Friday, May 29, 2015

Back to back Outstation..

Assalamualaikum..

Bulan ini bulan yang penuh dengan program di tempat kerja. Minggu lepas, tiga hari berkampung di Rembau untuk Program Peringkat Kebangsaan. Balik hari sabtu, hari ahadnya terlibat pula dengan Program Peringkat Asean pula. Tiga hari juga berkampung di Hotel Impiana KL. Nama aje berkampung di Hotel tapi hampir tengah malam juga baru dapat balik ke bilik.  Walaupun penat tapi aku dapat pengalaman dan ilmu baru yang berharga. Pengalaman dan ilmu yang nilainya tak terbanding dengan gaji dan elaun yang diperolehi. Dapat jumpa dan berkerja dengan orang yang berlainan membuatkan aku dapat mempelajari sesuatu yang baik dari mereka. Setiap orang punya kelebihan dan kekurangan. Jadi apa yang baik boleh diambil sebagai contoh. Apa yang kurang boleh diambil sebagai sempadan untuk aku memperbaiki diri.

Baru dua hari dapat balik rumah hari ini insyaALLAH akan ke Perlis pula selama dua hari untuk Program Peringkat Kebangsaan lagi. Letih tak payah cakap. Rindu pada suami dan anak-anak tak tahu nak cakap macam mana. Rumah yang ditinggalkan pun boleh tahan juga tunggang-langgangnya he..he.. Tapi tak mampu nak berikan alasan untuk tidak turut serta bila orang lain yang juga ada komitmen dengan keluarga masih dapat melibatkan diri. Maka terpaksalah aku tolak tepi alasan yang bersusun untuk tidak terlibat sama dan memberi komitmen untuk berkerja di luar pejabat. Ianya juga sebagai tanda sokongan kepada ketua dan organisasi. Susah tak susah kena aturkan juga urusan anak-anak dan rumah tangga untuk ditinggalkan buat sementara.

Satu yang aku perasan, bila kita mudahkan urusan orang lain, urusan kita juga ALLAH permudahkan. Jadi tak perlulah nak berkira sangat jika perlu terlibat dalam program tempat kerja. Ikhlaskan hati, insyaALLAH kita dapat berkerja dengan senang hati. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita. Fi Amanillah..

Friday, May 8, 2015

Feeling "ongkaya"..

Assalamualaikum.. 

Petang semalam aku singgah kat kedai runcit depan rumah. Memang takde nak beli banyak barang pun. Cuma nak beli satu barang ni aje. Bila tengok kat bekas  barang yang aku nak beli tu dah tinggal sikit sangat. Jadi aku pun belilah semua apa yang tinggal kat dalam bekas tu.

Oleh kerana dah lama dah tak masak dan tak makan benda tu jadi petang semalam bila dah beli aku pun masaklah. Pagi tadi baru teringat nak mengusik en.asben. Tanya kat en.asben, sedap ke tidak? Sebab beberapa hari sebelum tu en.asben ada menyebut nak makan benda tu. Konon nak tunjuklah yang aku ni caring. Suami nak makan, aku masakkan ha..ha..

Dah terlanjur bertanya tu aku pun ceritalah  sekali kat en.asben yang petang semalam aku macam orang kaya sebab boleh cakap kat adik kedai tu "Dikkk.. yang ni bungkus semua.." Wah.. memang tiba-tiba rasa macam orang kaya bila dapat guna dialog orang kaya macam tu di zaman gst ni he..he..

En.asben buat muka tak boleh blah aje sebab isteri dia feeling lebih. Padahalllllllll cuma dapat cakap macam tu untuk beli tauge harga 50 sen aje! he..he.. itu pun dah feeling "ongkaya" sangat. 

Salam hormat untuk semua. In sya-ALLAH..  Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Wednesday, May 6, 2015

Mangga Harum Manis..

Assalamualaikum..

Mangga harum manis.. Kita yang sihat ini pun rasa teringin dan terliur mendengar namanya. Inikan pulak orang yang sakit. Teringat kisah setahun dulu. Beberapa hari sebelum arwah adikku menghembuskan nafasnya yang terakhir. Waktu tu dalam musim mangga harum manis. Kebetulan adik bongsuku dan suaminya balik kampung di Kedah. Jadi adalah rezeki kami untuk dapat mangga harum manis. Orang yang sakit kat wad pun teringin. 

