Monday, November 10, 2014

Jawapan kepada soalan tentang Legoland Malaysia yang aku sendiri nak tahu sebelum pergi..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Kami sekeluarga dan selamat sampai ke Legoland sabtu lepas. Anak-anak memang seronok. Aku dan en.asben pun seronok juga. Sebelum pergi, memang aku ada banyak persoalan dalam kepala tentang Legoland. Bila dah pergi ni semua soalan tu dah terjawab. Alang-alang dah ada jawapan, terasa nak berkongsi juga di sini. Manalah tahu orang lain pun ada soalan yang sama sepertiku. 

Berapa jam dari Bangi ke Legoland?
Perjalanan kami dari Bangi sehingga betul-betul sampai di parking Hotel Legoland memang tepat-tepat 4 jam. Itu dah termasuk dua tiga kali berhenti singgah di tandas. Macam kami, tak singgah berhenti sarapan sebab aku dah bawak bekal karipap dan nugget untuk makan dalam kereta. So, masa memang dapat dijimatkan di situ. Kami keluar rumah pukul 6 pagi selepas solat subuh. Sampai sana pukul 10 pagi. Ngam-ngam Legoland buka. Untuk penginap di Hotel Legoland dapat masuk awal setengah jam dari pengunjung lain iaitu 9.30 pagi. So, kami terlepas keistimewaan itu.

Harga?
Kalau booking tiket melalui online di laman web Legoland dapat harga yang lebih murah. Tapi kena booking 7 hari lebih awal. Aku memang malas nak beratur beli tiket di kaunter. Jadinya membeli tiket di online memang menjadi pilihanku. Harga online 7 hari lebih awal ialah RM140 untuk dewasa dan RM112 untuk kanak-kanak bagi  kedua-dua theme park dan water park dalam masa satu hari. Pada aku harga tu berbaloi sangat dengan apa yang kami dapat. 

Waktu operasi Legoland?
Waktu operasi bagi Waterpark ialah dari jam 10 pagi hingga 6 petang. Bagi Theme Park pula 10 pagi hingga 7 petang. Jadi  kenalah pandai-pandai planning dan budget masa. Sekarang kan musim hujan. Asal petang aje hujan. Jadi aku pilih untuk ke Waterpark terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi bila Theme Park tutup lebih lewat dari Waterpark. Lepas dah puas mandi dan makan tengah hari bolehlah ke Theme Park pulak. Semua permainan memang dia akan tutup tepat-tepat pukul 7 petang. Kalau beratur pukul 6.55 petang pun dia orang akan bagi peluang kita main juga. Bagus kan. Lepas tu dah pukul 7 baru kami sampai ke Miniland. Tempat miniature lego yang sangat cantik. Kagum aku. Walaupun dah pukul 7 dia orang tak terus suruh kita keluar. Dapatlah kami ronda-ronda sekitar tu sampai 7.30 malam. So tipsnya di sini, Miniland tu korang pergi last sekali. Sebab Miniland tu pun dekat depan pintu masuk aje. 

Sempat ke untuk ke dua-dua taman dalam masa satu hari?
Jawapan aku, kalau betul-betul atur masa memang sempat. Tapi aku memang asyik kena jeling aje dengan en-asben sebab aku rushing sikit bagi memastikan anak-anak aku dapat main semua he..he.. Nak makan aje dah ambil masa sebab orang ramai. Kat situ dah buang masa 1 jam setengah. Kami keluar dari waterpark pukul 2 petang. Lepas makan, pukul 3.30 baru masuk ke theme park pulak. Jadi kalau jalan lenggang kangkung memang tak dapat nak cover semua. Alhamdulillah.. kami pergi hujung minggu dan bukan waktu cuti sekolah. Jadinya, orang tak ramai sangat. Masa menunggu pun cuma 5 minit saja untuk setiap permainan. Ada juga yang langsung tak payah tunggu. Beratur aje terus dapat main. Jadi sangat berbaloi dan dapat main dua tiga kali tanpa masalah nak menunggu. Jadi kalau nak ke Legoland, pergi aje waktu hujung minggu yang biasa. Tak payah tunggu cuti sekolah.

