Friday, February 28, 2014

ALLAH belum izinkan..

Assalamualaikum..

Salam jumaat yang mulia untuk semua.

Alhamdulillah.. di Karnival Karangkraf baru-baru ini, masih ada lagi yang sudi membeli novel pertamaku. Ianya membuatkan aku tersenyum-senyum ketika membaca post di FB. Lebih tersenyum bila menerima komen yang menyenangkan dari pembaca. Terasa seronok bila novel yang diterbitkan pada tahun 2011 masih lagi mendapat sambutan dari pembaca di tahun 2014 ini. Terima kasih banyak-banyak kepada pembeli dan pembaca novel sulungku Takdir Fitrah Terindah. Terima kasih juga buat editor dan kakitangan dari Grup Buku Prima Karangkraf. Sokongan dan komen-komen baik yang diberikan sangat aku hargai. Sokongan yang diterima selalu membuatkan aku berasa terharu dan cukup berbesar hati. Bila bercerita tentang novel pertama, pastinya ada yang akan bertanyakan tentang novel kedua. Pada waktu ini, aku masih tiada jawapannya. Yang boleh aku katakan ialah manuskrip kedua sudah selesai aku siapkan. Ianya juga sudah aku hantar ke syarikat penerbitan untuk proses penilaian. Buat setakat ini aku masih lagi menunggu peluang dan giliran. Aku maklum, penulis handalan sedia ada sudah begitu ramai. Ditambah lagi dengan penulis baru yang kebanyakannya cukup berbakat. Adalah tidak mudah untuk bakat kecilku bersaing dengan mereka-mereka yang hebat di luar sana tu. 

Ketika novel pertamaku dapat diterbitkan, ada kenalan yang menyangkakan bahawa dunia penulisan adalah mudah buatku. Sebenarnya ianya tidaklah semudah seperti yang disangka. Aku bermula dari kosong ya. Tiada asas langsung dalam bidang penulisan. Tiada sesiapa yang aku kenali untuk dijadikan rujukan. Tiada kawan-kawan juga yang terlibat dalam bidang ini. Semuanya aku lakukan sendiri bersandarkan minat dan cita-cita. Setahun juga aku perlu menunggu sebelum manuskripku diterima dan dapat diterbitkan. Bila manuskripku diterima dan novelku dapat diterbitkan, aku meneruskan dengan manuskrip kedua pula. Aku ada memuat naik sebahagian dari manuskrip keduaku di laman web Ilham Karangkraf. Tajuknya Benar-benar cintaLangkah pertamaku dalam bidang penulisan memang tidak mudah. Langkah yang kedua ini pula terasa lebih payah. Selepas lebih setahun, masih belum ada berita baik yang aku terima. Itulah cabaranku dalam bidang penulisan novel. Sebagai penulis doaku untuk melihat novelku dapat diterbitkan masih tidak putus. Demi sebuah cita-cita aku masih mahu berharap dan menunggu. Sokongan dari pembaca yang setia menantikan novel keduaku menjadi kekuatan buatku untuk terus menanam impian.

Sekarang ini aku sedang menyiapkan manuskrip yang ketiga. Alhamdulillah.. ianya sudah masuk hampir separuh perjalanan. Nasib manuskrip kedua masih tidak ketahuan. Terkadang, tertanya-tanya juga sendiri. Entahkan ada entahkan tidak rezekiku lagi di dalam bidang penulisan ini. Adakalanya ada juga rasa mahu mengalah. Namun minat yang mendalam dalam bidang ini memaksa aku untuk terus bertahan. Ada juga aku terbaca tentang penulis yang marah-marah kepada editor bila novel mereka masih tidak lagi diterbitkan. Aku maklum, sebagai penulis hasrat untuk melihat sebuah novel itu diterbitkan adalah sangat besar. Tapi menyalahkan pihak penerbit dan editor adalah tidak patut sama sekali. Dengan bilangan penulis dan manuskrip yang bukan sedikit, pastinya tugas editor menjadi lebih rumit. Membuat pilihan untuk memilih manuskrip yang terbaik juga bukan satu urusan yang mudah. Marah-marah kepada pihak editor takkan mampu membuatkan novel kita dapat diterbitkan. Berbudi bahasa itu pastinya lebih molek. Aku selalu memujuk hati dengan memikirkan yang segalanya adalah soal rezeki. Bukan salah editor jika manuskripku masih tidak dapat atau tidak langsung boleh diterbitkan. Mungkin saat ini ALLAH masih belum izinkan

