Nuffnang

Thursday, October 30, 2014

Hikmah..

Assalamualaikum..

Hari jumaat lepas aku bercuti sebab nak ambil emak balik dari Mekah di KLIA. Flight emak tiba di sebelah petang. Dah alang-alang bercuti, pagi tu aku pergi ke JPN untuk buatkan kad pengenalan untuk anak buahku FAF. Dah hampir sebulan dah dia berusia 12 tahun. Sepanjang waktu tu aku rasa sebak. Dalam usianya 12 tahun dia sudah kehilangan daddy dan mummynya. Sebak juga sebab arwah mummy tak sempat nak lihat anaknya ada kad pengenalan sendiri.

Sebab ibu bapanya dah tiada maka sebagai penjaga aku perlu lengkapkan borang bersumpah sebagai penjaga. Terpaksalah aku dan FAF ke pejabat pesuruhjaya sumpah terlebih dahulu. Selepas urusan selesai Pesuruhjaya Sumpah itu tidak mengenakan sebarang bayaran. Saya sedekah.. Tapi.. boleh tak izinkan saya pegang kepalanya. Aku jadi sebak bila pegawai itu mengusap kepala FAF sambil memberi nasihat agar belajar rajin-rajin. Mengambil keberkatan mengusap kepala anak yatim di hari jumaat.

Sepanjang mengisi borang di JPN, aku terus sebak. Asyik terkedip-kedip mataku menahan air mata dari tidak mengalir. Mengenang adik dan adik ipar yang sudah tiada. Mengenang FAF dan adik-adiknya. Semoga segalanya dipermudahkan untuk kami. Semua yang berlaku ada hikmahnya kan. Hikmah untuk mereka yang lebih dulu pergi. Hikmah untuk anak-anak yang menjadi yatim. Hikmah juga untuk kami yang menjaga. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kami dan kita semua.. insyaALLAH.

Semalam, kakak kepada arwah daddy FAF meninggal dunia. Sudah agak lama kami tak berhubungan dengan keluarga mereka. Selepas arwah daddy meninggal hubungan itu jadi sedikit jauh.  Lebih-lebih lagi selepas adikku mempunyai keluarga baru dan arwah daddy pula merupakan anak angkat dalam keluarga itu. Ketika adik aku di hospital ditakdirkan keluarga arwah daddy FAF juga berada di situ melawat orang lain. Terjadilah pertemuan semula. FAF memang tak kenal dengan keluarga mereka sebab waktu arwah daddy meninggal dunia usia FAF baru setahun. Ketika adikku koma,  mereka juga ada datang melawat. Begitu juga pada hari pengkebumian.

Semalam setelah mendapat khabar itu kami pun membawa FAF untuk pergi melawat. Kesemua keluarga arwah daddy menyambut FAF dan kami semua dengan cukup baik. Semuanya memeluk FAF dengan cukup erat untuk melepas rindu kepada FAF dan juga arwah daddynya. Lebih-lebih lagi bila muka FAF saling tak tumpah seperti arwah daddy. Dapatlah FAF berjumpa dengan kesemua ahli keluarga arwah daddynya. Alhamdulillah.. tersenyum panjang FAF bila tahu siapa datuknya (he is somebody). Tentulah bukan kerana siapa orangnya tapi kerana penerimaan dan sambutannya yang cukup hangat. Pesannya kepada FAF, jangan lupa FAF cucu atuk. Daddy anak atuk. Thank you so much sebab jaga my cucu dengan cukup baik ucapnya kepada emak, aku dan en.asben.

Salam hormat untuk semua.  Take care and have a nice day!

Thursday, October 23, 2014

Balik..

Assalamualaikum..


Hari ini aku kembali menulis balik setelah beberapa hari buat-buat lupakan blog. (Terpaksa buat-buat lupa sebenarnya agar keterujaan untuk berkongsi cerita tidak terlalu dirasai he..he.. Sibuk dengan kursus pun iya juga). Kebelakangan ini, perhatianku lebih tertumpu kepada manuskrip novel. Alhamdulillah.. kesungguhan untuk meneruskan penulisan sudah datang balik kepadaku. Sekarang, aku dah suka terperap dalam bilik balik. Sebab kalau duduk kat luar laju aje tangan ni mencari remote. Bila dah mengadap tv, memang semangat menulis susah nak datang balik he..he..

