...sedihnya bila ayat anak arwah tu...

semoga arwah di tempatkan di kalangan org-org yang di kasihiNya

Irfa said...

alfatihah buat akak n family

Be Simple Beb(BSB) - threeQ said...

alfatihah dan salam takziah

ummiross said...

Hanis..ummi menangis ni, hiba sangat rasa baca n3 ni. Petahnya anak kecil tu bercakap,subhanallah moga terus membesar menjadi anak solehah.
InsyaAllah syurga tempat arwah..Al Fatihah.

Eye_nee said...

Akk sebak...menangis dan sedih...perceritaan kamu seperti gambaran sewaktu kehilangan ABG CHIK dahulu kembali terbayang..Wad ICU...diziarahi tetamu tidak putus-putus...Mesin pernafasan turun dan naik...lagi sebak bila arwah adidnda kamu ada anak2 yg kecil sis..Ya-ALLAH berikanlah kehiudpan yg terbaik buat anak2 itu..semoga kamu dan keluarga dpt menjaga amanah ALLAH kepada arwah adik kamu itu yer sis..

Inna lillahi wainna ilaihi rojiuun..

Khususon ila ruhi ALMARHUMMAH RAFIDAH BINTI SALIM...AL-FATIHAH

Semoga Rohnya ditempatkan dikalangan insan2 yg beriman dan diredhaiNYA..

Hugs from me...be strong yer..

JunAina said...

Berjurai air mata Aina baca nukilan Fea kali ini. Kekuatan, ketabahan dan kesabaran dia membuatkan kita juga kuat utk menghadapi kenyataan. Allah s.w.t memberi peluang kepada keluarga Fea untuk menambah pahala tanpa kita sedar dengan memberi anak yatim dalam keluarga.

Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman, Kasih sayang semua tetap bersamanya.

Izwa Kamaruddin said...

ya allah kak..sebak dada izwa kak..berlinang air mata baca entry akak nie..

terbayang betapa besar nyer kasih akak pada adik tergambar disini..
betapa bertuah nyer adik akak ada kakak dan keluarga disisi ketika pergi yer..

semoga arwah adik akak ditempat disisi orang yang beriman..

Hudalatip said...

Sebak dan sedih sangat saya baca ni kak..Alfatihah dan moga roh adik akak ditempatkan di kalangan orang yang beriman...Sampaikan salam pada anak-anaknya yea kak..

azuha said...

INNALILLAH...AL FATIHAH BUAT ARWAH...SEDIH BILA KEHILANGAN ORANG TERSAYANG....APA PUN SABAR DAN REDHA K HANIS...

Shana said...

saya suka baca blog kakak sebab byk info.. dan saya scroll ke belakang sbb mo baca mengenai arwah adik kakak.. semoga adik kakak di tempatkan di tempat org org yg beriman.. semoga rezeki kakak sekeluarga murah dan di rahmati Allah selalu sebab tidak mengabai anak anak arwah.. i respect u kak..

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...