Wednesday, July 31, 2019

Makan di Mixwell Garage, Sungai Tangkas, Kajang

Assalamualaikum.. 


Alhamdulillah.. Hujung minggu lepas Is balik bercuti. Bila anak-anak semuanya ada di rumah,  mulalah en.asben mengajak untuk makan di luar. Nak mencuba makan di kedai makan baru yang kami sekeluarga belum pernah sampai. Kalau tak cukup korum tu selalunya en.asben kurang sikit nak makan di luar. Dia rasa tak best bila ada anaknya yang tak dapat merasa sama. Tapi kadang-kadang bila tak sabar kami pergi juga walaupun tak cukup korum he..he.. Tapi lepas tu sedihlah dan asyik menyebut kesiankan anak. Feeling ayah-ayah sangat ni. 

Mulanya nak pergi makan di kedai lain yang Is tak pernah pergi juga. Tapi satu jam sebelum, plan bertukar. Biasalah.. Hidup ini kan penuh dengan pilihan. Bila ada tarikan yang lebih menarik, tawaran yang lebih memikat hati, hati mudah saja berubah. Padahal tak pasti pun pilihan mana yang lebih baik. Tapi kita lebih cenderung untuk mengikut kata hati. Semoga kita semua selalu direzekikan ALLAH untuk membuat pilihan yang betul dan terbaik dalam kehidupan kita.. in shaa ALLAH. Yaa Muqollibal quluub. Tsabbit Qolbii 'alaa dinik. Wahai zat yang membolak-balikkan hati. Tetapkanlah hati kami di atas agamamu. Aamiin.

Perancangan kita dah baik. Perancangan ALLAH lebih baik lagi. So malam itu rezeki kami sekeluarga dapat makan di Mixwell Garage, Sungai Tangkas, Kajang. Dah lain betul kawasan Sungai Tangkas sekarang. Macam pergi tempat yang jauh dari rumah padahal tak sampai 15 minit pun dari rumah kami. Petang tu aku keluar dengan en.asben untuk satu appointment (ada rezeki aku cerita tentangnya ya). Selesai appointment kami ke pasar malam untuk cari stok buah. Balik aje rumah, sebelum naik bilik dah pesan kat semua orang untuk bersiap sebab lepas solat maghrib nak terus keluar pergi makan.

Alhamdulillah.. Memang tepat keputusan kami untuk keluar sebaik selesai solat maghrib. Sebab waktu kami sampai tu memang tinggal dua meja kecil saja  yang kosong. Bila disambungkan cukuplah untuk kami yang seramai 9 orang tu. (Jadi kalau you all nak datang makan kat sini kena datang awal tau).  Cantik dan bersih tempat makannya. Gantungan lampu, hiasan pasu berdaun hijau di atas meja, meja yang bercat kuning dan hitam juga di sekitar restoran serta kemanisan wajah pelayan restoran adik-adik muda remaja membuatkan suasana tempat makan jadi lebih indah. Kiranya suasana tempat pun dah win! 

Image may contain: 9 people, including Hanis Azla Rafeah Salim, people smiling, people sitting and indoor
Alhamdulillah.. Happy us. Thank you ALLAH.

Image may contain: 4 people, including Hanis Azla Rafeah Salim, people smiling, people sitting, people eating, indoor and food
Gantungan lampu. 
Tempat makan ada di luar dan di dalam. Kami dapat tempat yang di luar. Walaupun berwajah ceria, hati dup dap juga takut ditimpa hujan. Semua tempat pun dah penuh. Kalau hujan nak lari ke mana? Mula-mula en.asben seorang aje yang risau. Bila en.asben asyik padang langit aje, dah semua orang ikut risau jugak hehe.. Alhamdulillah.. Malam tu tak hujan. Thank you ALLAH.

Image may contain: 4 people, including Hanis Azla Rafeah Salim, people smiling, people sitting
Alhamdulillah.. anak-anak semua happy. Makanan dan minuman semua sedap.
Harga minuman sangat berpatutan dan tak over charge. Harga makanan berbaloi dengan rasanya. Overall, kami puas hati. Alhamdulillah.

