Nuffnang

Friday, August 29, 2014

Emak..

Assalamualaikum..

21 Ogos yang lalu merupakan hari ulang tahun kelahiran emak. Tahun ini sudah 63 tahun usia emak. Semoga emak terus mendapat keberkatan umur, kesihatan yang baik, kemurahan rezeki dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Emak sebak saat aku mengucapkan selamat ulang tahun kepadanya. Ini kerana tahun ini ucapan itu tidak lagi diterima dari anak keduanya. Awal tahun ini emak mendapat khabar gembira bila mendapat peluang untuk menerima panggilan untuk menunaikan fardhu haji. Alhamdulillah.. diusia begini, mendapat peluang untuk mencukupkan rukun islam yang lima itu pastinya amat disyukuri. InsyaALLAH, pada hari khamis minggu hadapan emak akan bertolak pergi. Semoga segalanya dipermudahkan buat emak. Semoga emak sentiasa diberikan kesihatan dan kudrat yang baik.  Semoga emak selamat pergi dan selamat pulang juga selamat dalam setiap perjalanan. Paling utama semoga emak memperolehi haji yang mabrur.. insyaALLAH.

Garang. Itulah emak. Tapi garang-garang emak, dialah juga kakak, ibu dan nenek yang menjaga kami sehabis baik. Ditakdirkan, sepanjang hidup emak, emak terpilih untuk menjaga anak-anak yatim. Waktu kecil, emak perlu menjaga adik-adiknya selepas arwah ayahnya meninggal dunia dan bila ibunya perlu berkerja. Waktu muda, emak perlu sendirian menjaga kami adik beradik yang menjadi anak yatim selepas arwah ayah meninggal dunia ketika kami masih kecil. Kini di usia tua, emak menjaga pula cucu-cucunya selepas arwah adikku dijemput Ilahi. Bukan mudah untuk menjaga anak-anak yatim. Kesabaran perlu tinggi. Mungkin sebab itu emak terpaksa  menjadi lebih garang dari orang lain untuk tujuan mendidik. Garang emak garang yang bertempat. Dalam garang, kasih sayangnya masih kuat. Dalam garang, keprihatinannya kepada kami sangat tinggi. Dalam garang doanya sentiasa ada buat kami. Dalam garang, kelembutannya masih ada. Walau terpamer dalam cara yang sedikit berbeza namun ianya masih cukup istimewa. Terima kasih emak. Walaupun emak garang, kami semua sangat-sangat sayangkan emak. Kami tahu emak juga sangat sayangkan kami.

Mengaji. Itulah juga emak. Aku ingat lagi sewaktu arwah ayah meninggal dunia, ayat pertama yang emak katakan kepadaku ialah, Ayah dah takde. itulah.. emak kan dah suruh mengaji Al-quran biar pandai. Boleh bacakan Al-quran untuk ayah.. Tentulah bagi emak, jika kami sudah pandai dan lancar membaca Al-quran pada waktu itu, dapatlah kami kirimkan ayat-ayat suci buat arwah ayah. Waktu zaman aku sekolah memang setiap malam jumaat emak akan mengajak kami adik beradik sedekahkan bacaan surah yaasin bersama-sama buat arwah ayah. Emak juga akan selalu mengingatkan kami untuk sedekahkan bacaan Al-fatihah untuk arwah ayah. Rutin itu berterusan pula kini kepada cucu-cucunya. Setiap hari emak akan ingatkan untuk sedekahkan bacaan Al-fatihah buat arwah mummy. Selepas solat maghrib, minta  mereka untuk sedekahkah bacaan surah yaasin juga kepada arwah mummy.

Emak memang tak berapa pandai bab agama. Tapi emak selalu bersungguh untuk mendalami ilmu agama. Emak bersungguh untuk memperbaiki diri. Emak juga mahu anak-anak dan cucu-cucunya menjadi orang yang lebih pandai agama. Sejak kecil emak sudah tekankan kepada kami betapa pentingnya Al-quran. Walau merangkak emak tetap selalu mahu mengaji setiap hari. Dulu emak tidak pandai mengaji. Belajar mengaji hanya sewaktu kecil. Bila sibuk menguruskan adik-adiknya, emak tidak sempat untuk mengaji. Malah, sekolah pun perlu berhenti setakat darjah 6. Namun kesungguhan emak untuk mengaji Al-quran terserlah bila emak tak segan menggunakan muqqadam kami untuk kembali belajar mengaji. Sehinggalah bacaannya jadi lancar kini. Begitu juga dengan belajar membaca jawi. Beria-ia emak meminta tunjuk ajar dari kami untuk mengajarnya membaca jawi dengan menggunakan buku-buku sekolah kami dulu. Kini emak sudah boleh membaca jawi dengan baik. 

