Tuesday, February 24, 2015

Kamalodge Taiping..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Cuti CNY dapat dipenuhi dengan aktiviti bersama keluarga. Syukur segalanya berjalan dengan lancar. Malam khamis, kami  berBBQ di  rumah mentua. Meriah dengan keluarga sebelah mak mertua. Lagi meriah dengan hidangan BBQ ayam, daging dan kambing. Ditambah lagi dengan  macam-macam makanan penuh meja yang disediakan oleh mak mertua dan kakak ipar. Pergh.. itu yang best tu. Alhamdulilah.. sempat juga celebrate birthday Az (11) dan Firhan (9) sekali. Hari khamis, pulun packing baju nak balik kampung. Dulu kemas baju untuk berlima pun aku dah guna separuh hari. Sekarang ni kena kemas baju untuk 9 orang memang satu harilah aku kena kemas baju he..he.. dasar terhegeh-hegeh. Pagi jumaat, sebaik selepas solat subuh kami bertolak ke Taiping. Alhamdulillah.. perjalanan lancar. Tiada langsung sebarang kesesakan. Mungkin kerana kami bertolak di awal pagi.

Alhamdulillah.. Kami dapat berjalan, cuti-cuti dan dapat balik kampung.. 

Bila dah keluar awal dan jalan pun tak sesak, sempatlah kami singgah ke Lenggong terlebih dahulu untuk melawat pakcik aku yang kena stroke. Alhamdulillah.. ada rezeki untuk pergi menziarah lagi. Jadilah dapat menjenguk sekejap. Lepas emak membeli ikan pekasam di jalan menuju ke Kuala Kangsar, kami pun terus ke Taiping. Sampai Taiping dalam pukul 1. Ngam-ngam untuk en.asben dan anak-anak bujang dia pergi solat jumaat. Alhamdulillah.. dapat jumpa tok. Hilang rasa rindu pada tok yang dah semakin uzur sekarang ni. Tapi balik kali ni tok boleh ingat pulak. Bila aku bersalam dan sebut namaku, terus tok sebut nama en. asben. Ish.. kesayangan sungguh en.asben ni. Walau apa pun rasa terharu juga sebab dalam usia 93 tahun, ingatan tok masih ada untuk kami. Terima kasih ALLAH.

Selepas en.asben dan anak-anak balik dari solat jumaat dan siap makan kami pun bergerak ke Kamalodge. Hajat di hati nak bercuti ke Pulau Pangkor. Tapi takde rezeki sebab hotel yang aku nak book semuanya dah penuh. He..he.. memang salah aku juga sebab baru nak booking last minute. Time cuti perayaan pulak tu. Memang mimpilah nak dapat kan. Jadi bertabahlah kena bercuti di taiping saja. Kebetulan memang ada kenduri kahwin yang mahu kami hadiri di Ipoh. Jadi sekali jalanlah. Paling utama dapat pergi melawat tok.  Alhamdulillah.. seronok sangat dapat bercuti di Kamalodge Taiping. Ianya tempat percutian yang menarik bagi aku. Terletak di kawasan Taman Tasik Taiping yang indah dan di kaki Bukit Larut yang damai.

Kolam renang Kamalodge yang jadi daya penarik untuk aku booking di sini. Anak-anak bukan peduli sangat nak menginap di mana. Janji ada pool dah kira ohsem sangat dah tempat tu.

Alhamdulillah.. cuaca pun sangat baik waktu kami menginap di situ. Memang rezeki anak-anaklah dapat berjimba dalam kolam tu berjam-jam. Kolamnya pun tak dalam. Jadi rasa selamat juga nak biarkan anak-anak mandi.

Nice view..
Penginapan di Kamalodge pun selesa. Dahlah chalet dan kawasannya cantik. Persekitannya bersih. Kiranya aku memang berpuas hati dapat menginap di situ. Kami menyewa suite. Macam gambar kat atas tu. Harga RM 340 sehari. Bagi aku berpatutanlah untuk kami satu keluarga yang besar menginap di situ. Suite tu ada dua tingkat. Tingkat bawah ada satu katil queen, ruang tamu, fridge dan bilik air. Tingkat atas ada satu bilik dengan satu katil queen, almari, iron board dan bilik air. Ada tangga comel di dalamnya untuk naik ke atas. Kat beranda atas tu pun boleh lepak-lepak tengok pemandangan. Minta maaf aku tak sempat nak ambil gambar dalam bilik sebab kalut dengan anak-anak.


Waktu kami pergi ada keluarga yang buat family day di situ. Nampak seronok dengan aktiviti. Sampai penuh kolam dibuatnya.

Bersebelahan dengan kolam ada cafe. Tengok menu macam banyak aje pilihan makanan. Bagus sangat ni. Aiskrim kek pun ada. Float dia sedap. Sandwich dia sedap. Mushroom sup dengan garlic bread pun sedap. Ha..ha.. ikut aku semua makanan pun sedap. Mana tak gemuk, kan?? Sambil anak-anak mandi mama dengan ayah boleh lepak kat sini makan lite-lite katanya. Tapi jangan kira kalorinya sebab kalorinya tak light langsung he..he.. Malam kalau rasa malas nak keluar boleh makan kat cafe ni aje. Harganya standard macam makan kat cafe lain juga. Taklah mahal sangat tapi taklah juga murah.