Image may contain: 2 people, people eating, people sitting and food
 Tengoklah gelagat Hafiy dalam percubaan nak selfie bersama burgernya hehe.. Hafiy and gegirl order beef salami cheese burger. Burger dia sedap dan besar. Burger come with fries. Pasta dia pun sedap. Silalah cuba. Paling best kita boleh pilih nak pasta jenis apa. Then boleh pilih nak kuah jenis apa. Nak letak apa, ayam ke daging ke seafood. Hari tu mama order fettuccine pasta with spicy basil and roasted chicken. Mamamia sedap. Eh.. pasta mama kenapa ayah yang makan hehe.. Itu namanya sharing is caring. Paling penting bila sharing mama tak terlebih makan. Konon nak share. Tapi bila makanan ayah sampai perut mama dah super kenyang dah. Nak rasa pun tak larat. Tapi before that mama tolong habiskan burger Hafiy dan Hafiy tolong habiskan pasta dan ayam bakar mama. Tolong menolong amalan mulia konsepnya hehe.. 

Image may contain: 5 people, including Hanis Azla Rafeah Salim, people smiling, people sitting, people eating and food
Alhamdulillah.. Walaupun ada makanan yang lambat sampai sebab miss comunication tapi kami okey aje. Cuma kesian, lagi lama kami duduk lagi ramai pelanggan lain tak dapat tempat duduk untuk makan. 

Image may contain: 3 people, people eating, people sitting, drink and food
Emak pun kata makanannya sedap. Emak selalu kalau makanan western dia tak berapa minat. Tapi kat situ makanannya kena dengan selera emak. Alhamdulillah.. so next time kalau nak makan western food kat sini boleh ajak emak sekali. Is order double burger. Burger memang size besar. Patty burgernya sangat juicy. Sedap! Han dengan emak order chicken apa tak ingat nama. Fareez order fish and chips. Az order burger juga tak ingat burger apa.

Image may contain: one or more people, people sitting, people eating, phone and food
En. Asben order roasted chicken with peri-peri sauce. Presentation pun nice. Kita orang dah habis makan, makanan en.asben tak sampai lagi. Nasib baik adik-adik tu minta maaf dengan polite. Dengan orang yang ada budi bahasa ni, kita nak marah pun tak sampai hati. Jadi kami balas dengan senyuman ajelah. 

Image may contain: 2 people, including Hanis Azla Rafeah Salim, people smiling, hat and closeup
Han dan gegirl yang dah kenyang waktu ni. 

Image may contain: 8 people, including Hanis Azla Rafeah Salim, people smiling, people sitting and indoor
Nora bagi 4 bintang untuk Mixwell Garage!
Ada rezeki in shaa ALLAH kami repeat lagi. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Thursday, July 25, 2019

Sedikit perkongsian dari Ustazah Oki Setiana Dewi..

Assalamualaikum..


Dua minggu lepas aku sempat menghadiri kuliah dhuha di surau taman perumahan. Beberapa hari sebelum tu dah nampak iklan. Penceramahnya  Ustazah Oki Setiana Dewi dari Indonesia. Emak dan mertua pun ada ajak pergi. Kata kedua-dua emak aku,  seronok dengar kuliah dari penceramah tersebut. Dengar macam tu aku pun jadi excited nak join sama. Excited nak dapat ilmu pun samalah juga. Seronok nak dapat peluang untuk berada di dalam taman-taman syurga. 

Petang sebelumnya aku dengan en.asben google siapa penceramah tu. Waktu tu barulah kami tahu yang Ustazah Oki Setiana Dewi ni adalah seorang pelakon Indonesia yang popular. Pernah membintangi filem Ayat-Ayat Cinta yang kami sama-sama minati dulu. Tapi tak perasan pun hehe.. Dah alang-alang google kami dengar sekali perkongsian ilmu darinya di youtube. Seronok mendengar ceramah agama tentang isteri-isteri Rasulullah s.a.w. bersama-sama dengan en.asben. Semoga aku dan wanita-wanita lain juga direzekikan untuk menjadi isteri sebaik isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Aamiin.. In shaa ALLAH.

Ditakdirkan, ceramah pagi tu topiknya tentang isteri-isteri Rasulullah s.a.w. juga. Alhamdulillah.. semalamnya dapat dengar di youtube. Pada hari tersebut dapat dengar secara live. ALLAHU.. seronok sangat mendengar kisah-kisah yang menarik tu. Cara penyampaian Ustazah Oki juga sangat bagus dan menarik. Memang penuh surau pagi tu. Waktu kisah mengenai isteri-isteri Rasulullah aku tak mencatat apa-apa pun. Sebab macam seronok dapat dengar kisah yang sama untuk kali kedua. Jadi lebih senang untuk  menghayatinya.

