Thursday, December 31, 2015

Johnny Rocket, Tony Roma's, Fizomawar, Tuk Tuk Tea & Coffee and Zawara Cafe..

Assalamualaikum.. 

Aku memang jenis orang yang 'pemakan'. Kalau makan tu asyiklah berselera aje. Jadi bab makanan tu memang selalu membuatkan aku excited. Walaupun bukan hidup untuk makan tapi kalau nampak makanan atau bercakap tentang makanan, aku memang 'hidup' ha..ha.. Bila dah namanya kaki makan, jadi salah satu pantangnya ialah tak boleh tengok makanan dan tak boleh bila orang bercerita pasal makanan. Terus ada rasa nak juga merasa. Kadang tu sendiri cari pasal juga dok cari tempat makanan terbaru yang sedap untuk dicuba. Orang-orang yang rapat dengan aku memang tahulah aku ni macam mana kalau pasal makan. Dok kutuk aku perempuan kuat makan pun aku takde hal.

Macam ada sekali tu kami ke IOI Mall. Dah beratur dah nak makan kat The Chicken Rice Shop. Sekali toleh belakang nampak Tony Roma's. Terus en.asben ajak kami makan kat TR. Sebabnya.. en.asben cakap aku dah selalu sangat dok menyebut nak makan ribs kat TR. Dah alang-alang TR cuma selangkah di belakang jadi mohlah kita ke sana aje. Aku pun apa lagi. Tersenyum-senyumlah bila dapat makan ribs TR yang di hajati. TQ En. asben. Memang sayang lebih ni he..he.. Beberapa bulan lepas teringin nak makan kat Johnny Rockets.  Tapi setiap kali nak keluar makan dengan family, semuanya sibuk nak cari nasi. Jadi terpendamlah hasrat mamanya nak makan burger kat Johnny Rockets sambil tengok stafnya berjoget-joget.

Bila hajat nak pergi makan dengan family tak kesampaian, maka kenalah pergi dengan kawan-kawan. Beberapa minggu lepas aku ada inform kat adik-adik kat ofis. Korang kalau nak makan Johnny Rockets jangan lupa ajak akak. Ha..ha.. Siap pesan tu! Alhamdulillah.. adik-adik kat ofis ni semua best. Minggu lepas dia orang ajak aku ke Johnny Rockets. Dapatlah aku makan burger kat situ. TQ adik-adik ofis yang ohsem. Nanti kalau akak ada nak makan kat tempat lain akak ajak lagi ya. Tapi akak ni dapat mengajak ajelah. Bayar still sendiri-sendiri. Apa punya akak yang korang dapat, kan? Kesian korang he..he..

Beberapa minggu lepas waktu hantar anak ke kelas muzik nampak orang ramai-ramai kat area bawah kelas muzik tu. Sekali tengok rupanya Fizo Omar buka restoran kat situ. Fizomawar nama restorannya. Mulalah anak-anak pun sibuk ajak makan kat situ. Dah kata kaki makan, kan? Tentulah aku sendiri pun nak try makan kat restoran baru tu. Ada satu malam tu aku malas nak masak. Ajaklah en.asben keluar makan di luar. Waktu tu anak-anak semua ikut emak  bermalam kat rumah makcik kecuali Han. Maka malam tu kami bertiga pun sepakat nak makan kat Fizomawar aje. Senang sebab dekat depan rumah aje. Makanannya pada aku biasa-biasa aje. Tapi air dia memang sedaaaaapppp. 

Last week masa cuti Maulidur Rasul kami balik Taiping melawat tok. Balik hari aje. Waktu nak balik berehat kejap kat rumah pakcik aku  nampak ada stall air baru bukak. Kami pun apa lagi. Singgahlah kat stall tu dulu. Sedap air-airnya. Saiz cawannya besar gedabak tapi harga baru RM 4.50. Punyalah aku puas hati. Waktu minum air tu kita orang pun comparekanlah rasa dengan air kat Fizomawar. Memang setanding pun rasanya. Waktu aku, en.asben dan Han buat comparison tu, Is baru nak minum air tu. Bila dengar kita orang cerita pasal air kat Fizomawar aje, Is yang baru nak sedut minuman tu terus terhenti nak minum. 

Terus dia pandang kami sambil ulang-ulang sebut. Fizomawar???? Ha..ha.. punyalah nak buat pengesahan  yang dia tak tersalah dengar. Nak ingatkan kami juga yang memang kami tak bawak dia sama  waktu kami makan kat situ. Ha..ha.. anak-anak aku sama macam aku. Bab makan, 'hidup'. Kalau nak pergi makan kat luar, dia orang mesti kena ada sama. Kalau tertinggal, mulut tu asyiklah menyebut nak ajak repeat. Sebab itulah kalau nak pergi makan semua kena ada. Kalau tak kami sendiri akan rasa tak best sebab tak cukup korum. Kalau dah makan pun kena senyap-senyap aje sebab kalau yang  tak ikut tu tahu memang boleh jadi isu he..he..

Air kat stall di Taiping tu.. 
 Dahlah murah.. Saiz besar pulak tu.. sedap lagi.. Tentulah puas hati..

Macam ada sekali tu, aku pergi majlis ilmu dengan en.asben. Balik dari majlis tu en.asben ajak singgah minum. Tapi tak tahu nak minum kat mana. Sekali en.asben teringat yang isteri dia ni asyiklah menyebut-nyebut nak makan kat Zawara Cafe sebelum tu. Dah alang-alang lalu area tu,  en.asben pun ajaklah aku ke sana. Aku seronoklah. Tapi lepas order makanan asyiklah teringat kat anak-anak. Itulah yang kami selalu rasa bila keluar makan tak bawak anak-anak. Tapi bila makanan dah  depan mata,  tetaplah boleh makan dengan berselera juga he..he... Bagi aku sedaplah makanan kat Zawara Cafe tu. Lain kali boleh ajak anak-anak sama biar tak rasa bersalah sangat.

Singapore lamb shank, Softshells Crab Burger & Air banana apa ntah..
Bagi aku kesemuanya sedap.. 

Azam 2015 ada yang tercapai ada yang tidak. Antaranya manuskrip ketigaku dapat juga disiapkan. ALHAMDULILLAH. Antara azam 2015 yang tak tercapai pula dah tentu-tentulah bab nak turunkan berat badan. Apa yang menyedihkan, di penghujung tahun ni, boleh pulak berat aku naik 2 kg. (Lagi nak sedih padahal waktu makan tak ingat pun badan tu memang dah berat hu..hu..) Untuk rekod peribadi sebagai mengakhiri tahun 2015, berat aku akhirnya cecah juga 70 kg. Ohhh.. Itu maknanya, tahun 2016 untuk azam turunkan berat badan usaha aku kena lebih dari tahun ni. Harap-harap aku akan lebih bersungguh.. In sya ALLAH. Selamat tinggal tahun 2015. Terima kasih ALLAH untuk segala yang diizinkan berlaku untuk tahun 2015.

