Thursday, April 7, 2016

Tok.. Insya-ALLAH kita jumpa lagi di Syurga..

Assalamualaikum..

Pada musim cuti sekolah yang lepas, setelah dua minggu kami pulang dari melawat Tok di Taiping, dapat berita yang Tok susah nak menelan makanan. Bila makan macam nak tercekik. Nak minum pun macam nak tercekik juga. Jadinya makcikku dan sepupu-sepupuku di Taiping jadi takut nak suapkan tok makan. Kami yang jauh-jauh pula jadi susah hati bila mendengar berita tu. Terus pakat-pakat untuk hantar tok ke hospital. Tok sangat jarang dimasukkan ke hospital walaupun sudah berumur 92 tahun. Yang aku ingat baru 2 kali tok dimasukkan ke hospital termasuk kali ini. Jadi bila tok masuk hospital semua anak cucu cicitnya  jadi risau. Emak, makcik dan pakcik aku yang tinggal di luar Taiping semuanya balik melawat.

Alhamdulillah.. semuanya dipermudahkan untuk emak. Hari rabu, papa anak-anak saudaraku call kata nak ambil anak-anaknya sebab sekolah cuti. Malam rabu juga tok dimasukkan ke hospital. Jadi bila anak-anak saudaraku ikut papa mereka, dapatlah emak balik kampung menjaga tok untuk beberapa hari. Alhamdulillah.. emak diberikan masa dan kesempatan untuk menjaga ibunya di waktu sakit. Dua malam juga emak dapat menjaga tok di hospital sebelum tok dibenarkan pulang kerana tiada apa yang dapat dilakukan oleh pihak hospital untuk membantu tok.  Lebih-lebih lagi bila tok sendiri berasa tak selesa dengan segala wayar ditubuhnya. Emak kata tok sentiasa gelisah sehinggakan tak tidur malam sebab rimas dengan wayar-wayar tersebut.

Bila dah balik rumah barulah tok dapat tidur dengan lena. Tapi waktu di rumah emak kata keadaan tok nampak lemah. Hari sabtu cadangnya aku dengan adikku nak balik melawat tok. Balik hari saja. Tapi pagi tu adik aku ada treatment sikit di klinik. Selepas treatment tu dia bleeding dan  dia rasa tak larat. Jadi terbatallah hajat kami untuk melawat tok. Pada hari yang sama sepupu-sepupuku juga ada yang balik melawat tok. Memang boleh kalau aku seorang nak menumpang balik. Tapi yang tak bolehnya sebab dia orang nak bermalam di Taiping. Sekolah pula dah nak buka. Anak-anak buahku akan dihantar semula oleh papa mereka ke rumah kami. Jadi risau  kalut pula bila aku dan emak sama-sama tiada di rumah. Jadi hajat untuk menumpang sepupu balik ke Taiping ikut terbatal juga.

Hari ahad emak telefon aku beritahu yang emak dah nak balik. Emak cerita juga yang tok lemah aje. Waktu nak salinkan pampers tok sebelum balik tu, emak kata tok macam tak beri tindak balas. Selalu tok akan sibuk-sibuk juga bila kita nak pakaikan pampers. Tapi pagi tu tok macam tak beri respond. Emak jadi berat hati nak balik. Tapi emak terpaksa balik juga sebab esoknya anak-anak buah aku nak sekolah. Emak cakap dengan tok, emak nak balik kejap nak uruskan anak-anak saudaraku sebab sekolah dah nak buka. Lepas tu emak datang jaga tok balik. Kesian kat emak. Risaukan ibunya. Risaukan cucu-cucunya juga. Makcik aku yang tinggal di Melaka pun dah kena balik juga sebab suaminya dah lama sangat ambil cuti. Jadi emak balik bersama makcikku. 
Nasi lemak dan teh hijau untuk juadah kami di hari minggu..

Hari ahad tu entah kenapa aku rasa macam malas sangat nak masak. Macam nak rehat-rehatkan diri aje. Jadi pagi tu masak nasi lemak. Senang.. sampai tengah ari boleh makan. Memang aku lepak aje lepas tu. Lepas zohor baru turun. Anak-anak buahku pun dah balik. Jadi bagi dia orang makan semua. Elok lepas makan, dalam pukul 2.40 petang dapat call dari Taiping. Waktu sebut nama aku, sepupu aku dah menangis. Aku pun dah ikut menangis sekali. Dengan situasi macam tu, tak payah beritahu apa beritanya pun aku dah boleh agak. Inalillah. ALLAH dah ambil semula tok dari kami pada tarikh 20 Mac 2016 jam 2.30 petang. Rasa sebak dan sedih bagai tak tertanggung. Terasa ralat sebab tak dapat melawat tok sehari sebelum tu. Pada waktu yang sama emak, makcik dan pakcik aku dah nak sampai Sungai Besi dah pun. ALLAH.. mereka pun takde peluang nak mengadap tok pada saat terakhirnya. Walau apapun tetap bersyukur kerana diberikan peluang untuk berada bersama-sama dengan tok beberapa hari dan beberapa jam sebelum itu. 