Turut diceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim a.s dan menantunya iaitu isteri Nabi Ismail a.s. Tentang kisah isteri Nabi Ismail ketika Nabi Ibrahim bertamu ke rumah mereka. Waktu itu Nabi Ismail tiada di rumah. Isteri yang pertama sikapnya suka mengeluh tentang suami, tidak bertimbang rasa dan tidak bersyukur kepada takdir ALLAH s.w.t. Maka Nabi Ibrahim a.s meninggalkan pesanan meminta Nabi ismail untuk menukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan untuk Nabi Ismail berpisah dengan isterinya). Isteri yang kedua hanya bercerita yang baik-baik tentang kehidupan bersama suami dan selalu bersyukur kepada ALLAH swt. Maka nabi Ibrahim meninggalkan pesanan meminta Nabi Ismail untuk mengekalkan tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan untuk mengekalkan isterinya). 

ALLAHU.. cerita yang ringkas namun pun hikmah yang cukup besar. Dari cerita tersebut kita dapat iktibar tentang bagaimana sikap isteri yang terbaik buat suami. Semoga aku dan wanita-wanita lain juga direzekikan untuk menjadi isteri yang terbaik buat suami. Ustazah Oki ada  bertanya dalam gurauan selepas itu, hah.. kakak-kakak dan makcik-makcik ada yang mahu ditukar tiang rumahnya ke? Tersipu-sipu para hadirin dibuatnya he..he.. Pastinya tiada  wanita pun yang mahu. Daripada ditukar tiang rumah, biarlah sikap yang tidak baik sahaja yang ditukar agar dapat terus menjadi isteri yang terbaik buat suami. Semoga rumahtangga yang dibina juga terus kekal bahagia hingga ke Jannah.. in shaa ALLAH.


Ada satu petang dalam minggu lepas, aku sedang memasak di dapur. Han di rumah tamu, melipat kain sambil menonton TV. Volume TV kat depan memang kuat. Bunyi mama menumis sambal kat dapur pun sama kuat. Tapi sambil masak tu macam terdengar-dengar bunyi kereta en.asben park kat depan rumah. Macam dapat dengar bunyi pintu kereta ditutup. Macam dapat dengar pintu pagar dibuka. Macam dapat dengar bunyi tapak kaki en.asben berjalan menuju ke pintu rumah. Dari gerak hati itu, aku terus berlalu ke depan. Elok sampai depan pintu dan buka pintu memang en.asben baru nak beri salam dan ketuk pintu.  Tercenggang Han bila ayahnya masuk.

Macam mana mama kat dapur boleh dengar ayah balik? Han kat depan ni tak dengar bunyi apa-apa pun? Aku jawab, six sense. En.asben pulak menambah, itulah naluri cinta. Cia--cia--cia-- Hahaha.. Han membalasnya dengan cebikan. Kami ni sejenis emak ayah yang suka menyakat anak sendiri. Tapi bab hal yang sweet-sweet ni anak sendiri pun jarang boleh kompromi nak ikut rasa sweet hehe.. Tapi betullah, naluri isteri ni sangat-sangat kuat. ALLAHU.. Besarnya kuasa ALLAH. Subhanallah. Maaf ya. Selingan sikit hehe..

Ada sedikit perkongsian lain dari Ustazah Oki yang sempat aku catatkan. Semoga kita dapat sama-sama memperolehi manfaat dengan perkongsian kecil ini.. in shaa ALLAH.

# Jauhi prasangka kerana prasangka adalah dosa,
# Sibukkan diri dengan kebaikan agar tiada prasangka dan tidak berfikir yang bukan-bukan.
# Setiap kebaikan itu ada balasan. 
# Setiap dosa itu ada balasan.
(Jadi tak perlu risau tentang orang yang berbuat salah pada kita. Tenang-tenang saja. Tiada satu kebaikan pun yang sia-sia. Semua kebaikan akan dibalas dengan sebaiknya. Tiada satu dosa pun yang akan terlepas. ALLAH ada untuk membalasnya. ALLAH Maha Adil untuk membalasnya. Teruskan saja berbuat kebaikan. Teruskan saja sikap suka memaafkan).
# Jangan suka mencari kesalahan.
# Jangan suka mengungkit.
# Setiap apa yang berlaku ada kesalahan kita di dalamnya. Jadi jangan mencari kesalahan orang. Perbetulkan kesalahan sendiri.
# Jangan cemburu kecuali dalam perkara agama.

