Wednesday, February 27, 2013

Nak nangis...

Assalamualaikum..

Sekarang kan musim hujan. Jadinya bila sidai kain di luar memang tawakal aje. Semalam sampai tengah hari cuaca baik. Dalam pukul 2 petang masih belum hujan lagi. Jadinya memang budget kain yang dijemur sudah kering. So aku telefon Is minta tolong angkatkan kain sebelum dia pergi ke sekolah agama. Dalam pukul 4 petang hujan turun dengan lebatnya. Sebab dah siap-siap pesan kat Is minta angkatkan baju jadinya takdelah terfikir lagi tentang soal itu. Sampai waktu balik kerja hujan masih turun lagi. Sampai depan pagar rumah rasa lega bila tengok ampaian kain memang dah kosong. Tapi....

Waktu nak buka pagar aku terus rasa nak nangis. Bukan sebak sebab anak dah tolong angkatkan kain. Kain baju pun memang dah siap berangkat dan dimasukkan ke dalam bakul. Tapi yang buatkan aku rasa nak nangis tu ialah kerana bakul kain tu dia tinggal aje kat bawah ampaian tu. Bila dah tinggal kat situ habislah kena hujan juga. Satu kerja pulak nak kena ampai semula baju-baju tu. Hangin aje aku. Tapi aku sabar aje sebab tak nak bertukar jadi raksaksa he..he.. Is balik sekolah aku tanyalah kenapa dia tinggalkan bakul kat bawah ampaian. Waktu tu dia memang tak teringat pun pasal tu. Mungkin nak cepat pergi sekolah sampai dia pun terlupa nak bawa masuk bakul tu. Bila dia nampak aku sedih dia pun nampak bersalah sangat. Terus dari petang semalam sampai malam tadi buat homework dan latihan tanpa perlu di suruh sebab nak ambil hati aku balik. Cakap pun sopan aje he..he..

Waktu dulu selalu rasa pelik bila emak bising bila kita buat kerja dengan tak sempurna. Masa tu selalu terfikir, bukannya tak boleh buat balik semuanya semula. Tapi sekarang bila dah ada anak barulah aku faham perasaan emak. Barulah sedar kenapa emak selalu tak puas hati bila kita buat kerja tak sempurna. Pertama tentulah emak tidak mahu kita buat kerja yang sia-sia. Yang kedua tentulah kerana kerja tak sempurna yang kita lakukan akan menyusahkan dirinya semula. Yang ketiga tentulah akan rasa nak nangis bila kerja yang dah selesai akan menjadi satu kerja lagi untuk kita hu..hu..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Tuesday, February 26, 2013

Duit terselit...

Assalamualaikum..

Hujung bulan januari kami ke Cameron Highland. Selang dua minggu kami ke JB. Selang seminggu kami ke Morib pulak. Lepas tu lagi dok terfikir-fikir kenapa bulan ni rasa macam sesak sikit? Kenapa macam lama benar nak tunggu gaji? He..he.. mana tidaknya, gaji bulan Februari memang banyak habis untuk perbelanjaan  travel dan duit hotel. (Ini kes nak bercuti tapi tak rancang awal-awal he..he..) Kalau berjalan, perbelanjaan untuk makan pun jadi bertambah. Nak-nak bila bawak anak. Untuk jajan aje dah kena ada budget khas.  Bila jalan-jalan memang hati rasa senang. Kalau boleh nak berjalan-jalan aje setiap bulan. Lebih syok kalau dapat berjalan setiap minggu. Tapi bila dah berjalan kenalah "bertabah" nak budget perbelanjaan sampai hujung bulan dengan lebih berhemah.

Kalau setakat nak budget perbelanjaan untuk diri sendiri  memang tak jadi masalah. Tapi bila nak budget perbelanjaan untuk 5 orang, hmmm... memang cukup payah. Sebab selalu benar lari budget. Yang patutnya cukup pun rasa tak cukup. Dalam waktu begini, peranan duit terselit yang sikit-sikit tu memang sangat penting. Alhamdulillah, sejak dulu aku suka selit-selit duit. Jadinya untuk musim-musim perbelanjaan melebihi dari yang sepatutnya, duit-duit terselit ni memang sangat membantu. Duit terselit bukan sekadar yang terselit kat ruangan dalam dompet, aje. Tapi terselit sikit kat dalam laci ofis. Ada sikit kat dalam poket baju. Ada sikit kat dalam akaun yang ada ATM kad. (Yang selalu memang tinggalkan baki sikit-sikit  dan buat-buat tak nampak aje untuk keperluan bila waktu betul-betul perlu).

Bila ada duit terselit, selamat sikit duit tabungan kat dalam akaun. Kalau tak memang asyik kena keluarkan juga duit tabungan. Untuk orang lain yang tabungannya melimpah ruah tu tentu tak jadi masalah. Tapi untuk orang yang simpanannya ciput, memang sayang sangatlah kalau asyik-asyik nak guna duit tabungan untuk cover perbelanjaan bulanan. Macam duit terselit tu pun bila dah guna, waktu  dapat gaji pandai-pandailah selit-selitkan semula. Jadi bila dalam keadaan memerlukan, duit terselit akan sentiasa ada untuk membantu. Kadang-kadang dalam tak sedar, duit yang kita selit-selit setakat beberapa ringgit tu jadi cukup bernilai sementara nak tunggu cukup bulan. So takdelah gabra sangat. Kalau gabra pun sikit aje he..he.. Kiranya cuma semput sikitlah.  Takdelah sampai tak boleh nak bernafas langsung.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Monday, February 25, 2013

