Tuesday, August 12, 2014

Berjauhan dan kehilangan..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. tarikh emak akan berangkat ke Mekah sudah diketahui. InsyaALLAH.. 4 September ini emak akan pergi menunaikan kewajipan fardhu hajinya. Hati rasa cukup seronok untuk emak. Namun dalam pada itu, hati dah mula merasa rindu. Perpisahan dan berjauhan pastinya membuatkan diri rasa kehilangan. Aku memang tak pernah berjauhan dari keluarga. Belajar, berkerja, berkahwin dan berkeluarga tidak pernah menjauhkan aku dari keluargaku dalam tempoh yang lama. Paling lama pun dalam seminggu lebih. Lebih dari tu memang tak pernah. Jadinya, bila mahu berjauhan hatiku dah mula berasa lain macam. Maklumlah, orang tak pernah berpisah dan berjauhan. Mengenangkan hal itu saja dah buatkan aku berasa seperti nak demam.  Rasa sedih belum apa-apa lagi dan bertandang. Itu untuk perpisahan yang insyaALLAH sementara. Untuk perpisahan yang kekal, rasa kehilangan itu lebihlah aku rasai. Rasa rindu pada arwah adikku sehingga kini tidak sedikit pun berkurang. Setakat ini, aku belum lagi melupakan dirinya. Walaupun terasa sudah kuat, tapi ada saatnya airmataku masih mengalir. Bila aku kongsikan rasa rinduku, ramai yang memujuk agar aku redha. Aku tahu aku perlu redha. Aku sendiri sudah redha untuk menerima kehilangannya saat dia koma lagi. Lebih redha bila melihat wajah manisnya bersama senyuman selepas habis nyawanya.

Aku tak sangka yang aku mampu tersenyum saat itu. Serius.. aku benar-benar tersenyum.  Syukur.. Ya Allah untuk peluang melihat senyuman di wajahnya saat akhir itu. Rasa sedih dan kehilangan sedikit terubat. Aku tahu adikku berbahagia. Alhamdulillah.. kesudahan dan pengakhiran yang baik buat arwah.  Ianya jadi senyuman terindah yang terakhir darinya untuk kami semua. Beberapa minit sebelum itu badanku mengeletar untuk menerima kenyataan. Bila doktor memaklumkan kepada kami yang adikku telah tiada, emak tertunduk sambil membisikkan yang emak dah ampunkan segalanya untuk adikku. Tanpa esakan, airmata emak mengalir laju.  Untuk emak, ini adalah kehilangan yang keempat buat dirinya. Selepas kehilangan arwah ayahnya saat emak masih kecil, emak melalui pula kehilangan suami 29 tahun lepas, kehilangan menantu 11 tahun lepas dan kini kehilangan anak sendiri. Disebabkan itu, emak jadi lebih kuat dari kami semua. Aku terus mengeletar sambil memeluk bahu emak. Adik bongsuku terjelepuk di lantai di tepi katil kakaknya kerana dia orang terakhir yang  berada bersama angahnya sehingga waktu itu. Dia juga yang terakhir membacakan surah yaasin bersama suaminya.  Bukan mudah untuk menghadapi saat seperti itu. Bukan senang untuk melepaskan insan yang kita sayang. Perlakuan kami bukanlah kerana kami tidak redha. Tetapi itu adalah reaksi spontan ketika berhadapan dengan sebuah kehilangan. 

Alhamdulillah.. urusan pengurusan jenazah arwah adikku dipermudahkan. Anak-anak arwah juga dapat menerima berita kehilangan ini dengan baik. Ketabahan mereka membuatkan para tetamu pula yang jadi sangat sebak. Anak-anak arwah semuanya berpeluang memandikan jenazah mummynya (sekadar menjiruskan air ke badan mummy waktu proses terakhir mandi jenazah). Selepas dikafankan mereka mencium wajah mummy. Hanya airmata mereka yang mengalir. Tiada langsung esakan dan teriak. ALLAHUAKBAR.. Allah pinjamkan kekuatan buat mereka. Alhamdulillah.. sehingga kini mereka masih kuat. Namun, kasih ibu pastinya kasih yang abadi. Kasih yang tiada ganti. Kasih yang tak terbanding. Adakalanya, kehilangan itu berbekas juga di hati. Walaupun tidak begitu dipamerkan, kami tahu mereka rindu. Kadang-kala tersasul juga mulut mereka memanggil aku mummy! Adakalanya mereka berharapkan mummy datang dalam mimpi. Menatap gambar mummy, ada senyuman di wajah mereka. Pastinya gambar mummy menjadi pengubat rindu mereka. Sehingga hari ini, surah yaasin masih tak putus dikirimkan. Begitu juga dengan surah Al-fatihah. Bila terlupa, akan ada salah seorang dari mereka saling mengingatkan untuk mengirimkan sedekah buat mummy. Semoga mummy tenang dan bahagia di sana berkat sedekah yang berpanjangan dari anak-anaknya.