Image may contain: 15 people, including Liza AnLiz, NormaisAra Abdul Wahab and Hanis Azla Rafeah Salim, people smiling, indoor
Kami di majlis pertunangan sepupuku Fazuwan di PD minggu lepas.
Sebahagian dari rombongan kami menghantar utusan peminangan.
Tahniah buat Yan dan Fathia. We are happy for you Yan.

Image may contain: 5 people, people sitting, table and indoor
Semoga majlis pernikahan yang dirancang pada awal tahun hadapan akan dipermudahkan segalanya dan semoga mahligai perkahwinan yang akan dibina berkekalan till Jannah.. In shaa ALLAH. 

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Monday, July 15, 2019

Contoh yang baik untuk anak..

Assalamualaikum..

Ada kawan kata, tengok aku macam orang yang tak ada masalah. Nampak selalu bahagia. Selalu happy. Selalu ceria. Selalu senyum. Selalu positif.  Anak-anak pun semuanya nampak okey aje. Jarang nak  dengar aku bercerita tentang hal dan karenah anak-anak. Kat FB pun tak pernah nampak aku update perkara yang tak best. Takde nak meroyan meluah perasaan dan marahkan orang. Macam perfect aje hidup aku. Itu pandangan kawan-kawanku. ALLAHU.. Alhamdulillah.. Semuanya berlaku dengan izin dari ALLAH. Seperti orang lain, hidup aku juga tak sempurna. Semua yang aku ada masih pinjaman dariNYA. Masalah tetap ada. Sesungguhnya ALLAH yang menutup segala kekurangan diri. ALLAH Maha Baik. Thank you ALLAH. 

Bagusnya kawan-kawanku itu boleh berbaik sangka. Satu sifat yang harus dipuji. Mereka nampak kawan happy, mereka tumpang happy. Begitulah yang sepatutnya. Bukan bila nampak kawan happy, nampak hidup sempurna kita rasa iri hati dan rasa tak senang hati.  Tak baiklah macam tu, kan? Kita tak tahu apa yang kawan kita perlu lalui untuk nampak bahagia, senyum sentiasa dan ceria selalu. Sebenarnya hidup aku sama seperti orang lain juga yang ada turun naiknya.  Anak-anak ada masanya buat hal juga. Orang tak tahu kerana aku selalu memilih untuk tidak bercerita. Kurang gemar nak ceritakan masalah pada orang atau luahkan perasaan tak enak di media sosial. Kalau tiada hal yang mengembirakan hati untuk diupdate, aku lebih suka memilih untuk berdiam sahaja walaupun masih aktif di media sosial. Lebih seronok nak  like dan komen cerita kawan-kawan. Itu cara aku menangani masalahku. 

Bagiku, masalah takkan selesai kalau kita asyik bercerita tentangnya. Tak settle pun masalah walaupun kita ada geng yang backing kita. Bimbang masalah akan jadi lebih besar bila meluah pada orang yang tak sepatutnya. Tak perlu kita sendiri yang membuka pekung di dada di saat ALLAH sudah menutup aib kita. Tapi aku tak kata orang yang suka nak meluah masalah tu salah atau caranya tak betul. Ikutlah cara masing-masing. Mengikut mana yang baik. Semoga segala masalah kita dapat diselesaikan dengan baik dan segala urusan kita dipermudahkan oleh ALLAH. Paling utama kita semua dapat sama-sama berbahagia di dunia dan lebih berbahagia di akhirat.. in shaa ALLAH.

Sejak tahun lepas aku ada masalah yang menguji kesabaranku di setiap pagi. Jadi hilang mood disebabkan perkara itu tapi aku selalu pilih untuk tidak terlalu memikirkannya. Tapi masalah itu akan menggangguku semula keesokkan paginya. Jadi walaupun taknak fikir sangat ianya tetap menganggu fikiran huhu..  Masalah itu hanya masalah yang kecil. Tapi bila perlu dihadapi setiap hari rasa stress juga dibuatnya. Tambah lagi bila diri rasa kurang sabar. Tak sedar semua itu ujian untuk ALLAH menguji kesabaran diri. Astaghfirullahaladzim. Semoga aku dan kita semua direzekikan dengan kesabaran yang tinggi.. in shaa ALLAH.