Happy moment.. 
Masa ambil gambar tak perasan langsung. Anak-anak pun main buat pose sendiri aje. Takde atur-atur pun nak posing macam mana. Sekali bila tengok balik gambar ni baru perasan. Eh.. pose ikut adik beradik sendiri pulak.
Alhamdulillah.. anak-anak tahu nak hargai adik beradik. Saling nak ambil berat. Semoga ianya berterusan hendaknya.. insyaALLAH. FAF pun pandai jaga adik-adiknya. Gegirl pun sayang sangat kat abang-abangnya. Selalu rasa secure sebab dia cakap dia ada 3 abang. Kalau gaduh pun nanti selalu cakap.. Eh.. tak boleh gaduh-gaduh.. kita kan adik beradik. Bijak sangat gegirl. Selalu juga dia yang ingatkan abang-abangnya. Abang dah sedekah Al-fatihah untuk mummy ke belum? Semoga arwah mummy tenang di sana.. insyaALLAH.
Bangun pagi-pagi anak-anak dah tak sabar nak mandi. Alhamdulillah.. seronok tengok anak-anak enjoy bercuti di sini. Aku dengan en.asben keluar cari sarapan. Kalau nak makan kat cafe tu pun boleh. Tapi saja nak cari makanan kat luar.

Kesayangan.. 
2 perempuan 5 lelaki.. Syukur. Semoga semuanya membesar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Semoga semuanya sentiasa mendapat keberkatan hidup serta kejayaan dan kecemerlangan  di dunia dan akhirat.. insyaALLAH.
InsyaALLAH.. ada rezeki nanti kita pergi bercuti lagi.

Gedebush..
Asyik nak terjun aje semuanya. Siap somersoult lagi. Kagum mama tengok.
Kalau ikut mama dengan arwah mummy memang kita orang jenis penakut air. Sampai ke sudah tak pandai berenang he..he..

Alhamdulillah.. kami seronok dapat bercuti dan jalan-jalan di Taiping. Dapat jumpa dan peluk cium tok. Dapat melawat pakcik di Lenggong. Dapat jumpa saudara-mara di Taiping dan dapat penuhi undangan perkahwinan jiran Kajang di kampungnya di Ipoh. Waktu nak balik Bangi hari sabtu tu jalan dah mula jem. Memang berjam-jam atas jalan. Adatlah bila berjalan time cuti perayaan dan cuti panjang kan. Hadap ajelah tak perlu nak mengeluh sangat. Sebab sendiri yang cari penyakit nak berjalan sangat he..he.. Jadi, pasrah ajelah.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, February 17, 2015

Ruangan Homework..

Assalamualaikum..

Semalam Han tegur. Mama period lagi eh? Aku tanyalah, kenapa? Dia kata sebab  susun atur dalam rumah bertukar lagi he..he.. Han kata, dia perasan, last month pun time period aku alihkan kedudukan sofa. Aku sendiri pun tak perasan. Tapi memang lately aku rajin sikit  nak alih-alihkan kedudukan perabot kat dalam rumah. Buat sendiri takde orang tolong pun takde hal. Janji dapat alihkan kedudukan perabot agar tak rasa bosan dengan susun atur yang sama. Tak kisahlah tak cantik pun kedudukannya. Asalkan kena di mata aku, aku dah puas hati. Lepas tu yang paling penting aku boleh menyapu bawah-bawah sofa dan almari tanpa halangan.

Macam kali ni aku buat ruangan untuk homework. Ceh..ceh.. beria pulak nak ada ruangan khas. Aku bukannya apa, anak-anak memang setiap hari ada homework. Kalau buat dalam bilik memang akhirnya kerja rumah tak siap. Sudahnya semua berlingkar buat depan tv. Kalau buat depan tv kat atas memang x-box didahulukan, kerja rumah diketepikan jawabnya. Jadi suruh buat kat depan tv kat bawah aje. Senang nak pantau. Tapi bila buat depan tv, satu rumah jadi berselerak. Tiap kali aku turun time anak-anak buat homework, mata aku sakit sebab satu rumah nampak bersepah. Seorang kat sini, seorang kat sana, seorang kat situ.  So, kena ada ruangan khas. 

Ruangan Homework katanya.. he..he.. 
Setakat dua tiga hari ni memang anak-anak buat homework kat atas meja tu. 

Sekarang bila aku turun bawah hanya ruangan ini aje yang akan bersepah bila anak buat homework. Tapi itu pun lepas dah siap homework, anak-anak akan pastikan atas meja tu kembali kosong. (Tak tahulah displin tu bertahan berapa lama he..he.. selalunya kejap aje hu..hu..) Aku korbankan meja kopi ni untuk anak-anak buat homework. Maka.. takde lagi dah buat homework sambil meniarap atas karpet. Mengelak dari semuanya tahu-tahu tertiarap atas buku sebab tertidur dulu he..he..