Balik kerja tadi, aku sempat singgah ambil anak buahku dari rumah pakcik. Dah janji, petang khamis mama datang ambil sebab esok nak pergi airport ambil nenek. Seronok benar Hafiy dan Gegirl bila aku datang. Serba serbi dah tak kena sebab keduanya dah tak sabar nak balik rumah mama. Setiap kali nak ambil mereka balik, keduanya sangat gembira. InsyaALLAH, lepas nenek balik ni tak perlulah lagi mereka tinggal di rumah pakcikku pada waktu aku berkerja. Banyak benar budi pakcik dan makcikku. Tanpa bantuan mereka, tentu aku kalut untuk menguruskan mereka.

Sejak semalam anak-anak dah mula layan x-box balik. Hari tu aku sorokkan sebab anak buahku nak ambil UPSR. Lepas tu kena ulang balik buat exam tu. Dia dah mula tak fokus. Ada games lagilah tak fokus nak belajar. Jadinya, terpaksalah aku terus sorokkan dulu. Elok aje habis exam, ada pulak anak-anak ni buat hal. Sebagai denda, lagi lamalah x-box tu tersorok he..he.. Ini denda dah habis, bolehlah main balik. Kalau buat hal lagi mama sorokkan balik he..he.. Bila ada games ni, bila balik kerja rumah takdelah bersepah sangat. Kalau tak, macam nak terbalik rumah sebab dia orang suka main lawan-lawan. Anak lelaki ada 5 orang kan. Faham-faham ajelah lasaknya macam mana.

InsyaALLAH.. malam ini en.asben akan balik dari Singapura setelah 3 hari bertugas di luar. Walaupun hanya tiga hari tapi bila berjauhan hati jadi sangat syahdu. Sekarang ni dah rasa tak sabar nak tunggu en.asben sampai. InsyaALLAH.. esok emak pula akan balik dari menunaikan haji. Semoga keduanya akan selamat sampai ke tanah air. Semoga segala urusan mereka dipermudahkan. Semoga mereka selamat dalam setiap perjalanan balik nanti. Rindunya nak peluk kedua-dua insan kesayanganku itu. Okeylah.. nanti aku sambung cerita balik. Sekarang nak pergi masak dulu. Anak-anak yang bertujuh dah tunggu tu. Nak siapkan semuanya sebelum en.asben balik. Bye..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Saturday, October 11, 2014

PT3..

Assalamualaikum..

Dah lama betul tak buat entry pada hujung minggu. Alhamdulillah.. hari ini ada kesempatan. Rumah yang biasanya havoc terasa sunyi sepi sikit petang ni. Anak buah aku Firhan, Hafiy dan Gegirl ikut papa dia orang hari ni.  Bila takde ni, baru kejap pun dah mula rindu. Kalau depan mata, asyik nak kena jerit aje. Nak buat macam mana kan, dah mamanya TARZAN!!!! he..he.. Anak oh anak.. Macam-macam hal sementara nak besar. Semoga aku akan mendapat lebih kesabaran untuk menjaga anak-anak sendiri dan anak-anak saudaraku dengan sebaiknya, insyaALLAH.

InsyaALLAH, hari isnin ni anak sulungku Han akan menduduki peperiksaan PT3. Seperti biasa, anak cool aje. Tapi mamanya gelabah tak semena-mena. Baru hilang gelabah untuk UPSR anak saudaraku Fareez minggu lepas. Minggu depan nak kena gelabah lagi he..he.. (Bukan gelabahkan keputusannya nanti. Tapi gelabah takut anak tak cukup persediaan. Soal apa keputusannya nanti,  itu urusan rezeki. Tapi soal usaha aku kena tekankan agar anak-anak tahu bukan senang untuk berjaya. Kalau nak result gempak, usaha kena gempak juga. Anak-anak aku dan anak buah selalu tak nampak akan hal yang itu. Jadi sebagai ibu, aku rasa itu dah jadi tugas aku untuk selalu mengingatkan sebagai jalan usaha). 

Teringat lagi, 5 tahun dulu antara sebab aku ambil keputusan untuk bertukar pekerjaan adalah kerana mahu menumpukan lebih banyak perhatian kepada pelajaran anak-anak. Anak-anak aku jenis yang cepat leka. Aku pun begitu juga. Jadi kalau dah sama-sama leka susah sikitlah kan. Kalau tak pantau memang akan terus leka. Alhamdulillah.. aku dapat memberikan perhatian waktu anak-anak mahu ambil UPSR. Tapi untuk PT3 Han tahun ni, tumpuanku sedikit lari.

Tahun ini, ALLAH memberi peluang untuk aku dapat berbakti kepada adikku di saat terakhirnya di dunia ini. Sejak Februari hingga Mei, masaku memang lebih banyak di hospital. Han pun adakalanya terpaksa ponteng tuisyen bila adikku tenat dan aku dan en.asben tak dapat nak sepenuhnya uruskan anak-anak di rumah. Untuk mendengar penerangan mengenai PT3 di sekolah pun aku dan en.asben tidak berkesempatan. 