Setiap pagi sejak lima tahun lepas aku  menghantar Is dan Fareez ke sekolah. Bila hantar anak memang drop anak-anak betul-betul kat depan pagar sekolah. Sebelum tu kena u-turn dulu kat area depan sekolah. Semua kenderaan ibu bapa yang lain juga melakukan hal yang sama. Sejak dulu memang Is dah ingatkan aku pesanan dari Ayahanda (pengetua sekolah). Jangan berhentikan  kereta dan turunkan pelajar di laluan sebelah. Maksudnya semua kereta perlu U-turn dahulu dan baru boleh berhenti dan turunkan anak betul-betul di depan pagar sekolah. Ianya untuk keselamatan pelajar dan juga agar tidak mengganggu trafik di kawasan depan sekolah. 

Aku ambil maklum dan hormati pemberitahuan tersebut dengan sebaiknya. Walaupun lambat dan tiada lagi kenderaan lain, aku tetap melakukan hal tersebut tanpa kompromi. Sebab aku nak beri contoh yang baik pada anak-anak yang peraturan tetap perlu di hormati walau dalam keadaan apa sekali pun. Sehinggalah awal tahun lepas, peraturan tersebut bagaikan tidak lagi dipatuhi oleh sebilangan ibu bapa lain. Mungkin mereka tak tahu. Tapi perbuatan tersebut jelas menunjukkan yang mereka tak mahu ambil peduli dan pentingkan diri sendiri.  Lebih-lebih lagi di waktu yang sudah benar-benar menghampiri waktu masuk sekolah. Mulalah ada ibu bapa yang tak bertanggungjawab memberhentikan kereta di laluan sebelah dan menurunkan anak-anak mereka di situ.

Aku mula jadi berangin bila perkara itu jadi semakin menjadi-jadi dan berulang-ulang setiap hari. Dah minta pengawal yang bertugas untuk tegur juga kerana keadaan itu membahayakan. Tapi nampaknya tiada perubahan yang berlaku. Aku nak beri contoh yang baik kepada anak-anak aku. Tapi orang lain pula beri contoh yang tak baik. Bagaikan tak salah untuk kita mengabaikan peraturan kalau dah terlambat. Macam tak salah untuk abaikan peraturan untuk kepentingan diri. Aduhaiii.. Geram aje rasa. Apa yang membuatkan hati jadi lebih panas ialah bila kita terpaksa memberikan laluan untuk mereka berhenti di tepi sebab kedudukan kereta mereka dah makan jalan. Kemudian nak kena beri laluan kepada anak-anak mereka yang nak melintas pula. Hal itu membuatkan trafik yang sebelum ini tak sesesak mana jadi lebih sesak.

Mereka dah selamat turunkan anak-anak mereka. Kita pula perlu berikan laluan untuk kenderaan mereka dan anak-anak mereka melintas. Akhirnya kita pula terpaksa turunkan anak-anak kita lebih lambat kerana mereka yang pentingkan diri dan  mengabaikan peraturan. Berbulan-bulan masalah ini menganggu hidupku. Hahaha.. Macam entah apa-apa entah aje, kan? Memang muka ketat aje aku kalau perkara tu berlaku. Rasa macam nak menjeling aje pemandu kereta yang tak bertanggungjawab tu seorang demi seorang. Tapi biasalah. Mana ada orang yang tahu dia salah nak ambil peduli perasaan orang lain. Takde maknanya dia nak pandang kita. Kalau boleh dia nak kita ghaib. Lepas tu buat kita macam halimunan dan buat muka tak bersalah. Maka jelingan pun sekadar disambut angin lalu tak sampai ke pandangan sipelaku hahaha.. 

