Pagi jumaat yang indah. Alhamdulillah, diberikan Allah peluang untuk terus bernafas lagi. Semalam tak sihat. Pukul 5.45 pagi dah terjaga dikejutkan alarm handphone. Sebab telefon tertinggal di bawah, maka terpaksalah turun untuk mengambilnya dan mematikan alarm yang berbunyi tu. Naik ke atas terasa semacam. Cuba berbaring semula tapi rasa tak selesa. Macam tak puas nak bernafas. Terasa sesak sikit di dada. Jantung pula bukan main laju. Padahal cuma naik tangga saja tadi. Cepat-cepat kejutkan en.asben. En. asben bangun dan suruh bertenang. Bila dah panik memang susah nak bertenang. Terus ajak en.asben ke klinik. Sebelum tu sempat juga bersihkan diri ala kadar, berwuduk dan solat subuh dulu. Tapi rasa tak lega juga.
Alhamdulillah klinik masih lenggang. Jadinya lepas mendaftar terus masuk jumpa doktor dan mengadu masalah yang melanda. Rasa macam tak cukup nafas dan rasa macam seolah-olah nak mati kan? Soal doktor. Aku mengiakan sebab itulah yang aku rasa. Doktor check tekanan darah dan kata ianya normal. Check nadi memang laju. Doktor minta aku bertenang. Doktor cadangkan aku bernafas dalam paperbag. Aku terus bertanya itu dan ini. Sebab tak pernah kena jadi memang takut sangat. Doktor memberikan penerangannya. Barulah terasa lega sikit. Doktor kata aku kena Panic Attack. Doktor cadangkan aku bernafas dalam paperbag. Doktor beri ubat juga MC untuk aku berehat.
Ada masalah atau tekanan ke sekarang ini? tanya doktor. Aku jawab takde. Memang takde apa-apa masalah pun sekarang ini. Penat sangat ke? tambah doktor. Kalau penat tu adalah. Tapi takdelah penat sangat. Memang dalam bulan ni aktivitinya memang lebih dari biasa. Hujung minggu memang tak sempat langsung nak berehat. Penuh padat jadualnya. Hari biasa pun penuh dengan agendanya. Mana dengan Han periksa UPSR & PSRA. Mana dengan pakcik meninggal. Mana dengan kena balik kampung ada kenduri. Menjamu tetamu yang datang dan pergi menziarah raya juga. Doktor kata kadang-kadang perkara yang kita rasa biasa boleh juga jadi tekanan untuk kita. Kita tak rasa ianya tekanan tapi badan kita dapat rasa. Mungkin itulah penyebabnya.
Sebenarnya inilah pertama kali aku tahu dan dengar pasal panic attack ni. Itu yang nak berkongsi di sini. Jadinya kalau ada yang rasa perkara yang sama, tak perlu rasa panik sangat. Bawa bertenang, itulah yang sebaiknya. Semoga kita semua terus diberikan kesihatan yang baik hendaknya.