Thursday, December 31, 2020

Hadiah Tahun Baharu 2021...

Bismillahirahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Buat semua Selamat Tahun Baharu 2021. Semoga kita semua terus direzekikan dengan segala kebaikan dunia akhirat.. Aamiin Ya Mujib. Sedikit HADIAH untuk dikongsi bersama di hujung tahun 2020. Perkongsian orang lain di grup whatsapp. Semoga bermanfaat.. in shaa ALLAH.

Hadiah terbaik untuk seorang sahabat adalah MENDOAKAN.

Hadiah terbaik untuk seorang musuh adalah KEMAAFAN.

Hadiah terbaik untuk seorang guru adalah PENGHORMATAN.

Hadiah terbaik untuk seorang murid adalah TAULADAN.

Hadiah terbaik untuk sebuah kehidupan adalah KASIH SAYANG.

Hadiah terbaik untuk sebuah kematian adalah AL-FATIHAH.

Hadiah terbaik untuk orang tua adalah KEBAKTIAN.

Hadiah terbaik untuk pasangan adalah KESETIAAN dan PENGHARGAAN.

Hadiah terbaik untuk seorang anak adalah PENDIDIKAN.

Hadiah terbaik untuk diri sendiri adalah KEJUJURAN.

Hadiah terbaik untuk orang yang tidak dikenali adalah SENYUMAN. 

Jom perbanyakkan juga selawat dan zikir untuk menemani hari-hari kita yang seterusnya. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah. 

Monday, December 14, 2020

2020 yang baik..

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Hai blog. Lamanya kita senyap kan hehe.. Tahu-tahu dah Disember. Tahu-tahu 2020 dah nak melabuhkan tirainya. Walau apapun yang terlakar untuk tahun 2020 pastinya 2020 tetap istimewa seperti tahun-tahun yang lain juga. Alhamdulillah.. Semoga kita semua terus direzekikan untuk menjadi hamba ALLAH yang selalu bersyukur. 

Untuk diriku sendiri, 2020 tetap tahun yang indah dan penuh warna warni buat diriku dan keluarga.  Terlalu banyak perkara yang tidak terjangka, begitu banyak pengajaran juga yang ditimba. Syukur Ya ALLAH.  Tahun ini aku belajar untuk memandang kehidupan dari sudut yang berbeza. ALLAHU.. dan nikmat ALLAH yang mana mahu kau dustakan? Terima kasih ALLAH atas petunjuk, taufiq dan hidayahMU. 

Tahun ini juga aku mula belajar untuk melihat kebaikan pada orang lain. Untuk rasa bersyukur dengan nikmat orang-orang sekelilingku yang ALLAH pinjamkan. Subhanallah.. Bila kita mahu melihat yang baik-baik pada orang lagi, segala kebaikan mereka kita temui. Terus rasa mahu menjadi baik juga. Bila kita boleh lebih bersyukur dengan apa yang ALLAH pinjamkan, segala yang baik-baik terus ALLAH pinjamkan. ALLAHU.. hidup rasa lebih bermakna dan hati rasa cukup tenang. 

Hidup pasti ada pasang surutnya. Selagi hidup selagi itulah kita akan bertemu dengan masalah. Kalau tak dengan orang lain masalah dengan diri kita sendiri. Kalau tak masalah besar, masalah kecil.  Itulah lumrah kehidupan.  Tapi bila kita boleh berlapang dada dengan apa yang telah ditakdirkan ALLAH untuk kita, segalanya akan menjadi baik-baik saja. Terus positif. Terus bersangka baik. Terus doakan yang terbaik. In shaa ALLAH, apa yang kita cari itulah yang akan kita temui. 

Mahu kehidupan yang baik kena doa yang baik-baik, buat amalan yang baik, fikir yang baik-baik, kena perbaiki diri untuk menjadi lebih baik juga kena  belajar untuk mendoakan yang baik-baik untuk orang lain juga. Itu ilmu yang aku belajar di tahun 2020 ini. Semoga segala yang terbaik ALLAH terus rezekikan buat kita dan keluarga  untuk kehidupan dunia dan akhirat.. Aamiin Ya Mujib.  

Semoga ada rezeki untuk mencoret perkara yang baik-baik lagi di sini nanti.. in shaa ALLAH.

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Wednesday, September 9, 2020

Abang rindu mama..

 Bismilahirahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Bulan ni agak sibuk dengan kerja. Mengikut jadual macam banyak kena kerja di luar. Bila dah diberitahu jadualnya jadi awal-awal lagi dan sediakan diri agar lebih bersedia mental dan fizikal. Urusan di rumah pun cuba diatur dengan sebaiknya. Nak buat kerja kena selalu tenang-tenang. Bila tenang semua perkara akan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.. In shaa ALLAH.

Minggu lepas out station ke Kelantan. Sejak PKP dah lama betul tak mengacara. Kiranya ini program besar yang pertama buatku selepas PKP. Adalah gubra sikit bila nak kembali bercakap di hadapan orang ramai. Alhamdulillah.. dengan izin dan bantuan ALLAH semuanya terkawal dan berjalan dengan lancar. Terima kasih juga buat team hebat yang terlibat. Syukur Ya ALLAH. 

Dah lama betul tak ke Kota Bharu. 
Ada acara ni dapatlah kembali ke KB. 

Aku ke Kelantan naik bas bersama urus setia. Kami naik bas 2 tingkat. Mula-mula rasa macam gayat hahaha.. dah naik tu rasa okey aje. Seronok juga sekali-sekala naik bas dalam masa yang panjang sambil menikmati pemandangan tempat orang. Penat layan pemandangan layan mata pula sambil merehatkan badan. 

Waktu dalam perjalanan balik, dah nak sampai KL dah masa tu, Is call. Selalu kalau call beritahu duit dah nak habis. Kali ni takde pulak dia cakap pasal tu. Tanyalah kenapa abang call mama ni? Sebab suara dia dengar macam lain. Abang rindu mama.. katanya. Allahu.. pandai rindu mama juga anak bujang mama tu. Ingatkan tak pandai nak rindu mama hehe.. ALLAHU.. besarnya rasa hati mendengarnya. Alhamdulillah.

Memang kebelakangan ini aku dan en.asben asyik bercerita pasal Is. Suka flashback cerita lama pasal anak kedua kami. Tengok gambar dia masa kecik-kecik terus teringat cerita lama. Is masa kecil kuat melalak. Takde hal pun dia  suka menangis. Kalau ada hal lagilah dia menangis. Sampai muntah-muntah lagi. Memang jadi bahanlah sampai sekarang hehe.. Dah besar ni syukur dia tak banyak masalah. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH.

Mama, ayah dan Is sebulan yang lalu.

Selalu tu paling lama pun 3 minggu tak jumpa. Musim PKP ni tak dapat balik. Dah lebih sebulan juga tak dapat jumpa. Itu yang dah pandai rindu mama. Cerita kat en.asben dah ayahnya jeles pulak. Kenapa dia tak call I cakap rindu juga? hehehe.. Tentulah dia rindu ayah juga. Cuma dengan ayah mungkin dia segan sikit nak cakap. 

Waktu di KB, hotel kami sebelah supermarket. Selesai kerja petang tu ada masa sikit kami jalan-jalanlah ke situ. Sampai kat tempat kasut kami tengok-tengok kasut. Sekali ada kawan yang beritahu, hah.. ini style Kak Fea. Lepas tu ada yang lain cakap lagi macam tu juga sambil tunjuk fesyen kasut yang memang menjadi kesukaan aku. Hahaha.. Gelak aku dengar. Sebab kawan-kawan yang rapat kat ofis pun selalu cakap macam tu. Ini kasut Kak Fea hehe.. Semua tahu style kasut favourite aku. 

Waktu kat surau ofis lepas balik dari KB pun ada yang cakap perkara yang sama. Tengok kasut dah tahu siapa yang punya. Aduhai.. Kasut aku mesti tapak dia wedges dan tinggi. Kiranya sekarang, kawan yang rapat memang dah tahu sangat pasal tu. Kawan yang tak rapat pun dah mula tahu itulah style aku. Alhamdulillah.. perkara kecil yang orang ingat tentang kita pun dapat buat diri rasa istimewa. Syukur Ya ALLAH.

Alhamdulillah.. kelmarin ada kejayaan yang ALLAH pinjamkan untukku. Tak pernah terfikir dan tak pernah termimpi aku akan memperolehinya. Sungguhlah yang rezeki ALLAH itu Maha Luas. Syukur atas rezekiMU Ya ALLAH. Pastinya aku rasa sangat gembira dan teruja. Tapi kegembiraan dan keterujaan En.asben tentang hal itu nampaknya melebihi dariku. Terasa seperti mendapat kejayaan berganda bila lihat reaksinya yang begitu. ALLAHU.. terima kasih ALLAH atas rezekiMU dan segala pinjamanMU untukku. Semoga aku dan kita semua terus direzekikan untuk menjadi hamba ALLAH yang selalu bersyukur.. in shaa ALLAH.

Alhamdulillah.. siap juga entry untuk kali ini. In shaa ALLAH.. sampai jumpa lagi. Bilangan pembaca nampaknya bertambah sekarang ini. Teringin sangat nak tahu siapalah mereka-mereka yang sudi membaca coretanku ini. Kalau dulu selalunya kawan-kawan blogger. Tapi sekarang aku dah tak boleh teka. Walau apa pun, untuk semua yang membaca, terima kasih banyak aku ucapkan. Yang baik dari ALLAH. Yang buruk pastinya dari kekurangan diriku sendiri. Salam sejahtera dan  semoga kalian sentiasa berada dalam perlindungan ALLAH.. Aamiin Ya Mujib. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.  

