Monday, September 8, 2014

Sudah ada keyakinan diri..

Assalamualaikum..

Memasuki alam pekerjaan dalam usia yang muda membuatkan aku dapat berkawan dan mengenali teman-teman sekerja yang lebih berusia dariku. Bila beza umur sedikit jauh, aku bukan saja dianggap bagaikan teman sekerja malah dianggap bagaikan adik juga. Lebih-lebih lagi bila ketika mengenali mereka  aku baru mengenali cinta, sedang mahu membina ikatan dalam perkahwinan dan juga sedang mahu melalui fasa-fasa permulaan dalam kehidupan berkeluarga.  Ada masa-masanya mereka berkongsi cerita  dan pengalaman mereka tentang kehidupan berumahtangga. Selalunya mereka berkongsi cerita untuk aku ambil sebagai tauladan buat dijadikan panduan hidup aku dan en.asben. Walaupun sudah tidak lagi menjadi teman sekerja namun hubungan yang pernah rapat itu tidak langsung terputus begitu saja. Sekali sekala ada juga bertegur di FB untuk bertanyakan khabar terbaru masing-masing.

Baru-baru ini aku berjumpa dengan seorang teman sekerja lama yang berpangkat abang selepas lebih 10 tahun tidak berjumpa. Bertemu dengannya membuatkan aku teringat kisah perkongsiannya denganku dulu. Waktu dulu ada dia bercerita yang dia kasihankan isterinya. Setiap kali bertemu dengan rakan-rakannya, isterinya selalu berasa  rendah diri kerana dia tidak bersekolah tinggi seperti suaminya. Sedangkan teman sekerjaku tidak kisah walaupun isterinya tidak berpelajaran tinggi. Namun hal itu terus membuatkan si isteri jadi tidak selesa  untuk menyertai pertemuan mahupun perjumpaan dengan teman-teman lama suaminya. Bila teman sekerjaku bercerita aku selalunya menjadi pendengar saja. Jarang aku memberikan komen kerana terasa komen aku yang masih muda waktu itu tentunya tidak diperlukan. Namun aku selalu berharap agar isterinya akan mendapat kenyakinan diri. Ini kerana, walaupun isterinya tidak bersekolah tinggi, namun isterinya itu seorang yang cantik dan manis orangnya. Malah tubuhnya juga kecil molek walaupun sudah mempunyai anak. Jika isterinya punya sedikit keyakinan diri, tentu saja kekurangan dirinya tidak akan diperkecilkan oleh orang lain apatah lagi diperkecilkan oleh dirinya sendiri.

Faktor umur membuatkan teman sekerjaku  nampak berusia sedikit sekarang. Dengan pangkat dan tanggungjawab yang dipegang kini, wajahnya juga nampak lebih matang. Jika dulu nampak seperti abang-abang, sekarang ini sudah nampak macam ayah-ayah. Namun isterinya kelihatan cukup anggun dan bergaya.  Aku tersenyum sendiri selepas pertemuan itu. Hatiku jadi cukup seronok. Pastinya keyakinan diri sudah ada dalam diri isterinya. Alhamdulillah.. aku tumpang gembira dengan perubahan itu. Rendah diri tidak lagi menyelubungi dirinya. Penampilan dirinya kelihatan menyerlah bila kelebihan dirinya ditonjolkan dengan cara yang molek. Cara pembawaan juga kelihatan lebih menarik. Kalau kata isteri muda pun pastinya orang akan percaya. Sesuai sangatlah penampilannya yang begitu dengan jawatan yang disandang oleh suaminya sekarang. Adakalanya, orang luar tidak mengambil hirau dengan kekurangan diri kita. Namun kita sendiri yang terasa tidak boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Semua orang ada kekurangan dan kelebihan diri. Yang kurang tak perlu direndahkan dan yang lebih tak perlu dibanggakan. Namun kelebihan  yang ada pastinya dapat menutupi kekurangan yang membuatkan kita berasa rendah diri.

Betapa keyakinan diri itu sangat penting untuk setiap orang. Cukuplah kita menjadi diri kita yang sebenar dengan sebaik-baiknya. Asalkan saja kita tidak tinggi diri, bangga diri, lupa diri mahupun memalukan diri rasanya  tak salah untuk kita  tonjolkan kelebihan yang kita ada dengan cara yang sepatutnya bagi menutupi kekurangan diri. Tiada orang yang akan yakin dengan diri kita selagi kita sendiri tiada keyakinan diri. Be confident! Tapi jangan over confident. Peringatan untuk diriku juga.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

7 comments:

mama maman aka yana said...

BETUL TUH.. SETUJU SESANGAT..:)

mummY daniSha said...

confiden memang penting kan..kalau intibiu pun...kdg experience x seberapa tp kalau confiden bole je dpt keje tu huhu

Kakzakie Purvit said...

Suami dia kakak rasa pun bijak memainkan peranan. Kalau dah lebih 10 tahun Hanis kakak rasa lama-lama keyakinan diri kian bertambah itu yg dia bertambah anggun selaras dgn kedudukan suaminya..

Suka dgn pertemuan yg begini kan..

Unknown said...

saya pun kadang2 ada jugak perasaan rendah diri tu..kadang2 tak boleh nak elak lagi2 bila orang2 yang kita jumpa tu selalu berbual perkara2 diluar bidang yang kita tahu..

Eye_nee said...

Dan kerana perasaan yg ada itu akk takut nak jumpa kwn2 bloggers yg rata2 berpelajaran dan berstatus "tinggi" dari akk ni sis...huhuhuhu...

Tahniah lah buat isteri kawan kamu tu....kamu dapat lihat keyakinan dirinya kini...

Be Simple Beb(BSB) - threeQ said...

ada org cakap...kalau kita berduit...muka jadi berseri-seri..umpama seri naik kemuka.

mama eija said...

Alhamdulillah... nikmat kehidupan buat sis :)

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...