Penekanan emak untuk kami adik beradik juga cucu-cucunya pula ialah supaya kami dapat berguru mengaji Al-quran agar bacaan kami betul dan lancar sebab emak sendiri tidak dapat mengajar kami dengan sendiri. Disebabkan itu, mencari guru mengaji untuk kami selalu menjadi keutamaan buat emak. Bila kami adik beradik dan cucu-cucunya khatam Al-quran, emak pastinya menjadi orang yang sangat gembira. Siap buat pulut kuning untuk meraikannya. Waktu zaman aku anak dara, sudah berkerja dan sedang bercinta dengan en.asben emak kembali memanggil guru mengaji untuk datang mengajar kami sekeluarga mengaji di rumah.  Punyalah emak mahu kami dapat terus mengaji Al-quran dengan baik. Gaji yang sedikit sanggup emak ketepikan sebahagiannya untuk kami sekeluarga dapat terus belajar mengaji dengan guru yang baik. Semoga ALLAH melimpahkan rahmat dan kasih sayang yang besar buat semua guru-guru kita.. insyaALLAH.

Ini baru sebahagian kecil tentang emak. Banyak lagi keistimewaan dan kisah tentang emak. Aku mungkin mampu menulis kesemua cerita dan kisah tentang emak. Namun apa yang pasti, jasa dan pengorbanan emak tak akan mampu aku balas. Hanya ALLAH yang dapat membalas kesemuanya. Semoga aku mampu menjadi ibu sebaik emak. Tanpa suami di sisi, emak berjaya menjaga dan mendidik kami adik beradik dengan baik.  Walau tak berharta dan berduit, emak mengagahkan tulang empat keratnya untuk membesarkan kami dengan sempurna. Ya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayangMU sentiasa ada buat emak. Juga buat arwah ayah dan kedua ibu dan ayah mertuaku. Rezekikanlah mereka untuk menjadi penghuni syurgaMU. Sediakanlah tempat istimewa buat mereka di syurgaMU. Masukkanlah emak, arwah ayah dan kedua mertuaku ke dalam syurgaMU tanpa hisab. Amin.. amin ya rabbalalamin.

Emak.. I love you. Aku memang anak ayah. Dengan ayah, aku tak segan nak peluk dan cium pipi ayah. Tapi dengan emak aku rasa tak selesa nak buat begitu. Mungkin kerana emak garang. Kalau nak peluk dan cium pun cuma waktu-waktu yang besar seperti hari raya dan hari pernikahanku. Selain dari itu hanya tangannya yang aku dapat kucup. Dulu waktu tinggal sekali aku memang selalu ada keinginan untuk peluk dan cium pipi emak. Tapi aku malu. (Perkara yang jarang buat kan, tentulah rasa canggung). Setahun yang lepas bila arwah adikku sakit, emak tinggal bersamanya. Waktu itu barulah aku dapat mencium pipi emak setiap kali aku pergi melawat. Ya ALLAH.. setiap saat itu sangat aku syukuri. Betapa indahnya perasaan bila wajah itu dapat ku kucup tanpa rasa segan lagi. Peluang yang ada untuk aku dapat berbakti kepada emak akan aku gunakan sebaiknya kerana aku juga mahu menjadi penghuni syurga ALLAH.. insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!
 
Emak dan anak, menantu dan cucu-cucunya. Gambar keluarga takde. Hanya gambar ini yang complete semua.

Wednesday, August 13, 2014

You are very smart!

Assalamualaikum..

Hari ni nak bercerita mengenai claim tiket Air Asia kami ke Hong Kong hari tu. Alhamdulillah, sehari selepas kami pulang dari Hong Kong selepas membeli tiket yang baru aku dah dapat semula pembayaran balik pembelian tiket pertama yang terpaksa dibatalkan kerana adik aku koma dan seterusnya meninggal dunia di Hospital. Staff Air Asia Insure siap puji lagi cakap you are very smart! Katanya, dalam banyak-banyak claim yang dia uruskan, claim aku paling senang untuk diuruskan. Ini kerana aku hanya buat 1 claim saja untuk kami sekeluarga. Entry ini bukanlah nak bercerita mengenai pujian tersebut. Tapi yang aku nak cerita ialah bagaimana urusan kita dipermudahkan bila kita memudahkan urusan orang lain.