Dugaan itu dari ALLAH. Petunjuk juga datangnya dari ALLAH. Terima kasih ALLAH. Setelah hampir setahun makan hati dengan masalah tersebut, aku mula terfikir untuk mencari solusi. Solusi yang boleh membuatkan hatiku jadi tenang setiap pagi. Aku tahu, aku tak boleh lari dari masalah tersebut. Mahu tak mahu aku perlu untuk menghadapinya. Aku juga tak boleh nak ubah sikap orang lain. Maka aku yang perlu berubah. Aku perlu ubah cara pemikiranku agar aku tak terus stress. Langkah pertama aku ambil. Buka hati untuk terima semuanya. Sebab niat aku nak berikan contoh yang baik untuk anak-anak. Maka aku tak boleh harapkan orang lain yang berikan contoh tersebut kepada anak-anakku. Aku sendiri perlu terus berikan contoh yang baik untuk anak-anak aku.

Setiap pagi awal-awal lagi aku niatkan untuk berikan saja laluan kepada kenderaan lain tanpa marah-marah. Aku cuba untuk ikhlaskan diri untuk memberi laluan kepada kereta yang berhenti untuk turunkan anak di laluan sebelah tanpa sebarang rungutan. Penuh ikhlas juga aku beri laluan kepada anak-anak mereka melintas kerana seperti mana aku mahu anak-anak aku selamat, aku juga mahu anak-anak orang lain selamat. Jika ibu bapa mereka tak mahu memikirkannya biar aku yang memikirkan hal keselamatan anak-anak mereka bagi pihak mereka. Di jalanraya, bila ada yang memberikan laluan untukku, aku akan angkat tangan, ucap terima kasih dan memberikan senyuman. Tak kisahlah pemandu lain itu melihatnya atau tidak. Aku tetap mahu melakukannya sebagai tanda aku menghargai. Setidak-tidaknya aku masih boleh beri contoh yang baik kepada anak-anakku. Alhamdulillah. 

Semalam ada rezeki aku menghadiri kuliah dhuha di surau taman. Penyampainya adalah Ustazah Oki Setiana Dewi. ALLAHU.. Menarik sangat penyampaiannya. Sangat indah program tersebut. Jika ada rezeki nanti aku kongsikan perkongsiaannya. Untuk entry ini aku cuma nak masukkan satu perkongsiannya daripada tafsir surah Al-Zalzalah iaitu setiap kebaikan itu walau sebesar zarah akan di balas. Setiap kesalahan walau sebesar zarah juga akan dibalas. Maka.. teruskan berbuat baik. In shaa ALLAH.. ada ganjaran pahala untuk kita. Tak perlu risau sangat siapa yang buat salah pada kita. ALLAH akan membalasnya. Itu janji ALLAH.  Tak perlu kita serabut nak memikirkannya. Tenang-tenang saja, okey. Why bother?(Nasihat untuk diriku sendiri).


Kalau pergi ke rumah orang, dan dihidangkan makanan, jamah juga sedikit makanan yang sudah dihidang walaupun perut kita dah kenyang. Sejak kecil, kita diajar oleh emak ayah kita dengan contoh-contoh yang baik. Semoga kita juga dapat terus beri contoh yang baik untuk anak-anak. 
Yang baik dari ALLAH. Yang buruk pastinya dari kekurangan diri kita sendiri.

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua.

Thursday, July 4, 2019

Kemaafan dendam yang terindah..

Assalamualaikum..

Baru-baru ini, aku perlu berhadapan dengan satu situasi yang aku tak terfikir aku akan melaluinya seumur hidupku. Innalillahiwainnailaihirojiun.. Itu takdir yang telah ALLAH aturkan untukku. Tak mudah untuk aku redha dan menerima hal itu dengan mudah pada mulanya. Namun berkat doa yang tak putus, berkat sabar yang ALLAH pinjamkan juga berkat memberi kemaafan yang sedaya upaya aku berikan setulus hati, akhirnya sedikit demi sedikit aku mula belajar untuk berlapang dada. Hal yang berlaku itu terjadi dalam sekelip mata. Namun proses untuk aku menerima ketentuanNYA melalui proses yang agak panjang. Berliku laluannya sebelum  aku mampu berlapang dada. Rasanya, beratus kali aku rebah setelah beribu kali aku cuba untuk menjadi gagah. ALLAHU.. Tiada apa yang boleh berlaku tanpa izin dari ALLAH. 