Tadi, sambil-sambil menyapu rumah aku sempat menemani Han mengulangkaji sambil menonton Astro Tutor TV. Ketika melihat dia membuat latihan aku tergerak hati mahu bertanya. Tahun ni takde soalan objektif ke?  Han jawab mana ada.. semuanya subjektif. Aduhai.. punyalah aku tak tahu pasal tu. Lagi dua  hari anak nak ambil periksa baru aku tahu. Mahu aku tak gelabah. Kalau kita dulu time SPM baru soalan subjektif kan. Patutlah susah sikit nak score time periksa sebelum ni. Masih belum biasa dengan skema jawapan dan pemarkahan, mungkin.

Doaku, semoga Han dapat buat yang terbaik untuk peperiksaan PT3nya. Semoga Han dapat menjawab dengan tenang dan direzekikan dengan kefahaman. Semoga Han dapat menjawab semua soalan dengan tepat dan betul.  Aku tahu, dia sudah berusaha dengan bersungguh. Aku sendiri, sentiasa mendoakan setiap kejayaannya. Apa pun saja keputusannya nanti, itulah rezeki untuk  dia. Yang penting, aku sudah lihat usahanya. Aku tahu kesungguhannya. Semoga keputusan yang cemerlang akan menjadi miliknya. Tolong doa-doakan sama ya. Terima kasih.

Selamat maju jaya dan semoga cemerlang juga buah anak saudaraku Aimi dan Ilman, untuk sepupuku Anis dan Nizam juga anak BFFku Tisya yang akan sama-sama menduduki peperiksaan PT3. Begitu juga untuk semua pelajar tingkatan 3 yang lain. Setiap kali berdoa untuk Han, mereka ini juga sentiasa turut ada dalam doaku. Rezekikanlah anak-anak kami dengan kecemerlangan dalam pelajaran. Kecemerlangan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Juga semoga mereka menjadi anak-anak soleh dan mempunyai akhlak yang mulia.. insyaALLAH.  

Sekian dulu untuk celoteh di petang yang mendung ini. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care & have a nice weekend!

Friday, October 10, 2014

Gembira dan bahagia di SANA.. insyaALLAH

Assalamualaikum..

Salam jumaat yang mulia buat semua. Alhamdulillah.. kita semua masih diberikan rezeki lagi oleh ALLAH untuk terus bernafas dan menikmati hidup di dunia ini. Syukur ya ALLAH. Semoga nikmat rezeki dipanjangkan umur ini dapat diisikan dengan perkara-perkara kebaikan sebagai bekalan untuk kehidupan kita yang berkekalan di akhirat nanti, insyaALLAH. Bercakap tentang rezeki dapat terus menikmati kehidupan dunia, hati teringat dan terkenang pada insan yang sudah tiada. Beberapa bulan sebelum ni, ada berita baik yang aku terima. Berita biasa saja tapi ianya cukup besar buatku sebagai pencapaian untuk diri sendiri. Aku menerima berita itu dengan rasa bersyukur. Alhamdulillah.. ada rezekiku di situ. Bila gembira, hati pastinya tidak lepas mahu berkongsi. En.asben orang pertama yang aku hubungi untuk berkongsi rasa hati. Kemudian aku hubungi emak. Selepas itu adik bongsuku. Dan selepas itu keghairahan untuk berkongsi cerita jadi terpadam di situ. Ada rasa sebak yang menahan rasa teruja untuk meluahkan rasa gembira. 

Skrin handphone yang memaparkan nama dan nombor telefonnya hanya mampu ku tenung tanpa dapat aku hubungi. Adik keduaku sudah tiada lagi untuk aku kongsikan berita gembira itu bersamanya. Waktu itu bagaikan aku baru tersedar yang aku tidak akan dapat berkongsi apa-apa lagi dengannya. Aku cuba memujuk hati. Kalau dia masih ada perbualan kami pastinya akan jadi begini..

Aku : Weii.. tadi aku dapat call dari abcvwxyz. Dia orang beritahu, aku dapat vwxyzabc.
Dia : Oh ya.. okeylah tu. 
Aku : Okeylah.. bye.
Dia : Hmmm.. okey.