Legoland sesuai untuk anak umur berapa?
Sebelum pergi, anak-anak aku memang demand sikit. Konon macam Legoland tu tak sesuai untuk dia orang. Tapi aku fikirkan anak-anak arwah adik aku yang  kecil tu. So, kita pergilah juga. Tak payah nak demand sangat. Tak payah nak compare dengan USS atau Disneyland. Sekali bila dah masuk, semua orang rasa sangat berpuas hati. Maksud aku untuk anak berumur 4 tahun hingga 17 tahun masih sangat sesuai. Kalau tak silap aku, permainan jenis roller coaster ada 5. Permainan yang lain tu masih sesuai juga untuk dinaiki. Kalau yang tak berapa sukakan cabaran memang boleh main tapi kecut perut juga he..he.. itu akulah. Kiranya kalau pergi theme park yang gah tapi setakat dapat tengok aje orang main roller coaster tak payah nak eksyen sangatlah. Pergi ajelah Legoland. Korang mainlah puas-puas kat situ. Orang macam aku mampu main satu ride aje. Yang lain aku tak berani. Anak-anak aku dengan en-asben memang main semua. Nak kata scarry sangat tu tidaklah. Tapi challengginglah juga. Bukanlah nothing! Anak buah aku yang 6 tahun boleh naik. Tapi habis doa makan pun dia baca sebab kecut perut. Tapi bila orang lain naik yang lain dia naik juga. Tapi anak-anak yang kecil kena ada penjaga yang ikut bersama ya. Ukuran minima, 110 cm untuk roller coaster. 

Waterpark best tak?
Pada aku best. Cumanya kawasan nak berteduh tak banyak. Alhamdulillah.. kami pergi waktu orang tak berapa ramai. Ada banyak kerusi disediakan di kawasan depan wavepool. Kat situ berbumbung. Tapi tak sepenuhnya. Kalau nak sewa cabana pun ada disediakan. Boleh duduk satu family dalam tu dengan lebih selesa. Harganya RM280 kut untuk sehari. Kalau RM50 aku sewalah ha..ha.. Permainannya boleh tahan banyak. Anak-anak aku sukalah. Paling best lazy rivernya. Kalau kat tempat lain macam slow sangat lazy rivernya. Kat legoland laju sikit. Lepas tu dalam pool tu penuh dengan lego lembut berwarna warni. Jadi nampak meriah. Pelampung badan disediakan. Pelampung bulat pun disediakan. Tak payah nak menyewa macam kat tempat lain. Kalau tak bawa pelampung pun takpe. Tempatnya taklah luas sangat. Kiranya dalam 4 jam tu memang dah puas sangat dah mandi dan main kat situ insyaALLAH.

Makan?
Ada restoran disediakan kat dalam tu. Tapi harganya.. pada aku yang bawak anak ramai-ramai memang mahallah. Nasi lemak RM25 satu set dengan air kalau tak silap. Burger pun dalam RM18 macam tu. Kat luar dari waterpark dan themepark tu ada Medini Mall. Ada banyak restoran juga kat situ. Ada KFC, Burger King, Manhattan Fish Market, The Chicken Rice Shop. Tapi orang memang penuhlah. Nak ambil order pun lama sangat. Kalau lapar memang rasa nak makan orang aje he..he.. 

Boleh bawa masuk makanan, jajan?
Masa kita orang hari tu nak masuk takde pun check beg semua. Jadi semua makanan yang dibawa boleh dibawa masuk. Tak payah nak sorok-sorok. 