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Entah dari mana datangnya kekuatan, kesabaran dan ketenangan kalau tidak segalanya dipinjamkan dari ALLAH dengan izinNYA jua. ALLAHU.. Segala puji bagi ALLAH. Saat diri dan perasaan berada dalam kondisi yang sangat lemah, selemahnya, ALLAH pinjamkan kekuatanNYA. Dalam keadaan diri sangat tidak sabar untuk menerima kenyataan yang telah tersurat, sabar itulah juga menjadi penguat semangat. Saat diri tidak tenang dengan segala bisikan syaitan, iman yang goncang,  nafsu amarah yang tak terbendung, ketenangan menjadi pemulih jiwa berkat zikir kepadaNYA. Benarlah.. Ujian itu tanda ALLAH sayang. Ujian juga yang mendekatkan lagi diri kita kepadaNYA. Kepada ALLAH yang Maha Esa. ALLAH Maha Pencipta. ALLAH Maha Pengasih. ALLAH Maha penyayang.

Jangan bersangka buruk. Tidak pada ALLAH. Tidak juga kepada insan lain. Sentiasalah bersangka baik. Itu yang aku dapat dari semua yang berlaku. Walau seburuk apa pun hal yang berlaku, ada hikmah yang indah tersembunyi di sebaliknya. Yakinlah.. Setiap yang ALLAH takdirkan, itulah yang terbaik untuk kita. Teruslah menjadi baik walau diri diuji dengan perkara yang buruk. Terus saja sebarkan kebaikan kerana tak akan pernah rugi orang yang berbuat baik. Menjadi baik bukan satu pilihan. Tapi ianya satu keperluan. Berbuat baik kepada orang yang bersikap buruk kepada kita juga satu kemuliaan. Seburuk mana kita diperlakukan, tetaplah menjadi yang lebih baik. Agar kita bebas dari dendam yang menyakitkan. Juga sakit hati yang berpanjangan. Serahkan segalanya pada ALLAH. ALLAH itu Maha Adil. ALLAH itu sebaik-baik hakim. Tak perlu kita menghakimi orang lain. Lepaskan segalanya kepada ALLAH. Biarkan kemaafan menjadi dendam yang terindah. Teruskan berdoa yang baik-baik. Kalau mampu mendoakan orang lain, itu lebih baik. Sebenarnya mendoakan orang lain, sama juga seperti kita mendoakan untuk diri kita sendiri. Jadi berdoalah dengan doa yang baik-baik. In shaa ALLAH.. takkan rugi kalau kita mendoakan orang lain. In shaa ALLAH.. semua yang baik-baik akan kembali kepada kita juga.

Orang yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.  Dengan setulus hati, kemaafan aku pohonkan. Dengan rendah hati, aku mohon perdamaian kerana permusuhan hanya membuatkan hidupku serabut. Bukan untuk dinilai baik di mata manusia. Cukuplah cuba untuk menjadi menusia yang lebih baik dari  hariku yang semalam. Kerana menjadi baik memang selalu menjadi impian. Walau tak bermusuh, tak perlu juga menjadi kawan. Bukan ingin memutuskan silaturahim. Tapi beringat dengan nasihat, orang mukmin tidak akan jatuh ke lubang yang sama sebanyak dua kali. ALLAH hadirkan seseorang dalam hidup kita bersebab. ALLAH jauhkan seseorang dari kita juga pastinya dengan sebab yang lebih baik. Yang lepas tu, lepaslah. Benar, rasa sakit takkan hilang dengan memaafkan. Kemaafan tak mampu menghilangkan segala kenangan yang cukup pahit untuk ditelan. Tapi hanya kemaafan yang ikhlas mampu membawa kepada ketenangan. Biarlah kita mengalah agar hidup kita terus tenang. Semoga ketenangan yang diperolehi membawa kebahagiaan yang berpanjangan di dunia dan di akhirat.. in shaa ALLAH.

Hadiah tak selalu terbungkus dengan indah. 
Kadang kala ALLAH membungkusnya dengan masalah. Tapi di dalamnya ada berkah yang indah. Alhamdulillah.. terima kasih ALLAH. Senyuman yang indah masih menjadi milikku. Semoga aku selalu menjadi hamba ALLAH yang selalu bersyukur ketika diuji dengan ujian kesusahan mahupun ujian kesenangan.. Aamiin.. in shaa ALLAH.

Salam hormat untuk semua. In shaa ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...