 Setakat ni anak-anak suka aje buat homework kat sini sebab dia orang  masih boleh tengok tv. Bila orang datang, anak-anak masih boleh terus buat homework kat sini sebab kawasan ni terlindung dengan sofa. Jadi kalau bersepah pun kat situ orang tak perasan sangat. Anak-anak pun tak terganggu. So, itulah dia ruangan homework kat rumahku. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, February 12, 2015

Port Dickson pun bestlah..

Assalamualaikum..

Hari ni dah nak masuk pertengahan bulan 2. Tahun lepas, awal-awal tahu lagi aku dah selamat bercuti ke Bali. Kemudian selepas itu dah sibuk buat survey untuk percutian kami ke Hong Kong untuk pertengahan tahun pulak. Hujung tahun bercuti ke Legoland. Tapi tahun ni, tak sempat nak ke mana-mana lagi. Nak plan untuk ke mana-mana lagi pun belum. Orang kaki jalan macam aku memang tak boleh duduk diam. Jadi tak senang duduk dibuatnya bila rasa macam dah lama tak pergi bercuti. Cukup duit ke tak cukup duit ke kepala asyik ingat nak pergi bercuti aje he..he.. (Tapi kalau tak cukup pun gigih juga nak menyimpan dan berjimat cermat asalkan dapat jalan).  

Nak berjalan sangat tu bukan apa. Aku seronok nak menikmati alam ciptaan ALLAH yang Maha Luas dan Maha Indah.  Nak pergi melihat tempat orang. Semoga ALLAH sentiasa murahkan rezeki kami sekeluarga untuk dapat sampai ke tempat-tempat yang ingin kami lawati.. insyaALLAH. Sebenarnya, kalau dapat berjalan tu tak kiralah tempatnya dekat atau jauh. Tak kiralah dalam negara atau luar negara. Semuanya masih boleh memberikan rasa keterujaan, keseronokan dan kepuasan. Pendek kata asal nama berjalan atau bercuti aje dah suka. Memang macam rasa nak like 30 juta kali he..he..

 Pantai Port Dickson, where you at.. where you at

Dapat pergi PD pun aku dah suka sangat. Sebab walaupun dekat, sesuatu tempat itu tetap ada keistimewaannya. Macam percutian kami sekeluarga ke PD dua tahun lepas, sampai sekarang pun aku masih teringatkan keseronokannya. Bila tengok gambar aje jadi terkenang-kenang.  Kalau dapat bercuti ke PD lagi pun best ni. Masa ni kami menginap di Ancasa. (Antara percutian kami sekeluarga bersama arwah adikku). Best tau  pantai kat area Ancasa tu. Nak main pasir pun best. Aktiviti airnya pun banyak. Puaslah anak-anak naik banana boat, donut boat dan segala aktiviti yang ada yang aku sendiri tak tahu nama.

Yang buatkan anak-anak lagi seronok ialah bila mereka dapat sertai aktiviti air tu berkali-kali. Bila dia orang nak naik sekali aku memang takde hal. Tak kisahlah nak kena keluar duit biar anak-anak dapat merasa bila sesekali bercuti. Tapi kalau berkali-kali tu err.. menjadi hal jugalah he..he.. Sebab semua aktivitinya berbayar. Kalau seorang takpe lagi. Kalau dah sepuluh orang dan nak naik pun berkali-kali memang kena reject jugalah dengan aku he..he.. Tapi arwah adik aku memang sangat pemurah orangnya. Nak naik  banyak kali pun naiklah. Sebab dia tak kisah nak belanja. Ya ALLAH.. semoga kemurahan hatinya yang selalu tak kedekut akan membuatkan arwah adikku berbahagia di sana insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, February 10, 2015

Bintang... Aku rindu!

Assalamualaikum.. 

Malam semalam kami sekeluarga pergi melawat saudara yang meninggal dunia di Taman Tun.  Semoga roh arwah dicucuri rahmat.. insyaALLAH. Separuh perjalanan diberitahu yang jenazah sudah dikebumikan sebelum maghrib. Takde rezeki kami untuk sempat melawat. Tak mengapalah. Nak buat macam mana bila makluman sebenar  lambat diterima. Nak mencari rumah anaknya untuk menziarah memang tak tahu di mana. Sebab pada awalnya diberitahu jenazah di bawa ke masjid. Nak mencari masjid tentulah lebih senang. Tapi nak mencari rumah yang tak tahu alamatnya, susah sikitlah nak jumpa. Bila dah macam tu kami pun nak berpatah balik. 

Tapi abang sepupuku yang sudah berpatah balik lebih awal dari kami  telefon ajak singgah ke rumah emaknya. Nak jamu Nasi Bariani JM. Bila dah macam tu kami pun terus ke USJ saja. Sampai rumah makcikku dah pukul 10.20 malam. He..he.. dah nak tengah malam bertambah juga makan nasi bariani kambing. Aduhai.. sedapnya.. teringat ni pun dah telan liur balik. Makan nasi dia aje pun dah sedap. Makan dengan lauk bariani dia lagilah best. Lembut betul daging kambingnya. Sampai dalam tulang pun lembut sangat isinya. Makan di rumah taukenya memang balik pun dapat tapau nasi bariani lagi. Alhamdulillah.. rezeki.