Nak ke? tanyaku.
Tersenyum-senyum arwah mengangguk.

Boleh ke? tanyaku lagi
Arwah tersenyum lagi.

Memang arwah naklah sebab beberapa hari sebelum tu selera makannya semakin berkurang. Tapi aku takut nak bagi sebab penyakitnya menyebabkan bacaan gula dalam darahnya bercelaru. Sekejap bacaannya 10, sekejap 15 sekejap 20 lebih. Sekejap nanti turun 11. Lepas tu naik balik 18. Jadi kami sama-sama pandang emak minta izin. (Kami lebih takut emak marah dari doktor marah hihihi). Seperti biasa emak akan beri formula tradisi.

Rasalah sikit.. buat ubat.. kata emak.

Bila emak dah bagi izin, takde pulak pisau kat dalam wad nak potong mangga tu. Jadi aku pun korek aje mangga tu guna sudu dan bagi pada arwah. 

Tadi bacaan gula berapa? tanyaku.
Dalam 11 ke 12.. jawabnya.

Oh kalau gitu dalam range rendah bacaannya untuk dia. Jadi aku korekkan sedikit lagi mangga untuknya. Tersenyum-senyum arwah makan.

Nak lagi? tanyaku.
Dia mengeleng.

Sebenarnya dia pun takut nak makan banyak. Elok lepas tu nurse masuk untuk check darah. Mangga kat tangan terus aku sembunyikan kat belakang badan. Kami berdua dah sama-sama tersenyum-senyum sebab tahu bacaan gula sure naik punya. 

Eh.. Kak Rafidah.. Gula naik 20 ni.. kata nurse.

Kami dah gelak dah waktu tu sambil arwah mengaku yang dia baru lepas makan mangga harum manis. Aku pun siap tunjukkan bahan bukti. Tak boleh nak kata apa, nurse pun tersenyum aje. Emak siap backing anak dia.

Buat ubat nurse.. kata emak mengalahkan tuan doktor.

Alhamdulillah.. arwah dapat rasa juga mangga harum manis. Kalau tak di musim ini tentu aku berasa ralat. Alhamdulillah.. kisah itu menjadi kenangan yang manis untukku. Semanis mangga harum manis  walaupun berderai-derai airmata ketika menaip entry ini. Al-fatihah untuk arwah. Semoga kehidupannya lebih indah dan manis di alam sana. I love you so much sister.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Tuesday, May 5, 2015

Cuti 4 hari kami dan Singgah Santai Resort..

Assalamualaikum..

Minggu lepas sepanjang minggu aku tak sihat. Jadi kalau orang lain dapat cuti panjang 4 hari aku dapat 5 hari sebab sehari lebih awal aku dah dapat MC.  Mujur untuk cuti panjang kali ini kami sekeluarga tak merancang untuk berjalan ke tempat yang jauh. Maka, aku dapat lebih masa berehat di rumah. Kalau tak mungkin makin melaratlah rasa tak sihat tu sebab tak cukup rehat. Hari ini pun badan masih rasa tak begitu selesa. Tapi Alhamdulillah.. sudah berdaya ke tempat kerja seperti biasa. Semoga aku akan terus sihat hendaknya.. insyaALLAH. Bila tengok kat kalendar nak dapat cuti panjang 4 hari rasa macam lama aje. Tapi bila dah lepas rasa macam pendek aje cuti 4 hari tu he..he.. Tapi apa-apa pun tetap bersyukur. Dapat juga kami penuhi cuti itu dengan aktiviti bersama keluarga. Suara lebih banyak keluar dari biasa sebab dah berkumpul dengan anak yang ramai-ramai tu, rumah kalau tak riuh rendah memang tak sah. Anak-anak pulak macam-macam peelnya. Ada aje yang nak tak kena. Nak makan gaduh, nak main gaduh, nak tengok tv gaduh he..he.. Kiranya buat apa-apa pun kena gaduh dulu baru puas hati. Anak oh anak.. 