Hujung minggu di Hotel Impian Morib...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. cuti hujung minggu yang hebat. Minggu ni kami berhujung minggu di Morib. Dah lain benar Morib sekarang. Aku sangat berpuas hati dapat bercuti di sana. Lagi best sebab tempatnya dekat. Cuma satu jam  saja perjalanan dari rumah kami. Hotelnya pada aku sangat memuaskan hati. Kami menyewa chalet dengan harga rm230 semalam termasuk sarapan untuk 2 orang. Cantik dan bersih chaletnya dengan 1 queen bed dan 1 single bed. Kolam renangnya besar. Lagi best sebab kolam renangnya betul-betul berdepan dengan chalet kami. Puas aku mandi kolam he..he.. sebab memang dari awal dah plan nak merehatkan diri bersama anak-anak dalam air. Petang sabtu dah berendam. Pagi semalam, lepas breakfast, aku berendam lagi sampai pukul 10 pagi. Anak-anak up sikit sampai pukul 11 pagi. Kalau berminat untuk bercuti di situ boleh klik web ni. Ada gambar dan cerita detail tentang Hotel Impian Morib tu.

Alhamdulillah.. bila percutian yang dirancang sejak hujung tahun lepas berjalan dengan cukup lancar dan penuh meriah. Kami ke sana bersama dengan ex-officemate en.asben. Seramai 14 keluarga yang turut serta. Aku juga sebelum ini berkerja di syarikat yang sama. Walaupun berlainan jabatan, tapi hubungan kerja membuatkan kami semua mesra. Perkenalan dan persahabatan selama 20 tahun menjadikan perjumpaan kali ini cukup indah untuk dikenang. Mana tidaknya, sejak belum berkahwin, dari waktu zaman bercinta sehinggalah kami berkahwin, persahabatan itu masih terus akrab. Sesekali dapat berjumpa kembali memang terasa seronoknya. Dari bercinta dah berkahwin. Dari zaman anak-anak kecil dah ada anak bujang dan anak dara. Dari zaman anak belum sekolah sampai dah ada anak yang dah habis belajar dah pun.

Bila dah  lama tak jumpa, pastinya banyak memori lama terimbau kembali. Tentulah banyak perkhabaran baru yang dikongsi secara tidak langsung. Indahnya persahabatan. Lebih indah bila dapat sama-sama merai dan turut rasa gembira dengan cerita-cerita terbaru teman-teman. Rasa bangga bila dengar cerita anak-anak teman yang berjaya dan cemerlang. Rasa bagusnya bila dengar cerita teman-teman yang semakin membina kerjaya. Tumpang seronok bila teman-teman sudah mengumpul banyak harta, sudah punya rumah besar, sudah bawa kereta besar. Maklumlah kami kenal sejak semuanya baru mula nak hidup. Bila lihat masing-masing sudah berjaya terasa cukup bersyukur dengan segala rezeki yang dimiliki oleh kawan-kawan. 

Pada aku, itulah erti persahabatan yang sebenarnya bila kita dapat turut berkongsi rasa seronok dan gembira dengan kejayaan dan segala yang sahabat kita ada.  Bila kita berjaya, tentulah kita mahu kawan-kawan kita juga turut berjaya.  Bila kita hidup senang, pastinya kita mahu kawan-kawan kita hidup senang juga. Apa ada hal kalau orang lebih dari kita. Yang penting kita  sama-sama berbahagia dengan kehidupan dan keluarga masing-masing. Yang lebih penting kita dapat menghargai persahabatan dengan rasa senang hati tanpa ada sikap cemburu dan iri hati. Juga tanpa ada sikap meninggi diri dengan kelebihan kita dan memandang rendah pada kekurangan orang lain.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Thursday, February 21, 2013

21 Februari...

Assalamualaikum..

21 Februari adalah tarikh hari ini. Yang tu tentulah semua orang tahu kan. Hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran Az yang ke 9 tahun. Sekejap betul masa berlalu. Rasa macam tak puas lagi nak gomol-gomol dia. Antara ketiga-tiga orang anak aku, dialah yang paling manja dengan aku. Mana taknya, Han dengan Is tu baru umur 2 tahun setengah dah dapat adik. Tak dapat nak manja lama-lama. Tapi Az dah 9 tahun pun takde adik lagi. Itu yang dia manja lebih tu.

Tapi sekarang sejak dah makin besar dia dah semakin kurang manja. Kalau dulu, pantang aku landing kat sofa, mesti dia nak baring atas perut aku. Suka baring kat belakang badan aku. Sampai darjah satu pun macam tu sampai sakit-sakit badan aku. Sekarang ni nak cium pipi dia pun susah sangat. Kalau Han dengan Is, sampai sekarang rileks aje kalau aku cium dia orang depan orang.  Tapi Az, jangan harap nak dapat cium dia depan orang. Cepat-cepat dia lari. Nak pimpin tangan pun kalau depan orang, cepat-cepat dia tarik tangan dia. Memang control macho mamat ni.

Sekarang ni dia dah pandai berdikari. Macam kalau hari yang dia kena duduk kat transit, dia akan masukkan sendiri tuala, underware, stokin dalam beg. Lepas dah gantung sekali dengan baju sekolah kebangsaan dia sendiri bawak turun siap-siap kat bawah. Aku tak payah cakap pun dia tahu nak uruskan sendiri. Walaupun dia dah makin besar dan memang patut dah pandai buat semua tu sendiri, tapi bagi aku ianya sangat sweet. For me, he is still my little boy and always be my baby.

To our dearest Bb, Happy birthday darling. We love you so much. Doa mama semoga Bb menjadi anak yang soleh dan sentiasa cemerlang untuk dunia dan akhirat. Jaga iman, jaga solat dan jaga adab. Semoga rahmat Allah sentiasa mengiringi setiap langkah dan perjalanan anak-anakku.

 HAN, IS dan AZ.
Harta dunia dan akhirat aku bersama en.asben.
Terima kasih ALLAH atas pinjaman anugerah yang cukup indah ini.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Wednesday, February 20, 2013

Ada niat nak cari kat situ...