Lepas makan dan lepas bersembang sekejap, pukul 11 lebih kami pun balik. Dalam perjalanan nampak bulan yang 3/4 penuh. Subhanallah.. Indahnya. Besarnya kuasa ALLAH. Malam tadi bulan nampak besar dan bercahaya kuning. Dalam memuji kebesaran ALLAH dan kecantikan bulan, makcikku menyebut. Sekarang ni yang boleh nampak hanya bulan. Jarang sekali nak nampak kerlipan bintang. Aku pun ikut bersetuju. Betullah juga. Sekarang ini tiap kali malam, tatkala mendongak ke langit, yang selalu dapat dilihat hanyalah bulan. Kerlipan bintang bagaikan menghilang. Ianya bagaikan tiada lagi di langit. Macam dah lama tak dapat lihat bintang bertaburan. Dengan keadaan langit yang selalu kelam   memang susah nak nampak bintang yang banyak macam dulu.

Bintang... Aku rindu! Kalau waktu kecil-kecil dulu, aku suka membilang bintang di langit. Balik mengaji di waktu malam, kepala selalu mendongak ke langit. Leka mencari bintang berderet tiga. Kata orang kalau nampak bintang berderet tiga itu tandanya malam nak hujan. Kalau hujan akan bertambah sejuklah malam. Akan lenalah tidur. Tapi ianya bukanlah sahih pun. Tapi seronok juga nak mencari bintang berderet tiga. Seronok nak mengira bintang yang cahayanya indah. Waktu itu, kerlipan bintang terasa cukup banyak. Tak terkira dengan jari. Tapi sekarang, macam malam tadi, satu bintang pun tak kelihatan. Tebal sangatkah lapisan pencemaran di langit kini? Sehinggakan bintang yang dirindu terlalu sukar untuk ditemui.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Saturday, February 7, 2015

Penawar Batuk..

Assalamualaikum..

Segala Puji bagi ALLAH yang mendatangkan penyakit dan memberikan kesembuhan.

Petang semalam, tekakku rasa tak selesa. Selepas maghrib, masa drive nak ambil emak dan anak-anak buahku di rumah arwah adikku, tekakku dah mula rasa sakit. Tapi aku tak buat apa-apa pun. Lepas isyak baring kat bawah sambil tengok Maharaja Lawak Akhir 2014. Tak tengok habis pun sebab terlelap dulu depan tv. Bila terjaga tu tekak makin rasa sakit. Mungkin sebab tidur dalam sejuk dengan kipas dan aircond tanpa selimut. Nak sambung tidur badan mula tak selesa sebab aku batuk teruk pulak. Dengan tekak yang sakit, bila batuk tu rasa sakitnya sampai ke dada. Akhirnya aku bangun dan makan ubat batuk satu sudu besar. Tekak dengan dada yang rasa sakit sangat jadi sedikit lega bila aku ambil ubat batuk tu tanpa air. Tapi sekejap aje rasa leganya. Sekejap lagi dah rasa sakit tekak lagi. Batuk pun jadi tak henti-henti. Rasa tak best sangat. Tapi bila teringatkan yang penyakit itu penghapus dosa, aku jadi redha. Ya ALLAH.. ampunilah dosa-dosaku yang banyak itu. Semoga ada dosa-dosaku yang terhapus dengan sakit yang ALLAH datangkan.. insyaALLAH.

Bila asyik batuk, nak tidur pun jadi tak boleh. Nak baca ayat kursi pun tersekat-sekat. Tapi gigih juga baca. Selalu bila sihat, kadang tu tak sempat nak baca dah tidur dulu. Nak buat amalan yang Rasulullah s.a.w pesan untuk diamalkan sebelum tidur pun bila sihat kadang tu memang tak buat. Bila sakit dan tak dapat nak tidur baru gigih nak buat dalam batuk-batuk. Waktu baca ALLAHUAKBAR.. ALLAHUAKBAR.. terasa macam sebutan itu meresap ke tekak hingga ke dada. Sedikit sebanyak melegakan rasa sakit akibat batuk tu. Tapi selepas itu aku masih terbatuk-batuk lagi. Masih tak boleh nak tidur juga. Memang aku dah bajet sendiri. Kalau batuk yang macam tu, selalunya dalam masa dua tiga hari tak tentu boleh hilang. Sebab batuk tu macam teruk. Jenis yang batuk dengan tekak gatal dan dada sakit. Dah bajet juga yang esok pagi mungkin aku akan demam sekali.

Terus teringat pembacaan perkongsian di whatsapp. Antara hikmah sakit ni ialah ALLAH mahu kita menyebut namanya. Bila sihat kita selalu terlupa. Tapi bila sakit, masa itulah kita lebih menyebut namaNYA. SUBHANALLAH.. ianya sangat betul. Bila dah asyik batuk dan tak boleh tidur, lebih rajin mulut nak berzikir. Lebih-lebih lagi bila sebut ALLAHUAKBAR.. ALLAHUAKBAR.. macam terasa sebutan itu meresap di tekak hingga ke dada. Sudahnya aku terus menyebut ALLAHUAKBAR.. ALLAHUAKBAR.. sehinggalah aku tertidur. Pagi ni waktu terbangun waktu subuh, tekakku dah hilang sakitnya. Batuk pun dah langsung takde. Memang dah betul-betul sembuh. Aku siap boleh termenung kejap. Semalam yang tekak aku sakit dan batuk pun kuat tu aku cuma bermimpi ke apa? Tapi bila tahu yang ianya memang benar-benar aku alami, terus saja mulut ini mengucapkan ALHAMDULILLAH.. Syukur  Ya ALLAH kerana memberikan kesembuhan. Terus bangun untuk solat subuh.