Best ke Legoland Hotel?
Pada aku sangat best. Harganya memang mahal sikit tapi berbaloi-baloi. Sebab bagi aku pengalaman itu ada harganya. Kalau memang nak pergi ke Legoland saja, menginap di Legoland Hotel memang satu pilihan yang baik. Parking dah tentu boleh parking kat hotel. So, parking dah dekat dan percuma lagi. Waktu nak booking cuba tengok promosi yang ada. Macam aku hari tu, ambil promosi yang kids go free. Maksudnya bila kita booking bilik, semua kanak-kanak dapat masuk ke Theme Park dan Water Park secara percuma (Minima 3 orang). Macam kami yang ramai ni memang berbaloi-baloilah ambil pakej tu. Kalau nak sewa hotel lain pun, nak sewa 2 bilik dah berapa? Tiket kena beli lain juga. So, cuma tambah dalam tiga, empat ratus, dapat dah pengalaman menginap di Legoland Hotel. Masa aku booking tu, harga bilik dalam 9 ratus lebih. Lepas tax dalam RM1100++ semalam termasuk breakfast. (Yang bestnya, macam kami turun 7 orang pergi sarapan kat Brick Restoran, semua orang boleh makan. Takde extra charge pun). Dalam bilik ada satu katil king saiz dan 1 bunk bed yang ada 3 tilam. Ruangan untuk parent dan kids ada pintu tarik. TV pun siap ada dua. So, parent boleh berehat dengan selesa dan anak-anak boleh bermain dengan gembira sebab masing-masing ada ruangan tersendiri.  Kat tingkat 5 ada swimming pool. Jadi pagi tu sebelum balik anak-anak boleh main air kat situ dulu. Waktu check in di Legoland Hotel ialah pada pukul 4 petang. Check Out pukul 11 pagi. Macam hari tu, pukul 3 lebih hotel dah call beritahu bilik kami dah ready. Kat lobi ada macam-macam aktiviti yang menarik untuk anak-anak. Pada aku, kami sekeluarga dapat pengalaman yang bernilai untuk harga yang dibayar. 

Staf Legoland..
Yang ni aku nak bagi pujian yang lebih sikit. Tahniah Staf LEGOLAND!!! Dari staf di hotel, waterpark dan theme park.. semuanya sangat EXCELLENT. Dari staf di pintu masuk sehinggalah kepada staf di semua ride even yang kita jumpa untuk bertanya, semuanya sangat peramah dan bersopan. Serius terbaik. Dari segi sambutan, layanan, servis, bantuan, senyuman semuanya memang terbaik. Rasa kagum sebab semuanya rakyat Malaysia. Siapa kata orang Malaysia tak boleh cemerlang dari segi itu? Okeylah kalau kata mereka berkerja di tempat macam tu jadi kena bagi servis yang terbaik macam tu. But.. still.. kalau jenis yang tak peduli tu, dia orang peduli apa kan. Tapi yang pastinya,  dia orang ni memang terbaik. Boleh pun! Cayalah Legoland!

Surau?
Disediakan di kedua-dua theme park dan water park. Telekung dan sejadah juga disediakan. Suraunya juga sangat bersih dan selesa. 

Nak datang lagi?
NAKKKKKKKKKKK he..he.. InsyaALLAH.. kalau ada rezeki aku tak kisah nak pergi lagi sebab anak-anak aku yang 7 orang tu memang seronok sangat. Sebelum ni aku selalu dengar orang kata Legoland ni tak best. Aku sendiri ikut terkesan. Jadi sebelum pergi aku tak letakkan harapan yang tinggi. Sekali bila dah pergi rasa Eh.. Bestlah jugak he..he.. So, sebelum nak bagi ulasan best ke tidak kena pergilah dulu. Barulah adil.. kan? En. Asben dan aku bergilir memandu seorang dua jam untuk pergi dan balik membuatkan takde siapa pun nak mengeluh penat walaupun jaraknya jauh juga dari rumah kami.

Semua yang aku catatkan adalah dari pandangan aku sendiri ya. Kalau tanya aku, aku memang berpuas hati. Kalau ada orang lain yang mengalami pengalaman berbeza, aku minta maaf ya. Sebab pengalaman dan penerimaan setiap orang pastinya berbeza dan tak sama.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

18 comments:

Hudalatip said...

Alamak akak dah letak kat sini buat kita rasa meluap2 nak pegi la pulak...Tak sabar pulak rasanya...Kita dok johor pun tak pernah pegi tau..

Kakzakie Purvit said...

Bagus Hanis pergi ketika anak-anak Johorean sedang bersekolah jadi tak sesaklah. Kena cuti sekolah memang ya ampun sesaknya tak terkata...