Assalamualaikum..

Baru-baru ni kad touch & go en.asben hilang. Tersilap letak sebenarnya sebab en.asben yakin yang kad itu tidak tercicir di mana-mana. Balik kerja hari jumaat tu en.asben sibuk tertanya-tanya manalah dia letakkan kad T&G tu. Tapi sebab hari sabtu dan ahad en.asben tak memerlukan kad T&G tu jadinya sekadar mulut ajelah yang tertanya-tanya tanpa ada usaha mencari. Malam isnin barulah mula nak mencari sebab hari isnin dah kena guna kad tu. Orang naik tren kan. Tentulah kad T&G tu sangat perlu. Cari dalam poket baju dan seluar yang dah berbasuh semua takde. Dalam beg kerja pun dah cari tapi tak jumpa. Habis semua semua poket dan zip dalam beg digeledah takde juga. Check dalam setiap ruang wallet pun takde. Cari dalam laci takde. Cari dalam kereta pun tak jumpa.

Pagi tu sebab dah tak jumpa T&Gnya, terpaksalah ambil kad T&G dari dalam kereta aku. Takpelah sebab aku pun tak menggunakannya. Tapi ditakdirkan petang itu aku ada urusan di Nilai. Sebab kad T&G dah takde dalam kereta, jadi tak dapatlah nak  guna lorong smart tag. Dahlah waktu tu time orang balik kerja. Terpaksalah beratur panjang untuk bayar tol secara tunai. Waktu tu terus tanam azam nak mencari kad T&G en.asben yang tak jumpa tu. Sebab susah juga kalau takde kad tu dalam kereta. Kalau takde juga memang kena beli yang barulah nampaknya. Balik rumah selepas en.asben balik kerja aku pulak yang cari kad tu semula.

Aku geledah semula beg kerja dia. I dah carilah kat situ.. takde.. Kata en.asben. Cari pulak dalam wallet, dalam poket baju, seluar semua. I dah carilah kat situ.. takde jugak.. Kata en.asben lagi bagi menunjukkan yang usaha aku tu sia-sia. Tapi aku teruskan juga tekad untuk mencari. Sambil tu mulut ni tak berhenti-henti menyebut inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. (Pernah dengar ustazah kata, kalau barang kita hilang bacalah ayat itu sambil mencari dengan bersungguh-sungguh. InsyaAllah dengan izin dari Allah barang yang hilang akan dijumpai. Ayat itu bukan untuk berita kematian saja. Tapi bila kita ditimpa musibah atau mendengar perkara buruk yang berlaku pun kita perlu baca ayat itu).

Bila tak jumpa aku cuba cari dalam beg aikido en.asben pula. Alhamdulillah, berkat yakin dengan bantuan Allah dan mencari dengan sungguh-sungguh, aku jumpa juga kad itu. Memang kad itu berada dalam beg tu. Terselit di celah depan beg tu bersama beberapa keping duit ringgit. Mungkin waktu balik kerja hari tu en.asben tersilap masukkan ke dalam poket beg lain. Lega rasanya bila dah jumpa. Seronok en.asben bila tahu aku dah jumpa kad tu. Terus dia pun kata, I memang ada niat nak cari dalam beg tu... Hmm.. ada niat ya?? Tapi setakat niat ajelah. Takde pun nak cari kat situ. Memang saja nak suruh aku carikanlah tu he..he.. Patutlah selalu cari barang tak jumpa. Lain kali cakap ajelah ada niat nak suruh I tolong carikan ya sayang. Macamlah tak biasa kan.. he..he..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Tuesday, February 19, 2013

Halatuju...

Assalamualaikum..

Selepas menghantar manuskrip ke-2 ke syarikat penerbitan pada hujung oktober lepas, aku sudah mula dengan manuskrip yang ke-3. Sebenarnya waktu menulis manuskrip yang ke-2 lagi, idea untuk manuskrip yang ke-3 sudah bermain-main di dalam kepala. Tapi setelah hampir 3 bulan lebih, hanya 2 bab yang baru dapat aku siapkan. Ianya bagaikan tergantung di situ walaupun jalan ceritanya sudah  separuh terangka. Ini kerana aku masih belum dapat memilih untuk masukkan konflik A atau konflik B. Aku masih tidak dapat menetapkan pengakhiran yang begitu atau pun begini. Aku masih keliru untuk buat cerita yang itu atau yang ini. Memang confused jadinya bila tidak dapat menetapkan fikiran.

Aku tidak dapat meneruskan penulisan bila perkara-perkara itu tidak aku tetapkan sejak dari mula. Ini kerana aku takut jalan ceritaku akan lari dan bercanggah di pertengahan atau di pengakhiran cerita nanti. Sudahnya agak lama aku mengambil masa untuk meneruskan penulisan. Alhamdulillah.. semalam aku mendapat ilham untuk menetapkan pilihan. Jalan cerita sudah mula satu persatu tersusun di kepala. Aku dah boleh merangka keseluruhan cerita dan mula membayangkan kisah setiap watak, babak dan konflik. Terasa lega bila halatuju manuskrip ke-3 sudah dapat aku tetapkan. Bila sudah ada halatuju, terasa lebih senang untuk aku mengadun cerita dan mengolah ayat. Sekarang ini aku dah boleh mula meneruskan penulisan dengan halatuju yang tepat. Semoga segalanya dipermudahkan untukku hendaknya, insyaAllah.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Monday, February 18, 2013

Lembaga...