Sebenarnya sebelum membuat claim tersebut aku tidak meletakkan sebarang harapan. Kalau boleh claim, Alhamdulillah. Jika tidak, tidak mengapa. Membaca terma dan syarat aku tak faham sangat secara  detail. Bila tak faham aku memilih untuk mengajukan  soalan kepada pihak Air asia secara direct saja.  Namun dalam soalan itu sudah aku berikan segala butir dengan serba lengkap. Aku hantarkan soalan aku dengan membalas e-mail itenarary yang dikirimkan oleh Air Asia kepadaku selepas tiket perjalanan dibeli. Balasan dari mereka memberitahuku yang atas sebab-sebab yang aku berikan, aku sememangnya layak untuk membuat tuntutan. Mereka juga mengucapkan takziah dan memberitahuku bagaimana aku boleh membuat tuntutan tersebut menggunakan saluran yang betul iaitu membuat tuntutan kepada Air Asia Insure.

Sepanjang proses tuntutan itu, aku berhubung melalui e-mail dengan 3 orang staff. Staff pertama yang menjelaskan tentang bagaimana claim itu boleh dibuat. Staff kedua staff dari Air Asia Insure selepas aku mengisi borang claim bersama lampiran dokumen yang diperlukan secara online. Staff ketiga pula  ialah staff yang menguruskan tuntutanku. (Alhamdulillah.. kesemuanya sangat membantu). Walaupun berkomunikasi dengan 3 staff yang berlainan, detail yang aku berikan semuanya detail yang sama. Claim aku tetap claim yang satu untuk kami berlima. Reference no. yang aku gunakan juga hanya satu. Bila sudah begitu jadi mudah untuk mereka menguruskan tuntutan tersebut. Selain itu segala dokumen yang diminta aku berikan kepada mereka dengan menjelaskan setiap satunya dengan lengkap. Bila segalanya lengkap, lebih mudah untuk mereka membuat pengesahan.

Melihat di FB Air Asia, aku baca ramai yang complaint kata claim mereka masih belum selesai dalam tempoh yang lama. Perkara itu sedikit sebanyak mempengaruhiku. Ianya membuatkan aku sangka claim aku juga akan jadi begitu. Tapi ianya tidak begitu. Dalam masa sebulan, tuntutan aku sudah selesai selepas beberapa kali berbalas email dan mendapat balasan yang sebaiknya. Sehari selepas itu, wangku sudah dimasukkan semula ke dalam akaunku. Sebelum wangku dipindahkan ke dalam akaun, mereka menelefon untuk membuat pengesahan terakhir secara verbal. Mereka bertanyakan secara detail kronologi pada hari kejadian yang menyebabkan kami terpaksa membatalkan perjalanan kami. Surat kelahiranku juga diminta sebagai bukti perhubungan aku dengan adikku. Ketika menghantarkan dokumen, aku masukkan sekali kronologinya secara bertulis agar mereka lebih faham. 

Memang agak renyah bila segalanya perlu dilakukan dengan serba lengkap. Tapi hasilnya ia memudahkan kedua-dua pihak. Sangat mudah untuk mereka menguruskan tuntutanku dan aku pula dengan mudah mendapat tuntutanku tanpa sebarang masalah. Bila kita buat mengikut prosedur yang betul ianya akan jadi mudah untuk kita. Bila kita memudahkan tugas orang lain, urusan kita juga secara langsung dipermudahkan.. Apa yang lebih mengembirakan ialah orang lain berasa senang berurusan dengan kita. Alhamdulillah...

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take cara and have a nice day!

Tuesday, August 12, 2014

Berjauhan dan kehilangan..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. tarikh emak akan berangkat ke Mekah sudah diketahui. InsyaALLAH.. 4 September ini emak akan pergi menunaikan kewajipan fardhu hajinya. Hati rasa cukup seronok untuk emak. Namun dalam pada itu, hati dah mula merasa rindu. Perpisahan dan berjauhan pastinya membuatkan diri rasa kehilangan. Aku memang tak pernah berjauhan dari keluarga. Belajar, berkerja, berkahwin dan berkeluarga tidak pernah menjauhkan aku dari keluargaku dalam tempoh yang lama. Paling lama pun dalam seminggu lebih. Lebih dari tu memang tak pernah. Jadinya, bila mahu berjauhan hatiku dah mula berasa lain macam. Maklumlah, orang tak pernah berpisah dan berjauhan. Mengenangkan hal itu saja dah buatkan aku berasa seperti nak demam.  Rasa sedih belum apa-apa lagi dan bertandang. Itu untuk perpisahan yang insyaALLAH sementara. Untuk perpisahan yang kekal, rasa kehilangan itu lebihlah aku rasai. Rasa rindu pada arwah adikku sehingga kini tidak sedikit pun berkurang. Setakat ini, aku belum lagi melupakan dirinya. Walaupun terasa sudah kuat, tapi ada saatnya airmataku masih mengalir. Bila aku kongsikan rasa rinduku, ramai yang memujuk agar aku redha. Aku tahu aku perlu redha. Aku sendiri sudah redha untuk menerima kehilangannya saat dia koma lagi. Lebih redha bila melihat wajah manisnya bersama senyuman selepas habis nyawanya.

