Alhamdulillah, ketika di Masjid Nabawi, Madinah, aku, emak dan emak mertua berpeluang untuk masuk ke Raudhah sebanyak 2 kali. Raudhah ialah satu tempat di antara mimbar dan rumah Rasulullah s.a.w. Ianya adalah merupakan salah satu taman (Raudhah) dari taman syurga. Dan dikatakan kawasan ini adalah tempat mustajab doa. Di kawasan ini juga terletaknya maqam junjungan besar kita, Rasulullah S.A.W, juga dua sahabat baginda, Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar r.a. Di dalam Masjid Nabawi, semua karpetnya berwarna merah. Hanya di kawasan Raudhah saja karpetnya berwarna hijau. Siapa yang tidak mahu berada di dalam taman syurga. Aku sangat teringin mahu ke sana. Mendengar cerita orang lain saja aku sudah rasa teruja. Sejak dari sini aku sudah berdoa agar aku mempunyai peluang untuk memasuki Raudhah. Alhamdulillah, aku memperolehi peluang itu.
Kali pertama kami berpeluang masuk ke Raudhah ialah pada waktu pagi setibanya kami di Madinah. Waktu itu kami mengikut kumpulan yang dibawa oleh Ustazah yang disediakan oleh pihak Andalusia. Rasa sangat seronok dan cukup sebak bila dapat menjejakkan kami ke Masjid Nabi. Subhanallah, sangat indah masjidnya. Mata mengagumi, mulut pula tak berhenti berselawat. Sebelum masuk ke Raudhah, kami perlu menunggu giliran. Jemaah Malaysia akan duduk menunggu giliran bersama dengan jemaah dari Indonesia, Singapura dan Brunei. Agak lama juga waktu menunggu. Tapi ianya bagaikan tidak terasa. Ini kerana sepanjang waktu menunggu itu di isi dengan selawat, berzikir dan berdoa. Tak henti-henti mulut ini berdoa agar segalanya dipermudahkan untuk kami. Salam untuk Rasulullah dan para sahabat dari keluarga dan kawan-kawan kami sampaikan. Sebelum masuk, Ustazah ada memberitahu adab-adab untuk masuk. Untuk menziarahi orang-orang besar pun ada adab dan protokol yang perlu kita jaga. Bila ingin menziarahi insan semulia Rasullullah s.a.w pastinya lebih lagi adab yang perlu kita jaga. Ustazah meminta kami semua membersihkan hati. Bertafakur dan mengenang kembali segala dosa-dosa yang pernah dilakukan. Bertaubat atas dosa-dosa tersebut. Subhanallah, aku sangat sebak ketika itu bila mengenang banyak sekali dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Air mata mengalir laju.
Alhamdulilah, jemaah dari Malaysia sangat bersopan dan cukup sabar menunggu giliran. Tiada asakan dan tolak menolak. Bila tiba giliran kami dapat masuk, memang semuanya nampak cukup teruju. Cukup laju semuanya berjalan. Alhamdulillah, dapat juga akhirnya kami menjejakkan kaki ke kawasan Raudhah. Hati terus sebak. Aku perlu mencari ruangan untuk emak menunaikan solat. Agak sukar bila semua tempat kelihatan penuh. Ada tempat untuk berdiri, tapi untuk bersolat tiada ruangan untuk rukuk dan bersujud. Lutut emak tidak berapa kuat, jadinya aku perlu memastikan tempat yang ada selesa buat emak yang perlu mengambil masa untuk rukuk dan sujud. Bila ada ruangan, waktu mahu rukuk atau sujud, ada saja orang yang memenuhi ruangan itu walaupun puas juga aku berjaga-jaga. Alhamdulillah, setelah seketika barulah emak dapat bersolat dan aku menjaga ruangan emak. Untuk kali pertama itu, aku hanya berpeluang berdoa saja di situ sebelum di arahkan keluar.