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. pagi yang indah dan cerah.. Alhamdulillah.. hujung minggu dapat diisi dengan baik. Seronok dapat berehat dan menghabiskan masa di rumah sambil buat aktiviti keluarga. Bila banyak masa dihabiskan di luar, selalu rasa lebih seronok dan puas bila dapat bersantai kat rumah aje. Rumahku, syurgaku kan. Pergilah ke tempat-tempat yang menarik sekali pun, rumah kita juga tempat yang paling menarik untuk kita.

Walaupun rumah kita tempat paling menarik, tapi kenangan sewaktu percutian tetap  menarik juga di ingatan. Waktu ke Kuching hujung tahun lepas kami menyewa sebuah homestay.  Rumah dua tingkat yang besar. Lamannya juga luas.  Sesuai sangatlah untuk kami yang seramai 15 orang tu. Malam itu aku, en.asben dan Az tidur di bilik di tingkat atas. Han dan Is tidur di ruang tamu bawah bersama emak dan sepupu-sepupu mereka. Malam itu memang semua orang tidur dengan lenanya. Termasuklah aku.

Dalam lena itu aku terasa lengan aku di cuit. Keadaan memang gelap waktu tu. Waktu aku buka mata aku nampak ada lembaga sedang berdiri di tepi katil sebelahku. Berderau darah aku dibuatnya. Aku pun apa lagi. Menjerit tak ingatlah sampaikan en.asben pun jadi terperanjat sama. Punyalah lawak  bila kami sama-sama terperanjat. Aku terperanjat sebab nampak lembaga. En.asben terperanjat bila aku tiba-tiba menjerit tak ingat malam-malam buta. Aku memang takut betul waktu tu. Sampai sekarang aku tak boleh lupa betapa takutnya aku pada waktu itu.

Dalam aku takut-takut tu terdengar lembaga itu bersuara. Ma, abang muntah kat bawah... Subhanallah.. Is rupanya lembaga itu. Boleh dia naik ke atas gelap-gelap tanpa buka lampu. Lepas tu kejutkan aku dalam gelap-gelap juga. Manalah aku tak terperanjat di buatnya. Dahlah terperanjat, lepas tu kena turun bawah lap muntah dia. Malam tu kami beli durian. Is memang tak makan durian sebab dia tak suka bau durian. Mungkin bila tidur kat bawah bau durian tu kuat sangat. Itu yang dia sampai termuntah tu. Sampai sekarang setiap kali teringat aku akan tergelak sendiri. Bagai nak rak aku menjerit takutkan lembaga. Rupanya lembaga tu nak bagi aku tugasan untuk lap muntah. Adoooilah.. cuti-cuti pun kena buat kerja rumah he..he..

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Friday, February 15, 2013

Kacang pool...

Assalamualaikum...

Sejak suka baca blog orang, macam-macam makanan baru yang aku kenal. Pantang orang bercerita pasal makanan, aku pun terasa nak rasa. Pantang orang tayang gambar makanan, aku pun  teringin juga he..he.. Begitulah juga dengan kacang pool ni. First time aku makan kacang pool waktu di Singapore tahun lepas. Masa tu kami nak ke Istanbul. Flight dari Changi Airport. Sebelum ke airport kami singgah makan malam dulu. Sebaik selesai makan malam aku ternampak gambar kacang pool. Oh.. mesti try ni. Walaupun perut dah kenyang, masih nak order untuk tapau kacang pool tu juga. Punyalah nak merasa.  Konon-konon nak makan masa otw ke airport. Tapi kejap benar dah sampai aiport. Tak sempat nak makan. Sudahnya kena makan kat airport. Masa kat airport aku masih kenyang lagi. Tapi takkan nak bawak naik flight bawak pergi Istanbul pulak kan. Sebab sayang nak buang, selamba badak aje aku buka bekas kacang pool. He..he.. malu juga sebenarnya. Mana taknya, kacang pool tu cuma sebekas aje. Kita  dok makan, orang lain tengok aje. Pelawa orang lain, semuanya segan kut nak join sama. Nak merasa punya pasal aku tebalkan muka makan kacang pool cicah dengan roti kat situ. Subhanallah.. sedapnya. Kena dengan selera aku. Sebab sedap aku pun paksa en.asben, emak dan mertua aku rasa sekali he..he.. Tapi sebab semua orang masih kenyang lagi, tak habis pun kami makan kongsi-kongsi makan kacang pool yang sebekas tu. Sebelum naik flight dengan rasa sedih aku terpaksa buang kacang pool yang masih berbaki tu hu..hu..

Waktu ke JB minggu lepas, kami makan kacang pool di Plaza Angsana. Saja nak bagi anak-anak rasa. Nampaknya anak-anak pun suka. Google resepi macam senang aje nak membuatnya. Bahan-bahan pun semuanya ada kat rumah. So, malam tadi gigih aku buat kacang pool sendiri. Alhamdulillah.. dapat makan kacang pool lagi. Walaupun tak sesedap yang makan kat kedai, tapi masih ada rasa kacang pool juga he..he.. Yang penting en.asben dan anak-anak kata sedap. Kira okey sangatlah tu kan.

Kacang pool kita...

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice weekend.

Thursday, February 14, 2013

On time...

Assalamualaikum..

Waktu ke JB baru-baru ni, agak ramai bilangan ahli keluarga yang ikut serta. Bila sudah ramai tentulah banyak kepala. Tapi Alhamdulillah.. walaupun banyak kepala, semuanya tahu nak hormat masa orang lain. Takde langsung masalah tertunggu-tungu dan menunggu-nunggu. Janji nak keluar pukul 5.30, pukul 5.30 semua dah bersiap tunggu kat kereta. Janji nak bertolak pukul 9.30, pukul 9.30 semuanya dah berkumpul. Lambat 5-6 minit tu adatlah sebab ada yang anak kecil. Ada yang perlu menunaikan hajat di saat nak keluar tu.