Aku tak sangka yang aku mampu tersenyum saat itu. Serius.. aku benar-benar tersenyum.  Syukur.. Ya Allah untuk peluang melihat senyuman di wajahnya saat akhir itu. Rasa sedih dan kehilangan sedikit terubat. Aku tahu adikku berbahagia. Alhamdulillah.. kesudahan dan pengakhiran yang baik buat arwah.  Ianya jadi senyuman terindah yang terakhir darinya untuk kami semua. Beberapa minit sebelum itu badanku mengeletar untuk menerima kenyataan. Bila doktor memaklumkan kepada kami yang adikku telah tiada, emak tertunduk sambil membisikkan yang emak dah ampunkan segalanya untuk adikku. Tanpa esakan, airmata emak mengalir laju.  Untuk emak, ini adalah kehilangan yang keempat buat dirinya. Selepas kehilangan arwah ayahnya saat emak masih kecil, emak melalui pula kehilangan suami 29 tahun lepas, kehilangan menantu 11 tahun lepas dan kini kehilangan anak sendiri. Disebabkan itu, emak jadi lebih kuat dari kami semua. Aku terus mengeletar sambil memeluk bahu emak. Adik bongsuku terjelepuk di lantai di tepi katil kakaknya kerana dia orang terakhir yang  berada bersama angahnya sehingga waktu itu. Dia juga yang terakhir membacakan surah yaasin bersama suaminya.  Bukan mudah untuk menghadapi saat seperti itu. Bukan senang untuk melepaskan insan yang kita sayang. Perlakuan kami bukanlah kerana kami tidak redha. Tetapi itu adalah reaksi spontan ketika berhadapan dengan sebuah kehilangan. 

Alhamdulillah.. urusan pengurusan jenazah arwah adikku dipermudahkan. Anak-anak arwah juga dapat menerima berita kehilangan ini dengan baik. Ketabahan mereka membuatkan para tetamu pula yang jadi sangat sebak. Anak-anak arwah semuanya berpeluang memandikan jenazah mummynya (sekadar menjiruskan air ke badan mummy waktu proses terakhir mandi jenazah). Selepas dikafankan mereka mencium wajah mummy. Hanya airmata mereka yang mengalir. Tiada langsung esakan dan teriak. ALLAHUAKBAR.. Allah pinjamkan kekuatan buat mereka. Alhamdulillah.. sehingga kini mereka masih kuat. Namun, kasih ibu pastinya kasih yang abadi. Kasih yang tiada ganti. Kasih yang tak terbanding. Adakalanya, kehilangan itu berbekas juga di hati. Walaupun tidak begitu dipamerkan, kami tahu mereka rindu. Kadang-kala tersasul juga mulut mereka memanggil aku mummy! Adakalanya mereka berharapkan mummy datang dalam mimpi. Menatap gambar mummy, ada senyuman di wajah mereka. Pastinya gambar mummy menjadi pengubat rindu mereka. Sehingga hari ini, surah yaasin masih tak putus dikirimkan. Begitu juga dengan surah Al-fatihah. Bila terlupa, akan ada salah seorang dari mereka saling mengingatkan untuk mengirimkan sedekah buat mummy. Semoga mummy tenang dan bahagia di sana berkat sedekah yang berpanjangan dari anak-anaknya.

