Tuesday, June 25, 2013

Penawar Gatal dan Garu.. Calazite..

Assalamualaikum..

Beberapa bulan sudah sewaktu aku pergi sukan sekolah anak aku, ada teman/jiran yang menegur. Katanya setiap kali berjumpa denganku, dia nampak kulitku kelihatan semakin cantik. Aku cuma tersenyum mendengarnya. Alhamdulillah, kulit mukaku memang tidak mempunyai banyak masalah. Jerawat masih lagi sesekali tumbuh. Tapi keadaan itu masih terkawal. Mungkin disebabkan itu, kulit mukaku masih nampak bersih. Walaupun kulit mukaku tiada masalah dan nampak bersih tapi itu bukanlah pengukur yang aku tidak mempunyai masalah kulit. Ini kerana kulitku memang jenis yang sensitif. Sewaktu temanku menegur itu sebenarnya aku sedang menghadapi masalah kulit di bahagian tangan. Kedua belah tanganku dari pergelangan tangan hingga ke lengan ditumbuhi dengan ruam. Faktor cuaca yang panas dan kering mungkin telah menyebabkan kulitku terkena alahan. Ruam halus dan ruam yang seperti gegata itu berselang tumbuh membuatkan aku selalu rasa tidak selesa. Sangat sengsara rasanya setiap kali rasa gatal itu menyerang. Berulang aku ke klinik. Macam-macam ubat yang aku dah makan dan sapu. Tapi kesannya tidak cukup berhasil. Rasa gatal seperti tidak berkurang.

Dalam pada bertahan untuk tidak menggaru, tapi akhirnya memang menggaru juga yang akan menjadi penawar yang cukup berkesan. Ianya juga yang akan memberi lebih rasa kelegaan. Tapi bila dah menggaru, pastinya akan menyebabkan kulit menjadi luka dan melecet. Bila dah luka dan melecet, parut pula yang akan tinggal di kulit. Jadi satu kerja pula untuk menghilangkan parut selepas itu. Bila dah menggaru kulit akan menjadi kering. Bila kulit kering, ruam-ruam yang gatal itu akan kembali datang. Akibatnya masalah alahan kulit itu jadi bertambah sukar untuk sembuh. Rasanya hampir 2 bulan lebih aku terpaksa berlawan dengan rasa gatal yang sangat merimaskan. 2 bulan juga aku bertahan untuk tidak menggaru tetapi masih gagal untuk bertahan. Memang mengaru juga yang akan menjadi ubat yang paling berkesan untuk menghilangkan rasa gatal. Lepas sedap menggaru aku akan rasa sedih sendiri bila kulit yang gatal jadi bertambah teruk dan kulit tangan kelihatan tak cantik. Dari sabun yang mahal sampailah sabun yang murah. Semua aku dah cuba. Losyen yang berjenama sehingga yang tiada jenama. Semua aku dah cuba sapu. Tapi gatal tetap gatal. Menggaru tetap menggaru. Sampaikan aku jadi stress dibuatnya. Ini kerana, kalau aku terus menggaru memang mustahil masalah kulitku akan kembali pulih seperti biasa. Bila dah menggaru memang mustahil kulitku akan jadi bersih tanpa cela dan parut.

Alhamdulillah, akhirnya aku jumpa penawar yang paling berkesan untuk menghilangkan masalah menggaru. Nama ubat tu Calazite Lotion. (Sori tak boleh pulak nak upload gambar). Rasa gatal tetap juga sesekali aku rasa tapi bila aku tidak menggaru, kulit yang gatal jadi lebih cepat untuk sembuh. Kulit yang kering jadi tidak lagi kering. Untuk aku, memang ubat ini yang cukup berkesan. Harganya pula murah. Dengan harga RM4.50 di farmasi depan rumahku. Ianya calamine losyen tapi dalam bentuk yang mudah untuk di sapu kerana ianya jenis yang roll-on. Kalau calamine losyen yang biasa memang ada rasa berangin. Tapi yang ini rasanya lebih hangat. Rasa hangat itu yang akan membuatkan kita tiada rasa mahu terus menggaru. Bila mula-mula sapu memang macam tak rasa apa kecuali ada cairan bedak putih yang melekat pada kulit. Tapi selepas seminit rasa hangat akan dirasa menghilangkan rasa gatal dan juga rasa untuk menggaru. Alhamdulillah, sekarang ini kulit tanganku sudah kembali pulih. Bila sesekali ada rasa gatal memang cepat-cepat aku akan sapukan dengan penawar ini sebelum menggaru menjadi penawar yang akan merosakkan kulitku.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Thursday, June 20, 2013