Jika ada rezekiku, maka akan adalah novel keduaku. Jika tidak, aku masih perlu berdoa dan setia mengharap. Menyalahkan orang lain mahupun keadaan rasanya bukan idea yang bijak. Jika ALLAH izinkan, pastinya aku akan terus berada dalam bidang penulisan novel ini. Jika tidak, mungkin hanya novel Takdir Fitrah Terindah saja novelku. Setakat ini aku perlu terus positif. Cuba siapkan manuskrip ketiga dengan baik dan jayanya. Doakan saja agar manuskrip kedua ada rezekinya. Dalam bulan october yang lepas ada editor dari penerbit yang bukan dari penerbit novel pertamaku menghubungiku bertanyakan tentang manuskrip Benar-benar Cinta selepas membacanya di Portal Ilham Karangkraf. Aku memberitahu pada beliau yang aku sudah menghantarkan manuskripku ke pihak penerbit novel pertamaku. Terus setia ya! ujar beliau. InsyaALLAH, balasku. Buat masa ini,  tiada masalah untuk aku terus setia. Tiada masalah untuk aku sabar menunggu. Tiada masalah juga untuk aku terus berharap. Yang penting aku harus terus positif agar mood menulisku tidak terus jatuh merudum. Agar rasa ingin mengalah tidak datang dekat kepadaku. InsyaALLAH semuanya akan baik-baik saja  jika aku sentiasa akur yang soal rezeki itu ketentuan dari ALLAH. 

Buat teman-teman pembaca yang selalu mengambil berat bertanyakan tentang kemunculan novel keduaku, jawapan yang boleh aku berikan ialah setakat ini ALLAH masih belum izinkan. Doa-doakan sama ya agar ada rezeki untuk kemunculan novel keduaku! Terima kasih teman-teman. 

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day. Happy weekend to all!

Tuesday, February 25, 2014

Kopi panas..

Assalamualaikum..

Panas betul sekarang ni kan.  Kalau berada di luar bangunan lebih terasa bahangnya. Kalau keluar waktu lunch tu terasa nak cepat-cepat masuk semula ke pejabat. Kalau keluar waktu hujung minggu terasa nak cepat-cepat balik rumah. Semoga hujan akan segera turun hendaknya. Semoga cuaca panas sebegini tidak terus berpanjangan. Amin.. mudah-mudahan.

Cuaca panas sebegini mengingatkan aku tentang satu kisah pada waktu zaman aku remaja. Waktu dulu aku selalu membantu makcikku di kedai makannya. Bukan membantu sangat pun. Lebih kepada membantu menghabiskan makanan saja he..he.. Ada satu hari tu cuacanya sangat panas. Aku sendiri sudah minum bergelas-gelas air. Bila di dalam kedai terasa berbahang, aku keluar untuk mengambil angin di hentian bas di hadapan kedai. Dari kejauhan aku melihat seorang pakcik berbangsa india sedang mengayuh basikal. Melihat dia mengayuh basikal dalam cuaca yang sangat panas membuatkan aku berasa kasihan padanya. Mungkin kepenatan dan kepanasan, pakcik itu turut singgah berteduh di hentian bas. Dia juga bercakap tentang keadaan cuaca sambil mengadu yang dia dahaga sebelum masuk ke dalam kedai makan makcikku. Aku sangkakan bila dahaga tentulah minuman yang akan dipesan adalah minuman sejuk yang berais. Tapi bukan itu minuman yang dipesan. Minuman yang dipesan ialah kopi panas. 