Sehingga ke pagi ni.. tiada lagi sakit tekak mahupun batuk lagi. SUBHANALLAH.. aku rasa cukup ajaib. Sampai sekarang pun aku macam rasa percaya tak percaya aje. Betul ke semalam aku memang sakit tekak dan batuk teruk tu? ALLAHUAKBAR.. besar sungguh kuasa ALLAH. ALLAH yang datangkan penyakit. ALLAH juga yang menyembuhkan. Dalam sakit, ALLAH memberikan kita pengajaranNYA. Dalam sakit, ALLAH menghapuskan dosa-dosa kita. Dalam sakit, ALLAH mengambil masa kita untuk lebih menyebut namaNYA. Lebih beramal dengan ayat-ayat suciNYA. Sakit memerlukan kita untuk berikhtiar bagi memperolehi kesembuhan. Sebagai jalan usaha aku mengambil ubat batuk. Aku usahakan juga dengan terapi zikir. Berbalik kepada tajuk entryku, Penawar Batuk yang sangat berkesan untuk menghilangkan batukku ialah ubat batuk yang aku ambil dan sebutan ALLAHUAKBAR yang berulang-ulang. Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk orang lain juga.. insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Friday, February 6, 2015

Untuk kali yang ke-3..

Assalamualaikum..

Segala Puji bagi ALLAH Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Salam jumaat yang mulia buat semua.

Alhamdulillah.. syukur.. Permohonan anak saudaraku FAF untuk masuk ke SMKA Maahad Hamidiah Kajang telah diterima. Kelmarin dapat call dari Maahad untuk ambil surat tawaran. InsyaALLAH.. isnin ini FAF akan memulakan persekolahannya di sana. Untuk Tingkatan 1 ni, dalam masa sebulan dah 3 kali FAF bertukar sekolah. Aku pulak berulang ke sekolah lama, sekolah baru dan Jabatan Pendidikan. Alhamdulillah.. akhirnya FAF dapat juga masuk ke sekolah pilihan pertamanya. Dapat masuk dalam pengambilan ke-3 kut. Tak kisahlah, asalkan dapat. Kalau arwah mummy ada, tentu dia suka. Sebab waktu Is dapat masuk ke sekolah tu dulu, arwah pun ikut suka sangat bila mendengarnya.

Tahun lepas sebelum UPSR, sewaktu FAF meminta aku isikan Permohonan untuk sekolah di tingkatan 1, memang aku pohon sekolah-sekolah yang FAF sendiri mahukan. Saya nak masuk sekolah Is  atau sekolah Han, katanya. Maka, aku pohonkan untuknya SMKA Maahad dan SMK Jalan Empat. InsyaALLAH, kalau dapat 5A ada peluanglah masuk ke sekolah-sekolah tu, jadi awak kena buat yang terbaik waktu UPSR, aku memberi semangat. Tapi kedua-dua sekolah itu FAF tak dapat nak masuk untuk kali pertama. Tak kisahlah kerana di sekolah yang FAF di hantar untuk ke tingkatan 1, dia masih dapat masuk ke kelas KRK. Kelas yang baik juga tu. Jadi tiada hal sangat pun kalau dia belajar di situ. Namun setelah seminggu belajar di sekolah tu, aku dapat panggilan dari Jabatan Pendidikan untuk ambil surat tawaran masuk FAF ke sekolah Han. 

Syukur.. sebab pada mulanya aku diberitahu yang sekolah dari Kajang memang tak boleh masuk ke SMK Jalan Empat. Sebab sekolah tu hanya untuk pelajar 5A sekitar Bangi saja. Jadi pasrah ajelah bila tak boleh nak masuk  kalau dah itu syaratnya. Tapi bila dah dapat, aku pun pindahkan FAF ke sekolah tu. Isi semula borang maklumat murid yang banyak-banyak tu. Pergi semula temankan FAF untuk  pendaftaran masuk ke tingkatan satu di SMK Jalan Empat. Sempatlah bersekolah di sana untuk 2 minggu. Dia pun nampaknya seronok bersekolah di situ. Tapi bila dapat panggilan ke Maahad ni dia nak bertukar juga sebab itulah sekolah yang dia memang nak masuk sangat. Semalam, dah beritahu gurunya untuk pertukaran sekolah tu. Semua dokumen untuk di bawa ke sekolah baru sudah diperolehi.