Pada hari raya ketiga baru-baru ini, kami membawa mereka ke Bukit Merah Lake Town Resort. Sengaja nak bawa mereka mandi manda. Memang niat kami untuk menghiburkan hati mereka. Kalau boleh, kami tidak mahu mereka terlalu merasa kehilangan. Lebih-lebih lagi bila mummy jenis yang suka merai dan melayan anak-anaknya. Dalam empat-empat tu, gegirl (anak bongsu arwah) antara yang paling manja dengan mummy. Memang 'mummy' tak pernah lekang dari mulutnya. Alhamdulillah.. semua orang melayan gegirl dengan baik. Lebih-lebih lagi bila si kecil itu begitu pandai membawa diri. Di Bukit Merah pun begitulah juga. Sekejap maksu peluk, sekejap paksu dukung. Sekejap berkepit dengan mama, sekejap berpimpin dengan ayah. Sekejap nanti dengan sepupu-sepupuku. Sekejap lepas tu dengan abang-abang dan kakak Han pula. Kalau nak diikutkan memang gegirl menerima layanan yang paling baik. Namun mummy tetap di hatinya. Bila masuk ke tempat rekreasi macam tu, kan ada tag masuk yang perlu dipakai di tangan.  Tag itu telah mengingatkan gegirl  pada mummynya. Dalam kereta waktu perjalanan balik, beria gegirl mengajak kami untuk ke hospital. Jomlah mama kita pergi hospital tengok mummy.. Ajaknya. Sebaknya aku waktu itu. Aku beritahunya elok-elok yang mummy dah takde. Mana ada di hospital lagi. ALLAH dah ambil mummy sebab Allah lebih sayangkan mummy. 

Oh.. mummy ada kat kubur ya? Soalnya. Aku mengangguk. Kalau macam tu jomlah kita pergi kubur. Kita korek kubur dan bawa mummy keluar. ALLAHUAKBAR..  dia rindu sangat agaknya. Tapi tak tahu bagaimana mahu meluahkan. Si kecil itu boleh terima akan kehilangan mummynya. Namun dia belum benar-benar faham erti sebenar sebuah kehilangan itu. Aku jadi kelu nak cakap macam mana. Sudahnya aku pujuk dia dengan baik. Terangkan kepadanya perkara yang sudah di terangkan. Dia mengangguk macamkan faham. Namun aku pasti soalan dan ajakan seperti itu akan kembali berulang. Hmm.. sebak. Al-fatihah untuk arwah adikku. 

                                            
Raya tahun lepas. Raya dan beraya terakhir kami bersama arwah mummy.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have  a nice day!

Monday, August 4, 2014

Raya kami..

Assalamualaikum.. 

Selamat Hari Raya.. Maaf Zahir dan Batin dariku buat semua..

Tak tahu kenapa, tahun ni ramadhan terasa cepat benar mahu berakhir. Mungkin, kesedaran tentang bermaknanya ramadhan semakin bertambah.. ALHAMDULILLAH. Semakin kesedaran itu timbul, semakin diri menyayangi ramadhan. Syukur ya ALLAH. Semoga ada rezeki untuk kita yang masih bernafas ini berjumpa dengan ramadhan yang mulia lagi barakah di tahun hadapan dengan kesihatan yang baik juga dengan iman dan amal yang lebih mantap.. insyaALLAH.

Raya tahun ini kami isi dengan kesederhanaan. Raya tetap bermakna, namun kemeriahannya ada sedikit berkurang. Tahun ini aku kehilangan nenda mertua dan adinda tercinta. Jadinya raya tahun ini pastinya berlainan dari biasa. Tahun ini juga negara dilanda dugaan yang bertimpa. Pray for MH370 and MH17. Doa juga untuk saudara kita di Palestin. Semoga ALLAH melindungi mereka dan memberikan kekuatan untuk mereka.. insyaALLAH. Semoga ALLAH menerima doa-doa kita hendaknya.

Raya kami biasa-biasa saja. Namun tetap meriah dengan cara kami. Juga dengan keluarga besar kami. Havoc dan huru hara, itu biasa. Sebab itu cara kami bila dah lama tak berjumpa. Alhamdulillah.. silaturahim jadi semakin erat. Kasih sayang semakin bertambah. Hubungan kekeluargaan jadi lebih bermakna. Kehilangan insan-insan tersayang membuatkan kami lebih menghargai apa yang tinggal. Semoga keberkatan hidup akan dapat kami kecapi. 


My love.. 
Tak kira di mana pun aku beraya, berada disamping insan-insan kesayanganku ini, kebahagiaan sentiasa mengisi hati.. Syukur ALHAMDULILLAH..

Bersama keluarga mertua..
Tahun ini kami beraya bersama kedua mertuaku di kampung arwah nenek mertua di Parit Baru, Sabak Bernam. Kemeriahan raya sedikit berkurang dengan ketiadaan nenda mertua yang kembali ke rahmatullah hujung mac lalu. Rasa lain sangat beraya di kampung kali ini. Rasa sunyi dan sedikit kosong. Rindunya pada senyuman manis arwah embah.