Selamat tahun baru 2016!!!!. Semoga tahun 2016 menjadi tahun yang lebih baik untuk kita. Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Monday, December 28, 2015

Jumpa..

Assalamualaikum..

Seorang sepupuku ada menetap di Kota Kinabalu. Tapi waktu kami nak ke KK dua minggu lepas aku takde pun beritahu padanya. Yang pertama sebab kalau boleh tak mahu menyusahkan orang lain. Yang keduanya sebab kami sekeluarga  memang  dah ada jadual dan program sendiri. Jadi tak berani nak berjanji untuk berjumpa. Takut nanti tak dapat pulak nak penuhi. 

Bila dah takdirNYA, kalau ALLAH dah tetapkan ada rezeki untuk berjumpa, tak berjanji pun dapat juga berjumpa. Syukur.. ALHAMDULILLAH. Waktu aku upload gambar kat facebook waktu kat airport, sepupuku komen tanya aku nak bercuti ke mana? Bila aku cakap kami nak ke KK terus dia PM cakap nak sangat jumpa. Sebabnya kami memang dah lama tak jumpa. Jadi memang rindulah nak jumpa.

Sampai KK asyiklah kami berPM. Tapi aku tak boleh juga nak janji bila dapat jumpa. Sebab hari pertama tu kami terus ke Kundasang. Hari kedua malam baru kami sampai ke KK. Jadi apa-apa hal kena tunggu aku sampai ke KK dulu sebelum dapat buat temu janji. ALHAMDULILLAH.. malam kedua tu dapat juga kami jumpa. Itupun dekat satu jam dia cari aku sebab kami janji nak jumpa kat tempat makan. Sekali aku tersilap bagi tempat makan yang betul. Bagi land mark pun salah sebab main agak-agak aje he..he..

ALHAMDULILLAH.. lepas buat temujanji baru barulah kami dapat jumpa. Berpeluk-pelukanlah kami tepi jalan siap menangis-nangis melepas rindu. He..he.. sempat pulak kami buat drama kat tengah-tengah orang ramai. Lepas dah jumpa ajak sepupuku ikut kami ke homestay. Borak-borak sampai dekat pukul 1 pagi juga baru dia dan keluarganya balik. Malam esoknya janji nak jumpa lagi. Tapi sebab kes kat kedai makan misteri, kami tak jadi nak jumpa. Sebab pada mulanya dah janji nak jumpa kat situ. Tapi bila jadi hal kami terpaksa ubah rancangan. Sementara nak plan jumpa kat tempat lain, baby dia pulak dah tidur.

Sepupuku Wawa dan anaknya Sofia..  
Hari kami nak berangkat balik, Wawa dan keluarga datang menghantar kami di Airport. TQSM Wa.. Sempatlah juga lunch sama-sama di Airport.

Takut aje Sofia  dengan kita orang sebab muka tak familiar..

Si comel Sofia.. Bulat mata dia..

Bila kita agah-agah dia senyum-senyum.. 
Tapi bila kita nak dukung dia menangis tak nak he..he.. 
Lagilah geram nak kacau si kecik ni.. 

Me, Gegirl, Wawa and Sofia..


Walaupun sepupu, hubungan kami sangat rapat macam adik beradik. Waktu dia konvo dan ambil tauliah Doktor di Universiti Padjajaran Bandung  pun aku dengan en.asben yang pergi wakilkan makcik aku. Semua orang pun macam pelik bila kami kata kami sepupu sebab selalunya orang temankan anak atau pun adik beradik pergi konvo. Mungkin bagi orang lain sepupu tu hubungannya tak serapat mana. Tapi kami ni memang sepupu yang sangat-sangat rapat.

Kami bersama dengan emak mertuaku.. 
Mak mertua aku pun rapat juga dengan sepupuku ni..

Alhamdulillah.. ada rezeki kami dapat berjumpa..

Cik wawa sekeluarga bersama anak-anak buahku..

Seronok anak-anak buahku dapat jumpa Cik Wawa dan Cik Alif dia orang..
Waktu arwah mummy ada, adikku itu memang lagi rapat dengan cik wawa.. Pantang free memang asyik keluar makan or pergi outing sama-sama.. 
Itu yang anak-anak buahku jadi rapat dengan cik wawa..


En. asben bersama Sofea.. 
Tengoklah muka tak puas hati anak bujang bongsu aku kat belakang tu..  
Entah apa yang dia dia rasa bila ayah dia dukung baby he..he.. 
Jeleslah agaknya tu.. 

Sebenarnya Sofia tak tahu siapa yang dukung dia waktu ni.. 
Itu yang dia rileks aje tu.. Kejap lepas tu bila dia tahu memang menangislah dia..
Nampak sweet pulak bila en.asben dukung baby.. Eh.. he..he..

Waktu beratur nak ke gate nampak Mawi beratur belakang kami. Seronoklah anak-anak. Tapi laju sangat dia jalan. Jadi sempat tegur-tegur dan senyum-senyum ajelah. Sekali dalam flight nampak lagi. Rupanya satu flight dengan kami. Lagi seronoklah anak-anak. Turun dari flight kat KLIA2 nampak Mawi kat area depan toilet waktu kami tunggu family yang lain. Kalutlah Az minta handphone dari aku.  Waktu tu Mawi dah berjalan ke depan dah. Aku pun bagi ajelah phone aku. Az dengan Hafiy pun jalan laju-laju ke depan. Takde kerja pulak aku nak ikut kejar artis he..he.. 

Aku biarkan ajelah dia orang. Pandai-pandai sendirilah kalau betul nak bergambar dengan Mawi. Sekali sekejap tu dah patah balik sambil tersenyum-senyum. Aku ingatkan dia orang segan nak ambil gambar dengan Mawi. Sekali dia orang tunjuk gambar dia orang ajak Mawi bergambar. Wah.. kagum aku. Bukanlah kagum sebab anak-anak dapat bergambar dengan artis. Tapi kagum bila anak-anak berani dan ada keyakinan diri bila bersama dengan orang lain.