Untuk peluang kali kedua, selepas saja solat Isyak dan solat-solat sunat, kami terus menunggu di ruangan untuk memasuki Raudhah bersama jemaah Malaysia yang lain. Waktu ini jemaah yang menunggu tidak seramai waktu pagi sebelumnya. Namun untuk menunggu giliran tetap juga mengambil masa. Kami terus berdoa dan berselawat sepanjang waktu menunggu. Terdengar jemaah dari negara lain berlari-lari bila tiba giliran mereka. Derap tapak kaki mereka saja sudah terasa cukup mengerunkan untuk kita ikut masuk bersama mereka. Jadinya, adalah lebih selamat untuk kita bersabar menunggu giliran dan masuk bersama jemaah dari Malaysia saja yang nampak cukup bersabar dan bersopan. Polis wanita yang menjaga juga kelihatan baik dan lebih lembut bila mengendalikan jemaah dari Malaysia yang kebanyakkannya mengikut kata.
Bila tiba giliran kami, memang kami semua berjalan dengan laju untuk memasuki Raudhah. Namun tiba-tiba kaki bagaikan tersekat tak boleh terus bergerak ke hadapan. Subhanallah, kenapa ni? Rupa-rupanya tali beg jemaah sebelum giliran kami (Kalau tak silap dari Iran) telah tersangkut dengan tali tanda nama anak jemaah dari Malaysia. Alhamdulillah, kerana aku terbuka hati untuk tidak terus melangkah tali itu atau mencari laluan lain saja. Aku dan emak terus menunggu di situ walaupun keutamaan kami ialah mahu mencari ruangan untuk bersolat dan berdoa di dalam Raudhah. Jemaah Iran itu terus menarik begnya kerana tidak perasan tali begnya yang tersangkut. Jemaah dari Malaysia itu terus memberitahu jangan tarik, leher-anak saya.. leher anak saya.. bila leher anaknya terus tertarik. Sedikit meninggi suaranya sambil cuba menghuraikan tali yang tersangkut bila jemaah Iran itu terus menarik begnya. Iyalah, manalah dia memahami bahasa kita. Jemaah Malaysia itu pula sudah di dalam keadaan cemas waktu itu.
Aku yang berada di situ turut rasa bersalah kerana aku juga melanggar tali itu walaupun aku sendiri tidak perasankannya apatah lagi dengan sengaja mahu melanggar tali yang tidak kelihatan itu tadi. Jemaah Malaysia itu terus menangis bila tali itu bagaikan tidak terhurai. Aku memujuknya sambil memberitahu untuk sama-sama membantunya meleraikan tali tersebut. Alhamdulillah, tali itu dapat diuraikan. Jemaah Iran itu terus pergi dengan begnya. Jemaah Malaysia tadi terus menangis sambil memeluk anaknya. Dalam sebak aku menarik emak untuk mencari ruangan untuk menunaikan solat. Alhamdulillah ada ruangan untuk emak bersolat. Aku menjaga emak sepanjang waktu emak bersolat. Menahan emak dari di tolak dan menjaga ruangan untuk emak dapat rukuk dan sujud. Selepas emak selesai berdoa aku mengambil ruangan emak. Aku minta emak keluar terlebih dahulu. Ini kerana aku takut emak tertolak ketika mahu menjaga aku waktu aku bersolat. Aku bertawakal dan berdoa agar diri ini dilindungi.
Alhamdulillah, aku dapat bersolat dengan agak selesa. Aku dapat bersujud lama sambil memohon ampun dari Allah dan berdoa. Air mata ini tak henti-henti mengalir atas rasa syukur kerana dapat peluang bersolat dan berdoa di dalam Raudhah. Segala yang aku hajatkan dapat aku doakan di sana. Alhamdulillah juga, kerana aku dapat juga mendoakan untuk orang lain sama. Selesai aku bersolat, polis wanita sudah berdiri di tebing tiang di hadapanku. Mengarahkan jemaah dari Malaysia keluar kerana selepas itu giliran jemaah dari arab pula. Alhamdulillah, aku masih dapat menghabiskan doaku lagi waktu itu tanpa terus diarahkan keluar oleh polis tersebut. Bila di suruh keluar aku terus akur. Bangun dan berlalu.