Bila berjalan ramai-ramai pun semuanya tahu tak mahu berhenti lama-lama di satu-satu tempat. Bila nampak orang lain dah gerak, semuanya tahu nak bergerak juga. Tanpa perlu orang lain tolong panggil mahupun tolong ingatkan. Bila dah berpisah untuk buat hal masing-masing dan berjanji untuk bertemu semula pada waktu dan tempat yang ditetapkan semuanya muncul tepat pada masanya. Takde siapa yang mahu membiarkan orang lain tercari-cari.  Alhamdulillah.. aku seronok dengan cara yang begitu.  

Bila semua orang tahu hormat masa orang lain, tiada pembaziran masa yang berlaku. Tiada mulut yang akan mengata. Tiada siapa yang akan diumpat. Tiada hati yang akan sakit. Tiada siapa juga yang mahu membuat muka dan mengeruhkan keadaan. Kesimpulannya kami semua dapat berkumpul bersama tanpa stress. Semoga anak-anakku dapat mengambil pengajaran dari sikap yang baik ini. Sebelum kita mahu orang menghormati kita, kitalah yang perlu lebih menghormati orang lain. Bila saling tahu hormat menghormati hidup kita akan terasa lebih indah dan membahagiakan.

Oh ya.. Benar-benar Cinta Bab 18 sudah di update di Ilham Karangkraf. Sudi-sudikan dan selamat membaca.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada buat kita semua. Take care and have a nice day!

Wednesday, February 13, 2013

Dah berakhir..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. percutian 4 hari sempena CNY sudah berakhir. Alhamdulillah.. perjalanan kami pergi dan balik ke JB berjalan dengan cukup lancar tanpa melalui kesesakan yang teruk. Mana tidaknya, kami bertolak ke JB seawal jam 4.45 pagi pada hari sabtu tu. Bertolak balik pula di saat orang lain masih lagi menghabiskan cuti mereka. Alhamdulillah.. segala perancangan berjalan dengan cukup baik. Sempat juga kami singgah melawat saudara dan sahabat di Pagoh dan BP. Subhanallah.. rasa cukup berbesar hati dengan layanan yang diberikan oleh orang JB, orang Pagoh dan orang BP yang baik budi bahasa juga pekerti. InsyaAllah.. semoga Allah memberikan ganjaran yang sebaiknya untuk mereka semua yang meraikan dan melayan tetamu dengan cukup baik.

Oh ya.. tajuk akhbar hari ini mengambarkan yang hubungan Shila dan Sharnaaz dah berakhir dari komen yang diberikan oleh Sharnaaz. Aku bukan nak bercakap tentang hubungan mereka. Tapi aku nak bercakap tentang sesuatu yang aku dapat dari cerita mereka. Minggu lepas aku ada terbaca komen Sharnaaz yang mengatakan tentu ramai yang akan bertepuk tangan seandainya mereka berpisah. Turut diselitkan kata-kata yang mengingatkan orang lain. Lebih kurang begini mengikut pemahaman aku. Tak perlu nak gembira sangat bila melihat orang lain dilanda masalah. Ingatlah, orang lain juga ada keluarga yang mungkin akan menerima nasib yang sama seperti mereka satu hari nanti. Ketika membaca ayat itu hatiku terdetik sendiri.

Bukankah Sharnaaz juga perlu beringat? Satu hari nanti dia juga akan menjadi seorang ayah. Pada waktu itu, tentulah dia tahu bagaimana perasaan ayah Shila yang nampak berat untuk melepaskan anaknya pada waktu ini. Perkara itu yang dikatakan punca kepada masalah mereka. Pada pandangan aku, semua yang ibu bapa lakukan pastinya ada sebab dan alasan yang terbaik. Juga pastinya untuk memastikan kebahagiaan hidup anak mereka. Ibu bapa manalah yang tidak mahu anak mereka bahagia kan? Ibu bapa manalah yang tidak risau untuk melepaskan anak gadis mereka kepada orang lain?  Kalau mahukan anak orang, perlulah tunjukkan kesungguhan dan kesabaran. Tak perlu nak tunjukkan kekasaran dan sikap besar kepala. 

Kadang-kala, kita begitu mahu cuba menasihatkan orang lain agar beringat. Sedangkan kita sendiri tidak mahu beringat untuk mengingatkan diri sendiri. Aku tak kata Sharnaaz. Aku juga sebenarnya begitu. Sering terlupa untuk mengingatkan diri sendiri. Kenyataan Sharnaaz memberikan kesedaran untuk aku lebih memuhasabah diri. Juga untuk menasihati diri sendiri sebelum cuba untuk mengingatkan orang lain.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care.

Friday, February 8, 2013

MATI itu PASTI...

Assalamualaikum..

Pagi yang mendung. Jalan yang lengang. Alhamdulillah.. pagi ini aku dapat sampai ke pejabat lebih awal dari biasa selepas sempat menyiapkan sarapan pagi untuk en.asben dan anak-anak. Terima kasih Allah kerana dipermudahkan segalanya buatku. Hari ini en.asben bercuti. Sebelum aku bertolak ke pejabat pagi ini, en.asben mendapat berita yang teman sekerjanya meninggal dunia. Dengarnya dalam tidur. Inalillah.. Al-fatihah buat arwah yang meninggal dunia di hari jumaat yang mulia. Salam takziah buat ahli keluarganya. Kami sekeluarga tumpang bersedih dengan kehilangan itu.

Mati itu sesuatu yang pasti. Mati itu tidak mengira umur. Mati itu tidak mengira siapa. Mati itu tidak mengira waktunya. Yang sihat boleh mati. Yang sakit juga boleh mati. Aku tahu tentang itu. Waktu aku berumur 9 tahun, arwah ayah meninggal dunia di hadapan mataku. Beberapa minit sebelum itu arwah ayah masih memelukku penuh erat. Arwah ayah masih  berbual mesra denganku. Arwah ayah masih mengambil berat tentangku seperti selalu. Selang beberapa minit kemudian, arwah ayah yang nampak sihat tiba-tiba menekan dadanya sebelum rebah dan meninggal dunia. Hanya Allah yang tahu perasaanku pada saat itu. Al-fatihah untuk arwah ayah. Semoga arwah ayah tenang di sana.