Az, Hafiy dan Mawi.. 
 Selamba aje dia orang ajak Mawi berselfie.. Siap suruh Mawi yang snapkan Ha..ha.. Confident itu penting!!!

Suruh abangnya tolong tengok-tengokkan adik-adiknya, 
Eh.. dia pun join bergambar sekali he..he..  

Awal tahun hari tu, waktu bawak anak-anak gunting rambut dekat Ane depan rumah, Mawi pun gunting rambut kat situ. Waktu tu anak-anak semua excited. Tapi semuanya segan. Tunduk aje semua. He..he.. kelakar sangat. Bila Mawi tegur aje semua malu-malu. Jumpa kali ni anak-anak memang tak kasi can. Dalam flight sekali dengan kami selain Mawi ada Aril dan Kaka juga.  Dah alang-alang nampak, anak-anak pun ajaklah bergambar sekali. 

Baguslah dia orang tu. Baik aje layan. Cakap pun lembut aje. Itu anak-anaklah yang cerita. Aku tak tahu pun sebab aku jalan kat belakang. Tahu-tahu dia orang tunjukkan gambar aje. Kiranya bonus kegembiraan jugalah untuk anak-anak dalam percutian kali ini sebab dapat bergambar kenangan bersama artis-artis yang selalu dia orang tengok kat tv.
 
Az, Hafiy dan Fareez bersama Aril..

Selamba juga minta Aril yang tolong snapkan gambar.. TQ Aril..

My anak-anak bujang bersama Aril.. 

Az dan Hafiy bersama Kaka..

Comellah Kaka ni.. 
Aku tak tahu pun Kaka naik satu flight dengan kami. 
Aku pun tak perasan dan tak nampak. 
Bila anak-anak tunjuk gambar ni baru aku tahu. 

Itulah kenangan kami dapat jumpa dengan ahli keluarga dan juga artis dalam percutian kami ke Kota Kinabalu. ALHAMDULILLAH.. ALLAH izinkan semuanya berlaku. Ianya menjadi rezeki untuk kami. Terima kasih ALLAH.

Salam hormat untuk semua.. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Monday, December 21, 2015

Percutian Keluarga ke Kota kinabalu dan Kundasang 2015..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. percutian kami sekeluarga seramai 19 orang ke Kota Kinabalu telah berakhir. Percutian yang dipenuhi dengan pelbagai kenangan manis, masam, kelat. He..he.. semua ada! Tapi.. seronok pastinya seronok.  Pergi berjalan kan. Di mana pun destinasinya, hati tetap berasa bahagia dan gembira. Lebih-lebih lagi bila bersama keluarga tercinta. Walaupun percutian  tidak sepenuhnya berjalan dengan lancar, kami semua tetap sangat-sangat bersyukur kerana segalanya selamat dan dipermudahkan untuk kami. Yang paling penting kami semua  selamat pergi dan selamat pulang. Macam-macam hal yang tidak berjalan dengan lancar itu kami terima dengan hati terbuka. Juga dengan bersangka baik. Pastinya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Bila dah begitu, macam-macam hal yang berlaku masih membuatkan kami tersenyum-senyum juga diakhirnya. Perkara dah nak jadi kan. Nak tak nak perlu juga dihadapi.

Dalam entry ni aku nak bercerita tentang macam-macam hal yang kami hadapi dalam percutian keluarga kali ini. Kenapa nak cerita? Sebabnya hal-hal yang berlaku punya kenangan buat kami. Maksudnya, selepas ini bila sebut KK pastinya kenangan-kenangan itu juga akan muncul dalam ingatan. Awal-awal lagi emak aku terpaksa tarik diri. Maka tiket flight pergi balik untuk emak burn. Tak apalah. Dah bukan rezeki emak. Duit boleh dicari. Takkan nak paksa juga kaki yang sakit untuk pergi berjalan. Kesihatan lebih utama. Flight kami pukul 11 pagi. Pukul 8 pagi kami dah keluar dari rumah. 3 teksi dari Bangi dan 1 teksi dari Kajang. (Aku pergi bersama kesemua keluarga mertuaku). Sampai KLIA2 masing-masing berwajah ceria. Selepas dah bertemu dengan keluarga yang lain,  en.asben pergi balut beg dulu. Kenapa kena balut? Sebabnya tiba-tiba aje beg pakaian kami yang paling besar rosak sedikit zipnya. Bila dah macam tu en.asben rasa tak confident. Jadi sebelum rabak di tengah jalan, lebih baiklah kami balutkan beg baju tersebut dengan plastik. RM 21 harga untuk balut beg di KLIA2.

Dah settle balut beg, kami pun pergi check-in beg. Alhamdulillah.. berat beg tak berlebih. Dah selesai semua beg yang mahu di check-in kami duduk berkumpul semula. Waktu berkumpul tu muncul pula hal lagi. Baru perasan yang seorang anak kakak iparku tertinggal ICnya di rumah! Kakak ipar aku nampak rileks aje. Tapi aku dah gelabah sebab aku memang ada terbaca yang My kad, My Kid atau Sijil Kelahiran adalah WAJIB ADA untuk perjalanan ke Sabah. Kawan aku orang Sabah pun dah siap-siap pesan padaku. Aku sendiri dah awal-awal minta surat keizinan perjalanan dari papa anak-anak buahku sebagai persediaan.  Tapi untuk pengesahan kakak ipar pergi tanya di kaunter pertanyaan Air Asia. Memang sah. Kena ada. Check dengan polis yang menjaga pintu masuk di departure juga diberitahu perkara yang sama. Waktu itu sudah  pukul 9 lebih. Nak tak nak terpaksalah kakak ipar dan anaknya patah balik ke Bangi untuk ambil kad pengenalan yang tertinggal itu. Kami yang lain terus ke gate yang sepatutnya.

Waktu beratur nak naik flight petugas Air Asia panggil-panggil nama kakak ipar. Sebab kakak ipar dah check in sebelum tu. Beg pun dah check in. Tapi orangnya takde. Kami pun beritahulah yang kakak ipar mungkin tak sempat naik flight tersebut. Mujur pada waktu tu kami teringat nak tanya tentang begnya. Pada ketika itu barulah kami tahu yang jika penumpang tidak naik pesawat, barangannya juga tidak boleh naik pesawat. Maksudnya, bagasi yang sudah di check in tadi akan dikeluarkan semula. Nasib tergerak hati nak tanya pasal beg tu. Kalau tak??? Ada beg pulak yang tertinggal. Apa nasib beg tu??? Alhamdulillah.. beg tu boleh ambil  semula. Cumanya beg tu pecah. Mungkin sebab waktu keluarkan beg tu mereka nak cepat. Main campak aje kut. Sudahnya beg tu pecah hu..hu.. Alhamdulillah.. beg yang pecah itu terus digantikan dengan beg baru yang mahal. Jadi takde kerugian di situ. 
 