Wednesday, August 26, 2020

Rezeki..

Bismillahirahmanirrahim.. 

Assalamualaikum.. 

Salam Maal Hijrah 1442. Salam hujung ogos 2020! Asyik mengelat aje nak buat entry baru. Setiap hari ada cerita yang ingin dikongsi. Tapi selalu juga ada rasa mahu menyimpannya sendiri. Tapi bila menulis semua benda rasa nak cerita. Macam mana tu? Hehe.. Tak kisahlah. Tulis banyak ke. Tulis sikit ke. Tulis selalu atau jarang menulis pun. Asalkan dapat terus menulis. Semoga ALLAH terus izinkan dan segalanya ALLAH permudahkan.. in shaa ALLAH.

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Syukur Ya ALLAH. Banyak perkara yang perlu aku syukuri. Bantu aku Ya ALLAH untuk selalu bersyukur. Terlalu banyak yang ALLAH beri. Terlalu banyak yang ALLAH terus pinjamkan. Terasa diri sangat kerdil bila mengenang segala nikmat ALLAH. ALLAHU.. SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.. ALLAHUAKBAR. Allah Maha Baik. Allah Maha Hebat. Allah Maha Memiliki. Allah Maha Memberi. 

Seminggu yang lepas anak buahku diuji dengan masalah kesihatan. Seisi keluarga berasa gundah. Risaunya hati hanya ALLAH yang tahu. Untuk seminggu ini doa untuknya lebih banyak dari doa untuk diri sendiri. Ahli keluarga yang lain pastinya juga begitu. Begitulah bila seseorang itu berada dekat di hati. Mendoakan mereka bagaikan mendoakan diri sendiri. Saat diuji, doa dari orang lain menjadi  kekuatan dan semangat. Syukur bila ramai yang menyokong dan turut sama mendoakan. Hari ini dikhabarkan anak saudaraku telah pulih sepenuhnya. Allahu Syukur. Alhamdulillah. Terima kasih Ya ALLAH. Tiada daya dan kekuatan tanpa izin dariMU.

Jumaat lepas birthday emak yang ke 69 tahun. Manis senyuman emak menerima ucapan dari anak cucu juga dari adik-adik dan anak-anak saudaranya. Doaku semoga emak terus direzekikan dengan umur yang berkat, kesihatan yang baik serta kebahagiaan yang berpanjangan di dunia dan di akhirat. Semoga emak dan arwah ayah direzekikan untuk menjadi ahli Syurga Firdaus. Begitu juga en.asben  dan anak-anakku. Emak dan ayah mertuaku. Adik beradik, kaum keluarga, kawan-kawan, jiran-jiran dan semua yang aku sayang serta yang pernah berada dalam kehidupanku. ALLAHU.. Hidup di dunia hanya sementara. Semoga kita semua dapat bersama kekal dalam Syurga ALLAH.. Aamiin Ya Mujib.

Ahli di rumah dah tak cukup korum. Hati juga masih tak tenang kerana waktu itu  anak buah masih tidak sihat. Jadi nak buat sambutan hari jadi emak jadi macam tak seronok. Hari sabtu bawa emak keluar makan. Tanya nak makan kat mana emak tiada jawapan. Jadi bawa emak makan di kedai makan yang banyak ulam-ulaman. Seronok tengok emak makan dengan berselera. Tempoyak ikan patin diratah sambil memuji keenakannya. Selepas makan bawa emak ke Baskin Robbins pula. Kali ini lebih mahu merai anak-anak di hari jadi nenek. Selesai di Baskin Robbins singgah ke Secret Recipe pula. Emak suka kek Chocolate Indulgence. Walaupun  tak ramai tetap beli sebiji kek juga. Biar semua puas makan kek. Sebelum balik rumah singgah beli ayam bakar.

Petang tu aku masak nasi goreng. Hidang dengan ayam bakar. Kami potong kek raikan harijadi emak. Alhamdulillah.. hati rasa berbunga bila emak nampak seronok. Masih tak sudah memuji kesedapan makanan tengah hari tadi. Tak sudah juga memuji kek coklat kegemarannya. ALLAHU.. semoga ALLAH terus rezekikan aku dan en.asben untuk dapat selalu membahagiakan hati emak juga emak dan ayah mertuaku. Di usia begini, tiada yang lebih membahagiakan selain dari dapat membahagiakan hati emak, emak ayah, suami, anak-anak, kaum keluarga dan orang-orang disekelilingku. Aku sangat percaya bila kita bahagiakan orang, ALLAH akan beri kita bahagia. Bila kita permudahkan urusan orang, ALLAH akan mudahkan urusan kita pula. Bila kita mampu maafkan orang lain, ALLAH akan beri segala yang kita tak pernah jangka. ALLAHU.. terima kasih ALLAH.

Sekarang ini rezeki terasa murah. Ramai yang selalu memberi. Peluang menerima membuatkan aku mahu lebih kerap ikut memberi. Itu juga satu bentuk rezeki yang harus disyukuri. Perkongsian yang datang pada waktu yang tepat juga rezeki. Teringat untuk berzikir dan beristighfar, itu rezeki. Dikelilingi oleh orang sekeliling yang baik-baik juga rezeki. Masih dapat bernafas lagi setiap pagi itu rezeki. Ada yang sayang, itu rezeki. Kenapa you sayang I? Katanya.. sebab you tak pernah mahu menyusahkan, sebab you tak suka meminta-minta, sebab you baik, sebab you rajin solat.. Bisikan yang indah itu masih selalu terngiang-ngiang. ALLAHU.. itu juga rezeki. Bukan untuk membuatkan aku besar diri. Tapi membuatkan aku mahu menjadi orang yang lebih baik hanya kerana ALLAH pada setiap hari. Bantu aku Ya ALLAH.

Tiny Room, Little Loft.. Alhamdulillah.. Rezeki dapat menikmati impian yang ALLAH pinjamkan. Dan nikmat ALLAH yang mana mahu kau dustakan?

Tengah hari tadi bos belanja makan tengah hari. TQ bos. Balik ofis terasa nak makan yang manis-manis pula. Senyum sendiri bila terpandangkan coklat dalam laci yang diberi teman yang berkongsi bouquet coklat harijadinya pagi tadi. Waktu yang sama teringat juga ada yang memberi sesikat pisang pagi tadi. Ambil sebiji dan makan, manis dan sedap rasanya. Ditakdirkan, tuan yang memberi lalu pada waktu itu. Dapatlah sekali lagi ucapkan terima kasih dan mendoakan perkara-yang baik-baik untuknya. Bila kita berterima kasih, ALLAH akan beri lebih banyak lagi. Bila kita doakan yang baik-baik untuk orang lain, ALLAH beri yang baik-baik juga untuk kita. Jadi mana ruginya suka berterima kasih dan mendoakan orang lain??? ALLAHU.. semoga aku lebih selalu beringat tentang itu. Bantu aku Ya ALLAH.

Hah.. kan dah kata. Bila dah menulis tu semua benda aku nak cerita. Eh.. sampai sini dululah.  Nanti ada rezeki aku menulis lagi. Sampai jumpa lagi. Jom terus berkongsi kebaikan dan melakukan kebaikan. Semoga ALLAH bantu dan permudahkan segala urusan kita semua dunia akhirat. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi dengan limpahan rahmat dan kasih sayang ALLAH, limpahan rezekiNYA, limpahan perlindunganNYA serta limpahan petunjuk dan hidayahNYA. Ya ALLAH Ya Bari'. Wahai ALLAH Yang Maha Mengurus.. Bantu kami untuk menguruskan kehidupan kami. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Wednesday, July 29, 2020

Julai 2020

Bismillahirahmaninrrahim..

Assalamualaikum..

Bulan julai dah hampir tiba di penghujungnya. Baru tersedar tiada entry langsung di bulan julai ini. Macamkan busy sangat hehe.. padahal mood menulis tu tak berapa nak ada. Sementara bulan julai masih berbaki 3 hari lagi jadi aku cuba manfaatkan masa yang ada ini untuk menulis perkara-perkara yang berlaku dalam keluarga kami di bulan Julai 2020. Sebulan ini, banyak peristiwa yang berlaku. Jadi aku mahu simpan di sini sebagai kenangan kami sekeluarga.

Alhamdulillah.. Malam semalam pakai seluar nampak macam peha dah kecil sikit. Sikit aje pun he..he.. Tapi rasa happylah jugak. Baru teringat since Jun sebaik selepas PKP memang aku kembali buat brisk walking kat taman. Selepas sebulan lebih ni baru perasan hasilnya. Berat masih maintain dalam 59-61kg. 62kg adalah alarm aku. Kalau cecah 62kg aku akan lebih jaga makan dan tambah aktiviti harian sikit. Alhamdulillah.. dapatlah kembali maintain di angka 59-61kg. Setakat ni berat dah tak turun lagi. Takpelah.. dapat maintain pun aku dah bersyukur sangat. 