Pada hari raya ketiga baru-baru ini, kami membawa mereka ke Bukit Merah Lake Town Resort. Sengaja nak bawa mereka mandi manda. Memang niat kami untuk menghiburkan hati mereka. Kalau boleh, kami tidak mahu mereka terlalu merasa kehilangan. Lebih-lebih lagi bila mummy jenis yang suka merai dan melayan anak-anaknya. Dalam empat-empat tu, gegirl (anak bongsu arwah) antara yang paling manja dengan mummy. Memang 'mummy' tak pernah lekang dari mulutnya. Alhamdulillah.. semua orang melayan gegirl dengan baik. Lebih-lebih lagi bila si kecil itu begitu pandai membawa diri. Di Bukit Merah pun begitulah juga. Sekejap maksu peluk, sekejap paksu dukung. Sekejap berkepit dengan mama, sekejap berpimpin dengan ayah. Sekejap nanti dengan sepupu-sepupuku. Sekejap lepas tu dengan abang-abang dan kakak Han pula. Kalau nak diikutkan memang gegirl menerima layanan yang paling baik. Namun mummy tetap di hatinya. Bila masuk ke tempat rekreasi macam tu, kan ada tag masuk yang perlu dipakai di tangan.  Tag itu telah mengingatkan gegirl  pada mummynya. Dalam kereta waktu perjalanan balik, beria gegirl mengajak kami untuk ke hospital. Jomlah mama kita pergi hospital tengok mummy.. Ajaknya. Sebaknya aku waktu itu. Aku beritahunya elok-elok yang mummy dah takde. Mana ada di hospital lagi. ALLAH dah ambil mummy sebab Allah lebih sayangkan mummy. 

Oh.. mummy ada kat kubur ya? Soalnya. Aku mengangguk. Kalau macam tu jomlah kita pergi kubur. Kita korek kubur dan bawa mummy keluar. ALLAHUAKBAR..  dia rindu sangat agaknya. Tapi tak tahu bagaimana mahu meluahkan. Si kecil itu boleh terima akan kehilangan mummynya. Namun dia belum benar-benar faham erti sebenar sebuah kehilangan itu. Aku jadi kelu nak cakap macam mana. Sudahnya aku pujuk dia dengan baik. Terangkan kepadanya perkara yang sudah di terangkan. Dia mengangguk macamkan faham. Namun aku pasti soalan dan ajakan seperti itu akan kembali berulang. Hmm.. sebak. Al-fatihah untuk arwah adikku. 

                                            
Raya tahun lepas. Raya dan beraya terakhir kami bersama arwah mummy.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have  a nice day!

9 comments:

Izwa Kamaruddin said...

sebak hati baca kak...walaupun jutaan kasih sayang yg dilimpahkan tak mampu melawan kasih syg mummy yang satu... >_<

sedih nyer hati..

mama maman aka yana said...

siapa2 pun sukar nak menerima kehilangan lg2 ahli keluarga sendiri.. sabar yer.. moga2 arwah ditermpatkan dikalangan insan2 terpilih. amin. al-fatihah.

Kakcik Seroja said...

SubhanAllah...MasyaAllah...

tak tertahan sebak kakcik membaca...

Kakzakie Purvit said...

Sungguh airmata kakak tak terbendung lagi bila membaca N3 hanis kali ini. Sedihnya..

sud@is said...

Comelnya kanak anak2 mummy

Eye_nee said...

Sedihhhnyaa.....mereka terlalu kecil utk memahami erti kehilangan....semoga kehadiran kamu dan adik kamu sebagai pengganti mummy mereka mengurangkan rasa sedih dihati mereka...

Eye_nee said...

Sedihhhnyaa.....mereka terlalu kecil utk memahami erti kehilangan....semoga kehadiran kamu dan adik kamu sebagai pengganti mummy mereka mengurangkan rasa sedih dihati mereka...

Unknown said...

sedihnya..budak2 kan??cemana pun diaorang tetap ingt ibunya jugak..

+ e.z + said...

alfatihah. kelu.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...