Sejak hari itu, aku jadi terlalu takut dengan mati. Bila rasa semacam atau timbul perasaan macam ada yang tak kena, aku sering tertanya-tanya sendiri, inikah yang arwah ayah rasa sebelum arwah meninggal dunia? Sudah tiba masa ku pula ke? Perasaan  seperti itu sering aku rasa selepas arwah ayah meninggal dunia sehinggalah aku meningkat dewasa. Alhamdulillah.. semakin meningkat umur,  perasaan takut mati mula berkurangan. Lebih-lebih lagi bila ada pengetahuan yang kita semua dituntut untuk sentiasa mengingati mati. Pengetahuan tentang alam sesudah kematian itu adalah alam yang kekal menjadikan rasa takut mati itu semakin berkurangan. Pengetahuan tentang semua yang kita ada termasuklah nyawa kita adalah pinjaman dari Allah membuatkan rasa takut mati sedikit demi sedikit mula hilang.

Sebelum ini aku selalu risau, kalau aku mati bagaimana dengan orang yang aku sayang? Ya Allah.. tamaknya aku. Aku sendiri tidak tahu apa nasibku di sana tapi aku masih sibuk mahu menjaga urusan yang akan diuruskan oleh orang yang masih hidup selepas aku mati. Subhanallah.. Allah itu sentiasa memberi petunjuk dan hidayahnya. Sekarang ini aku lebih mahu meninggalkan bekalan ilmu dunia dan akhirat yang secukupnya untuk orang yang aku sayang. InsyaAllah.. semoga ada doa dan amalan dari dari anak-anak yang soleh sampai kepadaku bila aku mati nanti. Juga dari amalan-amalan baik yang aku lakukan ketika aku masih hidup. Aku mahu lebih mempersiapkan diri untuk kehidupan di sana nanti. Masih terlalu banyak kekurangan diri dan masih cetek amalanku. Semoga aku dapat sentiasa mempertingkatkannya sebelum saat itu sampai. Ya Allah, permudahkanlah untukku juga untuk kami semua.

Waktu di masjidil haram, ada beberapa kali aku berkesempatan melihat jenazah yang diusung masuk ke masjidil haram untuk di solatkan. Selepas setiap solat akan ada solat jenazah. Subhanallah.. indahnya kematian mereka. Mereka dimuliakan bila terlalu ramai yang bersama-sama menunaikan solat jenazah untuk mereka. Setiap kali itu aku tidak lupa berdoa, Ya Allah seperti mana kau muliakan kematian mereka, kau muliakanlah juga kematianku. Terasa mahu menitik air mata setiap kali mengingati saat itu. Sekarang ini rasa takut mati itu mula berganti dengan rasa mahu mati dengan keimanan hanya kepada Allah yang satu. Rasa takut mati berganti dengan keinginan dapat menyebut nama Allah yang satu di saat akhir itu tiba. Ya Allah, matikanlah kami semua dalam iman.

Jom semua kita memperbanyakkan zikir kepada Allah dan selawat ke atas Rasulullah saw. Semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua, insyaAllah. Salam hormat untuk semua. Take care & have a nice holiday.

Thursday, February 7, 2013

Selatan..

Assalamualaikum..

InsyaAllah, hujung minggu ni nak ke JB. Ada kenduri kahwin anak sepupu emak di sana. Emak dengan sepupu-sepupunya sangat rapat. Hubungan mereka dah macam adik beradik sendiri. Aku seronok dengan suasana itu. Alhamdulillah, hotel pun aku dah booking siap-siap. Pilih hotel yang dekat dengan rumah mak anjang aku agar kami tak tertinggal kalau orang lain nak ke mana-mana. Punyalah excited nak stay kat JB. Kalau tak booking awal-awal takut en.asben ajak balik hari pulak. Tak dapat nak berliburan dengan kaum keluarga dan sanak saudara he..he.. Pagi tadi sempat telefon jiran lama yang juga my bff di Batu Pahat. Alhamdulillah.. dah lebih 30 tahun kami kenal dan berkawan baik. Sampai sekarang masih terus rapat walaupun sangat jarang kami berjumpa. Beria dia ajak singgah. Siap ajak tidur kat BP lagi. Terus hati ni jadi tak sabar-sabar pulak nak ke selatan hujung minggu ni. Semoga ada rezeki untuk kami berjumpa nanti, insyaAllah. 

Jalan sure sesak cuti CNY ni kan. Tapi takpe, kita jalan pelan-pelan. Biar lambat asal sampai. Yang penting selamat pergi dan selamat balik. Kalau mengantuk kita switch driver. Semoga Allah permudahkan segalanya buat kami. Semoga niat untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga, saudara mara dan rakan taulan diberkati oleh Allah. Dulu-dulu, kalau nak ke mana-mana, seminggu sebelum tu aku dah siap-siap kemas baju masuk beg. Sekarang ni, esok pagi nak pergi, malam tu barulah terhegeh-hegeh nak mengemas. Mungkin sebab anak-anak dah besar kot. Jadinya takde kalut sangat nak mengemas awal-awal. Tapi tiap kali mengemas aku masih kalut juga. Sudahnya sampai nak pergi aku masih mengemas lagi. En.asben dengan anak-anak dah siap tunggu dalam kereta, aku baru terhegeh-hegeh nak pakai tudung he..he.. angin aje pakcik tu dengan aku. Kali ni aku tak nak kalut lagi. Malam ni aku nak kemas beg siap-siap. Ha..ha.. semangat lebih. Balik karang tunda esok jugak. Takmo-takmo..