Sekarang setiap pagi sabtu dan ahad memang rajin nak berjalan di taman. Dari golek-golek aje sementara nak buat sarapan atau nak keluar beli sarapan lebih baiklah buat aktiviti yang lebih berfaedah. Yang bestnya sekarang en.asben suka nak temankan. Kalau kata nak pergi taman aje dia akan temankan. I  teman untuk support you ma, katanya. Allahu.. Alhamdulillah.. Jadi lagi semangat bila berteman. Kalau dengan en.asben mesti buat warm up dulu sebelum mula jalan. Kalau buat sorang-sorang dulu, aku terus jalan aje. Hehe.. itu yang sakit-sakit badan selepas tu. Dah sebulan lebih ni macam bosan pulak pusing kat tempat sama aje. Nak pergi taman yang lebih jauh rasa macam buang masa pulak. Sabtu lepas kami tukar route. Rasa lebih fresh bila pusing kat tempat baru. Selesai berjalan kami beli air kelapa muda fresh yang ada dijual di situ.  Semoga kami dapat istiqamah menjaga kesihatan hendaknya. Bantu kami Ya ALLAH. 

7/7/2020 - Pagi itu dapat berita yang keadaan makcikku yang telah dipotong kakinya pada februari 2020 akibat kencing manis tidak berapa baik. Menjelang petang keadaannya semakin kritikal. Lebih kurang jam 8 malam makcikku telah kembali ke rahmatullah. Entry sebelum ni aku bercerita tentang makcikku yang mewakilkan kami sekeluarga juga pakcik makcikku untuk rombongan bagi pertunangan anak sulungnya. Sepuluh hari kemudiannya, di Hospital Taiping  makcikku pulang ke negeri abadi. Esoknya jam 5 pagi kami bertolak pulang ke Taiping. Aku, en.asben, emak, Gegirl dan Hafiy.  Anak-anak yang lain tinggal. Han sedang final exam. Ada construction yang masih tak selesai di rumah. Jadi anak-anak lelaki yang besar-besar juga kena tinggal di rumah. Pakcik, makcik, anaknya serta seorang lagi sepupu serta anaknya naik kereta kami sekali. 

Alhamdulillah.. perjalanan lancar. Hujan turun di beberapa tempat. Jam 8.30 pagi kami selamat tiba di Taiping. Jenazah arwah makcikku di bawa ke rumah pakcikku. Alhamdulillah.. kami sempat memandikan dan mengkafankan jenazah arwah makcikku bersama anak-anak arwah makcikku. Rasa sangat bersyukur kerana hubungan keluarga sebelah emak memang sangat-sangat rapat semuanya. Dulu setiap kali berkumpul kami berada bersama-sama. Waktu memandikan dan mengkafankan jenazah arwah kami juga buat bersama-sama. Allahu.. semoga  kami dapat terus jaga hubungan ini sebaiknya.  Semoga kami dan kita semua direzekikan untuk dapat masuk syurga bersama seluruh ahli keluarga dan orang-orang yang kita sayang.. Aamiin ya Mujib. In shaa ALLAH.

Selesai urusan pengkebumian kami ke rumah nenek saudara untuk sarapan pagi. Hubungan kami memang rapat. Jadi bila berjumpa suasana jadi sangat meriah. Selepas itu kami kembali ke rumah pakcikku untuk makan tengah hari. Siap makan nasi dijamu pula dengan laksa dan ABC. Semoga terus dimurahkan rezeki semuanya. Selesai solat kami ke rumah arwah makcikku pula. Melawat pakcikku lagi sebelum pulang. Alhamdulillah.. keadaan pakcikku yang stroke nampak semakin baik sekarang. Banyak urusan yang dapat dilakukan sendiri. Pakcikku dan anak-anaknya juga nampak kuat. Alhamdulillah. Semua milik kita hanya pinjaman kan. Bila reda dengan kehilangan hati jadi lebih tenang. 

Sebelum balik ke Bangi kami singgah makan mee udang. Pakcik aku nak belanja makan. Sepupu yang di Taiping pun ada yang join sama. Selesai makan kami terus bertolak pulang. Selamat sampai rumah jam 11 malam.  Alhamdulillah.. perjalanan kami selamat, urusan kami dipermudahkan dan ada rezeki dapat menjaga hubungan silaturahim. Syukur Ya ALLAH.

15/07/2020 dan 22/7/2020 - Anak-anak kembali ke sekolah selepas PKP. Semoga anak-anak kita dan kita semua terus dilindungi dan dijauhkan dari  wabak Covid 19. Semoga wabak Corona Virus ini akan cepat-cepat pulih dan berakhir hendaknya.. Aamiin Ya Mujib.

18/7/2020 - Sejak petang hujan turun dengan lebatnya di sekitar Bangi dan Kajang. Hampir masuk waktu maghrib, kakak ipar telefon beritahu rumah mertua banjir. Air sungai naik akibat hujan. Selesai solat kami cepat-cepat ke rumah mertua. Hujan masih sangat lebat. Banyak kawasan yang dah mula naik air. Jalan sesak. Hampir setengah jam baru dapat sampai di rumah mertua. Waktu kami sampai air dah mula naik melepasi lutut. Waktu meredah air, air dah sampai peha. Risau sangat takut terpijak longkang. Alhamdulillah.. kami selamat sampai ke rumah mertua. Dalam rumah mertua air semakin naik lagi. Kami sama-sama alihkan barang-barang yang boleh dipindahkan ke tingkat atas. Dalam lima minit kemudiannya, rumah dah black out. Bergelaplah kami. Berbekalkan cahaya dari  torch light phone kami pindahkan barang-barang meredah air sedalam paras pinggang. 

Allahu.. Bila air makin naik barang-barang rumah mula terapung. Sofa dan jadi macam sampan. Fridge kat dapur pun tumbang satu-satu. Almari pun ada yang tumbang. Kereta yang ayah dah alihkan pun  kena banjir bila tempat yang dialihkan pun naik air. Bila ada bas atau lori besar lalu memang dalam rumah air berombak macam kat laut tu. Alhamdulillah.. sekejap lepas tu jalan depan rumah dah ditutup. Takdelah air berombak lagi. Selesai alih-alihkan barang kami duduk aje kat tangga dalam gelap tu. Tak ada apa yang boleh dibuat pun. En. asben dan anak bujang duduk berborak di luar dengan jiran setaman. Kami yang di dalam rumah dah salin kain bersih dan masuk berehat dalam bilik. Hampir pukul 12 tengah malam en.asben dan anak-anak bujang masuk rumah semula. Hujan dah berhenti. Air dalam rumah baru surut sejengkal airnya. Kami ambil keputusan untuk balik rumah dahalu.

Esoknya sebaik selesai solat subuh kami terus ke rumah mertua untuk membantu kerja-kerja membersihkan rumah. Sebaknya tengok rumah mertua waktu tu. Lantai dan dinding berlumpur. Almari banyak yang rosak. Barang-barang rumah berselerakan. Bawang, kentang bertaburan di sekitar rumah. Allahu. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mula-mula kami jadi blur sekejap tak tahu nak mula dari mana. Perlahan-lahan mula nampak rentak dan kerja pencucian berjalan lancar. Anak cucu emak-ayah bersama-sama membantu membersihkan rumah. Alhamdulillah.. pagi tu abang ipar belikan sarapan. Emak aku juga ada masakkan nasi lemak untuk kami. Tengah hari kami makan KFC pula. Mengemas-mengemas juga. Perut tetap perlu diisi. 

Alhamdulillah.. petang itu 1/3 bahagian rumah dah siap dibersihkan. Penat rasa badan. Tapi bila buat kerja sama-sama rasa penat jadi kurang. Kami balik sekejap untuk mandi dan solat. Selepas asar datang semula ke rumah mertua. Sebelum balik malam tu belikan dulu makanan untuk emak dan ayah. Beli sekali makanan untuk kami hehehe.. Ambil peluang guna alasan penat untuk dapat pelepasan tak masak hahaha.. Esoknya, isnin aku tak masuk ofis. Badan masih letih. Tapi  rasa tak best pulak nak berehat di rumah sebab rumah mertua masih belum siap berkemas. Jadi selesai urusan di rumah kami ke rumah emak untuk menyambung kerja-kerja pembersihan. Banyak lagi pinggan mangkuk yang perlu dicuci. Banyak almari perlu dibuang. Semoga ALLAH mengantikan dengan sesuatu yang lebih baik buat mertuaku.. In shaa ALLAH. Setelah seminggu masih ada juga yang tak selesai dikemas. Hari ini pun anak-anak ke rumah mertua untuk membantu nenek mengalihkan almari. Tak mengapalah. Perlahan-lahan boleh cuba diselesaikan. Semoga ALLAH bantu. 

25 Julai 2020 - Kenduri doa selamat di rumah kakak ipar. Esoknya anak ketiganya akan bernikah. Alhamdulillah.. dapatlah berkumpul dengan keluarga sebelah mertua. Seronoknya dapat kembali berjumpa setelah berbulan-bulan tak jumpa termasuk hari raya. Meriah sangat suasananya. Alhamdulillah.. Syukur. Hubungan keluarga mertuaku juga sangat-sangat rapat. Jadi bila berjumpa tu rasa seronok sangat. Banyak cerita yang mahu di kongsi. Rumah mertua juga baru ditimpa banjir jadi dapatlah berkongsi cerita tentang kenangan banjir.  Makanan yang dihidang semua sedap-sedap belaka. Ada nasi campur, bihun sup tulang, laksam, beraneka kuih muih dan cheese cake, ada bubur, ada jagung rebus. Kami bawa fruit cocktail. Allahu.. kenyang sangat perut dibuatnya. Alhamdulillah.. syukur atas rezekiMU ALLAH.