Musim Cinta...

Assalamualaikum...

Membaca dan mendengar cerita orang pergi bercuti, hati pun rasa nak pergi bercuti juga. Jika tak mendengar cerita pun, memang aku sendiri yang selalu cari pasal membaca review tentang percutian orang lain. Rasa cukup seronok membaca cerita-cerita tentang percutian. Walaupun kita belum berpeluang untuk pergi, tetapi cerita-cerita yang didengar dan dibaca seolah-olah telah membawa kita ke sana. Itu yang best tu. Kalau tak baca dan dengar cerita orang, sengaja juga aku membelek gambar lama waktu pergi bercuti bagi menambahkan keinginan untuk pergi bercuti lagi dan lagi dan lagi he..he..

Sekarang ini aku sedang mencari-cari pakej untuk percutian kami sekeluarga di tahun hadapan. Percutian untuk hujung tahun, memang sudah berada di dalam perancangan. Harap-harap menjadi dan berjalan dengan lancar nanti, insyaAllah. Bila budget untuk  percutian tidak sebanyak  mana, (bagi membolehkan kami dapat bercuti selalu he..he..) sebelum mengambil apa-apa keputusan aku perlu memastikan yang kami telah membuat pilihan yang betul untuk memilih destinasi dan musim. (Budget tak besar tapi cita-cita cukup besar he..he..)

Sebelum tersalah memilih aku perlu berbincang dengan en.asben untuk membuat sebarang keputusan. Kita nak pergi waktu musim apa? Soal aku yang tak mahu disalahkan bila nanti tersalah membuat pilihan. Kita pergi musim cintalah. Jawab en.asben dengan jawapan yang sangat tidak membantu. Nak pergi musim cinta ya. Pandai betul nak melepaskan diri biar pilihan terletak di tangan aku. Okeylah, nanti kita pergi bercuti pada musim cinta yang akan aku pilih. Tapi sampai sekarang aku masih di dalam dilema untuk menetapkan pilihan untuk memilih musim hu..hu..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Monday, June 17, 2013

Tanda ingatan...

Assalamualaikum..

Petang semalam ketika aku berada di rumah mertua, aku menerima panggilan dari teman blogger yang pada ketika itu berada di hadapan rumahku.  Alhamdulillah, ada rezeki untuk kami sekeluarga bila mendapat ole-ole dari Paris dan Terengganu. Ada rasa terkilan juga kerana tiada rezeki untuk kami berjumpa. Lebih-lebih lagi bila orangnya sangat ramah dan baik budi. Setiap kali datang ke rumah, ada saja yang dibawa untuk kami. Semoga semakin murah rezeki ummi sekeluarga. Semoga ada rezeki untuk kita berjumpa di lain kali. Terima kasih banyak Ummiross dari blog Salam Borneo. Rasa cukup berbesar hati dengan ingatan dari ummi. Terbau-bau Paris buah tangan yang diberi tu.

