Assalamualaikum..
Waktu di Mekah, kami ada mengikuti tazkirah di Hotel yang disampaikan oleh Mutawwif Andalusia. Aku nak kongsikan perkara-perkara yang sempat aku catatkan untuk makluman kita bersama.
Menurut mutawwif, bila kita datang ke Tanah Suci, ianya sama dengan kita menjawab panggilan Nabi Ibrahim untuk datang ke Mekah 6000 tahun yang lalu. Nabi Ibrahim memanggil dan Allah yang menyampaikan panggilan itu. Menurut cerita mutawwif, bila Kaabah siap di bina oleh Nabi Ibrahim, Allah menyeru kepada Nabi Ibrahim untuk memanggil semua umat manusia untuk datang mengelilingi Kaabah. Nabi Ibrahim berkata, Ya Allah, suara aku tak kuat, bagaimana aku boleh memanggil semua umat manusia untuk datang ke sini. Jawapan dari ALLAH : Kau hanya perlu memanggil dan AKU (ALLAH) yang akan menyampaikan panggilan itu.
Subhanallah, sangat indah bila kita dapat menerima panggilan itu. Jadinya, bila kita ada peluang untuk ke sana, janganlah kita mensia-siakan waktu yang kita ada ketika di sana. Ini kerana kita tidak tahu sama ada kita ada rezeki dan kesempatan untuk menerima panggilan ke Tanah Suci lagi. Berdoalah dan berusaha untuk ke Tanah Suci. Tapi jika tidak kesampaian, nanti di akhirat, akan dapat pahala haji dan umrah juga asbab dari doa dan usaha kita itu.
KAABAH
- Binaan pertama atas muka bumi ialah Kaabah. Sebelum lautan, bukit bukau. Nabi Adam yang membina Kaabah dan yang pertama mengelilingi Kaabah ialah para Malaikat.
- Kaabah (Baitullah) ialah Rumah ALLAH kerana kemuliaannya.
- Setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat di Masjidil Haram.
60 rahmat untuk yang tawaf Kaabah 7 pusingan
40 rahmat untuk yang bersolat di Masjidil Haram.
20 rahmat untuk yang memandang Kaabah. (Nota tambahan : 3 pandangan yang dapat pahala dan rahmat Allah ialah, pandang wajah ibu bapa kita, pandang Al-Quran dan pandang Kaabah)
AMALAN YANG PALING AFDHAL DI TANAH SUCI MEKAH
- Memperbanyakkan tawaf sunat kerana Malaikat juga tawaf di Baitullah semenjak Kaabah dibina sehingga ke hari kiamat. (Jangan hina orang walaupun dalam lintasan hati. Mungkin orang itu adalah Malaikat). Semua Rasul tawaf di kaabah sebagaimana kita. Begitu juga dengan para Aulia dan Anbia.
- Tawaf sunat atau tawaf wajib dapat 120 rahmat.
Habis tawaf 7 pusingan - 60 rahmat.
Solat sunat tawaf - 40 rahmat.
Doa mengadap Kaabah - 20 rahmat.
- Memperbanyakkan umrah sunat dapat menghapuskan segala dosa.
- Ganjaran pahala di kota Mekah, Solat di Masjid Nabawi dapat 1,000 kali ganda berbanding di masjid lain. Kecuali di Masjidil Haram mendapat 100,000 kali ganda. Bukan setakat solat tapi untuk semua amalan seperti membaca Al-Quran, Selawat untuk Rasulullah, Tasbih, Tahlil dan lain-lain.
- Usahakan untuk solat jemaah di Masjidil Haram.
- Berbuat dosa dan berniat Jahat di Tanah Haram akan mendapat siksa yang paling berat.
- Tempat mustajab berdoa. Berdoalah, pasti Allah akan perkenankan dengan syarat iman dan yakin. Jangan ragu-ragu. Doa akan di kabulkan dengan 3 cara.
1. Pada masa itu juga.
2. Ditangguhkan - Untuk menguji keimanan dan kesabaran. Juga untuk menambahkan pahala kita kerana dengan berdoa kita dapat pahala.
3. Dikabulkan di akhirat.
- Minum air zam-zam (Air dari syurga). Banyakkan meminum air zam-zam kerana air zam-zam tiada di tempat lain.
- Berdoa waktu minum air zam-zam. Doa Nabi Muhammad s.a.w ketika minum air zam-zam ialah agar diberikan ilmu yang bermanfaat, agar dimurahkan rezeki dan agar dapat mengubati segala penyakit.
Catatan ini adalah berdasarkan tazkirah yang disampaikan melalui serba sedikit catitan yang aku buat ketika itu. Jika ada yang tidak betul harap dapat diperbetulkan agar kita dapat sama-sama memperolehi pengetahun yang berguna. Semoga dengannya kita dapat sama-sama memperbaiki diri untuk mencari keredhaan Allah. Salam hormat buat semua. Have a nice day.