Bila permohanan pertama untuk masuk ke Maahad tidak berjaya, aku sendiri masih mengharapkan semoga FAF ada peluang juga untuk masuk ke sekolah tu dalam pengambilan yang seterusnya jika ada rezeki. Sebab Is dulu pun begitu. Dapat masuk dalam pengambilan ke-3 juga rasanya. Jadi aku bersabar untuk menunggu panggilan seterusnya sambil berdoa agar dimurahkan rezeki. Awal minggu ni aku membelek diari tahun 2014. Dalam membaca diari lama tu, aku teringat untuk check tarikh Is dapat masuk ke Maahad tahun lepas. Memang awal bulan Februari juga Is mendapat tawarannya. Jadi memang aku menunggu-nunggu manalah tahu kalau ada rezeki yang sama untuk FAF juga di awal bulan Februari ni.

Bila ada panggilan masuk di HPku dari nombor telefon yang permulaan nombornya dari Kajang, aku sudah berdebar-debar. Suara pun bergetar semacam ketika menjawab panggilan tersebut. (Ha..ha.. mamanya yang gelabah lebih). Sebab aku dapat rasa yang  panggilan itu dari SMKA Maahad. Alhamdulillah.. seperti yang aku duga, ianya memang benar. Maka, sekali lagi aku ke sekolah untuk ambil surat tawaran. Isi semula borang maklumat yang banyak-banyak tu. Isnin nanti, kena temankan FAF untuk pendaftaran tingkatan 1 sekali lagi. Takpelah, kena susah sikit. Semoga ianya berhasil untuk menjadikan FAF insan yang lebih cemerlang ilmunya, akhlaknya, sahsiah dirinya dan segala yang membawa  kebaikan untuknya di dunia dan di akhirat insyaALLAH. Jutaan terima kasih buat semua Guru-guru yang budiman di SKKU, SMKKU dan SMKJE.

Teringat lagi waktu arwah adik aku  sakit. Setiap kali dia ditahan di wad dia akan menelefonku untuk datang bawakan barang keperluan untuknya. Itu, ini yang di pesan tentang keperluannya. Tak pernah pun dia pesan apa-apa kepadaku tentang anak-anaknya. Sebab pesanan tentang tu sudah disampaikan kepada emak  yang menjaga anak-anaknya. Tapi setiap kali itu  aku akan memberitahunya yang aku akan uruskan segala keperluan dia. Minta dia untuk berehat saja di wad dan  jangan susah-susah hati. Secara spontan juga aku akan memberitahunya, jangan risau, anak-anak kau nanti aku uruskan. Ayat itu juga yang aku sebutkan kepadanya ketika dia koma dan pada saat terakhirnya. InsyaALLAH, selagi daya, aku akan uruskan anak-anaknya. Doaku, semoga ALLAH permudahkan segala urusanku, insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, February 5, 2015

Lelaki saiko..

Assalamualaikum..

Dua, tiga hari ni ramai yang bercerita pasal lelaki saiko. Di surat khabar pun aku ada terbaca tentang tu. Takziah buat keluarga mangsa. Semoga roh arwah tenang di sana, insyaALLAH. Aku ada terbaca di blog orang lain juga tentang cerita seram mereka yang pernah ada pengalaman dengan lelaki saiko ni. Membacanya pun dah buatkan berdiri bulu roma. Aku tak ada pengalaman sendiri denga lelaki saiko. Tapi arwah adik aku pernah kena. Jadi aku tahu, lelaki macam tu memang wujud dan selagi tak terjadi apa-apa, takde siapa boleh buat apa-apa dengan lelaki yang macam tu. Gila lama adik aku kena ganggu dengan lelaki saiko tu. Sampai arwah adik aku jadi takut dibuatnya. Dah buat report polis pun. Tapi tak boleh diambil tindakan sebab lelaki tu tak buat apa-apa kesalahan jenayah yang membolehkan dia ditangkap.

Dulu, lepas sekolah arwah adik aku berkerja kat KL. Hari-hari pergi kerja naik bas dari Bangi ke KL. Bila dah hari-hari naik bas, driver dan konduktor bas memang kenallah. Ada seorang mamat ni (konduktor bas ke driver bas entah.. aku tak pasti) berkenan  kat arwah adik aku. Tapi arwah adik aku memang tak pernah layan sebab dia memang dah ada boyfriend waktu tu. Arwah adik aku ni pulak memang bukan jenis yang suka layan-layan orang. Dalam adik aku tak layan pun mamat tu masih syok juga kat adik aku. Masih  nak kacau jugak lagi.  Kacau yang macam mana? Kacau dia jenis ambil tahu tentang adik aku.  Dia tahu  adik aku tinggal kat mana. Siap hantar buah tangan kat rumah bagi menunjukkan yang dia tahu kat mana arwah adik aku tinggal. Sangat menakutkan bila dia tahu tempat tinggal tanpa diberitahu. Tak ke maknanya dalam senyap dia ikut adik aku untuk tahu semua tu. Seram betul.

Kadang-kadang, bila waktu pagi adik aku nak pergi kerja ada aje mamat  tu tunggu dan ikut dia.  Sampaikan boyfriend adik aku terpaksa tunggu kat KL dan bagi warning kat mamat tu. Tapi itu pun dia masih berani nak kacau lagi. Sudahnya adik aku terpaksa pindah. Duduk kat KL biar tak perlu berulang naik bas lagi dari Bangi ke  KL setiap hari. Ingatkan dah settle dah kes tu. Tapi masih kena kacau lagi. Boleh pulak dia datang  kacau kat tempat kerja pulak. Siap boleh duduk kat bank tempat arwah adik aku berkerja walaupun tanpa sebarang urusan untuk tunjukkan dia tahu adik aku kerja kat mana. Mahu tak takut kalau kena macam tu? Aku yang dengar pun takut. Trauma kut bila kena kacau macam tu. Arwah adik aku terus kena kacau sampailah  dia bertunang dengan boyfriend dia. 

