22 April 1999
13 tahun yang lalu aku selamat melahirkan anak sulungku. Lebih kurang pukul 4 pagi aku terbangun untuk membuang air. Waktu itu sudah keluar tanda untuk aku bersalin. Ada darah yang keluar. Selepas solat subuh, en.asben membawaku ke pusat rawatan. Sebelum itu en.asben sempat membacakan surah Maryam ayat 15~30. (Ayat selusuh untuk memudahkan proses bersalin dengan keizinan dari Allah menurut ustazah yang mengajarnya kepadaku). Waktu itu sakit sudah mula terasa. Pengalaman pertama memang sangat mendebarkan. Pukul 8 pagi aku di tolak ke bilik bersalin bersama en.asben. Dari bukaan, doktor menganggarkan aku akan bersalin dalam tiga atau empat jam lagi. Tapi Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya. Sejam kemudian aku selamat melahirkan puteri sulungku pada jam 9.05 pagi. Bayi perempuan seberat 2.75 kg. Pipinya bulat. Matanya sepet. Hidungnya tidak tinggi. Melihat bayi-bayi di dalam bilik bayi dari cermin kaca, dialah bayi tercomel di mata aku dan en.asben. Anak sendirikan, pastinya merekalah yang terindah di mata kita.
Sehari kemudian aku dibenarkan pulang ke rumah. Terasa indahnya bila rumah kami diserikan dengan kehadiran seorang bayi yang menjadi kesayangan kami. Esoknya en.asben dan emak membawanya ke klinik kerana demam kuning. Aku masih ingat petang itu emak dan en.asben pulang ke rumah tanpa bayiku bersama. Dia perlu ditinggalkan di pusat rawatan untuk di letakkan di bawah lampu. Terasa suram rumah rasanya walaupun baru hanya sehari dia berada di rumah kami. Aku mula sebak dan terasa kehilangan. Malam itu aku berbaring di sofa. En.asben pula berbaring di sofa yang satu lagi. Kedudukan kami saling mengadap. Tanpa kata kami berpandangan. Mata kami berdua sama-sama berair. Kiranya kami berkongsi perasaan yang sama. Mula kerinduan pada insan yang baru hadir dalam kehidupan kami berdua.
Kenangan itu sudah 13 tahun berlalu. Tapi setiap kali mengingatinya, aku masih terasa sebaknya. Semalam hari jadinya yang ke 13. Nampaknya dia masih lagi menjadi puteri tunggal kami. Masih lagi kesayangan ayahnya. Melihat en.asben memeluknya sambil mengucapkan ucapan selamat hari lahir pagi semalam, membuatkan aku terasa rindu pada arwah ayahku. Ini kerana aku dan arwah ayah juga mesra sebegitu. Buat Han, mama doakan semoga Han selamat dunia akhirat. Semoga keberkatan dan rahmat Allah sentiasa ada untukmu puteri kesayangan kami.

Gambar hari Jumaat lepas di majlis kat tempat kerja en.asben. Waktu kecil dulu bukan main bulat badannya dengan pipi labuh. Makin besar ni makin kurus pulak dia. Dia ikut en.asben kot yang maintain slim. Kalau ikut mamanya, puas pulaklah dia nak kena berdiet he..he.. Happy birthday Han!