26 Julai 2020 - Majlis pernikahan dan perkahwinan Ilman dan Marissa. Anak buah pertama yang melangsungkan perkahwinan dalam family en.asben.  Alhamdulillah.. majlis pernikahan dan majlis persandingan di pihak perempuan berjalan dengan lancar dan mengikut SOP PKPP. Seramai 50 orang rombongan keluarga ke majlis di pihak perempuan. In shaa ALLAH majlis di sebelah kakak iparku akan diadakan pada bulan oktober nanti. Yeaaay.. Ada kenduri lagi. Aku kan suka kenduri kendara ni he..he.. Didoakan semoga Ilman dan Marissa sentiasa saling mencintai dan berkasih sayang kerana ALLAH, direzekikan dengan anak-anak soleh-solehah dan dilimpahkan dengan kebahagiaan yang berpanjangan till Jannah.. In shaa ALLAH. 

29 Julai 2020 - Alhamdulillah.. Projek 2 loteng di rumah kami hampir siap sepenuhnya setelah sebulan. Terima kasih ALLAH. Tiada apa yang berlaku tanpa izin dari ALLAH. Hajat untuk membuat loteng menjadi kenyataan juga akhirnya. Rasa bersyukur sangat. Thank you ALLAH. Ada ruang tambahan buat kami sekeluarga di syurga dunia kami.  Tak sabar nak susun barang dan mengemas rumah bersih-bersih sebaik projek ini siap sepenuhnya. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah. Semoga kehidupan kita semua akan sentiasa dirahmati dengan limpahan rahmat, limpahan kasih sayang dan limpahan perlindungan dariMU ya ALLAH. Aamiin Ya Mujib. 
  
31 Julai 2020 - Hari Raya Aidiladha bagi tahun 2020. Semoga ibadah korban yang kita lakukan diterima oleh ALLAH. Semoga iman dan amal kita akan sentiasa terjaga.. Aamiin Ya Mujib. Hari ini ramai yang dah mula bercuti. Ada juga dah selamat balik kampung. Alhamdulillah.. Didoakan semoga semuanya sentiasa selamat dan dilindungi ALLAH sentiasa. Jaga diri dan jaga jarak kita ya. Selamat Hari Raya Aidiladha buat semua!

Sekian dulu. Jom banyakkan berzikir dan berselawat.

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah.

Tuesday, June 30, 2020

Baik..

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Allahu.. Lamanya tak menulis di sini. Raya sakan atau PKP sakan, tak tahulah  hehe.. Alhamdulillah.. sekarang ni dah mula kerja macam biasa. Hampir 3 minggu dah masuk ofis. Alhamdulillah.. kehidupan juga berjalan dengan penuh lancar dengan izin ALLAH. Ada kurang di sini sana kita perbaikilah dan perbetulkan. Yang penting perbetulkan diri sendiri tanpa perlu menunding jari menyalahkan orang lain. Hidup ini kan tak lari dari ujian. Bahagia itu kita yang cipta. Bagaimana nak bahagia? Serahkan semuanya kepada ALLAH. Tugas kita banyakkan berbuat baik kerana ALLAH. In shaa ALLAH.. Bahagia akan menyusul kerana setiap kebaikan balasannya kebaikan juga. Siapa yang tak bahagia bila memperolehi kebaikan? Betul tak?

Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula). Surah Ar-Rahman Ayat 60.

Banyak sangat ganjaran tentang kebaikan yang kita dapat temukan dalam Al-Quran. Salah satunya dalam ayat 60 Surah Ar-Rahman. Pernah aku tertanya-tanya sendiri. Kenapa ayat dalam Al-Quran itu berulang-ulang? Berulang-ulang kali membaca Al-Quran aku masih belum temui jawapannya. Sehinggalah aku mula sedar. Manusia itu, ada bermacam-macam jenis dan bermacam-macam juga pemahamannya. Ada yang baca sekali, dah faham dan dapat mengamalkannya. Ada yang perlu membacanya berulang-ulang kali baru faham dan baru dapat mengamalkannya. ALLAHUAKBAR. ALLAH itu MAHA TAHU. Semua yang ALLAH cipta itu penuh hikmah. SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.. ALLAHUAKBAR..

Pernah ada ketika, aku terfikir. Kenapa aku boleh berbuat baik? Boleh berbuat baik dengan orang yang baik, itu biasa. Boleh berbuat baik dengan orang yang bersikap tidak baik itu, hmmmm.. ianya memang luar biasa. Kenapa aku boleh bercakap baik dengan mereka? Kenapa aku masih mahu menjaga hati mereka? Tanpa sedar, semuanya bukan kerana aku baik. Tapi kerana ALLAH mahu aku berlaku baik. Kalau sekadar untuk dapat pujian manusia, bagi aku itu semua sangat tidak berbaloi. Lama mana orang asyik nak memuji kebaikan kita? Lama mana orang akan mengingati kebaikan kita? Tiada jawapan yang pasti. Apa yang pasti, Janji ALLAH itu pasti. Setiap kebaikan balasannya kebaikan pula!

Sebelum PKP kami balik kampung. Ada kenduri dan niat paling utama untuk melawat makcikku yang dipotong kakinya kerana kencing manis. Pakcikku juga tidak sesihat dulu akibat stroke. Semoga ALLAH merezekikan kesihatan yang baik juga kesabaran yang tinggi buat pakcik makcikku sekeluarga. Selagi tak bawa emak melawat adik dan adik iparnya, hati aku rasa tak tenteram. Ingat nak menginap di hotel. Tapi kami tukar kepada balik hari saja sebab hotel-hotel yang aku nak booking penuh. Maklumlah waktu itu dah masuk cuti sekolah. Jadi aku minta izin dari En.Asben untuk diberikan duit yang sepatutnya kami gunakan untuk booking hotel kepada makcik dan pakcikku saja.

Walaupun aku ada pendapatan sendiri, tapi setiap apa yang ingin aku belanjakan memang aku selalu minta izin dari En.Asben terlebih dahulu. Dah terbiasa begitu dan aku selesa begitu. Waktu aku kecil dulu, pakcik itulah yang banyak membantuku. Setiap tahun, sebelum buka sekolah dia akan belikan aku dan adikku alat-alat tulis. Rasanya setiap tahun begitu. Baik sangat pakcikku. Kisah itu aku ceritakan kepada en.asben. Aku katakan padanya, jika ada peluang aku mahu lakukan kebaikan untuk pakcikku pula. Nak membantu, apa sangatlah yang boleh aku lakukan sekadar dapat melawat sekali sekala. Dapat menghulur sedikit pun dah terasa indah rasa hati. Aku tahu, bukan wang ringgit yang pakcikku harapkan. Mereka sendiri ada duit. Tapi peluang memberi itu  punya makna tersendiri. 

Dua minggu lepas, anak sulung pakcikku itu menelefonku. Meminta kami serta emak dan pakcik makcikku mewakilkan bapak dan emaknya untuk urusan meminang untuknya bertunang. Kecil tapak tangan nyiru aku tadahkan. Tiada masalah untuk membantu. Tambah lagi untuk keluarga pakcikku yang jasanya tidak akan pernah aku lupa. Hujung minggu lepas kami ke Pagoh untuk urusan tersebut. Alhamdulillah.. segalanya dipermudahkan. Majlis pertunangan sepupuku di musim PKPP ini berjalan dengan lancar. Syukur. Kami sekeluarga disambut dengan baik oleh keluarga tunang sepupuku. ALLAHU.. Besar rasa hati dapat layanan yang baik. Makanan yang dihidang sedap-sedap semuanya. Alhamdulillah.. perut kenyang, hati senang. 

Alhamdulillah.. Selamat bertunang Along dan Saida. 
Cantik manis tunang Along. Welcome to our family Saida. Musim PKP ni majlis bukan boleh ramai-ramai. Rombongan kami pun cuma 10 orang. Kalau selalu tu tak 10 kereta tak sah hehe..

Acara perbincangan. Adik ipar aku sepagai jurucakap bagi pihak kami. 

Kami dan ahli keluarga baru. 
Semoga berkekalan hingga ke jinjang pelamin dan ALLAH izinkan till Jannah. Aamiin Ya Mujib. 

Selesai majlis pertunangan kami singgah di rumah arwah pakcik aku di Pagoh. Dekat sangat pun rumahnya dengan rumah tunang sepupuku tadi. Meriah juga sambutan dari makcikku dan anak-anaknya. TQSM Aunty Ya and family. Perut dah kenyang dengan bihun bariani, popia dan laksa penang yang semuanya super sedap. Sebelum balik kami dibekalkan dengan buah rambutan dan buah manggis dari pokok mereka pula. ALLAHU.. Semoga terus berkat rezeki makcikku sekeluarga. 

Singgah menghantar makcikku di Ayer Keroh, kemeriahan silaturahim bersambung lagi. Acara makan-makan tak terputus juga. Alhamdulillah.. Syukur ya ALLAH. Asam pedas tetel dan kambing bakar yang dijamu membuatkan kami tak makan malam dah malam tu hehe.. Kenyang sangat perut. Esoknya makcikku yang di Pagoh ada kirimkan lagi buah tangannya untuk kami melalui adikku yang stay lebih lama di rumahnya. ALLAHU.. apa yang diberi sudah banyak, ditambah lagi pemberiannya. Semoga segala kebaikan ALLAH ganti dengan kebaikan yang lebih baik lagi.. Aamiin Ya Mujib. 