Hari jumaat, hari cuti yang pertama tu, awal pagi kami pergi melawat pusara arwah mummy. Bulan ni dah nak masuk setahun dah arwah pergi. Tapi arwah sentiasa berada dekat di hati kami semua. Balik dari kubur kami beli sarapan dan singgah makan di rumah makcik. Dah lama juga kami tak menziarahinya. Walaupun dekat tapi nak menyinggah selalu rasa tak sempat. Jadi dah alang-alang cuti dapatlah kami menziarahinya sekali. Lepas makan semua kami pun balik ke rumah. Ada kerja yang dah menunggu aku dengan en.asben. Kerjanya ialah mengemas dokumen dan surat-surat kami yang dah menimbun. Setahun yang lepas ni aku banyak uruskan dokumen dan surat menyurat untuk  arwah adikku. Jadi dokumen sendiri terpaksa pending dan tolak ke tepi dahulu. Alhamdulillah.. kesempatan  cuti panjang tu dapatlah aku dengan en.asben kemaskan dokumen-dokumen kami pulak. Lega bila tengok bakul-bakul surat dah kosong. Takde dah membukit lagi he..he.. Surat-surat dan dokumen penting dah selamat masuk ke dalam failnya sendiri. 

Hari sabtu, hari kedua cuti en.asben dah plan nak bawak anak-anaknya tengok wayang. Menonton cerita  Avengers kat IOI City Mall. Jadi dalam pukul 11 kami keluar rumah. Mulanya aku malas nak ikut. Tapi mengikut plan kalau tiket wayang habis nak bawak anak-anak main ice skating aje. Jadi terpaksalah aku ikut juga. Siap ajak emak sekali biar emak dapat tengok cucunya main ice skating. Sampai IOI memang orang beratur nak tengok wayang punyalah panjang. Tapi dapat juga tiket nak tengok cerita Avengers tu pukul 12.30 tengah hari. Maka en.asben dapatlah tengok bersama 6 orang anaknya seperti yang dihajatkan. Aku, emak dengan gegirl malas nak join. Sementara tunggu kami berlegar kat dalam mall tu. Minum dan makan yang ringan-ringan. Lepas solat zohor terus tunggu aje kat area surau tunggu dia orang keluar wayang. Punyalah lama kena tunggu. Tapi terpaksalah pasrah aje he..he.. (Aku memang bukan jenis lepak shopping mall. Itu yang rasa bosan). Lepas dia orang dah siap solat semua kami pergi makan kat The Chicken Rice Shop. Beratur punya panjang. Nak tunggu order punya lama. Tapi semua tempat pun macam penuh. Jadi.. bertabah ajelah. Lepas makan dalam pukul 5 lebih baru kami sampai ke rumah. Malam tu pergi kenduri tahlil rumah jiran. Dessert tablenya sangat mengancam. Homemade lagi. Semuanya sedap-sedap pulak. Taip ni teringat-ingat  dia punya red velvet, fruit tart, creampuff, coklat kek etc. Oh!!!

Mama, gegirl and nenek..
 Waktu tunggu ayah dengan kakak dan abang-abang pergi tengok wayang. 
Ala nenek tutup mata pulak.. 

Hari ahad, hari ketiga cuti kami sekeluarga pergi bercuti bersama-sama dengan seluruh keluarga mentua di Singgah Santai Resort. Kat mana tu? Kat Batu 14 Hulu Langat aje. Jalan tak jem. Dekat pulak dengan rumah. Memang best sangatlah untuk kami yang 20 orang. Kami sewa 4 bilik tapi kerana rezeki dapat 1 lagi  bilik extra.. Alhamdulillah. Sebab booking last minute, kami cuma dapat bilik yang standard aje. Harga satu bilik RM80. Takde aircond. Kipas dinding aje. Dalamnya ada 1 katil queen dan 1 katil single. TV takde. Hikmahnya  bila bilik takde tv dan  takde aircond, kami dapat lebih masa duduk berkumpul di luar sambil makan, makan dan makan he..he.. Kami bawa bekal makanan dari rumah. Jadi dari tengah hari sampai ke malam sampai esok harinya stok makanan tak putus. Ada nasi lemak, nasi putih, lauk-pauk, sandwich, roti sosej, roti hotdog, ayam goreng, jajan-jajan etc. Oh!!! Kolam renang dia pun best untuk anak-anak. Aku pun siap join sekaki. Sebab kolam dia guna takungan dari air sungai. Jadi badan rasa segar aje mandi air tu. Sejuk aje. Puaslah anak-anak mandi kolam. Berjam-jam berkubang kat dalam kolam. Malam tu kami solat jemaah maghrib dan isyak di surau. Malam tu hujan turun dengan lebatnya. Maka kami tiada masalah nak tidur walaupun bilik tiada aircond.

