Thursday, March 28, 2013

Dalam setiap doaku..

Assalamualaikum..

Malam tadi aku termimpikan dua orang sahabat baikku. Walaupun hanya sekadar dalam mimpi, aku rasa seronok sangat bila dapat hang out bersama mereka. Mungkin kerana terlalu rindu bila sudah lama tidak berjumpa. Banyak perkara yang kami kongsikan dalam suasana yang cukup santai. Paling best dalam mimpi tu ialah bila kedua orang sahabatku sudah kaya raya. Subhanallah.. bagusnya. Aku rasa cukup gembira untuk mereka. Walaupun hanya dalam mimpi, aku rasa cukup seronok dengan kemurahan rezeki yang dimiliki oleh mereka berdua.

Sejak umur semakin meningkat, rasa untuk bersaing itu sudah tidak seperti dulu. Bukanlah terus hilang, tapi ianya jadi tidak begitu penting dan ketara. Ingat lagi tak waktu zaman kita kecil-kecil dulu? Kalau orang ada 2 mainan, kita seperti mahu ada 3 mainan atau lebih. Waktu zaman mahu memulakan kehidupan, rasa mahu bersaing itu sedikit menebal dalam diri. Bukanlah mahu sentiasa lebih dari orang lain. Tapi sekadar ada rasa untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang lain. Orang ada, kita juga mahu ada. Bila orang lebih, kita juga jarang benar mahu kurang.

Sekarang ini, aku rasa lebih tenang bila persaingan itu tidak terlalu menganggu hatiku. Melihat rezeki orang lain aku rasa seronok. Melihat kelebihan orang lain aku tumpang berbangga. Melihat kejayaan orang lain aku ikut rasa bersyukur sama. Kadang-kadang aku sendiri rasa keliru dengan apa yang aku rasa. Adakah aku sekadar berpura-pura melindungi rasa hati yang sebenar? Benarkah aku benar-benar gembira untuk mereka? Benarkan aku tidak rasa cemburu dengan apa yang mereka miliki atau perolehi? Sedangkan, aku sendiri tidak memilikinya. Baik sangatkah aku?

Bila merenung dalam-dalam, aku tahu aku tidak berpura-pura tentang semua itu. Aku juga tahu yang aku tidak menipu hatiku tentang perasaan cemburuku. Alhamdulillah,  sifat baik orang di sekelilingku sedikit sebanyak telah menyebarkan virus yang baik untuk menjadikan hatiku lebih bersih kini. Cara dan peribadi orang luar yang lebih baik dariku menjadikan aku lebih bijak menguruskan hatiku. Rasa cemburu selalunya bertukar dengan rasa gembira untuk orang lain. Bersaing bukan lagi satu keperluan. Melihat orang lain merai dan mendoakan kejayaan dan rezeki yang kita perolehi membuatkan kita juga mahu sama-sama merai rezeki dan kejayaan orang lain.

Satu perkara yang aku pasti mengapa hatiku rasa lebih tenang dan  senang ialah orang lain juga sentiasa berada dalam setiap doaku. Sebagaimana aku mendoakan rezeki dan kejayaan buat diriku dan keluarga, begitu jugalah aku mendoakan rezeki dan kejayaan untuk orang lain. Bila aku sendiri yang memohon dengan setulus hati, mana mungkin aku sendiri berasa tidak senang. Subhanallah.. besar betul kuasa sebuah doa itu. Ianya bukan sekadar sebuah pengharapan yang kita mahukan ianya tertunai, tapi ianya juga mampu membersihkan hati dari sifat yang tidak elok. Ianya mampu merawat hati agar menjadi lebih baik.  Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar.. Sangat tidak rugi untuk kita mendoakan orang lain dalam setiap doa kita. Ianya akan membawa lebih kebaikan untuk diri kita juga orang lain, insyaAllah.

Untuk aku sendiri, masih terlalu banyak yang perlu aku perbaiki. Hatiku juga masih banyak hitamnya yang perlu aku kikis dan bersihkan. Kekurangan diri masih terlalu banyak untuk diperbetulkan. Namun, rasanya tak salah untuk aku berkongsi sedikit perubahan yang baik dan penyebabnya kepada orang lain. Mana tahu, manfaatnya mungkin adalah lebih baik untuk orang lain.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care & have a nice day.

9 comments:

Izwa Kamaruddin said...

betul kak..kdg-kdg dgn hanya mendoakan org lain benda baik akan terjadi pada kiter secara tak langsung.. :)

suka entry ni..bagus pengisian akak.

Mak Wardah said...

Betul Hanis, akak juga sedang cuba memutihkan hati yang masih ada warna hitam...

ummiross said...

kenang daku dalam doa mu..

Unknown said...

Doakan saya jugak ye kak fea..:-P

TS said...

alhamdulillah..moga kita xpernah lupe tuk mendoakan org lain...

Alkisahnya said...

Insyallah sifat itulah jua yang sedang saya praktikkan...Insyallah mensyukuri nikmat yang diberiNya..

faraherda.razalan said...

Kak, maaf...lmbt wish. Happy belated bday. Umur akak tak pdan dgn wajah akak, kan? Nmpk mudo....hehehehe! Mcm baya sy je. Sy ni yg nmpk tua. Waaaaaaaaaaa!

azieazah said...

Setuju. Semakin meningkat umur kita semakin bijak untuk menilai keduniaan ini untuk apa.

Kemudian melihat sesuatu itu dengan mata hati, dan berjaya mendidik hati menginati perkara yang lebih baik dan berfaedah.

Mohon doakan Kak Azie juga ya. Sebagaimana doa doa yang terdahulu. Aamiinnnnnn

Nina Mads said...

doa yg baik2 akan dimakbulkan..aminn :)

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...