Semalam, seorang pegawai yang dah bersara di musim PKP singgah sekejap di pejabat. Sebelum PKP pun cuma dapat kenal beberapa bulan. Jadi tak serapat mana. Tapi semalam ada sebekas kek yang diberikan untukku juga. ALLAHU.. Rasa berbesar hati menerimanya. Rasa berbesar hati dengan ingatan darinya.  Terima kasih ALLAH kerana rezekikan orang yang baik-baik di sekelilingku. Aku kongsikan di sini agar aku tidak lupa untuk membuat kebaikan yang sama kepada orang lain pula. Agar aku dapat istiqamah melakukan kebaikan hanya kerana ALLAH. 

Sejak dua minggu ini dinding di tangga rumah ada titisan air. Tak banyak tapi bila dah tak berhenti menitis basahlah juga tangga. Tak tahu puncanya dari mana. Puas kami buat post mortem sendiri. Tapi gagal menemui puncanya. Dalam masa yang sama ada projek lain pula di rumah. Projek yang menjadi idaman hati aku dan en.asben untuk anak-anak kami. Jadi kami tak boleh nak panggil   kontraktor lain untuk check masalah air di dinding tersebut. Tak mahulah ramai orang datang rumah dalam satu-satu masa di musim PKP ni. Jadi terpaksalah bersabar dahulu. Jadi untuk dua minggu ini aku reda ajelah. Setiap hari tukar kain untuk menahan air dari tangga basah. 

Semalam, selepas solat isyak waktu nak tukar kain yang menahan air, kain tu  dah kering. Pegang dinding pun dah kering juga. ALLAHU.. Syukur. Terima kasih ALLAH. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Hal yang kecil juga boleh buat hati rasa sangat bahagia. Setiap perkara juga ada peredarannya. Sabar dan cuba cari penyelesaiannya dengan jalan sabar juga. Cukup sampai sini dulu. Aku doakan semoga segala kebaikan ALLAH rezekikan buat kalian sekeluarga. 

Jom terus berbuat kebaikan hanya kerana ALLAH. In shaa ALLAH.. Tak rugi berbuat baik. ALLAH dah janji. Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula). ALLAHU.. Betapa beruntungnya orang yang membuat kebaikan hanya kerana ALLAH.  

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah.

Monday, June 1, 2020

Raya PKP Aidilfitri 2020..

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Selamat Hari Raya. Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. Alhamdulillah.. Hari ni dah 10 Syawal. Tahniah untuk yang dah selesaikan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Yang masih belum selesai atau yang masih belum mula, semoga kita sama-sama direzekikan untuk melaksanakannya dan semoga ALLAH terima semua amalan kita.. in shaa ALLAH. Baru terbaca tadi, yang kita semua adalah dituntut untuk berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan. Jadi bila ada yang berkongsi tentang perkara kebaikan marilah kita raikan. Bukan bersangka buruk tentang mereka. Mungkin yang dikongsi itu adalah hidayah untuk kita turut melakukan kebaikan yang sama.. In shaa ALLAH. Hidayah dan petunjuk datang dalam macam-macam cara kan?

Alhamdulillah.. Buat pertama kalinya kami beraya di rumah sendiri untuk Aidilfitri kali ini. Suasana baru yang kemeriahannya masih sama. Tahun ni kami masak rendang ayam, rendang daging, kuah kacang, sayur lodeh dan rebus ketupat nasi dan ketupat palas. Tahun ni juga ada rezeki buat kuih raya sendiri untuk pertama kalinya. Buat biskut Milo, biskut kelapa, tempeyek dan kuih goyang/ros. Hmm.. takdelah penuh meja. Tapi jadilah.. At least something untuk dikenang di musim raya PKP ni. Alhamdulillah.

Biskut Milo mama yang second batch. Buat lagi sebab batch pertama bekas terakhir dah tinggal suku isinya. Buat terus 2 adunan untuk batch ni sebab nak bagi MIL dan SIL. Hehe.. Selalu boleh bagi alasan tak sempat nak buat kuih raya. Dah cuti PKP ni kita usahakanlah sesuatu yang baru. Kalau tak malu kat orang  malu juga kat diri sendiri. Alhamdulillah.. segalanya dipermudahkan oleh ALLAH yang Maha Baik dan Maha Penyayang. 

Sepanjang PKP penggunaan oven di rumah melebihi kapasiti biasa. Setelah berkhidmat dengan jayanya selama 20 tahun suhu bahagian atas dah tak lagi panas. Jadi kalau buat kek atasnya tak garing. Buat roti warnanya tak cantik sebab takde pembakaran dari atas. Han buat biskut pun pucat warnanya. Alhamdulillah.. Rezeki Ramadan dapatlah mama oven baru. Thank you ayah. Oven lama kita tak buang. Fungsinya sekarang hanya untuk panaskan lauk dan buat bakar-bakar ayam. Mama taknak oven baru berbau hehe.. Alhamdulillah.. banyak berjasa oven lama sepanjang ramadan untuk panaskan makanan waktu sahur. Oven baru pun dah mula berjasa juga.. Alhamdulillah.

Dapat oven baru mama terus pasang azam. Kalau ada rezeki nak buat kek untuk raya tahun ni. Nak buat kek marble. Hajatnya nak buat untuk anak-anak makan di hari raya. Sebab anak-anak memang suka kek tu. Untuk bagi Mil, Sil, pakcik makcik dan untuk jiran-jiran juga. Alhamdulillah.. Sehari sebelum raya dapat buat 5 biji kek. Petang raya tambah buat 2 biji kek lagi sebab tak cukup. Dapat baking 7  biji kek memang jadi sejarahlah untuk mama. Kembang-kembang hidung rasa hehe.. Alhamdulillah.. dapat berkongsi rezeki dengan orang lain juga. Syukur. Seronok sangat rasa. Alhamdulillah.. Segalanya dengan izin ALLAH.

Pagi raya selepas solat subuh mama ayah memang dah tak sambung tidur. Ayah memang teruja sebab pagi tu kami nak ziarah dan berhari raya di rumah mertua. Dah lebih 2 bulan tak jumpa mestilah rindu. Walaupun dekat tapi kami tetap tak jumpa. Dah suruh stay at home jadi kita ikutlah arahan dengan sebaik-baiknya. Kita jaga kita dan kita jaga orang yang kita sayang dengan sebaiknya. Pukul 7.30 dah suruh anak-anak bersiap. Lepas siap makan juadah raya kami tunaikan Solat Sunat Aidilfitri di rumah. Kalut-kalut lupa nak ambil gambar menu raya. Takpelah.. gambar makanan memang sentiasa berada di ingatan hehe..


Alhamdulillah.. first time dapat bergambar dengan semua jemaah Solat Sunat Aidilfitri. Sehari sebelum raya mama dah minta anak-anak iron baju raya. Firhan yang dah tinggal dengan papa dia sekarang memang sepanjang PKP ada kat rumah kami. Gegirl dengan Hafiy beraya dengan papa. Jadi takdelah baju rayanya. Dia pinjam baju raya abangnya yang lama. Cari-cari tak jumpa pulak seluar baju melayu kelabu tu. Takpelah.. pakai dengan seluar hitam ajelah. Bila Firhan pakai macam tu, dah semua orang nak pakai dengan seluar hitam jugak. Ayah pun join sekali. So nampak seragamlah semua. Selalu kami takde warna tema baju raya. Cuma tahun lepas en.asben nak kami pakai baju raya warna pastel. Jadi dua tahunlah dapat pakai baju raya tema pastel pilihan en.asben sebab kami pakai baju raya tahun lepas. Alhamdulillah.. 

Alhamdulillah.. Indahnya Syawal. Semoga kita semua direzekikan untuk bertemu lagi dengan Ramadan di tahun-tahun akan datang.. In shaa ALLAH.


Selesai solat, dah bersiap semua kita bergambar raya dulu sambil tunggu nenek bersiap. Selalu bergambar raya di rumah orang sebab balik kampung etc. Tahun ni barulah dapat bergambar raya di rumah sendiri.


Tiada apa milik kita, kan? Semuanya pinjaman.
Semoga ALLAH terus pinjamkan kebahagiaan dan kemeriahan ini untuk kami.. Aamiin Ya Mujib.


Dah settle semua urusan di rumah kami terus ke rumah mertua di Kajang. Alhamdulillah.. seronok dapat kembali berjumpa dan berkumpul dengan emak ayah dan keluarga mertua yang dirindui. Semoga wabak ini akan cepat berakhir.. Aamiin Ya Mujib


Raya PKP. 
Kita simpan sebagai kenangan. Semoga wabak Covid 19 menjauhi kami dan kita semua sejauh-jauhnya. Bantu kami yang ALLAH. Selamatkan kami Ya ALLAH.


Selamat Hari Raya ikhlas dari kami sekeluarga. Mohon maaf zahir dan batin.


Kami bersama kesemua keluarga mertua. Alhamdulillah.. Kami tak merentas negeri. Kami tak lebih 20 orang. Kami tak bermalam. SOP PKP kami patuhi.
Semoga ALLAH lindungi kami dan kita semua dari wabak dan penyakit.