 Beg yang pecah dan sudah diganti dengan beg baru oleh Air Asia..
 
Kakak ipar dan seorang anaknya tak sempat naik flight yang sama dengan kami. Mungkin sempat kalau begnya tak dikeluarkan sebab waktu kami dah di dalam flight, penerbangan delay dalam 15 minit juga. Tapi dah namanya bukan rezeki. Terpaksalah kakak ipar ambil flight yang seterusnya.  Flight satu jam seterusnya penuh. Flight dua jam selepas itu pula tak berbaloi harga tiketnya sebab mahal melampau. Akhirnya naik flight pukul 6 petang hari yang sama. Kami yang lain sampai di KK lebih kurang pukul 2 petang. Aku kan pergi KK bawak anak-anak arwah adik aku sekali. Jadi panjang sikitlah soal jawab di imegresen. Mujur aku dah minta papa dia orang buat surat keizinan. Jadi bila ada surat tu senanglah sikit. Tapi anak sulung arwah adik aku yang mummy dan daddynya dah meninggal aku nak minta surat keizinan dengan siapa? Tapi aku dah check, budak umur 12 tahun ke atas dan dah ada IC boleh berjalan sendiri tanpa parent. Jadi bila dah beritahu semuanya barulah boleh lepas. Alhamdulillah.. Memang susah sikit nak masuk Sabah. Slip kemasukan kecil yang diberi tu make sure jangan hilangkan. 
 

Anak-anak arwah adik aku yang menjadi kesayangan kami sekeluarga.  

Tak tahu kenapa, waktu kapal terbang mula bergerak, aku jadi sebak sangat. Seba sebab ada rezeki untuk kami bawak anak-anak buahku ikut berjalan sekali. Ada rezeki untuk buatkan mereka happy jalan-jalan bersama kami. Melihat muka takut-takut dan teruja mereka waktu kapal terbang mula bergerak laju dan naik ke udara membuatkan aku tersenyum sendiri. Mereka bukannya tak pernah naik kapal terbang. Waktu dengan arwah mummy, pernah juga mereka dibawa berjalan menaiki kapal terbang. Tapi waktu tu mereka kecil lagi. Mungkin tak ingat pun. Jadi bagi mereka pengalaman ini adalah yang pertama buat mereka. Bila mereka nampak seronok, aku jadi lebih seronok. Doaku, semoga mereka sentiasa dilindungi dan membesar menjadi anak-anak yang soleh dan berjaya di dunia dan di akhirat.. in sya ALLAH. 

Sampai di KK, driver di sana sudah menghantar whatsapp kepadaku. Sepuluh minit menunggu sebuah van datang mengambil kami. Kami booking dua van dan satu pemandu. Sebuah van lagi dipandu oleh birasku. Bila van sampai, driver minta birasku untuk mengikutnya untuk mengambil sebuah lagi van. Sebab satu van tentulah tak muat. Kami semua dah saling pandang-pandang dan sama-sama terfikir untuk sumbat ajelah semua. Tak payahlah nak patah-patah balik. Bila tanya, katanya tempat nak ambil van tu hanya 5 minit saja dari airport. Kami pun apa lagi. Terus sepakat untuk semua pergi sekali dengan menaiki satu van. Susun beg elok-elok memang muat pun kesemua beg-beg pakaian kami. Orang muat ke? Eh.. muat jugak! Tapi padatlah he..he.. Tergelak-gelak kami semua bila kena duduk berhimpit. Yang last naik aku dengan en.asben.  Terus tanya kat en.asben. I yang nak kena duduk atas you atau you yang nak kena duduk atas I ni he..he.. (Sebab tahu berat badan sendiri memang overweight. Jadi sebelum en.asben reject nak riba aku, baik aku yang suggest untuk riba dia sebab berat kami sama he..he..). Tapi jangan risau. Takde pun aksi riba-meriba tu. Muat aje tempat duduk untuk kami semua. Yang best, anak buah aku siap tak jejak pun punggung di kerusi van sebab duduk menyelit ha..ha..

Kakak ipar aku dah pesan supaya kami tidak perlu menunggunya kerana flightnya hanya akan tiba di KK pukul 9 malam. Jadi dia minta kami bergerak terlebih dahulu ke Kundasang. Kakak ipar dan anaknya akan ke Kundasang malam nanti dengan teksi. Tapi bila check, rupanya tiada teksi ke Kundasang pada waktu malam. Selepas berbincang, kami sepakat untuk ke Kundasang dengan menaiki satu van saja. Birasku yang memandu dan kami ke Kundasang dengan bantuan arah jalan dari Waze. Sebuah lagi van dan pemandunya tunggu di KK sehingga kakak ipar dan anaknya sampai sebelum terus ke Kundasang. Semua beg-beg besar di tinggalkan di dalam van. Waktu nak pindahkan beg pun jadi cerita juga. Bila kata beg semua tinggal maka kami pun gigihlah nak mengalihkan beg ke van satu lagi. Nasib sebelum sempat pindahkan beg, salah seorang dari kami terfikirkan sesuatu. Kenapa tak orang aje yang berpindah ke van satu lagi? Tak perlulah nak alihkan beg banyak-banyak yang berat-berat tu ha..ha.. Betullah tu. Kalau orang saja yang berpindah van tentulah lagi senang he..he.. Adooiiiii.. tergelak-gelak kami semua dibuatnya sebelum berpindah ke van satu lagi.

Sebelum bergerak ke Kundasang kami singgah isi minyak dulu. Kemudian singgah solat. Elok aje van berhenti di masjid, hujan turun dengan lebatnya. Sehingga selesai solat, hujan masih terus lebat. Makanya separuh perjalanan kami ke Kundasang melalui hujan lebat.  Pejalanan mengambil masa dalam 2 jam lebih juga. Tapi sepanjang perjalanan tu pemandangannya, Masya-ALLAH  sangat-sangat indah. Kami tiba di Kundasang pada pukul 7 malam. Semua dah lapar sebab hanya makan waktu dalam flight. Jadi sebelum ke homestay kami singgah makan dulu. Alhamdulillah.. kenyang semuanya makan nasi goreng panas-panas dalam keadaan cuaca yang sejuk. Rasanya bolehlah tahan. Siap makan barulah kami ke homestay. Alhamdulillah.. homestaynya selesa. Kami sewa dua biji rumah yang setiap satunya mempunyai tiga bilik. Semua tak mandi sebab beg baju kami masih tinggal dalam van di KK. Kira selamatlah juga sebab kalau tak tentu mengigil-gigil kami nak mandi. Ambil wuduk pun tangan rasa nak beku. Sebab cuaca best, seronok aje kami lepak-lepak, borak-borak sekejap kat luar rumah.
  
