Usia perkahwinan juga akan bertambah. Pertalianku dengan en.asben akan menjadi semakin erat. Hubungan dan kasih sayang menjadi semakin lama. Harap-harapnya akan menjadi semakin teguh dan terus kukuh. Semoga ianya terus berkekalan hingga ke hujung nyawa kami.
Anak-anak semakin membesar. Alhamdulillah, tahun baru ini semua anak-anakku sudah menjejaki ke sekolah rendah. Tanggungjawabku sebagai ibu dan isteri akan menjadi lebih besar. Tugas mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjaya dan berguna dalam pelajaran dan sahsiah diri akan menjadi lebih mencabar. Semoga anak-anakku menjadi anak yang soleh dan beriman. Semoga segala ilmu yang mereka dapat dan pelajari mendapat berkat.
Emak dan kedua mertuaku akan lebih berusia. Seharusnya perhatian kami sebagai anak untuk mereka perlu ditingkatkan. Semoga kami dapat menjaga fizikal dan hati orang tua kami yang terlalu banyak jasanya itu sehabis baik. Semoga kami terus menjadi anak-anak yang mampu memberi kegembiraan dan kebahagian buat mereka.
Azam baru pastinya ada. Yang lama juga masih banyak yang perlu diteruskan. Harapanku semoga 2011 menjadi tahun yang lebih baik untuk kehidupan kami sekeluarga. Mohon dikurniakan keberkatan umur dan rezeki buat kami sekeluarga. Minta dijauhkan dari sebarang penyakit dan wabak. Semoga kami menjadi insan yang lebih beriman dan bertakwa.
Untuk teman-teman blogger, semoga persahabatan kita akan terus berkekalan. Terima kasih kerana sudi menjadi teman baru yang sangat baik untukku. Selamat Tahun Baru 2011 untuk semua. Aku doakan semua yang terbaik untuk kalian dan keluarga. Take care & happy always...