Selesai beraya di rumah mertua, tengah hari tu kami ke rumah makcikku di Bangi yang beraya berseorangan. Sepanjangan PKP asyik cakap nak datang rumah. Tapi takut nak keluar rumah. Ada pelepasan, dapatlah kami berjumpa di hari raya. Adik aku dan keluarga pun ada sekali. Ada pakcik dan keluarganya juga. Alhamdulillah.. kami tetap tak lebih dari 20 orang. Selesai beraya dengan makcikku kami singgah beraya di rumah pakcikku pula. Selepas itu kami terus pulang ke rumah. Petang tu lepak kat rumah aje. Adik aku pun lepak kat rumah sampai malam. Seronoklah kami melaya si comel Luna. Malam tu pakcik aku dan keluarga pula datang beraya ke rumah kami. Cukuplah kuota beraya kami untuk tahun ini. Sederhana namun tetap gembira. Alhamdulillah.. Dapat juga berkumpul bersama keluarga terdekat. Syukur sangat. 


Aku, adik dan emak. Alhamdulillah.. tahun lepas dapat gambar raya bersama. Tahun ni pun ada rezeki lagi bergambar raya bersama. Semoga ALLAH terus izinkan.. In shaa ALLAH.

Alhamdulillah.. cukuplah sikit cerita raya kami untuk tahun 2020 ini sebagai kenangan. Alhamdulillah.. ada rezeki untuk simpan cerita raya kami dalam blog ini. Terima kasih ALLAH untuk segala nikmatMU. Rezekikan kami untuk menjadi hambaMU yang selalu bersyukur. Aamiin Ya Mujib.

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Wednesday, May 20, 2020

Gunting Rambut, Moreh, Resepi Cekodok Bilis dan Kuih Raya PKP..

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Salam 27 Ramadan. Salam PKP ke 5. Salam sejahtera dan salam hormat buat semua. Semoga semuanya dianugerahkan dengan kesihatan yang baik, dianugerahkan dengan keluarga yang bahagia juga dianugerahkan dengan rezeki yang berkat dan melimpah ruah.. Aamiin Ya Mujib.

Ramadan seperti terlalu cepat berlalu. Tapi.. Masa memang akan terus berjalan dan tak akan pernah menunggu kita, kan? Itulah lumrahnya. Semoga baki masa yang ALLAH pinjamkan untuk kita dapat kita isi dengan perkara-perkara kebaikan juga perkara-perkara yang membawa kebahagiaan buat kita dunia akhirat. Semoga kita dapat menjadi hambaNYA yang bertakwa dengan mendirikan solat dan bersabar. 

Alhamdulillah.. Sepanjang PKP dan seterusnya sepanjang Ramadan tahun ini, ada rezeki yang ALLAH pinjamkan untuk membaca Al-Quran berserta tafsirnya. ALLAHU.. Benarlah Al-Quran itu petunjuk. Al-Quran itu panduan. Segala persoalan kehidupan dunia akhirat ada jawapan di dalamnya. ALLAHU.. Terasa kerdil sangat diri bila membaca setiap makna ayat. ALLAHUAKBAR. Semoga kita semua dan seluruh anak cucu keturunan kita dapat mencintai Al-Quran.. In shaa ALLAH.

Dah lebih dua bulan tak ke kedai gunting rambut, rambut en.asben dan anak-anak bujang dah mula panjang. Bila dah panjang mulalah nampak tak berapa kemas. Masuk 2 bulan, en.asben order pemotong rambut online. Alhamdulillah.. rambut anak-anak bujang dan selamat dipotong sesama mereka sendiri dengan sedikit bantuan mama yang kerisauan takut rambut anak gonjeng hehe.. Itupun mama ambil part sikit-sikit aje. Rambut anak muda sekarang kan ada stylenya. Jadi biar dia orang buat sesama sendirilah sebab dia orang lagi tahu.

Alhamdulillah.. walaupun tak sempurna potongannya tapi kemaslah juga rambut masing-masing. Ada sedikit tobek tu kena terimalah dengan hati terbuka sebab masing-masing yang memotong rambut tu semuanya beginner kan. Tapi sebab duduk rumah aje semua pun macam takde hal sangat. Janji rambut tak lagi serabut. Yang selamat rambut Az sorang. Tengok rambut abang-abang tak secantik potongan di kedai terus dia mengelak untuk rambutnya dipotong sampai sekarang hehe.. So masih panjanglah rambut anak bujang bongsu mama tu.  

Rambut ayah, mama tak berani nak potong. Sebab kenal suami sendiri macam mana kan hehe.. tapi tetap rasa geram nak potong bila rambutnya dan mula nampak tak kemas. Dalam tak berani tu tetap ada hati juga nak guntingkan rambut en.asben tu. Sajalah dok offer-offer. Sekali last week en.asben minta potongkan rambut dia terus rasa ketar tangan haha.. Iyalah nak raya dah kut. Dah mula kena masuk ofis juga sekali sekala. Nanti kalau tak elok macam mana????

Alhamdulillah.. dalam takut-takut nak potong rambut en.asben, mama dapat keberanian dan keyakinan bila en.asben kata, takpe ma. Potong aje, janji pendek. Dengan lafaz Bismillah, berbekalkan pengalaman potong rambut anak bujang dua tiga hari sebelum haha.. dan semestinya dengan fokus, hasilnya en asben kata, rugi ajelah bertahun-tahun I potong rambut kat kedai kalau you pun boleh potongkan rambut I macam kat kedai. Hikmah PKP. Baru tahu isteri ada skill untuk potong rambut suami sendiri rupanya. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH atas segala keizinan dari MU. Semalam minta en.asben tolong potongkan rambut mama pulak. Saja nak tukar style. Alhamdulillah.. Mama love this new look. Tq sayang.

Kalau selalu bulan ramadan berat badan dapatlah turun sekilo dua. Tapi tahun ni berat tak turun pun. Alhamdulillah.. syukur berat masih maintain. Selalu aku tak pandai nak makan moreh. Balik surau atau masjid aje terus fikir nak tidur. Tapi bila dah solat terawikh dan witir kat rumah, selesai solat suka aje nak mengunyah join orang lain. Bila macam tu setiap hari mesti kena ada juadah untuk moreh. Bila ada keperluan mulalah datang kerajinan.

Alhamdulillah.. setiap hari mesti ada kuih manis dan kuih pedas. Buah melaka dengan murtabak maggi. Popia dengan puding caramel. Karipap dengan kek. Cucur bilis dengan cucur jagung manis. Murtabak kulit popia dengan bubur. Cekodok udang dengan cekodok pisang. Macam semalam, sardin role dengan bread butter pudding.  Hikmah PKP juga. Ada masa nak masak sendiri untuk keluarga. ALLAHU.. New normal.

Oh.. cucur bilis atau cekodok ikan bilis memang favourite aku. Anak-anak pun memang suka. Setakat ni memang cekodok emak dan MIL the best in the world. Air tangan ibu kut. Puaslah aku belajar cara buat dan minta resepi. Tapi tak jadi juga macam cekodok emak dan MIL walaupun dah ikut resepi dan cara mereka. Sampailah akhirnya aku jumpa cara buat cekodok dengan resepi yang kena dengan tekak dan teksturnya sama macam cekodok emak dan MIL.

Resepinya ialah, sepeket tepung cucur adabi campur tepung gandum (letak tepung gandum sama nisbahnya dengan tepung cucur adabi tu). Tambah bawang hiris, ikan bilis dan air. Jangan cair sangat dan jangan pekat sangat adunan tepung tu. Then sudukan dalam minyak panas. Hasilnya.. Sikit lagi nak sama dengan cekodok air tangan emak dan MIL. Tapi tetap cekodok emak dan MIL is the best in the world. Alhamdulillah.. En.asben dan anak-anak suka. Emak pun suka. Aku lagilah suka. Kuah cili cicah cekodok MIL pun sedap. Dulu buat cekodok makan cicah cili sos botol aje. Pernahlah tiga empat kali buat cili sos resepi MIL bila en.asben request. Bila dah selalu guna resepi sos MIL rasa tak sedap dah cicah cili sos botol. Jadi setiap kali buat cekodok buat sekali sos cili resepi MIL. Cili merah, garam, gula. Aku tambah cuka atau asam limau sikit. Blend guna air suam. Kadang kalau tercair aku tambah cili sos botol sikit. Done! Makan popia cicah sos itu juga. Nyummmss.

So untuk orang yang suka cekodok tapi buat asyik tak menetapi citarasa boleh cuba resepi ni. Kalau tak campur dengan tepung gandum aku tak suka tekstur cekodok yang macam tu. Bila dah campur dengan tepung gandum baru ngam kena dengan selera. Makcik aku yang teror buat cekodok pun puji cekodok aku. Sedap, lembut dan garing katanya. Dia tanya resepi aku malu nak cerita hahaha.. Iyalah ada bahan bantuan kut. Tapi sekarang aku share ajelah kat sini. Apa salahnya kalau kita buat sesuatu dengan bantuan pun. Asalkan hasilnya bagus dan ada kebaikan untuk kita. 

Oh.. Tahun ni buat pertama kalinya mama buat kuih raya. Biskut milo aje pun. Kita buatlah apa yang anak-anak suka. Bila buat batch pertama, balang terakhir dah tinggal suku isinya mama rasa seronoklah nak buat kuih raya lagi hehe.. Alhamdulillah.. ada rezeki buat second batch pulak. Buat terus dua adunan. Buat untuk kami sekeluarga dan kalau ada rezeki nak bagi Mil dan kakak ipar juga. Dah duduk rumah sepanjang ramadan ni, adalah juga hasilnya walaupun sejenis ajepun kuih rayanya hehe..Buat juga biskut kelapa untuk emak. Jadilah buat kudap-kudap di hari raya nanti. 