Di kampung, ada beberapa rumah yang wajib pergi untuk kami pergi beraya. Yang seronoknya beraya di kampung, kuih raya mereka penuh meja. Itu yang anak-anak suka.

Hari raya kedua kami pulang ke kampung tok di Taiping. Alhamdulillah.. kami tidak menempuh kesesakan jalanraya yang teruk dalam waktu raya kali ini. Sampai di Taiping, rumah pakcik sudah penuh dengan saudara mara. Dah ramai-ramai, emak buatkan sekali kenduri tahlil untuk arwah adikku di sana. Sebak sangat jadinya bila makcik-makcik dan sepupu-sepupuku memelukku penuh erat untuk melepaskan rindu mereka pada arwah adikku.

 Kenangan beraya sepupuku bersama arwah adikku. Allahuakbar.. rindunya.

Anak-anak arwah mummy bersama maksu mereka (adik bongsuku.. tinggal kami dua beradik saja sekarang ini). Alhamdulillah.. mereka berempat tetap menjadi keutamaan kami  sekeluarga. Semoga kami dapat menjaga amanah ini sebaiknya.. InsyaALLAH.

Happy!!
Serba hijau mereka bersama maksu dan daddy.  Thank you adikku Rita dan Zaid. Terima kasih juga untuk makcik, pakcik dan sepupu-sepupuku yang sama-sama menjaga anak-anak saudaraku ini. Tahun ini mereka empat beradik beraya bersama emak, maksu dan paksu juga sanak saudara di Taiping.



 Family besar kami. Itu baru 1/3 dari anak-anak sendiri, anak-anak saudara dan sepupu. Pun dah sendat kereta. Kalau dah ramai tu, naiklah apa juga kenderaan.. Pastinya penuh. Malam raya kedua tu kami ramai-ramai pergi main bowling. Keluarga emak aku memang besar. Dah semuanya sangat rapat. Jadinya bila berkumpul memang macam-macam aktiviti yang boleh dibuat. Alhamdulillah.. suasana kekeluargaan yang erat ini sangat aku syukuri.

Hari raya ketiga kami ke Bukit Merah Laketown Resort pula. Penilaian aku, Bukit Merah dah tak berapa best. Pada harga RM38 untuk kanak-kanak dan RM48 untuk dewasa, bagi aku ianya sangat tidak berbaloi. Tapi kami yang pergi 20 orang tu tetap have so much fun there! Bayangkan, yang kecil yang besar semuanya berjemaah mandi manda bersama.  Semua aktiviti kami buat bersama-sama. Mana tak best. Paling best bila semuanya (tak termasuk aku he..he..) berani nak cuba slide yang buat aku sangat gayat.

  
Anak-anakku.
Raya keempat kami balik ke Bangi. Sempatlah bawa anak-anak saudaraku beraya di rumah atuk dan nenek mereka di Kajang. Alhamdulillah.. keluarga bekas mertua arwah adikku sangat baik. Kebaikan dan kemesraan mereka membuatkan kami  terasa macam berada dengan keluarga sendiri. Syukur. Lepas ni boleh beraya bersama papa pulak.

Ma, jom ambil gambar kat situ..
En.asben jarang nak ajak bergambar. Selalunya, aku yang sibuk-sibuk ajak bergambar. Tapi untuk gambar yang ini, dia pulak yang mengajak. So, gambar ini ada sentimental value untuk aku. Sebab di dalam bulan raya, kira macam gambar raya kami jugalah ni. Walaupun muka rentung sebab main panas kat Bukit merah, tapi lentok tetap lentok ha..ha.. I love you en.asben!

 Bersama kesemua keluarga mertuaku tersayang.
Ini gambar semalam. Sebelum pergi beraya kami posing dulu seisi keluarga. Anak-anak sendiri dan anak-anak buah semuanya dah besar-besar. Itu tandanya, aku dah semakin tua. Alhamdulillah.. semalam, rumah wajib pergi beraya dapat kami kunjungi. Walaupun penat, hati rasa happy.

Itulah cerita raya kami. Meriah ikut cara kami. Sederhana, tapi kami happy. Hari raya bagi kami adalah untuk mengeratkan lagi silaturahim. Indahnya persaudaraan. Indahnya persahabatan. Terima kasih ALLAH untuk nikmat silaturahim ini. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar.. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!