Salam hormat. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day.

Wednesday, February 6, 2013

Takde fillet ikan.. nugget ikan pun jadi..

Assalamualaikum..

Semalam teringin nak makan fish and chips. Balik kerja terus singgah billion. Sebelum sampai kat bahagian barang basah 'tersinggah' pulak kat tempat pakaian budak. Lepas tu 'tergoda' pula dengan harga murah sebab jualan untuk CNY dah bermula.  Rezeki anak semalam, dapatlah Is t-shirt 2 helai, Az t-shirt sehelai dan Han sehelai legging jeans. Selalu sangat macam tu. Nak beli baju ataupun barangan untuk diri sendiri selalu berkira-kira. Tapi bab anak tak reti pulak nak berkira-kira. Tapi takpelah, rezeki yang kita dapat adalah rezeki untuk anak-anak juga. 

Lepas dah 'terperangkap' kejap kat bahagian baju budak terus laju-laju pergi kat tempat barang basah sebab masa tu dah pukul 6 dah. Berapa kali aku tawaf kat bahagian frozen. Tapi tak jumpa juga dengan fillet ikan. Masa tu rasa sedih sangat sebab memang dah beria plan nak masak fish and chips. Terus jadi blank nak masak apa sebagai ganti. Tiba-tiba nampak nugget ikan ramly. Terus dapat idea tukarkan aje fillet ikan tu dengan nugget ikan. Janji asasnya masih ikan. Ada kentang goreng jadi fish and chips juga he..he..  Balik rumah dah pukul 6.30.

Lepas mandi terus masuk dapur. Sambil mengoreng buat tartar sos. Lepas tu buat sekali bbq sos with mushroom. (Gravy untuk chicken chop aku buat untuk gravy fish and chips he..he.. Sebelum balik kerja sempat google resepi nak buat bbq sos tu. Tak sangka pulak senang benar nak membuatnya. Selama ni ingatkan susah sangat. Bila tengok orang lain buat aku jadi kagum terlebih. Sebab memang tak sangka yang ianya semudah itu. Lepas ni boleh buat lagi. Boleh buat prosperity burger sendiri juga he..he..) Selepas dah feeling macam chef sebab mampu buat bbq sos sendiri ha..ha.. aku buat coleslaw pulak sebab anak-anak suka.

Alhamdulillah, dapat hidangkan fish and chips atas meja siap dengan sos tartar,  bbq sos dan coleslaw malam tadi. Berselera aje anak-anak makan. En.asben pun balik kerja sempat serbu meja makan kejap sebelum naik mandi dan solat. Rasa hilang sedih bila tak dapat fish fillet dan penat memasak bila semua orang masih enjoy makan. Lepas ni hari-hari kita makan western aje nak??? Sekejap aje dah siap masak. Senang kerja mama he..he.. Oh ya sebab senang benar nak buat BBQ sos tu, makanya aku nak kongsikan resepinya di sini. Sharing is caring kan. Senang juga untuk aku refer sendiri nanti. Semalam aku ada baca beberapa resepi dan cara membuatnya. Jadinya aku gabungkan kesemuanya ikut cara paling mudah dan guna bahan yang ada kat rumah untuk menyenangkan diri sendiri tapi hasilnya tetap wallah..

BBQ sauce with mushroom

Bahan-bahan :
1 sudu kecil serbuk pasti sedap knor (Guna 1 kiub knor ayam pun boleh)
1 1/2 cawan air
1 sudu besar butter
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu kecil lada hitam yang dikisar halus
1 sudu besar kicap
1 sudu besar tomato sos
1 mangkuk kecil cendawan
Sedikit garam dan gula

Cara :
1. Didihkan air bersama serbuk pasti sedap dan ketepikan.
2. Panaskan butter dalam periuk hingga cair.
3. Masukkan tepung dan kacau rata.
4. Masukkan serbuk lada hitam.
5. Masukkan air dan serbuk pasti sedap yang sudah dididih.
6. Masukkan kicap dan tomato sos.
7. Masukkan cendawan.
8. Masukkan garam dan gula jika perlu.
9. Biarkan mendidih seketika.

Senang, cepat dan sedap. Selamat mencuba. (Err.. nampak tak beza orang pandai dan rajin memasak dengan orang yang sesekali dan baru nak pandai memasak? Baru masak sekali dah kecoh. Dan sibuk nak share resepi bagai. Nampak sangat kan he..he.. Itupun aku saja tak nak share gambar biar tak nampak obvious sangat ha..ha.. pandai aje buat ayat nak cover line kan.)

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care.

Tuesday, February 5, 2013

U boleh guna line lain tak???

Assalamualaikum..

Berbual dengan penuh berhemah.. itu selalu. Berbual dengan kutukan dan perlian... hah.. itu lagiiiii selalu. He..he.. itulah aku dengan en.asben. Kalau dia tak kutuk aku, aku akan kutuk dia dulu. Kalau aku tak kutuk dia, dia akan kutuk aku dulu. Jadinya kalau ada peluang memang kami berdua akan ambil peluang tu terlebih dahulu. Tapi semestinya ada had yang tertentu agar tidak melampaui batas-batas yang sudah kami berdua cukup maklum. Macam hari ahad lepas, adalah kita orang berborak pasal sesuatu. Hal yang melibatkan anak-anak. Permulaannya memang macam topik serius. Tentang wawasan, tentang harapan, tentang pengorbanan. Segala yang melibatkan anak-anak tentulah selalu menjadi perkara yang penting bagi kami. Begitulah juga tentang ibu bapa kami.