Ketika itu sudah terdengar derap kaki jemaah selepas kami. Masih ada lagi juga jemaah yang mahu terus berada di situ dan berdoa. Bangun ibu, arab ibu.. bangun ibu, arab ibu.. Polis itu memberitahu yang jemaah yang akan masuk ini adalah dari Arab. Nada polis itu sudah cemas bila masih ada yang tidak mahu bangun kerana tentunya polis itu takut kalau-kalau mereka akan di rempuh oleh jemaah arab nanti. Mungkin untuk jemaah di bahagian hadapan masih okey lagi. Tapi bagi jemaah yang duduk di bahagian tengah, adalah tidak selamat untuk terus duduk di situ. Bangunlah, kalau kena langgar nanti lagi susah. Jemaah selepas ni dari Arab. Takut kena rempuh aje nanti. Ajakku dengan nada sedikit merayu kepada jemaah yang seperti enggan bangun. Aku juga bimbangkan keselamatan mereka. Aku tidak pasti jemaah itu bangun atau tidak bila aku terus keluar setelah polis mengarahkan keluar untuk keselamatan kami juga.
Alhamdulillah, waktu aku keluar jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam. Keadaan dalam Masjid Nabawi sudah lenggang. Aku mencari emak dan menunggu emak mertuaku seketika. Aku pulang ke hotel malam itu dengan perasaan yang cukup puas. Puas kerana dapat memasuki Raudhah. Puas kerana dapat membantu orang di dalam Raudhah tanpa mementingkan diri sendiri. Puas kerana dapat mengutamakan emak terlebih dahulu. Puas kerana dapat bersoalat di Raudhah. Puas kerana dapat berdoa di Raudhah. Puas kerana aku tidak tamak berdoa hanya untuk diri sendiri. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar.. rasa sangat bersyukur dan sangat indah perasaannya. Sehinggakan aku terasa cukup sebak untuk menghabiskan entry ini bila mengenangkan malam yang cukup indah buatku di Raudhah. Terima kasih Allah. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
19 comments:
mengalir air mata izwa kak...
yup betul rasa sedih lak akak baca n3 ni
Kakcik yang membaca turut rasa sebak sama.
terasa sayu baca coretan akak ni ...
saya takleh imagine macamana tali beg jemaah tu tersangkut ... tgh bersujud ke kak?
Allah,Allah..terasa dekat Raudhah dihati ini, hati jadi semakin rindu bila baca n3 Hanis ni, Selawat dan salam kepada baginda Rasulullah SAW.
Membaca N3 ini membawa nostalgia kakak ketika di sana. Betul Hanis airmata pasti tumpah tika berada di Raudhah tambahan pula disitulah rasulullah dimakamkan.
Kalau di raudhah selagi kita bersujud tak akan dihalau tapi kalau berdoa secara tadah tangan memang tak boleh lama kena halau Hanis.
Moga doa-doa ketika di Raudhah dimakbulkan Allah...
ps: Mesti teringat kata-kata polis "Maju ibu - maju ibu!! polis wanita dia hihi...
subhanallah.. sy yg membaca turut terkesan. seakan masih terasa dan terngiang ditelinga suasana berada di sana.
Indahnya saat itu.
Oh, baru saya tahu Abu Bakar & Umar pun kuburnya di kawasan Raudah tu
saya ras ada sesuatu dlm kerongkong saya masa baca en3 ni..sebak sgt
Assalamualaikum Hanis
Insyaallah
Allah akan terus membantu Hanis dlm segala amalan
subahanaallah, terasa sebak baca entry ni
alhamdullillah mesti seronok dah smpai..bile la gaknye sy dpt rase ke sana
owh memang macamtu ye kak. dalam tu pon dorang tolak menolak?
assalam hanis..perasaan sebak hnis dah menular ke pembaca blog hanis..termasuk la acik sendiri.
Akak pun turut sama rasa sebak, Hanis..
alhamdulilah, baca pun rasa mcm ada sama je
tak sedar mengalir air mata baca entri ni fea....
penuh cabaran juga nak masuk dan menunaikan solat di Raudhah ya...
Membaca entri Fea ni pun terasa seronok sangat, syukur fea dan bonda dapat menunaikan solat di situ kan.
Ya Allah, indahnya membaca pengalaman fea ni, apa lagi kalau dapat turut bersama2 di sana...
Jemaah dari Arab memang macam tu ya? Biasa dengar diorang kasar2 sikit, tapi sampai macam tu, takut juga kan...
kesian anak jemaah yg tersangkut tali beg tu..kecik sgt lagi ya kak budak tu?
org arab badannya besar-besar..dah ramai-ramai mcm tu x mustahil boleh terpijak kan
Post a Comment