On the way to Singgah Santai Resort.. 

 Barang yang banyak dah ambil separuh dari tempat duduk.. he..he..

Mandi-manda di hari cuti.. 

Perempuan muka boolat yang dah seminggu demam.. huk..huk..

 Best.. mandi kat sini..

 Slide dia best tau untuk anak-anak..

Padahal ramai orang.. Tapi dalam gambar ni macam adik conquer pool ni sorang he..he..

 Peace Yo!

 Panas.. Semalam balik muka anak-anak semua rentung..

 Ulang-ulang naik slide ni.. Anak-anak syok sangat kot..

 Model Slide he..he..

 Cat Lover.. Watch lover he..he..

Mama pun enjoy mandi pool.. BB.. next time gigi sorok sikit please he..he.. 
 My in-law family yang join the trip.. Love them so much!

 Gambar kat depan bilik dengan my dua-dua emak, han and gegirl.

Hari isnin, hari terakhir cuti huhuhu.. Lepas sarapan, anak-anak sambung mandi kolam lagi. Mama tak join dah. Nak kemas barang dan ambil peluang merehatkan badan. En.asben sorang aje yang temankan. Thank you so much en.asben. I love you so muchlah sayang! Dalam pukul  12 lebih kami pun bertolak balik. Lepas hantar emak dan anak-anak balik Kajang Utama, kami balik ke rumah pulak. Singgah makan kat D Limau Nipis depan rumah then  balik rumah. Lepas solat zohor terus sambung tidur. Bangun tidur kemas-kemas rumah. Anak-anak gotong royong tolong lipat kain. Alhamdulillah.. Thank you kesayangan mama semua. Malam masak meehoon sup simple-simple letak fish ball, chicken ball dan cendawan banyak-banyak. Makan dengan sambal kicap licin juga sup seperiuk. Maka berakhirlah cuti panjang empat hari kami.  Alhamdulillah.. terima kasih ALLAH.

**Review aku  tentang Singgah Santai Resort. 
Untuk orang sekitar Bangi, KL, Putrajaya jaraknya memang dah dekat sangat untuk bercuti di sini. Harganya pun pada aku masih berbaloi. Biliknya besar.  Selesalah untuk menginap 1 family. Kalau bawak 2 toto pun rasanya boleh bentang dalam bilik lagi. Kalau booking awal dan dapat bilik mengadap pool dan dapat bilik yang ada aircond mungkin lagi best. Kolam mandi ada 4 jenis so boleh pilih mengikut kesesuaian. Bagi aku kolam mandi dia boleh diberi pujian. Sebab anak-anak aku memang enjoy to the max. (Kalau tak menginap di situ boleh juga untuk datang mandi sahaja. Bayaran untuk dewasa RM10 dan kanak-kanak RM5). Ada restoran di dalam resort tu. Tapi tak berapa nak beroperasi sangat waktu kami pergi. So sebagai suggestion kalau nak datang sini eloklah bawak bekalan sendiri. Enviromentnya menarik. Surau yang disediakan juga besar. Satu aje yang tak best waktu kami menginap di sini ialah, pagi isnin tu air takde pulak. Dari pukul 8.00 pagi air dah mula takde. Katanya paip pecah. Tunggu punya tunggu sudahnya pukul 11.30 pagi baru ada air balik. (Sudahnya aku balik rumah dengan tak mandi hu..hu.. sebab dah siap salin baju and pakai tudung baru ada air). Hal itu membuatkan kami rasa tak selesa sikit. Selain dari tu pada aku bolehlah. Untuk percutian dekat-dekat dan nak bagi anak-anak puas mandi kolam bagi aku Singgah Santai Resort masih menarik. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...