Bila dah macam tu.. emak aku, tunang arwah dan pakcik aku terpaksa pergi cari rumah mamat tu untuk beritahu pada keluarga dia. Boleh bayangkan tak macam mana teruknya bila kena kacau dengan orang yang saiko ni. Sampai kita pulak kena pergi mengadap dia balik. Pergi cari pun sebab nak minta tolong sangat-sangat kat mamat tu supaya tak kacau adik aku lagi sebab adik aku dah nak kahwin dah. Waktu emak aku pergi tu, takde pulak mamat tu kat rumah. Mak aku cerita, mamat tu dah kahwin dah pun. Siap dah ada anak perempuan yang belasan tahun lagi. Masa mak aku datang tu anak dia tengah makan. Bila dia orang cerita, anak dia tunduk aje sampai tak jadi nak teruskan makan. Mak aku cakap, kesian sangat tengok. Mungkin sedih kut dengan perangai saiko ayah dia.  Isteri dia cakap dia tak tahu apa-apa pun pasal tu. Dia pun minta maaf banyak-banyak dengan perangai suami dia. Rasanya lepas dari tu takde dah dia kacau lagi.

Tapi... cerita tu tak habis di situ saja ya. Orang saiko ni rupanya dia boleh relaks kejap untuk satu-satu masa. Cerita bersambung selepas beberapa tahun  arwah adik aku berkahwin dengan arwah suami dia (yang dulunya tunang tu). Dah ada seorang anak dah pun. Boleh pulak masa tu cerita mamat tu timbul kembali dengan membuat kacau yang lebih hebat. Hebat macam mana? Tak pasal-pasal ada orang datang kat rumah mak aku sebagai wakil meminang. Bila wakil tu sebut dia datang dari kampung bla..bla.. terus emak aku teringatkan mamat tu. Kiranya rombongan meminang tu datang untuk pinang arwah adik aku untuk mamat saiko tu.  Yang datang tu satu kereta ada lelaki dan perempuan macam makcik-makciklah. Katanya ada sebuah lagi kereta yang nak datang sepatutnya.  Tapi tak dapat sampai sebab tayar kereta pecah ke apa entah. Memang nampak betul-betul nak datang meminang ni. 

Waktu tu pulak emak aku sorang-sorang aje kat rumah. Memang mengelabahlah  emak aku bila tiba-tiba ada rombongan meminang datang rumah. Lagi gelabah  bila yang nak dipinang tu anak dia  yang dah pun jadi isteri orang. Sebab takut, emak aku tak bukak pintu pun. Cakap pun ikut tingkap aje.  Memang mengigil emak aku masa datang beritahu kat aku dan en.asben lepas rombongan meminang tu balik. Itu pun  lepas emak aku cakap adik aku dah kahwin.  Wakil yang datang tu pun tak tahu cerita rupanya. Memang saiko betul mamat tu. Main redah ikut suka dia aje datang meminang isteri orang. Arwah adik aku dengan suami dia punyalah terkejut dengan cerita tu. Alhamdulillah.. selepas dari tu takde lagi dah mamat tu buat kacau. Ditakdirkan, sebulan selepas tu arwah suami arwah adik aku tu meninggal kerana demam denggi. Al-fatihah untuk kedua-dua arwah.

Aku tak boleh bayang kalau arwah adik aku terus kena kacau dengan si saiko tu lepas arwah suami dia meninggal. Alhamdulillah.. ALLAH melindungi.  Minta dijauhkan hendaknya untuk ada pengalaman dengan orang-orang yang sebegitu. Bila kita tak kena, kita boleh kata kenapalah tak lari? Kenapalah nak ikut? Kenapalah nak layan?  Tapi kita tak tahu apa yang orang terkena perlu hadapi lepas dah buat macam-macam. Apa yang boleh aku rumuskan dari kisah arwah adik aku, orang saiko ni tak kiralah kita layan mereka atau pun tidak. Kalau mereka nak kacau kita, mereka akan kacau juga. Jadi.. kalau tak tahu cerita sebenar janganlah buat rumusan sendiri. Yang tak kena memang tak tahu. Semoga ALLAH sentiasa melindungi kita dan ahli keluarga kita hendaknya. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Tuesday, February 3, 2015

Pembuka tin..

Assalamualaikum..