Petang jumaat sewaktu aku balik dari pejabat, adikku menghantar emak balik ke rumahku. Teringinkan laksa, membuatkan emak memasak laksa johor pada petang itu. Seperiuk besar kuahnya macamkan nak buat open house he..he.. Kata emak, sesekali buat biar buat sekali banyak. Biar puas makan dan ramai orang dapar sama-sama merasa. Biasalah emak, bila dah masak tentulah teringatkan orang itu. Teringatkan orang ini. Bila dah banyak dapatlah dihantar ke rumah mertua dan kakak ipar. Telefon juga adikku, makcik dan sepupu untuk datang makan. Sebut saja emak masak laksa, memang semuanya gigih nak datang. Sebab laksa johor emak memang meletopsss. Sampaikan aku sendiri, en.asben dan anak-anak pun berulang-ulang-ulang-ulang makan he..he..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Monday, June 10, 2013

Penutup cuti sekolah..

Assalamualaikum..

Untuk cuti sekolah kali ini memang kami tidak ke mana. Merancang untuk ke mana-mana pun tidak. Anak-anak juga tidak kecoh untuk ke mana-mana kerana sepanjang cuti sekolah kali ini memang kebanyakan masa dapat dihabiskan dengan sepupu-sepupu mereka. Jadinya tak berjalan ke mana pun memang tak jadi hal. Alhamdulillah, dalam tak merancang, di penghujung cuti sekolah dapat juga kami membawa anak-anak berjalan.

Hari jumaat malam kami bertolak ke Ipoh untuk menghantar pengantin untuk majlis sebelah pihak lelaki. Tunggu orang ini, tunggu orang itu sudahnya, pukul 12 tengah malam juga kami bertolak. Kali ini dapatlah kami tiga beradik untuk berjalan bersama beramai-ramai satu keluarga. Selepas singgah untuk mengisi perut di Hentian Tapah, kami tiba di Ipoh pada pukul 4 pagi. Di sana kami menginap di Regency Tower. Boleh  tahan juga apartmentnya. Cantik, bersih dan selesa. Terima kasih kepada pihak keluarga  pengantin lelaki yang menyediakan penginapan yang cukup selesa untuk kami sekeluarga.

Hari sabtu petang selepas majlis pihak lelaki selesai kami bertolak ke Taiping untuk melawat tok. Sebelum ke rumah tok sempat lagi singgah makan mee udang dan cucur udang bersama tauhu di kedai Mak Jah. Penuh padat pelanggannya. Sampaikan dah habis makan, air yang dipesan tak sampai-sampai. Selepas makan sempat beli ketam lagi. Jadinya untuk sarapan semalam kami meratah ketam yang emak masak bersama sos dan telur. Marvelous betul rasanya. Manis ketam cukup terasa sampaikan aku dok teringat-ingat sampai sekarang he..he..

Alhamdulillah, perjalanan pulang semalam sangat lancar walaupun kami semua sangat risau jika terpaksa melalui kesesakan. Kononnya nak bertolak awal pagi. Tapi sudahnya, pukul 12 tengah hari juga baru bertolak. Bila sesekali dapat balik ke rumah tok memang jadi sangat seronok. Sampaikan nak balik pun jadi tertangguh-tangguh. Sempat lagi jalan-jalan kat pasar depan rumah tok. Dalam perjalanan balik emak, makcik dan adik-adikku singgah di Ipoh semula untuk memenuhi jemputan keluarga belah pengantin lelaki untuk makan tengah hari di rumah mereka.

Aku dan keluarga juga anak-anak adikku tidak ikut sama. Memikirkan hari ini anak-anak akan mula sekolah, jadi tidak terasa mahu berhenti di mana-mana. Dalam kepala cuma mahu balik ke rumah saja. Alhamdulillah, petang semalam, kain baju semua sudah selesai diuruskan. Dah siap kemas, dah siap basuh, dah siap sidai. Lepas masak dan makan malam dapat berehat dengan tenang sebab segalanya sudah disiapkan sebaiknya. Sangat lega rasanya. Pagi ni terasa cukup lapang. Tapi perjalanan untuk ke tempat kerja adalah sangat sesak hu..hu..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Friday, June 7, 2013

Jumlah yang sama...

Assalamualaikum..