 ALLAHUAKBAR.. indahnya.   
Gunung Kinabalu di hatiku..  Tak puas mata memandang..
  Pemandangan  dari Homestay kami..
 
Waktu sampai malam tu, aku dah siap-siap tanya kat budak jaga homestay.  Dik.. Kalau nak tengok Gunung Kinabalu kena pandang arah mana? Di depankah? Atau di belakangkah?? Sebab senang aku nak tengok pagi-pagi esoknya. Ha..ha.. punyalah over excited. Bangun pagi, lepas solat subuh memang aku dah duduk di luar homestay dengan en.asben untuk melihat Gunung Kinabalu di depan mata. Kalau duduk kat ruang tamu homestay tu memang terus nampak pemandangan seperti dalam gambar kat atas tu. Masya-ALLAH..  Indahnya Gunung Kinabalu.. SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.. ALLAHUAKBAR.. Terasa berbaloi-baloi kami merancang untuk bercuti di Kota Kinabalu dan Kundasang. Tapi kan, ini aje gambar yang aku ada. Gambar kami berlatar belakangkan Gunung Kinabalu  langsung takde. Sebab aku sibuk nak siapkan anak-anak. Nak siapkan diri sendiri juga. Nak iron baju,  nak kemas-kemas beg. Keluar balik konon nak pose, Gunung Kinabalu dah tertutup dengan awan. Huwarggggg.. rasa sedih sangat. Jauh-jauh aku datang. Dapat tengok sepuluh minit aje. Walau apa pun aku tetap bersyukur sebab diberikan rezeki untuk dapat lihat Gunung Kinabalu dengan mata sendiri. Syukur ALHAMDULILLAH.
  Pemandangan yang sangat indah di mataku.. 

ALLAHUAKBAR.. Maha Suci ALLAH yang menciptakan segala keindahan. Segar sangat udara di sini. Sejuk tapi tak terlalu sejuk. Rasa tenang, damai dan tenteram. Aku memang seronok sangat berada di Kundasang ni. Dia punya suasana tu bagi aku first class. Aku dahlah memang suka tengok pemandangan yang hijau-hujau ni. Patutlah ramai orang yang dah ke Kundasang selalu cakap taknak balik he..he.. Aku pun dah sangat jatuh cinta dengan Kundasang dan kaki Gunung Kinabalu. Kalau ada rezeki aku memang nakkkkkkkkkkkkkkkk sangat pergi lagi.. In sya ALLAH. 
 
 Kami di hadapan Homestay.
Tak dapat nak bergambar berbackgroundkan Gunung Kinabalu, 
bergambar dengan signboard homestay pun jadi he..he..

 Gambar kami seisi keluarga di hadapan homestay. 
Belakang tu Gunung Kinabalu dah tertutup dengan kabus. 
Waktu ni dalam pukul 7 lebih pagi.  

2 van urvan yang kami sewa..

Sewa sehari RM 200 untuk satu van. Elaun pemandu RM 100 sehari. Elaun pemandu bermalam di Kundasang RM 150 semalam. Petrol isi sendiri. Pemandunya baik. Tapi memang memandu ajelah. Takdelah nak jadi pemandu pelancong jugak. Takdelah nak advise tempat yang kami patut pergi. Pukul berapa waktu yang elok untuk melawat sesuatu tempat tu. Semua ikut kita. Dahlah kami memang tak biasa kat sana. Kalau tanya pun dia tak berapa nak tahu. Siap nak makan pun asyik bawak kat restoran mamak. Cadang tempat makan best pun tak. On the way nak balik KK aku dah inform nak singgah makan lokan bakar. Siap dah bagi tunjuk arah dah sebab Blogger Izwa dengan baik hatinya sudi sharekan tempatnya waktu kami di Kundasang tu. Tapi entahkan pemandunya lupa entahkan buat-buat lupa. Tahu-tahu kami dah sampai di Bandar KK. Aku nak tanya pun dah takde hati sebab sedihhh. I kan bab makan-makan ni memang mudah sentap kalau tak dapat he..he.. Anyway.. Thank you so much Izwa atas budi baikmu. Takde rezeki akak nak merasa lokan bakar yang nampak sedap sangat tu huhu.. 

 Kundasang War Memorial.. 
Lepas sarapan pagi, kami singgah di sini. Tempat ni cantik untuk ambil-ambil gambar. 
Jadi singgah di sini untuk ambil-ambil gambar.  
Bayaran masuk : Dewasa - RM2 Kanak-Kanak - RM1
 
 Han, Kakak-kakak ipar dan anak-anak buah :)

My sweet little gegirl.. 
 
Membilang hari dia nak pergi KK ni. Mama, esok ke kita nak pergi? Mama, kita pergi hari jumaat kan? Mama, kita pergi berapa hari? Mama, nanti kita tidur kat mana? Kalau abang-abang nakal, dia yang duk bebel. Siapa nakal-nakal tak boleh ikut pergi KK he..he.. mulut dia macam mak nenek. Ada aje benda nak tanya. Seminggu sebelum pergi tu, waktu dah nak tidur dia tanya aku. Mama.. kalau kita sedih kita nak buat apa? Aku tanyalah kenapa pulak nak sedih. Dia cakap,  Gegirl rindu mummy..  dengan muka sedih. Sebak aku dibuatnya. Tapi aku tahan aje sebab taknak buat dia rasa lagi sedih. Aku beritahu dia kalau sedih sedekah Al-Fatihah banyak-banyak untuk arwah mummy. Kalau selalu memang dah sedekahkan Al-Fatihah, bila rindu sedekahkan dengan lebih banyak lagi.Dia angguk aje. Bila aku peluk, dia tutup muka dengan bantal. Rindu sangat agaknya dia dengan arwah mummy.
 


Nakkan pemandangan indah kat belakang tu, muka semua berkerut tahan mata ngadap cahaya matahari.. Konsepnya biar muka tak cun asalkan background cun kebabom he..he.. ;)



En. asben bersama  abang iparnya  serta anak-anak..
Bergambar di sini dengan susah payah nak buka mata.. ;)
 


 Acara pilih tiang sorang satu untuk posing he..he..