Selalunya begitulah kami kalau berbual ditelefon. Perbualan kami akan cukup ringkas dan jarang benar kami akan berbual dengan penuh mesra. Kalau aku teruja aku akan lahirkan rasa itu. Kalau dia teruja dia yang akan lahirkan rasa itu. Kemudian ia akan habis di situ saja.Tapi setiap kali bila apa perkara yang ingin dikongsikan, pastinya dia antara orang utama yang akan aku cari. Aku juga antara orang utama yang dia akan cari. Hari jumaat ini mengingatkan aku kepada mimpiku beberapa bulan selepas dia pergi. Ianya mimpi di hening pagi jumaat sebelum masuk waktu subuh. Aku tahu, mimpi itu mainan tidur. Ianya juga mungkin tidak memberikan maksud apa-apa. Namun mimpi itu membuatkan aku tersenyum setiap kali aku teringatkan dan merindui dirinya. Di dalam mimpi itu dia memberitahuku weiii... glamour aku!  dengan nada yang cukup gembira dan penuh bahagia. Dengan dugaan dan ujian yang ditempuh dalam kehidupan sewaktu hayatnya,  aku rasa sudah selayaknya dia bergembira dan berbahagia dalam kehidupannya di SANA. Semoga rohnya sentiasa aman dan tenang di sana. Semoga namanya dan nama kita semua akan tertulis sebagai penghuni syurga ALLAH.. insyaALLAH. Al-Fatihah.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Friday, October 3, 2014

Belum terlambat.. insyaALLAH masih sempat..

Assalamualaikum..

Salam jumaat yang mulia. SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.. ALLAHUAKBAR..

Semalam emak ada menghantar pesanan ringkas dari Mekah memberitahu yang emak sedang bersiap-siap untuk ke Arafah. Doaku semoga emak dan semua jemaah haji pada tahun ini akan selamat dalam setiap perjalanan serta dipermudahkan segala urusan. Doaku, semoga amal ibadat serta doa  mereka diterima oleh ALLAH dan mereka direzekikan untuk mendapat haji yang mabrur.. insyaALLAH. Doaku untuk diri sendiri, untuk emak dan ayah, suami, anak-anak, mertua, adik beradik,  ahli keluarga, sanak saudara, rakan taulan, jiran-jiran, guru-guru serta semua yang mempunyai hak ke atas diri kita semua dan semua umat islam akan dikurniakan kesejahteraan, kebahagiaan, keselamatan, kecemerlangan dan keberkatan hidup di dunia dan diakhirat.. Amin.. mudah-mudahan..  InsyaALLAH. Semoga nikmat iman akan terus menjadi milik kita, anak cucu dan seluruh keturunan kita. Semoga kita semua terpilih untuk menjadi Ahli Syurga dan dijauhkan dari azab api neraka.

Hari ahad ini kita umat islam akan merayakan Hari Raya Korban. Hari kemenangan buat umat islam. Salam Aidiladha diucapkan kepada semua. Mohon maaf untuk segala silap dan salah. Bagi yang balik kampung, semoga selamat dalam setiap perjalanan. Berhati-hati di jalanraya. Semoga hubungan keluarga dan jalinan silaturahim akan terus kukuh dan utuh.

Semalam sebelum tidur encik asben bertanya mahu bangun pagi pukul berapa? Aku minta dikejutkan dalam pukul 4 lebih. Pagi tadi pukul 5.10 ke 5.15 baru aku dan en.asben sama-sama tersedar untuk bangun sahur. Terasa dah terlambat. Rasa macam tak sempat nak siapkan makanan. Tapi aku cakap juga dalam hati. SEMPAT! Terus turun ke bawah untuk panaskan makanan dan siapkan semuanya sebelum memanggil en. asben dan anak-anak yang juga ingin berpuasa untuk bersahur. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH sempat juga. Selepas itu ada lagi perkara yang aku rasakan macam tak sempat ni. Tapi, Alhamdulillah.. ianya masih sempat juga. Sepanjang pagi ini aku terus terfikir. Biar selambat mana pun kita, tapi dengan izin ALLAH segalanya masih akan sempat. Masih belum terlambat untuk kita berusaha untuk lakukan setiap perkara yang kita rasakan sudah terlambat selagi nyawa masih di badan.

Aku jadi positif bila memikirkannya. Tekadku, apa yang belum aku mulakan akan aku mulakan tanpa terlalu mengambil kira sempat atau sudah terlewat. Apa yang mahu aku lakukan akan aku lakukan sebaik dan sedaya boleh. Terlambat sudah bukan isunya lagi. Dengan izin dari ALLAH, tiada apa yang mustahil. Yang penting usaha yang bersungguh  dan kemahuan yang teguh. Semoga ALLAH memudahkan segala urusan dan semoga ALLAH memberikan keberkatan dan kejayaan dalam setiap usaha dan amalan.. insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!