Showing posts with label Mati itu pasti. Show all posts
Showing posts with label Mati itu pasti. Show all posts

Friday, February 8, 2013

MATI itu PASTI...

Assalamualaikum..

Pagi yang mendung. Jalan yang lengang. Alhamdulillah.. pagi ini aku dapat sampai ke pejabat lebih awal dari biasa selepas sempat menyiapkan sarapan pagi untuk en.asben dan anak-anak. Terima kasih Allah kerana dipermudahkan segalanya buatku. Hari ini en.asben bercuti. Sebelum aku bertolak ke pejabat pagi ini, en.asben mendapat berita yang teman sekerjanya meninggal dunia. Dengarnya dalam tidur. Inalillah.. Al-fatihah buat arwah yang meninggal dunia di hari jumaat yang mulia. Salam takziah buat ahli keluarganya. Kami sekeluarga tumpang bersedih dengan kehilangan itu.

Mati itu sesuatu yang pasti. Mati itu tidak mengira umur. Mati itu tidak mengira siapa. Mati itu tidak mengira waktunya. Yang sihat boleh mati. Yang sakit juga boleh mati. Aku tahu tentang itu. Waktu aku berumur 9 tahun, arwah ayah meninggal dunia di hadapan mataku. Beberapa minit sebelum itu arwah ayah masih memelukku penuh erat. Arwah ayah masih  berbual mesra denganku. Arwah ayah masih mengambil berat tentangku seperti selalu. Selang beberapa minit kemudian, arwah ayah yang nampak sihat tiba-tiba menekan dadanya sebelum rebah dan meninggal dunia. Hanya Allah yang tahu perasaanku pada saat itu. Al-fatihah untuk arwah ayah. Semoga arwah ayah tenang di sana.

Sejak hari itu, aku jadi terlalu takut dengan mati. Bila rasa semacam atau timbul perasaan macam ada yang tak kena, aku sering tertanya-tanya sendiri, inikah yang arwah ayah rasa sebelum arwah meninggal dunia? Sudah tiba masa ku pula ke? Perasaan  seperti itu sering aku rasa selepas arwah ayah meninggal dunia sehinggalah aku meningkat dewasa. Alhamdulillah.. semakin meningkat umur,  perasaan takut mati mula berkurangan. Lebih-lebih lagi bila ada pengetahuan yang kita semua dituntut untuk sentiasa mengingati mati. Pengetahuan tentang alam sesudah kematian itu adalah alam yang kekal menjadikan rasa takut mati itu semakin berkurangan. Pengetahuan tentang semua yang kita ada termasuklah nyawa kita adalah pinjaman dari Allah membuatkan rasa takut mati sedikit demi sedikit mula hilang.

Sebelum ini aku selalu risau, kalau aku mati bagaimana dengan orang yang aku sayang? Ya Allah.. tamaknya aku. Aku sendiri tidak tahu apa nasibku di sana tapi aku masih sibuk mahu menjaga urusan yang akan diuruskan oleh orang yang masih hidup selepas aku mati. Subhanallah.. Allah itu sentiasa memberi petunjuk dan hidayahnya. Sekarang ini aku lebih mahu meninggalkan bekalan ilmu dunia dan akhirat yang secukupnya untuk orang yang aku sayang. InsyaAllah.. semoga ada doa dan amalan dari dari anak-anak yang soleh sampai kepadaku bila aku mati nanti. Juga dari amalan-amalan baik yang aku lakukan ketika aku masih hidup. Aku mahu lebih mempersiapkan diri untuk kehidupan di sana nanti. Masih terlalu banyak kekurangan diri dan masih cetek amalanku. Semoga aku dapat sentiasa mempertingkatkannya sebelum saat itu sampai. Ya Allah, permudahkanlah untukku juga untuk kami semua.

Waktu di masjidil haram, ada beberapa kali aku berkesempatan melihat jenazah yang diusung masuk ke masjidil haram untuk di solatkan. Selepas setiap solat akan ada solat jenazah. Subhanallah.. indahnya kematian mereka. Mereka dimuliakan bila terlalu ramai yang bersama-sama menunaikan solat jenazah untuk mereka. Setiap kali itu aku tidak lupa berdoa, Ya Allah seperti mana kau muliakan kematian mereka, kau muliakanlah juga kematianku. Terasa mahu menitik air mata setiap kali mengingati saat itu. Sekarang ini rasa takut mati itu mula berganti dengan rasa mahu mati dengan keimanan hanya kepada Allah yang satu. Rasa takut mati berganti dengan keinginan dapat menyebut nama Allah yang satu di saat akhir itu tiba. Ya Allah, matikanlah kami semua dalam iman.

Jom semua kita memperbanyakkan zikir kepada Allah dan selawat ke atas Rasulullah saw. Semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk kita semua, insyaAllah. Salam hormat untuk semua. Take care & have a nice holiday.

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...