My kakak-kakak ipar dan anak buah pulak nak posing..

He..he.. sibuk aje me, han and aimi nak kantoikan gambar orang lain.. menyibuk aje kita orang menyelit posing kat belakang tu bila kakak ipar nak posing sorang-sorang.. 
Sori kak li :)


Mama dengan bongsu lelaki dan bongsu perempuan :)
Suka sangat dengan pokok-pokok hijau kat War Memorial tu..
 Bagi lembu minum susu di Desa Dairy Farm..

Best juga kat sini. Tiket masuk : Dewasa RM5 - Kanak-Kanak RM4. Pemandangannya sangat cantik. Susu kotaknya sedap. Aiskrim pun sedap. Ada perisa coklat dan yogurt. Aku prefer yang perisa yogurt. Waktu sampai tu orang tak ramai lagi. Jadi kami pergi melawat bangsal-bangsal lembu. Bagi peluang anak-anak pengalaman bagi lembu minum susu. Harganya RM1.50 sebotol. Kalau bagi makan rumput harganya RM1.00. Seronoklah budak-budak ni. Tapi dah kata percutian penuh dengan macam-macam hal kan, jadi adalah juga peristiwa kat sini. Waktu nak bayar harga susu untuk susukan anak lembu tu baru aku perasan pouch duit aku dah takde dalam handbag. Memang gelabah aku dibuatnya. Tak ingat langsung tercicir kat mana. Terus ajak en.asben pergi cari kat van. Dahlah sekitar dalam farm tu jalannya kena turun naik bukit. Jadi semakin lemah lututlah dibuatnya sebab panik. Walaupun tak semua duit aku letak dalam pouch tu tapi ada RM500++ juga duit dalam pouch tu. Kalau betul-betul tercicir memang menangis jugalah. Memang rasa nak pitam juga sementara nak sampai ke van sebab mengah + kalut. 

Sepanjang jalan menuju ke van, tak sudah mulut aku mengucap Inalillah sambil berdoa pouch tu ada dalam van. Sampai aje kat van rasa bersyukur sangat sebab pouch tu terletak elok aje kat atas kerusi tempat duduk aku. Syukur Alhamdulillah.. Duit itu masih jadi milik aku. Bila dah lega kami kembali semula kat bangsal anak-anak lembu sebab anak-anak semua masih di sana. Tapi sebelum tu sempat juga beli susu coklat. He..he.. dahaga worr daki bukit dengan jantung dup dap dup dap. Tak sempat nak tengok anak-anak bagi anak lembu minum susu. Dapat tengok gambar aje. Tapi yang pastinya anak-anak seronok walaupun ada juga yang takut. Lepas keluar dari tempat lembu kami membeli belah dulu. Waktu tu orang beratur nak membeli susu, aiskrim waffle dan produk lain dah panjang. Ambil masa jugalah waktu nak membeli tu. Tapi sebab teringin punya pasal dan anak-anak pun dari sebelum masuk lagi memang dah minta, jadi kita beratur ajelah. Pada aku aiskrim dia agak mahal untuk satu mangkuk kecil. Tapi tak mengapalah sebab rasanya sedap. Cuma yang tak puas hati tu, di tengah-tengah aiskrim tu semuanya lompong. Tepi-tepi aje dia letak aiskrim.
 
 Posing kat tempat tengok lembu.. En. Asben dengan anak-anak dan anak-anak buah.. 

 Seronok tengok lembu..

 Walaupun kat kawasan bangsal lembu, pemandangannya masih sangat cantik.. cuma hidung kena tahan bau-bauan lembu ajelah he..he..

 Moh kita mendaki balik.. lenguh jugalah kaki aku lepas tu.. Sebab apa? Tentunya sebab badan berat yang berlebihan hu..hu.. 

 


 Aku bersama en.asben, emak, ayah dan adik beradiknya..

Bergambar ramai-ramai di tempat yang cantik ni.. Nampak tak kat belakang tu ada tulisan DESA..
Selfie, aiskrim dan waffle.. ;)


Mama with the kids.. 
Mama yang gemuk.. ha..ha.. aduhai.. selera makan semakin menjadi-jadi Saja nak letak gambar ni biar beringat sikit yang badan tu dah naik dengan jayanya..  Nasib perut en.asben pun dah naik juga.. Jadi kami seri he..he.. Ayat nak sedapkan hati.. ;)


Cinta-cinta hati mama..
Suka sangat dengan gambar ni.. 

Ayah with the kids..

Sessi bergambar dengan batu pulak..
My lovely boys..
Gigih panjat batu.. 
 
Mama and the boys.. 
Teringin juga nak panjat batu tu tapi tak larat he..he..
 
Mama and the boys and a girl.. 

Kita bergambar dengan lembu.. 

Suasana yang kata orang seperti di New Zealand kerana lembu-lembunya yang berwarna hitam putih juga suasananya yang sejuk.. 

Han with her cousins.. 
Yang depan berdua tu seorang belajar di UIA dan seorang di UNISZA..
Tiga yang di belakang tahun 2016 ni ambil SPM..  
Dah besar-besar semuanya.. Semoga semuanya menjadi anak-anak soleh yang berjaya dengan cemerlang di dunia dan di akhirat.. Semoga semuanya sentiasa dilindungi ALLAH.. in sya ALLAH..

Selepas ke Desa Dairy Farm kami bergerak ke Poring Hot Spring. Tapi kami semua tak masuk pun. Sebab sampai sana dalam  pukul 11 lebih. Panas tengah terik. Jadi macam tak sesuai aje nak masuk ke tempat air panas dengan keadaan cuaca yang macam tu. Lepas dah lepak-lepak sekejap kat kawasan luar tu, kami terus ke Spa Ikan Luanti. Best juga tempatnya. Dapat bermanja dengan ikan yang gigit-gigit kaki. Ikannya pulak bukan main besar-besar. Itu yang buat kita rasa geli tu. Sampai  terjerit-jerit dibuatnya. Kat sini pun ada halnya juga. Tengah orang lain jerit-jerit takut sebab kaki kena gigit dengan ikan, han pula boleh terlepas handbagnya masuk dalam air sebab terperanjat bila ikan gigit kaki dia. Terendamlah juga bagnya. Nasib sempat cepat-cepat tarik beg tu dan alihkan barang-barang dalam beg aku. Dahlah semua handphone han dan adik-adiknya, siap dengan PSP pun ada dalam beg tu. Alhamdulillah.. semuanya selamat walaupun begnya kuyup sebab  dah sempat terendam dengan ikan. 