Cadang hari ni kalau jadi nak buat tempeyek dengan emak. Semoga dipermudahkan.. in shaa ALLAH. Have to stop now. Semoga segala yang baik-baik ALLAH rezekikan untuk kita semua. Alhamdulillah.. hari ni ada rezeki aku buat sesuatu yang aku dah lama ada niat nak buat. Hari ni baru dapat terlaksana. Terima kasih ALLAH. Semuanya dengan izinMU. Tiada daya dan kekuatan tanpa izin ALLAH. Doaku.. semoga kita semua selamat dunia akhirat. Selamat Hari Raya. Maaf Zahir dan Batin.

Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Friday, May 8, 2020

Rezeki PKP dan Ramadan Tahun 2020..

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Salam 15 Ramadan. Salam PKP hari yang ke??? Hmmm.. Dah 50 berapa hari dah ya? Minta maaf. Lost count huhu.. Apa-apa pun didoakan agar semuanya berada dalam keadaan sihat sejahtera, aman bahagia serta dipermudahkan segala urusan bersama keluarga tersayang..  in shaa ALLAH.. Aamiin Ya Mujib.

Alhamdulillah.. Allah rezekikan kita lagi untuk bertemu dengan 15 Ramadan tahun 2020 ini. Allahu.. terasa cepat benar masa berlalu. Sedar tak sedar dah separuh bulan kita berpuasa. Hampir dua bulan kita bersama-sama menjalani Perintah Kawalan Pergerakan. Ramai juga yang telah kembali ke negeri abadi. Innalillahiwaiinailaihirojiun. Mati itu pasti! Kita juga sedang menunggu hari. Semoga kita semua direzekikan dengan kematian yang husnul khotimah. Direzekikan untuk masuk syurga bersama semua ahli keluarga dan orang-orang yang kita sayang.. Aamiin Ya Mujib.

Oh ya.. di kesempatan ini aku ingin meminta maaf dengan setulus hati kepada semua. Aku tahu aku banyak berbuat silap. Aku banyak berbuat salah. Dalam sedar atau tidak, pastinya banyak kekhilafan dan kekurangan diriku sepanjang aku berurusan dengan orang-orang di sekelilingku. ALLAHU.. Maafkan aku! Maafkan aku andai aku selalu bermegah. Maafkan aku andai aku selalu berlebih-lebihan dalam urusanku. Maafkan aku andai aku melampaui batas. Ya ALLAH.. Ampunkan dosaku, terimalah taubatku.

Ramadan kali ini walaupun berlainan dari biasa, namun suasananya tetap sangat indah. ALLAHU.. ALLAH pastinya Maha Indah. Tahun ini, rasanya kami sekeluarga lebih menyambut Ramadan. Mungkin kerana tahu Aidilfitri tahun ini tak sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Jadi tumpuan lebih kepada Ramadan (walaupun sepatutnya setiap tahun pun sepatutnya begitu). Disebabkan itu aku mahu menyimpan memori Ramadan tahun 2020 ini di sini untuk kenangan kami sekeluarga. Juga untuk aku sentiasa rasa bersyukur atas segala nikmat dan pinjaman dari ALLAH.

Dua hari sebelum Ramadan, aku dan en.asben dah siapkan tempat untuk kami sekeluarga solat terawikh berjemaah. Sebab tahun ini tak dapat berjemaah di surau atau masjid. Tahu juga yang tiada tetamu yang akan datang ke rumah sepanjang PKP dan raya tahun ini. Di ruang tamu, karpet kami rapatkan. Meja dan kerusi kami alihkan ke tepi agar ada ruangan yang lebih selesa untuk kami sekeluarga dapat solat berjemaah. Terima kasih buat teman-teman yang berkongsi persiapan untuk ruangan solat bagi menyambut Ramadan. ALLAHU.. Keterujaan orang lain membuatkan aku ikut teruja. 

ALLAHU.. Kita akan dapat kebaikan dari setiap perkongsian orang lain jika kita berfikiran positif.. In shaa ALLAH. Semoga kita semua direzekikan untuk selalu bersangka baik dan dijauhkan dari prasangka buruk. Aamiin Ya Mujib. Alhamdulillah.. sepanjang PKP kami dapat solat berjemaah di rumah. Tapi setiap kali sebelum dan selepas solat, kedudukan kerusi dan meja perlu dialihkan terlebih dulu. Bila dah sediakan ruangan khas, semua orang rasa lebih selesa. Tak payah nak alih-alihkan kerusi meja lagi. Syukur.

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Paling bersyukur, setakat 15 Ramadan tahun ini, kami dapat berjemaah satu keluarga untuk  setiap waktu solat juga solat terawikh dan witir. ALLAHU.. bagiku ianya rezeki PKP dan rezeki Ramadan terbaik untuk kami sekeluarga tahun ini. Syukur Alhamdulillah. Tiada daya dan kekuatan tanpa izin dari ALLAH. Terima kasih ALLAH. Semoga kita semua dapat istiqamah melakukan amal ibadat kita hanya kerana ALLAH. Syukur juga atas setiap rezeki yang ALLAH pinjamkan. ALLAHU.. ALLAHUAKBAR.. YA RAHMAN.. YA RAHIM..

Alhamdulillah.. Juadah Ramadan juga dapat disediakan sendiri sepanjang Ramadan tahun ini. Kalau selalu rajin membeli, tahun ini lebih banyak dapat memasak sendiri. Kuih muih pun boleh ada kuih manis dan pedas setiap hari. Setiap hari rasa cukup seronok dapat sediakan juadah berbuka dan bersahur untuk keluarga tercinta. ALLAHU.. rezeki Ramadan dan PKP juga tu. Alhamdulillah.. Syukur padaMU Ya ALLAH. Semoga kita semua dapat sama-sama ambil peluang untuk berdoa waktu sebelum berbuka dan ketika waktu sahur. Semoga Allah makbulkan.. In shaa Allah.

Aku ni.. bila tak menulis, langsung tak menulis. Kalau dah menulis pulak susah nak berhenti. En.asben nak buat kerja tu. WFH kan. Ni pinjam sekejap work station. Thank you sayang! Nampaknya kena stop dulu di sini. In shaa ALLAH.. ada rezeki, panjang umur kita jumpa lagi. Selamat berpuasa semua. Semoga  kita semua dianugerahkan untuk bertemu dengan Malam Lailatulqatar untuk Ramadan tahun ini.. Aamiin Ya Mujib. Stay safe and stay at home sedaya mungkin okey. Jom jaga solat, cintai AL-Quran, berselawat dan berzikir. Semoga dalam keredaan ALLAH dan semoga ALLAH terima semua amalan kita.. in shaa ALLAH. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Monday, April 20, 2020

Salam PKP & Ramadan Kareem..

Bismillahirahmanirrahim...

Assalamualaikum..

Salam PKP hari ke 34 untuk semua. Allahu.. Sedar tak sedar dah PKP peringkat ketiga dah sekarang. Alhamdulillah.. Sepanjang tempoh PKP ini aku hanya stay at home. Cuma ketua keluarga (en.asben) yang keluar untuk membeli barangan keperluan. Itupun sepanjang 34 hari ni baru 5 kali aje en.asben keluar. Yang lain kami order delivery saja. 

Alhamdulillah.. Walaupun dah 34 hari hanya stay at home, aku tak rasa boring langsung duduk di rumah. Nak bosan apa kalau suami, anak-anak dan emak sentiasa berada di depan mata. Nak bosan apa bila dapat duduk di rumah yang menjadi syurga buatku di dunia yang sementara ini. Alhamdulillah.. Syukur atas segala pinjamanMU Ya ALLAH. Banyak yang Allah dah beri jadi aku perlu belajar untuk lebih bersyukur dari hanya mahu berkeluh kesah. Aku pulak memang homely person. Jadi stay at home memang jiwa aku. Tapi masih tetap nak kerja juga walaupun duduk rumah sangat aku suka. Belum ada rasa nak jadi suri rumah sepenuh masa. 

Alhamdulillah.. Sepanjang PKP ni En. Asben work from home. Syukur.. Ada work station yang selesa di rumah  walaupun line internet adakala tak beri kerjasama untuk urusan kerja. Banyak-banyak bersabar ya sayang.  Kalau hari kerja memang en.asben bangun awal macam biasa. Jadi aku pun terikut sama bangun awal, mandi dan bersiap. Suami ada di rumah, isteri kenalah sentiasa bersiap. Walaupun cuma nak duduk rumah dan buat kerja rumah sepanjang hari tetap kena cantik-cantik dan wangi sentiasa. Ada banyak masa di rumah, rumah pun dapat sentiasa terjaga kemas dan bersih. Bila bilik sendiri, bilik air,  bilik anak-anak, ruang tamu, dapur dan porch sentiasa bersih dan kemas, muka memang selalu senyumlah jawabnya. Dah sepanjang masa berada di rumah, takkan nak guna alasan takde masa nak bersihkan rumah kan. 