Aku macam.. hah.. pesan minuman panas dalam cuaca dan keadaan yang macam tu. Boleh hilang ke dahaganya? Kopi panas di waktu kepenatan mengayuh basikal di dalam cuaca yang panas tentulah tidak akan sekali-kali menjadi pilihanku. Tapi pakcik itu menikmati kopi panasnya dengan penuh nikmat untuk menghilangkan dahaganya. Pada waktu itu yang ada difikirankan hanyalah pelik. Pelik kerana ianya tidak selari dengan kehendakku. Pelik kerana pilihan pakcik itu tidak menepati seleraku. Itu kisah dulu. Tapi sekarang ini aku sudah boleh memikirkan perkara lain dari kisah itu selain dari pelik. Aku mula maklum, apa yang orang suka tak semestinya sama dengan apa yang kita suka. Hal yang kita rasakan baik untuk kita tak semestinya baik untuk orang lain.  Perkara yang tak baik untuk kita tak semestinya tak baik untuk orang lain juga. Tiada salahnya dengan perbezaan. Hormati perbezaan yang ada tanpa perlu mencemuh dan terlalu mengkritik. Adakalanya kritikan yang kita rasakan biasa-biasa saja mungkin boleh jadi pedas untuk penerimaan orang lain. Asalkan sesuatu perkara itu tak bercanggah dengan hukum agama tak perlulah dipersoalkan cara orang lain. Mungkin persoalan kita hanya boleh membuatkan orang lain berasa tidak senang. Takmo.. takmo.. tak baik macam gitu kan.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasi sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Friday, February 21, 2014

Nak buat mee goreng sedap..

Assalamualaikum..

Salam jumaat yang mulia untuk semua. Pagi ni nak cerita pasal masakan. Cehhhhh.. macam pandai sangat masak ajekan. Tapi tak peduli. Nak kongsi jugak ha..ha.. 

Ada sekali tu adik aku datang ke rumah. Tak masuk rumah pun sebab kita orang nak cepat-cepat keluar. Sepanjang masa kat keluar tu adik aku asyik beritahu yang dia lapar. Sebab ada hal jadinya tak sempat juga nak singgah makan. Adik aku tanyalah aku masak lauk apa sebab dia nak makan kat rumah aje. Aku jawab aku tak masak lauk apa. Cuma goreng mee aje. Bila aku cakap aku goreng mee aje dia macam tak rasa nak makan pun. Terus cakap yang kalau dia masak mee goreng mesti tak sedap. Keadaannya macam nak cakap mee yang aku goreng tu pun tak sedaplah juga. Masa dia hantar aku balik rumah dia dok cakap lagi yang dia lapar. Dah takde apa, aku offerlah nak bekalkan dia mee goreng  tu saja. Memang dah takde pilihan dia pun cakap ok. Sebab dah lapar, bila aku suakan tupperware yang dah siap-siap aku letak sudu dan garfu dia pun terus menyuap mee tu. Habis aje sesuap adik aku pandang aku dan cakap.. Ini memang anak faza (anak mak aku) sebab masak sedap. Ehemmmm ha..ha..  

Time raya hari tu, elok aje kita orang sampai dari kampung, kakak sepupu aku call kata nak bawa pakcik aku datang rumah beraya. Segan pulak kalau nak hidang kuih raya aje. So cepat-cepat minta tolong  en.asben pergi kedai. Kalau nak suruh en.asben pergi kedai memang tak boleh nak pesan lebih-lebih. Maksudnya kena pesan benda yang dia tahu aje. Yang dia tak tahu dia taknak sebab dia tahu kalau salah beli nanti aku juga yang bising he..he.. So nak senang aku pesan suruh beli mee, fish ball, fish cake, tauhu dan sayur. Settle. Sempatlah goreng mee sebelum kakak sepupu dan pakcik aku sampai. Bila makan aje, kakak sepupu dengan pakcik puji mee goreng aku. Bertambah-tambah dia orang makan. Alahai.. mee goreng kosong aje pun. Tapi beria kakak sepupu aku memuji siap cakap dengan suami dia yang kalau dia masak mee goreng mesti tak sedap. Masa dia orang tengah makan tu anak dia yang kecil tidur. Bila dah bangun kakak sepupu aku offer mee goreng tu. Anak dia makan pun siap bertambah. Teruslah kakak sepupu aku dok puji lagi.