Tagal Sg. Moroli, Kg. Luanti Baru, Ranau..

Kat tepi-tepi sungai  tulah buat fish spa..

Besar-besar tau ikannya..  
Kalau ikutkan hati memang seram nak rendam kaki.. Tapi demi sebuah pengalaman, beranikan juga diri cecah kaki kat dalam air..

 Kaki en.asben asyik kena attack.. 
Asyik ter auw..auw.. auw..auw aje dia bila ikan dok gigit kaki dia he..he.. 


 Acara rendam kaki kasi ikan gigit.. 

 Kat situ juga ada jambatan gantung.. 
Dapatlah anak-anak pengalaman meniti di atas jambatan gantung tu .. 
Aku pun ada cuba  juga.. tapi mampu sampai separuh jalan.. lepas tu terpaksa patah balik sebab gayat he..he..

Sebelum balik ke KK kami singgah di Kinabalu Park.. 
Tapi dah langsung tak nampak Gunung Kinabalu sebab dah petang..
Jadi bergambar berlatarkan kabus yang memutih ajelah..  

 
 Pose jangan tak pose.. :)
 

 Family photo bersama Gunung Kinabalu yang sikit aje nampak kat belakang tu.. 

Kami sampai di KK pukul 6 petang. Sempatlah singgah di Rumah Terbalik tu sebab tempat tu tutup pukul 8 malam. Tapi bila sampai waktu dah gelap, nak ambil gambar pun jadi tak berapa cantik sebab tak terang. Dalam rumah terbalik tu memang tak dibenarkan untuk ambil gambar. Bagi aku menarik juga tempatnya.. Bayaran masuk : Dewasa - RM 10 Kanak-kanak RM 8. Tapi gambar posing-posing takde sebab semua gambar  kat rumah terbalik takde dalam phone aku. 

 Ada gambar rumah terbalik ni aje he..he..   

Keluar dari rumah terbalik kami singgah makan dulu sebelum ke homestay di Cyber Apartment. Makan di area Dataran Todak kalau tak silap aku. Puaslah kami dok pesan seafood. Sotong, ketam, lala, lobster, ikan.. Memang puas hatilah sebab semuanya kenyang. Kenyang makan asap juga he..he.. Total harga makan kat situ untuk kami 19 orang RM 662. Alhamdulillah.. Kakak ipar aku kata murah. Bagi aku pun murah jugalah sebab  kami semua memang puas makan makanan laut malam tu. Siap nak habiskan pun bertolak-tolak pinggan he..he..  Tapi Alhamdulillah.. semuanya dapat dihabiskan dengan jayanya. Lepas siap makan kami jumpa dengan sepupu aku kejap kat depan Pasar Philiphines. Lepas tu terus balik homestay. Kat homestay jadi hal lagi. Adooii.. Kami dah booking 2 homestay. Dah beritahu dah awal-awal kami nak rumah yang bersebelahan. Sebab datang satu keluarga besar kan. Mestilah nak duduk rumah dekat-dekat. Tapi boleh pulak dia bagi rumah yang bersambung depan belakang. Maksudnya kalau nak pergi rumah satu lagi kena pusing satu blok baru sampai. Tak ke membara! Padahal dah janji nak bagi rumah yang bersebelahan.

Bila rumah dah jauh-jauh, nak tidur share-share pun susah. Macam rumah aku okeylah lagi sebab kami cuma 9 orang dan 5 orang memang budak kecik. Jadi tiga bilik tu memang selesalah untuk kami anak beranak. Tapi rumah kakak ipar aku 10 orang dewasa. Nak share-share tidur macam mana?   Nak masuk ke rumah kami dah jauh pulak nak kena berjalan. Dahlah tilam extra tak disediakan padahal dah diberitahu bilangan orang dalam 1 rumah. (Macam di Kundasang sebab homestaynya bersebelahan, 2 orang anak kakak ipar boleh aje tidur di homestay aku. Takde tilam extra pun takde hal. Kami pun tak berkira. Dah namanya nak berkumpul. Apalah sangat kalau tidur sekali). Bila ditegur eh.. boleh  pulak owner homestay tu bahasakan kakak ipar aku. Aduhai.. tak fahamlah dengan orang berniaga tapi tak boleh nak terima teguran dari pelanggan. Kita bukan nak jatuhkan. Kita cuma nak menegur untuk kebaikan. Kita juga menegur sebab kita nak hak kita  sebagai pelanggan. Kita juga nak dapatkan kemudahan seperti mana yang telah dijanjikan. Juga seperti apa  yang sudah dibayar.  Dia siap boleh cakap kalau nak selesa duduklah di hotel. Hamboiii.. Kalau tahu dapat homestay jauh-jauh gitu memang lagi baguslah kami duduk hotel aje. Tapi sebab kami nak bercuti satu keluarga. Nak duduk berkumpul ramai-ramai. Kalau boleh nak duduk serumah biar senang. Bukannya dua rumah yang berjauhan walaupun dah diberitahu!!! 

Tolonglah Pengusaha Homestay. Tolonglah jangan layan pelanggan macam tak mampu duduk hotel sebab tu nak duduk homestay. Kami pilih homestay sebab nak duduk berkumpul anak-beranak sekali sekala. Ya, kami percaya pada rezeki. Seperti yang dia sendiri kata, rezeki dari ALLAH. Mungkin rezeki kami kena deal dengan pengusaha homestay macam orang tu. Dah nama percutian macam-macam hal kan, terpaksalah korang membaca keluhan hatiku ini juga ya he..he.. Esoknya bangun pagi-pagi kami ke Pulau pulak. Dah nama nak ke Pulau, naklah makan yang kenyang-kenyang sikit. Sekali dibawanya ke restoran mamak juga. Bila kami request  nak restoran yang best sikit barulah dibawa ke restoran yang macam-macam makanan ada. Hah.. ada rupanya restoran yang best di KK. Aku pun tak faham kenapalah dia tak nak bawak kami makan kat restoran yang macam ni sejak dari mula. Duit minyak kami yang bayar. Kami pun langsung tak bising-bising kalau tempat tu jauh sikit. Tapi.. Hmmm.. entahlah. Sebab restoran tu best, dua hari berturut-turut kami sarapan di situ. Nak pergi pulau siap tapau nasi lemak, nasi dan lauk kat restoran juga. Alhamdulillah.. sedap masakannya. Siap ada nasi kerabu, nasi dagang dan nasi berlauk di restoran tu. Kuih pun berjenis-jenis. Nama restoran, sori aku lupa.

