Assalamualaikum..
Alhamdulillah.. 2013 sudah hampir tiba ke penghujungnya. 2014 akan menjelang tiba dengan warna warni kehidupan baru yang akan dilalui. Di hari-hari terakhir tahun 2013 ini terasa mahu mengenang semula peristiwa-peristiwa yang terjadi dalam hidupku. Seperti tahun-tahun lain, 2013 juga punya makna tersendiri buat aku dan keluarga. Syukur, Allah memberi peluang dan rezeki-NYA untuk kita merasai 2013 sehingga ke penghujung. Semoga keberkatan umur dan kesihatan akan terus dapat dinikmati lagi di tahun-tahun seterusnya.. insyaAllah.
Awal tahun 2013 dimulai dengan keadaan kesihatan adik-adikku yang tidak berapa baik. Serentak dan bergilir keduanya keluar masuk ke hospital. Sebulan pertama di tahun 2013 rutin kami sekeluarga ialah berulang ke hospital. Enam bulan seterusnya perkara itu terus berulang. Syukur, kesihatan adik-adikku sudah kembali baik sekarang. Nikmat sihat itu sangat besar maknanya. Terima kasih Allah. Dugaan sakit itu juga telah mendekatkan dan mengeratkan lagi hubungan kami. Memang ada hikmah dalam setiap ujian kan.
Tahun 2013 juga merupakan tahun untuk aku menguruskan anak-anak dan tugasan rumah tangga sendiri tanpa bantuan dari emak. Sejak adikku sakit, emak tidak lagi sepenuhnya tinggal bersama kami. Selama 10 tahun emak tinggal bersama kami aku memang jadi 'manja'. Alhamdulillah, sejak emak tidak tinggal sekali, memasak sudah menjadi perkara biasa untukku. Banyak menu-menu baru yang aku sudah boleh memasaknya sendiri. Kesempatan itu juga menjadikan aku lebih cekap menguruskan hal anak-anak dan rumahtangga sendiri. Benarlah, tiada kerumitan yang tiada jalan penyelesaiannya. Dalam setiap ujian ada peluang di dalamnya. Terima kasih Allah. Syukur.
Tahun 2013 ialah tahun yang aku sibuk dengan Is dan UPSRnya. Kemerosotannya dalam pelajaran sejak 2012 telah membuatkan aku jadi lebih peka untuk memantau prestasi pelajarannya. Selain tuisyen, beberapa bulan juga kami semua terpaksa ikut menonton Astro Tutor TV sebagai sokongan kepada Is. Sehinggalah akhirnya kami terpaksa membeli dekorder Astro yang kedua dan tv baru untuk membolehkan kami menonton rancangan lain pula he..he.. Alhamdulillah.. prestasi Is mula meningkat dan dia berjaya untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Syukur.. memang setiap kejayaan itu memerlukan usaha dan pengorbanan. Seterusnya, kita serahkan urusan rezeki kepada Allah.
Tahun 2013 juga menjadi detik pertama untuk aku dalam mengacarakan majlis. Walaupun masih gugup namun keyakinan itu sudah mula ada. Bermula dengan majlis perkahwinan sepupuku, majlis ceramah agama diikuti dengan perhimpunan bulanan dan kemudian majlis syarahan perdana di tempat kerja. Yang terakhir untuk tahun ini ialah mengacarakan majlis perkahwinan anak pengarah beberapa minggu yang lalu. Syukur, segalanya dipermudahkan untukku. Ketakutan memang akan menjadi musuh kita pada setiap masa. Asalkan kita mahu mencuba dan mengambil peluang, insyaAllah ketakutan akan bertukar jadi keyakinan. Jujurnya, aku masih lagi gugup. Takut juga masih ada. Seram sejuk, berpeluh dan mengigil, itu semua masih aku rasa setiap kali mahu mengacarakan majlis. Namun setiap tugasan aku ambil sebagai latihan. Alhamdulillah, aku mula rasa selesa melakukannya. Terima kasih Allah. Terima kasih juga pada mereka-mereka yang memberikan peluang untuk aku meningkatkan potensi diri.
Tahun 2013 merupakan tahun aku mula sibuk dengan tugasan-tugasan dan kursus-kursus di luar pejabat. Selain yang dekat-dekat, aku juga Ke Terengganu, ke Kedah dan ke Johor bersama teman-teman sejabatan. Ianya memberikan ilmu dan pengalaman baru buatku. Syukur, setiap perkara ada pelajaran yang boleh kita perolehi darinya.
Tahun 2013 juga diisi dengan percutian keluarga yang pada aku sangat indah untuk menjadi kenangan kami. Bukan kata dapat menjelajah ke Hatyai dan Krabi saja yang mengasyikkan. Dapat ke Kuala Linggi dan Port Dickson bersama seisi keluarga juga menjadi kenangan terindah buat kami. Padaku, bukan destinasi yang menjadikan percutian itu indah tapi hubungan kekeluargaan itu yang lebih mengindahkan setiap percutian. Syukur.. keluarga itu adalah harta yang paling besar dan tidak ternilai. Semoga aku tahu untuk terus menghargainya sebaiknya.
Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga tahun 2014 akan menjadi tahun yang indah dan lebih baik untuk kita semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita. Take care and have a nice day!
5 comments:
pahit manis 2013 menghasilkan senyuman bahagia :)
Alhamdulillah...disebalik ujian ada hikmah tersembunyi, ada masa kita berduka tapi Allah serikan juga hidup kita dengan kebahagian berganda.
Sama2 kita berdoa, agar tahun baru ni, Allah kurniakan yang terbaik juga untuk kita semua.
Pelbagai kenangan & pengalaman terkumpul sepanjang tahun kan. Selamat tahun baru, dik :)
As salam kak fea,
Setuju dgn akak! Setiap tahun ada memori pahit manisnya yg tersendiri... yg penting pelajaran yg kita perolehi sejajar dgn peningkatan usia... Selamat tahun baru kak! :))
selamat tahun baru kak =)
Post a Comment