Hmmm.. baru dua testimoni pun dah kecoh nak share dengan orang. Sangatlah poyo kan. Well.. ada blog kenalah share ha..ha.. (Reader jangan makan hati ya he..he..).  Sebenarnya aku masak mee goreng tiru cara makcik aku yang terror masak mee goreng. Mee goreng dia memang sedap terangkat. Setiap kali kalau kita orang datang rumah dia mesti nak request mee goreng. Kalau nak datang raya pun mesti tak demand makanan lain. Minta mee goreng aje. So, bila makcik aku goreng mee aku pun tengoklah apa yang dia letak sampaikan sedap sangat mee goreng dia. Takde letak apa-apa bahan rahsia pun. Tapi yang perlu ada ialah cili sos, tomato sos, kicap dan sedikit cuka. Cili blend, bawang putih, bawang merah dan udang kering atau ikan bilis sebagai perencah tu memang kena adalah kan. So bagi yang selalu kata kalau goreng mee jadi tak sedap tu bolehlah cuba. Kalau kena sukatan cili sos, tomato sos, kicap dan cuka tu memang akan terangkat mee goreng tu, insyaAllah. Tak letak ayam, daging, udang semua tu pun dah mabeles. So, selamat mencuba!

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, February 20, 2014

Patutlah..

Assalamualaikum..

Sejak beberapa hari ni, dalam kepala penuh dengan berbagai perkara. Itu, ini, begitu, begini. Semuanya mahu difikirkan. Emosi pun sekejap stabil, sekejap nanti kiok he..he.. Mood pula hurmmm.. Okeynya sekejap, kelautnya memanjang ha..ha.. Benda kecil pun ada rasa nak marah. Hal tak penting pun nak ambil kisah. Tercuit sikit, tersentapnya lebih. 

Sebagai wanita, setiap bulan perkara yang sama selalu akan dilalui. Bila tengok kalender, barulah tersedar sendiri. Oh... patutlah... (yang faham tu fahamlah ya.. yang tidak tu, abaikan saja. Tak penting pun).

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan selalu ada  untuk kita semua. Take care and have a nice day. 

Thursday, February 13, 2014

Jatuh cinta lagi...

Assalamualaikum..

Setiap hari, macam-macam perkara yang kita lalui. Ada manis ada pahit. Ada lucu ada kelat. Ada senang ada susah. Emosi stabil boleh berubah menjadi meroyan. Kemudian kembali ceria. Hilang ceria muncul sedih pula. Itulah hari-hari dalam kehidupan kita yang penuh dengan warna warni. Yang penuh dengan seribu satu cerita di dalamnya. Hidup yang sangat perlu kita syukuri juga perlu diisi dengan iman dan amal.  

Jatuh cinta lagi. Hmm.. hari ni nak bercakap tentang cinta pula. Tapi bukanlah cinta kepada seseorang. Tapi cinta kepada kerja dan tugasan. Boleh?? ha..ha.. Tak tahu kenapa, sejak petang semalam aku jatuh cinta lagi dengan tugasan dan jawatanku sekarang. Syukur.. dalam peringkat umurku ini aku memegang jawatan yang pernah menjadi impian. Memanglah bukan jawatan besar. Tapi bila ianya menjadi cita-cita, besar atau kecil jawatan yang disandang ianya tetap menjadi perkara yang mengembirakan. 

Awak takpelah. Kerja tak stress. Ada masa nak buat itu ini. Tak terikat dengan mesyuarat yang melarat-larat. Biasa sangat aku mendengar ayat sebegitu tapi dalam susunan kata yang aku atur mengikut bahasaku sendiri. Selalunya aku akan menerima kata-kata itu dengan senyuman. Kerjaku masih ada stressnya tapi tidaklah terlalu membebankan. Berurusan dengan bermacam-macam orang  pastilah ada tekanannya. Tapi bila hati dah suka, apa pun tekanan masih perlu dihadapi juga. Kerjaku masih banyak tapi masih ada santainya. Aku memang jarang terikat dengan mesyuarat, tapi hal-hal mesyuarat masih perlu aku ambil tahu juga.