Anak-anak pun sepanjang PKP ni kalau weekdays memang ada online class. Anak-anak aku pun memang homely person. Kalau nak ajak keluar memang susah sangat. Jadi peluang stay at home sepanjang PKP ni memang jadi idaman hati sangat. Tiada yang mengeluh or even mengadu bosan. Yang penting ada makanan dan boleh buat hal sendiri takde siapa yang merunggut. Aku tengok anak-anak semua rileks dan enjoy aje sepanjang PKP.  Alhamdulillah.. Syukur. Oh.. Harijadi di musim PKP pun tetap meriah rupanya. Bangun pagi menyambut usiaku yang ke-44 ada kek yang anak-anak buat sendiri tersedia di meja makan. Allahu.. Tqsm anak-anak mama. Semoga Allah sentiasa merahmati anak-anakku, suamiku dan kedua ibu bapaku di dunia dan di akhirat. Aamiin Ya Mujib.

Alhamdulillah.. Bila semua ada di rumah dapatlah solat jemaah satu keluarga sama-sama. Bila berjemaah semua dapat solat di awal waktu. Syukur. Kesempatan yang ada kita gunakanlah sebaiknya. Kalau hubungan kekeluargaan mahu kita jaga, hubungan dengan Yang Maha Pencipta yang Maha Agung lebihlah lagi perlu dijaga. Kalau sebelum ni selalu lalai dan leka, saat musibah  melanda ini sama-samalah kita memperbaiki diri dan meningkatkan amalan. Semoga Allah menerima segala amalan dan mengampuni segala dosa-dosa kita. Aamiin Ya Mujib. 

Sarapan setiap hari memang wajib. Paling lewat by 9am tu memang atas meja makan dah siap ada sarapan. Lunch pun masak, then buat menu tea time and dinner.  Alhamdulillah.. Skill memasak pun makin improve waktu PKP ni. Home made donut, popia, karipap, cakoi, churos, roti, kek, caramel yang sebelum ni tak pernah buat pun mama dah boleh buat dengan jaya dan bergaya hehe.. Alhamdulillah.. Terima kasih Allah atas izinNYA. Allahu.. Seronok dapat memasak untuk insan-insan kesayangan. Paling best semuanya puji sedap dan makanan semuanya habis. Syukur, dalam waktu PKP ni masih cukup makan. Ada masa, membeli juga makanan luar untuk support peniaga or kawan-kawan yang berniaga. Kita pun dapat pelepasan memasak untuk satu dua meals hehe.. Jadi sama-sama dapat untung.

Alhamdulillah.. Walaupun duduk rumah tak habis dengan aktiviti makan, makan dan makan, berat masih maintain 59-60kg. Syukur sangat. Alhamdulillah.. masih dapat teruskan berpuasa isnin khamis. Kalau makan terlebih aku buat juga IF. Kerja rumah memang aku pulun buat semuanya sendiri. Sidai kain, angkat kain, sapu rumah, spa di dapur hehehe memasak dan buat kerja dapurlah tu. Memang itulah exercise yang paling senang untuk aku dan aku sangat happy dan enjoy melakukannya  pada setiap hari. Suka juga ulang alik turun naik tangga banyak kali. Kadang turun sengaja tinggalkan hp kat atas. Nanti boleh naik ambil. Dah siap masak suka juga nak naik atas jemput en.asben turun makan. Sengaja ambil peluang biar banyak pergerakan. Itu juga satu senaman. Alhamdulillah.. Syukur atas izin dari Allah.

Tak tahu berapa lama lagi PKP ini akan berjalan. Sementara waktu itu stay at home and stay safe semua. Ambil peluang yang ada untuk perbaiki diri dan tambah baik kualiti amalan dan ibadat kita. Terima kasih buat semua frontliners dan para pemimpin. Semoga Allah lindungi dan rahmati kalian dan keluarga  pada setiap masa. Semoga segala yang baik-baik Allah rezekikan untuk kita semua. Semoga kita semua dilindungi dari wabak covid 19. Dilindungi dari segala wabak dan penyakit. Semoga wabak corona virus ini akan segera pergi meninggalkan kita. Ya Allah.. Selamatkan kami dari kemurkaanMU. Selamatkan kami dari musibahMU. 

Ramadan Kareem. 

Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Friday, February 28, 2020

February boy..

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum..

Salam jumaat yang mulia. Jom banyakkan berselawat.

Specialnya bulan Februari tahun 2020 ini sebab ada 29 hari. Ingatkan hari ni last, rupanya esok masih Februari. Jadi mama ambil kesempatan nak menulis tentang anak bongsu mama yang lahir pada bulan Februari. Alhamdulillah.. tahun ni dah 16 tahun dah usia Az. Dah 16 tahun juga kali terakhir mama merasa pengalaman bersalin. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH atas segala rezeki dan pinjamanMU untukku. Syukur Ya ALLAH. Doa mama semoga Bb membesar dengan sihat, berbahagia dan cemerlang dunia akhirat. Jaga solat, jaga akhlak dan jangan tinggalkan AL-Quran ya sayang.

Malam birthday mama ayah belikan kek. Puas tanya nak kek apa. Sudahnya mama ayah belikan aje kek yang sedap untuk dia kat kedai Cheese U. Sempatlah mama ayah dating minum kat kedai tu sambil beli kek tu hehe.. Nak ajak keluar makan celebrate birthday dia pun susah sangat anak mama yang seorang ni. Tanya nak makan kat mana pun jawapan dia cuma entah. Sekali dah dalam kereta baru dia bersuara nak makan kat K-Fry. So jomlah kita. Alhamdulillah.. masa menunggu tak lama. Masa menunggu tu Han pergi cari barang dia. Az temankan. So lepas dah buat order mama terus arrange untuk minta orang K-Fry celebrate birthday Az sekali. Masa bingsu sampai, pekerja K-Fry pun nyanyi-nyanyilah lagu birthday. Tapi muka anak bertuah mama tu macam takde apa-apa pun. Langsung tak surprise hahaha.. Muka excited pun takde. 

Aduhai.. Rileks sangat kamu ni anak. Sangat pendiam dan suka buat hal sendiri aje. Tapi kalau suruh buat apa-apa pun dia buat aje tanpa banyak soal. Rajin practice main keyboard sampai cikgunya pun selalu puji. Alhamdulillah.. Exam keyboard hari tu dapat distinction. Tapi punyalah slow dia buat volume keyboard tu time practice taknak mama ayah dengar hahaha.. Kalau ambil dia kat sekolah kena on time. Tak boleh lambat. Kalau lambat nanti dia moody. Setiap anak ada perangai masing-masing kan. Setiap satunya punya keistimewaan yang sangat dekat di hati mama ayah. Alhamdulillah.. Terima kasih ALLAH. Semoga anak-anak kita semua menjadi anak soleh solehah yang cemerlang dunia akhirat.. Sentiasa diredhai ALLAH dan dirahmati dengan limpahan rahmat dan kaasih sayang ALLAH. Aamiin Ya Mujib.

Mama ayah dengan anak bongsu kesayangan. 
Sampai sekarang mama memang suka nak peluk dan cium bongsu mama ni.
Pasrah aje dia. Suka nak usik-usik dia walaupun dia selalu tak layan hahaha.. 
tapi nanti dia senyumlah sikit bila tak tahan nak gelak dengan lawak mama.  

My AzLa and IsLa. 
Alhamdulillah.. dah besar-besar dah bujang mama. Terima kasih ALLAH.
Kata kawan blogger, Diana.. Rasa macam dah tua bila tengok anak-anak ni dah besar sangat. Sebab dulu selalu update cerita dia orang masa kecil-kecil.
Alhamdulillah.. Ada rezeki mama simpan cerita anak-anak di blog ini. 
Tiada daya dan kekuatan tanpa izin dari ALLAH. Thank you ALLAH.

Hari ahad, emak aku ada buat kenduri kecil di rumah. Orang taman dan orang surau nak buat majlis bacaan yaasin. Jadi emak offer diri sebagai tuan rumah. Alhamdulillah.. tercapai niat emak nak buat bacaan yaasin di rumah arwah adik aku. Semoga ada saham yang sampai buat arwah tuan-tuan rumah (arwah adik dan arwah suaminya) di sana. Aamin Ya ALLAH. Nenek masak nasi lemak dan lontong. Mama seperti biasa jadi penolong ajelah hehe.. Dah selesai tolong emak dan rumah pun dah siap berkemas, petang tu mama ayah hantar Is balik Kolej Matrik. Selepas tu kami ke rumah mertua pula. Mil nak celebrate birthday Az. Allahu.. besarnya rasa hati. Terima kasih banyak emak, ayah, maklong dan ibu. Selalu meraikan kami. Doaku semoga semuanya terus dilimpahi dengan kebahagiaan yang berpanjangan di dunia dan di akhirat.  

Alhamdulillah.. Dapat makan kek lagi.
Sedap sangat cheesecake yang emak buat. Petang tu emak masak lontong juga. Terima kasih emak. Semoga emak dan ayah terus direzekikan dengan umur yang berkat dan kesihatan yang baik.

Dah tak ramai dah sekarang ni. Semua dah besar-besar. Belajar jauh.
Susah nak kumpul ramai-ramai hujung minggu macam dulu.

Alhamdulillah.. Happy tummy, happy us. 
Terima kasih ALLAH atas rezekiMU. 

Sekian dulu. Salam hormat untuk smeua. In shaa ALLAH semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada buat kita semua. Fi Amanillah. 

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...