Adakalanya terasa risau untuk bercerita mengenai perkara kebaikan. Takut-takut ianya adalah riak yang tidak disedari. Takut juga pahala yang sepatutnya diperolehi akan hilang disebabkan oleh rasa riak itu. Tapi rasa ingin berkongsi tentang perkara kebaikan selalu ada dalam diri. Ini kerana, aku sendiri banyak menjadikan perkara kebaikan yang dilakukan oleh orang lain sebagai contoh. Ianya menjadi pengajaran dan ilmu yang berguna untuk diriku. Jadinya, bila cerita, cara hidup dan sikap orang lain boleh menjadi contoh yang baik untuk diriku, terasa juga untuk melakukan perkara yang sama. Mana tahu, dengan izin Allah, perkongsian kecil ini dapat memberi manfaat yang besar untuk orang lain pula.

Rasanya aku pernah bercerita tentang keberkatan bersedekah dan menunaikan zakat. Hari ini, aku ingin bercerita lagi mengenainya. Belasan tahun dahulu, aku hanya tahu tentang zakat fitrah. Pada aku itulah saja zakat yang wajib ditunaikan. Tapi melalui seorang teman, aku mengetahui tentang zakat pendapatan dan zakat harta. Ianya juga sebenarnya wajib untuk kita tunaikan. Walaupun pernah belajar tapi sangkaku hanya orang kaya saja yang layak menunaikannya. Sedangkan ianya tidak begitu. Dari situ aku mula menunaikannya. Berzakat selalu dikaitkan dengan keberkatan rezeki. Jangan takut untuk berzakat kerana Allah itu Maha mencukupi. Sedikit yang kita keluarkan tapi balasannya adalah sangat besar. Datangnya juga dari sumber yang tidak kita sangka-sangka. Semoga balasan yang terima di dunia akan menjadi berganda-ganda untuk kita di akhirat nanti.  Subhanallah.. Alhamdulilah.. Allahuakbar..

Alhamdulillah.. beberapa bulan sebelum ini ada rezeki yang aku perolehi. Rezeki itu memerlukan aku untuk menunaikan tanggungjawab untuk berzakat. Alhamdulillah.. bulan lepas rezeki yang aku perolehi dapat aku kongsikan sebagai zakat kepada saudara terdekat yang layak menerimanya. Bercakap mengenai zakat dan keberkatan rezeki, bulan ini ada pula rezeki yang diperolehi untuk kami sekeluarga. Sesekali memang ada rezeki lebih yang kami perolehi. Tapi bila rezeki itu dapat menjadi simpanan dan bukannya terus habis untuk dibelanjakan, aku dapat rasakan ianya adalah berkaitan dengan zakat yang di tunaikan dan juga keberkatan rezeki.

Bila ada rezeki lebih adalah lebihan pendapatan untuk kami sekeluarga. Yang membuatkan aku ingin berkongsi ialah, jumlah itu adalah sama banyak seperti mana yang telah aku zakatkan, Subhanallah.
Bulan lepas melalui online aku pindahkan duit zakat itu untuk penerima zakat. Bulan ini, melalui online aku pindahkan pula rezeki yang diperolehi oleh kami sekeluarga ke dalam akaun simpanan milik kami. Pada mulanya aku tidak perasan tentang itu. Tapi bila aku memberitahu en.asben jumlah yang akan aku simpan, hatiku terdetik sendiri. Eh... sama pulak jumlahnya. Bulan lepas simpanan kami berkurang kerana aku mengeluarkan zakat. Tapi bulan ini, simpanan kami bertambah dari rezeki yang tidak kami sangka-sangka. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakbar.. 

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice.                                

Thursday, June 6, 2013

Goodies untuk majlis perkahwinan...

Assalamualaikum..