Kebanyakan dari kita memang memilih apa yang kita mahu jadi. Sambung belajar, ambil periksa, mohon naik pangkat dan memperolehi jawatan yang diidamkan. Bila sudah begitu, tak perlu nak  membandingkan dengan jawatan dan tugasan orang lain. Tugasan dan jawatan kecilku bersesuaianlah dengan gajiku kecilku. Ianya seperti mana mahuku. Sesetengah orang tak mahu berjawatan kecil. Apatah lagi bergaji kecil. Pada peringkat ini, aku dah tak kisah dah. Asalkan aku ada kerja yang tidak membebankan dan aku masih ada pendapatan bulanan. 

Paling best aku tak perlu fikir tentang kerja selepas habis waktu kerja. Tiada juga kerja melebihi waktu kerja yang diperlukan. Ianya memberikan aku cukup waktu untuk menguruskan rumah dan keluarga walaupun aku bekerja. Sesekali terpaksa berkerja di luar tidak menjadi hal yang memberatkan.  Yang penting aku dapat memberikan perkhidmatan terbaikku kerana aku selalu jatuh cinta dengan jawatanku sekarang. Syukur ya ALLAH.. Alhamdulillah. 

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Friday, February 7, 2014

Niat yang baik ALLAH permudahkan.. insyaAllah..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. syukur.. Tiada yang lebih baik yang dapat aku ucapkan dari melahirkan rasa syukur kepada ALLAH. Awal tahun ini aku ada memikirkan perancangan untuk melakukan satu perkara yang sepatutnya sudah aku lakukan sejak lama dulu. Memang niatku mahu meningkatkan apa yang kurang dalam diri dan amalan. Ianya membuatkan aku merancang itu dan ini bagi melaksanakan apa yang sudah aku niatkan. Alhamdulillah.. sehari dua ini dengan izin Allah, aku dapat melaksanakan apa yang sudah aku niatkan. Syukur.. Terima kasih Allah kerana memberi laluan untuk mempermudahkan jalan untukku. Semoga aku akan setiasa istiqamah hendaknya.

Perkara yang berlaku membuatkan aku teringatkan beberapa kisah yang berlaku dalam hidupku beberapa tahun sebelum ini yang ada kaitannya dengan niat. Dalam tahun 2011, aku memang ada berniat untuk menunaikan ibadah umrah. Sebelum ini aku memang ada terfikir untuk menunaikan umrah. Namun niat itu tidak terpasang sepenuhnya. Ianya sekadar angan-angan yang tidak terlalu aku beratkan. Namun pada tahun 2011, niat itu aku pasangkan dengan sepenuh hati. Aku memberitahu pada en.asben, kalau ada rezeki, tahun depan kita tunaikan umrah ya. 

Ditakdirkan, pada awal tahun 2012 ibu mertuaku memberitahu, nanti pilih-pilihlah tarikh yang sesuai untuk kita pergi buat umrah. Pada waktu itu terasa bagaikan bermimpi bila mendengar tawaran dari mertuaku. Subhanallah.. aku memang benar-benar berniat mahu menunaikan umrah pada tahun itu dan Allah mempermudahkan segalanya untukku. Alhamdulillah.. dari niat yang terpasang, ada rezeki juga untuk aku menunaikan umrah seperti mana yang aku hajatkan. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar.. dapat juga aku menjadi tetamu ALLAH seperti mana yang telah aku niatkan. 

Dalam usia emak yang sudah 63 tahun, tentu saja emak mahu menunaikan haji dalam waktu yang terdekat. Mengikut tahun pendaftaran haji, tarikh emak untuk menunaikan fardhu haji ialah pada tahun 2015. Disebabkan itu, aku memang ada memasang niat untuk menyediakan belanja untuk emak bagi urusan itu. Pada tahun lepas, ada sedikit rezeki yang dapat dikongsikan bersama keluarga. Dari rezeki itu dapatlah aku penuhkan tabungan emak untuk menunaikan haji bersama sedikit duit perbelanjaannya ke tanah suci seperti mana yang telah aku niatkan. Terasa lapang dada bila niat itu sudah dapat aku penuhi.