Untuk mengukuhkan kata-kataku, dengan bersungguh aku tegaskan kepada en.asben, I kan yang.. kalau untuk anak-anak, I sanggup tak makan pun takpe... Waktu tu en.asben tengah minum air. Boleh pulak dia tersedak-sedak bila dengar aku cakap macam tu. Nasib tak tersembur aje. Muka pun cuak giler. Bukanlah sebab dia impress sangat bila dengar aku bercakap dengan penuh semangat macam tu. Tapi sebab dia rasa tak boleh tahan dengar aku cakap macam tu. Dengan penuh selamba dia sound aku lepas tu.. Ma.. boleh tak you pilih line lain selain dari cakap u tak kisah kalau tak makan. U cakaplah.. tak kisah kalau tak beli beg mahal ke apa. Lagilah I boleh terima.. Ha..ha.. hampeh.. En.asben memang cukup kenal aku. Dia memang tahu yang aku kuat makan. Jadinya kalau aku cakap macam tu, memang susah sangatlah dia nak terima. Nak kagum apatah lagi he..he..

Ingat lagi masa zaman becinta dulu. Waktu keluar tu adalah kita orang beli durian. Masa otw en.asben nak hantar aku balik rumah adalah kita orang gaduh-gaduh manja. Dah gaduh mestilah merajuk. Bila dah merajuk takde pun dia pujuk he..he.. Merajuklah aku sorang-sorang sampai sakit tengkuk asyik pandang luar tingkap aje. (Buang masa dan tenaga betul kalau merajuk ni kan. Tapi nak juga merajuk he..he..) Bila dah sampai kat rumah aku turun dari kereta tanpa cakap apa-apa. Keluar gitu aje. Tapi sebelum dia pergi sempat lagi aku ketuk belakang kereta dia suruh dia buka bonet. He..he.. aku nak ambil durian. Patutnya kalau dah merajuk, biar ajelah durian tu kan. Tapi takkkk..  Sebab durian tu makanan, mana boleh aku tinggalkan. Punyalah aku ni kaki makan. Merajuk pun boleh buang ego sikit semata-mata nak ambil durian. Memang sampai sekaranglah jadi bahan untuk en.asben. Lagi aku nak berkobar-kobar sangat cakap kalau tak makan pun takpe. Memang susahlah en.asben nak percaya he..he..

Alhamdulillah.. kesungguhan dan keazaman en.asben selama beberapa tahun dalam ^@^ telah membuahkan hasil. Tahniah sayang! We're proud of you.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Have a nice day.

Monday, February 4, 2013

Shah Alam.. Low Yatt..

Assalamualaikum...

Sejak berumur 19 tahun aku sudah memiliki lesen memandu. Kiranya dah bertahun-tahun boleh memandu sendiri. Tapi nak memandu keluar dari Bangi dan Kajang masih menjadi masalah buatku. Lebih-lebih lagi bila en.asben tiada di sebelah. Kalau en.asben ada di sebelah adalah keyakinan sikit. Entah kenapa aku jadi takut semacam kalau nak memandu sendiri keluar dari Bangi dan Kajang. Tahap tidak yakin pada diri sendiri selalu membataskan pemanduanku ke tempat lain. Padahal sama saja mana-mana jalan pun. Tapi aku sendiri yang takut tak tentu arah. Macamkan jalan-jalan kat tempat lain tu nak makan aku he..he..

Hari sabtu lepas menjadi sejarah yang tersendiri buat diriku. Buat pertama kalinya aku berjaya memandu sendiri ke Shah Alam tanpa en.asben. Bila dah terpaksa sangat, semua yang tak boleh jadi boleh. Dua minggu lepas aku menerima undangan dari Editor Buku Prima untuk turut sama berada di Karnival Karangkraf. Waktu itu memang aku sudah maklum yang en.asben ada hal lain pada hari yang sama. Tapi aku confident boleh memenuhi undangan itu bila fikir pastinya adik aku boleh tolong menghantarkan aku ke Shah Alam. Tapi kesihatan adik yang tak berapa baik akhir-akhir ini membuatkan aku rasa tidak patut pula untuk menyusahkan dia.

Hal itu aku ambil untuk mencabar diriku sendiri. Aku yakin, aku boleh memandu sendiri. En.asben pun bagi sepenuh semangat. Adik aku pulak yang tak sampai hati sampai beria-ia juga nak tolong hantarkan. Tapi aku lagi tak sampai hati nak susahkan dia. Sudahnya aku ajak Han temankan. Thanks sayang. Sebelum pergi dan dalam perjalanan memang aku berdoa banyak-banyak pada Allah agar segalanya dipermudahkan buat kami. Alhamdulillah.. kami sampai ke Shah Alam dengan selamat. Dapatlah kami menyertai kemeriahan Karnival Karangkraf. Seronok dapat berkenal-kenal dan berjumpa dengan rakan penulis yang lain. Lebih seronok bila dapat bertemu dengan novelis-novelis otai yang sejak dulu menjadi idolaku, Kak Aisya Sofea dan Kak Sharifah Abu Salem.

Bila dah ada keberanian untuk memandu sendiri, semalam siap ada keyakinan untuk ke KL sendiri pula tanpa en.asben. Tapi dengan adik akulah. Kalau sebelum ni memang dia yang akan memandu dan aku duduk di sebelah he..he.. Sekarang ni aku dah boleh offer diri. Tersenyum-senyum Han bila kami selamat sampai ke Low Yatt. Siap ajak repeat pergi Low Yatt lagi sebab selalunya memang tunggu ayahnya free baru boleh pergi mana-mana.  Walaupun perkara ini hanya perkara biasa untuk orang lain, tapi pada aku ianya adalah hal yang besar.  Alhamdulillah.. setiap perkara yang berlaku pastinya ada hikmah untuk setiap orang.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah, semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua. Take care.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...