Bila dapat berita tu, emak dengan makcikku  terpaksa berpatah balik ke Taiping. Tapi pakcik aku dah tak larat dah nak drive semula ke Taiping. (Pakcik aku pun dah 70  dah umurnya). Jadi emak minta kami tunggu emak sampai di rumah sebelum bertolak sama-sama ke Taiping. Alhamdulillah.. sebelum tu aku memang dah lepak-lepak dan merehatkan diri. Anak-anak semua pun dah siap makan. Jadi takdelah rasa serabut sangat nak siapkan diri, anak-anak yang bertujuh tu serta  keperluan untuk balik kampung dalam keadaan bersedih dan kalut macam tu. Emak sampai aje rumah, salin baju, salin tudung, pergi bilik air semua terus kami gerak balik Taiping. Tapi lepas singgah isi minyak, top up touch and go, keluar duit semua dalam pukul 4 juga baru keluar dari Bangi.  Risau juga takut jalan jem  sebab sekolah dah nak buka esoknya.  Alhamdulillah.. perjalanan lancar.

Kami singgah solat asar di Plaza Tol Lembah Beringin. Janji dengan adik aku untuk berjumpa di situ. Sebab kereta aku dah padat sebab makcik aku dan cucunya tumpang sekali. Dari Lembah Beringin kami konvoi 2 kereta terus ke Taiping. Takde singgah di mana-mana lagi. Alhamdulillah.. sepanjang perjalanan keadaan cuaca cukup redup. ALLAH.. keadaan itu membuatkan hati rasa sebak mengenang tok yang telah tiada. CD bacaan yaasin juga aku pasang sepanjang perjalanan untuk kami sama-sama ikut membacanya. Mataku sekejap kering. Sekejap lagi akan basah. Rasa sedih sangat waktu tu. Bila teringatkan tok aje, mesti rasa sebak dan air mata mengalir dengan sendiri. Dalam perjalanan, kejap-kejap aku call kampung. Kejap-kejap sepupu dan pakcikku yang di kampung akan call kami. Jadi segala update tentang urusan jenazah kami tahu. Tok tengah dimandikan. Tok tengah dikafankan. ALLAH.. takde rezeki nak mandikan tok dan ikut mengkafankan tok. Tapi anak cucu tok yang lain sempat mandikan jenazah tok.

Alhamdulillah.. kami selamat  sampai di Taiping tepat jam 7 malam. Sampai di rumah pakcik aku elok aje masuk waktu maghrib.  Mengikut rancangan jenazah tok akan dikembumikan selepas solat isyak. Syukur kami sempat sampai untuk peluk cium tok di saat terakhir. Cepat-cepat aku dan kami semua masuk ke dalam rumah. Waktu melihat tubuh tok yang sudah terbujur kaku, air mataku melaju turun. Wajah sejuk tok aku cium penuh kasih sebelum en.asben dan anak-anak mengambil giliran untuk mencium tok. ALLAH.. manisnya wajah tok pada waktu itu. Dua minggu sebelum waktu aku jumpa tok, tok sedang sakit. Jadi wajahnya nampak lesu. Tapi hari itu wajah tok nampak sangat-sangat tenang. ALLAH.. semoga tok terus tenang di alam sana. Semoga ALLAH mengampunkan semua segala dosa-dosa tok. Pakcik-pakcik aku dan sepupu-sepupu aku pun sampai lebih kurang sama waktu dengan kami. 

Alhamdulillah.. anak-anak tok semuanya sempat dapat tengok jenazah tok. Hanya sepupu dan menantu tok yang dari Melaka saja yang tak sempat. Lepas selesai kebumi baru dia orang sampai. Lepas baca yaasin, aku tunaikan solat jamak maghrib dan isyak. Waktu selesai  solat aku dengar ada seorang ustaz yang sedang bacakan surah yaasin untuk arwah tok. Masya ALLAH.. Bacaannya cukup sedap dan penuh tertib. Mendayu dan menusuk di hati. Seingat aku waktu hayat tok, sebelum mata tok dah tak nampak dan sebelum  tok dah terlalu uzur, tok selalu membaca surah yaasin. Rasanya tok dengan surah yaasin bagaikan tak terpisah. Kalau buku yaasinnya tu, sampai lunyai sebelum ditukar ke buku yaasin baru sebab bacaan surah yaasin sentiasa dibaca berulang-ulang. Buku yaasin tu memang sentiasa ada ditangannya. Sambil duduk tok baca yaasin. Sambil baring tok baca yaasin. ALLAH.. jelas sangat dimataku yang tok sangat mencintai surah yaasin. Bila terdengar alunan surah yaasin yang dibacakan penuh indah untuk jenazah tok, terasa bacaan itu bagaikan hadiah terindah buat arwah tok. Semoga segala ibadah dan amalan baik  tok diterima oleh ALLAH.. in sya ALLAH. 