Lauk sardin memang favourite aku. Tak kisah masak apa pun, kalau namanya sardin aku memang suka sangat. Kalau kena pilih antara karipap kentang dengan karipap sardin, aku akan pilih karipap sardin  he..he.. Tapi sejak ada yang beritahu, kata tak elok sangat kalau selalu makan sardin, demi untuk lebih menghargai kesihatan dah lama juga aku tak makan sardin. Stok sardin kat rumah pun rasanya dah dua bulan tak beli. Tapi minggu lepas waktu temankan emak beli barang dapur, tangan aku laju aje mencapai satu tin sardin. Tadi aku dengan en.asben ada jemputan kenduri. Puas mengajak anak-anak untuk ikut sekali. Tapi takde siapa yang sudi nak ikut dengan alasan nak siapkan homework. Bila dah macam tu terpaksalah aku masak juga dulu sebelum pergi kenduri. Tengah keluarkan ikan dari dalam fridge teringatkan sardin yang aku baru beli. Apalagi.. terus masukkan ikan dari dalam fridge dan capai tin sardin dari dalam kabinet. Waktu  buka tin sardin aku teringatkan kisah dulu-dulu.

Masa tu aku dah darjah 6 kut. Ke dah masuk form 1. Tak berapa nak ingat dah. Tapi yang aku ingat aku macam baru masuk remaja. Waktu tu pergi menziarah rumah saudara kat kawasan perumahan elit kat KL. Masa kita orang datang tu, anak tuan rumah ada bawak bakal isteri dia datang juga. Bakal isteri dia ni anak orang kaya. Cantik akak tu. Cakap pun jenis manja-manja dan sangat peramah orangnya. Di mata aku memang perfectlah akak tu nak berjodohan dengan anak tuan rumah yang juga handsome. Sekufulah juga sebab sama-sama anak orang berada. (Bila type ni rasa macam cerita novellah pulak. Tapi ini bukan cerita novel ya. Ini realiti he..he..). Bila time nak hidangkan minuman dan makanan, yang perempuan-perempuan  semua ikutlah masuk dapur. Bolehlah tolong-tolong apa yang patut. Lagipun rumah saudara sendiri kan. Jadi takde hallah nak ikut ke dapur pun. Aku yang kononnya dah remaja waktu tu pun ikutlah juga masuk dapur agar orang tak kata.. ish anak dara siapalah yang tak reti menolong kat dapur tu ha..ha..

Waktu nak buat air teh kut. Ke milo entah. Tapi yang pasti kena buka tin susu. Yang akak bakal isteri anak tuan rumah ni punya part ialah nak buat air. Lama dia cuba nak bukak tin susu. Try macam ni. Try macam tu. Tapi sudahnya tak berhasil juga sebab dia tak tahu nak guna pembuka tin tu. Tak retilah nak buat..  Akuinya dengan jujur.  Bila dah macam tu orang lain pun ambil alih kerja tu. Penuh sopan juga suruh akak tu duduk kat depan aje. Biar dia orang aje yang buat. Sebab setakat nak buat air tak perlulah orang sampai penuh dapur. Bila akak tu dah keluar ke depan, yang lain mula tersenyum-senyum. Hmm.. buka tin pun tak tahu.  Pembuka tin pun tak tahu guna. Biasalah anak orang kaya. (Dah macam scene dramalah pulak bila ada aje yang nak bagi label kat orang. Tapi biasalah mulut makcik-makcik. Dalam drama atau kat luar drama memang ada yang begitu he..he..) Mendengarnya aku jadi cuak. 

Alamak.. aku pun tak reti nak buka tin. Tak reti juga nak guna pembuka tin. Aduhai.. macam mana ni? Macam mana nak pergi rumah bakal mertua nanti kalau buka tin pun tak pass. Okey... seorang anak remaja yang baru aje masuk remaja pada waktu tu dah gelabah pasal nak pergi rumah bakal mertua. Ya ALLAH, aku ke tu? Awat gatai sangat.. ha..ha.. Dipendekkan cerita, sejak dari hari tu, aku belajar untuk buka tin. Belajar cara guna pembuka tin. Bila nampak orang nak buka tin aje aku ikut menyibuk sebab nak belajar cara guna pembuka tin tu. Sebab pembuka tin kan ada berjenis-jenis. Caranya pun lain-lain. Menjelang usia dah boleh kahwin, memang semua pembuka tin yang 2, 3 jenis kat rumah emak memang aku dah master.. ehem..ehem..  

Sekarang ni.. dah hampir 20 tahun aku kahwin. Bab pergi rumah bakal mertua memang dah lama dah lepas. Tapi adakalanya masih fail juga nak buka tin kat rumah mertua sebab tak tahu cara ha..ha.. Walaupun bukan main lagi aku nak jadi master untuk tahu cara guna pembuka tin. Bukan  setakat nak buka tin aje, kadang tu nak masak atau guna peralatan dapur atau cara potong sayur pun ada yang tak lepas. Kalaulah aku dapat contoh yang baik selain dari sekadar akak tu tak reti buka tin susu..  Macam dapat contoh kena tahu masak kek ke? masak kuih muih ke? masak lauk pauk ke? Sure aku dah master bab-bab tu juga sekarang. He..he.. sudahnya sampai sekarang ni selepas 17 tahun kahwin skill aku masih macam anak remaja lagi. Masih tahu sikit-sikit aje. Tapi tak bolehlah nak salahkan aku sebab aku ada alasan yang kukuh. Alasannya waktu remaja dulu aku banyak habiskan masa dengan belajar cara guna pembuka tin sehinggakan aku tertinggal skill yang lain ha..ha.. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...