Untuk pulau, kami pergi ke 3 pulau.  Pulau Mamutik, Pulau Manukan dan Pulau Sapi. Dah sampai awal kat tempat naik bot tu. Bot pun dah siap-siap tunggu tinggal kami nak naik aje. Tapi tunggu pemandu nak parkingkan van berjamlah pulak. Adooii.. Memang ada aje halnya he..he.. Alhamdulillah..  kami seronok bersnorkeling. Anak-anak bukan main seronok dapat tengok ikan. Gambar snorkeling takde sebab aku dengan en.asben awal-awal lagi dah simpan handphone dalam beg sebab nak snorkeling juga he..he.. GoPro takde! Is dengan Fareez siap try parasailing kat Pulau Mamutik. Seorang RM70. Gambar kat phone en.asben. Tak dapat nak share kat sini. Bagi aku, cantiklah juga pulau-pulau tu semua. Air jernih. Ikan ada tapi tak banyak. Tapi seronoklah dapat bersnorkeling bersama-sama dengan anak-anak sambil kejar ikan. Muka dengan tangan pun terbakar dengan jayanya. Sampai hari ni tak hilang lagi hitamnya hu..hu.. dah macam dayang senandung dah muka aku. Kat Pulau Sapi kami siap nampak babi hutan dok melintas lagi. En. asben kata siap ada dua, tiga ekor lagi yang dia nampak. So, korang kalau ke Pulau Sapi hati-hatilah ya. Sebab selamba aje babi hutan tu duk melintas kat kawasan kerusi meja tempat berehat. 

 Kami dalam bot nak ke pulau. 
Kami ambil pakej untuk 3 pulau sekali dengan peralatan snorkeling seorang RM55. Sebelum balik orang bot siap bawak tengok-tengok Pulau Gaya. 
Tengok sekolah atas air. 

 Alhamdulillah.. ada rezeki dapat pergi ke Pulau bersama-sama satu keluarga.. Rasa sedih sikit sebab emak aku tak dapat nak ikut bersama :(
 
Bergambar di Pulau Manukan.. 

En. Asben bersama emak dan ayah.. 
Alhamdulillah.. ada rezeki nak bawa emak dan ayah berjalan sama.

Pulau Manukan.. 
Anak buah aku Hafiy.. 
Sibuk dok request.. Mama.. ambil gambar Hafiy.. 
Alhamdulillah.. seronok dia bersnorkeling.. Tapi sibuk jerit.. Mama.. jangan tinggal Hafiy he..he.. Dalam ramai-ramai anak aku, dialah yang paling kuat  mengusik dan menyakat orang. Antara yang paling stylo dialah juga.

Gambar kenangan di Pulau Manukan.. 

ABC kelapa apa entah namanya aku lupa.. he..he..

Malam tu kami makan kat satu tempat ni. Nama tempat perlu dirahsiakan sebab kat situ pun ada halnya juga. (Betulkan aku cakap percutian ni penuh dengan macam-macam hal he..he..). Nak cerita pun tak sampai hati. Tapi kesudahannya memang kami semua terpaksa bangun dan tinggal meja makan. Kami juga tidak dikenakan sebarang bayaran walaupun dah 3/4 order yang dipesan  sampai. Ada juga yang sudah dimakan. Maaf dari tuan kedai kami terima. Perkara dah nak jadi. Disebabkan itu kami tak mahu nak memperbesarkannya lagi. Kami simpan sendiri sebagai memori kami. Walaupun rasa tak puas hati, tapi kami semua masih boleh juga tergelak-gelak geli hati. Itulah yang dinamakan memori, kan? Yang pahit pun boleh jadi manis bila dikenang. Balik dari kedai makan misteri tu, kami terus ke pasar philipines. Sebelum tu shopping dulu ikan bilis, udang kering, ikan kering dan keropok-keropok. Hasilnya bawa keluar satu kotak setiap keluarga he..he.. Lepas tu beli gelang-gelang manik, brooch dan butang baju melayu kat pasar philiphines. Beli juga buah-buah tangan tanda ingatan dari KK. Sebelum balik singgah tapau KFC. Lapar ooooohh he..he.. Balik rumah makan KFC depan tv sambil tengok hujung-hujung Gegar Vaganza akhir. Sambil-sambil tu dok sidai baju basah pergi mandi pulau yang dah siap dibasuh sebelum keluar makan. Esoknya lepas sarapan kami ke pasar philiphines lagi. He..he.. ada lagi tambahan pembeliannya. Sempat juga kami ke pasar basah selepas itu untuk bawak balik udang, sotong dan ketam fresh. Hasilnya, setiap keluarga bawa keluar satu kotak juga he..he.. Dah siap shopping semua kami pun terus ke airport. Kat Airport pergi balut beg lagi. Sebab beg yang rosak sikit zipnya waktu nak pergi rosak terus masa nak balik hu..hu.. Harga balut beg RM22. Sebelum tunggu di gate kami solat dulu. Kemudian pergi lunch kat KFC. Waktu beratur nak check beg waktu nak masuk ke gate, boleh pulak komputer check beg rosak. Sebahagian dari kami aje yang lepas check guna komputer. Yang lain check guna manual. Semua beg kena buka. Suspen  aku sebab aku tak tahu komputer dia rosak sebab aku dah jalan ke dapan. Bila toleh balik,  cuak juga jadinya sebab tiba-tiba aje beg family aku kena buka. Siap check badan semua. Dah tahu komputer yang rosak barulah lega. Ingat kenapalah pulak tiba-tiba beg kami kena buka. Syukur.. takde apa-apa yang tak sepatutnya berlaku.. ALHAMDULILLAH..

My anak dara..

Permata hatiku.. 
Ada rezeki nanti kita jalan-jalan lagi ya anak-anak.. 
Semoga ALLAH sentiasa murahkan rezeki kita sekeluarga..
Semoga ALLAH beri kesihatan yang baik untuk en.asben yang mencari rezeki untuk keluarga.. Semoga ALLAH limpahkan rahmatnya buat en.asben yang gigih berkerja untuk menyara kami sekeluarga.. Aamiin..

Dua si kecik penghibur hari kami.. ALLAH.. peliharalah mereka selalu..

Alhamdulillah.. kami dah nak balik dah.
Bye Kota Kinabalu.. Ada rezeki In sya ALLAH kami datang lagi..


Nota untuk diri sendiri :  Entry ni adalah entry terpanjang yang aku pernah buat. Gambar pun yang terbanyak pernah aku masukkan dalam sebuah entry.

Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...