Satu compliment baik yg kakak suka. Tapi ada juga yg komen pasal signboard tak cukup banyak Hanis. Buat kakak yg duduk sini memang tak ada masalah..

Irfa said...

mmg ada bad thinking pasal legoland sblum ni, tp baca pengalaman akak, rasa macam nak pegi, hihi

faraherda.razalan said...

Wow! Dpt kredit dr akak. Inshaa-allah. Akan bwk anak2 pegi nanti kak. Aydin tu byk kali request nak pegi.

Dr K said...

TQ kak sebab berkongsi tips yg sangat penting ni..saya dah save kan....sebab saya ni selalu balik Johor, dan rumah parents saya 20km aja dari Legoland ni..tapi saya tak pernah sampai pun lagi!! hahahaha..

Cuma saya nak tanya ( maaf kot saya terlepas baca), masih panas ke kat situ? Ramai yg komplen panas kat situ, sebab pokok2 belum besar lagi

Izwa Kamaruddin said...

baca sambil nangis nangis..hehehe...nak tggu anak besar skitttt je lagi kak!

Fauziah said...

Happy dengar yang awak sekeluarga enjoy sangat kat Legoland dan Legoland Hotel. Kami sekeluarga pun begitu juga, 3 keluarga semasa cuti Hari Raya sebab ada ahli keluarga yang tinggal Bahrain dan Melbourne, so saja nak enjoy bersama sebelum pulang negeri masing-masing. Saya setuju tentang permainan Roller Coaster. Saya pernah naik Battlestar Galactica kat USS kerana dicabar budak-budak, rasanya macam nak terputus nyawa, tapi di Legoland relaks dan menyeronokkan.

baby twinkle said...

akak, need advice. berbaloi tak kalau bawak anak umur bawah 3 tahun? hope can hear from u soon. tq

Hanis Azla said...

As-salam baby twinkle..

pada akak masih berbaloi untuk bawak anak umur bawah 3 tahun.. tapi klu nak lagi fun tunggulah anak-anak besar sikit sebab lagi banyak permainan yang anak-anak boleh main..

harap pandangan akak ini membantu :)

MPenguin said...

Salam akak kalau sewa loker berapa rm?

MPenguin said...

Salam akak kalau sewa loker berapa rm?

Hanis Azla said...

As-salam Firzanah Razip..

Minta maaf ya.. akak tak gunakan locker waktu ke legoland dulu jadi tak tahu berapa sewa locker.. waktu pergi dulu kami bawak waterproof bag.. jadi semua barangan berharga kami simpan dalam bag tu..

Unknown said...

So kalau tak bawak telekung pergi legoland pon takpelah kan ?

Hanis Azla said...

As-salam Wan Syaz..

InsyaALLAH.. Di surau Legoland memang ada disediakan telekung utk kemudahan..

KakSal said...

Budak 2 tahun bole masuk tk

Hanis Azla said...

As-salam Siti Salasiah Tumiran,

Budak 2 tahun boleh masuk juga..

Anonymous said...

assalammualaikum....
nak bertanya yer
if decide nk stay 1 night kt legoland hotel,yg terbaik adalah check in dulu pd hr pertama then hari kedua=hari checkout br masuk water park/theme park?
sbb travel dh jauh kan
ataupon just terus masuk water park then terus check in pd hr yg sama?

Hanis Azla said...

As-salam..

pada saya soal itu bergantung pada waktu anda dan keluarga sampai ke legoland.. kalau sampai awal pagi di Legoland, jadi lebih sesuai untuk terus ke water/theme park dahulu.. kerana check in hotel jam 4 petang.. jadi selepas beriang ria di water/theme park boleh berehat penuh selesa di hotel legoland.. pagi esoknya boleh bawak anak-anak bermain-main di lobi hotel atau mandi di pool hotel saja..

kalau sampai petang, check in terus di hotel adalah lebih baik sebab tak cukup masa untuk berada di water/theme park dalam waktu yang singkat..

harap2 perkongsian saya dapat membantu, in shaa ALLAH..



Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...