Hari ini nak cerita mengenai goodies untuk majlis. Rasanya kat rumah dah banyak paper bag comel dan beg isi goodies yang cute mute yang aku dapat bila ke majlis orang. Bila sedikit terasa ianya cukup berguna untuk isi apa-apa. Tapi bila dah banyak sangat rasa tak tahu nak buat apa pula. Sudahnya terpaksa buang juga benda tu semua walaupun rasa sayang. Tapi nak simpan tak tahu nak letak kat mana. Jadinya untuk majlis makcikku, aku dan adik-adikku mencadangkan agar makcikku  tak perlu  nak berhabis untuk beli beg-beg tu semua. Goodies pun tak perlu nak bagi dua tiga jenis tapi tak praktikal. Itu pun makcik aku risau. Takpe ke? Nanti orang cakap apa? Aku cakap tak perlu nak fikirkan apa orang akan kata. Yang penting apa yang kita ikhlas nak beri. Bagi apa yang perlu sudah. Untuk majlis sepupuku, sangat simple goodiesnya. Hanya telur dalam bekas untuk tetamu dewasa dan biskut bantal dalam tupperware apple lady untuk tetamu kecil. Ianya sangat ringkas dan aku sangat suka begitu.

Alhamdulillah ada rezeki untuk aku sponser 500 goodies untuk tetamu kecil. Sejak awal aku dah beli tupperware kecil apple lady tu. Seminggu sebelum majlis aku beli biskut bantal pula. Dua tiga hari sebelum  majlis baru masukkan ke dalam bekas mengelak dari biskut bantal tu lemau. Pada hari majlis ramai juga yang geram dengan bekas cute tu. Anak-anak seronok bila dapat. Orang dewasa pun ada yang nak minta yang itu boleh??? he..he.. Silalah ambil. Memang untuk tetamu pun. Elok saja pukul 5 memang bekas apple lady tu dah tak berbaki lagi. Pada aku yang simple lebih menarik. Tak perlu membazir untuk benda yang tak perlu dan akhirnya akan dibuang orang.


Simple aje kan...
Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Wednesday, June 5, 2013

Teks ringkas untuk Majlis Perkahwinan...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. majlis perkahwinan sepupuku pada ahad lepas telah berlangsung dengan lancar dan penuh meriah. Seminggu sebelum itu makcikku ada meminta aku untuk buatkan sedikit teks untuk dibaca pada majlis perkahwinan itu. Pada mulanya, agak pening juga untuk aku mengarangnya. Tapi Alhamdulillah, perkongsian orang lain mengenai teks untuk majlis perkahwinan amat membantu. Dari perkongsian mereka aku dapat idea untuk mengarangnya sendiri sebab rasa tak best pula bila ambil idea orang bulat-bulat. Bila rasa perkongsian dari mereka sangat membantu, aku rasa terpanggil pula untuk berkongsi teks ringkas yang telah aku buat. Mana tahu, ianya dapat membantu orang lain dan untuk rujukan aku sendiri di lain kali, insyaAllah.. Sebelum tengok teks kita tengok gambar dulu ya.

Pengantin baru vs Pengantin tak berapa baru he..he..

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para tetamu yang dihormati. Kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Datin, Tuan Puan dan Para Hadirin sekalian amatlah dihargai. Saya, bagi pihak Tuan Rumah, Dato’ Othman bin Hassan dan Datin Aishah binti Mohd Said serta kedua pasangan pengantin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas kesudian para hadirin sekalian ke majlis ini. Untuk semua para tetamu, selamat menjamu selera diucapkan.
Hari ini, 2 Jun 2013, kita meraikan Majlis Perkahwinan pasangan raja sehari, Dr. Farahwahida Dato’ Othman bersama pasangannya Encik Wan Mohamad Aliff Ahmad Kamil. Barakallah untuk pasangan pengantin. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk mereka berdua dan juga untuk kita semua, insyaALLAH.

Tetamu yang datang sangat dihargai,
Bersalam-salaman, berlaga pipi;
Terima kasih diucapkan, tanda berbesar hati,
Jemputlah makan, buat tetamu yang dihormati.