Dalam pukul 8 malam, jenazah tok dibawa ke masjid. Emak dan makcik aku menemani dalam van jenazah. Biasalah, selalu orang takut untuk naik van jenazah. Makcik aku pun begitu. Tapi bila jenazah itu adalah ibu tercinta, jadi hilang segala takut. Solat jenazah diadakan selepas solat isyak. Alhamdulillah.. ramai jemaah untuk solat jenazah. Cucu tok sendiri yang mengimamkan solat jenazah. Selesai solat jenazah di bawa ke kubur. Ramai juga yang ikut sama ke kubur. Terang benderang kawasan perkuburan disimbah cahaya lampu. Kiranya sekarang ini, tiada masalah untuk jenazah dikebumikan pada waktu malam. Suasananya tak terasa seperti di waktu malam. Baguskan macam tu. Lebih-lebih lagi bila menyegerakan urusan pengkebumian jenazah adalah sangat dituntut. Alhamdulillah.. dalam pukul 10 malam segala urusan pengkebumian arwah tok selesai. Syukur.. Ya ALLAH, semoga kubur tok menjadi Taman-taman Syurga.. In sya ALLAH.

Suasana waktu pengkebumian arwah tok di tanah perkuburan.

Selepas balik dari kubur kami semua berkumpul di rumah pakcik. Memang waktu dalam perjalanan lagi, emak dah minta aku beritahu pada sepupu untuk tolong uruskan soal makan minum untuk kaum keluarga dan tetamu. Alhamdulillah.. dalam kalut, mereka sempat menguruskannya. Terima kasih banyak buat sepupu-sepupuku dan keluarga makcikku yang banyak membantu. Selepas makan semua, kami duduk berkumpul lagi bersama kaum keluarga. Sambil-sambil tu berbincang juga untuk tidur di mana. Nak tidur di rumah pakcikku memang tak bolehlah sebab anaknya sendiri ramai. Semuanya pulak balik. Jadi tentulah tak selesa. Nak tidur di rumah arwah tok yang lama rasa tak selesa pulak. Sebab sekarang ni pakcik aku tinggal seorang di sana. Jadi kalau nak tidur di sana kena berkemas pula dulu. Dengan badan yang letih dan perasaan yang masih sedih jadi tak daya pula nak buat semuanya. Jadi pakat-pakat nak tidur di hotel saja.

Kami menginap di Hotel Taiping Perdana. Dekat pukul 12 tengah malam kami check-in. Alhamdulillah.. pakcik aku ada kawan yang kerja di sana. Dapatlah kami diskaun rate 30%. Kami ambil 3 family room. Alhamdulillah.. besarlah juga biliknya. Selesalah untuk keluarga kami juga untuk keluarga makcik dan pakcikku. Waktu nak balik Taiping memang aku dah siap-siap keluarkan duit. Ingatkan untuk top up urusan terakhir arwah tok. Tapi untuk urusan  arwah tok semuanya emak dan adik beradiknya dah sediakan. Urusan ibu sendirikan. Semuanya tak kisah nak keluarkan duit. Semuanya tak lokek menghulur untuk urusan terakhir itu. Jadi dah alang-alang aku pun dah keluarkan duit jadi untuk belanja hotel malam itu biarlah aku saja yang sediakan. Bukan selalu pun dapat keluar belanja untuk adik dan makcik pakcik. Pagi tu kami breakfast di hotel. Alhamdulillah.. makanannya sedap dan banyak juga pilihan. Selepas makan kami ke rumah pakcik sebelum pergi  menziarah kubur tok. Dah selesai ziarah kubur tok kami balik ke hotel untuk check out. Selepas itu kembali semula ke rumah pakcik untuk makan tengah hari. Rasa lain sangat bila masuk bilik tok dan tok tiada di katilnya. ALLAH.. rindunya kat tok. Dalam pukul 4 petang kami bertolak balik.

Pemandangan Bandar Taiping dari balkoni bilik di Hotel Taiping Perdana. 
Aku sangat sukakan Taiping. Setiap kali nak balik Taiping, hatiku selalu rasa teruja. Selalu tak sabar-sabar nak balik Taiping sebab rindu nak peluk cium tok.  Sayu aje hatiku saat itu bila mengenang arwah tok yang telah tiada. Selepas ini, tentunya Taiping dah tak sama seperti dulu :(

Sebelum jenazah tok dibawa ke masjid untuk disolatkan, sekali lagi aku peluk cium tok. Rasa tak puas nak cium tok. Sambil cium tok aku mendoakan agar ALLAH mengampunkan dosa-dosa tok. Sempat juga aku bisikkan pada arwah, Tok.. insyaALLAH nanti kita jumpa lagi di Syurga. Ya ALLAH.. semoga kami semua direzekikan untuk menjadi Ahli SyurgaMU. Aamiin.. Mudah-mudahan.. in sya ALLAH.

Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

4 comments:

Kakcik Seroja said...

Innalillahhiwainnailaihirojiun...

Izwa Kamaruddin said...

Innalillahhiwainnailaihirojiun..

sebak nyer baca kak..sampai izwap un terasa sama sendu :(

Unknown said...

Innalillahhiwainnailaihirojiun.
Takziah ye kak.

mamaarifakeemaisy said...

salam takziah..
Al Fatihah.. semoga roh ditempatkan dikalangan orang yang beriman...

Salam ziarah~

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...