Alhamdulillah.. hujung tahun lepas emak mendapat surat dari Tabung Haji memberitahu yang emak dapat tawaran untuk menunaikan haji pada tahun 2014. Alhamdulillah.. Terasa cukup bersyukur dengan rezeki yang diperolehi oleh emak. Dapat peluang untuk menunaikan haji setahun lebih awal dari tarikh yang sepatutnya tentu saja membuatkan emak jadi sangat seronok. Kegembiraan emak ketika menerima tawaran itu membuatkan aku jadi turut berbesar hati. Alhamdulillah.. Allah mempermudahkan segalanya untuk kami. Niatku untuk mencukupkan belanja untuk emak menunaikan haji telah Allah permudahkan. Semoga ada rezeki emak untuk menunaikan fardhu haji pada tahun ini hendaknya.

Perkara-perkara yang berlaku memberikan pengajaran yang besar buatku. Dari niat yang baik, Allah permudahkan segalanya. Dari niat yang baik, Allah membuka jalan rezekiNYA. Dari niat yang baik, Allah memberikan laluanNYA. Dari niat yang baik, Allah memberikan apa yang kita hajati dengan cara yang tidak kita sangka-sangka. SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.. ALLAHUAKBAR.. Terima kasih ALLAH. Semoga nikmat iman akan terus dapat dinikmati oleh kita semua. Semoga segala yang kita lakukan akan sentiasa mendapat keberkatan dariNYA.. INSYAALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, February 4, 2014

Sekolah baru..

Assalamualaikum..

Hari ni aku sibuk sikit menguruskan pertukaran sekolah Is. Semalam dapat call dari sekolah yang baru tu suruh datang memulakan sesi persekolahan pada 5 haribulan. So hari ni kenalah aku mengambil surat tawaran di sekolah tu dan uruskan urusan pertukaran di sekolah lama. Kalau ikutkan hati, aku dah sangat berpuas hati kalau Is terus belajar di sekolah sekarang. Segala-galanya sudah terurus dengan baik. Baik dari segi jadual harian, pengangkutan dan perkara-perkara yang berkaitan sekolah. Tapi Is memang bercita-cita benar mahu belajar di sekolah yang baru ini. Disebabkan itu aku dan en.asben tidak mahu menghampakan hajatnya. Harap-harap dia memperolehi segala yang baik-baik di sekolah baru itu nanti.

Sejak semalam berulang aku bertanya, takpe ke abang kalau di sekolah baru tu abang takde kawan? Jawapan dari dia ialah takpe. Segala soalan yang aku tanya memang jawapannya takpe dan dengan penuh yakin dia memberitahu yang dia benar-benar mahu belajar di sekolah itu. Dia juga ada memberitahu apa harapannya kepada kami. Ya Allah.. semoga cita-cita anakku akan dikabulkan hendaknya. Terasa sayang juga untuk meninggalkan sekolah sekarang ini. Tapi aku lakukan juga demi kebaikan anak. Semoga keputusan yang dibuat adalah yang terbaik untuknya. Tadi sewaktu aku membuat urusan pertukaran, beberapa orang ibu bapa dan pelajar baru yang membuat rayuan masuk ke sekolah lama itu datang melaporkan diri. Orang lain sibuk dengan urusan kemasukan, aku dan Is pula sibuk dengan urusan pertukaran selepas baru sebulan belajar di sekolah itu.

Layanan dari guru kelasnya sangat baik. Penuh sopan dan sangat menyenangkan. Terima kasih Cikgu Salmi atas layanan baik yang diberikan. Semoga sekolah sekarang ini akan terus cemerlang hendaknya. Esok, insyaAllah Is akan memulakan sesi persekolahan di sekolah yang baru. Sekolah yang sejak dari tahun 5 lagi menjadi sekolah impiannya. Semoga anakku Is akan cemerlang di sekolah yang baru ini. Semoga ilmu yang diperolehi dapat menjadi bekalan untuknya meneraju kehidupan yang terbaik di dunia juga di akhirat, insyaAllah. Untuk Is, all the best sayang. Doa mama dan ayah akan sentiasa mengiringi setiap perjalanan abang. Cita-cita besar abang saja dah buatkan kami bangga. Ada rezeki, apa yang cita-citakan akan menjadi kenyataan. Namun sebelum itu, usaha mesti gigih dan doa perlu bersungguh.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...