Bariani gam nama diberi,
Hidangan istimewa JM Bariani;
Tetamu dan pengantin sama dirai,
Ada kekurangan, harap dimaafi.

Alhamdulillah.. di dalam majlis yang penuh meriah ini, yang jauh dan yang dekat dapat disatukan. Kaum keluarga dapat berkumpul, saudara mara dapat bersua muka, jiran-jiran dapat berjumpa, sahabat lama dan baru dapat bertemu. InsyaAllah, semoga ukhwah yang terbina akan berkekalan hendaknya. Sambil-sambil menjamu selera marilah kita bersama-sama menyoroti perkenalan antara kedua pasangan mempelai yang kita raikan hari ini, iaitu Dr. Farahwahida dan Encik Wan Mohamad Aliff.

Berjalan rapat, berlaga bahu,
Cantik dan kacak, molek bersatu;
Macam mana berkenalan, kami semua nak tahu?,
Mengorek rahsia si pengantin baru.

Hospital Kajang tempat berkhidmat,
Mencurah bakti, memerah keringat;
Baik budi hati terpikat,
Bila berjauhan asyik teringat.

Ikan di laut, asam di darat, di dalam kuali bertemu juga. Di zaman kecanggihan teknologi hari ini, di laman Facebook juga, kita boleh bertemu. Menyingkap bibit-bibit perkenalan antara pasangan kedua mempelai, rupanya, Facebook juga yang telah menemukan mereka berdua. Seorang di Ipoh, seorang di Bangi, kalau dah jodoh bersatu jua. Kata orang, tak kenal makan tak cinta. Bila dah kenal, hati tertawan pula.

Bermula di facebook, pertemuan tercipta,
PICC tempat, pertemuan pertama;
Mula berkenalan, kemudian bercinta,
Bila dah suka, buat apa nak tunggu lama.

Bila hati dah kata suka,
Carilah dulu restu keluarga;
Mama setuju, papa pula kata ya,
Barulah boleh betul-betul terima.

Kalau dah jodoh tak ke mana, adinda pujaan kekanda. Pertemuan pertama bersua muka di luar alam cyber telah membenihkan rasa cinta antara keduanya. Alhamdulilah, selepas beberapa pertemuan dalam hampir 2 bulan perkenalan mengenali hati budi masing-masing, dengan restu kedua belah keluarga, tali pertunangan diikat pada tanggal 22 Disember 2012. Dan Alhamdulillah, pada hari yang penuh bermakna ini, janji sepakat yang telah diikat ditunaikan di dalam majlis yang penuh berkat ini.

Restu dipohon memohon berkat,
Janji termeterai tanda sepakat;
Cincin disarung mengikut adat,
Sebagai tanda sudah terikat.

Pandai sungguh Wan Aliff memikat,
Mudah pula Dr. Wawa terpikat;
Jarak yang jauh dah rasa dekat,
Semoga majlis mendapat berkat.

Tahniah diucapkan kepada pasangan pengantin kita hari ini, Dr. Farahwahida dan pasangannya Encik Wan Mohammad Aliff. Semoga rumahtangga yang dibina akan mendapat keberkatan dari Allah swt. Semoga kasih sayang yang disulam akan berterusan hingga ke jannah, insyaAllah. Tahniah juga untuk kedua-dua ibu dan bapa pengantin yang menerima menantu pada hari ini. Semoga ikatan yang baru terbina di antara dua buah keluarga akan dirahmati Allah hendaknya.

Bariani ada, satay pun ada,
Sirap dan cendol penghilang dahaga;
Kepada pasangan pengantin, berbahagialah hendaknya,
Semoga dikurniakan cahayamata yang soleh dan berakhlak mulia.

Alhamdulillah, tanda bersyukur,
Majlis meriah, suasana ceria;
Sudah masanya untuk berundur,
Tersilap kata, maaf dipinta.

Sekian, Wabillahitaufikwal hidayah,
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...
Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...